PENYEBARAN INJIL DAN MEDIA
(Saudari Xu Xin Ying)
KATA PENGANTAR
Penulisan artikel ini bertepatan dengan perancangan semula saluran televisyen berkabel oleh Biro Maklumat di Taiwan yang dilaksanakan pada 1 Januari 2005. Setelah menetapkan semula frekuensi, penonton televisyen berkabel mungkin telah mendapati bahawa Biro Maklumat telah meletakkan 25 saluran pertama sebagai “jalur frekuensi tontonan amal dan keluarga”. Dua daripadanya tergolong dalam saluran agama Buddha dan dua saluran ini seterusnya memperoleh akses yang sangat baik ke empat stesen televisyen tanpa wayar. Sebagai contoh, saluran DaAi Tzu Chi telah mendapat frekuensi tetap di antara CTS dan CTV. Menurut data beberapa kajian pasaran radio dan televisyen, kadar tontonan bagi saluran di hadapan biasanya meningkat, dan bahkan ada yang memiliki tingkat pertumbuhan sebanyak 75%. Sebaliknya, saluran televisyen “Good TV”, satu-satunya saluran agama Kristian yang tidak mempunyai pakar perunding yang kuat, jatuh ke saluran selepas 80, dan kadar tontonannya jauh ketinggalan. Ketika menghadapi sistem yang tidak berkualiti, penonton yang ingin menonton saluran ini perlu bertahan dengan skrin “kepingan salji”.
Seberapa penting peranan media komunikasi dalam penyebaran dan perkembangan organisasi agama? Banyak organisasi agama bukan hanya aktif mengembangkan media radio, televisyen, dan Internet mereka sendiri, tetapi bahkan semakin dekat dengan inti pembuat keputusan awam, dengan harapan pemerintah akan membuat keputusan relevan yang memberikan manfaat kepada agama mereka semasa menggubal undang-undang yang berkenaan. Apakah peranan perkembangan teknologi komunikasi dalam penyebaran Injil pada hari-hari terakhir? Bagaimana kita harus menggunakan media komunikasi dengan berkesan untuk penyebaran Injil dan perkembangan gereja? Artikel ini akan membincangkan empat aspek berikut:
- Situasi antarabangsa, perkembangan teknologi dan rancangan keselamatan Tuhan
- Pengenalan kepada media massa
- Fungsi pelayanan media
- Prospek masa depan pelayanan media gereja
A. SITUASI ANTARABANGSA, PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DAN RANCANGAN KESELAMATAN TUHAN
Sekiranya kita ingin prihatin sepenuhnya tentang perkembangan kerja penginjilan akhir zaman, kita perlu memerhatikan situasi antarabangsa dan perkembangan teknologi komunikasi pada masa yang sama. Situasi antarabangsa dan perkembangan teknologi berkait rapat antara satu sama lain. Perkembangan teknologi secara tidak langsung mendorong komunikasi antarabangsa, memendekkan jarak sesama manusia, mempercepat penghasilan dan pertukaran maklumat, dan mempromosi pembentukan kampung global (global village). Komunikasi sesama negara (sama ada dari segi perdagangan atau peperangan) juga secara tidak langsung mendorong percambahan teknologi baharu. Kedua-dua situasi antarabangsa dan perkembangan teknologi mempunyai kaitan dengan rancangan keselamatan Tuhan dan ada dalam tangan Tuhan yang Mahakuasa (Ayb 12:23; Mzm 22:29). Kedua-duanya juga merupakan salah satu alat bagi Tuhan melaksanakan rancangan keselamatan dan menyebarkan Injil.
1. Situasi antarabangsa amat berkaitan dengan penyebaran injil
Pertama sekali, dari segi situasi antarabangsa, kita mendapati daripada seluruh sejarah Perjanjian Lama bahawa perkembangan situasi nasional dan situasi politik tidak hanya dalam penentuan Tuhan, tetapi juga sering digunakan oleh Tuhan untuk mengajar umat pilihan, melatih iman mereka dan membina konsep iman kepercayaan yang betul (Kej 25:23; Bil 14:12; Yes 13:17-20; Yer 24:8-9; 1 Taw 6:15; Yer 27:8). Di samping itu, kemunculan tentera-tentera dan suku-suku bangsa yang kuat dalam sejarah biasanya membawa kepada promosi perdagangan dan kemunculan bahasa yang kuat. Selanjutnya, kemunculan mereka mempermudah penulisan / pembukuan dan penyebaran Alkitab, dan menjadi syarat yang baik untuk menyebarkan Injil kepada bangsa-bangsa asing.
2. Perkembangan teknologi berkaitan dengan warisan iman kepercayaan
Kedua, dari segi perkembangan teknologi, sebelum teknologi komunikasi berkembang dengan pesat, firman Tuhan umumnya disampaikan melalui para nabi dan penyampaian lisan. Walaupun terdapat media untuk merakam teks (seperti loh batu, kertas jerami, gulungan kulit domba, gulungan kulit lembu, beling, tugu batu, tugu tanah liat), namun semua itu cukup tebal dan berat dan tidak sesuai untuk penyebaran secara meluas. Tambahan pula, pengetahuan belum popular dan hanya segelintir golongan elit saja yang mempunyai kemampuan literasi asas untuk membaca Alkitab. Warisan iman kepercayaan bergantung kepada segelintir elit agama yang dapat membaca Alkitab dengan dekat ini untuk menyampaikan firman Tuhan kepada umat pilihan melalui penyampaian lisan. Sekiranya saluran komunikasi ini tidak lancar, iman kepercayaan umat pilihan akan mudah rosak, atau warisan iman kepercayaan akan berubah setelah beberapa generasi.
Sebagai contoh, kitab 2 Raja-raja fasal 22 mencatatkan raja Yosia secara tidak sengaja menemukan kitab Taurat ketika dia menghantar orang untuk membaiki Bait Suci. Setelah mendengar perkataan kitab Taurat itu daripada mulut panitera, Safan, dia mengoyakkan pakaiannya dan berkata: “Pergilah, mintalah petunjuk TUHAN bagiku, bagi rakyat dan bagi seluruh Yehuda, tentang perkataan kitab yang ditemukan ini, sebab hebat kehangatan murka TUHAN yang bernyala-nyala terhadap kita, oleh karena nenek moyang kita tidak mendengarkan perkataan kitab ini dengan berbuat tepat seperti yang tertulis di dalamnya.” (2 Raj 22:13). Nampaknya, iman kepercayaan yang menggunakan penyampaian lisan sebagai kaedah komunikasi utama mudah menyebabkan iman kepercayaan terputus kerana manusia yang perasan pandai tetapi sebenarnya tidak pandai. Gereja yang didirikan oleh Tuhan Yesus sendiri pada dua ribu tahun yang lalu secara beransur-ansur berubah dan bahkan Roh Kudus berhenti dicurahkan selepas seratus tahun. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan keterbukaan kebijaksanaan masyarakat, kekurangan kesejagatan pendidikan, dan kekurangan media teknologi yang sesuai untuk merakam, menyimpan, dan menyebarkan Alkitab. Oleh sebab kebijaksanaan masyarakat tidak terbuka dan Alkitab juga tidak popular, maka kuasa pentafsiran Alkitab jatuh ke dalam tangan beberapa orang elit. Mereka mungkin memperbodohkan orang lain dengan mentafsirkan Alkitab mengikut kehendak mereka sendiri atau kehendak Tuhan yang palsu.
3. Zaman percetakan – model penyebaran Injil sehala
Jika mengamati situasi antarabangsa dan perkembangan teknologi selama hampir dua ribu tahun dari masa pemberhentian Roh Kudus hingga masa penubuhan Gereja Yesus Benar pada tahun 1917, kita boleh mendapati bahawa kerja persiapan keselamatan Tuhan tidak berhenti selama tempoh ini. Dalam tempoh ini, Revolusi Gutenberg menciptakan teknik percetakan pada tahun 1453. Teknik ini memberikan kesan terbesar terhadap perkembangan dunia dalam lima ratus tahun kebelakangan ini dan membuka halaman yang melampaui zaman untuk kerja penyebaran Injil akhir zaman sampai ke hujung bumi.
Mula-mula sekali, kertas yang diciptakan oleh China tersebar ke dunia Islam untuk menggantikan kulit domba pada abad kelapan. Penggunaan kertas kemudiannya tersebar dari dunia Islam ke Eropah, negara Kristian mungkin setelah pengaruh perang seperti Perang Salib. Pada abad kelima belas, seorang pekerja logam Jerman, Johann Gutenberg menghabiskan lebih daripada 20 tahun untuk menciptakan mesin cetak dan mencetak Alkitab pertama dalam sejarah. Malangnya, dia meninggal dunia dalam kemiskinan, tinggal sehelai sepinggang, dan dia tidak tahu tentang kepentingan sumbangannya. Teknik percetakan dipuji sebagai pencapaian terbesar umat manusia pada zaman kuno dan moden selepas penciptaan perkataan. Sebelum penemuan teknik percetakan, salinan Alkitab perlu disalin dengan tangan. Proses itu pasti tidak dapat menghindari kesilapan dan sukar untuk disebarkan. Tambahan pula, jumlah salinan yang terhad menyebabkan hanya orang yang cukup kaya saja yang mampu membelinya. Namun, sejak abad ke-16, mesin cetak jenis bergerak telah mencetak ribuan buku atas kertas, dan kemahiran membaca dan menulis juga mula menjadi popular. Untuk julung kalinya, Alkitab telah diterbitkan dalam terjemahan selain daripada bahasa Latin, dan orang biasa dapat membaca Alkitab dalam bahasa sendiri. Takhta Suci tidak lagi dapat memonopoli hak untuk mentafsirkan Alkitab (DeFleur & Ball-Rokeach, 1976).
Teknik percetakan telah menjayakan kesejagatan pengetahuan moden dan menjadi syarat yang baik bagi percetakan dan edaran Alkitab yang meluas. Teknik percetakan sama dengan merangsang revolusi agama dan kemunculan Protestantisme, dan iman kepercayaan kembali kepada Alkitab melalui renungan. Selain itu, kesejagatan pengetahuan mendorong perkembangan sains dan mendorong revolusi perindustrian. Kemudian, terlahirlah sejumlah pasukan tentera dan bangsa-bangsa yang kuat. Pasukan-pasukan tentera dan bangsa-bangsa yang kuat pada abad ke-18 dan ke-19 ini terbenam dalam budaya Kristian yang berusia ribuan tahun. Seiring dengan kekuatan ketenteraan, mubaligh menyebarkan Injil ke Amerika Syarikat, Afrika, dan Asia. Lantas, terjemahan Alkitab dalam lebih banyak bahasa dihasilkan. Perkembangan-perkembangan teknologi utama ini dan perubahan dalam situasi antarabangsa telah menjadi syarat yang baik bagi pemulihan gereja benar pada hari-hari terakhir. Antaranya termasuklah mendapatkan terjemahan Alkitab dari China. Kemudian, Roh Kudus sekali lagi dicurahkan, dan Gereja Yesus Benar ditubuhkan di China pada tahun 1917 dan menjadi “bahtera akhir zaman”.
4. Zaman Internet digital – model penyebaran Injil interaktif pelbagai arah
Pelbagai media dan Internet yang berkembang pada abad ke-20 menyuntikkan bentuk baharu kepada cara penyebaran Injil dan menjadi satu tonggak lain setelah penemuan teknik percetakan. Pada zaman Alkitab bercetak atas kertas, penyebaran Injil banyak bergantung pada ketenteraan dan mubaligh. Para pekerja Injil mengambil inisiatif untuk menyebarkan Injil ke tempat yang belum dijangkaui. Model penyebaran Injil ini agak linier dan bersifat sehala. Pada dasarnya, Injil disebarkan oleh pasukan tentera dan budaya negara-negara yang kuat kepada negara-negara yang lemah. Namun, dalam zaman Internet digital, aliran penyebaran Injil telah berbalik, dan bahkan peranan pencari Injil telah berubah daripada menerima Injil secara pasif kepada sikap yang mengambil inisiatif. Mereka mengambil inisiatif untuk mengejar kebenaran dan mencari gereja yang benar. Model penyebaran Injil telah menjadi pelbagai arah dan interaktif.
Sebagai contoh, di banyak tempat yang belum dijangkaui, iaitu tempat-tempat Gereja Yesus Benar belum didirikan, termasuk Kongo dan Kenya di Afrika, Nepal, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat, terdapat banyak individu, bahkan seluruh organisasi agama yang mengambil inisiatif untuk menghubungi gereja benar melalui Internet setelah melayari isi kandungan laman web gereja benar dengan harapan dapat lebih memahami kebenaran sejak penubuhan laman web Bahasa Inggeris Ibu Gereja Antarabangsa. Pada masa ini, ada juga berita baik tentang hampir seluruh organisasi gereja percaya kepada Gereja Yesus Benar selain beberapa orang pencari Injil yang datang percaya kepada Tuhan. Sebagai contoh yang lain, orang Kristian di beberapa buah negara menghadapi pelbagai sekatan untuk mendirikan gereja dan menyebarkan Injil. Sebagai contoh di Malaysia, memberitakan Injil kepada umat Islam adalah salah di sisi undang-undang. Walau bagaimanapun, jika umat Islam di negara-negara ini mendapat maklumat tentang gereja benar melalui media Internet dan mengambil inisiatif untuk mendekati gereja, tindakan itu tidak salah di sisi undang-undang. Semua ini merupakan berkat kemudahan teknologi komunikasi yang menyuntikkan peluang baharu untuk penyebaran Injil. Namun, berdasarkan pengalaman, kita sering mendapati bahawa kepantasan “teknologi” telah mencapai tempat yang belum dijangkaui. Sebaliknya, langkah kita, “manusia” tidak dapat mengikuti jejaknya. Laman web Injil (seperti TJC-JOY) yang ditubuhkan oleh Ibu Gereja Taiwan atau laman web Ibu Gereja Antarabangsa pernah mendapati pencari Injil yang berminat untuk mencari kebenaran melalui Internet. Namun, kita berasa kesal kerana tidak ada sumber tenaga manusia yang sesuai untuk melakukan perjalanan ke wilayah atau negara mereka untuk membuat tindakan lanjut.
Roh Kudus telah menubuhkan Gereja Yesus Benar pada awal abad ke-20. Dalam abad ke-21, perkembangan teknologi dan situasi antarabangsa juga telah berubah selama satu abad ini. Kita mendapati bahawa teknologi komunikasi telah berkembang dengan sangat pesat dan pelbagai media komunikasi juga berkembang pesat dan dinormalisasikan. Selain itu, secara amnya diramalkan bahawa kuasa Asia yang dipimpin oleh China akan meningkat secara beransur-ansur pada abad ke-21, dan Bahasa Cina berpeluang menjadi satu bahasa yang kuat selain bahasa Inggeris. Adakah perkembangan ini berkaitan dengan kerja gereja benar untuk memperluas Injil ke hujung bumi pada akhir zaman? Apakah kehendak Tuhan? Bagaimana kita harus mempraktikkan kepercayaan / amanah Tuhan Yesus dan mempunyai bahagian dalam kerja penginjilan pada akhir zaman? Pemuda-pemudi dalam Tuhan harus memikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul dalam kerja penginjilan akhir zaman, memikirkan cara untuk mengambil bahagian dalam pembinaan “bahtera akhir zaman”, memupuk fikiran dan pandangan dunia yang lebih luas, dan bersiap sedia secara aktif untuk kerja penginjilan akhir zaman.
B. PENGENALAN KEPADA MEDIA MASSA
Teknologi komunikasi merupakan alat yang ampuh untuk pemberitaan Injil pada akhir zaman dan pekerja Injil harus mempunyai pemahaman asas mengenainya. Sebelum mengenali media penyebaran Injil, kita boleh terlebih dahulu mewujudkan dua konsep. Pertama, teknologi komunikasi sama sekali bukan maha kuasa, dan kepentingannya tidak dapat menggantikan penyebaran Injil interpersonal bersemuka. Kedua, walaupun demikian, penggunaan teknologi media yang berkesan dapat menjadi senjata yang tajam untuk kerja penginjilan, bahkan merupakan alat yang sangat berguna untuk penggembalaan pemercaya, pendidikan dan latihan para pekerja suci dan sebagainya secara dalaman. Secara ringkasnya, jika kita menggunakan bahtera akhir zaman untuk menggambarkan Gereja Yesus Benar, kita harus mempertimbangkan untuk memasukkan media penyebaran Injil sebagai salah satu peralatan asas untuk membina “bahtera akhir zaman”.
1. Takrif
“Komunikasi” merujuk kepada komunikasi mesej yang dapat difahami oleh penyampai dan penerima melalui saluran komunikasi yang dapat menghubungkan keduanya untuk mewujudkan konsensus. “Media massa” merujuk kepada penggunaan media komunikasi untuk menyampaikan maklumat tertentu kepada pembaca dan pendengar khalayak ramai dan tanpa nama untuk tujuan memberitahu, mendidik, menghibur, atau meyakinkan. Ketika kita menggunakan istilah “media komunikasi”, istilah ini boleh digunakan untuk merujuk kepada media itu sendiri, seperti satelit komunikasi, siaran radio, televisyen berkabel, dan Internet. Istilah ini juga boleh digunakan untuk merujuk kepada organisasi yang mengoperasikan kerjaya media komunikasi. Sebagai contoh, TTV (Taiwan Television), BCC (Broadcasting Corporation of China), udn.com, dan lain-lain lagi. Ketika kita menggunakan istilah “media penyebaran Injil”, kita merujuk kepada teknologi media untuk tujuan dan penggunaan penyebaran Injil. Ketika kita menggunakan istilah “penyebaran Injil melalui media”, kita merujuk kepada perihal penggunaan media untuk memberitakan dan menyebarkan Injil.
2. Evolusi
Media komunikasi berevolusi daripada tompokan batu kepada penggunaan dahan pohon, nyalaan api, burung merpati, bendera, papirus dan bahan-bahan lain untuk menyampaikan maklumat, hingga penemuan teknik percetakan oleh Revolusi Gutenberg pada tahun 1453, telegram pertama dikeluarkan oleh Morse pada tahun 1844, penciptaan telefon oleh Bell pada tahun 1876, penciptaan siaran tanpa wayar pada tahun 1894, penciptaan filem pada tahun 1895, penciptaan televisyen hitam putih pada tahun 1929, penciptaan televisyen berwarna pada tahun 1954, penciptaan satelit komunikasi pada tahun 1957, penciptaan Internet pada tahun 1968, penciptaan World Wide Web pada tahun 1989 … Kita boleh mendapati daripada sejarah evolusi ini bahawa kelajuan perkembangan teknologi komunikasi adalah semakin cepat, dan jenis-jenis komunikasi telah berubah daripada komunikasi lisan, komunikasi teks, komunikasi cetak dan telekomunikasi kepada memasuki zaman komunikasi digital.
Secara prinsipnya, jenis-jenis media penyebaran boleh dibahagikan kepada media cetak, media elektronik audio-visual tradisional, dan media elektronik digital menurut ciri-ciri media. Media cetak tradisional merangkumi surat khabar, majalah, buku, risalah, poster, dan lain-lain dengan kertas sebagai platform komunikasi utama. Media elektronik audio-visual tradisional merangkumi radio, televisyen, filem, dan lain-lain yang dapat menyampaikan pelbagai bentuk maklumat seperti teks, suara, gambar, dan video. Media elektronik digital merujuk kepada media yang menggabungkan komputer untuk menghubungkan dan menyajikan maklumat melalui multimedia dan hiperteks. Sebagai contoh, adalah seperti CD multimedia dan Internet. Media-media elektronik digital baharu masih dalam perkembangan yang berterusan, dan media-media ini cenderung untuk mengintegrasikan model-model media sebelumnya.
Dari segi ketepatan masa, media dan penyiaran elektronik digital dapat menyampaikan maklumat semasa lebih cepat daripada media televisyen, manakala media televisyen lebih cepat daripada media cetak. Namun, dari segi kedalaman dan ketepatan kandungan, media cetak adalah lebih baik daripada media elektronik. Di samping itu, pembaca dan pendengar media cetak mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi. Secara umumnya, semasa merancang isi kandungan media massa, mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadikan literasi bahasa tahap pendidikan sekolah menengah sebagai pertimbangan dan menggunakan perkataan-perkataan yang dapat difahami dengan tahap pendidikan sekolah menengah untuk memenuhi tahap pemahaman kebanyakan orang. Memahami ciri-ciri media yang berbeza dan latar belakang pembaca dan pendengar dapat membantu merumuskan strategi penyebaran Injil melalui media dan merekabentuk isi kandungan Injil melalui media.
3. Malaikat yang terbang di tengah-tengah langit
Ada orang mentafsirkan nubuat dalam kitab Wahyu 14:6 iaitu “‘malaikat lain terbang di tengah-tengah langit’ dan padanya ada Injil yang kekal untuk diberitakannya kepada mereka yang diam di atas bumi dan kepada semua bangsa dan suku dan bahasa dan kaum” sebagai media massa yang berkembang pesat pada hari ini. Kita tidak berani menegaskan bahawa malaikat lain terbang di tengah-tengah langit itu bermaksud malaikat terbang di udara untuk memberitakan Injil, atau menubuatkan prospek kerja penginjilan akhir zaman melalui teknologi komunikasi. Walau bagaimanapun, tidaklah keterlaluan jika kita menggunakan istilah “malaikat lain terbang di tengah-tengah langit” untuk menggambarkan kerja penyebaran Injil melalui media pada akhir zaman. Sama ada siaran tanpa wayar, televisyen, siaran satelit, rangkaian tanpa wayar, atau sistem komunikasi mudah alih, semuanya menggunakan ciri fizikal gelombang radio di udara untuk merancang kelengkapan penghantaran dan penerimaan dengan peranti yang berbeza bagi tujuan menyebarkan maklumat. Gelombang-gelombang radio di udara ini juga merupakan sumber semula jadi dan jarang yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia hanya menggunakan gelombang radio di udara dan ciri-ciri fizikal jalur yang berbeza yang dikurniakan oleh Tuhan untuk tujuan komunikasi. Sebagai pekerja Injil akhir zaman, kita juga menggunakan teknologi komunikasi berdasarkan penemuan-penemuan ini untuk menyebarkan berita Injil bagi memenuhi tugas yang dipercayakan oleh Tuhan Yesus kepada kita: memberitakan Injil yang kekal kepada mereka yang diam di atas bumi dan kepada semua bangsa dan suku dan bahasa dan kaum.
4. Model penyebaran Injil di atas atap
Ada juga orang yang menggambarkan kerja penginjilan melalui media sebagai “model penyebaran Injil di atas atap”. Dalam kitab Matius 10:27 tercatat bahawa Tuhan Yesus berfirman: “Apa yang Kukatakan kepadamu dalam gelap, katakanlah itu dalam terang; dan apa yang dibisikkan ke telingamu, beritakanlah itu dari atas atap rumah.” Sekiranya menurut pertimbangan tradisional, seseorang yang memberitakan Injil Tuhan Yesus di atas rumah terlebih dahulu dibatasi oleh ruang. Hanya beberapa jiran yang dapat mendengar Injil yang diberitakan. Kedua, dia dibatasi oleh masa. Jika seseorang memberitakan Injil dengan suara nyaring selama beberapa jam di atas atap, tentunya suaranya menjadi serak. Namun, jika kita membuat pertimbangan dengan menggunakan teknologi komunikasi canggih pada masa kini, isi kandungan Injil yang direkabentuk oleh sekelompok kecil perajurit Injil dapat dikirim dan diterima melalui pemancar dan antena di atas atap. Cara ini dapat mengatasi keterbatasan masa dan ruang serta menyebarkan Injil melintasi sempadan ke hujung bumi. Bagi masalah bahasa pula, media storan semasa dapat menyimpan lebih daripada sepuluh bahasa pada masa yang sama ketika menghasilkan isi kandungan audio-visual supaya pembaca dan pendengar dengan bahasa ibunda yang berlainan dapat bertukar kepada bahasa yang biasa digunakan oleh mereka. Dengan kepantasan kemajuan teknologi semasa, media storan yang dapat merakam lebih banyak versi bahasa akan dihasilkan tidak lama lagi. Memberitakan Injil yang kekal kepada mereka yang diam di atas bumi dan kepada semua bangsa dan suku dan bahasa dan kaum dengan menggunakan kemudahan teknologi itu tidak sukar. Kesukarannya terletak pada kepantasan progress pembinaan “bahtera akhir zaman” dan samada pandangan dan jejak pekerja yang membina bahtera ini dapat berjalan seiring.
C. AMANAT PELAYANAN MEDIA GEREJA
Penggunaan media komunikasi dalam pelayanan gereja mempunyai sekurang-kurangnya tiga fungsi. Fungsi yang pertama ialah penyebaran Injil ke luar. Fungsi yang kedua ialah bimbingan penggembalaan dalaman. Fungsi yang ketiga ialah latihan jarak jauh transnasional dan sebagainya. Berikut merupakan penerangan ringkasnya.
1. Penyebaran Injil ke luar
Suatu ketika dulu, seorang pemuda lelaki buta yang tidak dikenali muncul sebelum kebaktian hari Sabat di gereja Tampa, Florida. Sebenarnya, beliau sudah datang ke gereja untuk menunggu kebaktian sejam sebelum bermulanya kebaktianan. Sejam sebelum penantian ini, beliau telah berjalan sejauh tiga batu ke Gereja Yesus Benar secara bersendirian dan tanpa bimbingan anjing pemandu. Rupa-rupanya, beliau telah menjumpai laman web Ibu Gereja Antarabangsa Gereja Yesus Benar melalui peralatan Internet orang buta sebelum itu. Setelah membaca artikel dan kesaksian di laman web itu, beliau berasa kagum dengan berkat Tuhan kepada gereja ini. Maka beliau membuat keputusan untuk datang mencari gereja. Ketika beliau mendengar doa dalam bahasa Roh untuk pertama kalinya, beliau mempunyai perasaan bahawa cara doa ini penuh dengan kekuatan, dan beliau tidak sabar untuk berlutut dan berdoa. Beliau menerima Roh Kudus dalam doa kemudian dan dibaptis seminggu selepas itu.
Pada masa yang lain, di daerah Chiayi, Taiwan, seorang gadis yang baru sahaja selesai ujian kemasukan perkhidmatan awam (civil service exam) pada hari itu berasa sedih kerana beliau berpendapat bahawa beliau kurang cemerlang dalam ujian tersebut. Kemudian, beliau berlutut dan berdoa kepada Tuhan dengan harapan untuk mencari Tuhan. Pada malam itu, beliau memasang radio dan kebetulan terdengar penghujung program radio Injil yang dihasilkan dan disiarkan oleh Ibu Gereja Taiwan, iaitu sebuah iklan berdurasi 40 saat tentang “kursus koresponden Alkitab” (Bible correspondence course). Iklan yang hanya berdurasi beberapa puluh saat ini sudah cukup untuk membantunya menghubungi gereja secara proaktif. Setelah satu tempoh pencarian Injil, beliau pun dibaptis dalam nama Tuhan.
Manusia sering berharap dapat menilai keberkesanan penyebaran Injil melalui media dengan menggunakan angka kuantitatif. Walau bagaimanapun, contoh-contoh ini memberitahu kita bahawa jika Tuhan ingin bekerja, Tuhan mungkin menambah jumlah kita dengan orang yang diselamatkan melalui benih yang telah ditabur sekuat tenaga tidak kira melalui penyebaran Injil secara interpersonal atau penyebaran Injil melalui media, pada mana-mana kesempatan, di mana-mana tempat atau masa yang tidak kita jangkakan. Masalahnya, adakah kita memohon kepada Tuhan dalam persekutuan yang erat setiap hari? Adakah kita mempunyai pemikiran yang ghairah untuk memulihkan gereja Tuhan? Selebihnya adalah bergantung pada waktu Tuhan. Kita tidak tahu masa, tempat, dan orang yang dipilih oleh Dia untuk bekerja. Walau bagaimanapun, kita mesti senantiasa bekerja dengan tekun. Kita juga mencari orang yang mungkin percaya kepada Tuhan melalui pelbagai cara ketika tampaknya tidak ada kesempatan dengan menyemai benih melalui teknologi media dan menyiram melalui rangkaian interpersonal.
Jelas sekali bahawa media komunikasi boleh digunakan untuk tujuan menyebarkan Injil ke dunia luar. Kadar kebolehcapaian pelbagai media komunikasi dalam keluarga semakin tinggi kian hari. Melalui kekuatan media komunikasi yang luas, isi kandungan media dapat menembusi kalangan rakyat. Sebagai contoh di Taiwan, kadar kebolehcapaian telefon adalah hampir 100%, dan kadar kebolehcapaian televisyen berkabel adalah sekitar 83%. Pengguna Internet telah meningkat dengan pesat dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Pada Januari 2005, populasi pengguna Internet di Taiwan telah mencapai 14 juta. Kadar akses Internet ialah 60% daripada bilangan penduduk keseluruhan. Sekiranya kita berfikir dari perspektif penginjilan global, tiga satelit sudah cukup untuk menyebarkan isi kandungan audiovisual ke seluruh pelosok dunia dalam masa yang segera. Internet juga mengatasi batasan masa dan ruang dengan membolehkan isi kandungan yang sama tersedia untuk orang pada masa dan di tempat yang berbeza serta boleh diakses berulang kali. Sekiranya kemudahan ini dapat digunakan secara efektif dalam penyebaran Injil, kekuatannya tidak boleh dipandang remeh. Maka tidak hairanlah bahawa terdapat pemerintah autokratik yang masih mengawal media massa dengan ketat pada masa kini.
Menyebarkan maklumat iman kepercayaan ke tempat yang belum terjangkau melalui teknologi komunikasi bukan lagi konsep baharu dalam organisasi-organisasi agama lain. Sebagai contoh, Tzu Chi tidak hanya masuk ke dalam kampus, tetapi juga mempunyai stesen televisyen, majalah, laman web, dan pelbagai penerbitan sendiri. Tzu Chi melancarkan berita Tzu Chi dalam bahasa Inggeris, dan bahkan menyiarkan program ke Australia, Amerika Syarikat, Eropah dan tempat-tempat lain melalui satelit. Laman webnya juga boleh didapati dalam pelbagai bahasa. Tidak sukar untuk kita melihat strateginya dalam misi penyebaran agama global. Media-media agama Taiwan yang lain juga membina stesen radio, stesen televisyen, syarikat penerbitan, majalah, atau laman web mereka sendiri sebanyak mungkin. Jika sumbernya tidak cukup untuk membentuk media, mereka juga cuba menyiarkan program dengan membeli slot masa media sebanyak mungkin. Dalam sepuluh tahun kebelakangan ini, gereja mula menitikberatkan pemberitaan Injil melalui media secara beransur-ansur. Walaupun bermula agak lambat, namun gereja benar dengan Roh Kudus dan Injil yang sempurna harus menerapkan sikap yang lebih proaktif dan berhati-hati ketika merumuskan strategi pemberitaan Injil melalui media di samping melaksanakannya pada masa kelak.
2. Bimbingan penggembalaan dalaman
Secara umumnya, kebanyakan media “berdasarkan masa” dengan kos penghasilan dan penyiaran yang lebih tinggi seperti radio dan televisyen digunakan untuk tujuan menyebarkan Injil ke luar. Bagi Internet, World Wide Web, dan media storan (seperti kaset, CD, cakera multimedia, VCD, DVD, dan lain-lain), kosnya lebih rendah dan penggunaannya tidak dibatasi masa. Selain digunakan untuk tujuan penyebaran Injil ke luar, penggunaannya juga cukup sesuai untuk pembangunan penggembalaan pemercaya dalaman. Antaranya, interaktiviti dan anonimiti Internet sangat sesuai untuk membimbing pemercaya dalaman dalam kehidupan iman kepercayaan mereka.
Sebagai contoh, terdapat seorang saudari di Singapura yang telah meninggalkan Gereja Yesus Benar sejak kecil lagi. Setelah bertahun-tahun, beliau menghadapi tamparan hidup, ditinggalkan oleh suaminya, dan cedera parah dari segi fizikal dan mental. Beliau bahkan berfikir untuk membunuh diri. Beliau menjumpai laman web Ibu Gereja Antarabangsa melalui Internet dan membaca artikel di laman web itu. Selepas itu, beliau berasa terharu sehingga menangis dan secara proaktif menghubungi kaunselor dalam talian. Kaunselor tersebut mendorongnya untuk kembali ke gereja. Namun, saudari tersebut tidak berani menjejakkan kaki ke gereja kerana beliau berasa segan. Walau bagaimanapun, setelah dua tahun kaunseling dalam talian, beliau secara beransur-ansur meninggalkan kemurungan dan pemikiran bunuh diri. Seorang saudari Singapura yang lain juga menghadapi beberapa masalah keluarga, tetapi beliau malu untuk merujuk kepada pendeta gereja kerana beliau berkahwin dengan orang yang belum percaya kepada Tuhan. Beliau beralih kepada laman web Ibu Gereja Antarabangsa untuk meminta pertolongan. Selepas berbicara dengan penasihat dalam talian, beliau membuat keputusan dan bertekad untuk bersandar kepada Tuhan dan berdoa dengan berpuasa. Suaminya yang tidak percaya kemudiannya dibaptiskan dalam nama Tuhan.
Sebagai contoh lain, sejak pelancaran laman web Injil Keluarga Xixin Ibu Gereja Taiwan, laman web tersebut telah menerima banyak pertanyaan daripada pemuda mengenai masalah cinta, perkahwinan, dan seks yang biasanya sukar untuk dibincangkan. Bagi beberapa kes yang mempunyai pengalaman istimewa yang melibatkan privasi dan biasanya tidak sesuai untuk meminta pertolongan secara terbuka di gereja, mereka pun beralih untuk meminta bimbingan melalui privasi Internet. Pada masa yang sama, melalui saluran-saluran peribadi ini, gereja juga dapat mengetahui aliran trend dan perubahan sosial dalam masyarakat semasa yang telah secara serius memasuki pemikiran atau kehidupan generasi muda dalam Tuhan sehingga mewujudkan pelbagai godaan dan kebingungan. Dengan itu, gereja dapat memperkuat pendidikan agama atau topik kaunseling dengan tema-tema tertentu tepat pada masanya apabila perlu.
Sebagai tambahan kepada bimbingan dan kaunseling dalam talian individu, kemudahan Internet juga dapat menyediakan buletin Injil, carian Alkitab, carian teks khutbah, majalah makanan rohani dalam talian, kesaksian, artikel rohani, siaran Injil, fail video khutbah dan bahan-bahan lain secara percuma. Semua ini sesuai untuk penyempurnaan rohani dan pembangunan peribadi kerana isi kandungan boleh dipilih pada bila-bila masa mengikut keperluan masing-masing. Sekiranya kita ingin mengambil berat tentang rakan-rakan seiman kita yang baru-baru ini menghadapi kesukaran atau kelemahan rohani tetapi tidak tahu cara untuk melakukannya, kita juga boleh mencari kesaksian-kesaksian, ayat-ayat Alkitab, dan e-kad Injil dalam talian lalu mengirimkannya kepada seiman yang memerlukan untuk menunjukkan keprihatinan kita.
3. Latihan jarak jauh transnasional
Kitab Kisah Para Rasul fasal 20 mencatatkan: “Pada hari pertama dalam minggu itu, ketika kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti, Paulus berbicara dengan saudara-saudara di situ, karena ia bermaksud untuk berangkat pada keesokan harinya. Pembicaraan itu berlangsung sampai tengah malam… Seorang muda bernama Eutikhus duduk di jendela. Karena Paulus amat lama berbicara, orang muda itu tidak dapat menahan kantuknya. Akhirnya ia tertidur lelap dan jatuh dari tingkat ketiga ke bawah.” Pemercaya kini mempunyai banyak sumber, termasuk banyak sumber tenaga manusia iaitu pendeta dan kaya dengan majalah rohani terbitan gereja sebagai rujukan. Pelbagai seminar Alkitab dan teologi juga diadakan dari semasa ke semasa. Oleh itu, mungkin lebih sukar untuk kita memahami perasaan pemercaya di Troas dan Paulus pada masa itu. Kita tertanya-tanya keperluan berbicara sampai tengah malam sehingga orang muda yang mengantuk tertidur dan terjatuh dari tingkat tiga.
Kenyataannya, banyak tempat di luar negera bukan saja kekurangan bahan terbitan makanan rohani, tetapi mungkin perlu menunggu beberapa bulan untuk berjumpa dengan seorang pendeta. Oleh itu, setiap kali ada pendeta pergi ke sana untuk menyampaikan khutbah, mereka pasti mengadakan kebaktian dan lawatan sehingga lewat malam. Semasa kebaktian hari Sabat biasa, mereka biasanya mendengar khutbah melalui penyiaran video khutbah (jika peralatan seperti itu ada). Seperti yang dinyatakan dalam kitab Lukas 10:2: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit.” Terdapat banyak orang di seluruh dunia yang memerlukan Injil keselamatan Kristus, tetapi pekerja yang pergi menabur dan menyiram adalah sangat kekurangan. Di samping itu, masa bagi penginjil dunia pergi menyebarkan Injil di tempat yang belum terjangkau adalah terhad. Maka, melatih pekerja penggembalaan tempatan untuk menggembalakan kawanan domba merupakan salah satu kerja penting dalam penyebaran Injil global. Terdapat banyak teknologi yang sesuai untuk pendidikan dan latihan jarak jauh. Kursus koresponden, radio, televisyen pendidikan jarak jauh, pengajaran melalui Internet dan lain-lain lagi. Teknologi pendidikan masih sedang berkembang. Sekiranya dapat menggunakan teknik-teknik pengajaran jarak jauh ini dengan berkesan serta merancang kursus-kursus teologi dan pengajaran penggembalaan secara sistematik, kita percaya bahawa tindakan tersebut akan sangat membantu dalam pemupukan pekerja penggembalaan di kawasan-kawasan yang kekurangan sumber penginjilan.
4. Prospek masa depan pelayanan media gereja
Jika diperhatikan, organisasi-organisasi agama lain telah aktif mengembangkan media mereka sendiri, mengembangkan saluran mereka sendiri dan menghasilkan isi kandungan penyebaran agama. Dalam perkembangan pelayanan media gereja pada masa akan datang, kita boleh memikirkan perkara-perkara berikut:
- Mempunyai konsep membangun“gereja perisian” (software church)
Pada masa ini, konsep biasa dalaman gereja cenderung ke arah lebih rela membelanjakan wang untuk membangun “gereja perkakasan” (hardware church) yang kelihatan seperti membina dewan baharu dan kemudahan bangunan. Namun, sikap terhadap pembangunan “gereja perisian” yang tidak kelihatan secara relatifnya adalah konservatif. Gereja perisian melibatkan pemupukan bakat, penghasilan isi kandungan berkualiti tinggi, dan pelaburan dalam peralatan media. Semuanya merupakan sebahagian daripada gereja perisian, dan kepentingannya tidak kurang daripada gereja perkakasan yang kelihatan. Oleh itu, kita juga boleh cuba membincangkan konsep ini: Selain pembangunan gereja perkakasan, persiapan untuk gereja perisian juga diperlukan dalam pembangunan bahtera akhir zaman.
- Berusaha ke arah“pengendali media” dan “pemilik saluran”
Secara umumnya, terdapat tiga peranan yang harus dikuasai ketika mengendalikan media agama. Peranan pertama ialah pengendali media memiliki media sendiri. Sebagai contoh, stesen radio, stesen televisyen, majalah, dan laman web. Peranan kedua ialah pemilik saluran menguasai saluran. Sebagai contoh, mempunyai saluran perniagaan dengan pengusaha industri sistem televisyen berkabel, atau pengusaha buku dan majalah. Jika pengendali media tidak memiliki saluran sendiri, dia sering perlu bergantung kepada pemilik saluran untuk memudahkan penyampaian isi kandungan produksi dan siaran dengan lancar kepada khalayak. Peranan ketiga ialah penyedia isi kandungan, iaitu mereka sendiri tidak memiliki media dan tidak memiliki saluran. Mereka hanya menghasilkan isi kandungan dan kemudian membeli slot waktu media untuk penyiaran, atau bergantung pada kerjasama penyedia saluran untuk mengedarkan barang. Perkembangan semasa pelayanan media gereja ini hanya berhenti setakat penyedia isi kandungan. Sebagai tindak balas terhadap keperluan pelayanan media akhir zaman, kita harus secara proaktif menilai cara bergerak ke arah menjadi pengendali media dan pemilik saluran pada masa akan datang.
- Pemercaya berdoa dengan bertekun dan dengan sehati dalam Tuhan
Paulus pernah berkata: “Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Allah yang memberi pertumbuhan.” (1 Kor 3:6). Kita menyebarkan Injil melalui media, dan kita juga menyebarkan Injil secara interpersonal. Ada orang yang melakukan kerja menabur benih Injil dan ada orang yang melakukan kerja penyiraman iaitu tindakan susulan penggembalaan. Namun, Tuhanlah yang memberikan pertumbuhan, dan Tuhan juga yang menentukan masa pertumbuhannya. Oleh itu, kita hanya menanam dan menyiram. Bagi hasil yang selebihnya, kita berdoa kepada Tuhan dan menunggu masa Tuhan. Selain itu, kitab Kisah Para Rasul 2:41-47 memberitahu kita bahawa para rasul pada waktu itu berdoa dengan bertekun dan dengan sehati, bersekutu dalam Roh, memuji Tuhan, bertekun dalam pengajaran Tuhan, dan disukai semua orang. “Dan tiap-tiap hari Tuhan menambah jumlah mereka dengan orang yang diselamatkan.” Sekiranya pekerja Injil bekerja keras tetapi tidak bekerjasama, tindakan itu akan menyebabkan ketidakharmonian dan menimbulkan keretakan. Sekiranya rakan sekerja tidak sehati, Tuhan tidak akan dapat bekerja dalam kalangan kita. Hari ini, jika kita mahu kerja penginjilan maju dan gereja benar dipulihkan, kita perlu melihat cara pelaksanaan pelayanan. Usaha yang lebih penting ialah kita sebagai tentera Kristian harus meneladani semangat para rasul, berdoa dengan bertekun dan dengan sehati, bersekutu dalam Roh, memuji Tuhan, bertekun dalam pengajaran Tuhan, dan disukai semua orang. Sekiranya tindakan kita berkenan di hati Tuhan, kerja yang kita lakukan akan disertai Tuhan secara berganda, dan tiap-tiap hari Tuhan akan menambah jumlah kita dengan orang yang diselamatkan!
SOALAN PERBINCANGAN
- Sejauh mana anda memahami isi kandungan media yang dihasilkan oleh gereja ini? Cuba fikirkan dan senaraikan siaran, program televisyen, laman web, media storan, terbitan teks, dan bahan-bahan lain gereja ini yang anda tahu. Bincangkan dengan rakan-rakan yang lain, apa yang anda biasa atau tidak pernah dengar? Cuba fikirkan, bagaimana anda dapat menggunakan pelbagai sumber media gereja ini dalam penginjilan peribadi anda?
- Apakah nisbah “penyebaran Injil” dalam rancangan kehidupan atau kerjaya anda? Lukiskan gambarajah ringkas dan kongsikan rancangan penyebaran Injil maisng-masing dengan rakan-rakan persekutuan.