KITAB MAZMUR
(Penatua Qiu Yi Xiong)
“Puisi” merupakan pengalaman jiwa dan ekspresi semula jadi perasaan manusia. Tempat yang ada kehidupan pasti ada puisi. Puisi merupakan kaedah sastera yang paling ekonomik. Puisi tidak menggunakan banyak perkataan, tetapi maknanya sangat mendalam. Puisi membolehkan manusia berimaginasi, membuat renungan, mengasyikkan diri, dan bahkan mustahil untuk dihentikan. Puisi bermaksud penyair menggunakan kalimat yang paling halus untuk menyatakan kecerdasan imaginasinya dan kekayaan perasaannya melalui kata-kata lalu menyampaikannya ke dalam hati orang lain dan menyentuh perasaan orang lain. Puisi benar-benar merupakan seni bahasa yang indah. Setiap kaum menggunakan bahasanya sendiri untuk menuliskan pemikiran dan perasaan dari masa ke masa dalam bentuk puisi indah dan menjadikannya satu bahagian yang paling berperikemanusiaan dalam budaya. Orang Ibrani ialah bangsa yang mempunyai emosi yang bebas dan pemikiran yang kaya. Mereka pandai menyanyi, dilahirkan puitis, suka meditasi dan introvert. Mereka memelihara pelbagai legenda kuno, kisah sejarah dan pengalaman hidup dengan menggunakan nyanyian lagu rakyat, penceritaan, teka-teki, dan peribahasa / mutiara kata serta dinyanyikan dari generasi ke generasi. Mereka secara semula jadinya matang dan berpemikiran, tenang memerhatikan hidup dan mengejar kebenaran hidup. Mereka dengan bersungguh-sungguh mencari kebijaksanaan serta mengejar falsafah hidup yang tidak tumpu pada organisasi dan struktur seperti masyarakat industri Barat. Puisi Ibrani merupakan hasil semangat Ibrani ini. Bangsa Ibrani mula menggunakan puisi seawal Zaman Gangsa, dan kemudian disokong dan digemilangkan pada masa raja Daud.
NAMA KITAB MAZMUR
Kitab Mazmur merupakan kumpulan puisi yang terbentuk daripada 150 puisi. Puisi-puisi ini tidak ditulis pada masa yang sama, tetapi dalam jangka masa yang sangat panjang. Puisi yang paling awal dapat ditelusuri ke zaman Musa (bilangan 90) dan beberapa bukti dalaman menunjukkan masa umat kembali daripada pembuangan (bilangan 126), dan pembahagian masanya adalah selama seribu tahun. Nampaknya, latar belakang sejarah keseluruhan kitab Mazmur ialah sejarah negara Israel.
Kitab Mazmur kelihatan seperti sebuah kitab yang agak tersusun dan sistematik. Namun kitab Mazmur sebenarnya merupakan sebuah kitab yang terdiri daripada banyak puisi bebas dan saling tidak berkaitan atau puisi kecil yang disuntingkan bersama. Susunan dalam kitab Mazmur tetap tidak berubah dari zaman kuno hingga sekarang dalam semua manuskrip Ibrani dan semua terjemahan kuno.
Kitab Mazmur berada di tengah-tengah seluruh Alkitab yang menghubungkan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Kitab Mazmur merupakan gulungan kitab yang paling dinikmati dan disukai oleh pemercaya zaman berzaman. Kitab Mazmur bukan hanya koleksi kidung rohani orang Ibrani, tetapi juga kitab puitis orang Kristian. Kitab Mazmur juga merupakan gedung harta benda rohani, buku penyempurnaan rohani dan model doa.
Kitab Mazmur dalam bahasa Ibrani dinamai Tehillim yang bererti “pujian”, atau Tephiloth, yang bererti “doa”. Nama ini mungkin berasal daripada 72:20: “Sekianlah doa-doa Daud bin Isai.” Isi kandungan seluruh kitab Mazmur tidak lebih daripada ucapan kesyukuran, pujian, doa dan ibadah.
Istilah Mazmur (Psalms) berasal daripada perkataan Yunani, Psalmoi, yang bermaksud “nyanyian yang dimainkan dengan musik kecapi”. Gereja Katolik menggelar kitab Mazmur sebagai “Psalter” kerana banyak mazmur terdiri daripada nyanyian-nyanyian yang dinyanyikan dengan musik. Judul mazmur juga menyatakan instrumen muzik yang digunakan (contoh: Dengan permainan kecapi, Menurut lagu: Gitit), menyatakan melodi lagu (contoh: Menurut lagu: Rusa di kala fajar, Menurut lagu: Bunga bakung, Nyanyian ratapan), dan ada juga kata-kata seperti “Untuk pemimpin biduan” dan sebagainya. Jadi kitab Mazmur juga boleh disebut “Lagu Pujian” (Mizmor dalam bahasa Ibrani) atau “Buku Pujian”.
PENULIS-PENULIS KITAB MAZMUR
Penulis kitab Mazmur adalah ramai. Mereka ialah tokoh bagi zaman yang berbeza dan tempoh masanya adalah lebih daripada seribu tahun (sekitar tahun 1500 – 450 SM). Hari ini, tidak ada antara kita yang dapat mengesahkan penulis kitab Mazmur daripada tatabahasa Ibrani atau kapsyen dan isi kandungan kitab Mazmur. Walau bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mempengaruhi nilai dan isi kandungan kitab Mazmur. Hal ini kerana kitab Mazmur digunakan untuk ibadah oleh orang Israel. Tema utamanya ialah hubungan antara Tuhan dengan manusia dan sikap manusia semasa beribadah kepada Tuhan. Tema ini tidak ada batasan masa dan ruang.
Penulis-penulis kitab Mazmur ialah hamba Tuhan. Mereka semua mempunyai hidup yang aktif, kerohanian yang luar biasa, iman yang baik, daya imaginasi yang kaya, dan perasaan yang kuat. Mereka juga jurubicara Tuhan. Kata-kata mereka diilhamkan oleh Roh Kudus, mengandungi falsafah hidup yang tidak terbatas, dan penuh dengan sifat musikal (musicality). Oleh itu, mengkaji kitab Mazmur bukan hanya dapat menyentuh kita supaya menimbulkan tindak balas kesamaan, tetapi juga dapat membawa kita kembali ke zaman penyair. Dengan demikian, kita dapat berfikir, bersedih, bertaubat, mengeluh dan menangis bersama dengan penyair di samping bersyukur dan memuji, bersorak dan memuji Tuhan sehingga mencapai tahap melupakan diri sendiri.
A, Mazmur-mazmur oleh Daud
Secara keseluruhannya terdapat 73 mazmur. Daud merupakan penulis utama kitab Mazmur kerana sebilangan besar mazmur merupakan karya Daud. Oleh itu, orang Ibrani biasa menyebut kitab Mazmur sebagai “Kidung Daud”, dan semua kumpulan puisi diberikan nama Daud. Pengkhutbah, C.H. Spurgeon menyebut kitab Mazmur “gedung harta benda Daud”. Kitab Mazmur disebut “dengan perantaraan Daud” oleh generasi kemudian (Ibr 4:7). Hal ini kerana banyak karya di dalam kitab Mazmur dilabel sebagai “Mazmur Daud”. Bahagian pertama hingga kedua diakhiri dengan “Sekianlah doa-doa Daud bin Isai.” Walaupun bukan semua mazmur ditulis oleh Daud, namun mazmur yang bertanda nama Daud juga tidak semestinya ditulis olehnya.
“Mazmur Daud”, perkataan Ibrani “le” yang bermaksud oleh, mempunyai beberapa makna yang berbeza:
- Mempunyaimakna subordinat, seperti “of” dalam bahasa Inggeris, yang bermaksud mazmuryang ditulis oleh Daud atau tergolong dalam hasil tulisan tangan Daud.
- Bermakna melakukan sesuatu dengan tujuan, seperti “for” dalam bahasa Inggeris, yang bermaksud mazmuryang ditulis untuk Daud,“didedikasikan kepada”, seperti “to” dalam bahasa Seorang penyair yang tidak diketahui namanya menulis mazmur dan menghadiahkan mazmur itu kepada Daud atau mazmur itu dipersembahkan kepada raja Daud yang terkemuka.
- Bermaknaada tujuan “rujukan”atau “penyelidikan”, seperti “with” dalam bahasa Inggeris, iaitu raja Daud pernah menilai dan menghargai mazmur
- Kata sendi namaini juga bermakna“guna”, yang bermaksud bahawa mazmur ini pernah digunakan oleh Daud sendiri dan bahkan oleh kerajaan
Sebilangan pengkritik berpendapat bahawa Daud adalah seorang gembala ketika dia masih kecil dan tidak pernah menerima pendidikan yang baik. Dia seorang perajurit. Bolehkah dia menuliskan mazmur yang hebat? Sebab-sebab berikut dapat mendorong kita untuk percaya bahawa Daud dapat menghasilkan mazmur.
- Dia seorang yang benar-benar takut akanTuhan dan mempunyai perasaan keagamaan yang murni. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah kehilangan iman kepada Tuhan, dan Roh Tuhan menyertainya (1 Sam 16:13).
- Dia seorang yang sangat berbakat. Dia pandai muzik dan irama pada usia muda dan mempunyai bakat mazmur. Dia pernah dipanggil menjadi pelayanSaul. Dia memainkan kecapi dan mengusir roh yang jahat untuk Saul supaya Saul berasa lega dan nyaman (1 Sam 16:18,23).
- Dia seorang pemuzik yang mahir dalam seni kecapi, dan merupakan “pemazmur yang disenangi diIsrael” (2 Sam 23:1). Dia bukan hanya pandai bermain kecapi, tetapi juga membuat alat-alat muzik / bunyi-bunyian supaya orang dapat memainkannya dan memuji Tuhan (1 Taw 23:5; Neh 12:36; Am 6:5). Dia mengatur para penyanyi dan merumuskan pelbagai peraturan untuk ibadah muzik di Bait Suci (1 Taw 25; Ezr 3:10; Neh 12:24,36).
- Dia seorang penyair dengan perasaanyang mendalam dan daya imaginasi yang kaya. Tuhan melepaskannya daripada penganiayaan Saul lalu dia menulis Mazmur bilangan 18 (2 Sam 22). Dia menulis nyanyian ratapan apabila Saul dan Yonatan meinggal dunia (2 Sam 1:19-27). Dia juga menulis ratapan untuk meratapi Abner (2 Sam 3:33-34).
- Tuhan Yesus (Mat 22:41-45; Mrk 12:36-37; Luk 20:42-43) dan para rasul (Kis 1:16, 2:25, 4:25; Rm 4:6, 11:9; Ibr4:7) telah satu persatu membuktikan bahawa Daud pernah menulis m
- Dia memiliki banyak pengalaman hidup. Dia pernahmendaki gunung tinggi dan menuruni lembah. Dia ada banyak pencapaian dan kemuliaan besar; dia juga ada kegagalan besar, dosa serius, dan juga pernah merasai kesakitan hukuman dan kepahitan Dia mempunyai bakat dalam menulis puisi dan menyatakan pengalaman hidupnya melalui puisi. Kehidupannya yang berwarna-warni adalah seperti puisi dengan isi kandungan yang indah dan kaya. Oleh itu, mazmur-mazmurnya telah menjadi harta karun hati orang zaman-berzaman dan karya agung sepanjang zaman.
Antara mazmur yang bertanda “Mazmur Daud”, ada 13 mazmur yang menunjukkan latar belakang penulisannya. Sebagai contoh, “Mazmur Daud, ketika ia lari dari Absalom, anaknya.” (3). Bukan semua mazmur ini ditulis pada masa kejadian. Ada mazmur yang dihasilkan dalam retrospeksi penuh perasaan selepas itu.
B, Satu mazmur oleh Musa (90)
C, Dua mazmur oleh Salomo (72, 127)
Salomo menggubah seribu lima nyanyian, tetapi kebanyakannya telah hilang, dan hanya ada dua nyanyian dalam kitab Mazmur.
D, Dua belas mazmur oleh Asaf
Asaf orang Lewi dan merupakan pemimpin biduan Daud (1 Taw 15:16-19, 25:1-3). Dia disebut sebagai pelihat (2 Taw 29:30). Terdapat dua belas mazmur oleh Asaf (fasal 50, 73 – 83). Ada sarjana yang berpendapat bahawa “Mazmur Asaf” merupakan karya keluarga Asaf. Mazmur-mazmur ini kebanyakannya merupakan kenangan sejarah dengan kata-kata yang elegan, momentum yang megah, tema penulisan yang luar biasa, serta penggunaan perumpamaan dan kiasan yang baik.
E, Satu mazmur oleh Heman, orang Ezrahi (88)
Dalam kitab 1 Raja-raja 4:31, Heman ialah orang yang bijaksana pada zaman Salomo. Dalam kitab 1 Tawarikh 15:17,19, Heman ialah ahli penyanyi. Kedua-dua orang ini mungkin merupakan orang yang sama, dan dia digelar pelihat raja dalam kitab 1 Tawarikh 25:5.
F, Satu mazmur oleh Etan, orang Ezrahi (89)
Sama seperti Heman, rujukan: 1 Raj 4:31; 1 Taw 15:17,19.
G, Sebelas mazmur oleh bani Korah
Bani Korah pada asalnya bertugas sebagai penjaga Bait Suci (1 Taw 9:19, 26:1-19). Kemudian, mereka menjadi ahli penyanyi Bait Suci kerana bakat mereka dalam bidang muzik dan puji-pujian (1 Taw 6:38; 2 Taw 20:19). Terdapat sebelas karya oleh mereka (fasal 42 – 49,84,85,87,88).
Mazmur bani Korah jelas dan elegan, tulus dan tekun serta menunjukkan rasa hormat dan kasih yang tulus terhadap ibu kota Yerusalem dan Bait Suci. Irama mazmur-mazmur ini sangat ketat, tetapi tidak sukar untuk difahami, kuat dan semula jadi. Gambarannya pula teliti dan mudah membangkitkan resonansi hati pembaca. Selain 101 mazmur di atas, ada 49 mazmur lain yang tidak dinamakan. Orang Yahudi menyebutnya sebagai “mazmur anak yatim”.
Sebagai tambahan kepada penulis-penulis di atas, ada orang yang berpendapat bahawa:
- Yeremia menulis satu mazmur(fasal 137), yang ditulis setelah kembali dari
- Hagai dan Zakharia masing-masing satu mazmur (fasal 146, 147).
- Ezra ialah penulis fasal
- Hizkia mungkin menulisfasal120 – 134 (rujuk: Yes 38:20).
Penulis-penulis kitab Mazmur
PENULIS | DAUD | ASAF | BANI KORAH | SALOMO | MUSA | HEMAN, ORANG EZRAHI | ETAN, ORANG EZRAHI |
Bahagian 1 | 3 – 9
11 – 32 34 – 41 (37) |
||||||
Bahagian 2 | 51 – 65
68 – 70 (18)
|
50 | 42
44 – 49 (7) |
72 | |||
Bahagian 3 | 86 | 73 – 83
(11) |
84 – 85
87 – 88 (4)
|
88 | 89 | ||
Bahagian 4 | 101
103 (2) |
90 | |||||
Bahagian 5 | 108 – 110
122 – 124 131 – 133 138 – 145 (15)
|
127 | |||||
TOTAL | 73 | 12 | 11 | 2 | 1 | 1 | 1 |
Pengumpulan dan pembentukan
Kitab Mazmur tidak ditulis dalam satu perjalanan, tetapi ditulis oleh penulis yang berbeza dengan evolusi yang berbeza dari segi masa, ruang, dan agama. Mazmur-mazmur yang tersebar ini disunting oleh sejumlah orang yang berdedikasi dalam tempoh masa yang panjang.
Tentang kerja pengumpulan mazmur, satu koleksi mazmur Daud mungkin telah disunting pada tahun-tahun terakhir Daud atau tidak lama setelah kematiannya. Mazmur bani Korah ditambahkan pada hari kemudian, mazmur Asaf sedikit lewat daripada mazmur bani Korah, dan kemudian karya penyair-penyair lain dan tanpa nama. Walau bagaimanapun, sumbangan Ezra, ahli kitab, adalah sangat besar. Dia mungkin merupakan penyunting terakhir bagi semua mazmur. Masanya adalah pada sekitar tahun 450 SM. Dia kembali ke Yerusalem daripada pengasingan lalu memulakan reformasi agama yang drastis dan tegas mematuhi Taurat Musa. Dia bukan hanya memberikan peringatan kepada orang yang melanggar hari Sabat, dia juga mendorong umat untuk memberikan persepuluhan dan melarang perkawinan dengan bangsa asing. Dari segi ibadah di Bait Suci, dia berani membuat penyusunan semula, mengumpulkan banyak mazmur yang tersebar dan menyusunnya menjadi lima bahagian supaya dapat digunakan dalam ibadah Bait Suci. Menurut catatan kitab Kisah Para Rasul 13:33, kita dapat melihat bahawa susunan kitab Mazmur pada masa ini adalah sama dengan zaman kuno, dan susunan kitab Mazmur sama sekali tidak boleh diubah oleh generasi akan datang.
Kitab Mazmur dibahagikan kepada lima bahagian, dan setiap bahagian diakhiri dengan pujian. Pembahagian lima bahagian adalah seperti berikut:
- Bahagian 1 (fasal 1 – 41):
Bahagian ini merupakan Mazmur Daud kecuali fasal 1, 2, dan 33.
- Bahagian 2 (fasal 42 – 72):
Isi kandungan utamanya ialah Mazmur bani Korah (fasal 42 – 49) dan Mazmur Daud (51 – 65, 68 – 70). Fasal 50 ialah Mazmur Asaf. Fasal 66, 67 dan 71 adalah tanpa nama penulis. Fasal 72 ialah Mazmur Salomo.
- Bahagian 3 (fasal 73 – 89):
Isi kandungan utamanya ialah Mazmur Asaf (fasal 73 – 83) dan Mazmur bani Korah (fasal 84 – 85, 87 – 88). Fasal 86 ialah Mazmur Daud. Fasal 89 ialah nyanyian pengajaran Etan, orang Ezrahi.
- Bahagian 4 (fasal 90 – 106):
Fokus pada puji-pujian.
- Bahagian 5 (fasal 107 – 150):
Bahagian 4 dan 5 disusun mengikut tema. Fasal 93 – 99 membincangkan TUHAN ialah Raja; fasal 113 – 118, 146 – 150 ialah mazmur Haleluya; fasal 120 – 134 ialah nyanyian ziarah.
Kitab Mazmur terbahagi kepada lima bahagian. Jika disamakan dengan lima kitab Musa, kedua-duanya sangat serupa dari segi sifat dan tema. Permulaan kitab dimulai dengan “Berbahagialah” dan penghujung kitab diakhiri dengan “memuji”. Seluruh kitab mazmur menunjukkan bahawa hidup itu berwarna-warni. Walaupun melalui pelbagai keadaan, penderitaan, kesusahan, penyakit, kekecewaan, … tetapi orang yang percaya kepada Tuhan akhirnya akan terlepas daripada dilema kegelapan, memasuki jalan yang terang dan lancar, dan menyanyikan nyanyian “Haleluya” untuk memuji Tuhan.
Tajuk kitab Mazmur
Dalam Alkitab bahasa Ibrani, ada 34 fasal mazmur tanpa tajuk. Dalam terjemahan Septuaginta, semua mazmur ada tajuk kecuali fasal 1 dan 2. Sebilangan besar Alkitab yang kita gunakan ada tajuk pada permulaan mazmur. Terdapat 101 fasal mazmur dengan tajuk, dan 49 fasal mazmur tanpa tajuk yang disebut “Mazmur anak yatim” oleh orang Yahudi. Tajuk-tajuk ini bukan tidak ditulis oleh penulis asalnya, tetapi ditambahkan pada permulaan mazmur ketika dikumpulkan, disusun, dan disunting pada kemudian hari. Namun, petikan-petikan kecil ini ada sejarah yang panjang, iaitu sejak abad kedua dan ketiga. Petikan-petikan kecil ini telah ada ketika Alkitab bahasa Ibrani diterjemahkan ke dalam Alkitab bahasa Yunani. Petikan-petikan ini diakui oleh penterjemah dan dimasukkan ke dalam Alkitab bahasa Yunani. Tujuannya adalah untuk memberikan pengenalan ringkas mengenai sifat, isi kandungan, tujuan dan kaedah nyanyian setiap mazmur. Namun, atas faktor masa dan keadaan, tajuk-tajuk yang dahulunya terkenal ini tidak dapat difahami oleh orang-orang sekarang. Bahkan ada penterjemah Alkitab bahasa Yunani yang tidak memahami maksud petikan-petikan kecil bahasa Ibrani itu sehingga sebilangan besar terjemahan itu salah. Hal ini lebih lagi mengelirukan orang. Tajuk-tajuk ini boleh dibahagikan kepada lima kategori:
A, Penulis
Menyatakan penulisnya. Sebagai contoh: “Mazmur Daud”, “Doa Daud”, “Mazmur Asaf”, “Dari Salomo”, “Nyanyian pengajaran bani Korah”, “Doa Musa, abdi Allah”, …
Kitab Mazmur disebut “dengan perantaraan Daud” oleh generasi kemudian (Ibr 4:7). Walaupun bukan semua mazmur ditulis oleh Daud, namun dialah penulis utama kitab Mazmur (ada 73 fasal mazmur yang ditulis olehnya). Generasi kemudian menamakan seluruh koleksi mazmur dengan namanya.
B, Asal-usul sejarah
Terdapat 13 fasal yang menjelaskan latar belakang sejarahnya (3, 7, 18, 34, 51, 52, 54, 56, 57, 59, 60, 63, 142). Mazmur-mazmur ini rata-ratanya berkaitan dengan kehidupan dan pengalaman Daud, tetapi bukan semuanya ditulis pada masa kejadian. Sebilangannya mungkin ditulis dalam bentuk retrospeksi selepas kejadian.
Terdapat 7 fasal yang berkaitan dengan sejarah orang Israel (78, 105, 106, 111, 114, 135, 136). Orang Israel pernah menjadi hamba di Mesir. Tuhan memimpin mereka keluar dari Mesir dengan tangan-Nya yang kuat. Mereka memasuki tanah Kanaan setelah mengembara selama 40 tahun di padang gurun. Pengalaman yang menyakitkan dan pengalaman menerima kasih karunia pada masa lalu secara semula jadi telah menjadi topik yang baik untuk lagu / puji-pujian.
C, Bentuk sastera
Istilah-istilah khas yang menggambarkan ciri sastera mazmur, termasuk:
- “Mazmur” (Psalm):menurut makna dalam bahasa Ibrani dan Yunani merujuk kepada nyanyian yang dinyanyikan dengan alat-alat Terdapat 57 mazmur secara keseluruhannya.
- “Nyanyian” (Song):merujuk kepada lagu-lagu yang dinyanyikan secara umum. Terdapat 31 mazmur secara keseluruhannya.
- “Nyanyian pengajaran” (Maschil): iaitu nyanyian untuk tujuan mengajar. Terdapat 13mazmur secara keseluruhannya.
- “Miktam”(Michtam): maknanya tidak jelas. Terdapat 6 mazmur secara keseluruhannya.
- “Nyanyian ratapan” (Shiggaion):bermaksud menjerit. Mazmur ini ringkas. Hanya ada 1 mazmur.
- “Doa”(Prayer): ada 5 mazmur.
- “Puji-pujian” (Praise):seperti fasal 145 –
- “Nyanyian kasih” (A Song of loves):lihat fasal
D, Penggunaan dalam ibadah
Menyatakan mazmur yang berkaitan dengan ibadah Bait Suci atau untuk tujuan khas.
- “Nyanyian untukhari Sabat” (fasal 92).
- “Pada waktu mempersembahkan korbanperingatan” (fasal 38, 70).
- “Nyanyian untuk pentahbisan Bait Suci”(fasal 30).
- “Mazmur untuk korban syukur”(fasal 100).
- “Nyanyian ziarah”(fasal 120 – 134).
Mazmur-mazmur ini dinyanyikan oleh orang Israel ketika mereka pergi ke Yerusalem untuk mengadakan perayaan setiap tahun. Oleh sebab Yerusalem terletak di atas sebuah gunung lebih daripada 700 meter di atas permukaan laut, maka pergi mengadakan perayaan di Bait Suci dikatakan sebagai “pergi ke Yerusalem”. Orang-orang yang datang berziarah dari seluruh tempat memang menaiki gunung langkah demi langkah. Secara umumnya, adalah dipercayai bahawa orang Israel pergi ke Yerusalem untuk ziarah sebanyak tiga kali setahun. Mereka menyanyikan fasal 121 ketika bertolak, menyanyikan fasal 125 ketika melihat Yerusalem di bukit Zaitun, menyanyikan fasal 128 ketika memasuki pintu kota ke Yerusalem, laki-laki menyanyikan fasal 133 ketika berkumpul di Bait Suci, dan imam menyanyikan fasal 134 ketika berjaga malam.
- Bagi “Mazmur untuk ibadah umum”,selain “Nyanyian untuk hari Sabat” dalam fasal 92, terjemahan Septuaginta secara khusus mencatatkan:
Baca kitab Mazmur fasal 24 pada hari pertama dalam seminggu (Ahad).
Baca kitab Mazmur fasal 48 pada hari kedua dalam seminggu (Isnin).
Baca kitab Mazmur fasal 82 pada hari ketiga dalam seminggu (Selasa).
Baca kitab Mazmur fasal 94 pada hari keempat dalam seminggu (Rabu).
Baca kitab Mazmur fasal 81 pada hari kelima dalam seminggu (Khamis).
Baca kitab Mazmur fasal 93 pada hari keenam dalam seminggu (Jumaat).
- Mazmur “Haleluya”
“Haleluya” (Hallelujah) pada mulanya bermaksud “pujilah TUHAN. “Hale” ialah puji, “lu” ialah hendaklah kamu, dan “ya” ialah singkatan bagi TUHAN. Alkitab bahasa Cina menterjemahkannya sebagai “Pujilah TUHAN” manakala Alkitab bahasa Inggeris menterjemahkannya sebagai “Praise the Lord”. Mazmur Haleluya terbahagi kepada dua kumpulan:
- Nyanyian pujian besar
Terdapat 6 fasal dalam kumpulan ini (13 – 18), masing-masing dengan istilah “Haleluya”, iaitu pujilah TUHAN. Menurut tradisi Yahudi, kumpulan puji-pujian ini digunakan untuk Paskah dan Pentakosta. Ketika Tuhan Yesus makan malam Paskah yang terakhir bersama murid-murid-Nya, Dia mungkin menyanyikan pujian ini bersama murid-murid-Nya (Mat 26:30; Mrk 14:26). Menurut amalan Yahudi, mereka yang makan malam Paskah akan berdiri untuk membacakan atau menyanyikan fasal 113 dan 114 setelah minum cawan jus anggur merah kedua, dan menyanyikan fasal 115 hingga 118 ketika cawan keempat (cawan terakhir) selesai. Setelah menyanyi, makan malam Paskah dikira selesai.
- Nyanyian pujian kecil
Lima mazmur terakhir (146 – 150) ada dalam satu kumpulan, masing-masing dengan frasa “Haleluya” pada awal dan akhir perenggan. Isi kandungannya semata-mata sentimen memuji, bermazmur, dan bersorak-sorak. Kumpulan ini menghilangkan semua emosi kesedihan, penderitaan dan keluhan dalam mazmur-mazmur sebelumnya. Orang Yahudi yang giat membaca mazmur-mazmur ini setiap pagi.
E, Nota muzik
Menyatakan cara lagu dinyanyikan dan instrumen yang digunakan.
- Terdapat 55 fasaldengan nota “Untuk pemimpin biduan”
“To the chief Musician” dalam versi King James bahasa Inggeris. Umumnya dipercayai bahawa “pemimpin biduan” ialah konduktor atau pemimpin kumpulan koir. Mazmur-mazmur ini mungkin digunakan dalam ibadah Bait Suci.
- Instrumen yang digunakan
- Terdapat 7 fasaldengan nota “Dengan permainan kecapi” (4, 6, 54, 55, 61, 67, 76).
- Terdapat 3 fasal dengan nota “Menurut lagu: Gitit” (8, 81, 84).
- Lihat fasal 5 untuk nota “Dengan permainan suling”.
- Suara yang digunakan
- “Dengan lagu: Alamot.” (fasal46), dinyanyikan dengan soprano atau oleh penyanyiwanita.
- “Menurut lagu: Yang kedelapan.”(fasal 6, 12) merujuk kepada bass.
- “Menurut lagu: Mut-Laben.” (fasal 9) bernada sedih,ada maksudkehilangan anak.
- “Menurut lagu: Rusa di kala fajar.”(fasal22) ialah lagu rakyat biasa dengan maksud dorongan dan pertolongan pada waktu pagi.
- “Menurut lagu: Bunga bakung.” (fasal 45,69).
- “Menurut lagu: Bunga bakung kesaksian.” (fasal 60, 80).
- “Menurut lagu: Merpati di pohon-pohon tarbantin yang jauh.” (fasal 56) ialah lagukabungan.
- “Menurut lagu: Jangan memusnahkan.” (fasal 57, 59, 75) diwariskandaripadaMusa (rujuk: Ul 9:26-29), merupakan lagu popular orang Ibrani.
- “Menurut lagu: Mahalat.”(fasal 53,88) ialah lagu tarian, mungkin dahulunya dinyanyikan oleh Daud semasa menari (rujuk: 2 Sam 6:14-15).
- “Nyanyian ratapan”(fasal 7) ialah lagu pendek(Habakuk fasal 3).
- “Menurut: Yedutun.”(fasal39, 62, 77).
- Sela (Selah) (Digunakan sebanyak 71 kali dalamseluruh kitab Mazmur, 3 kali dalam kitab Habakuk)
Bahagian berhenti bagi nyanyian pujian (tanda rehat, rest). Sela mempunyai maksud segmentasi, intensiti suara, transposisi, selingan, memanjangkan nafas, jeda, atau lagu terakhir (grand finale). Ada orang yang berpendapat bahawa Sela mempunyai maksud yang sama dengan “Amin” dan “Puji Tuhan”.
Mazmur Mesias
Kitab Mazmur penuh dengan Kristus, ada banyak nubuat tentang Mesias dan memberikan kesaksian bagi Kristus. Jenis mazmur yang mengandungi nubuat tentang Mesias disebut “Mazmur Mesias”. Selain isi kandungannya yang mempunyai kaitan praktikal dengan waktu itu, makna utama mazmur jenis ini hanya digenapi dan dijelaskan dalam Kristus.
Hal-hal mengenai Kristus dalam Mazmur iaitu kelahiran, dikhianati, penderitaan, kebangkitan, kedatangan kembali, menjadi Imam, Raja, Gembala, mendapat kemuliaan dan sebagainya digambarkan dengan jelas. Gambaran-gambaran ini adalah dalam bentuk nubuat dan perlambangan dengan idea umumnya adalah untuk menyaksikan Kristus.
Walaupun kita tidak melihat nama “Kristus” dalam kitab Mazmur, namun makna di dalamnya sangat jelas. Kita dapat melihatnya asalkan kita mempunyai sedikit pengetahuan tentang Alkitab Perjanjian Baru. Tidak ada orang yang dapat menyangkal bahawa kitab Mazmur merujuk kepada Kristus. Hal ini kerana kita tidak dapat menemukan jawapan yang memuaskan hati selain bernubuat tentang Kristus. Kita tidak dapat menemukan tokoh yang dapat memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas dalam sejarah Israel.
Kitab Mazmur yang bernubuat tentang Kristus boleh dibahagikan kepada dua kategori. Satu kategori merujuk kepada Kristus secara tidak langsung, manakala satu kategori lagi merujuk kepada Kristus secara langsung. Para sarjana Katolik berpendapat bahawa ada tujuh mazmur yang secara langsung merujuk kepada Kristus, iaitu fasal 2, 16, 22, 45, 71, 87, 110. Tetapi ada satu lagi klasifikasi lain. Satu membincangkan Raja Mesias dan pemerintahan-Nya (2, 18, 20, 21, 45, 61, 72, 89, 110, 132, 144), manakala satu lagi membincangkan Mesias dan riwayat hidup-Nya (8, 16, 22, 35, 40, 41, 55, 69, 102, 109).
Nubuat tentang Kristus dalam kitab Mazmur disenaraikan seperti berikut:
- Keilahian-Nya: (Mzm 45:7-8; Ibr1:8-9).
- Dia tetap ada: (Mzm 45:18, 102:26-28; Ibr1:10-12).
- Kekuasaan-Nya: (Mzm 72:8, 103:19; Why 11:17).
- Dia Anak Tuhan: (Mzm 2:7; Ibr1:5; Mzm 110:1; Mat 22:44).
- Kelahiran-Nya: (Mzm 40:7-9; Ibr10:5-7).
- Sifat manusia-Nya: (Mzm 8:5-10; Ibr2:6-8).
- Kekudusan-Nya: (Mzm 45:8; Ibr 1:9).
- Kesungguhan-Nya: (Mzm 69:10; Yoh 2:17).
- Dia sebagainabi: (Mzm 22:23; Yoh 17:6, 20:17).
- Dia sebagaiimam: (Mzm 110:4; Ibr 5:6).
- Penderitaan-Nya: (Mzm 22:2,15-20; Mat 27:46,27-35; Mzm 69:10; Rm 15:3).
- Dia dikhianati: (Mzm 41:10; Yoh13:18).
- Kematian-Nya: (Mzm 22:2-22, 31:6; Empat kitab Injil).
- Dia dibuang / ditolak: (Mzm 118:22-23; Mat 21:42).
- Kebangkitan-Nya: (Mzm 2:7, 16:10-11; Kis 2:27-28, 13:33,35).
- Keberangkatan-Nyake syurga: (Mzm 68:19; Ef 4:8).
- Kedatangan-Nya kembali: (Mzm fasal 96 -98; 2 Tes 1:7-9).
- Dia sebagairaja: (Mzm 2:6, 89:19-20,28; Kis 5:31; Why 1:5).
- Kemenangan-Nya: (Mzm 110:5-6; Why 6:17).
Mazmur kutukan
Bahagian yang paling sukar untuk difahami dalam kitab Mazmur ialah mazmur kutukan. Mazmur-mazmur ini mengandungi banyak perkataan yang mengutuki musuh. Kata-kata itu tajam dan melampau. Ketika pertama kali kita bertemu mazmur-mazmur ini, kita akan segera merasakan mentaliti membalas dendam terhadap musuh. Mentaliti ini saling bertentangan dengan semangat persaudaraan yang ditekankan oleh Kristus. Mazmur-mazmur ini semuanya ditulis dengan gerakan Roh Kudus. Mengapa ada percanggahan seperti itu?
Mazmur kutukan yang disebut termasuk mazmur yang berikut: fasal 18, 35, 52, 59, 69, 109, 137 dan lain-lain lagi. Namun bukan seluruh mazmur itu kutukan, hanya terdapat beberapa ayat atau perenggan dengan nada kutukan. Sebagai contoh: 18:37-39, 69:23-29, 109:6-20, 137:7-9. Sejak zaman kuno, banyak pentafsir telah berusaha untuk menjelaskan mazmur-mazmur ini. Malang sekali, dasar teori mereka tidak sesuai sehingga hasilnya sangat tidak memuaskan dan tidak meyakinkan. Walau bagaimanapun, asalkan kita memahami beberapa fakta berikut, kejutan / kehairanan ini akan hilang secara semula jadi.
A, Bangsa Ibrani ialah bangsa yang penuh dengan emosi
Sentimen ini terungkap sepenuhnya dalam puisi sastera mereka. Apabila emosi mereka terangsang, reaksi yang kuat mudah tertimbul. Mereka tidak dapat menahan perasaan mereka ketika menulis puisi dan artikel. Hasil tindakan terburu-buru mereka ialah membesarkan diri, tegas, tajam, dan bahkan tidak normal, dan mudah menimbulkan resonansi bersama pembaca.
Ciri yang lain ialah daya khayalan yang kuat. Ciri ini juga merupakan syarat yang diperlukan bagi penyair. Ketika penyair menyusun mazmur, mereka dapat dengan mudah menggunakan istilah-istilah dan ayat-ayat yang tidak dapat difikirkan atau tidak berani digunakan oleh orang lain. Ketika mengalami pukulan atau rangsangan tertentu, mereka akan berasa ghairah dan tidak terkawal seperti kuda liar yang melarikan diri dan mengekspresikan emosi mereka dengan kata-kata. Mazmur kutukan ditulis dengan perasaan ini.
B, Mazmur kutuk merupakan reaksi semula jadi mentaliti penulis itu sendiri
Bak kata pepatah: “tercencang puar, tergerak andilan”. Penyair berasa tidak puas hati apabila melihat perkara-perkara yang tidak adil. Semangat keadilan dalam hatinya diluahkan melalui puisi.
Latar belakang semua mazmur kutukan adalah bahawa penulis atau negaranya telah menderita penganiayaan yang teruk oleh musuh secara sia-sia. Orang yang dianiayai pernah berbuat baik kepada musuh-musuh ini, tetapi kini air susu dibalas dengan air tuba. Penyair berasa dukacita dan menderita sehingga perasaan kaya yang disebutkan di atas digambarkan secara mendalam melalui mazmur dan kata-kata kutukan pun datang daripada hati.
Dalam mazmur kutukan, kita jarang mendapati bahawa penulis mengutuk musuh dan meminta Tuhan mengadakan pembalasan demi kepentingannya sendiri. Sebilangan besar mazmur kutukan datang daripada Daud. Sejarah telah membuktikan bahawa Daud merupakan seorang tokoh yang tidak sempit hati, mempunyai disiplin diri yang tinggi, dan luas hati terhadap orang lain. Semasa Saul bangkit mengejarnya, dia tidak membalas dendam. Tindakan ini jelas membuktikan bahawa dia tidak sempit hati. Raja dalam fikiran orang Israel merupakan wakil Tuhan. Daud berdiri di posisi orang yang diurapi Israel. Dia tampil menentang musuh demi kepentingan negara dan kemuliaan Tuhan. Musuh yang dikutuk dalam mazmur bukanlah musuh peribadi penulis, melainkan mereka yang tidak percaya, melawan Tuhan dan melakukan kejahatan. Semangat penyair yang “mengadakan pengadilan bagi pihak Tuhan” bukan saja tidak dianggap salah oleh orang pada masa itu, tetapi dianggap sebagai sesuatu yang seharusnya sedemikian.
Dalam Injil Matius fasal 23, Tuhan Yesus menggunakan kata-kata yang tegas untuk menegur dosa orang-orang Farisi. Dia menegur mereka yang berdagang di Bait Suci (Yoh 2:13-17). Dia bahkan memanggil Herodes sebagai si serigala (Luk 13:32). Kemarahan yang disebabkan oleh kebencian terhadap dosa dan kejahatan ini disebut “kemarahan yang benar”. Mazmur kutukan ditulis dengan mentaliti permusuhan terhadap dosa dan kejahatan yang sedemikian.
C, Ingatlah bahawa zaman kita berbeza dengan zaman mereka
Kitab Mazmur merupakan karya beribu-ribu tahun yang lalu. Latar belakang zaman penulis berbeza dengan persekitaran kita ketika ini. Etika, moral, budaya, dan agama pada masa itu juga sangat berbeza dengan kita. Kita tidak mempunyai alasan dan hak untuk mengkritik karya-karya pada zaman itu dengan standard moden. Pada zaman Taurat Perjanjian Lama, mereka berpendapat bahawa cara “dikerkah dia menampar gigi, dibakar dia melilit puntung” membolehkan seseorang tidak kehilangan kepahlawanannya dan tidak dianggap sebagai pengecut yang tidak berguna. Kita tidak boleh mengkritik konsep etika zaman Taurat dengan perspektif zaman kasih karunia dan piawaian Injil Kristus atas sebab cahaya kebenaran yang berbeza.
Akhir sekali, kita harus mengaku bahawa hukum Taurat dan pengumumannya yang tegas dengan sifat pemusnahan adalah tidak bertentangan dengan sifat keilahian Tuhan yang dinyatakan dalam Alkitab. Pinehas menikam lelaki dan perempuan yang berzina dengan tombak dan dia sangat dipuji oleh Tuhan (Bil 25:1-13). Oleh sebab mazmur kutukan ditujukan secara langsung kepada orang yang melanggar kehendak Tuhan, kita tidak boleh mengatakan bahawa mazmur seperti itu tidak seharusnya ada dalam Alkitab.
Penggunaan kitab Mazmur
Kitab Mazmur menyebarkan perasaan soleh dan kasih kepada Tuhan yang berasal daripada hubungan rapat antara penyair dengan Tuhan. Selama berabad-abad, gereja telah menggunakan kitab Mazmur, menyerap aliran kitab Mazmur, dan menikmati kemanisan kitab Mazmur. Kitab Mazmur boleh digambarkan sebagai abadi dan merupakan kitab suci yang paling sering dibaca. Mengkaji kitab Mazmur juga dapat memperkuat iman kita, meningkatkan kekuatan kita, membangun kerohanian kita, dan meningkatkan keperibadian kita. Membaca kitab Mazmur menyegarkan kita. Hal ini kerana:
A, Kitab Mazmur ialah koleksi puji-pujian
Kitab Mazmur ialah koleksi puisi keagamaan dan merupakan pengalaman penyempurnaan rohani orang-orang kudus kuno. Pengalaman kaya penyair sangat bermanfaat bagi pemercaya hari ini. Kidung pujian membolehkan manusia memuji kasih, keadilan, dan kebesaran Tuhan. Mazmur kesyukuran mengingatkan manusia tentang kebajikan Tuhan dan bertekad untuk membalas kasih Tuhan yang besar. Mazmur taubat mengingatkan manusia tentang dosa-dosa mereka lalu berduka dan bertaubat di hadapan Tuhan. Mazmur ibadah memberikan inspirasi kepada manusia untuk menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran. Mazmur kutukan membangkitkan kebencian kita terhadap dosa dan kejahatan serta membangkitkan kerinduan terhadap kekudusan. Calvin menyebut kitab Mazmur sebagai “anatomi jiwa” (an anatomy of all the parts of the soul). Dia berkata: “Hampir tidak ada emosi di dunia yang belum pernah dinyatakan dalam kitab Mazmur dan digunakan sebagai panduan. Roh Kudus menghuraikan semua kekhuatiran, dukacita, ketakutan, keraguan, kerinduan, keinginan… dengan sangat menarik.”
B, Kitab Mazmur ialah koleksi doa
“Doa” merupakan kasih karunia terbesar yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Hal ini kerana kita meminta kepada Tuhan melalui doa, dan Dia akan memberikan seperti yang kita minta. “Doa” juga merupakan hak terbesar manusia di hadapan Tuhan. Sekiranya pemercaya melepaskan hak ini, tindakan ini bukan saja menjadi kerugian besar, tetapi juga merupakan dosa.
Kitab-kitab lain dalam Alkitab adalah tentang Tuhan berbicara kepada manusia, tetapi kitab Mazmur adalah tentang manusia berbicara kepada Tuhan. Oleh itu, orang-orang Yahudi menyebut kitab Mazmur sebagai “bahasa doa”. Bahasa dalam kitab Mazmur merupakan teladan doa pemercaya. Bagi mereka yang tidak tahu berdoa, selagi mereka membaca perkatana-perkataan mengenai doa dalam kitab Mazmur dan menyatakan hasrat mereka dengan perkataan-perkataan kitab Mazmur, mereka akan tahu berdoa. Hampir setiap kalimat doa Yunus semasa berada di dalam perut ikan datang daripada kitab Mazmur (Yun fasal 2).
C, Kitab Mazmur ialah koleksi kesaksian
Dalam kitab Mazmur, ada banyak pengalaman penyair yang mendapat kasih karunia semasa menghadapi penderitaan dan kesaksian penyair yang bersandarkan Tuhan dan diselamatkan oleh Tuhan ketika dia dikejar oleh musuh dan berhadapan dengan jalan buntu. Pengalaman-pengalaman indah ini adalah seperti pelita yang menyala dalam kegelapan bagi pemercaya hari ini. Pelita yang menyala ini dapat menunjukkan jalan di hadapan kepada kita.
Kitab Mazmur juga penuh dengan Kristus dan ada banyak nubuat tentang Mesias. Tuhan Yesus pernah berkata: “… harus digenapi semua yang ada tertulis tentang Aku dalam kitab Taurat Musa dan kitab nabi-nabi dan kitab Mazmur.” (Luk 24:44). Setelah membaca mazmur-mazmur ini, kita akan lebih mengenali Kristus dan lebih bersandar kepada-Nya.
Kajian kitab Mazmur
Ambrose, uskup di Milan, berkata: “Setiap artikel dalam Alkitab penuh dengan keharuman kasih karunia Tuhan, tetapi tidak ada yang elegan dan wangi seperti kitab Mazmur. Sejarah memberikan pencerahan / ilham kepada kita; hukum Taurat mengajar kita; nubuat pula mengumumkan, mempersiapkan, mendisiplinkan; dan prinsip moral mengajar kita ke arah kebaikan; manakala kitab Mazmur? Kitab Mazmur mengandungi semua itu dan memang merupakan ubat yang manjur untuk keselamatan.”
Sejak disunting dan dibukukan, kitab Mazmur telah menduduki tempat yang sangat penting dalam hidup rohani anak-anak Tuhan. Orang Israel semua zaman menyanyikannya di Bait Suci, orang Yahudi hari ini menyanyikannya di rumah ibadat, dan pemercaya dalam zaman Perjanjian Baru menyanyikannya (Mrk 14:26; Ef 5:19; Kol 3:16). Bahkan orang Kristian moden juga menyanyikannya dan terus mendapat pertolongan daripada kitab Mazmur. Betapa pentingnya kitab “Mazmur” terhadap kita. Kitab ini sangat bermanfaat bagi anda dan saya. Bagaimana kita harus mengkajinya? Prinsip penting pentafsiran Alkitab adalah dengan menanganinya berdasarkan genre dan format ayat suci. Oleh itu, kita mesti memahami kitab Mazmur sebagai puji-pujian semasa mengkaji kitab ini. Kita boleh mengkaji dari tiga aspek:
- Melihat mood penulis daripada puji-pujian
Banyak fasal dalam kitab Mazmur ada tajuk. Kita dapat mengetahui nama penulis dan latar belakang karya daripada tajuk ini. Kita harus meletakkan diri kita ke dalam persekitaran tempat keberadaan penulis untuk merasakan perasaan penulis dan memahami penulis. Banyak latar belakang “Mazmur Daud” dapat ditemukan dalam kitab Samuel, dan beberapa mazmur dapat saling melengkapi dengan kisah sejarah dalam kitab Samuel.
Kitab Mazmur fasal 90 merupakan pujian renungan kuno yang membawa pemikiran kita ke padang gurun pada malam musim sejuk. Kita duduk di antara gembala yang berjaga malam dan sangat merasakan bahawa hidup manusia yang singkat adalah “seperti suatu giliran jaga di waktu malam” dan “seperti mimpi”. Masa berlalu dengan senyap. Kita mendengar suara air mengalir di kejauhan, dan mengeluh bahawa hidup manusia juga pantas bagai air yang menghanyutkan manusia. Kita berharap kepada Tuhan dan meminta Tuhan mengajar kita untuk menghitung hari-hari kita dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
- Melihat Kristus daripada kitab Mazmur
Tuhan Yesus pernah berkata: “… harus digenapi semua yang ada tertulis tentang Aku … dalam kitab Mazmur.” (Luk 24:44). Terdapat banyak nubuat tentang Mesias dalam kitab Mazmur. Ada nubuat yang merujuk kepada Kristus secara tidak langsung, dan ada nubuat yang merujuk kepada Kristus secara langsung. Sekiranya kita mengkaji secara terperinci, kita akan mengenal Kristus dengan lebih baik, iman kita akan menjadi lebih kuat, dan kita akan lebih mempercayai-Nya.
Membaca kitab Mazmur fasal 22 membolehkan kita mempunyai pemahaman yang mendalam tentang penderitaan Kristus bagi kita. Pemahaman ini adalah seperti gambar yang hidup di depan mata kita.
- Merenungkan ajaran rohani yang kitaperlukan daripada kitab Mazmur
Kitab Mazmur merupakan pengalaman iman kepercayaan pemercaya kuno. Kitab Mazmur telah membantu ramai orang yang mengkaji dan membacanya sepanjang zaman. Mereka mula bergiat dan takut akan Tuhan kerana membaca kitab Mazmur; mereka bertaubat di hadapan Tuhan kerana membaca kitab Mazmur; dan mereka rela berkorban untuk keadilan kerana perkataan-perkataan dalam kitab Mazmur. Mereka juga bermurah hati membantu orang lain kerana “TUHANlah yang empunya bumi serta segala isinya, dan dunia serta yang diam di dalamnya.” (24:1). Maka tidak hairanlah Calvin berkata: “Saya biasa menyebut kitab Mazmur sebagai anatomi jiwa”, “Hampir tidak ada emosi di dunia yang belum pernah dinyatakan dalam kitab Mazmur dan digunakan sebagai cermin.” Sememangnya demikian. Tidak kira kesedihan, kesakitan, ketakutan, keraguan, harapan, kegelisahan, atau masalah pemikiran yang menimpa kita, kita boleh menemukan gemanya dalam kitab Mazmur.
Kitab Mazmur adalah seperti tasik tanpa ombak yang mencerminkan perubahan emosi manusia. Kitab Mazmur juga seperti sungai yang mengalir. Walaupun dipenuhi dengan air mata pahit, sungai ini masih dapat menenangkan jiwa yang lelah. Kitab Mazmur ialah taman bunga dengan musim yang baik, bunga-bunga yang berkembang mekar, dan keharuman yang menyegarkan hidung. Taman ini menanti kita untuk memasukinya dan menghayatinya.