Nas Alkitab : Matius 25 : 1 – 13; Lukas 6 : 46 – 49
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran :
- Ketahui bagaimana gadis-gadis bersiap sedia untuk menyambut mempelai lelaki.
- Jadilah anak yang dikasihi Tuhan : (3) Kerap menghadiri kebaktian dan sungguh-sungguh memohon kepenuhan Roh Kudus.
Ayat Hafalan :
Sebab itu, hendaklah kamu juga siap sedia, karena Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu duga (Mat 24 : 44).
Persediaan Prapengajaran dan Pembelajaran :
Gambar pengajaran dan pembelajaran. (Gambar yang berkaitan boleh disediakan oleh guru.)
Doa :
Dalam nama Tuhan Yesus berdoa. Tuhan Yesus yang dikasihi, kami bersyukur kerana Engkau sentiasa berada di sekitar melindungi kami. Kami memohon supaya Engkau menambahkan iman kami, agar kami giat menghadiri kebaktian, ingat akan firman-Mu, senantiasa berdoa serta menyanyi pujian memuji-Mu. Haleluya. Amin.
Isi Pelajaran :
Adik-adik, apa yang kamu bawa ke sekolah setiap hari? (Jemput kanak-kanak jawab). Sekiranya kamu tidak membawa barang-barang ini, apakah yang akan terjadi? (Biar kanak-kanak memikirkan setiap item dan menjawab. Contohnya : tidak dapat mengikuti pelajaran jika tidak membawa buku teks, tidak boleh menulis tanpa pen dan sebagainya).
Kita berasa sangat tidak selesa sekiranya kekurangan barang-barang ini. Ketika berada di dalam kelas. Kita terpaksa meminjamnya daripada rakan sekelas! Namun rakan sekelas perlu menggunakannya juga. Jadi mereka tidak dapat meminjamkannya kepada kita. Cara paling bijak adalah menyediakannya sendiri. Kerja rumah juga perlu disiapkannya. Selain daripada itu perlu juga mengulang kaji di rumah maka pencapaian prestasi kamu pasti akan meningkat.
Tuhan Yesus juga mahu kita mempersiapkan seperkara yang sangat penting. KataNya, “Hendaklah kamu juga siap sedia, karena Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu duga.” (Guru tunjuk ayat hafalan yang ditulis terlebih dahulu di papan tulis). Apa yang Tuhan Yesus ingin kita siapkan untuk menyambut-Nya dan membawa kita ke dalam kerajaan syurga? Sekarang, marilah kita dengarkan kisah yang diceritakan oleh Tuhan Yesus. Dia berkata:
Sepuluh Gadis Menunggu Mempelai Lelaki
Pada suatu hari, suasana sangat meriah. Rupa-rupanya ada keluarga yang sibuk dengan majlis perkahwinan. Menurut peraturan Yahudi, pengantin lelaki dan pengapit lelaki akan meninggalkan rumah pada awal pagi ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan untuk makan minum dan bergembira. Mereka hanya pulang ketika larut malam. Namun bilakah dia akan pulang, hanya pengantin lelaki sahaja yang tahu.
Setelah pengantin lelaki meninggalkan rumah, pengantin perempuan yang berpakaian cantik itu ditemani oleh sepuluh gadis akan pergi ke rumah pengantin lelaki bersama-sama. Sepuluh gadis ini harus mempunyai pelita di tangan mereka kerana pada waktu pengantin lelaki pulang, waktu sudah larut malam. Jadi mereka harus menyalakan pelita untuk menyambut mempelai lelaki masuk ke dalam rumah.
Ketika pengantin perempuan tiba di rumah mempelai lelaki, dia akan masuk dan berehat. Sepuluh gadis itu akan membawa pelita dan duduk di pintu rumah pengantin lelaki untuk menyongsong kepulangan pengantin lelaki. Mereka akan menunggu dan terus menunggu. Apabila sudah gelap dan pengantin lelaki masih belum pulang, mereka akan menyalakan pelita dan terus menunggu lagi. Namun, mereka keletihan. Perlahan- lahan, seorang tertidur, dua orang tertidur, tiga orang tertidur, empat orang tertidur, lima, enam … sembilan, sepuluh, semuanya tertidur.
Sepuluh Gadis Menyongsong Pengantin Lelaki
Pada waktu tengah malam terdengarlah suara orang berseru: “Pengantin datang! Songsonglah dia!” Sepuluh gadis itu pun terjaga kerana sorakan ini. Mereka melihat, aduh! Pelita hampir padam, apa yang harus mereka lakukan? Lima gadis yang bijaksana itu telah sediakan minyak. Kini mereka boleh segera keluarkan minyak itu dan mengisi pelita. Pelita di tangan lima gadis bijaksana itu menyala semula. Tetapi bagaimana dengan lima gadis lain yang bodoh dan tidak bijak itu? Mereka tidak sediakan minyak dan pelita mereka hampir padam. Macamana? Gadis-gadis yang bodoh berkata kepada gadis-gadis yang bijaksana: “Bolehkah berikan kami sedikit daripada minyakmu itu? Ini disebabkan pelita kami hampir padam.” Tetapi jawab gadis-gadis yang bijaksana itu: “Minta maaf, nanti tidak cukup untuk kami dan untuk kamu. Lebih baik kamu pergi kepada penjual minyak dan beli di situ.”
Gadis Bijaksana Menyongsong Pengantin Lelaki
Lima gadis yang bodoh bergegas ke kedai minyak untuk membeli minyak. Akan tetapi, waktu mereka sedang pergi untuk membelinya, datanglah pengantin itu. Lima gadis yang bijaksana membawa pelita menyongsong pengantin lelaki dan bersama-sama masuk ke dalam rumah. Waktu inilah pintu besar ditutup. (Tunjukkan gambar). Saudara-mara dan rakan-rakan yang datang ke perjamuan kahwin juga masuk untuk menikmati kenduri bersama -sama dengan pengantin lelaki.
Gadis Bodoh Tidak Boleh Masuk
Lima gadis yang bodoh akhirnya membeli minyak dan kembali. Ketika mereka melihat semua orang telah memasuki rumah dan pintu telah ditutup, mereka berkata: “Tuan, tuan, bukakanlah pintu untuk kami! Namun tuannya menjawab: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya aku tidak mengenal kamu.” (Guru bercakap dengan nada yang tegas). Memang kebiasaan pada zaman itu tidak ada yang tahu bilakah waktunya pengantin lelaki akan pulang, tetapi sebaik saja dia pulang, pintu ditutup dan tidak boleh dibuka lagi. Adakah lima gadis bodoh itu kasihan? Ya, kelima-lima gadis itu menyalakan pelita dan menunggu pengantin lelaki semalam-malaman. Akan tetapi disebabkan tidak bersedia untuk menyambut tuan pada bila-bila masa, mereka terlepas peluang untuk bersukacita bersama dengan pengantin lelaki dan perempuan.
Senantiasa Berkebaktian, Memohon Kepenuhan Roh Kudus
Sebelum Tuhan Yesus naik ke syurga, Dia memberitahu kita bahawa Dia akan datang lagi dan menyambut orang-orang yang percaya kepada-Nya supaya tinggal bersama dengan-Nya di syurga. Namun bilakah Dia akan datang? Tidak ada yang tahu. Ini adalah sama seperti bilakah waktunya pengantin lelaki akan kembali bernikah dengan pengantin perempuan? Tidak ada yang tahu juga.
Dalam kisah ini, sepuluh gadis ini umpama kita yang percaya kepada Tuhan. Sekiranya senantiasa berkebaktian, berdoa, dipenuhi dengan Roh Kudus dan patuh kepada firman Tuhan, ia bagaikan lima gadis bijaksana yang menyediakan minyak di pelita mereka. Sekiranya tidak dipenuhi dengan Roh Kudus, tidak suka berkebaktian, berdoa dengan sambil lewa atau bergurau dengan adik-adik di sebelahnya, perbuatan-perbuatan ini adalah tidak sopan terhadap Tuhan dan Tuhan tidak suka mendengar doa seperti ini. Ketika Tuhan Yesus datang, orang-orang ini seperti lima gadis bodoh yang mempunyai pelita tetapi tidak menyediakan minyak. (Percaya kepada Yesus, tetapi tidak berkelakuan baik). Mereka tinggal di luar pintu yang ditutup dan berteriak: “Tuhan! Buka pintu!” tetapi sudah terlambat.
Sekarang kita baca Alkitab dan lihat apa yang Tuhan Yesus ajarkan kepada murid-murid-Nya (Mat 24 : 44). Bacalah dua kali dengan guru: “Sebab itu, hendaklah kamu juga siap sedia, karena Anak Manusia datang pada saat yang tidak kamu duga.” (Guru tunjukkan ayat yang perlu dihafal di papan tulis, padam beberapa perkataan dan kemudian bacakan sehingga dapat menghafal semuanya).
Adik-adik, tahukah kamu bilakah Tuhan Yesus akan datang lagi? Kamu tidak tahu, dan cikgu juga tidak tahu, tidak ada seorang pun di dunia yang tahu, hanya Tuhan Yesus yang tahu. Sekiranya kita tidak bersiap sedia terlebih dahulu, ketika Yesus datang lagi, Dia tidak akan menunggu kita. Ini adalah seperti waktu pada jam tidak berhenti menunggu kita. Oleh itu, kita mesti senantiasa bersedia dan mempunyai perbuatan yang baik, agar tidak kira bilakah Tuhan Yesus datang lagi, kita dapat mengatakan: “Tuhan! Saya sudah bersiap sedia. Saya budak yang taat, menolong orang lain, sering berkebaktian, tidak berbohong, tidak memarahi orang dan sebagainya”.
Semoga setiap adik-adik siap sedia pada bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja. Apabila Tuhan Yesus datang kembali, kita akan dapat menyambut Tuhan Yesus dengan gembira.
▲ Saya ingin bercakap dengan Tuhan Yesus
Adik- adik! Sekiranya kamu ingin memberitahu sesuatu yang terbuku di hati kepada Tuhan Yesus, sila tuliskannya: Tuhan Yesus yang dikasihi :-