ERTI HIDUP

ERTI HIDUP

(Pendeta Wu Yong Shun)

 

Secara umumnya, maut dibenci oleh manusia manakala hidup pula suka dilihat oleh manusia. Walau bagaimanapun, pandangan orang Kristian mengenai hidup adalah berbeza dengan pandangan orang biasa. Oleh itu, beberapa pandangan tentang erti hidup dibincangkan menurut pandangan Alkitab. Terlebih dahulu, perkataan “hidup” dalam Perjanjian Lama dinyatakan dengan perbendaharaan kata berikut. Perbendaharaan kata bagi perkataan “hidup” dalam Alkitab:

 

A. PERKATAAN YANG DIGUNAKAN DALAM PERJANJIAN LAMA 

  1. Perkataan “hidup”(bahasa Ibrani: hayyi^m) membawa maksud tersirat “Yang bergerak” ialah hidup (Kej 7:21-22; Mzm 69:35; rujuk: Kis 17:28). Terdapat kontras nyata antara hidup dengan tidak hidup. Tidak hidup adalah santai, statik, dan sama sekali tidak bergerak (rujuk: Rm 7:8; Yak 2:17,20). “Hidup” dan “kehidupan” umumnya mengandungi maksud bertahan dalam hidup dan hidup fizikal yang merupakan antonim bagi tidak bertahan dalam hidup atau mati. Air yang bergerak itu “berbual-bual” (Kej 26:19), dan proses kelahiran yang lancar dan cepat menunjukkan bahawa ibu itu “kuat” (Kel 1:19). Perkataan ini sering muncul dalam bentuk jamak untuk menonjolkan kekuatan konsep ini. Hidup mengingatkan manusia tentang keadaan yang terang, sukacita, berkelimpahan, tertib, dan kuat / aktif (Mzm 27:1; Ayb 33:25; Ams 3:16; Kej 1:1). Kontras terbesar hidup ialah kematian dan keadaan tidak hidup. Ciri-cirinya ialah gelap, susah hati / sedih, sia-sia, kosong, dan sunyi (Pkh 11:8; Mzm 115:17).
  2. Jiwa (soul; bahasa Ibrani: nep{es%) ditafsirkan sebagai “hidup”, “kewujudan”atau “diri”. Jiwa dimiliki bersama oleh manusia dan binatang – sama ada hidup atau mati (Im 21:11; Ayb 12:10; Why 8:9, 16:3). Tetapi keadaan positifnya ialah “jiwa yang hidup” / makhluk hidup (nep{es% h]ayya^, Kej 2:7). Oleh itu, perkataan ini juga boleh digunakan untuk merujuk kepada kesedaran keperibadian yang sepenuhnya (Kej 23:8) dan bersamaan dengan “kehendak” atau “tujuan” (Ayb 16:4). Erti perkataan “jiwa” mungkin merujuk kepada “hidup”. Kematian bermaksud kehabisan jiwa manusia manakala kebangkitan bermaksud kepulangan jiwa manusia (Yer 15:9; 1 Raj 17:21; rujuk: Kis 20:10). “Jiwa” dalam darah pula “diserahkan” daripada makhluk ketika mati (Im 17:11; Rat 2:12; Yes 53:12; [“jiwa” sama dengan “hidup”]). Jiwa boleh kekal dalam darah yang ditumpahkan (Why 6:9; Kej 4:10). Dari persepektif fizikal, jiwa boleh diturunkan kepada generasi akan datang melalui reputasi atau keturunan seseorang. Hubungan antara “hidup” dan “diri” adalah sangat intim sehingga manusia yang kehilangan hidup hampir kehilangan diri sendiri (Ayb 2:4; Yeh 18).
  3. Roh(bahasa Ibrani: ru^ah]) atau nafas (n#s%a{ma^). Apabila digunakan sebagai kriteria untuk membezakan antara hidup dengan tidak hidup, roh atau nafas sering diterjemahkan sebagai “hidup” (1 Sam 30:12; Ayb 27:3-4). Kematian ialah kehilangan nafas atau roh manusia (Ayb 27:3; Mzm 104:29-30; rujuk: Mat 27:50). Kebangkitan pula bermaksud “membiarkan roh kembali” (rujuk: Luk 8:55; Why 11:11, 13:15).

Organisasi manusia dianggap sebagai satu tubuh. Dia menjadi manusia yang mempunyai nafas hidup kerana roh dihembuskan kepadanya (Kej 2:7). Tambahan pula, seluruh tubuh, daging dan darah, tulang dan organ semuanya mempunyai erti rohani dan kebajikan. Perkataan ini paling sering digunakan dalam Perjanjian Lama dan mengandungi maksud “nafas”. Adalah dipercayai bahawa nafas merupakan prinsip hidup (2 Raj 1:13; Yeh 37:3-6). Penghentian nafas merupakan fenomena yang paling jelas bagi pengakhiran hidup. “Roh” yang banyak disebutkan dalam kitab Mazmur tidak merujuk kepada sesuatu yang berbeza atau lebih tinggi daripada tubuh, tetapi merujuk kepada hidup yang berkontras dengan kematian. Hidup yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia ialah gabungan tubuh dan jiwa. Dalam tubuh keseluruhan ini, kita sering mengatakannya sebagai “hidup dalam daging, hidup dalam rasional, dan hidup rohani”. Walaupun terdapat perbezaan antara gambaran ini yang mempunyai tiga bahagian (tripartite) dengan tubuh dan roh jiwa yang mempunyai dua bahagian (bipartite), kita sebenarnya boleh menggunakan “tubuh yang hidup” untuk merangkum pandangan Perjanjian Lama tentang manusia. Oleh itu, jiwa boleh saling dibandingkan dengan tubuh / daging (Mzm 63:2; rujuk: Mat 6:25; Kis 2:31), hidup (Ayb 33:28), roh / hati (Mzm 77:3-4; rujuk: Luk 1:46-47), dan semua perkataan yang berkaitan dengan diri atau “aku”. Yang hidup ialah “aku” – yang mati juga “aku” (rujuk: Kej 7:21; Yeh 18:4).

 

B. PERKATAAN YANG DIGUNAKAN DALAM PERJANJIAN BARU 

  1. Hidup(bahasa Yunani: bios) bermaksud “proses hidup” atau “keperluan untuk menampung hidup” (Mrk 12:44; 1 Tim 2:2; 1 Yoh 3:17). Walaupun perkataan zo{e{ khasnya digunakan untuk menggambarkan hidup kebangkitan (penggunaan ini biasa dalam karya Yohanes), namun perkataan ini juga merujuk kepada “proses hidup” (Luk 16:25; Flp 1:20; rujuk: Luk 15:13; Rm 6:2), hidup roh dan jiwa atau daya hidup tubuh (Kis 8:33, 17:25; Flp 1:20; 1 Tim 4:8; rujuk: Yoh 4:50), dan jangka hayat manusia (Yak 4:14). Jiwa (payche{) dan roh (pneuma) terus memainkan dua peranan “diri” dan “hidup” dengan sempadan yang tidak jelas. Apabila ditafsirkan sebagai hidup, jiwa hanya bermaksud “tubuh yang wujud”, “hidup semula jadi” (Luk 9:25; Mrk 8:36). Jiwa dapat dipertahankan hingga memasuki hidup kebangkitan (Yoh 12:25), dan keadaan kewujudannya pada masa ini ialah daya hidup tubuh yang akan hilang apabila manusia mati (Mat 2:20; Yoh 15:13; Kis 20:10; 1 Yoh 3:16). Jika kita melihat dari perspektif yang lain, jiwa mempunyai satu maksud yang lebih penting, iaitu hidup Adam, hidup yang termasuk dalam Zaman Lama, hidup yang dihakimi oleh Tuhan (Luk 12:20; rujuk: 1 Kor 2:14, 15:44; Yak 3:15). Walaupun roh dapat merujuk kepada sumber daya hidup dalam hidup Adam (Yoh 19:30; Kis 7:59), sama seperti roh juga mempunyai maksud ini pada zaman Israel kuno, namun maksudnya dalam Perjanjian Baru lebih merujuk kepada hidup kebangkitan. Dari perspektif ini, nampaknya terdapat perbezaan antara hidup roh dengan hidup jiwa. Hidup jiwa merujuk kepada hidup yang dihakimi oleh Tuhan (rujuk: Yud 19; Yoh 6:63; 1 Kor 15:45).
  2. Alkitab menekankan bahawa manusia mempunyai satu hidup yang lebih tinggi, yang jauh lebih berharga daripada hidup tubuh jasmanidan hidup yang dikongsi dengan binatang. Hidup ini tidak seperti hidup tubuh jasmani yang disokong oleh roti, tetapi oleh setiap firman yang keluar daripada mulut Tuhan (Ul 8:3; Mat 4:1-4; Luk 4:1-4). Roh jiwa bermaksud hidup di sudut yang paling dalam, iaitu diri yang sejati (Mrk 8:37; Luk 10:25, 6:63). Yesus mengaku sebagai roti hidup, air hidup, dan terang Dia sangat diperlukan oleh semua hidup sejati. Kepentingan-Nya sama dengan kepentingan makanan dan air untuk hidup. Tuhan mempunyai perkataan hidup yang kekal (Yoh 6:68). Ayat ini tidak merujuk kepada naratif hidup yang akan datang, tetapi merujuk kepada kata-kata yang hidup dan efektif, yang dapat menciptakan dan memelihara hidup yang kekal. Orang Kristian dan gereja dapat menjalinkan hubungan yang benar dan yang hidup dengan-Nya lalu memperoleh hidup dalam nama-Nya (Yoh 20:31). Orang yang tidak percaya itu mati walaupun dia hidup (Yoh 5:24). Tujuan kedatangan-Nya boleh diringkaskan dengan ayat berikut: “Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala kelimpahan.” Pemeliharaan hidup yang lebih tinggi ini bergantung sepenuhnya pada samada manusia menerima Tuhan. Jika manusia menerima Tuhan, hidup rohani akan hidup. Dengan demikian, hidup akan menjadi lebih lengkap dan berkelimpahan. Nampaknya, hidup manusia dipinjamkan oleh Tuhan dengan kehendak baik, dan hidup sejati bukanlah hidup yang pendek bagi orang fasik (Ul 8:3; rujuk: Mat 4:4; Luk 12:15,20), walaupun hidup ini ialah hidup yang berjaya. Hidup ini merupakan hidup berdasarkan “bagianku tetaplah Allah selama-lamanya.” (Mzm 73:17,26), satu-satunya jaminan hidup manusia.

 

C. APAKAH ERTI HIDUP? 

Dalam buku “L’Etranger”, penulis Perancis, Albert Camus menggunakan konsep hidup manusia protagonis dalam buku tersebut untuk menyatakan bahawa hidup manusia tidak masuk akal dan manusia tidak tahu sebabnya mereka hidup. Bukankah orang-orang dalam abad ke-21 yang bergelut dengan kemurungan merupakan gambaran yang sama? Dari perspektif hidup manusia yang terbatas, hidup manusia nampaknya penuh dengan percanggahan. Permulaan kitab Pengkhotbah oleh Salomo secara terang-terangan menyatakan bahawa segala sesuatu adalah sia-sia, bahkan kesia-siaan belaka. Kaedah pengulangan ditambahkan ke dalam ayat untuk menekankan kesia-siaan pada tahap paling maksimum, iaitu tahap kesia-siaan yang tertinggi. Perkataan sia-sia / kesia-siaan muncul sebanyak 73 kali dalam Alkitab, dan kitab Pengkhotbah telah menyumbangkan sebanyak 40 kali. Sebagai orang yang telah mengalami masa lalu, dia menganalisis kegelisahan dan kekosongan, ratapan dan kemurungan dalam hidup. “Keturunan yang satu pergi dan keturunan yang lain datang, tetapi bumi tetap ada.” (Pkh 1:4). Hidup manusia itu singkat. Hidup yang berlalu akan hilang selamanya. Semua jerih payah manusia adalah umpama air laut yang tidak akan penuh. Selain itu, manusia juga seperti sebuah mesin yang hanya ada kewujudan tetapi kewujudannya tidak bernilai. Kehidupan sering membosankan (Pkh 1:5-7). “Apakah gunanya manusia berusaha dengan jerih payah di bawah matahari?” Jerih payah manusia sepanjang hidupnya tidak bernilai. Hal ini kerana hasil daripada jerih payah kita akan hilang sekali dengan hidup dan mati kita. Maka jerih payah hidup nampaknya tidak berguna (Pkh 1:3). Seperti yang dikatakan oleh Tuhan Yesus: “Apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia, tetapi ia kehilangan nyawanya.” (Mrk 8:36). Apa yang dapat diberikan manusia sebagai ganti nyawanya (Ayb 2:4; rujuk: Mrk 8:37)? Manusia bukan hanya hidup dengan satu jiwa dan tubuh, tetapi juga hidup dengan sering diancam oleh maut – manusia pasti mati (Ayb 4:17). Ketika Adam dan Hawa memberontak terhadap Tuhan, mereka “mati” (Kej 2:17). Manusia dilarang mendekati pohon kehidupan (Kej 3:24), umurnya seperti rumput yang dipotong dan embun pagi (Ayb 7:9; Mzm 39:5-6, 90:5-6; 1 Ptr 1:24; Yak 4:14). Maut bekerja dalam hidup. Oleh itu, hidup merupakan satu peperangan melawan kehancuran maut. Hidup juga seperti ombak yang ada pasang dan surutnya, kadang-kadang makmur dan kadang-kadang lemah. Oleh sebab manusia sering berada di bawah ancaman maut, kita dapat memahami manusia dari perspektif ini (Luk 9:60). Hidup kita pada masa kini tidak dapat mengelak daripada kematian. “Siapakah orang yang hidup dan yang tidak mengalami kematian, yang dapat meluputkan nyawanya dari kuasa dunia orang mati?” (Mzm 89:49). Manusia diciptakan daripada debu: nafasnya kembali kepada Tuhan pada akhirnya, dan tubuhnya kembali menjadi debu (Kej 3:19; Ayb 10:9; Mzm 144:4; Pkh 12:7). Dia dikumpulkan kepada kaum leluhurnya dan bersemadi bersama mereka (Kej 25:8, 37:35; Ul 31:16). Pengakhiran manusia adalah “seperti air yang tercurah ke bumi, yang tidak terkumpulkan” (2 Sam 14:14). Maut bukan hanya tentang keadaan nazak, tetapi keadaan kematian, iaitu dunia orang mati. Dunia orang mati adalah “dalam debu” (Ayb 17:13-16), dan maksud yang paling dekat ialah “kubur” yang disebut oleh kebanyakan orang. Dunia orang mati dan maut adalah bersinonim dan merupakan pengakhiran bersama semua hidup. Tambahan pula, dunia orang mati dan maut memperlakukan semua hidup dengan saksama, tidak kira manusia atau binatang, orang benar atau orang jahat, orang berhikmat atau orang bodoh (Ayb 3:13-19; Mzm 49; Pkh 2:14, 3:19). Keadaannya ialah tidur, beristirahat, gelap, keheningan, tidak ada pemikiran atau ingatan sama sekali (Ayb 3:16-17, 17:13-16; Mzm 6:6; Pkh 9:5,10). Manusia tidak dapat memuji Tuhan di sana, dan manusia yang pergi ke sana tidak akan muncul kembali (2 Sam 12:23; Ayb 7:9; Mzm 30:9; Yes 38:18). Dunia orang mati adalah seperti seekor raksasa yang tidak pernah puas sehingga manusia menggigil bagai dirahap kain basah dan mempunyai perasaan yang tidak baik ketika memikirkannya (Hab 2:5; rujuk: 2 Sam 22:5-6).

 

D. CARA MENJALANI HIDUP YANG BERERTI

1. Manusia harus mengenali Tuhan yang abadi / Tuhan yang hidup

Tuhan yang abadi / Tuhan yang hidup merupakan pokok hidup manusia. Dia berkait rapat dengan hidup manusia, dan manusia harus berusaha untuk mengenali-Nya. “Tuhan yang abadi / Tuhan yang hidup” merujuk kepada Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu (Yos 3:10; Yer 10:10; Yes 46:5-11), yang berbicara kepada manusia dan yang melakukan segala sesuatu. Dialah pokok dan penopang semua hidup dan juga sumber air yang hidup (Yer 17:13; Mzm 36:10-11); Dia memberikan nafas kepada manusia, menyelamatkan manusia dari dunia orang mati, dan menuntun manusia di jalan kehidupan (Kej 2:7; Mzm 16:11; Ams 5:6). Tuhan mematikan dan menghidupkan (Kej 6:17; Ul 32:39; Hak 13:3,23; 1 Sam 2:6; 2 Raj 5:7). Tuhan memberikan nafas lalu manusia menjadi hidup (Kej 2:7; rujuk: Why 11:11). Jika Tuhan “menarik kembali Roh-Nya, dan mengembalikan nafas-Nya pada-Nya, maka binasalah bersama-sama segala yang hidup, dan kembalilah manusia kepada debu” (Ayb 34:14-15; rujuk: Pkh 12:7; Mzm 90:3, 104:29-30).

 

2. Manusia harus bertaubat dan percaya kepada Tuhan Yesus

Panggilan Yohanes Pembaptis yang mendesak manusia untuk “bertaubat” menjadi inti Perjanjian Baru (Mat 3:2; rujuk: Kis 11:18, 17:30-31). Dunia akan berhadapan dengan penghakiman yang bakal tiba. Sekiranya ingin menjadi sebahagian daripada hidup zaman baharu, manusia harus membuat pilihan. Manusia hanya dapat memperoleh hidup dengan mempercayai Kristus dan menjalinkan hubungan dengan-Nya (Yoh 6:53-54; Rm 6:23; Kol 3:3; 1 Yoh 3:14, 5:13). Tuhan menghidupkan barangsiapa yang dikehendaki-Nya (Yoh 1:13, 5:21). Dia menentukan manusia untuk hidup, dan nama-nama mereka telah tertulis dalam kitab kehidupan sejak dunia dijadikan (Kis 13:48; Rm 9:11; Flp 4:3; Why 17:8, 20:12-15). Hidup milik Tuhan ini dinyatakan dalam diri Yesus Kristus. Dalam kitab Injil sinoptik, Yesus terus terang meyakinkan murid-murid-Nya bahawa Dia mempunyai hidup kebangkitan (Mrk 8:34-35, 9:41, 10:29-30; Mat 25:46). Selain itu, Dia menunjukkan bahawa Dia mampu memberikan hidup ini kepada manusia melalui realiti: menyembuhkan penyakit adalah untuk “menyelamatkan nyawa” (Luk 6:9) dan membolehkan manusia untuk “tetap hidup” (Mrk 5:23). Kristus menaklukkan dunia orang mati dengan kata-kata-Nya yang penuh kuasa penciptaan (Mrk 5:39-42; Luk 7:14-15; rujuk: Yoh 11:43). Oleh sebab kitab Injil Yohanes dan surat-surat Perjanjian Baru lebih sengaja menonjolkan kebangkitan Kristus, maka mereka menulis hal ini dengan lebih jelas dan terperinci: Kristuslah “Tuhan yang benar dan hidup yang kekal” (1 Yoh 5:20; Yoh 1:4, 14:6), Dialah “Pemimpin kepada hidup” (Kis 3:15), dan Bapa telah memberi-Nya “mempunyai hidup dalam diri-Nya sendiri” (Yoh 5:26), Dialah “kebangkitan dan hidup” (Yoh 11:25), Dialah “roti hidup” (Yoh 6:35), dan perkataan-perkataan-Nya ialah “roh dan hidup” (Yoh 6:63).

Dunia dihakimi oleh maut dalam Yesus Kristus, Dia merupakan wakil dunia, iaitu Adam yang akhir (1 Kor 15:45). Dia “menjadi dosa” dan secara sukarela memberikan roh jiwa-Nya kepada dunia orang mati sebagai “tebusan” (Mrk 10:45; Yoh 10:15; 2 Kor 5:21; rujuk: Mrk 14:34; Yes 53:6,10; Kis 8:32-35; 1 Ptr 2:24) agar hidup kebangkitan dapat diberikan kepada dunia (Yoh 6:51). Namun, roh jiwa Kristus tidak tinggal lama di dunia orang mati. Dia menerima kembali roh jiwa-Nya dalam kemenangan kebangkitan (Kis 2:31; Yoh 10:17). Melalui kebangkitan-Nya, Dia mengungkapkan bahawa Dialah Penguasa dan Hakim atas orang-orang hidup dan orang-orang mati (Mat 25:31-46; Mrk 14:62; Yoh 5:27-30; Kis 10:42, 17:31; Rm 10:9-10, 14:9; 2 Tim 4:1; rujuk: 1 Ptr 4:5; Why 11:18). Kebangkitan-Nya menjadi dasar semua kebangkitan, dan kita harus memahami semua kebangkitan berdasarkan kebangkitan-Nya (rujuk: 1 Kor 15; Kol 3:4; 1 Yoh 3:2). Pengharapan kebangkitan tidak lagi seperti Perjanjian Lama, iaitu hanya bergantung pada penglihatan nabi atau berdasarkan inferens hubungan perjanjian dengan Tuhan. Kebangkitan bukan lagi sekadar melepaskan diri daripada kuasa dunia orang mati dan memulihkan hidup. Maksud sebenar hidup kebangkitan sekarang dinyatakan dalam rupa Yesus Kristus (Rm 8:29). Hidup kebangkitan adalah satu-satunya hidup sejati sehingga boleh disebut secara langsung sebagai “hidup” (Kis 5:20, 11:18; Rm 5:17; 2 Ptr 1:3; 1 Yoh 5:16). Kebangkitan (Yoh 6:40, 11:25) berkaitan dengan terang (Yoh 8:12), kemuliaan (1 Ptr 5:1,4; rujuk: Yak 1:12), kehormatan (Rm 2:7), kelimpahan (Yoh 10:10), tidak dapat binasa (2 Tim 1:10), kebangkitan dan hidup yang kekal, Kerajaan Tuhan (Kol 1:13; Mat 25), kekudusan (Rm 6:22-23), sukacita (1 Tes 2:19), roh (Yoh 6:63; rujuk: 1 Kor 15:45), yang tidak fana (Ibr 7:16; 1 Ptr 1:23).

Dengan demikian, hidup sejati adalah didasarkan pada Yesus Kristus bagi manusia. Dia “menjadi roh yang memberikan hidup” (1 Kor 15:45; rujuk: Yoh 6:63; 2 Kor 3:17). Pusat maklumat Injil adalah bahawa Dia telah mati, namun Dia “hidup, sampai selama-lamanya” (Kis 2:31; 1 Kor 15:3-8; Why 1:5,18), dan Tuhan memberikan hidup kepada dunia berdasarkan hidup yang tidak dapat binasa (Ibr 7:16; Yoh 6:33). Tetapi Kristus telah bangkit, dan Dia memegang segala “kunci kerajaan maut”. Hal ini kerana alam maut tidak akan menguasai-Nya, dan alam maut juga tidak akan menguasai jemaat-Nya (Mat 16:18; Why 1:18). Pemercaya dapat menerima hidup-Nya melalui taubat, percaya, dan pembaptisan (Kis 11:18; Yoh 3:16, 11:25-26; Rm 6:4); dan manusia “diselamatkan” melalui hidup ini (Rm 5:10). Tuhan menembusi dunia manusia melalui kematian dan kebangkitan Kristus supaya manusia dapat melihat sifat dosa yang membawa maut dan kasih karunia hidup baharu daripada Tuhan pada masa yang sama. “Penembusan” ini merupakan tindakan anugerah keselamatan yang tidak terduga, tidak dapat diramalkan, dan diberikan secara cuma-cuma.

Di samping itu, Dia menjadi “roh yang menghidupkan dan memberikan hidup” melalui “hidup yang tidak dapat binasa”. Dia berkongsi kemenangan-Nya dengan manusia yang dikehendaki-Nya, dan memberikan hidup kebangkitan kepada manusia (Ibr 7:3; 1 Kor 15:45; Ef 4:8; Yoh 5:21, 17:2). Hidup baharu ialah kebangkitan dan kelahiran semula hasil daripada kedaulatan Tuhan Pencipta dan perbuatan kasih karunia-Nya (Yoh 5:24-25; Rm 6:4; Kol 3:1-4; Ef 2:1-10; Yoh 1:13).

 

3. Mempertahankan iman kepercayaan hingga pada kesudahannya

Takdir individu dan bangsa, sama ada kehidupan dan keberuntungan, kematian dan kecelakaan, terikat pada kepatuhan kepada Tuhan. Menghadapi kebenaran atau dosa, hidup atau mati manusia merupakan pilihan moral (Ul 30:15; Hak 2:18-22; Yeh 18).

Mencari hidup yang kekal merupakan tujuan hidup yang tertinggi. Membuat pengorbanan menyeluruh demi hidup yang kekal adalah berbaloi bagi manusia (Mrk 9:42-48; Mat 7:14, 13:44-50). Jiwa (hidup) manusia hanya dapat terpelihara dengan cara ini (Mrk 8:34-38; rujuk: Yoh 12:25). Sekiranya seseorang mempertahankan iman kepercayaan hingga pada kesudahannya demi Kristus dan Injil, maka mereka yang percaya tidak akan mengalami maut sampai selama-lamanya (Yoh 8:51-52, 11:26; rujuk: Yoh 10:28; Mrk 9:1). Dalam Kristus, kematian manusia menjadi “meninggal dalam Yesus” / “tidur dalam Yesus” untuk sementara waktu (1 Tes 4:14; rujuk: Mrk 5:39; Yoh 11:11). Hidup yang tidak dapat binasa dapat direalisasikan dalam sejarah melalui kebangkitan Yesus Kristus (zo{e{).

Hidup ialah hidup Tuhan yang hidup (Rm 5:21; Why 4:9). Dia sendiri mempunyai hidup dalam diri-Nya sendiri, dan Dialah satu-satunya yang tidak takluk kepada maut (Yoh 5:26; 1 Tim 6:16). Dia menghidupkan, dan Dia mematikan (Rm 4:17; 2 Kor 1:9; 1 Tim 6:13; Mat 10:28-29; Yak 4:14-15; Luk 12:20).

 

4. Menantikan kedatangan kembali Kristus (Mat 24:36, 25:31)

Yohanes dan Paulus berpendapat bahawa pemercaya telah mempunyai hidup kebangkitan. Ketika manusia percaya, mereka “berpindah dari dalam maut ke dalam hidup” (1 Yoh 3:14; rujuk: Yoh 5:24; Ef 2:1), telah dibangkitkan, dipimpin ke dalam Kerajaan Kristus, dimuliakan, dan diberikan tempat bersama-sama dengan Dia di syurga (Gal 2:20; Ef 2:5-6; Kol 1:13; Rm 8:30). Hidup kita tersembunyi di dalam Kristus (Kol 3:3). Secara ringkasnya, memperoleh hidup bermaksud memperoleh Kristus (1 Yoh 5:11-12). Walau bagaimanapun, tubuh sendiri yang pasti mati masih berada di bawah ancaman maut. Hanya ketika Kristus datang kembali, yang fana itu “ditelan oleh hidup” dan kuasa dunia orang mati dikalahkan sepenuhnya (1 Kor 15:26,52; 2 Kor 5:4; rujuk: Why 20:13). Mereka dapat mengenal Tuhan secara melihat muka dengan muka (1 Kor 13:12; 2 Kor 5:7; 1 Yoh 3:2; Why 22:4) dan memasuki Kerajaan Tuhan (Mat 25:34,46).