Nas Alkitab : Matius 18 : 12 – 14; Lukas 15 : 3 – 7 & 8 – 10
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Mengetahui bahawa kegembiraan Tuhan mendapat kembali anak-anak-Nya yang hilang adalah sama seperti kegembiraan seorang gembala mendapat kembali domba yang
- Jadilah anak yang dikasihi Tuhan: (3) Mampu bersyukur dan menghargai kasih Tuhan Yesus.
Ayat Hafalan :
… Demikian juga akan ada sukacita di sorga karena satu orang berdosa yang bertobat. (Lukas 15 : 7)
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, Engkaulah gembala saya yang baik. Engkau mengasihi dan menjaga saya. Engkau disalibkan demi saya. Mulai pada hari ini, saya berharap dapat mengikuti-Mu, mendengarkan suara-Mu dan menjadi anak domba yang paling taat. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, pernahkah kamu kehilangan sesuatu yang kamu gemari? Buku, mainan, wang atau barang lain? Pada masa itu, bagaimana perasaan hatimu? Adakah kamu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kembali apa yang hilang? Adakah kamu gembira apabila menemuinya? (Ajak kanak-kanak untuk berkongsi pengalaman mereka, dan cikgu juga dapat berkongsi pengalaman mereka sendiri dan menekankan perasaan kehilangan dan mendapatnya kembali).
Pada suatu hari, Tuhan Yesus bercerita tentang bagaimana gembala kehilangan seekor domba.
Gembala Mengasihi Anak Domba
Tuhan Yesus berkata : Ada seorang gembala yang memiliki seratus ekor domba. Dia sangat mengasihi domba-domba ini dan dia membawa domba-domba ke padang rumput yang hijau dan membiarkan domba-domba itu memakan rumput yang segar pada setiap hari. Setelah mereka kenyang, gembala membawa mereka ke sungai yang bersih untuk minum air dan berehat. Gembala sangat mengasihi anak-anak dombanya dan dia memegang tongkat di tangannya (Tunjukkan gambar) . Kepala tongkat itu melengkung. Ketika anak domba meninggalkan kawanan atau jatuh ke dalam lubang, gembala akan menggunakan tongkat ini untuk menggembalakan anak domba itu supaya kembali semula ke kawanan atau menariknya keluar dari lubang.
Apabila matahari terbenam, gembala akan memanggil anak domba: “Bek! Bek!” Domba-domba itu mengenali suara tuannya. Mereka boleh berjalan pulang hanya dengan mendengar suara tuannya tanpa mengangkat kepala. Dalam perjalanan, jika ada anak domba yang terlalu letih untuk berjalan, gembala akan mendukungnya. Jika ada anak domba yang cedera, gembala itu akan meletakkannya di bahu dan membawa ia pulang dengan selamat.
Apabila sampai di rumah, gembala akan menghitung dombanya dengan teliti. Dia berdiri di pintu masuk kandang domba. Ketika domba memasuki kandang, gembala menghitung satu persatu sehingga seratus barulah senang hati. Kemudian pintu kandang domba ditutup dan dia pulang untuk berehat. Beginilah gembala menjaga setiap anak domba dengan penuh kasih setiap hari.
Anak Domba Yang Hilang
Pada suatu hari, seperti kebiasaannya gembala itu membawa domba-domba untuk makan rumput pada awal pagi. Apabila matahari terbenam, gembala membawa anak-anak domba yang telah makan dengan kenyang dan penat bermain itu pulang. Dia masih menghitung domba-domba itu dengan teliti sebelum mereka masuk kandang: “Satu, dua, tiga …” Tetapi ketika gembala hitung sampai: “97 ,98, 99….” Dia terkejut! Hairan? Mengapa kurang seekor? Adakah dia salah hitung? Gembala itu menghitung lagi. Ternyata sememangnya seekor telah hilang. Pengembala itu sangat cemas. Semua domba kembali bersama. Mengapa ada yang hilang? Yang mana satu yang hilang? Dia mula mencari dan mencari. Ah! Itu adalah domba yang paling nakal Xiao Bai. Dia memanggil: “Xiao Bai, Xiao Bai, di mana kamu?” Gembala itu memanggil beberapa kali. Benar-benar, Xiao Bai telah hilang dan tidak pulang.
Xiao Bai adalah anak domba yang sangat aktif dan tidak patuh. Dia suka berlari sendiri. Apabila dia melihat rumput yang lazat atau bunga liar di tempat lain, ia akan tinggalkan kawanannya. Nasib baik, setiap kali ia tercicir, gembala itu menjumpainya dan mengembalikannya dengan tongkatnya. Domba tidak boleh bermain sendirian kerana sangat bahaya. Serigala sering keluar mencari domba di padang gurun. Sekiranya domba tidak mengikuti gembala, mereka akan dimakan oleh serigala.
Xiao Bai sangat gembira hari ini kerana gembalanya membawa mereka melalui padang rumput hijau. Xiao Bai melompat-lompat dengan gembira. Ia melihat banyak rama-rama terbang di langit dan ia mahu menjadikan rama-rama itu temannya. Ketika rama-rama terbang, Xiao Bai mengejar mereka dan tanpa disedari Xiao Bai sudah berlari jauh. Ia berlari semakin jauh, langit semakin gelap dan angin menjadi semakin kuat.
Xiao Bai tiba-tiba berasa sangat sejuk. Ia mahu pulang dan berbaring dalam pangkuan gembala, tetapi kini ia sesat dan tidak tahu arah mana untuk pulang. Ia menggembek “Bek!Bek!Bek!” dengan kuat tetapi ia tidak mendengar gembala menyahut. Ia menjadi takut kerana terlalu gelap untuk melihat jalan di depan. Terpaksalah ia berbaring di celah bukit dan menangis ketakutan. Cuba adik-adik fikir, adakah Xiao Bai berada dalam keadaan yang bahaya? Adakah gembala akan datang untuk menyelamatkannya?
Gembala Mencari Anak Domba Yang Hilang
Ketika gembala itu mendapati bahawa Xiao Bai hilang, dia segera mengambil tongkat dan pelita minyak, tanpa rasa takut akan angin atau hujan, dia memanggil nama Xiao Bai di padang rumput yang gelap gulita dan di seberang sungai. Walaupun kakinya berdarah dicucuk rumput, gembala itu mesti mencari Xiao Bai sehingga ia ditemui tanpa mengira betapa bahayanya keadaan itu.
Menemui dan Bersukacita
Akhirnya, gembala itu mendengar suara yang sayup-sayup: “Bek! Bek! Bek!” Pengembala begitu gembira! Segera dia berjalan ke arah suara itu. Gembala itu berteriak: “Xiao Bai! Xiao Bai!” Xiao Bai juga menjawab, “Bek! Bek!” Kita dapat bayangkan betapa gembiranya gembala ini sewaktu menjumpai dombanya yang hilang setelah tidak tidur semalaman kerana mencari domba yang hilang di padang belantara. Kini gembala telah menemui dombanya yang hilang itu. Adik-adik, bolehkah kamu ceritakan? (Biarkan kanak-kanak menyatakan bagaimana perasaan gembala pada waktu itu).
Ternyata Xiao Bai telah meninggalkan kawanan kerana terlalu nakal. Ketika gelap baru dia teringat harus pulang ke rumah. Akan tetapi dia tidak dapat menemukan jalannya. Jadi ia bersembunyi di celah bukit. Gembala itu memeluknya dan memeriksa kecederaannya. Sekarang Xiao Bai tidak takut kerana ia berada di dalam pangkuan gembala.
Gembala itu membawa Xiao Bai pulang dengan gembira dan berkata kepada rakan dan jirannya di sepanjang jalan : “Dombaku yang hilang telah dijumpai. Datanglah dan bersukacitalah dengan saya!” Suasana rumah gembala itu begitu meriah pada malam itu! Mereka gembira dapat menemui seekor anak domba yang hilang.
Bersyukur dan Mengingati Kasih Tuhan Yesus
Alkitab memberitahu kita: “Demikian juga akan ada sukacita di sorga kerana satu orang berdosa yang bertobat.” Tuhan Yesus seumpama penggembala yang baik ini. Dia mengasihi setiap kanak-kanak. Dia berharap setiap kita mendengarkan kata-kata-Nya. Pada mulanya Tuhan berada di syurga tetapi apabila Dia melihat manusia duniawi ini tidak taat dan suka melakukan kejahatan maka hal ini benar-benar menyedihkan-Nya. Oleh itu, Dia datang ke dunia supaya manusia dunia bertaubat dan mendengar firman-Nya. Demi kita, Dia dilantak di atas kayu salib oleh orang-orang yang tidak percaya kepada-Nya. Dia dibangkitkan daripada kematian pada hari yang ketiga. Dia menyediakan tempat yang lebih indah untuk kita di syurga agar kita dapat hidup bahagia bersama dengan-Nya untuk selama-lamanya.
Oleh itu, kita mesti selalu mengingati kasih Tuhan Yesus yang besar terhadap semua manusia di dunia. Tidak kira siapakah manusia itu, semua adalah anak-anak-Nya. Ketika kita tidak taat dan melakukan kesalahan, Tuhan Yesus akan mencari kita sama seperti seorang gembala yang baik. Kita pula mendengar suara Tuhan (Ingat kisah dalam Alkitab) dan bertaubat. Bukan sahaja Tuhan akan bersukacita tetapi malaikat- malaikat di langit juga turut bersukacita.