KALEB – MENGIKUTI TUHAN DENGAN SETIA
PERTAMA, PERISTIWA YANG BERLAKU (BIL 13-14)
Setelah orang Israel meninggalkan Mesir, mereka datang ke Kadesh iaitu pintu gerbang Kanaan setelah kira-kira dua tahun perjalanan di padang gurun yang sukar. Tidak jauh di hadapan mereka ialah tanah negeri yang dijanjikan oleh Tuhan yang akan diberikan kepada mereka sebagai warisan – Kanaan. Bagaimanakah keadaan tempat ini? Tidak ada orang yang pernah pergi ke sana dan tidak ada orang yang tahu. Negeri itu ialah negeri impian. Untuk melepaskan diri daripada mimpi buruk iaitu ditindas oleh orang Mesir dan untuk mimpi indah di hadapan mereka, mereka menempuh perjalanan ribuan batu yang sukar, menjalani kehidupan pengembaraan yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap, bahkan terpaksa bertahan dengan iklim panas pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam di padang gurun. Sekiranya Tuhan tidak melindungi mereka dengan tiang awan dan tiang api, tentunya mereka telah mati! Sekarang, tanah Kanaan yang diimpikan oleh mereka siang dan malam ada di depan mata. Tuhan berfirman kepada Musa supaya mengutus dua belas orang pengintai untuk mengintai negeri itu terlebih dahulu kerana Tuhan mahu menyamaratakan antara impian mereka dengan kenyataan. Setelah mengintai untuk empat puluh hari, adalah disahkan bahawa janji Tuhan sememangnya benar. Tanah Kanaan memang sebuah negeri yang kaya yang berlimpah-limpah dengan susu dan madu. Namun, apabila mereka mengetahui bahawa mereka perlu membayar harga peperangan yang tinggi untuk warisan ini, keazaman mereka mulai goyah. Tambahan pula, sepuluh orang pengintai yang menyampaikan khabar buruk telah menggambarkan secara hiperbola bahawa musuh mereka kuat dan dahsyat lalu iman mereka mula luntur. Mereka tidak mahu mendengar nasihat Yosua dan Kaleb, dua orang pengintai yang setia, sebaliknya hendak melontari kedua orang itu dengan batu. Selain itu, mereka tidak hanya mempersoalkan kepimpinan Musa, tetapi lebih teruk lagi, mereka meragui kuasa Tuhan. Hanya dalam tempoh dua tahun sahaja, mereka telah melupakan segala tanda mukjizat agung yang dilakukan oleh Tuhan di tanah Mesir. Oleh itu, mereka bertengkar dengan Musa bahkan mahu memberontak dan pulang ke tanah Mesir. Pada saat genting ini, Tuhan sendiri tampil untuk mengatasi krisis ini. Orang ramai juga membayar harga yang menyakitkan kerana dihukum oleh Tuhan. Mereka selamanya tidak berjodoh dengan tanah Kanaan, negeri yang baik itu dan impian mereka hancur sama sekali! Dalam kalangan semua laki-laki Israel yang berusia lebih daripada 20 tahun, akhirnya hanya Yosua dan Kaleb sahaja yang dapat memasuki negeri yang dijanjikan ini selepas tiga puluh lapan tahun dan impian mereka menjadi kenyataan.
KEDUA, REFLEKSI IMAN KEPERCAYAAN
Keseluruhan peristiwa ini menunjukkan keadaan tegang ke arah satu pihak iaitu hampir semua orang tidak lagi mahu terus mengikuti pimpinan Tuhan dan kepimpinan Musa. Tuhan berkata bahawa hanya Kaleb sahaja yang dapat memasuki bahkan memiliki warisan yang dijanjikan oleh Tuhan kerana lain jiwa yang ada padanya dan dia mengikuti Tuhan dengan sepenuhnya. Mengapa perbezaan antara tindak balas Kaleb dengan umat Israel ini bagai langit dengan bumi? Mereka mempunyai situasi yang sama, mereka juga menghadapi kesulitan dan tekanan yang sama. Namun hanya Kaleb sahaja yang mempunyai jiwa yang lain. Apakah kekuatan yang menyokong kegigihannya? Soalan ini amat berbaloi untuk dikaji. Hal ini demikian kerana pada hari ini, adalah dipercayai bahawa kekuatan itu juga merupakan kekuatan yang mendukung kita untuk terus berpegang pada prinsip umat Kristian sehingga iman kepercayaan kita dapat berdiri dengan teguh dalam zaman yang kacau-bilau dan berdosa ini.
A. KALEB MEMPUNYAI HAJAT YANG KUAT TERHADAP WARISAN YANG DIJANJIKAN OLEH TUHAN
Hajat merupakan sumber motivasi / daya penggerak bagi manusia untuk terus maju dan mempunyai pengaruh yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang. Kesetiaan Kaleb dalam mengikuti Tuhan dari awal hingga akhir menunjukkan bahawa dia memiliki cinta dan kerinduan yang kuat terhadap tanah Kanaan, negeri yang baik itu. Bahkan ketika dia mencapai usia lapan puluh lima tahun, dia masih tidak lupa untuk berusaha mendapatkan warisan miliknya dengan aktif (Yos 14:10-12). Hari ini, adakah kita mempunyai cinta yang mendalam dan usaha aktif sedemikian untuk warisan syurga pada masa hadapan? Hal ini akan menentukan nilai hidup kita di samping mempengaruhi tahap ketahanan iman kepercayaan kita dan semangat positif dalam melayani Tuhan. Jika tidak ada, maka iman kepercayaan ini akan menjadi iman kepercayaan pasif yang sekadar bersifat memenuhi undangan seperti jemaat di Laodikia yang tidak dingin dan tidak panas lalu akhirnya dimuntahkan oleh Tuhan dari mulut-Nya (Why 3:15-16).
Oleh itu, semangat iman kepercayaan terletak pada keghairahan dan usaha untuk mendapatkan ganjaran syurga. Daud menyatakan emosi seperti itu dalam mazmurnya. Dia berkata: “Tali pengukur jatuh bagiku di tempat-tempat yang permai; ya, milik pusakaku menyenangkan hatiku.” (Mzm 16:6). Alangkah mengagumkan perasaan kerinduan ini. Sekiranya kita juga mempunyai perasaan cinta sedemikian pada rumah syurgawi masa kelak, kita pasti akan merancang iman kepercayaan kita dengan baik dan bekerja keras seolah-olah kita menjalankan perniagaan. Seperti yang dikatakan dalam (1 Kor 3:12-15), persembahkanlah emas, perak, batu permata yang paling baik dan paling berharga dalam hidup (seperti tahun-tahun keemasan kita, kekayaan yang diperoleh dengan susah payah dan anak-anak cemerlang yang dipupuk dengan sepenuh hati, dll) untuk membangun pekerjaan iman kepercayaan. Janganlah memberikan kayu, rumput kering atau jerami (iaitu perkara yang dirasakan tidak penting atau tidak perlu dan tidak berguna) untuk menangani persoalan ini secara santai. Hasil bagi kedua-dua cara pengendalian ini adalah berpolarisasi. Satu ialah kemurahan dan kelimpahan, manakala satu lagi ialah kesia-siaan dan kegagalan. Di manakah kecenderungan kita?
B. KALEB MEMPUNYAI KEPERCAYAAN YANG SEPENUHNYA TERHADAP FIRMAN YANG DIJANJIKAN OLEH TUHAN
Ketika Tuhan hendak memimpin orang Israel keluar dari Mesir, Dia memberitahu Musa dengan jelas: “Sebab itu Aku telah turun untuk melepaskan mereka dari tangan orang Mesir dan menuntun mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang baik dan luas, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya, ke tempat orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi dan orang Yebus.” (Kel 3:8). Tuhan mahu Musa menyampaikan kata-kata ini kepada orang Israel. Jadi, mereka seharusnya tahu tentang ujian yang bakal mereka hadapi sejak dari awal lagi. Ujian-ujian ini ada dalam berkat yang dijanjikan oleh Tuhan. Terdapat tujuh bangsa Kanaan di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya itu. Mereka harus menghadapi ujian peperangan untuk mendapatkan negeri yang dijanjikan. Orang Israel bukannya mudah lupa, mereka hanya kurang iman pada perkataan Tuhan. Kekurangan iman ini merupakan mentaliti burung unta yang “percaya sebahagian sahaja” iaitu hanya mahu mempercayai berkat tetapi tidak mahu mempercayai ujian. Mentaliti seperti itu membuatkan seseorang kurang percaya pada firman Tuhan, tidak dapat membangun iman yang benar dan stabil terhadap Tuhan lalu menjadi kurang yakin dengan diri sendiri. Kaleb langsung tidak takut dengan musuh yang kuat tetapi penuh dengan keyakinan. Dia menjadikan “bangsa kanibal” yang digambarkan oleh orang lain sebagai makanan di dalam mulutnya dan menyerang kota-kota yang kuat dan tinggi semudah naik basuh kaki sahaja. Semuanya berdasarkan “kepercayaan sepenuhnya” pada firman Tuhan. Sekiranya kita percaya sepenuhnya pada firman Tuhan, Tuhan akan memberi kekuatan kepada kita untuk menerobos dilema supaya kita dapat berjalan dengan lebih kuat dan penuh keyakinan dalam perjalanan iman kepercayaan ini.
Janji-janji Tuhan kepada manusia adalah seperti sekeping cek yang belum ditunaikan yang menguji samada kita percaya bahawa Tuhan berpegang pada janji-Nya. Tuhan ingin menunjukkan cara Dia menepati janji-Nya kepada manusia. Kitab Ibrani mencatatkan: “Karena itu, untuk lebih meyakinkan mereka yang berhak menerima janji itu akan kepastian putusan-Nya, Allah telah mengikat diri-Nya dengan sumpah.” (Ibr 6:17). Keseluruhan Alkitab dipenuhi dengan janji-janji Tuhan kepada manusia. Bagi kita pada hari ini, janji-janji ini bukanlah menanti ara tidak bergetah dan bukan juga mitos yang bak alu pencungkil duri. Sebaliknya, janji-janji ini merupakan tujuan sebenar dalam kehidupan nyata dengan makna yang ketara. Asalkan kita percaya sepenuhnya, kita pasti dapat berdiri teguh dan tidak goyah dalam iman kepercayaan lalu pastinya mempunyai berkat yang lengkap.
C. KALEB MEMPUNYAI HARAPAN JANGKA PANJANG TERHADAP PENGLIHATAN INDAH YANG DIBERIKAN OLEH TUHAN KEPADANYA
Ketika Kaleb diutus untuk mengintai tanah Kanaan, pemandangan tanah Kanaan yang indah telah terpahat dalam fikirannya. Oleh itu, ketika keadaan menjadi genting sehingga berada di luar kawalan, dia mengambil risiko dengan memujuk dan berkata kepada segenap umat Israel: “Negeri yang kami lalui untuk diintai itu adalah luar biasa baiknya.” Selepas empat puluh lima tahun, pemandangan cantik itu tetap segar dalam ingatannya seperti biasa. Ketika dia meminta kepada Yosua untuk mendapatkan warisan yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepadanya, impiannya seperti angan-angan menerawang langit dan tetap tidak berubah. Dia berkata kepada Yosua: “Jadi sekarang, sesungguhnya Tuhan telah memelihara hidupku, seperti yang dijanjikan-Nya. Kini sudah empat puluh lima tahun lamanya, sejak diucapkan firman Tuhan itu kepada Musa, dan selama itu orang Israel mengembara di padang gurun. Jadi sekarang, telah berumur delapan puluh lima tahun aku hari ini; pada waktu ini aku masih sama kuat seperti pada waktu aku disuruh Musa; seperti kekuatanku pada waktu itu demikianlah kekuatanku sekarang untuk berperang dan untuk keluar masuk.” (Yos 14:10-11). Kehidupan di padang gurun selama tiga puluh lapan tahun tidak melenyapkan penglihatannya yang indah dan kehidupan peperangan yang berbahaya selama tujuh tahun juga tidak mematahkan impiannya yang besar. Jiwanya dapat bertahan dengan ujian masa.
Tuhan Yesus pernah berkata bahawa dalam kalangan orang yang mengikuti Dia, “banyak orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.” (Mrk 10:31). Pengajaran ini mengingatkan kita supaya jangan membiarkan masa melenyapkan penglihatan yang indah bagi iman kepercayaan kita yang indah. Walaupun Kaleb berada di depan, namun setelah 45 tahun, dia masih berada di depan, langsung tidak mengundurkan diri ataupun ketinggalan. Nampaknya, orang yang menanti untuk jangka masa panjang akan seperti pohon di tepi aliran air yang kian berkembang dan menjadi kuat (Mzm 1:3). Dalam hatinya, penglihatan indah kerajaan syurga yang akan datang tidak akan luntur warnanya sebaliknya akan menjadi semakin jelas. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab itu kami tidak tawar hati, tetapi meskipun manusia lahiriah kami semakin merosot, namun manusia batiniah kami dibaharui dari sehari ke sehari. Sebab penderitaan ringan yang sekarang ini, mengerjakan bagi kami kemuliaan kekal yang melebihi segala-galanya, jauh lebih besar dari pada penderitaan kami. Sebab kami tidak memperhatikan yang kelihatan, melainkan yang tak kelihatan, karena yang kelihatan adalah sementara, sedangkan yang tak kelihatan adalah kekal.” (2 Kor 4:16-18). Oleh itu, orang yang hanya mengambil berat tentang hal-hal di depan matanya adalah berasal dari dunia ini dan hanya mempunyai penantian jangka pendek seperti kebendaan. Hanya orang yang berasal dari syurga sahaja yang mempunyai penantian yang tidak berkesudahan dan penglihatan indah yang benar. Dengan cara ini, mereka dapat bertahan dalam mengikuti Tuhan dengan setia.
D. KALEB MEMPUNYAI RASA TAKUT AKAN TUHAN YANG MAHA KUASA YANG MULIA DENGAN SEPENUH HATI
Tuhan yang agung dan Maha Besar di syurga harus mendapat penghormatan dan pujian yang tinggi (Mzm 96:4-8). Ketidakpercayaan orang Israel menunjukkan penghinaan kepada Tuhan. Oleh itu, Tuhan berfirman dengan penuh murka: “Berapa lama lagi bangsa ini menista Aku, dan berapa lama lagi mereka tidak mau percaya kepada-Ku, sekalipun sudah ada segala tanda mujizat yang Kulakukan di tengah-tengah mereka!” (Bil 14:11). Allah tidak membiarkan diri-Nya dipermainkan (Gal 6:7). Sedangkan sikap saling menghormati antara manusia sangat diperlukan, apatah lagi sikap hormat kepada Bapa yang di syurga, Penguasa ke atas seluruh umat manusia dan alam semesta, satu-satunya Allah yang benar? “Takut” tidak sepenuhnya bermaksud perasaan takut, gentar dan dikenakan tekanan. Takut akan Tuhan merupakan ibadah dan penghormatan yang tulus daripada manusia kepada Tuhan. Dalam zaman Perjanjian Baru, Yesus bukan lagi Tuhan yang menongkat langit tetapi merupakan teman yang terdekat dengan kita. Walau bagaimanapun, Tuhan ialah Tuhan dan kedudukan itu tidak akan berubah untuk selama-lamanya. Oleh itu, semakin dekat seseorang pada Tuhan, semakin mereka akan menghormati dan memuliakan Tuhan. Sebagai contoh, ketika Maria mengetahui bahawa dirinya bakal menjadi ibu kepada Mesias yang diharapkan oleh dunia, dia berkata dengan hati yang takut akan Tuhan: “Jiwaku memuliakan Tuhan, dan hatiku bergembira karena Allah, Juruselamatku, sebab Ia telah memperhatikan kerendahan hamba-Nya. Sesungguhnya, mulai dari sekarang segala keturunan akan menyebut aku berbahagia.” (Luk 1:46-48).
Banyak pemercaya yang menggantung plak “Kristus ialah Tuhan rumah saya” di rumah mereka. Plak ini bertujuan untuk sentiasa mengingatkan diri mereka agar membiarkan Yesus menjadi “tuan” dalam keluarga ini, bukannya “tetamu” yang dihormati tetapi segan untuk didekati. Dengan cara ini, kita dapat benar-benar menghormati dan memuliakan Tuhan serta membiarkan Yesus menyertai bahkan mengetuai setiap keputusan dalam keluarga ini. Apabila berhadapan dengan pelbagai pilihan yang meliputi pekerjaan sendiri, pasangan seumur hidup, pendidikan anak-anak dan lain-lain perkara yang memerlukan kita untuk membuat keputusan penting, kita dapat terlebih dahulu mempertimbangkan isu iman kepercayaan dan prinsip pengajaran yang diberikan oleh Yesus kepada kita. Prestasi ini menunjukkan bahawa kita tahu untuk takut akan Tuhan.
Kaleb dapat menghadapi musuh yang kuat dan dahsyat dengan berani bukannya kerana dia tidak memahami kekuatan musuh, tetapi kerana dia lebih memahami bahawa kuasa agung Tuhan Yang Mahatinggi merupakan kunci kemenangan! Pemahaman ini juga merupakan sebab dia dapat bertahan dalam mengikuti Tuhan dengan setia. Oleh itu, orang yang takut akan Tuhan pasti tidak takut dengan persekitaran yang bahaya. Siapakah bos, siapakah yang dapat menentukan segalanya dan menguasai keseluruhan keadaan? Dia tahu tentang hal ini dengan jelas. Sekiranya kita selalu takut akan Tuhan, kita akan dapat bertahan sampai pada akhirnya dan terus maju ke hadapan dengan berani walaupun menghadapi apa-apa kesusahan, bahaya atau halangan dalam iman kepercayaan.
E. KALEB MEMPUNYAI PEMAHAMAN YANG JELAS MENGENAI IDENTITI TERHORMATNYA YANG TERPILIH
Bangsa Israel merupakan umat yang dipilih khas oleh Tuhan daripada segala bangsa. Dalam pandangan Tuhan, mereka merupakan bangsa dari syurga, dan mereka mempunyai identiti terhormat yang tinggi mengatasi segala bangsa. Tetapi apabila mereka melihat bangsa asing yang lebih baik dan lebih cemerlang daripada mereka dalam pelbagai aspek, mereka merasa malu dan segan lalu perasaan rendah diri tersebut menyebabkan mereka lupa identiti mereka. “Sifat hamba” yang pada asalnya telah ditundukkan kini muncul semula bahkan meluahkan emosi negatif ini kepada Tuhan, Allah yang benar dan hamba-Nya Musa! Pada masa itu, bersungut-sungutlah semua orang Israel kepada Musa dan Harun; dan segenap umat itu berkata kepada mereka: “Ah, sekiranya kami mati di tanah Mesir, atau di padang gurun ini! Mengapakah TUHAN membawa kami ke negeri ini, supaya kami tewas oleh pedang, dan isteri serta anak-anak kami menjadi tawanan? Bukankah lebih baik kami pulang ke Mesir?” Dan mereka berkata seorang kepada yang lain: “Baiklah kita mengangkat seorang pemimpin, lalu pulang ke Mesir.” (Bil 14:2-4).
Mungkin kita berasa tidak tercapai oleh akal bahawa mereka sanggup mengkhianati Tuhan yang menyelamatkan mereka dengan kekuatan yang besar sebaliknya memilih untuk kembali ke tanah Mesir iaitu tempat mereka terseksa, ditindas, bahkan berhadapan dengan bahaya kepupusan bangsa. Mereka juga memilih untuk menjadi hamba yang hina tanpa kebebasan dan martabat! Sebenarnya pada hari ini, jika kita tidak dapat mengenalpasti identiti rohani kita, prestasi kita tidak semestinya lebih baik daripada mereka. Ketika kita tunduk pada keuntungan dunia, tunduk pada keinginan nafsu kita sendiri lalu melepaskan prinsip umat Kristian yang terhormat dan kudus, bukankah kita juga “kembali ke Mesir” dan sekali lagi menjadi hamba dosa? Ketika menghadapi ujian hidup, kita berputus asa dalam berseru kepada Tuhan sebaliknya berusaha secara membuta tuli dalam membina hubungan untuk meminta pertolongan manusia, bukankah kita juga “kembali ke Mesir” dan jatuh ke bawah kuasa dari dunia? Ketika kita melepaskan konsep nilai umat Kristian untuk mendapatkan pengakuan dunia, bukankah kita juga “kembali ke Mesir” untuk menjalani kehidupan yang sia-sia? “Tetapi kamulah bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib.” (1 Ptr 2:9). Inilah identiti kita yang sebenar. “Yaitu hidup kekal kepada mereka yang dengan tekun berbuat baik, mencari kemuliaan, kehormatan dan ketidakbinasaan.” (Rm 2:7). Kiranya kita semua dapat mengenal diri sendiri dengan lebih jelas dan menjalani kehidupan yang mengatasi segalanya melalui hubungan kerohanian yang erat dengan Tuhan.