GERAKAN ZAMAN BARU

GERAKAN ZAMAN BARU

(Saudara Huang En Lin)

 

KATA PENGANTAR

Gerakan Zaman Baru (NAM, New Age Movement) merupakan satu aliran pemikiran yang telah melanda dunia selepas tahun 1970-an. Pemikiran ini merangkumi penentangan terhadap kewibawaan tradisional, pengiktirafan terhadap pluralisme agama, pelbagai perunding pengurusan, atau berkomunikasi dengan roh orang mati (mediumship), tilikan nasib dan astrologi. Bagaimana mendefinikan Gerakan Zaman Baru? Adakah Gerakan Zaman Baru dikira sebagai satu agama? Bolehkah seseorang menjadi Kristian dan mengambil bahagian dalam Gerakan Zaman Baru pada masa yang sama?

Sebenarnya, persoalan ini sering kali lebih rumit daripada yang dibayangkan. Ada orang yang menganggapnya sebagai satu revolusi terhadap agama lama, dan ada orang yang menganggapnya sebagai suatu kehidupan semangat seperti mendengar konsert. Tetapi apabila kita menonton filem Harry Potter, menghadiahkan buku “The Knight in Rusty Armor” kepada rakan sekelas sebagai buku motivasi, memakai gelang kristal yang dapat meningkatkan medan magnet, dan bertemu untuk mendengar muzik Enya, tanpa disedari kita telah menggunakan banyak konsep atau produk daripada Gerakan Zaman Baru. Kadang-kadang, kita terdengar slogan “semua agama menyembah Tuhan yang sama”, “setiap orang harus bertanggungjawab terhadap iman kepercayaan sendiri”, “biarkan Tuhan sendiri yang memimpin gereja” dan sebagainya. Semua ini juga mempunyai ciri-ciri Gerakan Zaman Baru.

Artikel ini berharap dapat memberikan pengenalan kasar tentang Gerakan Zaman Baru melalui konsep asas, latar belakang sejarah dan budaya, dan aspek pembangunan moden Gerakan Zaman Baru dengan harapan dapat memberikan pemahaman yang lebih umum kepada pembaca.

 

A. IDEA-IDEA DAN CIRI-CIRI

1. Kehidupan rohani

Orang dalam Gerakan Zaman Baru percaya bahawa perkara yang paling penting dalam kehidupan manusia adalah untuk mencapai kesempurnaan rohani, bukan usaha terhadap material. Kehidupan rohani bukan hanya kehidupan agama tradisional. Agama tradisional ialah organisasi yang dilembagakan dan dogma teologi yang telah kaku. Seseorang patut mempunyai hak untuk memilih cara pembangunan kerohanian dan cara keselamatannya sendiri. Penyelamatan dan penebusan yang sebenar ialah penyelamatan dan penebusan batiniah peribadi. Oleh itu, Gerakan Zaman Baru menentang agama yang dilembagakan dan menentang usaha iman kepercayaan yang dibatasi. Manusia mesti bergantung pada amalan dirinya sendiri untuk diselamatkan, bukannya diselamatkan oleh dosa asal yang pada hakikatnya tidak adil atau kasih karunia yang diberikan oleh Tuhan secara rambang.

“Iman kepercayaan adalah semata-mata peribadi. Anda tidak boleh dan tidak dapat mengaturnya. Jika anda melakukannya, iman kepercayaan itu akan mati.” (J. Krishnamurti) [1]

 

2. Anda ialah tuhan anda sendiri

Kelangsungan kehidupan rohani peribadi bergantung pada individu. Jadi pilihan peribadi adalah yang paling penting. Kewibawaan di dunia ini tidak dapat dipercayai. Kewibawaan seseorang hanya dapat dipercayai melalui pengesahan dan pengertiannya sendiri. Oleh itu, semasa membantah kewibawaan, mereka juga membantah struktur organisasi yang berwibawa pada masa yang sama. Mereka percaya bahawa organisasi rekaan manusia merupakan mekanisme yang membatasi pemikiran dan aktiviti bebas manusia. Organisasi yang sebenar sepatutnya bersifat terbuka dan membolehkan individu memilih dan berkembang secara bebas. Oleh itu, organisasi dalam Zaman Baru yang ideal tidak mempunyai struktur hierarki yang kaku. Segala operasinya diselaraskan sesuai dengan keperluan persekitaran. Berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya sendiri, setiap orang menilai hal-hal yang harus dilakukan, guru yang harus diikuti, dan cara melakukan pembangunan rohani. Semuanya berdasarkan minat orang itu sendiri. Guru bukan seorang yang berwibawa. Dia hanya mempunyai pengalaman yang lebih banyak dalam kaedah amalan ini dan pengalaman ini boleh dijadikan sebagai rujukan anda. Namun anda harus membuat penilaian berdasarkan pengalaman sendiri, bukan hanya mengikuti kewibawaan yang belum disahkan oleh diri anda sendiri secara sembarangan.

Setelah membuang sekatan kewibawaan dan struktur organisasi luaran, seseorang itu adalah bebas sepenuhnya. Dia boleh mengejar bentuk kehidupan dan sasaran hidup yang diinginkannya. Kepuasan terbesar dalam hidup manusia ialah impian menjadi kenyataan. Dia tidak mahu sewenang-wenangnya mendengar ajaran orang lain, bukan hanya dalam usaha kerohanian, tetapi juga dalam kerja dan kehidupannya. Sebaliknya, dia mendengar suaranya sendiri, mengikuti gerak hatinya sendiri sehingga mencapai matlamat yang benar-benar diingini.

Oleh itu, aktivis Zaman Baru akan memberitahu orang lain: “Anda ialah tuhan, dan anda ialah kewibawaan anda sendiri”. Setiap orang ialah tuhannya sendiri. Pada dasarnya, manusia adalah bersifat rohani. Dia dapat mencipta dunia miliknya sendiri dan hidup dengan sikapnya sendiri serta mencapai realisasi diri yang lebih tinggi. Dia tidak perlu mendengar ajaran orang lain dan tidak perlu dibatasi oleh dunia material ini [2]. Hanya pengalaman sendiri dan pengesahan sendiri yang berwibawa dan boleh dipercayai. Hanya diri sendiri yang dapat mencipta dunia miliknya sendiri.

 

3. Kosmopolitanisme

Gerakan Zaman Baru mempercayai pluralisme agama. Orang moden dipengaruhi oleh sains dan berpendapat bahawa alam semesta bersifat mekanikal. Walau bagaimanapun, banyak nenek moyang atau agama primitif dapat menemukan sifat semula jadi alam semesta dan susunan yang berlaku dalam alam semesta. Mereka berpendapat bahawa segala sesuatu ada roh jiwa, dan seluruh alam semesta juga merupakan satu roh jiwa. Semua roh jiwa berada di dalam alam semesta dan berinteraksi secara harmoni dengan alam semesta. Manusia juga milik roh jiwa ini.

Oleh itu, secara keseluruhannya, agama-agama di dunia ini mengejar kebenaran. Hanya ada satu kebenaran, dan tidak ada agama yang lebih tinggi daripada kebenaran [3]. Oleh itu, tidak ada seorang pun yang benar-benar berwibawa untuk diselamatkan, dan tidak ada seorang pun yang memegang kunci kerajaan syurga secara bersendirian. Satu ajaran yang baik dan agama yang layak membolehkan manusia memperoleh pertumbuhan rohani di dalamnya. Setiap agama ada nilainya. Kebenaran adalah bahawa semua manusia bergerak menuju tempat yang sama tanpa mengira cara amalan, guru yang diikuti, tuhan yang disembah, baik itu syurga atau karma.

Pilihan agama bukan kuncinya. Kebenaran yang sebenar ialah manusia sendiri. Memandangkan seluruh alam semesta terdiri daripada sifat semula jadi yang sama, maka manusia juga mempunyai sifat semula jadi yang sama. Apabila manusia menemukan sifat semula jadi batiniah, dia dapat berinteraksi dengan dunia semula jadi dan mencapai keharmonian dalam alam semesta. Jadi, manusia harus terlebih dahulu menyedari bahawa diri luaran dibentuk oleh masyarakat, dipengaruhi oleh masyarakat, dan dikendalikan oleh pihak berkuasa luaran. Emosi dan keinginan manusia semuanya diminta oleh masyarakat. Selain ego luaran, manusia juga mempunyai satu diri sendiri (self). Ego dicemari oleh persekitaran luaran masyarakat, manakala diri sendiri (self) ialah orang yang sebenarnya, diri yang asli, iaitu sifat semula jadi yang membentuk alam semesta. Beberapa agama menyebut diri sendiri (self) sebagai roh jiwa.

 

4. Moral diri, gerak hati

Diri sendiri (self) manusia ialah satu kewujudan yang lebih berhikmat daripada ego luaran. Hal ini kerana diri sendiri (self) dapat berinteraksi dengan roh jiwa yang ada dalam alam semesta dan dapat melihat kebenaran di sebalik sesuatu perkara. Tetapi kita biasanya dikaburi oleh ego sendiri. Kita hanya dapat mendengar keinginan diri dan permintaan diri. Diri sendiri (self) merupakan sifat semula jadi alam semesta. Mendengar diri sendiri (self) bermaksud mendengar ketertiban antara alam semesta. Hanya ajaran diri sendiri (self) saja merupakan kewibawaan yang sebenar. Oleh itu, apabila manusia tidak lagi berfikir secara rasional, menghapuskan pengaruh kewibawaan luaran dan kembali ke hati batiniah untuk mendengar suara diri sendiri (self) dan ajaran yang diberikan oleh diri sendiri (self), dia dapat membuat penilaian yang terbaik.

Bertindak mengikut pengalaman diri dan gerak hati bukan bermaksud melampiaskan minat dan keinginan seseorang untuk melakukan kejahatan. Minat dan keinginan semacam itu merupakan ego luaran. Manusia seharusnya mendengar suara dalaman yang merupakan peraturan operasi bagi seluruh alam semesta. Dia dapat mendengar saranan yang sebenar melalui kemajuan kerohanian dan pengertian daripada pengalaman peribadi. Oleh itu, ketika Gerakan Zaman Baru mengatakan “Saya ialah tuhan saya sendiri”, ayat itu merujuk kepada diri sendiri (self) batiniah dan pada masa yang sama merujuk kepada sifat semula jadi seluruh alam semesta, Tuhan.

Masyarakat yang dibentuk melalui suara diri sendiri (self) dengan setiap orang mengejar moral diri merupakan sebuah masyarakat yang harmoni, berinteraksi secara harmoni dengan operasi seluruh alam semesta dan semua orang dapat bergaul dengan harmoni. Hal ini kerana mendengar peraturan operasi seluruh dunia semula jadi adalah lebih baik daripada kebijaksanaan manusia yang terbatas. Oleh itu, masyarakat ini dapat beroperasi sendiri tanpa sistem pemerintahan kerajaan atau struktur kewibawaan. Gerakan Zaman Baru meminta setiap orang sentiasa mendorong diri sendiri untuk mengejar suara batiniah ini. Hal ini kerana gangguan luaran selalu ada. Walaupun anda seorang yang telah memahami firman [4], namun anda akan disesatkan oleh ego sendiri apabila anda hilang fokus sehingga merosakkan kepercayaan dan mekanisme operasi seluruh komuniti autonomi.

 

5. Daya, medan magnet, Qi

Tujuan meditasi, yoga, atau amalan-amalan lain adalah untuk membolehkan manusia menghilangkan batasan luaran dan kembali kepada diri sendiri (self) batiniah atau untuk mencapai sifat ketuhanan batiniah manusia. Hal ini kerana sifat semula jadi seluruh alam semesta adalah sama. Tidak kira Qigong, Yin-Yang dan Lima Elemen (Wu Xing) yang disebut oleh orang Cina atau daya dan medan magnet yang disebut oleh orang Barat dan lain-lain, semuanya merujuk kepada sasaran yang sama. Semuanya mengelilingi kita dan membentuk daya pelbagai material alam semesta. Menguasai sifat semula jadi sendiri bermaksud menguasai daya ini. Orang yang dapat menguasai daya ini dapat melakukan semua perkara yang dibenarkan oleh daya ini serta mengubah atau mewujudkan keadaannya sendiri. Apabila seseorang dapat meningkatkan daya positifnya sendiri, dia dapat menentang pencerobohan perkara-perkara buruk. Dia dapat menyembuhkan penyakit sendiri atau bahkan menghindarinya, menghindari penderitaan yang bakal menimpa, atau menggunakannya untuk membantu menyembuhkan penyakit orang lain.

Bagi aktivis Gerakan Zaman Baru, menyembuhkan penyakit bukan bermaksud merawat penyakit dalam fisiologi dengan teknologi perubatan moden, tetapi menyembuhkan penyakit roh jiwa batiniah. Sekiranya seseorang tidak mempunyai penyakit mental, dia tidak akan sakit. Sekiranya mentalnya sakit, dia tetap sakit walaupun luarannya sihat. Oleh itu, cara membimbing seseorang untuk mengetahui bahawa dia sakit dan menyembuhkan penyakitnya sendiri merupakan tujuan utama penyembuhan rohani [5]. Di samping itu, oleh sebab seluruh alam semesta berkongsi sifat semula jadi dan roh jiwa yang sama, maka hasil alam semula jadi seperti kristal, herba dan lain-lain mempunyai fungsi menyembuhkan penyakit manusia. Hasil-hasil ini mempunyai daya yang lebih positif dan bermanfaat yang dapat membantu manusia dengan daya yang tidak mencukupi, meningkatkan daya mereka dan menyembuhkan penyakit mereka.

Memandangkan alam semula jadi boleh menyembuhkan penyakit manusia, maka sebaliknya, manusia juga dapat menyembuhkan penyakit semula jadi. Oleh itu, terdapat banyak organisasi “penyembuhan semula jadi” dalam Gerakan Zaman Baru yang menggunakan ritual luaran untuk menyembuhkan alam semula jadi dan meningkatkan daya alam semula jadi, atau menyembuhkan alam semula jadi dengan cara mengubah diri sendiri.

 

6. Tujuan kosmik 

Banyak orang dalam Gerakan Zaman Baru percaya bahawa masa depan seluruh alam semesta dan roh jiwa bergerak menuju kehidupan yang lebih rohani dan kemajuan diri yang lebih muktamad. Sasaran muktamad ini adalah bahawa diri sendiri juga merupakan “tuhan”. Oleh itu, kehidupan manusia dan operasi alam semesta adalah untuk mencapai tahap keharmonian yang lebih mendalam antara satu sama lain. Eskatologi Gerakan Zaman Baru bukanlah tentang penghakiman ke syurga atau neraka, tetapi idea menjadi satu dengan Tuhan.

Menjadi satu dengan Tuhan bermaksud pertemuan individu dengan diri sendiri, dan pertemuan individu dengan seluruh alam semesta pada masa yang sama. Tujuan mengejar kewibawaan dan subjektiviti individu bukanlah untuk saling bertentangan, tetapi supaya setiap orang berkongsi sifat semula jadi yang sama melalui pemahaman. Selain dapat mengasihi alam semula jadi, manusia lebih dapat memahami dan mempertimbangkan orang lain serta menjalinkan hubungan yang benar-benar harmoni antara satu sama lain.

Walaupun definisi “kasih” dalam pelbagai pandangan adalah berbeza, namun “kasih” bukan lagi definisi emosional, dan tidak lagi terhad kepada hubungan sesama sahabat. Mengasihi orang lain adalah mengasihi diri sendiri, dan mengasihi diri sendiri adalah mengasihi Tuhan. Apabila manusia menyedari bahawa hubungan antara dirinya dengan Tuhan, alam semula jadi, dan dirinya sendiri adalah sama, dia dapat mengubah dirinya sendiri. Dengan mengubah dirinya, dia mengasihi orang lain, mengasihi perkara-perkara di sekelilingnya dan mencapai keharmonian muktamad. Ajaran guru-guru dalam Gerakan Zaman Baru selalunya menekankan peningkatan daripada kesedaran peribadi kepada hubungan harmoni antara kasih dengan toleransi, bukannya operasi individualistik yang sewenang-wenangnya.

“Kasihmu kepada Tuhan membawa Tuhan kepadamu. Kasihmu kepada diri sendiri memberikan kesedaran tentang diri sendiri ialah Tuhan – jadi kamu tahu bahawa Tuhan tidak datang kepada kamu, tetapi datang melalui kamu. Hal ini kerana Tuhan tidak akan pernah terpisah daripada kamu, Tuhan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kamu” – menjadi satu dengan Tuhan [6].

“Sekiranya kita dapat mengejarnya dengan hati, fikiran, dan semangat, bumi akan sentiasa indah, dan kemudian psikologi kita sendiri juga akan memiliki rasa keindahan yang hebat” -Krishnamurti [7].

 

B. SEJARAH PERKEMBANGAN

1. Tradisi ilmu ghaib / mistik (occultism / mysticism) di Barat

Walaupun perkembangan dan penamaan Gerakan Zaman Baru berlaku beberapa dekad kebelakangan ini, namun pemikirannya telah meneruskan tradisi ilmu ghaib / mistik bagi seluruh tamadun Barat. Pemikiran ini dapat ditelusuri kembali ke mitologi dan pemikiran Gnostik zaman awal Yunani-Rom, alkimia (alchemy) abad pertengahan, gerakan rahsia (secret society) selepas Zaman Pembaharuan (Renaissance), “pseudosains” sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), dan lain-lain lagi. Proses-proses pembentukan sumber pemikiran ini perlu terlebih dahulu diterokai ketika kita memahami Gerakan Zaman Baru.

  • Falsafah dan mitologi Yunani

Dari segi falsafah, Pythagoras menubuhkan gerakan rahsia matematik [8] serta mempromosikan keabadian dan penjelmaan semula roh jiwa [9]. Teori Bentuk / teori Ide (theory of Forms / theory of Ideas) falsafah Plato [10] dan Neoplatonisme (Neoplatonism) berpendapat bahawa semuanya mengalir keluar dari Tuhan [11], dan semuanya mempengaruhi perkembangan teologi Kristian pada hari kemudian. Dalam mitologi Yunani, Hermes ialah wakil kebijaksanaan dan kerohanian, pemberi kasih karunia [12], dan sahabat manusia [13]. Hermes kemudian menjadi dewa pengetahuan mistik dalam perkembangan sejarah yang seterusnya [14]. Dalam agama-agama lain yang terhasil daripada mitologi, semua perayaan d’Eleusis [15], Orpheus [16] dan Dionisos (Dionysus) [17] mengandungi mitologi manusia menjadi dewa. Dalam upacara kemasukan atau pemujaan, para peserta sering memasuki keadaan yang teruja atau tersangat gembira secara kolektif. Pada masa yang sama, falsafah-falsafah atau mitos-mitos ini juga mengesahkan kewujudan sifat ketuhanan dalam batiniah manusia. Umumnya, mereka berpendapat bahawa roh jiwa manusia dipenjarakan dalam daging. Sifat ketuhanan batiniah mesti ditunjukkan melalui pengetahuan dan ritual mistik sehingga akhirnya mencapai tahap menjadi satu dengan Tuhan.

 

  • Gnostisisme

Ketika Alexander menakluki Parsi, pertembungan budaya Timur dan Barat menghasilkan budaya Panhellenic. Epistemologi dan agama yang mengandungi unsur mistik (occultism / mysticism) Timur dibawa ke Barat, dinyatakan melalui pentafsiran semula logik dan mitologi Yunani lalu melahirkan Gnostisisme (Gnosticism). Gnostik bukan satu pemikiran atau mazhab tunggal. Gnostik meliputi bukan hanya mazhab Gnostik yang dikenali dalam agama Kristian, tetapi juga banyak falsafah dan mazhab Gnostik bukan Kristian, yang bahkan berlanjutan hingga hari ini [18]. Sebagai contoh, agama Manichaeisme (Manichaeism) dan lain-lain. Selain pertembungan dengan Augustine dan bapa pembaptisan yang lain di Barat, agama ini bahkan tersebar ke China [19]. Dalam kosmologi pemikiran Gnostik, seluruh alam semesta dan dunia merupakan aliran keluar Tuhan tertinggi, dan setiap aliran keluar merangkumi sifat semula jadi Tuhan. Tuhan tertinggi mengalirkan Tuhan aras kedua (atau malaikat), dan Tuhan aras kedua (atau malaikat) mengalirkan dunia material (tahap aliran keluar ini cenderung meningkat seiring dengan kepelbagaian mazhab). Oleh itu, dunia material diciptakan oleh Tuhan aras kedua, tetapi Tuhan aras kedua menutupi sifat ketuhanan batiniah manusia dengan menggunakan kebendaan supaya manusia terperangkap dalam dunia kebendaan dan tidak mengetahui bahawa sifat semula jadinya ialah Tuhan. Ilham pengetahuan mistik dapat menyedarkan sifat ketuhanan batiniah manusia dan menjadikan manusia kembali kepada Tuhan yang tertinggi serta menjadi satu dengan Tuhan. Pada tahun 1960-an, pemikiran Gnostik menjadi wakil kepada pengejaran otonomi manusia, keselamatan rohani, dan penentangan terhadap kewibawaan tradisi Kristian. Dengan penemuan dan pentafsiran dokumen-dokumen arkeologi seperti NagHammadi, Naskah Laut Mati dan lain-lain, Yesus dan ajaran tradisional agama Kristian yang dijelaskan dalam empat kitab Injil telah diragui oleh orang moden [20]. Ramai orang berpendapat bahawa teologi Gnostisisme atau Arianisme (Arianism) dalam agama Kristian merupakan mangsa perjuangan politik, bukan ajaran sesat.

 

  • Mistikisme agama Kristian

Selain persekitaran budaya luaran, mistikisme dalam agama Kristian telah muncul sangat awal. Sistem pertapaan (Asceticism) dan monastik (Monasticism) yang dikembangkan semasa zaman Empayar Rom berpendapat bahawa manusia mesti bertapa dan bersumpah untuk menjaga keperawanan mereka supaya dapat dibersihkan dan diselamatkan semasa penghakiman hari kiamat. Bagi ajaran sesat pada Zaman Pertengahan, terdapat Bogomilisme (Bogomilism) di Timur dan Katharisme (Cathars) di Barat. Bagi gereja-gereja pula, terdapat St. Francis of Assis (St. Bonaventure), Eckhart (Meister) dan lain-lain. Pciodella Mirandola yang dipengaruhi oleh Kabbalah agama Yahudi dalam zaman Renaissance, sampailah kepada Society of Jesus / Societas Iesu (S.J. / S.I.) dan Latihan Kerohanian (Spiritual Exercises) moden. Semuanya mengejar pengalaman misteri tentang berkomunikasi dengan Tuhan. Mistikisme dalam agama Kristian mencerminkan perkembangan di luar teori teologi. Melalui penyempurnaan rohani, pembacaan Alkitab dan meditasi, seseorang dapat membersihkan dirinya daripada pencemaran dunia, atau mencambuk diri sendiri, mengakui dosa-dosa sendiri dengan harapan dapat membersihkan diri dan bersatu dengan Tuhan dalam rohani. Pada zaman moden, Quaker, Gerakan Karismatik dan lain-lain mempunyai konsep yang serupa. Mereka membantah teologi tradisional dan membantah organisasi gereja tetapi memusatkan perhatian pada usaha mendapatkan karunia Tuhan dan fenomena-fenomena lain.

 

  • Alkimia

Bagi meneruskan tradisi falsafah Barat awal yang mengkaji “komposisi dunia”, ahli alkimia percaya bahawa jirim di dunia boleh menjadi satu jirim lain melalui proses tertentu. Di bawah pengaruh Gnostisisme, mereka berpendapat bahawa segalanya merupakan aliran keluar Tuhan tertinggi. Jadi segala sesuatu mempunyai sifat ketuhanan, roh jiwa, dan hidup di dalamnya. Ahli alkimia berpendapat bahawa logam atau jirim mengandungi hidup serta boleh tumbuh dan berubah dengan sendirinya. Oleh itu, roh jiwa yang tulen dapat dimurnikan daripada jirim setelah prosedur yang bersesuaian [21]. Pengetahuan mengenai alkimia diwariskan secara lisan daripada guru kepada murid. Semasa Zaman Pertengahan, mereka mengembara ke seluruh Eropah untuk mencari tempat dan bahan yang sesuai untuk memurnikan emas. Mereka mempunyai bahasa sosial rahsia dan upacara kemasukan sendiri. Pada Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), kombinasinya dengan pengetahuan sains menghasilkan “sains misteri” atau “pseudosains” seperti terapi magnet dan sebagainya, dan bahkan Newton sendiri juga sangat meminati bidang alkimia.

 

  • Zaman Pembaharuan (Renaissance) dan gerakan rahsia (secret society)

Sebagai hasil Perang Salib (Crusades) dan pertembungan antara Timur dengan Barat, orang-orang Eropah menerima kembali tradisi budaya yang hilang daripada tangan orang-orang Arab dan Yunani. Penerokaan idea-idea tradisional Yunani-Rom melahirkan Zaman Pembaharuan (Renaissance), dan pada masa yang sama juga membawa kembali tradisi Platonisme Baru (New Platonism) dan agama Hermes pada zaman Yunani-Rom. Akademi Platonik (Platonic Academy) ditubuhkan di Florence pada tahun 1450. Pada tahun 1471, Korpus Hermetikus (Corpus Hermeticum) Gnostisisme zaman Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Dewa-dewi, sihir-sihir dan lain-lain dari Mesir Kuno dan Timur Dekat (the Near East) juga telah diperkenalkan ke Barat. Di samping itu, keghairahan terhadap pengetahuan mistik klasik yang dibawa oleh Zaman Pembaharuan (Renaissance) menyebabkan banyak gerakan rahsia (secret society) ditubuhkan. Mereka mengaku memiliki pengetahuan mistik. Sebagai contoh, Freemason (Freemasonry), Rosicrucians, dan lain-lain lagi. Mereka mempunyai upacara kemasukan dan bahasa rahsia sendiri. Mereka menekankan tolong menolong dan persaudaraan dalam kumpulan. Mereka menyatakan bahawa mereka melindungi tradisi kuno, seperti keturunan Yesus, atau kubur Maria dan Yusuf, dan lain-lain lagi [22].

 

  • Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment)

Sejak penerbitan buku “Prinsip Matematik” (Philosophiae Naturalis Principia Mathematica) oleh Newton, kepercayaan dan keghairahan orang Eropah terhadap sains telah menjadi simbol Zaman Pencerahan. Permusuhan dan ketidakpercayaan terhadap kewibawaan Kristian tradisional telah memulakan tradisi kajian kritikal Alkitab (biblical criticism). Sebaliknya, kepercayaan terhadap sains menyebabkan banyak agama misteri dan kepercayaan rakyat asli muncul semula setelah melalui penjenamaan saintifik. Sebagai contoh, doktor Franz Mesmer berpendapat bahawa tubuh manusia menghasilkan medan magnet seperti bateri, dan daya graviti antara alam semesta akan mempengaruhi medan magnet batiniah seseorang, sama seperti gelombang dipengaruhi oleh graviti. Oleh itu, penyakit seseorang dapat disembuhkan dengan perubahan medan magnet. Doktrinnya kemudiannya turut mempengaruhi perkembangan hipnotisme. Di samping itu, ada orang yang berpendapat bahawa nasib seseorang dapat diramal berdasarkan ukuran jarak antara tengkorak. Setelah penemuan elektrik dan penemuan radio, rasa ingin tahu (atau kejahilan dan fantasi) terhadap kemampuan penyebaran jarak jauh radio menyebabkan banyak orang menggunakan kaedah radio untuk menjelaskan fenomena berkomunikasi dengan roh orang mati (mediumship) sehingga mengakibatkan penubuhan banyak komuniti yang berkomunikasi dengan roh orang mati (mediumship) saintifik di Eropah.

 

2. Pengejaran kebijaksanaan Timur

Selepas abad ke-19, trend Kajian Oriental telah berkembang di Barat kerana penaklukan imperialisme, pentafsiran bahasa-bahasa oriental dan terjemahan dokumen-dokumen tradisional. Pada masa yang sama, mereka juga mempunyai kerinduan terhadap Timur. Mereka berpendapat bahawa kebijaksanaan kuno Timur dapat menjelaskan kehidupan di Barat yang membosankan dan kurang rohani hasil daripada sains dan tamadun kebendaan.

I Ching (The Book of Changes) dan Zen (the chan sect / dhyana) China, Veda dan Upanishad India, tradisi Esoterisme (vajrayāna) Tibet, epik tulisan pepaku / baji (cuneiform) Timur Tengah, tulisan hieroglif (hieroglyphic) di piramid Mesir, klasik agama Majusi / Zoroastrianisme (Zarathustra) Iran, dan lain-lain, semuanya dapat menarik perhatian para sarjana dan orang-orang Barat. Dengan pembukaan Terusan Suez dan kemudahan perjalanan ke Timur, pelbagai nota pelancongan ke Timur atau buku-buku seperti “Lawrence in Arabia” diterbitkan secara berskala besar di Barat serta menghasilkan perjalanan ziarah. Ramai orang Barat pergi ke Timur, seperti Tibet atau India dengan tujuan mencari guru untuk menjalani kehidupan amalan dan rohani.

Kebanyakan agama atau karya Timur mempunyai tradisi “keharmonian antara manusia dengan Tuhan”. Sebagai contoh, konsep-konsep seperti Konfusianisme, Taoisme, Yin-Yang dan Lima Elemen, Qigong atau Tai Chi China dan falsafah Vedānta India berpendapat bahawa manusia dapat mencapai tahap diri sendiri menjadi satu dengan Brahma (Atman dengan Brahman) melalui pemerolehan pengetahuan mistik dan amalan yoga. Konsep monistik ini berbeza dengan konsep dual tradisional Barat mengenai suci dan sekular. Helgel mula-mula memperkenalkan falsafah India di Barat [23] manakala Arthur Schopenhauer diilhamkan oleh Upanishad dan menulis “Die Welt als Wille und Vorstellung”. Ralph Waldo Emerson dari Amerika mengundang guru-guru India untuk memberikan kuliah di rumahnya secara berkala. Setiausahanya, Henry David Thoreau telah menulis sebuah artikel “Walden ou la Vie dans es bois” yang mempromosikan hubungan antara manusia dengan alam yang hidup bersama secara harmoni dan membantah idea-idea pemerintah yang mengganggu kehidupan masyarakat.  Karya ini menjadi salah satu bacaan kegemaran hippie pada tahun 1960-an.

 

3. Daripada sains kepada Teosofi

Pada tahun 1875, pakar psikologi Rusia, Madame Blavatsky, Colonel Olcott dan yang lain menubuhkan Theosophical Society di New York [24]. Tujuannya adalah untuk “mengumpulkan dan menyebarkan pengetahuan mengenai hukum-hukum yang mengatur alam semesta” [25]. Oleh itu, selain memperkenalkan pemikiran agama India, komuniti ini juga secara aktif meneroka tradisi Esoterisme (vajrayāna) India, mempromosikan amalan Timur, pengalaman mistik, kemampuan berkomunikasi dengan roh orang mati (mediumship), dan lain-lain. Orang-orang Barat seperti penyair Willaim Butler Yeats, novelis Aldous Leonard Huxley, pengembara terkenal Alexandra David-Neel dan lain-lain, semuanya dipengaruhi oleh komuniti ini. Pada tahun 1877, ibu pejabat komuniti ini berpindah ke Madras, India. Di India, Annie Besant, pengganti Blavasky, menemukan Jiddu Krishnamurti dan melatihnya untuk menjadi “Mesias” dunia baharu [26].

Selain proklamasi Theosophical Society, teori psikoanalitik (Analytical Psychology) Sigmund Freud memberikan satu asas psikologi dan sains kepada kajian kemampuan psikoterapi untuk pengembangan potensi dan lain-lain dalam Gerakan Zaman Baru. Carl Jung mengemukakan konsep kerohanian diri yang membuatkan kebanyakan orang menyedari bahawa ada diri sendiri (self) yang mewakili keseluruhan manusia selain ego [27]. Dengan dipengaruhi oleh Upanishad, diri sendiri (self) juga merujuk kepada sifat semula jadi muktamad alam semesta. Jadi konsep-konsep Timur seperti astrologi, Qigong dan lain-lain dapat disatukan dengan psikologi Barat. Kajian astrologi itu sendiri ialah kajian tentang sifat seseorang.

Di samping psikoterapi, Gurdjieff, seorang Yunani yang tinggal di Armenia, dipengaruhi oleh pengalaman dan amalan kesufian / tasawuf Islam (Sufism). Dia berpendapat bahawa struktur manusia adalah sebuah mesin dan manusia ialah roh jiwa yang dipenjarakan di dalam mesin ini. Oleh itu, kita harus secara proaktif melihat perkara-perkara lain di dunia ini melalui kesedaran diri (self-awareness) yang melihat setiap tindakan sendiri dan diri yang tidak bergerak di belakangnya. Manusia bukannya melakukan sesuatu sebagai reaksi yang dirangsang atau membiarkan tubuh menuruti keinginannya sendiri. Dalam konsep Gurdjieff, seseorang harus membina dunianya sendiri dan mengubah keadaan fikirannya, bukannya menjadi orang yang marah atau sedih kerana persekitarannya dirangsang (Sebagai contoh,: saya boleh memutuskan sama ada saya harus marah).

Selain pengenalan para sarjana Barat, pemerintahan imperialisme Barat membolehkan orang-orang Timur yang pergi ke Barat untuk mencari nafkah atau direkrut untuk bekerja sebagai hamba di Barat mempunyai banyak peluang untuk menyebarkan kepercayaan agama mereka kepada orang-orang Barat. Vivekānanda dari India menyampaikan sebuah pidato di Chicago pada tahun 1893. Dia mempromosikan konsep agama yang menjadi satu dan idea dialog agama. Dia berpendapat bahawa sifat semula jadi agama adalah menjadi satu, tetapi bentuk persembahannya berbeza. Prabhupada, guru Persatuan Kesedaran Krishna Antarabangsa (ISKCON, International Society for Krishna Consciousness), atau Krishnamurti yang sengaja dipupuk oleh Theosophical Society dengan menerima pendidikan di Barat dan lain-lain merupakan tokoh-tokoh terkenal di Barat.

 

4. Zaman Aquarius

Tahun 1960-an juga dikenali sebagai Zaman Aquarius [28]. Masa ini juga merupakan masa kegemilangan trend hippies, penentangan terhadap penglibatan dalam Perang Vietnam, autonomi seksual (sexual autonomy), dan trend-trend lain di Amerika Syarikat. Ketika Amerika Syarikat menjadi hegemon dunia selepas perang, pembangunan semula “zaman keemasan” dan pertumbuhan ekonomi adalah penuh dengan usaha terhadap material dan mengabaikan kehidupan rohani manusia. Tambahan pula, permusuhan terhadap kewibawaan tradisional sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment) dan ketidakpuasan baby boom pasca perang terhadap politik, Perang Dingin, struktur organisasi yang kaku dan moral sosial telah menyebabkan gerakan pemberontakan bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi juga di seluruh dunia. Antara gerakan-gerakan pemberontakan ini termasuk gerakan penentangan terhadap penglibatan dalam Perang Vietnam, pergerakan anti-nuklear, Gerakan Hak-Hak Sipil Afrika-Amerika (African-American Civil Rights Movement), pemuliharaan ekosistem, gerakan protes 1968 di Paris, Peristiwa Musim Bunga Praha (The Prague Spring), Perjuangan Anpo (The Protest Anpo) di Jepun, dan Revolusi Kebudayaan (Cultural Revolution) di China. Semuanya berlaku dalam zaman ini.

Mengejar kehidupan rohani diri telah menjadi matlamat Gerakan Zaman Baru pada tahun 1960-an dan seterusnya. Ketidakpuasan terhadap organisasi keagamaan dengan pendapat bahawa agama ialah struktur yang kaku, dan ritual ibadah yang rutin dan kaku menyebabkan seseorang harus mengejar kehidupan rohani diri, bukan hanya kehidupan beragama. Di bawah promosi bintang filem dan penyanyi rock seperti The Beatles, agama Timur yang menekankan amalan diri, seperti yoga agama Hindu, meditasi agama Buddha dan lain-lain, atau konsep keagamaan Buddhisme Zen yang mengejar dekonstruksionisme (deconstructionism) menjadi kesukaan. Banyak orang beralih kepada kepercayaan Timur pada masa itu. Di samping itu, pengiktirafan pluralisme menyebabkan kepercayaan-kepercayaan baharu ini sering menggabungkan tradisi banyak agama. Sebagai contoh, orang Celt di Eropah, orang Numenoreans di Eropah Utara, bomoh / dukun (shamanisme) di Asia Tengah., Buddhisme Tibet, I Ching di China, Yoga di India, dan lain-lain lagi. Semua yang dapat membantu kerohanian peribadi berada dalam senarai amalan. Banyak orang tinggal di padang belantara, melakukan ritual Druid, bermeditasi, mengambil dadah halusinogen, bermain muzik rock, membaca I Ching dan Veda, atau berkumpul di hadapan The Pentagon untuk menyanyikan mandala [29] dan berusaha membuat The Pentagon terapung [30].

Gerakan-gerakan pada tahun 1960-an tidak hanya membawa kepada trend agama-agama Timur atau kehidupan rohani peribadi, tetapi juga membolehkan orang Barat melihat kembali dan meneroka kembali tradisi agama asing yang telah dilupakan. Druid dalam agama Celtic dianggap sebagai imam yang menjaga keharmonian antara alam semula jadi dengan manusia dan merupakan pemilik kebijaksanaan alam semula jadi. Pemilik Findhorn Foundation mendengar suara tanaman dan membina ladang pertanian organik. Dia mempromosikan kasih ialah unsur terpenting bagi pertumbuhan tanaman. Glastonbury dianggap sebagai kota tempat perkumpulan Druid dari Celtic kuno. Selain legenda raja Arthur, Holy Grail dan Avalon, Glastonbury masih merupakan “tempat suci” yang penting bagi Gerakan Zaman Baru hingga sekarang. Dalam abad baharu, tempat ini mempunyai banyak kedai yang menjual buku, perhiasan, kristal, dan manik-manik atau Thangka Buddha. Festival muzik rock juga diadakan setiap tahun. Selain itu, perempuan sihir yang dianggap bernasib tidak baik dan membawa bencana pada abad pertengahan juga dinilai semula. Walaupun banyak komuniti perempuan sihir [31] muncul pada tahun 1940-an, namun komuniti perempuan sihir menjadi tempat bagi banyak perempuan feminis yang mencari pengiktirafan identiti pada tahun 1960-an. Mereka mencari keharmonian antara manusia dengan alam semesta melalui pelbagai sihir agama asing kuno (atau yang diciptakan sendiri).

 

5. Pembentukan Gerakan Zaman Baru

Walaupun tradisi kerohanian dan rasa ingin tahu terhadap mistikisme Barat selalu ada, namun secara umumnya akhir tahun 1960-an dianggap sebagai permulaan bagi Gerakan Zaman Baru. Penulis terkenal Gerakan Zaman Baru, Alice Bailey, Edgar Cayce dan lain-lain mencadangkan visi “Zaman Baru” (New Age) dalam buku mereka. Mereka berpendapat bahawa kita akan memasuki satu zaman baharu, dan pengikut mereka berpendapat bahawa gerakan pembebasan (liberation movement) yang bermula pada tahun 1960-an ialah permulaan zaman baharu ini (ada orang yang berpendapat bahawa masanya adalah pada abad ke-21, sementara zaman sebelumnya ialah tahap persiapan). Dalam Zaman Baru, interaksi antara manusia, sistem sosial, mekanisme pendidikan, dan hubungan antara manusia dengan alam semula jadi dikaji semula. Mereka berusaha ke arah persekitaran sosial yang lebih berperikemanusiaan, autonomi yang saling menghormati, dan kehidupan psikologi manusia yang lebih rohani.

Gerakan Zaman Baru tidak mewakili satu gerakan yang sangat anti-tradisi dan kontra-kebudayaan (counterculture), tetapi merupakan permintaan terhadap kualiti hidup manusia yang lebih baik. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment) yang mementingkan intelektualisme (intellectualism), sistem pendidikan yang perlembagaan dan fungsian telah membatasi kemampuan pertimbangan manusia. Nilai sosial yang mengejar wang dan kekayaan telah melesukan kehidupan manusia. Walaupun kewibawaan masa lalu telah membentuk satu persekitaran sosial yang stabil, namun kewibawaan juga menekan kreativiti semua orang. Meninggalkan nilai dan kewibawaan lama ini serta merangsang daya cipta setiap orang merupakan cara penyelesaian dilema semasa.

“Ajaran sesat biasanya timbul pada saat genting, tetapi pandangan yang kuat dan bernas ini menjelaskan semua percanggahan. Ajaran sesat ini mencetuskan satu prinsip baharu dan satu prospek baharu. Krisis membolehkan penghasilan satu teori yang lebih komprehensif. Jadi krisis itu bersifat ilham, bukan merosakkan” ~~ The Aquarian Conspiracy [32]

 

6. Daripada meninggalkan dunia kepada bergabung dengan dunia

Gerakan hippie pada tahun 1960-an hanya berlangsung selama satu dekad yang singkat. The Beatles dibubarkan pada tahun 1970, banyak penyanyi rock mati satu persatu pada awal tahun 70-an [33] dan para pelajar yang hidup mengembara kembali ke kampus. Seluruh gerakan hippie nampaknya berhenti. Walau bagaimanapun, hippies yang kembali ke kampus dan tempat kerja juga membawa satu gelombang pembaharuan yang lain. Gerakan Zaman Baru yang pada awalnya lahir sebagai ajaran sesat juga mula mencari jalan masuk ke dunia.

Oleh sebab ketidakpercayaan terhadap struktur dan kewibawaan hierarki, gerakan ini menekankan bahawa setiap orang harus menyerlahkan bakat sendiri dan mendengar gerak hati sendiri. Maka teori realisasi diri yang dikemukakan oleh Abraham Maslow [34] menjadi asas Gerakan Zaman Baru dan perkembangan konsepnya pada masa kemudian. Bidang pendidikan, pengurusan, dan psikologi menyarankan agar membenarkan pekerja atau pelajar untuk berkembang dengan bebas dan menyerlahkan kepakaran mereka yang terbaik. Sekolah rendah hutan (Forest Elementary School) moden, pengurusan inovatif (management innovation), pluralisme dan istilah-istilah lain semuanya berasal daripada konsep Gerakan Zaman Baru.

Dalam Gerakan Zaman Baru, banyak kumpulan yang pada asalnya menekankan pembangunan rohani peribadi juga telah berubah. Sebuah ladang di Findhorn telah menjadi syarikat besar yang menyediakan kursus perundingan dan latihan profesional yang mahal. EST (Erhard Seminar Training), pengembangan potensi, Gereja Scientology (Church of Scientology), Meditasi Transcendental (Transcendental Meditation), dan lain-lain semuanya menyediakan kursus untuk melatih pekerja syarikat agar “bekerja untuk diri sendiri” di tempat kerja. Syarikat-syarikat besar seperti IBM juga bersedia membelanjakan wang untuk menyediakan kelab kerohanian dan kursus untuk pekerja selepas waktu bekerja.

 

C. ARAH PERKEMBANGAN

1. Pendidikan

Gerakan Zaman Baru mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap reformasi sistem pendidikan. Osho menyebut kaedah pendidikan tradisional sebagai “latihan yang merosakkan psikologi”. Walaupun kebanyakan aktivis Gerakan Zaman Baru masih menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah biasa, namun sebilangan aktivis Gerakan Zaman Baru yang bergabung dengan dunia masih meletakkan cita-cita dalam aspek pendidikan. Gerakan Zaman Baru mengamalkan sikap terbuka terhadap usaha kehidupan rohani, tidak mengikuti kewibawaan tertentu (bahkan mentor sendiri), pengejar boleh memilih guru, cara latihan, penyertaan dan pelajaran yang disukai. Oleh itu, dari segi pendidikan, filosofi pendidikan sekolah rendah hutan (Forest Elementary School), sekolah humanistik (Humatistic Education) dan lain-lain yang terkenal mempromosikan pelaksanaan pendidikan terbuka yang membenarkan pelajar mempelajari topik yang diminati dengan cara mereka sendiri. Tanggungjawab guru hanyalah memberikan nasihat dan cadangan, bukannya menyampaikan pengetahuan. Hasil pembelajaran terbaik dapat dicapai melalui pengurusan diri dan kesediaan belajar pelajar.

 

2. Perlindungan alam sekitar

Selain tindakan praktikal untuk melindungi alam sekitar, beberapa aktivis Gerakan Zaman Baru yang membantah tamadun moden akan mengadakan ritual “penyembuhan bumi” dalam agama asing [35], dengan harapan bumi dan alam semula jadi akan memperoleh daya, mengekalkan operasinya dan menentang kerosakan yang disebabkan oleh industri manusia melalui ritual ini. Di samping itu, Findhorn Foundation juga meminta para peserta untuk “mendengar” suara alam semula jadi dengan teliti. Kumpulan-kumpulan ini percaya bahawa alam semula jadi mempunyai sifat kerohanian seperti manusia. Asalkan seseorang itu menenangkan hatinya dan menghilangkan gangguan dari dunia, dia dapat mendengar suara alam semula jadi, berbicara dengan alam semula jadi, mencapai keharmonian dengan alam semula jadi, atau bahkan saling menyembuhkan.

Dalam organisasi Gerakan Zaman Baru yang kurang ekstrem, seperti The Friends of the Western Buddhist Order dan lain-lain, mereka berpendapat bahawa perlindungan alam sekitar yang sebenar bermula dengan psikologi individu. Seseorang hanya akan menghormati orang lain dan menghormati makhluk dunia semula jadi dalam tindakannya apabila mentalnya bersih dan kemudian mencapai perlindungan alam sekitar yang sebenar. Beberapa kumpulan Buddha di Taiwan mempunyai idea yang serupa mengenai konsep perlindungan alam sekitar.

 

3. Komuniti autonomi

Gerakan Zaman Baru percaya bahawa manusia dapat mendengar suara dan gerak hati diri sendiri (self) sehingga mencapai moral diri dan keperluan diri dengan menghilangkan gangguan ego diri tanpa dikawal oleh kewibawaan dan struktur organisasi. Oleh itu, sebuah komuniti yang baik didasarkan pada kenyataan bahawa semua peserta dapat mengawal diri sendiri dan hidup bersama ke arah keharmonian muktamad tanpa memerlukan institusi pemerintahan. Berdasarkan konsep ini, BCCI (Bank of Credit and Commerce International) yang terkenal berusaha untuk menubuhkan sebuah bank yang mematuhi undang-undang Islam dan beroperasi berdasarkan kepercayaan pemercaya kepada Allah. Walaupun idea dan optimisme tentang sifat manusia pada asalnya baik ini nampaknya sangat baik, BCCI tetap bankrap dan ditutup pada akhirnya. (Dari perspektif lain, banyak orang dalam Gerakan Zaman Baru berpendapat bahawa bank tersebut gagal kerana mereka leka dan merosot dalam aspek menjaga diri sendiri dan moral diri.)

 

4. Penyembuhan rohani

Oleh sebab roh jiwa setiap manusia ialah milik seluruh dunia, dan dunia seseorang berasal daripada pengetahuannya tentang dirinya sendiri, maka setiap orang mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan dirinya sendiri (ketika saya tidak lagi menganggap diri saya sakit, saya benar-benar bebas daripada penyakit). Jadi, rawatan yang sebenar adalah untuk menyingkirkan keinginan dan gangguan ego diri serta menemukan diri sendiri (self) batiniah yang sebenarnya. Dengan penyesuaian yang harmoni dengan alam semula jadi melalui hipnosis, Qigong, meditasi, yoga, astrologi, dan lain-lain, atau aktiviti-aktiviti lain yang “meningkatkan daya positif tubuh manusia”, penyakit dapat dielakkan dan disembuhkan secara semula jadi.

Di samping, banyak kumpulan penyembuhan rohani seperti gereja Scientology dan lain-lain menyediakan jagaan untuk banyak pesakit hospis atau pesakit barah tahap akhir. Mereka juga melakukan pembinaan psikologi terhadap tahanan penjara atau anggota pusat pemulihan rokok dan dadah. Pada masa ini, keberkesanan menyembuhkan penyakit tidak lagi dititikberatkan. Sebaliknya, fokus mereka adalah untuk memperbaiki mood pesakit supaya dia dapat menghadapi kenyataan kematiannya, melihat dirinya dari perspektif reinkarnasi atau roh jiwa, dan mencapai tujuan “kematian yang baik” atau mengubah nilai-nilai hidup seseorang melalui penyesuaian emosi dan pemahaman / kesedaran. Maka, penyembuhan rohani telah menjadi kaunseling psikologi yang mengandungi unsur-unsur agama.

 

5. Kuasa luar biasa dan pengembangan potensi

Pengembangan potensi dan penyembuhan rohani mempunyai idea yang sangat serupa, iaitu, “potensi manusia tiada batasannya”. Namun, penyembuhan rohani adalah untuk menyembuhkan penyakit dan mengubah sikap mental. Pengembangan potensi cenderung ke arah dunia, kurang unsur agama, mempunyai lebih banyak teori akademik serta lebih mudah diterima dan diterima pakai oleh orang biasa. Secara umumnya, penyertaan dalam kursus atau kumpulan “saintifik” sedemikian memerlukan bayaran dan sering kalinya mahal.

Aktiviti-aktiviti pengembangan potensi yang biasa kelihatan ialah kursus-kursus seperti melatih otak kanan manusia, meningkatkan keyakinan diri manusia dan sebagainya. Dengan menggunakan banyak kajian saintifik, peserta akan diberitahu bahawa manusia hanya menggunakan 3% daripada otak mereka dalam hidup mereka. Jadi, mereka mempunyai kemungkinan yang tidak terbatas. Mereka juga diberitahu bahawa manusia biasanya menggunakan otak kiri untuk membuat pertimbangan rasional. Jadi, mereka harus melakukan aktiviti-aktiviti untuk merangsang otak kanan mereka, menjana pemikiran inovatif, melatih gerak hati sendiri tentang sesuatu perkara dan sebagainya. Dari segi membina keyakinan diri, mereka memuji diri sendiri di hadapan cermin atau bangun pagi dan mengggunakan ayat “Saya adalah yang terbaik” untuk menghipnotis fikiran bawah sedar sendiri. Keyakinan diri di bawah fikiran bawah sedar akan meningkatkan daya tahan tekanan di tempat kerja untuk mencapai hasil kerja yang lebih baik. Kebanyakan syarikat pengembangan potensi atau syarikat perunding menyediakan kursus dan kuliah yang serupa.

Terdapat juga organisasi yang serupa dengan pengembangan potensi yang melatih para peserta untuk meningkatkan hasil kemampuan sendiri dengan menggunakan kaedah tertentu. Sebagai contoh, Soka Gakkai berpendapat bahawa berkat kehidupan kini dapat dicapai melalui nyanyian berterusan “Namu Myōhō Renge Kyō”, manakala pengamal Meditasi Transcendental (Transcendental Meditation) berpendapat bahawa meditasi akan memancarkan sejenis daya. Sekiranya satu peratus daripada populasi sebuah bandar bermeditasi setiap hari, kadar jenayah di bandar tersebut akan berkurangan, dan jika satu peratus daripada populasi dunia bermeditasi, dunia akan aman damai.

 

6. Etika kerja dan kebajikan di dunia

Aktivis Gerakan Zaman Baru yang bergabung dengan dunia menekankan bahawa sikap manusia ketika melakukan sesuatu tidak seharusnya dipengaruhi oleh hasilnya. Eugen Herrigen menyedari bahawa tujuan kerja ada pada kerja itu sendiri semasa beliau belajar memanah di Jepun. Tujuan memanah bukanlah untuk memanah sasaran (target face), tetapi ada pada pemanah itu sendiri. Dialah sasaran (target face) dan juga busur (bow). Memanah ialah tugas pemanah. Apabila dia menumpukan perhatian pada dirinya sendiri, tidak mempunyai obsesi terhadap ketepatan sasaran memanah dan pergerakan memanah, dia benar-benar dapat melakukan kerja memanah dengan baik. Seni sebenar dalam kerja tidak mempunyai tujuan, dan tujuan yang sebenarnya ialah pekerja itu sendiri bekerja [36].

Organisasi Gerakan Zaman Baru seperti The Friends of the Western Buddhist membawa kaedah amalan Zen atau Buddha ke dalam kursus latihan pekerja di syarikat am untuk mendorong dan melatih pekerja supaya mencari keseronokan sendiri di tempat kerja, bukannya semata-mata fokus pada keberkesanan kerja. Syarikat umunya berpendapat bahawa pekerja dapat meningkatkan kemampuan tindak balas dan produktiviti mereka jika mereka dapat mengekalkan mood yang baik semasa bekerja dan tidak dipengaruhi oleh keadaan semasa. Oleh itu, kursus-kursus latihan yang dianjurkan oleh EST dan organisasi-organisasi lain mempromosikan “Lakukan saja tanpa mengambil kira tentang persekitarannya” [37].

Dari segi strategi pengurusan syarikat, banyak teori pengurusan moden yang cukup popular adalah dipengaruhi oleh idea Gerakan Zaman Baru (boleh dikatakan sebagai kecenderungan seluruh masyarakat). Mengamalkan pengurusan manusia (human-based management), merangsang kreativiti pekerja untuk mencapai pengurusan yang inovatif, membantu pekerja melakukan perancangan kerjaya dan kaunseling psikologi sebagai tambahan kepada gaji, memberikan peluang belajar di tempat kerja kepada pekerja, menubuhkan organisasi organik, menyesuaikan struktur organisasi pada bila-bila masa, menyesuaikan diri dengan cabaran yang baharu, cara pengetahuan syarikat didokumentasikan dan disistemkan agar dapat diwariskan kepada pengganti, mencapai pembelajaran organisasi dan sebagainya. Teori-teori ini semuanya menunjukkan satu konsep yang mencabar organisasi birokrasi tradisional dan menghormati autonomi manusia.

Dari aspek peribadi, ada juga aktivis Gerakan Zaman Baru yang menjalani kehidupan dunia yang sepenuhnya. Memandangkan Gerakan Zaman Baru berpendapat bahawa kehidupan sebenar seseorang terletak pada “kelengkapan” mental dan jasad, maka tingkah laku menjana wang dan kekayaan dalam kehidupan harian juga merupakan sebahagian daripada kehidupan. Jika hanya mengejar kecukupan dari segi rohani tetapi melupakan keperluan hidup sendiri, maka kehidupan orang ini tidak lengkap. Hidupnya hanya lengkap hanya jika dia mendapat kepuasan dalam kehidupan sekarang dan kehidupan rohani. Dalam hal ini, buku-buku seperti “Money is My Friend” oleh Phil Laut, “Creating Money” oleh Sanaya Roman dan Duane Packer dan lain-lain bukannya mempromosikan strategi pelaburan atau saluran menjana wang, tetapi memberitahu pembaca tentang cara mengubah pemikiran mereka dan berseronok dalam pekerjaan, bukannya menganggap menjana wang sebagai kejahatan, tetapi sebagai sejenis rekreasi. Memandangkan Tuhan ada di setiap tempat, maka manusia tidak perlu meninggalkan kehidupan sebenar untuk mengejar kerohanian. Selagi anda dapat berpegang pada sikap yang betul, menjana wang adalah sejenis matlamat kehidupan mental. Jika seseorang dapat memperoleh kegembiraan dalam kehidupan duniawi ini, hidupnya bersifat rohani. Sebagai contoh, Osho juga berpendapat bahawa “orang kaya saja yang mempunyai kehidupan rohani”.

 

D. PENGARUH DAN FENOMENA YANG BERKAITAN

1. Muzik

Lagu “The Age of Aquarius” yang dikeluarkan oleh The 5th Dimension pada tahun 1962 telah mengumumkan kedatangan seluruh Zaman Aquarius [38]. Jone Baez menyanyikan “We Shall Overcome” semasa gerakan pelajar University of California, Berkeley pada tahun 1964, festival muzik Woodstock diadakan selama tiga hari tiga malam pada tahun 1969, Jimi Hendrix memainkan lagu kebangsaan Amerika Syarikat dengan gitar elektrik, atau lagu-lagu anti-perang Bob Dylon, semuanya berlaku pada tahun 1960-an. Semangat mereka sama dengan Gerakan Zaman Baru. Namun secara umumnya, muzik yang dianggap sebagai “muzik Zaman Baru” [39] bukanlah muzik gaya rock ini. Kebanyakan muzik Zaman Baru moden telah diproses dengan kesan khas synthesizer. Pemuzik-pemuzik terkenal seperti Enya atau Medwyn dan lain-lain sering mempunyai gaya muzik yang lebih tenang dan monoton.

Muzik Zaman Baru awal berasal daripada idea-idea Paul Winter dan kumpulan-kumpulan muzik lain pada tahun 1970-an. Paul Winter dipengaruhi oleh gaya muzik Amerika Latin. Selepas tahun 1967, dia meninggalkan instrumen jazz yang asal lalu mengadopsi banyak instrumen dan gaya muzik negara-negara lain dalam kumpulan muziknya, seperti sitar dari India dan sebagainya. Kemudian, beberapa ahli kumpulan Paul Winter keluar untuk membentuk kumpulan Oregon. Kumpulan-kumpulan ini secara aktif memperkenalkan gaya instrumen dan gaya muzik yang berbeza. Selepas itu, “Tubular Bells” oleh Mike Oldfield dianggap sebagai album pertama muzik Zaman Baru. Paul Winter kemudiannya mempengaruhi perkembangan “muzik ambien” (Ambient Music). Gabungan rakaman suara alam semula jadi atau rakaman humanistik dengan muzik menyatakan minat penulis terhadap alam semula jadi dan mempromosikan konsep perlindungan alam sekitar (seperti Matthew Carl Lien). Di samping itu, penggunaan instrumen seperti hap, alat muzik Eropah Utara, atau gaya muzik seperti Celtic (Celtic music), bagpipe (great highland bagpipe) Scotland, dan lain-lain juga disukai oleh muzik Zaman Baru.

Secara keseluruhannya, konsep muzik Zaman Baru dan Gerakan Zaman Baru adalah sama. Sebagai contoh, mengejar perlindungan alam sekitar, mengembalikan tamadun kuno, dan lain-lain lagi. Pada zaman moden ini, kepopularan muzik elektronik menyebabkan muzik Zaman Baru cenderung untuk memberikan kesan seperti membuatkan orang berasa relaks, menstabilkan emosi atau menolong tidur dan sebagainya. Muzik Zaman Baru juga sering digunakan sebagai bahan latihan oleh kumpulan pengembangan potensi, dan penggunaan bahan muzik yang pelbagai telah menjadi ciri muzik Zaman Baru. Beberapa muzik Zaman Baru malah ditambahkan dengan nyanyian mandala India.

 

2. Filem, sastera fantasi

Mungkin tidak ada istilah nyata “filem Zaman Baru”, tetapi penerapan konsep agama dan budaya yang pelbagai dalam filem moden adalah jelas bagi semua orang. Dalam “Star Wars” yang dilancarkan pada tahun 1977, Jedi berjuang dengan memegang lightsaber yang serupa dengan pedang samurai di ruang angkasa, menggerakkan objek dengan kekuatan (force) yang serupa dengan Qigong China, mendengar hati manusia, meramalkan masa depan, dan menggambarkan sisi gelap kekuatan (force). Semua ini mengandungi banyak unsur oriental / Timur. “The Matrix” yang dilancarkan pada tahun 1999 menyebut bahawa manusia boleh tersedar daripada dikelirukan oleh komputer dan akhirnya mengatasi dunia batasan material. Kemudian, novel dan filem “Harry Potter” mencipta trend global. Di samping itu, novel JK Rowling telah mewarisi gaya sastera fantasi [40]. Dari perspektif lain, kita juga dapat melihat daya tarikan watak-watak dengan gaya-gaya agama asing seperti ahli sihir dan lain-lain setelah diberikan wajah baharu / dijenamakan semula.

 

3. Tamadun kuno, UFO, kristal, astrologi

Minat terhadap tamadun kuno lain atau adat istiadat agama asing telah menyebabkan banyak orang berminat untuk mengkaji rahsia tamadun kuno. Mengapa Mesir dapat membina piramid? Untuk siapakah lukisan besar Garizan Nazca (Nazca Lines) di atas tanah di Amerika Selatan dilukiskan? Di samping itu, perkembangan sains kosmik telah menyebabkan manusia mempunyai idea-idea yang tidak terhingga tentang kewujudan alam semesta. Kemunculan UFO mewakili kewujudan satu kaum yang lebih pintar, kemunculan filem dan sastera fiksyen sains angkasa, atau beranggapan bahawa UFO datang untuk mengajarkan kebijaksanaan kepada manusia, percaya bahawa Tuhan itu makhluk asing, atau bergabung dengan gerakan milenium (millenarianism), mengharapkan UFO membawa hari kiamat dan menyelamatkan pemercaya, dan sebagainya.

Tambahan pula, banyak peninggalan keagamaan juga telah ditambahkan dengan penjelasan saintifik baharu. Sebagai contoh, mengkaji hubungan antara kristal dengan daya dan medan magnet peribadi, atau memberikan makna graviti kepada astrologi, dan berpendapat bahawa medan magnet dan graviti bintang-bintang akan mempengaruhi keadaan kelahiran seseorang. Semua ini adalah demi merasionalisasi astrologi dan memberikan asas saintifik kepada astrologi. Contoh-contoh lain yang serupa ialah reinkarnasi, hipnosis, Astrologi Bintang Ungu (Purple Star Astrology), tilik nasib dan lain-lain lagi.

 

E. ORGANISASI-ORGANISASI DAN TOKOH-TOKOH YANG BIASA KELIHATAN

1. Seth

Seth ialah “keperibadian intipati daya” (energy essence personality) yang dituturkan oleh penulis Jane Roberts dan direkodkan oleh suaminya. Pemikiran sistem Seth berpendapat bahawa dunia yang disentuh oleh setiap orang ialah dunia subjektif yang diciptakan oleh daya jiwanya. Oleh itu, fenomena seperti penyakit dan lain-lain ialah hasil pengeluaran manusia sendiri. Masa juga merupakan suatu ilusi. Semua masa lalu, masa kini dan masa depan berlaku dalam sekelip mata. Oleh itu, manusia harus melihat menembusi semua ilusi ini dan menggunakan daya sendiri untuk “mencipta kenyataan sendiri”.

 

2. Perbualan dengan Tuhan (Conversations with God)

Neal Donald Walsch, pengarang “Conversations with God series” menuliskan kata-kata Tuhan dengan pen di bawah bimbingan Tuhan ketika dia berada dalam keletihan hidup. Kemudian, dia berbual dengan Tuhan dengan menggunakan pen. Dalam idea siri ini, seluruh alam semesta dipenuhi dengan kewujudan Tuhan. Demi mengalami diri sendiri, Tuhan menghasilkan dunia material yang kita alami dan umat manusia melalui pembezaan diri-Nya sendiri. Manusia ialah pembezaan Tuhan sendiri dan alam semula jadi manusia ialah Tuhan. Maka, manusia harus memutuskan maksud suci dalam kehidupan sendiri. Pengalaman manusia tentang kesucian bermaksud bahawa Tuhan telah mengalami kesucian-Nya sendiri. Oleh itu, sesuatu yang dianggap suci oleh manusia adalah suci. Semua sistem dan moral wujud kerana pembatasan manusia terhadap diri sendiri.

“Sebagai contoh, manusia menganggap wang sebagai hasil kotor, iaitu kerjaya yang dipandang mulia oleh semua orang sering mendapat ganjaran yang sangat rendah. Oleh itu, gaji guru anda sedikit, manakala pendapatan penari bogel anda sangat lumayan.” ~ ~ “Conversations with God series” [41].

 

3. Osho

Nama asal Osho ialah Bhagwan Shri Rajneesh. Ibu bapanya merupakan pemercaya agama Jainisme. Dia mengaku telah memperoleh kesedaran rohani pada tahun 1953 dan pergi ke Amerika Syarikat pada tahun 1981. Namun, dia terpaksa meninggalkan tempat tersebut kerana berkonflik dengan orang tempatan. Sebilangan besar teorinya tidak sesuai dengan konsep moral arus utama. Sebagai contoh, dia berpendapat bahawa seks dapat meningkatkan kerohanian seseorang melalui tantric yoga dan wang dapat membantu amalan seseorang. Dia membantah sistem perkahwinan dan menyokong kehidupan kelompok komunis. Dia juga membantah pemilikan. Selain itu, dia juga mempromosikan satu teknik meditasi yang membolehkan seseorang mencapai keadaan “tiada minda” dalam proses latihan (tidak semestinya meditasi).

 

4. Krishnamurti

Ibunya seorang yang dapat berkomunikasi dengan roh orang mati (mediumship). Krishnamurti dipupuk oleh Theosophical Society untuk menjadi Mesias moden. Setelah kematian adiknya, dia berubah dan dianggap sebagai penjelmaan yang berjaya. Pada tahun 1929, dia membubarkan The Order of the Star dan menekankan keperibadian agama. Krishnamurti sangat mementingkan perihal idea-idea dalam pemikiran manusia dapat berkembang dengan bebas tanpa dibatasi oleh kewibawaan atau ketetapan awal, dapat berfikir secara bebas dan menyedari hal-hal di sekeliling. Dia menekankan perihal tidak boleh ada “diskriminasi”, tidak boleh ada ketetapan awal, dan dapat melihat realiti sesuatu perkara. Tidak kira perbuatan mengubah sistem politik atau percubaan untuk mengubah keadaan semasa, masalah akan selalu ada jika seseorang tidak terlebih dahulu mengubah pemikiran sendiri dan sikapnya melihat sesuatu. Sekiranya pemikiran berubah, maka masalah dapat diselesaikan walaupun sistem semasa tidak berubah.

 

5. Findhorn Foundation

Findhorn Foundation merupakan sebidang tanah pertanian tandus di United Kingdom. Tanah ini diusahakan oleh seorang veteran, Peter Caddy dengan keluarganya serta rakannya, Dorothy Maclean pada tahun 1962. Mereka mengaku diilhami oleh dewa tumbuh-tumbuhan [42] untuk bercucuk tanam dengan “kasih”. Mereka mesti mendengar suara tanaman semasa menyediakan tanah, menyemai, membaja, dan menyiram. Hasil pertanian mereka jauh lebih banyak daripada jiran mereka. Oleh itu, banyak orang tertarik untuk datang dan membentuk sebuah komuniti autonomi. Kebelakangan ini, Findhorn Foundation telah berubah menjadi sebuah syarikat profesional yang menyediakan kursus dan perundingan.

 

6. EST (Erhard Seminars Training)

Ditubuhkan oleh Werner Erhard. Dia mengaku terinspirasi ketika dia memandu melintasi Jambatan Golden Gate di San Francisco. Dia kemudiannya menggabungkan teknik pengembangan potensi, pemikiran Zen, teori psikologi, dan lain-lain lalu menghasilkan kursus latihan EST. Dia berharap orang dapat menyedari potensi sendiri setelah “pembangunan semula” konsep nilai dan pandangan dunia.

 

7. Gereja Scientology

Diasaskan oleh penulis fiksyen sains L. Ron Hubbard. Beliau berpendapat bahawa manusia ialah makhluk yang berjiwa, bukan hanya sejenis binatang, dan jiwa manusia tetap wujud setelah kematian. Oleh itu, perkembangan manusia adalah dengan membiarkan jiwa keluar daripada pembatasan tubuh badan dan mencapai perkembangan yang lebih tinggi. Gereja Scientology membolehkan para pelajar menyedari kewujudan roh jiwa dan perubahan dalam pandangan dunia dengan menggunakan banyak ritual keagamaan Barat atau Timur melalui pembacaan buku-buku Ron Hubbard, kursus-kursus yang berkaitan atau bantuan daripada sains gelombang otak [43].

 

8. Meditasi Transendental (Transcendental Meditation)

Diasaskan oleh orang India, Maharishi Mahesh Yogi. Dia berpendapat bahawa meditasi merupakan satu keadaan mengurangkan aktiviti mental dan merehatkan badan. Kesan meditasi lebih besar daripada tidur nyenyak. Meditasi dapat membawa mental / semangat yang lebih baik daripada tidur nyenyak. Hal ini kerana dunia adalah sebuah keseluruhan. Jadi meditasi seseorang akan mempengaruhi pergerakan gelombang di sekitarnya dan menjadikan persekitaran di sekelilingnya stabil. Atas sebab yang sama, apabila banyak orang duduk dan bermeditasi bersama, mereka dapat membawa keamanan dan kestabilan kepada kota, masyarakat, negara, dan dunia.

 

 

KESIMPULAN

Gerakan Zaman Baru mempunyai hubungan yang mendalam dengan seluruh aliran pemikiran moden. Gerakan Zaman Baru mencerminkan trend yang mencabar kewibawaan dan mencari pemikiran bebas peribadi setelah Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment). Di samping itu, Gerakan Zaman Baru juga menunjukkan tradisi lama dalam diri manusia yang mencari pengalaman kerohanian dan mencari agama individu dalam suasana agama yang mengejar kepelbagaian dan kesatuan dalam era pasca moden.

Konsep di sebalik Gerakan Zaman Baru telah disatukan dengan masyarakat moden hingga ke tahap akar umbi. Ideologi ini mendorong manusia untuk mengejar kemajuan diri dan melepaskan diri daripada kekangan tradisi. Ideologi ini bahkan dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan Kristian. Kita dapat mendengar kata-kata yang mendorong pemercaya untuk “menyempurnakan rohani”, “jangan jatuh kerana orang lain” atau “biarlah Tuhan yang memimpin gereja” dan sebagainya. Adakah kata-kata ini salah? Adakah manusia mempunyai kemampuan untuk mempertahankan iman kepercayaan sendiri? Bolehkah gereja dipimpin oleh Tuhan dengan iman dan tidak memerlukan organisasi sama sekali?

Dari segi kehidupan, Gerakan Zaman Baru cuba untuk memecahkan pantang larang agama Kristian yang lalu, beralih daripada tamadun Barat kepada agama dan tradisi budaya lain, dan berusaha untuk mencari maksud hikmat rohani. Oleh itu, banyak agama lama yang telah dijenamakan semula / diberikan wajah baharu oleh sains dalam kehidupan kita. Gelang kristal yang memperbaiki medan magnet, yoga untuk penurunan berat badan, akupunktur, Qigong, buruj, kad tarot dan kursus pengembangan potensi dapat ditemukan di sekitar kita. Orang Kristian harus berhati-hati ketika menggunakan sumber-sumber ini. Walau bgaimanapun, kita tidak perlu menolak sepenuhnya sumber-sumber ini kerana sumber-sumber ini mengandungi tradisi agama asing. Di samping itu, kita juga diberikan kesempatan untuk memikirkan kembali konflik antara tradisi dengan agama. “Kedua-duanya memiliki konsep Qi. Mengapa akupunktur dan moksibusi diperbolehkan tetapi Qigong tidak?” atau “Bolehkah saya mengambil bahagian dalam festival menuai tanpa ritual?” dan isu-isu lain.

Oleh itu, daripada melihat Gerakan Zaman Baru sebagai ajaran sesat secara cermat dan berusaha mengecualikannya dalam iman kepercayaan, lebih baik melihatnya dengan fikiran yang normal dan melihat kembali dengan merenungkan “sebab kita harus mempertahankan” iman kepercayaan kita. Melalui refleksi berterusan mengenai iman kepercayaan dan sikap sendiri, manusia lebih dapat mengetahui kekurangan sendiri lalu kemudiannya mencari Tuhan. Tindakan ini lebih positif dan lebih bermakna daripada tindakan yang pertama.

 

RUJUKAN

George D. Chryssides. (1999). Exploring New Religions. Cassell.

Paul Heelas. (1996). The New Age Movement: Religion, Culture and Society in the Age of Postmodernity. Wiley-Blackwell.

Linda Woodhead and Paul Heelas. (2000). Religion in Modern Times: An Interpretive Anthology. Wiley-Blackwell.

Neale Donald Walsch. (2001). Conversations with God for Teens. Hampton Roads Pub.

http//en.wikipedia.org/

wiki/New_Age

http//www.xs4all.nl/wichm

/newage3.html

http//religiousmovements.

lib.virginia.edu/nrms/newage.html

 

  1. Kata-kata Krishnamurti ketika membubarkan The Order of the Star pada tahun 1929. (Linda Woodhead and Paul Heelas, 2000).
  2. Secara praktikalnya, beberapa organisasi Gerakan Zaman Baru berpendapat bahawa manusia dapat mencapai tujuan “kuasa luar biasa” tertentu tanpa dibatasi oleh keadaan fizikal. Sebagai contoh, mempercayai bahawa mereka tidak akan mati, dapat menembusi tembok, atau dapat merasakan bencana pada masa depan dan sebagai
  3. Kata-kata P. Blavatsky, pengasas Theosophical Society. Teks asalnya ialah “There is no religion higher than truth”.
  4. Yang lebih terkenal ialah Osho, pengasas Bh Pada tahun-tahun akhirnya,dia menyebabkan penentangan dan konflik dalam masyarakat di Amerika Syarikat. Pada pandangan beberapa orang aktivis Gerakan Zaman Baru, perbuatan ini merupakan contoh kehilangan moral diri (tentu saja, penyokong Osho tidak berfikir demikian).
  5. Gerakan Zaman Baru bertujuan untuk menghapuskan kewibawaan luaran. Tetapi, doktor juga merupakan pihak berwibawa. Dalam proses penyembuhan rohani, kewibawaan perlu dihapuskan tetapi rawatan doktor perlu diterima. Demikianlah terjadinya Oleh itu, banyak penyembuhan rohani Zaman Baru menuntut bahawa mereka hanya membantu pesakit untuk menemukan penyakit mereka sendiri dan memberikan cadangan kepada mereka untuk merawat diri sendiri.
  6. Neale Donald Walsch. 2001.Conversations with God for Teens. Hampton Roads Pub.
  7. 1992. On Nature and the Environment. Gollancz.
  8. Pythagoras ialah ahli matematik dan juga ahli Dia berpendapat bahawa segala sesuatu terdiri daripada angka. Dalam persatuan Pythagorean yang didirikannya, selain mengkaji matematik, mereka juga mengejar kesempurnaan dalam kehidupan roh jiwa, latihan dalam diam, pupukan muzik dan penyelidikan matematik. Semuanya merupakan cara untuk meningkatkan kualiti kehidupan rohani.
  9. Pythagoras pernah menyuruh orang berhenti mencambuk seekor anjing kerana dia mendengar suara rakannya daripada ratapan anjing itu (Copleston, F.C. (1946). A History of Philosophy, Volume 1: Greece and Rome. Doubleday.)
  10. Plato berpendapat bahawa ada satu dunia “bentuk / idea” di luar dunia material ini (theory of Forms / theory of Ideas) yang mencerminkan kesejagatan dunia ini (sebagai contoh, bentuk asal semua meja). Oleh itu, moral dan nilai mutlak pastinya wujud, dan manusia seharusnya memupuk etika yang betul demi roh jiwa yang tidak binasa.
  11. Neoplatonisme Plotinus mewarnai falsafah Plato dengan warna keagamaan dan menegaskan (apotheosis / deification) theory of Forms / theory of Ideas. Dia berpendapat bahawa Tuhan benar-benar melampaui segalanya. Tuhan adalah Yang Esa, permulaan segala sesuatu, penciptaan segala sesuatu ialah “aliran keluar” Tuhan, (dalam kata lain ialah  Tuhan adalah seperti matahari, manakala segala sesuatu ialah sinaran matahari), Yang Esa melahirkan akal (Nous), akal (Nous) melahirkan roh jiwa dunia, dan kemudian roh jiwa dunia melahirkan segala sesuatu.
  12. Dalam epik Homer(Homer’s Epics), Hermes memberikan ramuan kepada Odyssey untuk mencegahnya daripada menjadi babi.
  13. Zeus berkata:“Kerja kegemarannya ialah menjadi sahabat manusia” (Iliad).
  14. Seperti kesusasteraan Gnostik, Korpus Hermetikus (Corpus Hermeticum) dinamai sempena namanya. Selain itu, dia juga merupakan pemberi alkimia, sihir dan pengetahuan-pengetahuan
  15. Demeter berasa sangat sedih kerana anak perempuannya, Persefone telah diculik oleh Hades. Dia berpura-pura menjadi wanita tua dan tinggal di Eleusis serta menolong orang memberi makan kepada anak-anak. Walau bagaimanapun, dia bukan menggunakan makanan biasa, tetapi memberikan makanan yang boleh menjadi dewa kepada anak-anak. Di samping itu, kelaparan terjadi di dunia kerana dia meninggalkan Gunung Olympus. Kemudian, atas permintaan Zeus, Hades bersetuju untuk membiarkan isterinya kembali kepada ibunya, tetapi menipu dia untuk memakan buah delima. Oleh itu, Persefone perlu kembali ke Dunia Bawah selama enam bulan setiap tahun. Upacara kemasukan rahsia agama Eleusis termasuk memakan makanan yang boleh menjadi dewa (manusia boleh menjadi dewa) dan merayakan perjumpaan semula Persefone dengan ibunya (dibangkitkan daripada kematian dan bersatu kembali dengan dewa).
  16. Orpheus membuat Dionisos (Dionysus), dewa anggur marah kerana dia mempersembahkan korban kepada Apollo, dewa matahari. Oleh itu, dewa anggur mengirim sekumpulan wanita gila untuk menghancurkan Orpheus dan melemparkan kepalanya ke dalam Ketika kepalanya melayang ke Lesbos, dia menyanyi lagu. Oleh itu, dia diabadikan sebagai oracle oleh masyarakat tempatan.
  17. Dionisos (Dionysus), dewa anggurialah amak Zeus dan dibunuh oleh makhluk humanoid gergasi Kemudian, Zeus membunuh Titan dan mencipta umat manusia dengan menggunakan mayatnya (termasuk sifat keilahian Dionisos). Oleh itu, manusia memiliki sifat jahat makhluk humanoid gergasi di samping memiliki sifat keilahian dewa anggur.
  18. Sebagai contoh, mazhab Mandaean. Rujukhttp://farvardyn.com/mandaean.php
  19. Di China, Manichaeisme (Manichaeism) disebut Zoroastrianisme(Zoroastrianism) semasa Dinasti Tang dan disebut Mingjiao (Ming Cult) semasa Dinasti Ming. Peninggalan budaya agama ini digali di Turpan, Dunhuang Grottoes dan Quanzhou. Pada hari ini, kuilnya masih ada di kota Jinjiang, Fujian (berhampiran Quanzhou).
  20. Sebagai contoh, Injil Tomas (Gospel of Thomas) dituliskan pada sekitar tahun 50-150 Kitab ini dikatakan berasal daripada ajaran rahsia Yesus. Terdapat banyak petikan Alkitab yang kita kenal dalam kitab ini, tetapi berlaku dalam situasi yang berbeza sama sekali.
  21. Seperti Homunculus yang disebutkan dalam Faustialah manusia yang diekstrak daripada air mani manusia, tidak mempunyai badan dan hidup di dalam bikar.
  22. Sebilangan orang percaya bahawa Maria dan Yusufdatang ke England bersama dua belas murid dan akhirnya dikebumikan di Glastonbury. Selain itu, legenda raja Arthur dan Holy Grail juga mempunyai kaitan dengan tempat ini. Namun pada umumnya, adalah dipercayai bahawa tempat ini menjadi tempat suci sebelum agama Kristian diperkenalkan ke England. Terdapat penganut atau hippie pada Zaman Baru yang berpendapat bahawa tempat ini ialah tempat Druid mengumpul dan mengajar pengetahuan semula jadi sejak dahulu kala (George D. Chryssides, 1999)
  23. Gavin D. Flood.(1996). An Introduction to Cambridge University Press.
  24. Theosophy terdiri daripada dua perkataan, theo + Theo merujuk kepada Tuhan, sophy merujuk kepada kebijaksanaan.
  25. Chen Weiyuan.(2004).
  26. Maksud asal nama Krishnamurti ialah “penjelmaan Krishna”. Krishna merupakan dewa tertinggi India, Vishnu. Jadi Krishnamurti bermaksud penjelmaan dewa.
  27. Diri sendiri (self) ini kadang-kadang diterjemahkan sebagai diri sendiri, sifat diri atau diri sejati, dan lain-lain. Maksud asal Jung ialah “The sumtotal of his conscious and unconscious content” (Paul Heelas, 1996).
  28. Dalam astrologi, ciri-ciri keperibadian Aquarius ialah mempromosikan kebebasan, semangat humanisme, mempercayai gerak hati sendiri, dan giat menuntut pengetahuan baha Ahli astrologi berpendapat bahawa tahun 1960-an merupakan penghujung zaman Pisces (ikan ialah simbol agama Kristian), manakala permulaan zaman Aquarius mewakili zaman yang mempromosikan kebebasan dan mengejar kerohanian diri.
  29. Mandala kadang-kadang diterjemahkan sebagai mantra. Mandala dinyanyikan dalam beberapa suku kata pendek secara berulangan. Mandala dapat membawa nasib baik atau mencari pembebasan. Mandala ada dalam Buddhisme dan Hinduisme.
  30. Pada tahun 1967, sekelompok orang anti-perang mengepung The Pentagon dan melaungkan mandala Mereka percaya bahawa tindakan ini akan membolehkan The Pentagon terapung (Paul Heelas, 1996).
  31. Untuk membezakan mereka daripada“witch”, kata nama yang stigmatis, mereka memanggil diri mereka “wicca” yang bermaksud ahli sihir dalam Bahasa Inggeris Lama.
  32. Ferguson Marilyn. (1980). The Aquarian Conspiracy. J. P. Tarcher – St. Martin’s Press; 1st edition.
  33. Sebagai contoh, penyanyi wanita Janis Joplin, Jimi Hendrix yang mempersembahkan lagu kebangsaan Amerika Syarikat dengan gitar elektrik di Woodstock, atau Jim Morrison, penyanyi utama kumpulan The Doors, meninggal dunia pada tahun 1970 dan 1971 pada usia 27 tahun.
  34. Maslow berpendapat bahawa keperluan manusia terbahagi kepada beberapa tahap. Tahap terendah ialah keperluan fisiologi terhadap makanan dan pakaian, kemudian keperluan keselamatan, keperluan kasih, dan keperluan penghormatan. Keperluan-keperluan ini meningkat secara bertahap. Kepuasan sebenar adalah dengan mencapai realisasi
  35. Dalam agama primitif, ritual ini adalah untuk memanggil kedatangan musim bunga atau untuk memastikan operasi musim yang normal.
  36. Eugen (1971).Zen in the Art of Archery. Vintage Books.
  37. Teks asalnya ialah “Whatever the world is doing, get it to do that”.
  38. Lirik lagu “Ageof Aquarius”: “This is the dawning of the age of Aquarius”.
  39. New Age Movement umumnya diterjemahkan sebagai Gerakan Zaman Baru. Dalam industri muzik, New Age Music lebih sering diterjemahkan sebagai “Muzik Zaman Baru”.
  40. Umum berpendapat bahawa pencetus sastera fantasi moden ialah Tolkien, pengarang The Lord of the Rings. Beliau menerbitkan The Hobbit pada tahun 1937 dan The Lord of the Rings dari tahun 1954 hingga tahun 19 Beliau menggunakan kepakaran linguistiknya untuk mencipta orang bunian (the Elves) dan bahasa “Sindarin”. Dalam perkembangan masa kemudian, sastera fantasi itu sendiri mengandungi banyak ciri-ciri agama primitif Eropah seperti Druid atau ciri-ciri oriental / Timur. Kita tidak boleh berkata bahawa sastera fantasi ialah Gerakan Zaman Baru, tetapi sastera fantasi terhasil di Barat pada zaman kebangkitan “idea teosofi” dan “neo-paganism” ialah satu kenyataan. Kita boleh berkata bahawa sastera fantasi berkongsi konteks budaya yang sama dengan Gerakan Zaman Baru.
  41. Chen Weiyuan. (2004).
  42. Dia menggelar Tuhan sebagai deva yang bermaksud “dewa lelaki” dalam bahasa Sanskrit. Banyak orang dalam Gerakan Zaman Baru suka menggelar Tuhan dengan bahasa lain, bukannya Hal ini kerana God mempunyai unsur agama Kristian.
  43. Paul Heelas. (1996). The New Age Movement: Religion, Culture and Society in the Age of Postmodernity. Wiley-Blackwell.