KEKELIRUAN DAN PEMBANGUNAN SEMULA IMAN KEPERCAYAAN
Dalam zaman sekarang, adalah hampir mustahil bagi orang Kristian untuk bebas daripada kekeliruan iman kepercayaan. Antaranya juga termasuklah pelajar kolej / universiti. Persekitaran yang dihadapi, buku-buku yang dibaca dan peristiwa-peristiwa yang dilalui selalunya terus-menerus mempengaruhi iman kepercayaan yang dipertahankan. Bagi kekeliruan iman kepercayaan, “melarikan diri” sama sekali bukan cara yang tepat untuk menyelesaikan masalah. Melengah-lengahkan, mengabaikan, dan menekan pula hanya akan membuatkan iman kepercayaan menjadi buntu atau menyimpang, sehingga akhirnya menjauhi iman kepercayaan dan menjadi Kristian “pada nama sahaja”. Oleh itu, kekeliruan iman kepercyaaan harus dipandang secara serius. Kita harus mencari jalan penyelesaiannya, mencapai anjakan paradigma dalam kekeliruan, dan membangun kepercayaan peribadi yang berakar dan berasas.
Terdapat pelbagai alasan untuk kekeliruan iman kepercayaan yang dapat dibahagikan secara kasar kepada berikut:
A. Konflik dan ketidakfahaman pengetahuan: Banyak teori pengetahuan telah mempengaruhi ajaran iman kepercayaan. Contoh yang paling jelas ialah cabaran teori evolusi terhadap teori penciptaan. Buku teks telah berulang kali mengajarkan bahawa manusia berevolusi daripada kera / monyet. Ajaran ini nampaknya menyerang catatan tentang penciptaan manusia dalam kitab Selain itu, kejayaan terbesar dalam komuniti saintifik kebelakangan ini adalah dengan membuktikan bahawa air pernah wujud di planet Marikh. Tindakan ini juga nampaknya mencabar penciptaan segala sesuatu dalam alam semesta dalam kitab Kejadian. Sains kehidupan atau teknologi komputer masa kini memberikan pandangan yang gemilang tentang masa depan dunia kepada manusia dengan fikiran bahawa “mitos agama” akan hilang.
Refleksi iman kepercayaan: Untuk serangan pengetahuan di atas atau yang berkaitan, kita harus kembali kepada persoalan asasnya. Pertama sekali, kita mesti mengetahui dengan jelas bahawa sains dan agama bukanlah dua pihak yang saling bermusuhan bagai rabuk dengan api, asal berdekat menyalalah ia. Hakikatnya, kedua-duanya merupakan dua bidang kehidupan yang berbeza. Teori evolusi, air di planet Marikh dan sains kehidupan bukan saja tidak bertentangan dengan iman kepercayaan, apalagi menafikan idea-idea teras iman kepercayaan Kristian: Tuhan dan penyebab pertama. Walaupun teori evolusi membuktikan teorinya sendiri dengan teliti (walaupun teori ini merupakan pengetahuan yang berkembang daripada hipotesis Darwin yang masih mudah goyah pada hari ini), namun teori ini masih tidak dapat menjawab tentang kemunculan atau asal usul penyebab pertama. Pencapaian astrofizik yang cemerlang masih tidak menafikan teori penciptaan. Maka ketika manusia berdiri di permukaan bulan untuk menandakan pencapaian sains manusia, mereka hanya dapat memandang ke arah alam semesta yang luas sambil membaca kitab Mazmur fasal 8 yang memuji perbuatan ajaib penciptaan Tuhan.
B. Bencana: Dari gempa bumi 921 hingga tsunami Asia Selatan. Adalah mustahil untuk mengatakan bahawa hidup manusia tidak terjejas. Manusia lebih mudah untuk melepaskan kenangan perang saudara di negara Afrika dan tragedi 911 kerana peristiwa-peristiwa itu ialah bencana buatan manusia. Namun, bencana alam bahkan telah meragut ratusan ribu nyawa. Trauma dan keraguan dalam jiwa ini sukar untuk ditenangkan walaupun selepas masa yang lama. Tambahan pula, penderitaan yang dihadapi oleh individu dalam perjalanan hidup mengajar mereka untuk menilai semula iman kepercayaan mereka.
Renungan iman kepercayaan: Penderitaan selalu menjadi subjek yang serius dalam iman kepercayaan agama. Alkitab bahkan menggunakan hujah yang panjang (kitab Ayub) untuk menerangkan penderitaan. Punca penderitaan berasal daripada “dosa”. Penderitaan orang Kristian juga berasal daripada “dosa”. Cara penyelesaian untuk penderitaan hanyalah bergantung pada penyelamatan dan penebusan. Tambahan pula, tujuan penyelamatan dan penebusan bukanlah untuk penghapusan penderitaan dunia ini, tetapi pemberian syurga abadi. Maka, penderitaan peribadi orang Kristian dipandang sebagai perjalanan untuk menerima penyelamatan dan penebusan. Sebab itulah ayat suci mengatakan: “aku tertindas itu baik bagiku”.
C. Mitos agama: Bagi persekitaran agama, kita pada dasarnya terperangkap dalam paya iman kepercayaan yang buruk. Pemikiran dan adat istiadat agama asing terus menyerang kehidupan kita melalui kata-kata dan seni. Sebilangan orang mula tertanya-tanya, adakah agama Buddha merupakan agama yang salah? Fenomena luar biasa telah menyokong kepercayaan rakyat! Tidak cukupkah menyembah Yesus di tengah-tengah kepercayaan I-Kuan-Dao?
Refleksi iman kepercayaan: Kesejahteraan sosial merupakan produk terbitan agama, bukan nilai teras agama. Idea teras agama Kristian ialah monoteisme, manusia tidak sepenuhnya baik dan sempurna, dan manusia memerlukan penyelamatan dan penebusan Tuhan. Bagaimana agama Buddha yang bersifat ateisme dapat menerima bahawa kita memeriksa doktrin agama asing dengan dasar ini? Adakah mungkin bahawa kepercayaan I-Kuan-Dao yang bersifat politeisme itu benar? Adakah pemujaan utilitarianisme kepercayaan rakyat boleh diharapkan? Inti iman kepercayaan terletak pada kejujuran iaitu menerima wajah sebenar manusia dengan jujur – keterbatasan manusia, ketidaksempurnaan manusia, dan keperluan manusia untuk diselamatkan dan ditebus. Inti iman kepercayaan bukan bermaksud untuk memabukkan diri sendiri dengan membina situasi dan teori ilusi, juga bukan bermaksud memanjakan diri sendiri dalam penipuan iaitu melepaskan masa depan sendiri dengan keuntungan hidup kini. Kita harus berjaga-jaga dengan godaan dan pekerjaan roh-roh jahat.
D. Terdapat banyak ajaran sesat: “Dia juga memiliki Roh Kudus”, “Paderi ini dapat menyembuhkan penyakit”, “Gereja ini ada tanda mukjizat”. Fenomena agama Kristian yang serba aneka menyebabkan kita rambang mata. Gerakan karismatik pula muncul secara simpang siur. Mazhab yang dahulunya memandang Roh Kudus sebagai binatang buas air bah kini juga telah terpengaruh. Mazhab-mazhab baharu yang mengejar Roh Kudus juga muncul terus-menerus; para nabi telah muncul berulang kali, dan para pengikut memujinya secara membuta tuli; seolah-olah kegemilangan agama Kristian telah muncul dan Tuhan memihak kepadanya.
Refleksi iman kepercayaan: Alkitab telah berulang kali mengingatkan: “janganlah percaya akan setiap roh”, “waspadalah terhadap Mesias-mesias palsu” dan “waspadalah terhadap nabi-nabi palsu”. Iman kepercayaan mesti didasarkan pada kebenaran Alkitab. Semua yang melanggar kebenaran Alkitab, sekalipun “malaikat dari syurga”, terkutuklah dia.
E. Trend sekular: “Hubungan luar nikah”, “cinta satu malam (one night stand)”, “homoseksual”, “selagi saya suka, semuanya boleh dilakukan”, “bagai tanah pelempar balam”. Dunia menggunakan pembungkus luar yang cantik untuk membungkus keinginan yang bobrok. Demonstrasi salah oleh tokoh masyarakat dan pengaruh berkumpulan masyarakat telah menjadikan trend-trend popular generasi ini. Nikmat pada masa sekarang dan kesenangan tepat pada masanya telah menjadi nilai model generasi ini.
Refleksi iman kepercayaan: Trend popular tidak sama dengan kebenaran, maklumat tidak sama dengan pengetahuan. Seseorang tidak hanya hidup dalam sesuatu trend. Hal ini kerana trend-trend silih berganti jauh lebih cepat daripada tahun-tahun kehidupan. Orang-orang yang mengejar trend akan terus-menerus menafikan diri mereka sendiri sehingga kehilangan arah. Ketika mereka sedar, masa sudah berlalu dan tidak ada lagi peluang kedua. Sesal kemudian tiada berguna, dan mereka tidak dapat balik ke pangkal jalan. Oleh itu, “Ingatlah akan Penciptamu pada masa mudamu, sebelum tiba hari-hari yang malang.”
Untuk menghadapi kekeliruan dan serangan iman kepercayaan seperti ini, pembangunan sikap iman kepercayaan yang betul adalah sangat penting. Dalam membangun dan mengejar iman kepercayaan, sikap iman kepercayaan kita seharusnya ialah: mengejar pemahaman dalam kerasionalan, memberhentikan langkah pada batas kerasionalan, percaya di luar kerasionalan; mendapat pengalaman dalam iman kepercayaan, mencapai kemajuan dalam pengalaman, menjadi matang dalam kemajuan; menyerahkan kepada Tuhan dalam iman, memelihara diri dalam kasih karunia. Akhir katanya ialah: “takutlah akan Allah dan berpeganglah pada perintah-perintah-Nya”.