INTI SAKRAMEN PEMBAPTISAN
Apabila seseorang ingin percaya kepada Yesus, kebanyakan gereja akan membaptisnya tanpa mengambil kira tentang cara pembaptisannya. Mengapa? Hal ini kerana Alkitab jelas mencatatkan pesanan Tuhan Yesus (Mat 28:19).
Adakah pembaptisan telah menjadi satu kebiasaan untuk “memasuki agama Yesus”? Tentunya bukan sekadar kebiasaan sahaja. Gereja Yesus Benar menjadikan “pembaptisan” sebagai salah satu “sakramen kudus”. Pembaptisan dilaksanakan dengan hati yang hormat bahkan dengan cara “seluruh tubuh ditenggelami air”. Oleh itu, acara ini boleh digelar sebagai “Sakramen Pembaptisan”. Mengapa? Berdasarkan Kebenaran yang dijelaskan dalam Alkitab, mari kita kaji tentang inti “Sakramen Pembaptisan”.
ASAL-USUL SAKRAMEN PEMBAPTISAN
Mengapa mesti menerima Sakramen Pembaptisan untuk terima anugerah keselamatan Tuhan Yesus? Firman dalam Alkitab mencatatkan: “Sebab jika kamu mengaku dengan mulutmu, bahwa Yesus adalah Tuhan, dan percaya dalam hatimu, bahwa Allah telah membangkitkan Dia dari antara orang mati, maka kamu akan diselamatkan.” (Rm 10:9). Jika hati saya telah percaya, mengapa langkah ini perlu dilakukan lagi? Ya, Sakramen Pembaptisan bukan sekadar kebiasaan sahaja. Memandangkan hati telah percaya, mengapa tidak berbuat menurut semua Kebenaran dalam Alkitab? Mari kita kaji tentang asal-usul Sakramen Pembaptisan:
A. TUHAN YESUS SECARA PERIBADI MENUNJUKKANNYA
Anugerah keselamatan Tuhan telah dirancang. Tuhan Yesus pada asalnya merupakan Tuhan yang benar di syurga. Demi menyelesaikan anugerah keselamatan, Dia telah dilahirkan di dalam dunia dengan “mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia.” (Flp 2:7). Demi memperkenalkan Tuhan Yesus, Tuhan terlebih dahulu mengatur seorang pekerja untuk menjadi perintis bagi Tuhan Yesus iaitu Yohanes. Yohanes ini digelar sebagai “Yohanes Pembaptis” kerana ciri-ciri pekerjaannya iaitu membaptis orang. Yohanes Pembaptis memberitakan Firman Tuhan, memberi amaran kepada orang supaya mengenali kesalahan masing-masing dan bertaubat serta menerima pembaptisan. Ketika Tuhan Yesus berumur kira-kira tiga puluh tahun dan ingin mula memberitakan Injil kerajaan syurga, Dia pergi kepada Yohanes Pembaptis untuk dibaptis olehnya. Dengan arahan Tuhan, Yohanes Pembaptis tahu bahawa Yesus ialah Mesias yang ditentukan oleh Tuhan. Pada asalnya, dia tidak berani dan mengaku tidak layak untuk membaptiskan Yesus. Namun Tuhan Yesus berkata kepadanya: “Biarlah hal itu terjadi, karena demikianlah sepatutnya kita menggenapkan seluruh kehendak Allah.” Oleh itu, Yohanes Pembaptis pun membaptiskan Yesus (Mat 3:13-15). Dengan itu, dia juga menyatakan bahawa Tuhan Yesus merupakan Juruselamat yang ditentukan oleh Tuhan (Yoh 1:31-34). Dalam ayat “menggenapkan seluruh kehendak Allah” yang disebut oleh Tuhan, “kehendak” juga disebut sebagai “upacara” yang merujuk kepada perkara yang adil, wajar dan harus dilakukan. Tuhan Yesus terima pembaptisan dan memberikan teladan. Dia ialah Firman yang telah menjadi manusia yang dilahirkan oleh perempuan muda iaitu Maria. Dia tidak mempunyai dosa asal, bahkan tidak pernah berbuat dosa di dalam dunia (rujuk Luk 23:4). Dia tidak perlu bertaubat dan terima pembaptisan untuk mendapatkan pengampunan seperti orang-orang yang berdosa. Tuhan menghormati cara Allah yang diberitakan oleh pekerja-Nya, maka kita juga seharusnya berbuat demikian pada hari ini.
B. PENGGENAPAN TUHAN
Dalam zaman Perjanjian Lama, jika ada bangsa asing yang menjadi milik orang Israel, laki-laki perlu dilalukan dari air seperti perempuan selain disunat (rujuk Bil 31:18-23). Jika orang Israel sendiri menjadi najis, mereka perlu mentahirkan diri mereka dengan air menurut hukum Taurat (rujuk Im 15:5-15). Semua upacara pentahiran dan upacara persembahan korban ini rata-ratanya mengajar orang Israel untuk mengejar pengampunan dosa dan kekudusan. Dengan kaedah “pembaptisan”, Yohanes Pembaptis juga mengajar orang banyak untuk mengejar pengampunan dosa dan kekudusan. Semua ini adalah arahan daripada Tuhan. Oleh itu, Tuhan pernah bertanya: “Baptisan Yohanes itu, dari sorga atau dari manusia?” (Luk 20:4). Jika dilihat dari segi cara, Tuhan Yesus menggunakan cara Yohanes Pembaptis. Walau bagaimanapun, hal yang paling penting ialah Tuhan Yesus mati di atas kayu salib demi dosa manusia dan mengalirkan darah-Nya yang bernilai lalu menggenapkan rancangan anugerah keselamatan Tuhan dan segala ibadah dalam Perjanjian Lama (rujuk Ibr 9:10, 10:10). Oleh itu, penyertaan dan kesaksian darah Tuhan yang bernilai diperlukan dalam Sakramen Pembaptisan untuk menghasilkan kuasa anugerah keselamatan.
C. PESANAN TUHAN
Selepas Tuhan Yesus bangkit dari antara orang mati dan sebelum terangkat ke syurga, Dia mengumpulkan murid-murid dan berpesan kepada mereka dengan banyak pengajaran. Dia berkata: “Kepada-Ku telah diberikan segala kuasa di sorga dan di bumi. Karena itu pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus.” (Mat 28:18-19). Nampaknya, Sakramen Pembaptisan merupakan arahan yang diberikan oleh Tuhan dengan kuasa-Nya. Setiap orang harus menerimanya dan jangan mengubahnya secara sembarangan menurut pandangan manusia atau untuk kemudahan dalam pelaksanaannya.
D. PEMATUHAN PARA RASUL
Selepas murid-murid Tuhan Yesus menerima Roh Kudus yang dijanjikan pada hari Pentakosta, mereka mendapat kuasa yang sangat kuat yang diberikan oleh Tuhan. Mereka tidak lagi berasa takut melainkan memberi kesaksian untuk Tuhan Yesus dengan berani dan memetik bukti daripada Alkitab. Mereka juga mengadakan banyak tanda dan mukjizat dengan penyertaan Tuhan sehingga hati banyak orang sangat terharu lalu bertanya: “Apakah yang harus kami perbuat, saudara-saudara?” Jawab rasul: “Bertobatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus.” (Kis 2:37-41). Para rasul dan para nabi merupakan dasar iman kepercayaan kita (Ef 2:20) kerana mereka menyaksikan Injil Tuhan. Seperti mana mereka melaksanakan Sakramen Pembaptisan dengan setia menurut perintah Tuhan, kita juga seharusnya berbuat demikian.
KUASA SAKRAMEN PEMBAPTISAN
Mengapakah Tuhan Yesus memerintahkan murid-murid-Nya dengan sangat berhati-hati (Mat 28:18)? Hal ini demikian kerana menerima baptisan darah Tuhan yang bernilai mempunyai kesan yang sangat baik. Berdasarkan Alkitab, kesan-kesannya diringkaskan seperti berikut:
A. DOSA DIAMPUNI
Selepas mendengar kesaksian para rasul, hati orang banyak sangat terharu lalu bertanya kepada para rasul: “Apakah yang harus kami perbuat, saudara-saudara?” Jawab Petrus kepada mereka: “Bertobatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosamu.” (Kis 2:17-38). Nampaknya sebaik sahaja manusia terharu, mereka akan mengaku “dosa” dengan rendah hati. Sebenarnya, sejak nenek moyang manusia, Adam dan Hawa berdosa, dosa telah masuk ke dalam dunia (Rm 5:12). Dosa mengawal pemikiran orang sepanjang masa dan menggunakan semua jenis bahan untuk menggoda orang. Dosa telah menjadi kuasa pemusnah yang terbesar di dunia. Manusia juga ingin mengawal dan menghapuskannya melalui Firman, hukum Taurat / undang-undang, bahkan kepercayaan agama buatan manusia. Walau bagaimanapun, semuanya gagal. Satu-satunya cara yang ada ialah dengan percaya dan bersandar kepada Tuhan yang benar di syurga melalui cara anugerah keselamatan yang ditetapkan oleh Dia (rujuk Rm 3:27). Dalam Sakramen Pembaptisan, dosa benar-benar dapat diampuni kerana ada penyertaan darah Tuhan yang bernilai yang dialirkan oleh-Nya bagi menggantikan dosa manusia. Kasih karunia inilah yang dijanjikan oleh Tuhan dan pengorbanan yang dibuat oleh-Nya.
B. DAPAT DILAHIRKAN KEMBALI
Ketika menjawab soalan Nikodemus, Tuhan Yesus berkata: “Jika seorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, ia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah.” (Yoh 3:5). Oleh itu, Sakramen Pembaptisan juga digelar sebagai “permandian kelahiran kembali” (Tit 3:5). Sakramen Pembaptisan adalah umpama manusia lama itu mati dan dikuburkan bersama-sama dengan Tuhan Yesus (rujuk Rm 6:3-4) malahan dibangkitkan bersama-sama dengan Tuhan (Kol 2:12) dan terima hidup baru yang diberikan oleh Tuhan, malahan hidup yang berkelimpahan (Yoh 10:10). Dengan itu, kita dapat menjadi ciptaan baru, mempunyai matlamat hidup yang baru dan tidak lagi hidup hanya untuk diri sendiri, terutamanya tidak lagi mengejar kenikmatan material sebagai sasaran. Sebaliknya, kita mengejar berkat hidup kekal dan mempunyai cara hidup yang baru. Kita tidak lagi mentaati penguasa kerajaan angkasa dan menuruti keinginan manusia sebaliknya mentaati kehendak Tuhan, terus-menerus diperbaharui untuk memperoleh pengetahuan yang benar menurut gambar Khaliknya (Kol 3:9-10).
C. DIKUDUSKAN DAN DIBENARKAN
Bagi orang yang terima Sakramen Pembaptisan, dosanya diampuni dan dia dapat dilahirkan kembali. Di samping itu, dia dapat dibenarkan oleh Tuhan dan diselamatkan dari murka Allah (Rm 5:9) lalu maju menuju ke arah sasaran iaitu dikuduskan. Kita tidak lagi hidup di dalam dosa kerana kita telah masuk ke dalam kasih karunia Tuhan. Kita tetap hidup di dalam tubuh daging dan dunia selepas percaya kepada Tuhan. Oleh itu, kita tidak dapat mengelak daripada pelanggaran kerana kelemahan yang sementara. Walau bagaimanapun, kuasa penyucian darah Tuhan yang bernilai senantiasa mengikuti kita. Pada masa kita bertaubat, pada masa itu juga kita dapat disucikan (1 Yoh 1:9). Tambahan pula, kita mempunyai hidup baru di dalam kita yang akan terus-menerus menyelia kita untuk maju ke hadapan dan mengejar hidup yang kudus. Oleh itu, seorang umat Kristian yang soleh harus bersandar kepada pertolongan Roh Kudus, senantiasa menyempurnakan rohani, ingatkan diri sendiri untuk menghapuskan segala pelanggaran dan menjauhi godaan kebendaan supaya dapat berdiri di posisi kasih karunia dibenarkan oleh Tuhan untuk selama-lamanya dan mencapai sasaran dikuduskan.
D. MENJADI MILIK KRISTUS
Alkitab berfirman: “Sebab kamu semua adalah anak-anak Allah karena iman di dalam Yesus Kristus. Karena kamu semua, yang dibaptis dalam Kristus, telah mengenakan Kristus. Dalam hal ini tidak ada orang Yahudi atau orang Yunani, tidak ada hamba atau orang merdeka, tidak ada laki-laki atau perempuan, karena kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus. Dan jikalau kamu adalah milik Kristus, maka kamu juga adalah keturunan Abraham dan berhak menerima janji Allah.” (Gal 3:26-29). Nampaknya, terima Sakramen Pembaptisan bermakna menjadi milik Kristus yang melambangkan:
- Tinggal di dalam Yesus, boleh menerima perlindungan, pimpinan dan berkat Tuhan
- Merupakan manusia kepunyaan Allah, beroleh kemerdekaan, tidak lagi diperhambakan oleh dosa (Rm 6:6) dan tidak lagi takut dengan penguasaan oleh banyak kepercayaan karut atau tahyul.
- Berada di dalam Yesus, boleh saling mengasihi, mengambil berat dan menerima dengan hati yang ikhlas serta menjadi satu keluarga tanpa membezakan antara bangsa, kebijaksanaan, kebodohan, status sosial, kaya atau miskin.
- Menjadi anak-anak Tuhan, mempunyai pengharapan keselamatan dan berkelayakan untuk menerima warisan kekal yang disediakan oleh Tuhan.
Oleh itu, kita haruslah melayani Tuhan dengan setia, pertahankan iman kepercayaan dan kasih karunia yang dikurniakan oleh-Nya sampai pada kesudahannya dan mengharapkan kedatangan Tuhan untuk kali yang kedua.
CARA PERLAKSANAAN SAKRAMEN PEMBAPTISAN
Cara yang digunakan amat penting dalam melakukan segala sesuatu. Sekiranya caranya betul, kita boleh mendapat hasil yang berlipat ganda. Cara pembaptisan yang tepat mempengaruhi sama ada pembaptisan yang diterima mempunyai kesan yang disebutkan di atas iaitu dapat diselamatkan ataupun tidak. Oleh itu, Sakramen Pembaptisan haruslah dilaksanakan berdasarkan cara yang dikatakan dalam Alkitab. Caranya diperkenalkan seperti berikut:
A. DALAM NAMA TUHAN YESUS
Sebelum terangkat ke syurga, Tuhan berpesan kepada rasul: “Pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus.” (Mat 28:19). Selepas para rasul menerima Roh Kudus pada hari Pentakosta, mereka dengan beraninya memberi kesaksian untuk Tuhan secara berasingan. Ketika hati orang banyak sangat terharu, jawab Petrus kepada mereka: “Bertobatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosamu.” (Kis 2:38). Nampaknya mereka memahami bahawa “nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus” ialah “Yesus” (Kis 10:48). Hanya nama kudus Yesus sahaja yang mempunyai kuasa pengampunan kuasa dan berkuasa menyelamatkan manusia (Kis 4:12). Orang-orang kudus juga mengadakan pelbagai tanda dan mukjizat dengan bersandarkan nama Yesus (Kis 4:10, 16:18). Pada hari ini, kita juga harus membaptis dan bekerja dalam nama Tuhan.
B. SELURUH TUBUH DITENGGALAMI AIR
Sakramen Pembaptisan ditunjukkan oleh Tuhan Yesus sendiri. Menurut catatan Alkitab, Tuhan Yesus dibaptis di Sungai Yordan, “Yesus segera keluar dari air” (Mat 3:16). Ketika murid Tuhan Yesus membaptis, caranya juga “keduanya turun ke dalam air, … keluar dari air.” (Kis 8:38-39). Semua ini menunjukkan bahawa semasa Sakramen Pembaptisan, seluruh tubuh orang yang dibaptis mesti ditenggelamkan ke dalam air. Maksud asal Sakramen Pembaptisan ialah “penyelaman”. Berdasarkan cara yang dicatatkan dalam Alkitab, kita dapat mengetahui bahawa air yang digunakan ialah air yang mengalir iaitu yang disebut sebagai air hidup. Oleh itu, kita harus melakukannya menurut cara Tuhan Yesus dan rasul dengan hati yang murni. Kita harus melaksanakan Sakramen Pembaptisan yang menenggelamkan seluruh tubuh ke dalam air dan melaksanakannya di dalam air yang mengalir seperti sungai atau laut untuk menerima berkat yang dijanjikan oleh Tuhan.
C. MUKA MENGHALA KE BAWAH
Mengapa? Pada satu sisi, terima Sakramen Pembaptisan bermaksud kita rela mengaku bahawa kita ialah orang berdosa secara rendah hati dan perlu menerima kasih karunia Tuhan iaitu pengampunan dosa. Oleh itu, terima Sakramen Pembaptisan dengan menundukkan kepala (muka menghala ke bawah) di hadapan Tuhan adalah sangat tepat. Sebagai contoh, pemungut cukai yang disebut oleh Tuhan dalam perumpamaan-Nya bertaubat dengan rendah hati di hadapan Tuhan (Luk 18:13). Seperti yang dikatakan oleh Daud: “Aku telah terkejar oleh kesalahanku, sehingga aku tidak sanggup melihat.” (Mzm 40:13). Pada satu sisi yang lain, Paulus pernah berkata: “Atau tidak tahukah kamu, bahwa kita semua yang telah dibaptis dalam Kristus, telah dibaptis dalam kematian-Nya? Sebab jika kita telah menjadi satu dengan apa yang sama dengan kematian-Nya, kita juga akan menjadi satu dengan apa yang sama dengan kebangkitan-Nya.” (Rm 6:3-5). Rupa kebangkitan Tuhan itu mulia manakala bagi keadaan ketika Tuhan mati pula, rasul Yohanes dengan luar biasanya mencatatnya: “Sesudah Yesus meminum anggur asam itu, berkatalah Ia: “Sudah selesai.” Lalu Ia menundukkan kepala-Nya dan menyerahkan nyawa-Nya.” (Yoh 19:30). (Memandangkan telah dilantakkan di atas kayu salib, menundukkan kepala semasa meninggal dunia merupakan sesuatu yang semula jadi. Mengapakah hal itu perlu disebut secara khusus?) Oleh itu, kita percaya bahawa terima Sakramen Pembaptisan dengan menundukkan kepala adalah wajar dan sesuai dengan kehendak Tuhan.
D. HARUS DIBAPTIS OLEH ORANG YANG DIUTUS
“Dan bagaimana mereka dapat memberitakan-Nya, jika mereka tidak diutus?” (Rm 10:15). Tuhan Yesus mengutus rasul-rasul menurut perintah Tuhan dan berjanji untuk memberikan Roh Kudus kepada mereka sebagai bukti (Yoh 20:21-23) supaya dosa manusia mendapat pengampunan Tuhan melalui Sakramen Pembaptisan. Para rasul mula memberitakan Firman dan membaptis selepas terima Roh Kudus (Kis 2). Oleh itu, gereja pada hari ini harus ada penyertaan Roh Kudus untuk menyatakan bukti sebagai utusan Tuhan. Dengan itu, gereja akan mempunyai kuasa untuk membuatkan orang menerima kasih karunia Tuhan dan masuk ke dalam kerajaan Tuhan melalui Sakramen Pembaptisan.
CARA TERIMA SAKRAMEN PEMBAPTISAN
Kata Tuhan: “Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.” (Yoh 14:6). Hanya Dia sahaja yang telah mati demi kita lalu mengalirkan darah yang bernilai untuk menyucikan dosa kita. Bagaimanakah seharusnya seseorang menerima Sakramen Pembaptisan-Nya?
A. HARUS PERCAYA
Tuhan Yesus berkata: “Siapa yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan.” (Mrk 16:16). Percaya merupakan syarat yang paling utama. Pertama sekali, harus percaya bahawa Yesus ialah Juruselamat yang tunggal. Hanya Dia sahaja yang dapat benar-benar menyelamatkan kita daripada segala penderitaan untuk masuk ke dalam kerajaan syurga. Kedua, harus percaya bahawa semua khasiat Sakramen Pembaptisan bukanlah suatu prosedur memasuki agama melainkan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan keselamatan iaitu membuatkan diri sendiri menerima kasih karunia Tuhan. Ketiga, harus percaya pada cara Sakramen Pembaptisan yang bersesuaian dengan Alkitab dan Firman dalam Alkitab serta gereja benar yang memberitakan segala Kebenaran ini. Menjadi milik Kristus dengan cara ini membolehkan kita mendirikan iman kepercayaan yang kukuh dan menjadi seorang umat Kristian yang sejati.
B. HARUS BERTAUBAT
Mengaku dosa sendiri, seperti Petrus berkata dalam dorongannya: “Bertobatlah dan hendaklah kamu masing-masing memberi dirimu dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosamu.” (Kis 2:38). Ketahuilah bahawa tidak mengenali Yesus, Tuhan yang di syurga dan menjauhi, meninggalkan Dia lalu menyembah tuhan palsu yang lain merupakan kesalahan dan dosa besar. Ketahui juga bahawa semua konsep, tingkah laku, keperibadian, adat dan kebiasaan yang tidak sesuai dengan Kebenaran Alkitab adalah salah. Kita bersedia untuk berubah dan berusaha sepenuhnya berdasarkan Kebenaran.
C. HARUS BERTEKAD
Apabila bertaubat, kita juga harus bertekad untuk mengejar matlamat yang lebih baik dan ketahuilah: “Untuk masuk ke dalam Kerajaan Allah kita harus mengalami banyak sengsara.” (Kis 14:22). Berdoalah dan memohon kekuatan Roh Kudus dari semasa ke semasa, jangan berundur walau dalam apa-apa situasi, kenal pastilah bahawa hanya Yesus sahaja satu-satunya Juruselamat, pikullah salib dan ikutlah Dia, jangan lagi memandang ke belakang dalam sepanjang hidup dan pertahankanlah iman kepercayaan sehingga dapat menyelesaikan perjalanan hidup kekal ini.
KESIMPULAN
Sakramen Pembaptisan merupakan permulaan untuk menerima anugerah keselamatan dan pengharapan untuk memasuki kerajaan syurga. Seseorang hanya boleh menerima sekali sahaja Sakramen Pembaptisan yang bersesuaian dengan Alkitab dan khasiatnya mengikuti kita untuk sepanjang hidup ini. Oleh itu, dengan mempunyai keberanian percaya dan tekad yang menghargai kasih karunia pengampunan dosa ini, kita harus mengharapkan mahkota kemuliaan yang akan diterima apabila Tuhan datang kembali.