IMAM BESAR YANG MENARUH BELAS KASIHAN DAN YANG SETIA

IMAM BESAR YANG MENARUH BELAS KASIHAN DAN YANG SETIA

 

“Sebab Imam Besar yang demikianlah yang kita perlukan: yaitu yang saleh, tanpa salah, tanpa noda, yang terpisah dari orang-orang berdosa dan lebih tinggi dari pada tingkat-tingkat sorga.” (Ibr 7:26). Tuhan Yesus ialah Imam Besar yang menaruh belas kasihan dan yang setia. Tambahan pula, “Dan keselamatan tidak ada di dalam siapa pun juga selain di dalam Dia, sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan.” (Kis 4:12). Mengapa kita hanya dapat menghadap Bapa dan memasuki kerajaan kekal yang disediakan oleh Tuhan dengan percaya kepada Tuhan Yesus? (Yoh 14:6). Marilah kita mengenali Imam Besar yang kekal ini dengan lebih baik berdasarkan kebenaran Alkitab.

 

ASAL USUL IMAM BESAR

Tuhan memilih Abraham dan berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan banyak seperti bintang-bintang di langit (Kej 15:4-5). Menurut kehendak-Nya, keluarga Yakub telah menjadi orang asing di Mesir. Setelah genap waktunya, Dia mengutus Musa untuk menyelamatkan bangsa Israel dan pergi ke tanah Kanaan yang dijanjikan oleh Tuhan. Dia mahu supaya orang Israel menjadi bangsa yang kudus, melayani Tuhan yang benar di syurga dengan sepenuh hati dan menjadi kerajaan imam (Kel 19:3-6). Oleh itu, ketika umat berjalan di padang gurun, Tuhan memberikan hukum Taurat kepada mereka melalui perantaraan Musa dan menetapkan sistem persembahan korban bagi mereka. Tuhan memilih suku Lewi untuk melayani sebagai imam bagi umat (Kel 28:1). Dia memilih seseorang imam besar daripada kalangan para imam. Identiti imam adalah sangat terhormat, mulia, dan kudus. Hal ini kerana jabatan imam:

  1. Dipilih oleh Tuhan: “Dan tidak seorang pun yang mengambil kehormatan itu bagi dirinya sendiri, tetapi dipanggil untuk itu oleh Allah, seperti yang telah terjadi dengan Harun.” (Ibr 5:4). Tidak ada orang yang dapat memperolehnya sendiri dengan menggunakan pengetahuan, darjat, kekayaan, strategi, atau kekuatan, melainkan sepenuhnya adalah daripada pilihan Tuhan. Untuk menyatakan kasih karunia dan kehendak ini, Tuhan pernah menghukum Korah dan kumpulannya yang menganggap diri mereka baik dan berkelayakan sehingga mereka menyerang tugas yang dipikul oleh Harun, pilihan Tuhan (Bil 16:1-35). Harun mengambil perbaraan untuk mengadakan pendamaian bagi bangsa itu. Ketika dia berdiri di antara orang-orang mati dan orang-orang hidup, berhentilah hukuman Tuhan itu (Bil 16:48).
  2. Harus berpegang pada prinsip: Sesuai dengan pilihan Tuhan, walaupun keturunan Harun boleh mewarisi tugas imam, namun jika mereka mempunyai kecacatan fizikal yang menyukarkan pelaksanaan tugas, mereka tidak boleh mengambil posisi ini (Im 21:16-22). Setelah memikul pekerjaan imam, mereka harus mematuhi perintah Tuhan dalam semua tugas. Contohnya tidak boleh minum anggur atau minuman keras (Im 10:8-9), jangan menajiskan diri dengan orang mati di antara orang-orang sebangsanya (Im 21:1), dan lain-lain lagi. Tujuannya adalah supaya mereka mempunyai hati yang berwaspada dan soleh serta menjaga kekudusan identiti ini.
  3. Dijamin oleh Tuhan: Demi kesinambungan kerja persembahan korban dan supaya umat mengejar pentahiran dan pelayanan untuk selama-lamanya, Tuhan secara khusus memerintahkan Musa untuk melindungi orang-orang dalam suku Lewi (Bil 4:18). Tentu saja, tujuannya adalah untuk melindungi keluarga imam supaya mereka dapat setia pada tugas mereka dari generasi ke generasi. Nampaknya, tugas imam adalah sangat berharga.

 

PEKERJAAN IMAM BESAR

Tuhan memberikan status mulia kepada para imam dengan tujuan agar mereka dapat bekerja dengan setia. Pekerjaan imam meliputi:

  1. Mempersembahkan korban untuk diri sendiri dan umat

Ketika umat ingin bersyukur kepada Tuhan atau perlu mengakui dosa-dosa mereka dan bertaubat, imam harus mempersembahkan korban untuk umat sesuai dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan. Imam juga mempersembahkan korban untuk diri mereka sendiri.

  1. Mengajar umat

Alkitab mencatatkan: “Sebab bibir seorang imam memelihara pengetahuan dan orang mencari pengajaran dari mulutnya, sebab dialah utusan TUHAN semesta alam.” (Mal 2:7). Imam berdiri di antara Tuhan dan manusia. Dia mempersembahkan pelbagai jenis korban di hadapan Tuhan bagi manusia. Mereka juga harus mengajar umat tentang hukum Taurat Tuhan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sesuai dengan kehendak Tuhan dan diberkati oleh Tuhan.

  1. Menghakimi umat

Apabila diperlukan, Tuhan membangkitkan orang lain seperti hakim untuk mengambil alih tugas menghakimi, memimpin, memerintah, dan menyelamatkan umat. Walau bagaimanapun, pada masa-masa kebiasaan, para imam, orang Lewi, atau para tua-tua dan kepala-kepala suku semuanya bertanggungjawab atas penghakiman umat. Para imam terutamanya bertanggungjawab atas penghakiman dalam peraturan etika pentahiran (Im 13:1-2, 14:1-3). Oleh itu, pekerjaan imam adalah sukar dan penting.

  1. Pekerjaan Imam Besar

Pada tanggal sepuluh bulan yang ketujuh setiap tahun, ada hari pendamaian. Setahun sekali, Imam Besar akan mewakili semua orang dan memasuki tempat maha kudus untuk mengadakan pendamaian bagi para imam dan seluruh jemaat (Im 16:29-34). Ketetapan ini adalah untuk selama-lamanya.

SEMANGAT KERJA IMAM

Memandangkan identiti dan pekerjaan para imam adalah sangat suci, maka Tuhan menetapkan banyak permintaan terhadap sikap pekerjaan mereka supaya iman kepercayaan umat dapat benar-benar dibangunkan. Apakah semangat yang harus dimiliki oleh para imam untuk melakukan pekerjaan yang dipercayakan oleh Tuhan?

  1. Harus menuruti ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya

Setiap kali mengkaji ketetapan-ketetapan persembahan korban (Im fasal 1-7), mungkin setiap pemercaya akan berpendapat: Mengapa perlu begitu terperinci? Atau bahkan rumit? Tetapi, ketetapan-ketetapan ini adalah bertujuan untuk mengajar dan memberi peringatan secara terperinci kepada umat. Tidak kira umat mahu mempersembahkan hadiah atau imam mahu melakukan kerja persembahan korban, kerja itu pastinya bukan berdasarkan kehendak mereka sendiri, atau menurut kaedah manusia. Mereka harus berwaspada dan melayani menurut ketetapan Tuhan. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Ingatlah, bahwa engkau membuat semuanya itu menurut contoh yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.” (Ibr 8:5).

  1. Harus mempunyai hati yang bertimbang rasa

Ketika keturunan Harun mencapai usia untuk menjadi imam, mereka semua perlu menjalani persembahan pentahbisan terlebih dahulu (Im 8:22). Setelah itu, walaupun mereka mempersembahkan korban kerana dosa untuk umat, mereka juga harus selalu membuat refleksi diri. Sekiranya mereka mendapati kesalahan dan berdosa kepada Tuhan, mereka juga perlu mempersembahkan korban kerana dosa. Oleh itu, Alkitab mencatatkan: “Ia harus dapat mengerti orang-orang yang jahil dan orang-orang yang sesat, karena ia sendiri penuh dengan kelemahan, yang mengharuskannya untuk mempersembahkan korban karena dosa, bukan saja bagi umat, tetapi juga bagi dirinya sendiri.” (Ibr 5:2-3).

  1. Harus mempunyai hati yang berwaspada

Betapa mulianya dapat melayani persembahan korban di hadapan Tuhan. Tuhan itu pengasih. Dia berkenan kepada semua persembahan korban dengan pemikiran yang baik. Walau bagaimanapun, Dia juga kudus dan tegas. Dia tidak berkenan dengan sikap manusia yang tidak serius, tidak bersungguh-sunggguh atau tidak hormat, bahkan Dia menghukum sikap-sikap tersebut, seperti peristiwa yang tercatat dalam (Im 10:1-3). Oleh itu, para imam harus mempunyai sikap berwaspada dan melayani Tuhan dengan setia (Im 10:9).

  1. Jangan mempunyai hati yang tamak

Orang Lewi dan para imam menumpukan perhatian pada pekerjaan Tuhan, dan Tuhan juga memberikan penghasilan yang selayaknya kepada mereka (Im 7:34; Bil fasal 18). Tentu sekali, semakin umat mentaati firman dan soleh, berkat Tuhan juga semakin banyak. Semakin banyak persembahan korban, bahagian imam juga semakin banyak. Walau bagaimanapun, para imam tidak boleh tamak dan mengabaikan piawaian Tuhan (Mal 1:6-10). Mereka juga tidak boleh mendorong atau melepaskan umat untuk melakukan dosa supaya mereka dapat mempersembahkan lebih banyak korban penghapus dosa. Perbuatan-perbuatan ini dibenci oleh Tuhan. Hukuman akhir bagi kedua-dua anak Eli wajar menjadi renungan dan peringatan imam.

TUHAN IMAM BESAR YANG TERINDAH

Tuhan Yesus menyatakan dengan jelas bahawa Dia datang untuk menggenapi hukum Taurat (Mat 5:17). Pekerjaan dan rancangan Tuhan itu kekal dan benar-benar bermakna. Oleh itu, ketetapan-ketetapan persembahan korban telah dipenuhi di dalam tubuh Tuhan serta menunjukkan kasih Tuhan yang menyelamatkan dan mengampuni orang sepenuhnya. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Tetapi Kristus telah datang sebagai Imam Besar untuk hal-hal yang baik yang akan datang: Ia telah melintasi kemah yang lebih besar dan yang lebih sempurna, yang bukan dibuat oleh tangan manusia, – artinya yang tidak termasuk ciptaan ini.” (Ibr 9:11). Bagaimana Tuhan Yesus menunjukkan bahawa Dialah Imam Besar yang setia? Atas dasar apa? Apakah semangat yang ditunjukkan oleh-Nya? Berikut merupakan penerangan ringkas supaya kita dapat lebih memahami-Nya dan membangun iman kepercayaan yang kuat terhadap-Nya:

1. Dengan peraturan yang lebih indah

Tuhan memilih Harun, dan hanya keturunannya yang boleh menggantikannya sebagai imam. Menurut daging, Tuhan Yesus termasuk dalam suku Yehuda. Jadi bagaimana Dia dapat menjadi imam dan Imam Besar? Oleh itu, berdasarkan seorang raja yang tercatat dalam kitab Kejadian – Melkisedek, yang dipanggil sebagai imam Allah Yang Mahatinggi (Kej 14:18) dan peristiwa dia menerima persembahan sepersepuluh yang diberikan oleh Abraham, penulis menjelaskan peraturan yang lebih tinggi dan lebih indah ini. Peraturan ini melampaui peraturan keluarga Harun, dan Tuhan adalah berdasarkan peraturan ini. Seperti yang dinubuatkan dalam Alkitab: “Engkau adalah imam untuk selama-lamanya menurut Melkisedek.” (Mzm 110:4). Selain itu, Tuhan juga berdasarkan bukti pemilihan Tuhan. Contohnya, ketika Tuhan dibaptis oleh Yohanes Pembaptis, Tuhan berfirman dari syurga: “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi, kepada-Nyalah Aku berkenan.” (Mat 3:17). Oleh itu, Alkitab berkata: “Demikian pula Kristus tidak memuliakan diri-Nya sendiri dengan menjadi Imam Besar, tetapi dimuliakan oleh Dia yang berfirman kepada-Nya: “Anak-Ku Engkau! Engkau telah Kuperanakkan pada hari ini”.” (Ibr 5:5).

2. Yang diasaskan dengan sumpah Tuhan

Keturunan Harun dapat melayani sebagai imam kerana dipilih oleh Tuhan. Namun, boleh juga dikatakan bahawa tugas ini merupakan pekerjaan turun-temurun. Tuhan bukanlah anggota daripada suku Lewi dan tidak dapat mewarisi pekerjaan turun-temurun, tetapi Dia diasaskan khas oleh Tuhan dengan sumpah. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “TUHAN telah bersumpah, dan Ia tidak akan menyesal.” (Mzm 110:4). Ayat ini menunjukkan bahawa jabatan Tuhan adalah lebih diyakini, diakui dan boleh dikatakan lebih berwibawa. Oleh itu, penulis Ibrani menegaskan: “Memang mereka telah menjadi imam tanpa sumpah, tetapi Ia dengan sumpah.” (Ibr 7:20-21). Maka Yesus menjadi jaminan daripada suatu perjanjian yang lebih kuat, yang lebih sesuai untuk semua orang.

3. Yang abadi

Kesinambungan keturunan Harun dari generasi ke generasi telah membolehkan setiap zaman mempunyai imam yang mempersembahkan korban bagi mereka. Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa imam bagi setiap generasi akan berlalu. Oleh sebab dihalangi maut, mereka hanya bekerja ketika mereka masih hidup. Mereka ada had masa untuk tetap menjabat imam. Walaupun Tuhan Yesus telah mati, namun Dia bangkit dari antara orang mati, mengalahkan halangan, batasan dan belenggu maut, serta hidup untuk selama-lamanya. Dengan itu, Dia menjadi Imam Besar yang abadi. “Karena itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah. Sebab Ia hidup senantiasa untuk menjadi Pengantara mereka.” (Ibr 7:25).

4. Yang taat sepenuhnya

Semasa bekerja untuk Tuhan, imam tidak boleh bekerja menurut kehendak sendiri atau untuk kepentingan sendiri. Imam Besar harus lebih berwaspada dan mematuhi peraturan yang diperintahkan oleh Tuhan semasa bekerja. Namun, oleh sebab kelemahan tubuh daging, manusia tidak dapat mengelakkan kelalaian atau tidak dapat mematuhinya sepenuhnya. Bagi Tuhan Yesus kita pula, walaupun Dia memberitakan Injil kerajaan Tuhan di dunia dalam tubuh daging, namun Dia jelas mempunyai ketaatan yang sepenuhnya terhadap Tuhan dalam semua jenis persekitaran atau hidup-Nya. Dia membuktikan perkataan-Nya sendiri: “Sebab Aku tidak menuruti kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku.” (Yoh 5:30). Sebenarnya, kedatangan Dia ke dunia merupakan prestasi ketaatan yang sepenuhnya. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib.” (Flp 2:6-8). Dia benar-benar seorang Imam Besar yang layak disembah.

5. Yang kudus sepenuhnya tanpa dosa

Imam juga tidak dapat mengelak daripada kesalahan dan kelemahan kerana mereka hidup dalam daging. Oleh itu, mereka harus mempersembahkan korban kerana dosa atas pelanggaran mereka (Ibr 5:2-3). Walaupun Tuhan Yesus kita juga membawa tubuh daging, namun Dia bersandar kepada Bapa dengan sepenuh hati dan berkenan kepada Tuhan dalam segala hal. Oleh itu, Tuhan dan murid-murid-Nya memberi kesaksian untuk-Nya. Dia mengalahkan segala pencobaan, godaan, dan halangan daripada Iblis. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Sebab Imam Besar yang kita punya, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Ia telah dicobai, hanya tidak berbuat dosa.” (Ibr 4:15). Oleh itu, “Sebab Imam Besar yang demikianlah yang kita perlukan: yaitu yang saleh, tanpa salah, tanpa noda, yang terpisah dari orang-orang berdosa dan lebih tinggi dari pada tingkat-tingkat sorga.” (Ibr 7:26). Dia merupakan teladan terbaik dan sumber kekuatan kita (untuk mengalahkan pencobaan).

6. Yang mempersembahkan diri-Nya sepenuhnya

Alkitab mencatatkan: “Sebab setiap Imam Besar ditetapkan untuk mempersembahkan korban dan persembahan dan karena itu Yesus perlu mempunyai sesuatu untuk dipersembahkan” (Ibr 8:3). Imam memasuki Khemah Pertemuan (Bait Suci) yang dibuat oleh manusia untuk mempersembahkan korban duniawi. Semua ini adalah menurut perintah Tuhan dan ada janji Tuhan supaya orang yang mempersembahkannya dapat berkenan kepada Tuhan. Namun persembahan korban ini adalah untuk tempoh yang singkat dan terbatas kerana mereka perlu mempersembahkan korban secara berterusan. Demi kita, Tuhan Yesus datang ke khemah yang lebih besar dan yang lebih sempurna, yang dilambangkan dengan Khemah Pertemuan buatan tangan manusia (Ibr 9:11). Maka Dia tidak lagi boleh mempersembahkan korban-korban duniawi, melainkan tubuh-Nya sendiri iaitu dengan menumpahkan darah-Nya. Hanya dengan satu kali ini, Dia dapat membersihkan dosa-dosa mereka yang sudi mempercayai-Nya untuk selama-lamanya (Ibr 7:22,24). Tindakan ini menunjukkan kasih Tuhan (Rm 5:8) serta membuka sumber pengampunan dosa dan pintu anugerah keselamatan supaya kita dapat berjalan di atas jalan yang baru dan yang hidup, dan menghadap Tuhan dengan penuh keberanian. Oleh itu, kita harus memelihara panggilan yang telah kita terima.

7. Yang akan menghakimi seluruh dunia

Tuhan Yesus bangkit dari antara orang mati dan menjadi Imam Besar yang kekal di hadapan Tuhan sebagai Pengantara kita. Dia akan datang kembali pada masa akan datang. Pada masa itu, Dia akan menghakimi segala sesuatu. Dia akan memimpin orang-orang kudus yang bersedia mempercayai-Nya dan memegang kebenaran hingga akhir untuk memasuki kerajaan hidup kekal dan menikmati kemuliaan yang diberikan oleh Tuhan. Mereka yang menolak anugerah keselamatan dan hidup dalam dosa akan dilemparkan ke dalam neraka untuk menerima seksaan yang kekal. Oleh itu, Dia ialah pengharapan kita, dan kita harus hidup dengan takut akan Tuhan sambil menantikan kedatangan Tuhan.

DATANG KE HADAPAN TUHAN

Memandangkan Tuhan Yesus merupakan Imam Besar Agung yang telah melintasi semua langit, bagaimana kita harus datang dan berdiri di hadapan-Nya untuk melayani Dia?

  1. Berpegang pada iman: “Karena kita sekarang mempunyai Imam Besar Agung, yang telah melintasi semua langit, yaitu Yesus, Anak Allah, baiklah kita teguh berpegang pada pengakuan iman kita.” (Ibr 4:14). Melalui pembelajaran kebenaran Alkitab, kita terus-menerus mengenali Tuhan Yesus, merindui semua berkat yang dijanjikan oleh-Nya, mengetahui bahawa Dialah satu-satunya dasar, tidak digodai oleh pelbagai jenis ajaran sesat, mempertahankan kebenaran yang diterima, tidak terpengaruh dengan trend sekular, tidak berkompromi dengan dunia, berubah oleh pembaharuan budi dan melakukan semua perkara sesuai dengan prinsip Tuhan, serta berkenan kepada Tuhan.
  2. Sentiasa mengharapkan pertolongan-Nya: “Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya.” (Ibr 4:16). Ketika menghadapi pelbagai rintangan, pukulan dan godaan kebendaan, kita yang berada dalam tubuh daging tidak dapat mengelak daripada kelemahan dekat tak tercapai, jauh tak berantara. Jangan takut, Tuhan pernah berjanji: “Dalam dunia kamu menderita penganiayaan, tetapi kuatkanlah hatimu, Aku telah mengalahkan dunia.” (Yoh 16:33). Dia dapat merasakan kelemahan kita dan memahami keperluan kita. “Nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Kristus Yesus.” (Flp 4:6-7).
  3. Memelihara roh yang murni: “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” (Yoh 4:24). Alkitab juga mengingatkan kita: “Karena itu marilah kita menghadap Allah dengan hati yang tulus ikhlas dan keyakinan iman yang teguh, oleh karena hati kita telah dibersihkan dari hati nurani yang jahat dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang murni.” (Ibr 10:22). Oleh itu, kita harus selalu membuat refleksi diri. Janganlah kehilangan roh yang murni dan sesungguhnya kerana puji-pujian yang sia-sia atau demi menyembunyikan pelanggaran diri sendiri sehingga saling membuat perbandingan, serangan, dan disesatkan oleh kebendaan, seperti peringatan yang dikatakan oleh Paulus (Flp 3:18-19). Marilah kita saling mengingatkan, saling mendorong, dan sehati sefikir dalam usaha Injil untuk kerajaan Tuhan.
  4. Menantikan upah hidup yang kekal: “Marilah kita teguh berpegang pada pengakuan tentang pengharapan kita, sebab Ia, yang menjanjikannya, setia. Dan marilah kita saling memperhatikan supaya kita saling mendorong dalam kasih dan dalam pekerjaan baik.” (Ibr 10:23-24). Memandangkan kita telah menerima anugerah keselamatan Tuhan dan kasih Tuhan yang besar, maka kita harus percaya sepenuhnya dengan pengharapan hidup kekal yang dijanjikan oleh Dia. Dengan itu, kita akan lebih bersedia untuk datang ke hadapan Tuhan dan melayani-Nya, mempersembahkan segalanya yang kita miliki, saling mengasihi dan melakukan kebajikan tanpa jemu-jemu. Kita juga berharap dapat memimpin lebih banyak lagi orang datang kepada-Nya dan menerima berkat. Kita memohon agar Tuhan menambah iman kita supaya kita dapat mempertahankan pengharapan sampai pada kesudahannya.

 

KESIMPULAN

“Tetapi sekarang Ia telah mendapat suatu pelayanan yang jauh lebih agung, karena Ia menjadi Pengantara dari perjanjian yang lebih mulia, yang didasarkan atas janji yang lebih tinggi.” (Ibr 8:6). Tuhan Yesus menyelesaikan anugerah keselamatan dan menjadi Imam Besar Agung tempat kita bergantung supaya kita dapat berdamai dengan Tuhan sepenuhnya. Kita harus hidup dalam kasih-Nya dan tidak meninggalkan-Nya untuk selama-lamanya.