PEMILIHAN DAN PENENTUAN
Satu, Pendahuluan
Alkisah: “Kampung A terletak di atas bukit di tebing kiri sungai. Jika ingin membeli barang keperluan harian, penduduk di sana perlu turun ke lembah bukit, menyusuri sungai ke seberang tebing, kemudian menaiki bukit ke desa yang lebih besar untuk membeli-belah. Selepas itu, mereka perlu mengikuti jalan yang sama untuk pulang ke kampung. Perjalanan ini sangat menyusahkan. Pada suatu hari, orang kaya di Kampung A berfikir bahawa dia harus melakukan sesuatu untuk kampung itu. Oleh itu, dia membina sebuah jambatan gantung untuk memudahkan perhubungan antara kedua-dua kampung itu dan penduduk kampung boleh menggunakan jambatan gantung itu secara percuma. Namun, dia juga membina sebuah gilotin di pangkal jambatan, dan satu peraturan telah ditetapkan: “Setiap orang yang menggunakan jambatan harus menjelaskan motif menyeberangi jambatan dengan jujur. Setiap orang boleh menyeberangi jambatan tanpa mengira motifnya, tetapi jika seseorang itu tidak jujur, dia akan dihukum dengan gilotin”. Hari dan tahun silih berganti, semua orang berpendapat bahawa jambatan gantung itu sangat memudahkan urusan mereka. Pada suatu hari, seorang penduduk kampung datang ke pangkal jambatan untuk menyeberangi jambatan tersebut. Pengawal jambatan bertanya kepadanya seperti biasa tentang motifnya menyeberangi jambatan, tetapi dia menjawab: “Untuk pergi ke gilotin”. Pengawal jambatan terperangkap dalam pertimbangan yang bercanggahan dan tidak tahu cara menghadapinya. Hal ini kerana orang kampung tersebut berkata benar dan dia harus dibenarkan untuk menyeberangi jambatan; namun jika dia menyeberangi jambatan itu, dia berbohong dan harus dihukum dengan gilotin; ketika dia berada di bawah gilotin, dia berkata benar lagi dan dia harus dibenarkan untuk menyeberangi jambatan”. Demikianlah keterbatasan kebijaksanaan dan kemampuan manusia.
“Penentuan dan pemilihan” juga merupakan hikmat Tuhan, dan mungkin tidak mudah difahami dengan kebijaksanaan manusia. Sama seperti kita sering bertanya: “Adakah Tuhan mampu menciptakan sesuatu yang tidak dapat diangkat oleh-Nya?” Perbahasan percanggahan ini terbentuk dalam kerasionalan manusia. Boleh dikatakan bahawa bagi Tuhan yang tidak terbatas, hanya ada persoalan “mahu” dan “tidak mahu”, dan bagi kita sebagai manusia yang terbatas, pasti ada persoalan “boleh” dan “tidak boleh”!
Dua, Isi Kandungan
A. Antara Tuhan dengan manusia
1. Ketidakterbatasan masa dan ruang Tuhan, keterbatasan masa dan ruang manusia
Sebelum berbuat dosa, manusia tinggal di taman Eden. Mereka seharusnya sama seperti Tuhan kerana maut (keterbatasan) belum menjalar kepada manusia. Setelah nenek moyang berdosa, maut telah menjalar kepada semua orang lalu membentuk keterbatasan hidup. Manusia tidak dapat melampaui masa dan ruang, sebaliknya dibatasi oleh masa dan ruang, serta terjatuh ke dalam percanggahan yang belum pernah terjadi sebelumnya. Daripada catatan Alkitab tentang ketakutan Kain dan Lamekh terhadap kematian (Kej 4:9-16, 19-24), dan juga peristiwa menara Babel (Kej 11:1-9) yang menunjukkan usaha manusia untuk mengejar ketidakbatasan, kita dapat mengetahui dengan pasti bahawa setelah manusia kehilangan ketidakterbatasan, manusia mengharapkan ketidakterbatasan dan takut dengan keterbatasan.
“Jawab Yesus: “Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya barangsiapa menuruti firman-Ku, ia tidak akan mengalami maut sampai selama-lamanya.” Kata orang-orang Yahudi kepada-Nya: “Sekarang kami tahu, bahwa Engkau kerasukan setan. Sebab Abraham telah mati dan demikian juga nabi-nabi, namun Engkau berkata: Barangsiapa menuruti firman-Ku, ia tidak akan mengalami maut sampai selama-lamanya. Adakah Engkau lebih besar dari pada bapa kita Abraham, yang telah mati! …” Jawab Yesus: “… Abraham bapamu bersukacita bahwa ia akan melihat hari-Ku dan ia telah melihatnya dan ia bersukacita.” Maka kata orang-orang Yahudi itu kepada-Nya: “Umur-Mu belum sampai lima puluh tahun dan Engkau telah melihat Abraham?” Kata Yesus kepada mereka: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya sebelum Abraham jadi, Aku telah ada.” Lalu mereka mengambil batu untuk melempari Dia; tetapi Yesus menghilang dan meninggalkan Bait Allah.” (Yoh 8:51-59).
Dialog antara Yesus dengan orang-orang Yahudi ini juga menunjukkan percanggahan dan pertikaian antara keterbatasan dengan ketidakterbatasan.
2. Hikmat Tuhan dan kebijaksanaan manusia
“Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalan-Ku, demikianlah firman TUHAN. Seperti tingginya langit dari bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku dari jalanmu dan rancangan-Ku dari rancanganmu.” (Yes 55:8-9). Tuhan memberitahu kita dengan jelas di sini bahawa tidak ada kesetaraan antara Tuhan dengan manusia. Setelah Paulus membincangkan isu keselamatan orang Yahudi, dia juga berkata: “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya! Sebab, siapakah yang mengetahui pikiran Tuhan? Atau siapakah yang pernah menjadi penasihat-Nya?” (Rm 11:33-34).
B. Penentuan dan pemilihan penyelamatan penebusan
Hikmat Tuhan tak terselidiki. Oleh itu, bahagian ini hanya membincangkan perihal penentuan dan pemilihan penyelamatan dan penebusan dalam Alkitab.
1. Asas penentuan
- Rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan sudah terlebih dahulu ditentukan, bukan tindakan secara terburu-buru atau langkah demi langkah. Oleh itu, Tuhan berkata: “Akulah yang memberitahukan dari mulanya hal yang kemudian dan dari zaman purbakala apa yang belum terlaksana.” (Yes 46:10-11).
- Semua orang yang dipilih-Nya dari semula, mereka juga ditentukan-Nya dari semula untuk menjadi serupa dengan gambaran Anak-Nya (Rm 8:29-30).
- Dan mereka yang ditentukan-Nya dari semula, mereka itu juga dipanggil-Nya. Dan mereka yang dipanggil-Nya, mereka itu juga dibenarkan-Nya. Dan mereka yang dibenarkan-Nya, mereka itu juga dimuliakan-Nya (Rm 8:29-30; 1 Kor 2:6-8).
2. Penentuan Yesus dalam penyelamatan dan penebusan
i. Sebelum dunia dijadikan
Sebelum dunia dijadikan, Tuhan telah menetapkan “Kristus” untuk menyelamatkan dan menebus umat manusia. Rancangan penyelamatan penebusan ini bukan dirumuskan oleh Tuhan setelah manusia berdosa (1 Ptr 1:18-21).
ii. Penciptaan Adam
Adam di taman Eden melambangkan Adam yang akhir, penyelamatan dan penebusan Kristus (1 Kor 15:46-49). Semua orang mati dalam persekutuan dengan Adam, semua orang akan dihidupkan kembali dalam persekutuan dengan Kristus (Rm 5:12-21; 1 Kor 15:21-22).
iii. Pemberitahuan hari-hari terakhir
Setelah pada zaman dahulu Allah berulang kali dan dalam pelbagai cara berbicara kepada nenek moyang kita dengan perantaraan nabi-nabi, maka pada zaman akhir ini Ia telah berbicara kepada kita dengan perantaraan Anak-Nya (Ibr 1:1-2).
iv. Penentuan maut
Kristus telah mati karena dosa-dosa kita, sesuai dengan Kitab Suci, Ia telah dikuburkan, dan Ia telah dibangkitkan, pada hari yang ketiga, sesuai dengan Kitab Suci (1 Kor 15:3-4). Dia mengalami kematian (Luk 22:22; Kis 2:23), pergi ke alam maut untuk mengalami maut atas dosa-dosa manusia, dan memusnahkan Iblis yang berkuasa atas maut (Ibr 2:9, 14-15). Musuh yang terakhir yang dibinasakan ialah maut. Pada masa itu, ketidakterbatasan benar-benar terjadi kerana tidak ada lagi maut (1 Kor 15:26).
v. Menyelamat dan menebus dunia
Oleh sebab Tuhan telah menentukan penyelamatan dan penebusan Kristus sebelum dunia dijadikan, maka Dia juga telah memilih kita (orang-orang yang percaya kepada Kristus) dalam Kristus sebelum dunia dijadikan. Sesuai dengan penentuan-Nya, Ia telah menentukan kita (orang-orang yang percaya kepada Kristus) dari semula oleh Yesus Kristus untuk menjadi anak-anak-Nya (Rm 8:29-30; Ef 1:4-5). Penentuan ini bukan berdasarkan perbuatan kita, melainkan berdasarkan maksud dan kasih karunia-Nya sendiri, yang telah dikaruniakan kepada kita sebelum permulaan zaman – Yesus Kristus (2 Tim 1:9-10).
3. Pemilihan Tuhan
- Rancangan pemilihan: Rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan dipisahkan oleh selubung atau tabir pada zaman Perjanjian Lama sebelum Yesus dilahirkan. Seolah-olah kelihatan tetapi samar-samar, seolah-olah samar-samar tetapi garis besarnya dapat dilihat. Oleh itu, sebelum Yesus dilahirkan, semuanya ini hanyalah perlambangan dan simbol seperti bayangan (Ibr 10:1) yang memimpin kita kepada pengharapan yang lebih baik (Ibr 7:18-19). Oleh itu, kajian watak-watak dalam Perjanjian Lama (terutamanya nenek moyang Israel) dapat membuatkan kita lebih jelas tentang rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan. Beberapa orang nenek moyang Israel disenaraikan seperti berikut untuk kajian lebih lanjut:
i. Perlambangan Adam (Kej fasal 1-3; Rm 5:12-21; 1 Kor 15:21,22,44-49)
ii. Darah Habel (Kej 4:4-5)
iii Memilih Abraham (Kej 12:1-3)
iv. Persembahan dan warisan Ishak (Kej 17:19-21, 21:12; Rm 9:6-8)
v. Pemilihan Yakub (Kej 25:23; Rm 9:13)
- Kedaulatan pemilihan Tuhan: Daripada mengeluh tentang dilahirkan dalam keluarga yang buruk, lebih baik seseorang berusaha untuk memperbaiki persekitaran keluarganya. Hal ini kerana tidak ada seorang pun (termasuk dirinya atau ibu bapanya) yang dapat memutuskan keluarga tempat dia dilahirkan. Dengan teori yang sama, memandangkan pemilihan tidak dapat diputuskan oleh kita, maka kita hanya dapat usahakan untuk hidup berpadanan dengan anugerah keselamatan itu, bukannya berasa sedih dan kasihan pada diri sendiri, mengeluh tentang ketidakadilan pemilihan Tuhan, atau bersikap sinis tentang ketidakadilan Tuhan bagi orang lain. Sebab itulah Paulus menggunakan perumpamaan “tukang periuk dan benda” untuk menggambarkan hubungan antara Pencipta dengan makhluk yang dicipta – makhluk yang dibentuk tidak boleh membantah Pembentuknya (Rm fasal 9).
- Pemilihan ialah kasih karunia: Oleh sebab pemilihan ialah kasih karunia, maka persoalan tentang adil atau tidak itu tidak wujud. Hal ini kerana keadilan diuji dengan ukuran tingkah laku manusia. Pemilihan Tuhan tidak ada hubungannya dengan tingkah laku manusia. Oleh itu, pemilihan juga tidak ada hubungannya dengan keadilan dan ketidakadilan (Rm 11:5-6; 2 Tim 1:9).
Tiga, Kesimpulan
Memandangkan “penentuan dan pemilihan” ialah hikmat penyelamatan dan penebusan Tuhan, bagaimana kita mengetahuinya supaya kita diselamatkan?
- Melalui Kristus (Ef 1:4-14)
- Melalui Roh Kudus (1 Kor 2:10-16)
- Melalui jemaat (Ef 3:9-11)
“Kristus – Roh Kudus – Jemaat“ sangat diperlukan dalam rancangan penyelamatan dan penebusan. Kristus ialah kepala jemaat, jemaat ialah tubuh Kristus, iaitu kepenuhan Dia, yang memenuhi semua dan segala sesuatu (Ef 1:22,23, 5:23-33; Kol 1:15-22).
Empat, Isu Perbincangan
- Adakah pemilihan penyelamatan dan penebusan Tuhan sangat tidak adil?
- Adakah kedaulatan Tuhan bertentangan dengan kesedaran kebebasan manusia?
- Memandangkan Tuhan telah tahu terlebih dahulu, adakah manusia itu boneka yang hanya mengakui nasibnya?
- Adakah usaha dan tuntutan manusia akan mengubah penentuan Tuhan?