Tuhan yang benar menciptakan segala sesuatu indah pada waktunya, dan menempatkan umat manusia di taman Eden. Namun bagaimana dunia yang indah dan umat manusia yang bahagia pada waktu itu berkembang menjadi situasi semasa yang penuh dengan kesukaran, penderitaan dan kegelisahan? Masalah yang lebih serius adalah bahawa Tuhan telah membuatkan dunia memiliki kesedaran abadi, maka batasan “maut” yang tidak dapat dihindari selalunya menimbulkan kekeliruan dan ketakutan kepada manusia! Walaupun kita menempuh banyak usaha, mengkaji selama bertahun-tahun, mengejar dari aspek filosofi dan kerasionalan yang menyeluruh, kita masih tidak dapat sepenuhnya memahami makna kehidupan, apatah lagi melepaskan manusia daripada hambatan hidup dan mati. Oleh itu, dunia mencari jawapan ini melalui pelbagai jenis agama dan kepercayaan. Hari ini, dengan berpandukan pernyataan Alkitab, kita mempelajari kejatuhan umat manusia, cara mendapatkan kembali kehormatan yang diberikan oleh Tuhan yang benar kepada manusia pada awal penciptaan-Nya, dan cara dilihat baik oleh Tuhan yang benar.
Satu, umat manusia dan dosa kejahatan
A. Keadaan awal umat manusia
Ketika manusia mula-mula diciptakan, Tuhan menciptakan laki-laki dan perempuan menurut gambar-Nya (Kej 1:26,27; 1 Kor 11:7). Gambar ini terutamanya adalah dari segi akhlak dan sifat. Alkitab mencatatkan: “dan mengenakan manusia baru, yang telah diciptakan menurut kehendak Allah di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya.” (Ef 4:24). Sifat Tuhan dan kemasyhuran rohani yang diciptakan oleh Tuhan kepada kita yang disebut di sini adalah yang dibenarkan (benar) dan dikuduskan dalam kebenaran Tuhan. Oleh itu, gambar itu merujuk kepada perwatakan Tuhan yang jujur, adil dan kudus pada awal penciptaan (Pkh 7:29; Ef 4:24; Kol 3:9,10). Dengan kata lain, ketika Tuhan menciptakan manusia, Dia menciptakan manusia di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya.
Pada awal penciptaan, Adam dan Hawa tinggal di taman Eden dan berkomunikasi secara bebas dengan Tuhan. Mereka dilindungi dan dijaga oleh Tuhan setiap hari. Mereka juga diberi penghormatan oleh Bapa untuk menguasai dan memerintah segala-galanya. Mereka bebas daripada ancaman dosa dan maut. Mereka tidak melalui proses kelahiran, menjadi tua, penyakit, dan kematian. Mereka menjalani kehidupan yang tidak perlu bimbang tentang kebendaan, hidup bahagia dengan kehidupan rohani yang harmoni dan bahagia serta menjadi anak-anak yang diberkati oleh Tuhan (Kej fasal 2, 5:1,2; Luk 3:38).
B. Nenek moyang digoda untuk berbuat dosa
Tuhan yang benar telah memberi kasih karunia kepada nenek moyang Adam dan Hawa supaya mereka dapat menikmati kebahagiaan dan sukacita di Taman Eden. Walau bagaimanapun, Tuhan yang adil juga mengadakan perjanjian dengan mereka. Tuhan berfirman: “Semua pohon dalam taman ini boleh kaumakan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kaumakan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kej 2:16,17). Perintah tunggal ini menyatakan kebebasan yang diberikan oleh Tuhan kepada umat manusia, iaitu manusia berhak memilih untuk makan atau tidak. Tuhan juga menyatakan bahawa setelah manusia secara bebas memutuskan untuk memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, dia harus menerima akibat kerana memakannya – mati. Niat Tuhan adalah supaya manusia dapat menjadi anak-anak yang taat, dapat mengawal tingkah laku sendiri, dan melayani Tuhan secara rela hati (Ul 13:4; 1 Ptr 1:13,14).
Sebenarnya, nenek moyang tidak berniat untuk memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat pada waktu itu. Terdapat banyak pohon buah di taman Eden untuk dinikmati oleh mereka berdua dan binatang-binatang. Mereka tidak ada masalah makanan sama sekali dan mereka tidak perlu memakannya. Tetapi melalui ular yang licik, syaitan menggunakan taktik yang memperdaya dan menyesatkan untuk menggoda Hawa agar memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, dan kemudian memberikannya kepada Adam lalu melanggar perintah Tuhan.
“Tetapi ular itu berkata kepada perempuan itu: “Sekali-kali kamu tidak akan mati, tetapi Allah mengetahui, bahwa pada waktu kamu memakannya matamu akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti Allah, tahu tentang yang baik dan yang jahat.” Perempuan itu melihat, bahwa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagipula pohon itu menarik hati karena memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminya pun memakannya.” (Kej 3:4-6).
Nenek moyang memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu untuk “tahu tentang yang baik dan yang jahat” dan “mendapat pengertian”. Perkara ini sepatutnya merupakan suatu perkara yang baik. Mengapa pula perkara ini boleh menjadi dosa? Sebenarnya, masalahnya ialah mereka ingin “menjadi seperti Allah …”. Manusia yang diciptakan ingin menjadi seperti Tuhan yang mencipta. Mereka melampaui identiti mereka dan ingin menjadi setaraf dengan Tuhan. Mereka memusatkan diri sendiri dan tidak lagi bergantung kepada Tuhan sebagai sandaran nilai mereka. Mereka menganggap diri mereka sebagai subjek penciptaan nilai. Mereka menganggap diri sendiri sebagai standard kebaikan dan kejahatan dan juga pusat nilai. Mereka mengangkat diri mereka sendiri ke status Tuhan. Mereka juga secara tidak sengaja menyangkal bahawa Tuhan ialah Pencipta, sumber nilai, dan standard kebaikan dan kejahatan. Dengan itu, manusia telah melanggar perintah Tuhan dan Tuhan menilai bahawa “dosa” inilah yang dilakukan oleh manusia.
C. Kesudahan berbuat dosa
Seperti yang disebutkan sebelum ini, Tuhan menciptakan manusia dan memberikan kebebasan kepada mereka. Mereka boleh memilih untuk kembali kepada Tuhan atau untuk membelakangi Tuhan; mereka boleh memilih untuk bergantung kepada Tuhan atau menjadikan diri sendiri sebagai pusat. Tuhan tidak menjadikan manusia sebagai robot, dan juga tidak mengawal akal fikiran mereka. Ketika nenek moyang memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, Tuhan tidak menghalangi mereka. Sekarang, memandangkan mereka telah memilih dengan bebas untuk mengingkari perjanjian Tuhan, berbuat dosa “di hadapan Tuhan”, maka mereka harus menanggung akibat daripada perbuatan dosa tersebut.
Akibat perbuatan dosa ialah “maut”, kerana Tuhan berfirman: “sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kej 2:17). Namun, Adam hidup sehingga dia berumur 930 tahun (Kej 5:5). Nampaknya, mati yang disebutkan di sini jelas tidak merujuk kepada kematian jasmani, tetapi kematian rohani dan mental; yang bermaksud “jauh dari hidup persekutuan dengan Allah” (Ef 4:18), iaitu tidak lagi dapat berkomunikasi dengan Tuhan secara bebas dan menikmati kemuliaan Tuhan yang kekal (2 Tes 1:9). Oleh sebab terpisah daripada kemuliaan Tuhan, kehilangan status mulia sebagai anak Tuhan, dan dihalau dari taman Eden (Kej 3:22-24), maka tubuh daging manusia menjadi sama seperti tahanan yang dijatuhi hukuman mati tetapi belum dihukum. Walaupun dia belum mati, tetapi dia sama dengan mati dan hanya menunggu masa kematiannya (Rm 6:13; Pkh 8:8).
Kematian rohani bermaksud kehilangan keharmonian atau terputus hubungan dengan Tuhan. Setelah berbuat dosa, manusia tidak berani memandang wajah Tuhan, dan bahkan menyalahkan Tuhan (Kej 3:8-12). Dengan itu, mereka kehilangan kasih dan penghargaan Tuhan yang istimewa. Sebaliknya, mereka hidup di bawah kuasa kegelapan si jahat (1 Yoh 5:19), tidak lagi diterangi dengan cahaya Tuhan, terjatuh ke dalam keadaan yang menyakitkan dan putus harapan, serta menjalani kehidupan yang tanpa pengharapan dan tanpa Tuhan (Ef 2:12). Hubungan ini adalah seperti hubungan perseteruan yang saling bertentangan. Hubungan ini hanya dapat dihapus dan dipulihkan dengan penyelamatan dan penebusan Yesus Kristus supaya kehidupan rohani kita mempunyai peluang kebangkitan (Rm 3:23-26; Ef 2:13-18).
Sebelum berbuat dosa, manusia memiliki gambar dan kemuliaan Tuhan. Boleh dikatakan bahawa hati dan jiwanya adalah penuh tanpa sebarang kekurangan. Tetapi setelah berbuat dosa, hati dan jiwanya terhutang, dia tidak lagi dapat menerima dan mengakui dirinya sendiri. Walaupun dia ingin menutup rasa malu dengan menggunakan caranya sendiri, dia masih tidak dapat mengelakkan percanggahan dan konflik di dalam hatinya. Justeru, hubungan luarannya juga terjejas. Mula-mula sekali, terdapat keretakan dan konflik sesama manusia. Gelaran Adam kepada Hawa telah berubah daripada “tulang dari tulangku dan daging dari dagingku” (Kej 2:23) sebelum berbuat dosa kepada “perempuan yang di sisiku” (Kej 3:12) selepas berbuat dosa. Ketika Tuhan bertanya samada mereka telah memakan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, mereka nampaknya saling menolak tanggungjawab dan saling menyalahkan. Dengan itu, hubungan sesama manusia benar-benar telah hancur (Kej 3:12,13).
Kedua, hubungan antara manusia dengan persekitaran (alam semula jadi) juga hancur. Pada asalnya, manusia menjalani kehidupan tanpa bimbang, bebas penyakit dan penderitaan. Sekarang, mereka dikutuk kerana dosa. Mereka mesti berjuang melawan bumi, perlu berpeluh dan bekerja keras untuk meneruskan hidup sehingga hari mereka kembali menjadi tanah (Kej 3:17-19).
D. Pengaruh dan penyebaran dosa
“Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, karena semua orang telah berbuat dosa.” (Rm 5:12). Setiap manusia tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman dosa. Oleh itu, maut telah menjadi satu kemestian bagi umat manusia. Situasi setiap orang telah mewarisi dosa yang dilakukan oleh nenek moyang dan menjadi orang berdosa adalah disebut “dosa asal.” Pengakuan Daud dicatatkan dalam kitab “Mazmur”: “Sesungguhnya, dalam kesalahan aku diperanakkan, dalam dosa aku dikandung ibuku.” (Mzm 51:7) Dalam Perjanjian Baru, Paulus menulis dalam kitab “Roma” dan berulang kali membincangkan isu “dosa asal” dan “dosa peribadi” dari sudut penyelamatan dan penebusan.
Contohnya: “Sungguhpun demikian maut telah berkuasa dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa juga atas mereka, yang tidak berbuat dosa dengan cara yang sama seperti yang telah dibuat oleh Adam, … Sebab itu, sama seperti oleh satu pelanggaran semua orang beroleh penghukuman, … Jadi sama seperti oleh ketidaktaatan satu orang semua orang telah menjadi orang berdosa, …” (Rm 5:14,18,19).
Mengapa? Mengapa dosa yang dilakukan oleh Adam dan Hawa menjadi penyebab semua “dosa” dan “maut” seluruh umat manusia? Bukankah terlalu tidak adil bahawa kita juga perlu menanggung dosa itu? Namun, fakta ini dapat difahami dengan penyataan Alkitab.
- Sejak Adam berbuat dosa, maut itu telah menjalar kepada semua orang (Rm 5:12), dan bahkan maut telah berkuasa atas mereka yang tidak berbuat dosa dengan cara yang sama seperti yang telah dibuat oleh Adam (Rm 5:14,17), “karena semua orang telah berbuat dosa”. Setelah Adam berbuat dosa, “dosa” telah masuk ke dalam dunia (termasuk hati manusia). Maka dunia berada dalam keadaan terputus hubungan dengan Tuhan dan tidak ada kasih karunia Tuhan. Sifat manusia berada dalam keadaan kemerosotan, kehilangan akhlak moral dan tidak berdaya untuk menyelamatkan diri sendiri. Manusia dilahirkan dan dibesarkan dalam dunia yang terkutuk ini. Sejak dilahirkan lagi, manusia tidak mempunyai kasih dan penghargaan daripada Bapa yang di syurga, hati dan jiwanya telah berada dalam keadaan “mati” sejak awal. Tidak ada yang dapat melepaskan diri daripada keadaan ini (Ef 2:1; Ibr 9:27; Pkh 8:7).
- Setelah nenek moyang berbuat dosa, rohaninya mati, hati dan fikirannya juga rosak. Sifat manusia dalam diri seseorang semasa dia dilahirkan bukanlah sifat Adam sebelum berbuat dosa, tetapi hati dan fikirannya setelah dia berbuat dosa. Seperti yang dinyatakan dalam Alkitab: “manusia, yang ditimbulkan hatinya adalah jahat dari sejak kecilnya” (Kej 8:21). Kecenderungan jahat dalaman ini boleh dikatakan sebagai ketidaksempurnaan yang diwarisi sejak Adam berbuat dosa, yang menyebabkan hati, pemikiran, dan tingkah laku manusia tidak dapat mematuhi kehendak Bapa. Mereka tahu tentang kebenaran tetapi tidak mengamalkannya, mereka tahu tentang kebajikan tetapi tidak melakukannya. Mereka dimanipulasi oleh hukum dosa dalam hatinya, tetap takut di bawah kuasa maut dan menjadi hamba dosa (Rm 7:8-25; 1 Kor 15:56; Ibr 2:14,15; Yak 4:17).
- Sejak “dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang”, setiap orang telah dilahirkan dalam dunia yang berdosa. Tambahan pula, manusia terpisah daripada Tuhan, kematian rohani, dan kerosakan hati dan fikiran, masyarakat manusia telah menjadi satu persekitaran yang berdosa di mata Tuhan (Kej 6:5,11; 2 Tim 3:1-5; Ibr 1:11). Kemudian, dalam persekitaran yang berdosa ini, manusia menganggap perihal dosa sebagai sesuatu yang semula jadi dan mengamalkannya sehingga mereka semakin jauh daripada Tuhan (Rm 1:21-32, 3:9-18).
Sesungguhnya, dari perspektif moral, hati nurani, dan tingkah laku manusia, kita sememangnya sering menjadi hamba dosa di bawah kuasa dosa, dan tidak mempunyai kekuatan yang nyata untuk melakukan kebaikan. Oleh itu, penderitaan dosa membuatkan hati kita sedih, melakukan perkara yang salah, mengucapkan perkataan yang salah, melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilihat, mendengar kata-kata yang tidak sepatutnya didengari, memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya difikirkan, tidak menghormati Tuhan yang benar, tidak mengasihi orang lain dan diri sendiri dan tidak melakukan kebaikan walaupun tahu tentangnya. Semua ini merupakan dosa yang dilakukan secara peribadi (Rm 1:20-32; 1 Kor 6:9,10), yang juga disebut “dosa peribadi” dalam bidang teologi. Dosa asal ditambah dengan dosa peribadi menyebabkan semua manusia zaman kuno, moden dan masa depan mati dalam dosa, perlu dihakimi, masuk ke neraka dan menerima seksaan yang kekal.
Dua, pengampunan dosa dan dibenarkan
Oleh sebab semua orang berada di bawah kuasa dosa (Rm 3:9), mereka mesti menanggung upah dosa – maut (Rm 6:23) kerana berhutang di hadapan Tuhan. Namun, adakah manusia putus harapan kerana ini? Alkitab mencatatkan: “Ia membuat segala sesuatu indah pada waktunya, bahkan Ia memberikan kekekalan dalam hati mereka.” (Pkh 3:11). Semasa menghadapi ketidakberdayaan hidup yang singkat dan ketakutan terhadap seksaan dan hukuman yang kekal, manusia terus mengejar pengharapan hidup yang kekal. Alkitab mencatatkan bahawa seorang pemuda yang kaya datang bertanya kepada Yesus: “Perbuatan baik apakah yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?” Yesus berbicara dengannya tentang beberapa perkara asas, dan isi kandungannya merupakan hal-hal yang biasa difikirkan. Akhirnya, barulah Tuhan memberitahunya dengan jelas bahawa dia perlu mempercayai Tuhan yang benar di syurga untuk memperoleh hidup yang kekal (Mat 19:16-22). Daripada kenyataan ini, kita dapat memahami pemikiran orang biasa, iaitu cara memperoleh hidup yang kekal yang pertama adalah dengan melakukan kebajikan dan mengumpulkan pahala, manakala cara yang kedua adalah dengan menyembah dewa-dewa. Kita akan meneroka lebih jauh berkenaan dua konsep ini:
i. Melakukan kebajikan dan mengumpulkan pahala
Konsep etika ini baik untuk manusia iaitu tahu bahawa ada ubi ada batas, ada budi boleh balas. Namun siapakah yang akan memperingati semua kebajikan ini pada masa depan? Siapa yang akan menilai semua perbuatan manusia? Alkitab dengan jelas memberitahu kita bahawa Tuhan yang di syurgalah yang akan menghakimi semua kebaikan dan kejahatan serta membalas semua perbuatan baik (Rm 2:6-11). Tuhan Yesus datang ke dunia untuk menyatakan arah ini kepada kita.
Sebilangan besar orang yang melakukan kebajikan dan mengumpulkan pahala berpendapat bahawa tindakan tersebut boleh digunakan untuk mengurangkan hukuman dosa. Sebenarnya, pendapat tersebut adalah tidak betul kerana hukuman dosa adalah berkaitan secara langsung dengan Tuhan, sedangkan pahala adalah secara tidak langsung dan ada kalanya hanya merupakan hubungan sesama manusia. Dari segi keadilan penghakiman, manusia tidak dapat menggunakan perbuatan benar masa lalu untuk mengimbangi kejahatan pada kemudian hari (Yeh 33:12). Demikian juga, manusia tidak dapat menggunakan pahala yang dikumpulkan kemudiannya untuk mengimbangi hukuman dosa. Contohnya, seseorang yang melakukan dosa mencuri tidak boleh mengimbangi dosa mencurinya hanya kerana dia menggunakan wang yang dicurinya untuk menolong orang miskin. Tambahan pula, harga pembebasan nyawa manusia adalah terlalu mahal (Mzm 49:9). Manusia selamanya tidak dapat bertukar-tukar syarat dengan Tuhan melalui cara mengumpulkan pahala.
“Jika demikian, apakah dasarnya untuk bermegah? Tidak ada! Berdasarkan apa? Berdasarkan perbuatan? Tidak, melainkan berdasarkan iman! Karena kami yakin, bahwa manusia dibenarkan karena iman, dan bukan karena ia melakukan hukum Taurat.” (Rm 3:27,28).
Penghapusan dosa, penyelamatan dan penebusan, dan juga pembenaran, semuanya merupakan jasa Tuhan Yesus yang diberikan oleh Tuhan kepada umat manusia secara automatik. Tujuannya adalah untuk menyelesaikan penderitaan manusia dan supaya manusia mendapatkan kembali pembebasannya. Semua ini tidak ada hubungannya dengan usaha atau akhlak, kebijaksanaan atau perbuatan baik manusia. Jadi, Paulus berkata: “Sebab karena kasih karunia kamu diselamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah, itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri.” (Ef 2:8,9).
ii. Menyembah dewa-dewa
Setiap kepercayaan atau agama dalam dunia akan berbicara dengan manusia tentang isu pengharapan penyelamatan dan penebusan, pengudusan dan pembenaran dan sebagainya. Tetapi Alkitab menunjukkan satu kekurangan buatan manusia, iaitu manusia menggunakan fikiran mereka sendiri untuk menciptakan tuhan yang hanya sesuai dengan idea dan konsep nasional mereka. “Mereka menggantikan kemuliaan Allah yang tidak fana dengan gambaran yang mirip dengan manusia yang fana, burung-burung, binatang-binatang yang berkaki empat atau binatang-binatang yang menjalar.” (Rm 1:23). Oleh itu, adalah biasa bahawa orang-orang di dunia ini menyembah banyak tokoh agung, bahkan binatang (seperti lembu), tumbuh-tumbuhan (seperti pokok suci), dan mineral (seperti dewa batu) sebagai dewa. Semua ini merupakan makhluk. Tokoh-tokoh agung dan baik pada zaman kuno ini ialah manusia seperti kita. Mereka juga memerlukan bimbingan Tuhan yang di syurga untuk memasuki Kerajaan Syurga hidup yang kekal. Mereka juga harus menghadapi masalah “dosa”. Maka mereka tidak dapat membawa orang lain ke dalam Kerajaan Syurga hidup yang kekal yang bebas daripada penderitaan.
Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, hubungan antara manusia dengan Tuhan terputus kerana “dosa” sehingga manusia kehilangan kasih dan penghargaan Tuhan. Oleh sebab saluran komunikasi dengan Tuhan telah terputus, maka manusia tidak dapat mencari Tuhan dan hanya berkeliaran di dalam dunia. Di samping itu, manusia berada dalam kuasa dosa, hati dan fikirannya telah rosak dan mereka tidak dapat menyelamatkan diri sendiri. Sekiranya mahu menyelesaikan belenggu “dosa”, mereka mesti bergantung pada pertolongan luaran; dan kuasa luaran ini tidak dapat dijumpai di kalangan manusia kerana semua orang terkurung dalam “dosa” (Gal 3:22). Manusia tidak pernah dapat dibebaskan daripada “dosa” dengan kekuatannya sendiri.
Oleh itu, jika manusia ingin menyelesaikan masalah “dosa”, caranya hanya dengan Tuhan yang benar tampil dan memperbaiki hubungan yang terputus. Tidak ada pilihan lain! Jadi penyelamatan dan penebusan merupakan satu-satunya jalan bagi manusia dibebaskan daripada dosa dan dibenarkan. Jika tidak ada Tuhan yang tampil untuk menyelesaikannya, manusia hanya ada satu jalan penyelesaian iaitu binasa. Semua ini merupakan kesudahan bagi kesalahan manusia sendiri. Tuhan tidak berhutang apa-apa kepada manusia. Kemunculan penyelamatan dan penebusan ini sepenuhnya merupakan kuasa mutlak Tuhan:
“Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. Sebab Allah mengutus Anak-Nya ke dalam dunia bukan untuk menghakimi dunia, melainkan untuk menyelamatkannya oleh Dia.” (Yoh 3:16,17).
Oleh sebab itu, keselamatan umat manusia dikatakan “oleh kasih karunia” (Ef 2:5), dan benar-benar “dibenarkan dengan cuma-cuma“ (Rm 3:24). Sekarang, Tuhan telah menghulurkan tangan-Nya yang merupakan sejenis kasih karunia. Semua ini bukan berdasarkan perbuatan baik manusia atau usaha manusia, tetapi sepenuhnya merupakan perbuatan dan pengaturan Tuhan. Bagaimana proses anugerah keselamatan diatur dan diselesaikan?
Alkitab mencatatkan: “Kristus Yesus telah ditentukan Allah menjadi jalan pendamaian karena iman, dalam darah-Nya. Hal ini dibuat-Nya untuk menunjukkan keadilan-Nya, karena Ia telah membiarkan dosa-dosa yang telah terjadi dahulu pada masa kesabaran-Nya.” (Rm 3:25).
Kristus Yesus, Anak Tuhan yang menjadi manusia bersedia menjadi sama dengan manusia, merendahkan diri, dan ditangkap dengan mentaati kehendak Bapa. Setelah hakim mengatakan bahawa dia tidak mendapati kesalahan Yesus sebanyak tiga kali (Yoh 18:38, 19:4,6), Dia tetap dipakukan di atas kayu salib dan mengalami maut bagi semua manusia (Ibr 2:9) demi menggantikan manusia yang berdosa dengan kehidupan-Nya yang tanpa dosa. Dengan pertumpahan darah dan kematian Tuhan di atas kayu salib, manusia diselamatkan daripada “dosa” dan “maut”. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab itu, sama seperti oleh satu pelanggaran semua orang beroleh penghukuman, demikian pula oleh satu perbuatan kebenaran semua orang beroleh pembenaran untuk hidup. Jadi sama seperti oleh ketidaktaatan satu orang semua orang telah menjadi orang berdosa, demikian pula oleh ketaatan satu orang semua orang menjadi orang benar.” (Rm 5:18,19).
Tambahan pula, Dia juga mengalahkan maut dan bangkit dari antara orang mati supaya kita yang percaya dan bersandar kepada Tuhan Yesus pada hari ini dapat menang atas “dosa” dan “maut” (1 Kor 15:55-57), dibebaskan daripada hukum dosa dan maut (Rm 7:24 – 8:2) lalu dikuduskan dan dibenarkan (1 Kor 6:11).
Ketika manusia dikuasai oleh dosa dan menjadi musuh Tuhan di dalam hati kerana perbuatan jahat (Kol 1:21), Tuhan mendamaikan dunia dengan-Nya melalui darah Tuhan Yesus yang bernilai. Perbuatan ini menunjukkan bahawa Tuhan telah membiarkan dosa-dosa yang telah terjadi dahulu pada masa kesabaran-Nya. Maksud-Nya ialah untuk menunjukkan keadilan-Nya pada masa ini, supaya nyata, bahwa Ia benar dan juga membenarkan orang yang percaya kepada Yesus (Rm 3:24-26). Setiap orang boleh memperolehnya tanpa mengambil kira bijak atau bebal, mulia atau hina, kaya atau miskin, dan kuat atau lemah. “yaitu kebenaran Allah karena iman dalam Yesus Kristus bagi semua orang yang percaya. Sebab tidak ada perbedaan.” (Rm 3:22), dan tanpa memandang bangsa (Rm 3:29). Anugerah keselamatan Tuhan tersebar kepada semua bangsa. Betapa indahnya kasih-Nya. Mereka yang percaya kepada Tuhan dan menerima Injil dapat memperoleh kasih karunia yang besar ini dengan cuma-cuma dan menyatakan keadilan Tuhan dengan lebih baik. Oleh itu, setiap orang harus menghargai peluang mendengar Injil dan segera memasuki kasih Tuhan.
Tiga, kesimpulan
Nenek moyang Adam dan Hawa memakan buah larangan dan tahu bahawa mereka telanjang. Mereka lalu menyemat daun pohon ara dan membuat cawat untuk menutup kemaluan. Walau bagaimanapun, daun mudah layu dan rosak serta tidak dapat digunakan untuk tempoh yang lama di bawah tiupan angin dan sinaran matahari. Jadi, Tuhan Allah membuat pakaian untuk mereka daripada kulit binatang yang dapat menahan tiupan angin dan sinaran matahari (Kej 3:7,10,21), yang menjadi perlindungan mereka. Membuat cawat daripada daun pohon ara melambangkan perbuatan manusia. Menyembelih lembu dan domba untuk membuat pakaian kulit melambangkan anugerah keselamatan yang disempurnakan oleh Yesus Kristus. Perlambangan ini bermaksud bahawa manusia tidak dapat dibenarkan dengan perbuatan mereka sendiri, tetapi dengan mempercayai Anak Domba pengganti dosa – Yesus Kristus. Hanya dengan kematian-Nya, kita dapat dibebaskan dan dibenarkan (Yoh 1:29). Rasul Paulus juga berkata, “Sebab kamu semua adalah anak-anak Allah karena iman di dalam Yesus Kristus. Karena kamu semua, yang dibaptis dalam Kristus, telah mengenakan Kristus.” (Gal 3:26,27). Dengan mengenakan Kristus iaitu pakaian kulit yang kekal ini, kemaluan itu tidak lagi dinyatakan. Jadi kita sekali lagi dapat menghadap Tuhan dengan penuh keberanian dan menikmati berkat sebagai anak-anak Tuhan (Gal 3:28,29, 4:28; Ef 1:5, 2:11-19).