RUT – MENGIKUTI DENGAN KASIH
WATAK DAN PERWATAKAN
Ketika iman kepercayaan umat Israel berada di sudut kemunduran yang gelap pada zaman hakim-hakim dalam Alkitab Perjanjian Lama, munculnya sebuah kisah yang mengharukan yang penuh dengan kegemilangan sifat manusia. Kisah ini merujuk kepada kitab ”Rut.” Kitab “Rut” bagaikan cahaya bintang pada malam yang gelap. Walaupun tidak dapat bersinar terang untuk menerangi seluruh bumi, namun cahayanya membuat orang dapat melihat keberadaannya dengan jelas dan merasakan keindahannya yang tenang. Kitab ini menceritakan kisah hangat yang penuh dengan kasih sejati dan kebaikan kepada segala bangsa di bumi secara terus-menerus dan untuk selama-lamanya.
Protagonis kisah ini iaitu Rut merupakan seorang wanita Moab yang berkahwin dengan orang Israel dan menjadi ahli keluarga Israel. Keluarga ini berpindah ke daerah Moab kerana kelaparan, dan Rut berkenalan dengan suaminya di sana lalu berkahwin. Bapa mertua, suami dan abang ipar dalam keluarga ini meninggal dunia satu demi satu lalu meninggalkan ibu mertua dan menantu-menantu perempuan yang kesepian dan kehilangan tempat bergantung. Kemudian, ibu mertuanya Naomi bersiap untuk pulang ke kampung halamannya di Betlehem. Demi kebaikan kedua-dua menantu perempuannya, dia memutuskan untuk menyuruh mereka pulang ke daerah Moab manakala dia pula pulang ke kampung halamannya secara bersendirian. Menantu perempuan yang lebih tua pun pulang dalam segala keengganan walaupun tidak sampai hati, tetapi menantu perempuan yang lebih muda iaitu Rut berkeras dan bertekad untuk tidak meninggalkan ibu mertuanya. Ibu mertuanya Naomi pun membawanya ke Betlehem setelah melihat bahawa hatinya telah diputuskan. Setelah pulang ke kampung halamannya, dia bergantung pada Rut yang memungut bulir-bulir jelai untuk kelangsungan hidup. Seorang lelaki kaya tempatan, Boas terharu dengan perbuatan baik Rut dan mengambil inisiatif untuk membantunya dan memperlakukannya dengan baik, sehingga kedua-dua ibu mertua dan menantu perempuan itu tidak perlu risau tentang kekurangan dalam hidup. Situasi ini berterusan sampai musim menuai jelai dan gandum telah berakhir, dan Rut tinggal bersama ibu mertuanya selama itu. Walaupun Rut berkeras untuk tinggal bersama ibu mertuanya bagi menjaganya, namun Naomi tidak pernah berhenti merancang untuk kebahagiaan Rut. Selepas tempoh pemerhatian ini, Naomi menyedari bahawa Boas ialah pasangan yang sesuai untuk Rut dan menyampaikan rancangannya kepada Rut. Rut patuh dan terima cadangan ibu mertuanya tanpa keberatan. Rut menyatakan niatnya untuk berkomitmen kepada Boas sesuai dengan cara yang diberitahu oleh Naomi. Boas seorang yang jujur dan penuh dengan kasih. Walaupun dia juga inginkan Rut menjadi isterinya, namun dia tetap membiarkan saudara terdekat keluarga Naomi memilih untuk melepaskan hak menikahi Rut menurut ketetapan hukum Taurat. Akhirnya, dia dapat mengahwini Rut sebagai isteri secara sah.
Rut mengikuti ibu mertuanya kerana kasih. Tindakan ini membuatkannya dapat mengikuti Boas yang pengasih dan akhirnya termasuk dalam silsilah dinasti Daud. Hal ini memberikan kesudahan yang sempurna dan indah bagi kisah kitab Rut.
RENUNGAN DAN PERKONGSIAN IMAN KEPERCAYAAN
Walaupun kitab “Rut” hanyalah sebuah kisah Alkitab yang pendek, tetapi kisah ini menonjolkan kasih dan perasaan sejati yang sempurna di dunia. Hal ini membuat orang tidak berasa jemu semasa membaca kitab ini sebaliknya semakin berasa menarik. Dalam Alkitab Perjanjian Baru, Yesus memberikan perintah baru kepada kita iaitu supaya kita saling mengasihi (Yoh 13:34). Pada perintah baru inilah tergantung seluruh hukum dan hukum Taurat (Mat 22:40). Perintah ini juga merupakan prinsip panduan tertinggi bagi penyempurnaan rohani kita sebagai orang Kristian pada hari ini. Prinsip ini pernah direalisasikan dalam kitab “Rut” pada zaman hakim-hakim dalam Alkitab Perjanjian Lama. Oleh itu, daripada ikutan kasih Rut, marilah kita belajar cara menjalani kehidupan yang penuh dengan kasih dan menonjolkan daya hidup Kristus yang luar biasa dalam diri kita daripada kehidupan yang biasa, umpama mutiara-mutiara indah yang begitu anggun dan tidak ternilai harganya untuk selama-lamanya.
A. Ikutan Rut ialah hasil daripada daya penggerak kasih
“Saling mengasihi” merupakan interaksi dua arah, termasuk sesama manusia dan antara manusia dengan Tuhan, ada pengorbanan dan respons, sehingga dapat menghasilkan kekuatan “pendaraban positif”. Adalah dipercayai bahawa pengorbanan Rut juga merupakan respons terhadap interaksi kasih ini. Tetapi Naomi berkata: “Pulanglah, anak-anakku, mengapakah kamu turut dengan aku? Bukankah tidak akan ada lagi anak laki-laki yang kulahirkan untuk dijadikan suamimu nanti? Pulanglah, anak-anakku, pergilah, sebab sudah terlalu tua aku untuk bersuami. Seandainya pikirku: Ada harapan bagiku, dan sekalipun malam ini aku bersuami, bahkan sekalipun aku masih melahirkan anak laki-laki, masakan kamu menanti sampai mereka dewasa? Masakan karena itu kamu harus menahan diri dan tidak bersuami? Janganlah kiranya demikian, anak-anakku, bukankah jauh lebih pahit yang aku alami dari pada kamu, sebab tangan TUHAN teracung terhadap aku?” (Rut 1: 11-13). Kedua-dua menantu perempuan menangis dengan suara keras ketika dia berkata demikian. Keprihatinan dan kasih Naomi yang tidak mementingkan diri sendiri terhadap kedua-dua menantu perempuannya sangat mengharukan Rut. Naomi lebih rela menghabiskan sisa hidupnya secara berseorangan daripada melengah-lengahkan kebahagiaan kedua-dua menantu perempuannya. Tindakan ini sebaliknya membuatkan Rut lebih nekad untuk mengikutinya! Dalam hubungan sesama manusia, kita memerlukan daya penggerak kasih. Daya penggerak ini berasal daripada “saling mengasihi”. Daya penggerak ini bukannya pengorbanan atau permintaan yang membabi buta, tetapi saling mendorong. Contohnya, jika seorang anak telah terbiasa dengan kasih sehala daripada ibu bapanya sejak dia kecil lagi dan tidak berpeluang belajar mengasihi orang lain, dia akan berasa tertekan dan panik bagai jampuk kesiangan hari ketika dia perlu memberikan kasihnya. Dia tidak tahu cara untuk menyatakan / meluahkan kasihnya. Oleh itu, belajar untuk “saling mengasihi” dapat memberi lebih banyak motivasi kepada kita untuk mengasihi. Pada hari ini, apakah kita juga mengikuti Kristus kerana daya penggerak kasih? Atau kerana tidak berdaya? Sekiranya terdapat lebih banyak interaksi kasih dalam hubungan kita dengan Tuhan Yesus, kita akan sering dapat merasakan kasih Tuhan dengan mendalam, dan kita akan sering berusaha untuk berkorban lebih banyak bagi Tuhan. Dengan itu, hubungan kita dengan Tuhan akan menjadi semakin teguh dan perjalanan ke syurga akan menjadi semakin praktikal.
B. Rut mengikuti kerana kasih lalu tidak takut dengan kesusahan / penderitaan
Memang bukan suatu perkara yang mudah bagi Rut untuk hidup di negeri asing bersama dengan ibu mertuanya. Hal ini terutamanya apabila seorang perempuan bangsa asing seperti Rut yang perlu memikul tanggungjawab mencari rezeki berseorangan dan hanya bergantung pada memungut bulir-bulir jelai untuk menyara kehidupan keluarganya. Masalah persekitaran sebenar yang dihadapinya (Rut 2:9,15,16) juga lebih sukar. Rut tidak mengeluh tentang kesusahan hidup kerana dia boleh bersabar demi kasihnya (1 Kor 13: 4). Kesabaran ini bukanlah kesabaran yang menekan rasa tidak puas hati sendiri, tetapi yang sanggup bertahan demi ibu mertua yang dikasihi. Hanya kesabaran semacam ini sahaja yang akan kekal dan tidak akan berubah untuk selama-lamanya. Setelah Rut memutuskan untuk mengikuti ibu mertuanya, dia tidak menunjukkan sebarang kekesalan dalam kehidupan yang susah ini. Tentu sekali, kita tidak dapat mengetahui samada dia ada kekesalan dalam hatinya daripada catatan Alkitab, tetapi yang pasti ialah tidak ada kekesalan dalam pengorbanan kasih. Hal ini sama seperti Kristus yang mengorbankan tebusan nyawa-Nya untuk menyelamatkan hidup manusia, walaupun manusia tidak layak untuk menerimanya. Kerana kasih, Dia sabar dengan penghinaan manusia; kerana kasih, Dia tekun memikul salib; kerana kasih, Tuhan tidak menyesali kasih karunia dan panggilan-Nya (Rm 11:29). Kita boleh menderita untuk saudara-mara dan rakan-rakan kita tanpa berkira bahkan secara rela hati kerana kita mengasihi orang-orang ini. Oleh itu, dengan teori yang sama, sama ada kita boleh menderita demi Kristus, kuncinya terletak pada kedalaman kasih kita kepada Tuhan. Yesus berkata, “Jikalau seorang datang kepada-Ku dan ia tidak membenci bapanya, ibunya, isterinya, anak-anaknya, saudara-saudaranya laki-laki atau perempuan, bahkan nyawanya sendiri, ia tidak dapat menjadi murid-Ku. Barangsiapa tidak memikul salibnya dan mengikut Aku, ia tidak dapat menjadi murid-Ku.” (Luk 14: 26,27). Oleh itu, kasih kepada Tuhan ialah syarat yang perlu bagi umat Kristian mengikuti Tuhan supaya kita tetap dapat bertahan dengan hati yang sukacita apabila kita menghadapi ujian penderitaan dan bersedia bersabar bahkan tidak pernah menyesal untuk selama-lamanya. Jika kita boleh menderita kerana mengasihi Tuhan dan menganggapnya sebagai makanan tambahan, kita dapat memperoleh ganjaran pertumbuhan daripada penderitaan / kesusahan yang dihadapi.
C. Rut mengikuti kerana kasih lalu taat sepenuhnya
Naomi merancang untuk Rut dengan mengatur perkahwinan kedua baginya. Naomi meminta Rut mengambil inisiatif untuk pergi ke tempat pengirikan Boas pada waktu malam dan menunjukkan kesediaannya untuk berkomitmen kepada Boas. Ketika dia menyampaikan ideanya kepada Rut, Rut berkata: “Segala yang engkau katakan itu akan kulakukan.” (Rut 3:5). Berdasarkan catatan bahawa Boaz memanggil Rut sebagai “anakku” dan dia berkata kepada Rut, “engkau tidak mengejar-ngejar orang-orang muda, baik yang miskin maupun yang kaya”, pasti ada jurang antara usia dia dengan Rut. Berdasarkan keperibadian Boas yang jujur dan reaksi yang tidak disangka-sangka ketika dia mengetahui bahawa Rut bersedia untuk berkomitmen, kita dapat mengetahui bahawa mereka berdua tidak mempunyai niat tersebut terlebih dahulu. Oleh itu, kesudian Rut untuk berbuat sesuai dengan cadangan ibu mertuanya juga adalah kerana kepercayaan kasihnya. Dia percaya dengan kasih ibu mertuanya terhadapnya. Dia percaya bahawa pandangan dan keputusan Naomi tidak akan salah, dan pasangan yang diaturkan untuknya pastilah orang yang terbaik dan paling tepat.
Ketaatan umat Kristian pada kehendak Tuhan ialah penampilan iman. Dengan iman, kita percaya bahawa kasih Tuhan pastinya tidak akan mencelakakan kita dan percaya bahawa keputusan Tuhan selamanya tidak akan salah dan kita boleh bersandar sepenuhnya kepada-Nya. Secara relatifnya, ketaatan kepada kehendak Tuhan juga ialah penampilan kasih kepada Tuhan. Seperti kata-kata Musa kepada umat Israel: “Maka sekarang, hai orang Israel, apakah yang dimintakan dari padamu oleh TUHAN, Allahmu, selain dari takut akan TUHAN, Allahmu, hidup menurut segala jalan yang ditunjukkan-Nya, mengasihi Dia, beribadah kepada TUHAN, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu, berpegang pada perintah dan ketetapan TUHAN yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya baik keadaanmu.” (Ul 10:12,13). Oleh itu, orang yang benar-benar mengasihi Tuhan pastinya akan mentaati Tuhan sepenuhnya. Hal ini kerana tidak ada alasan untuk memberontak dalam kasih sejati dan tidak ada unsur pelanggaran dalam kasih murni. Kedua, saudara saudari dalam geraja harus saling tunduk (1 Ptr 5:5). Tindakan ini juga merupakan hasil daripada kasih pada gereja dan kasih kepada Tuhan. Bukan yang kuat yang menjadi kepala dalam gereja, tetapi Kristuslah yang menjadi kepala. Selagi sesuatu keputusan itu tidak ada hubungannya dengan kebenaran keselamatan, kita boleh menyelaraskan atau bahkan bertoleransi dengannya, supaya tubuh Kristus dapat dibangun dalam kasih (Ef 4:12,13).
D. Rut mengikuti kerana kasih lalu bersetuju sepenuhnya
Ketika Naomi meminta Rut pulang ke kampung halamannya, Rut menjawabnya dengan tegas. Kata Rut: “Janganlah desak aku meninggalkan engkau dan pulang dengan tidak mengikuti engkau; sebab ke mana engkau pergi, ke situ jugalah aku pergi, dan di mana engkau bermalam, di situ jugalah aku bermalam: bangsamulah bangsaku dan Allahmulah Allahku.” (Rut 1:16). Kata-kata ini nyata sekali menunjukkan kesungguhannya untuk mengikuti Naomi. Kata-kata ini juga menunjukkan bahawa dia bersedia untuk menerima prasyarat untuk mengikuti, iaitu persetujuan penuh. Rut bersetuju dengan segala sesuatu tentang Naomi, termasuk kampung halamannya, negaranya, rakan senegaranya, kehidupannya, adat istiadat serta budaya asing dan lain-lain lagi. Oleh itu, dia harus membuat penyesuaian dan perubahan dalam banyak aspek kehidupannya, bahkan boleh dikatakan bahawa itu ialah pengorbanan.
Dari sini, kita memikirkan persamaannya dengan hubungan suami isteri. Kedua-duanya berasal daripada persekitaran pertumbuhan yang berbeza dan mempunyai keperibadian yang berbeza sama sekali. Keperibadian mereka telah menjadi tetap selepas dibentuk selama 20 hingga 30 tahun. Namun setelah kedua-duanya disatukan, mereka perlu mula bekerjasama antara satu sama lain dalam membuat penyelarasan dan penambahbaikan. Kerja ini ialah sebuah projek yang besar. Walau bagaimanapun, demi kasih, kedua-duanya dapat bersetuju dengan pihak yang lain secara rela hati untuk mengubah diri sendiri dan akhirnya mencapai titik keseimbangan. Demikianlah latihan kasih. Oleh itu, memang masuk akal bagi beberapa ahli psikologi Kristian mengemukakan konsep “teori pengudusan perkahwinan”. Perkahwinan dengan Kristus di tengah-tengahnya dapat membolehkan seseorang melenyapkan keperibadian dan intipati buruknya yang terbentuk dalam keluarga yang disebut sebagai “keluarga asli”, terus cenderung ke arah “menjadi kudus” dalam latihan penyempurnaan rohani, dan memenuhi kehendak Tuhan yang telah ditetapkan dalam setiap orang Kristian.
Jika melihat hubungan kita dengan Tuhan, mereka yang mengasihi dan mengikuti Tuhan pasti akan bersetuju dengan segala yang datang daripada Tuhan, termasuk kehendak Tuhan, ujian Tuhan, perbuatan Tuhan dan gereja Tuhan. Oleh itu, Paulus berkata: “Sebab kasih Kristus yang menguasai kami, karena kami telah mengerti, bahwa jika satu orang sudah mati untuk semua orang, maka mereka semua sudah mati. Dan Kristus telah mati untuk semua orang, supaya mereka yang hidup, tidak lagi hidup untuk dirinya sendiri, tetapi untuk Dia, yang telah mati dan telah dibangkitkan untuk mereka.” (2 Kor 5:14,15). “Tidak lagi hidup untuk dirinya sendiri” boleh dirujuk sebagai bersetuju sepenuhnya dengan Tuhan. Tindakan ini juga merupakan respons yang dibuat oleh mereka yang dikuasai dengan kasih Tuhan. Adakah kita mempunyai respons seperti itu?
E. Rut mengikuti kerana kasih lalu menerima berkat yang besar
Rut mengahwini keluarga Naomi lalu menerima kepercayaan mereka. Dia melihat perbuatan Tuhan melalui Naomi. Pada masa yang sama, dia merasai kasih Tuhan daripada kasih Naomi. Akhirnya, dia menerima kasih karunia dan berkat yang berkelimpahan daripada Tuhan kerana rancangan Naomi. Dia bukan hanya mendapat suami yang baik, tetapi juga dimasukkan ke dalam sejarah Alkitab Perjanjian Lama dan silsilah dinasti Daud sehingga generasi-generasi kemudian dapat menyanyikan dan mengingatinya untuk selama-lamanya.
Rut mengikuti dengan kasih dan akhirnya mendapat kesudahan yang baik. Kesudahan baik ini ialah ganjaran daripada Tuhan, tetapi prasyaratnya adalah dengan mengenal Tuhan. Oleh itu, kasih manusia adalah sia-sia jika tidak memasuki kasih karunia Tuhan. Hanya tahu mengasihi manusia tetapi tidak mengenal Tuhan juga tidak dapat menyempurnakan anugerah keselamatan Tuhan. Firman kayu salib merangkumi dua aspek iaitu mengasihi manusia dan mengasihi Tuhan. Mengasihi Tuhan ialah asas manakala mengasihi manusia pula ialah hasilnya. Sekiranya tidak ada asas, bagaimana ada hasil? “Karena kamu telah menyucikan dirimu oleh ketaatan kepada kebenaran, sehingga kamu dapat mengamalkan kasih persaudaraan yang tulus ikhlas, hendaklah kamu bersungguh-sungguh saling mengasihi dengan segenap hatimu.” (1 Ptr 1:22). Kasih yang didirikan di atas dasar kebenaran ialah kasih yang sejati, abadi dan diberkati.
Selain itu, Naomi ialah sebab penting bagi berkat Rut. Hal ini sama seperti kita sebagai umat Kristian yang merupakan kunci utama bagi keselamatan dan berkat dunia. Kita semua ialah saksi Tuhan, seperti orang-orang kudus zaman-berzaman yang disebutkan dalam kitab Ibrani (Ibr 12:1). Kita menggunakan hidup kita yang singkat untuk menjadi saksi yang terindah sehingga orang di sekeliling kita dapat mengenal Tuhan yang benar kerana kita. Dalam kalangan orang yang tidak percaya, kita selamanya merupakan pemimpin rohani yang membolehkan dunia mengikuti Tuhan Yesus dan memasuki jalan keberkatan kerana kita.