KITAB MIKHA – “SIAPA SEPERTI TUHAN”
(Pendeta Wang Yao Zhen)
MAKLUMAT LATAR BELAKANG
Dalam sejarah, Israel pernah diserang oleh Asyur sehingga menyebabkan kejatuhan Kerajaan Utara. Sebelum dan sesudah kejatuhan kerajaan itu juga merupakan masa nabi Mikha bekerja. Latar belakang peristiwa ini dapat ditelusuri sehingga masa awal abad kelapan SM, iaitu masa akhir zaman raja-raja dalam Alkitab. Pada waktu itu, ada Yerobeam II, raja Israel dalam Kerajaan Utara (793 – 753 SM) dan Uzia, raja Yehuda dalam Kerajaan Selatan (792 – 740 SM). Berkat pemerintahan yang baik kedua-dua raja ini, Israel dan Yehuda cukup damai, terlindung daripada pencerobohan bangsa asing dan dapat mencapai hasil yang memberangsangkan dari segi ekonomi. Perniagaan dalam banyak kota baharu berkembang dengan pesatnya. Namun perkembangan ini mengakibatkan jurang antara orang kaya dengan orang miskin dalam masyarakat sehingga membentuk sistem kelas sosial yang berbeza. Perubahan seperti itu telah mempengaruhi nilai-nilai umat pilihan dan juga menimbulkan cabaran serius terhadap kepercayaan agama yang berpusatkan perjanjian dalam era Perjanjian Lama. Di sebalik penampilan negara yang kuat dan makmur, ada politik dalaman yang korup. Di sebalik masyarakat yang aman dan mewah, ada hati manusia yang materialistik dan tamak. Di sebalik struktur damai yang mengelabui mata orang, ada penindasan dan ketidakadilan. Hasil-hasil kebobrokan ini tamat setelah pencerobohan tentera Asyur.
Pada tahun 745 SM, raja Asyur, Tiglat-Pileser III (745 – 727 SM) melakukan segala usaha untuk memperluas wilayah tersebut. Dia menduduki Damsyik pada tahun 732 SM serta menjadikan Israel, Yehuda dan Filistea di Palestina sebagai negeri jajahannya. Dia kemudiannya meninggal dunia ketika menyerang Israel pada tahun 727 SM. Pada masa itu, Mesir sedang berusaha menjalinkan persepakatan dengan negara-negara lain untuk menentang Asyur. Hal ini memulakan perlawanan orang-orang Mesir terhadap Asyur dan orang Babel pada kemudian hari. Keadaan ini mempengaruhi keadaan di Palestina selama satu setengah abad. Setelah Salmaneser V naik takhta, dia menakluki pertahanan luar Israel. Pada tahun 724 SM, Hosea, raja terakhir Israel, berhenti membayar upeti kepada Asyur dan membuat Asyur marah. Salmaneser V mula menyerang Samaria pada tahun 724 SM, dan Sargon hanya menakluki penduduknya pada tahun 722 SM. Pada waktu itu, banyak orang yang kaya dan yang berpengaruh di kota Samaria telah ditawan ke Asyur (2 Raj 15:29-30, 17:1-41). Raja Yehuda, Hizkia menjadi raja pada masa itu sehingga tahun 696 SM. Dalam tempoh masa itu, Yerusalem menghadapi serangan Asyur tetapi tetap tertolong (2 Raj 18:13 – 19:37). Hal ini menunjukkan hasil daripada nasihat nabi Yesaya iaitu supaya mereka percaya dan bersandar kepada Tuhan. Walau bagaimanapun, kekuatan Asyur masih ada, dan Yehuda tidak dapat lari daripada nasib buruk menjadi wilayah. Walaupun orang Asyur membenarkan sebahagian keluarga diraja Yehuda tinggal di Yerusalem, namun orang Yehuda sebenarnya telah kehilangan autonomi mereka (2 Raj 16:10, 17:19). Kemudian, Manasye menjadi raja Yehuda dan memperkenalkan kebiasaan buruk agama asing sehingga menyebabkan pembaharuan raja Hizkia tidak berkesan.
Mikha, orang Moresyet merupakan penulis kitab ini. Mikha bermaksud “Siapa seperti Tuhan?” Maksud ini juga menjadi tema utama kitab ini. Mikha tinggal di sebuah desa kira-kira 48 kilometer di barat daya Yerusalem. “Firman TUHAN yang datang kepada Mikha, orang Moresyet, pada zaman Yotam, Ahas dan Hizkia, raja-raja Yehuda, yakni berkenaan dengan yang dilihatnya tentang Samaria dan Yerusalem.” (Mi 1:1) (Yer 26:18). Kita mendapat tahu daripada petikan ini bahawa Mikha menjadi nabi dan memberitakan firman ketika pemerintahan tiga orang raja Yehuda: Yotam (750 – 732 SM), Ahas (735 – 715 SM) dan Hizkia (715 – 686 SM). Tempoh gabungan pemerintahan ketiga-tiga raja ini adalah lebih daripada enam puluh tahun, tetapi tidak mungkin Mikha aktif bekerja sepanjang masa ini. Yeremia menetapkan masa kerja Mikha pada masa pemerintahan Hizkia (Yeh 26:18). Dia bekerja selama kira-kira empat puluh tahun (745 – 700 SM). Para nabi pada zamannya termasuk Amos dan Hosea di Israel, Kerajaan Utara dan Yesaya di Yehuda, Kerajaan Selatan, tetapi nabi Mikha lebih lewat daripada mereka. Nabi Mikha merupakan rakyat tempatan biasa. Walaupun dia tidak dilayan dan dihormati oleh raja dan bangsawan seperti Yesaya, nabi di istana, namun nubuatnya juga dititikberatkan oleh orang ramai (Mi 3:12) (Yer 26:18-19). Ketika Tuhan Yesus dilahirkan dan orang-orang majus dari Timur pergi ke Yerusalem untuk bertemu raja Herodes, semua imam kepala dan ahli Taurat memetik daripada nubuat Mikha (Mat 2:5-6) (Mi 5:2). Tuhan Yesus juga pernah memetik daripada kitab ini (Mat 10:35-36) (Mi 7:6). Petikan-petikan ini menunjukkan kepentingan kitab ini.
RINGKASAN ISI KANDUNGAN
Nabi Mikha merupakan seorang nabi dari Yehuda, Kerajaan Selatan, tetapi nubuatnya juga meliputi Israel, Kerajaan Utara. Nubuatnya memfokuskan praktikal moral intipati agama. Menurut Mikha, jika agama tidak memiliki prestasi moral, agama itu hanya sekadar formalisasi penampilan dan ritual penyembahan, iaitu merupakan agama palsu yang sama sekali tidak bermakna (Mi 6:6-8). Konsep ini saling bertindak balas dengan kitab Yakobus dalam Perjanjian Baru (Yak 2:26). Semasa bekerja, dia melihat bahawa Israel, Kerajaan Utara telah jatuh ke dalam tangan Asyur. Dia pun bernubuat bahawa Yehuda juga akan binasa akibat dosa jika mereka tidak mendengar perkataan-perkataannya, tetapi mereka akan diselamatkan jika mereka berpaling kepada Tuhan dan percaya kepada Tuhan. Kemudian, semasa zaman raja Hizkia, mereka benar-benar diselamatkan oleh Tuhan daripada krisis kehancuran oleh tentera Asyur raja Sanherib (2 Raj 18:13 – 19:37). Selain bernubuat tentang penghakiman dan hukuman bangsa itu, Mikha dapat melihat kelahiran Mesias dan harapan pemulihan umat pilihan yang dibawa oleh penubuhan kerajaan-Nya yang kekal. Pernyataan yang diterima tentang kerajaan rohani – gereja benar pasti didirikan pada akhir masa adalah sama dengan pernyataan yang diperoleh oleh nabi Yesaya (Mi 4:1-3) (Yes 2:2-4). Nampaknya, nubuat mengenai perkara ini adalah sangat penting.
Kita dapat melihat daripada pernyataan di atas bahawa terdapat dua topik yang jelas dalam kitab Mikha: Topik yang pertama ialah topik penghakiman. Penghakiman akan melanda Samaria (1:2-6) dan Yerusalem (3:9-12). Terdapat dua sebab utama untuk penghakiman: sebab pertama ialah penyembahan berhala dari segi keagamaan, dan sebab kedua ialah keruntuhan moral. Mikha menyebutkan satu tindakan pertukaran utama untuk menghadapi penghakiman Tuhan, iaitu “berlaku adil, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu” (6:8). Nasihat ini menonjolkan tema kitab Mikha – “Siapa seperti Tuhan”. Hal ini kerana dosa menyebabkan manusia kehilangan gambar Tuhan. Kita hanya dapat menghentikan kerosakan dosa serta mendapatkan kembali rahmat dan keselamatan Tuhan dengan mencarikan keadilan Tuhan, rahmat dan kerendahan hati. Topik yang kedua ialah topik Kristus. Kerajaan yang sejati ialah kerajaan rohani – jemaat / gereja (Luk 17:21) (Mat 6:33). Kerajaan ini menghapuskan batas ras dan juga merupakan kerajaan bagi Tuhan menjalankan pemilihan dan penyelamatan. Mikha bernubuat bahawa Kristus masa depan akan dilahirkan di Betlehem (5:1-4), dan secara fizikalnya Dia merupakan keturunan Daud, tetapi permulaan-Nya sejak dahulu kala. Kristus memerintah dalam kalangan jemaat sebagai kepala semua pemerintah dan penguasa jemaat (Kol 2:10), dan Dialah Penguasa atas segalanya (Ef 1:21-23). Kristus gembala yang agung. Dia menggembalakan kawanan-Nya sampai selama-lamanya (4:7, 5:3).
PENJELASAN RINGKAS MENGENAI SEGMENTASI ISI KANDUNGAN
A. SENARAIKAN DOSA-DOSA SELURUH BANGSA (FASAL 1 – 3)
Nabi mengumumkan penghakiman Tuhan sejak awal lagi. Pengumuman ini sangat serius dan menakutkan. Sebaik sahaja Tuhan Yang Mahatinggi keluar, pemandangannya yang megah ialah “Luluhlah gunung-gunung di bawah kaki-Nya, dan lembah-lembah terbelah seperti lilin di depan api, seperti air tercurah di penurunan.” Mengapa Tuhan muncul dalam gambar seperti itu? Hal ini kerana “Tuhan ALLAH menjadi saksi terhadap kamu, yakni Tuhan dari bait-Nya yang kudus”. Nabi akan menyenaraikan dosa-dosa seluruh bangsa (termasuk Kerajaan Utara dan Kerajaan Selatan) bermula saat ini.
Fasal 1: Dosa penyembahan berhala
Tuhan yang cemburu tidak boleh bertolak ansur dengan penyembahan berhala. Sebuah kota yang makmur merupakan sumber dan pusat kejahatan serta merupakan tempat pemusatan dan perkembangan berhala. “Sebab itu Aku akan membuat Samaria menjadi timbunan puing di padang, menjadi tempat penanaman pohon anggur. Aku akan menggulingkan batu-batunya ke dalam lembah dan akan menyingkapkan dasar-dasarnya.” “Segala patungnya akan diremukkan, segala upah sundalnya akan dibakar, dan segala berhalanya akan Kuhancurkan; sebab dari upah sundal dikumpulkan semuanya itu, dan akan kembali menjadi upah sundal.” Semuanya akan dirampas oleh Asyur dan dibawa ke kuil mereka.
Seterusnya, nabi meratapi nasib negara itu. Hal ini kerana kehancuran Israel, Kerajaan Utara sudah dekat dan menyebabkan Yerusalem (damai) di Yehuda, Kerajaan Selatan juga berada dalam keadaan yang amat bahaya. Isi kandungan ratapan itu menjadikan kota-kota di barat daya Yehuda sebagai topik dan membayangkan situasi mereka diserang dan terjatuh. Antara situasi yang disebutkan: keadaan yang tandus dan hina – “Bet-Le-Afra” (rumah debu), ejekan telanjang dan malu – “Safir” (kecantikan), pasukan yang tidak berani bersuara – “Zaanan” (tempat kawanan), penderitaan yang menghalangi orang untuk tetap berdiri – “Bet-Haezel” (rumah yang berdekatan), tragedi tiada tempat untuk melarikan diri – “Lakhis” (tempat perlindungan), penderitaan pahit peperangan – “Marot” (penderitaan), status yang mulia akan dirampas – “Maresya” (kemuncak gunung), semua kemuliaan akan pergi – “Adulam” (tidak semarak). Isi kandungan ratapan telah menunjukkan adegan sunyi sepi dan kopak-kapik yang disebabkan oleh tentera Asyur ketika mereka menyerang.
Fasal 2: Kejahatan merampas
Perubahan konsep nilai telah menghapuskan keadilan dan moral sosial. Orang kaya memperoleh kekayaan dengan cara haram. Jadi mereka merancang kedurjanaan dan merencanakan kejahatan pada waktu malam! Mereka biasa membatalkan hak menebus pihak lain dan kemudian merampas harta benda pihak lain dengan menggunakan perjanjian palsu dan saksi palsu. Sasaran rampasan mereka biasanya ialah golongan anak yatim dan janda-janda, atau orang yang tidak berupaya untuk melawan. Nabi memberitakan amaran Tuhan: Israel akan dikenakan kuk asing, tanah mereka akan diserang oleh musuh, dan mereka bahkan tidak akan ada pewaris untuk membuang undi atas tanah bagi pembahagian tanah pada masa kelak. Tetapi, untuk memburukkan lagi keadaan, mereka masih mengaku sebagai umat pilihan Tuhan dan tinggal tersendiri. Mereka tidak berpendapat bahawa malapetaka yang disampaikan oleh nabi akan menimpa mereka. Sebaliknya, mereka menekankan bahawa Tuhan itu pengasih dan panjang sabar. Dia pasti tidak akan membiarkan malapetaka-malapetaka ini menimpa umat pilihan. Orang yang berbuat jahat jarang mengaku dosa sendiri dan membenci terang (Yoh 3:20). Oleh itu, mereka bukan sahaja enggan mendengar, mereka juga melarang nabi daripada berbicara mengenai amaran-amaran keras ini. Nabi membuktikan kesalahan konsep-konsep yang tidak masuk akal ini. Nabi menunjukkan bahawa bukan Tuhan yang menyebabkan malapetaka itu, melainkan perbuatan-perbuatan jahat mereka! Firman Tuhan baik terhadap orang yang benar kelakuannya, tetapi mereka menerima kata-kata hampa nabi palsu dengan mentaliti burung unta. Oleh itu, orang-orang yang telah kehilangan hati nurani mereka akan diusir oleh Tuhan dan dipisahkan daripada milik pusaka dan tanah Tuhan.
Tuhan berjanji untuk menghimpunkan sisa orang Israel; menyatukannya seperti kambing domba dalam kandang, seperti kawanan binatang di tengah-tengah padangnya (Yes 10:20-21). Setelah penggembalaan Tuhan, sisa umat ini akan menjadi ramai. Ramai dengan manusia ini memenuhi janji berkat Tuhan kepada nenek moyang mereka – Abraham, Ishak, dan Yakub (Kej 15:5, 26:4, 28:14). Mesias akan membuka jalan bagi mereka di hadapan mereka dan memecahkan kuasa belenggu untuk membolehkan mereka pulang dari tempat tawanan (Yes 45:2, 43:6) (Rm 11:26) (Luk 4:17-19).
Fasal 3: Kebobrokan pemimpin
A, Pemimpin politik – kepala kaum
Kepala kaum menjalankan penghakiman atas rasuah dengan membelakangi prinsip keadilan. Mereka seharusnya paling jelas tentang konsep keadilan, tetapi membenci kebaikan sebaliknya menyukai kejahatan, mereka mengetahui undang-undang tetapi melanggar undang-undang serta merampas dan mengambil segala milik orang lain. Sebagai pegawai umat, pemimpin seharusnya memainkan peranan sebagai gembala untuk melindungi domba, tetapi mereka pula menjadi serigala yang buas dan menelan domba yang lemah. Gambaran nabi: “mereka memakan daging bangsaku, dan mengupas kulit dari tubuhnya; mereka meremukkan tulang-tulangnya, dan mencincangnya seperti daging dalam kuali, seperti potongan-potongan daging di dalam belanga.”, tanpa meninggalkan apa-apa (Yeh 34:2-4). Para kepala kaum yang kejam dan mementingkan diri ini akan menerima balasan yang setimpal. Pada masa lalu, mereka memekakkan telinga terhadap teriakan meminta pengadilan dan seruan penderitaan orang lain. Kini apabila mereka menghadapi malapetaka, Tuhan juga tidak akan mendengar doa dan suara seruan mereka. “Ia akan menyembunyikan wajah-Nya terhadap mereka pada waktu itu, sebab jahat perbuatan-perbuatan mereka.” (Yes 1:15) (Mzm 66:18) (Ams 21:13).
B, Pemimpin iman kepercayaan – nabi
Nabi membuat tenungan untuk mendapatkan wang. Secara luarannya, nabi merupakan pemimpin iman kepercayaan umat, tetapi mereka menjadi nabi palsu buta yang menuntun jalan (Mat 15:14) dan memimpin orang sehingga tersesat. Tidak ada Tuhan dalam hati mereka dan mereka menjadikan perut sendiri sebagai Tuhan. Oleh itu, “apabila mereka mendapat sesuatu untuk dikunyah, maka mereka menyerukan damai, tetapi terhadap orang yang tidak memberi sesuatu ke dalam mulut mereka, maka mereka menyatakan perang”. Akibat daripada perbuatan nabi palsu, Tuhan membiarkan tidak ada terang dalam hati mereka dan hari menjadi malam bagi mereka tanpa penglihatan. Tidak mendapat pernyataan Tuhan bermaksud kehilangan sepenuhnya kuasa kerja sebagai nabi (Yes 29:10-12). Hasilnya, “Para pelihat akan mendapat malu dan tukang-tukang tenung akan tersipu-sipu”. Hal ini kerana doa mereka tidak mendapat jawapan daripada Tuhan. Pada waktu ini, nabi Mikha menyampaikan bukti bahawa dia nabi yang benar, iaitu penuh dengan “kekuatan”, “Roh Kudus”, “keadilan” dan “keperkasaan”. Dia dengan berani memberitakan kepada Yakub pelanggarannya dan kepada Israel dosanya.
C, Pemimpin agama – imam
Para imam memberikan pengajaran untuk mendapatkan bayaran. Mereka menganggap perintah dan ajaran yang berkaitan dengan kehidupan dan kematian, berkat dan kutuk sebagai barang dagangan untuk dijual. Mereka juga menganggap jabatan mulia yang dikuduskan sebagai perajurit upahan dan menganggap pelayanan dalam hidup sebagai syarat pertukaran faedah. Bagaimana ajaran sebegini ada kuasa Tuhan? Bagaimana ajaran sebegini dapat mengubah hidup manusia?
- Pengaruh dosa dan kejahatan pemimpin sangat meluas dan akan merugikan seluruh negara dengan serius. Dalam masasetengah abad dari zaman raja Uzia hingga zaman raja Hizkia, Yerusalem berada dalammasa pembangunan yang hebat (2 Taw 26:9-10) (Yes 9:10). Walaupun pembangunan ini ialah simbol kemakmuran dan kekuatan negara, nabi pula berkata: “hai kamu yang mendirikan Sion dengan darah dan Yerusalem dengan kelaliman!” Mereka berfikir bahawa selagi Bait Suci ada, Tuhan ada bersama mereka, dan damai sejahtera dapat dijamin dengan mempersembahkan harta benda kepada Bait S Mereka tidak tahu bahawa Tuhan akan mendatangkan malapetaka kepada Yerusalem kerana dosa-dosa mereka. Tuhan akan menjadikan Yerusalem timbunan puing dan menjadikan gunung Bait Suci bukit yang berhutan (Yer 26:18)!
B. KUASA KERAJAAN YANG SEBENAR (FASAL 4 – 5)
Dalam perenggan pertama di hadapan, nabi mengumumkan penghakiman Tuhan dan menyenaraikan kejahatan penghakiman satu per satu. Pengalaman-pengalaman kegagalan iman kepercayaan ini sangat memilukan dan tampaknya sangat pesimis tentang masa depan. Walau bagaimanapun, semuanya berubah bermula daripada perenggan ini. Isi kandungannya seolah-olah telah mengalami perubahan 180 darjah. Kerajaan Mesianik yang penuh dengan keindahan mulia muncul dalam sekelip mata dengan membawa kecergasan hidup dan pengharapan yang tidak berkesudahan kepada manusia! Kemudian, kelas penguasa yang bobrok sebelum ini dibawa ke dalam kuasa kerajaan yang sebenar di sini sehingga membentuk suatu kontras yang sangat kuat. Hal ini membolehkan manusia tahu tentang butiran utama “kedaulatan ada pada Tuhan” dan butiran ini perlu dipertimbangkan sama ada oleh individu ataupun jemaat!
Fasal 4: Kerajaan damai hari-hari yang terakhir
Pada “hari-hari yang terakhir” – iaitu hari Yesus Kristus (Ibr 1:2), kerajaan yang sebenar akan mendirikan satu kerajaan yang rohani dan damai – jemaat. Ada orang berpendapat bahawa kerajaan yang disebutkan di sini juga melambangkan Kerajaan Syurga pada masa kelak, tetapi pandangan ini sukar menjelaskan maksud “gunung-gunung” dan “bukit-bukit” dalam ayat suci. Hal ini kerana Kristus merupakan satu-satunya Tuhan yang benar, jadi bagaimana kerajaan tuhan lain dapat berdiri sama tinggi dengan-Nya? Jadi kerajaan ini sepatutnya hanya merujuk kepada jemaat milik Tuhan. Pintu kasih karunia terbuka luas untuk menerima bangsa-bangsa, jadi bangsa-bangsa akan berduyun-duyun ke sini (Ibr 12:22-23). Pengajaran kebenaran harus datang daripada jemaat Tuhan (1 Tim 3:15), dan pengajaran kebenaran merupakan kriteria untuk menjadi hakim dan menjadi wasit. Ada hidup yang damai, kasih setia, adil, dan sukacita di bawah kriteria ini (Yes 11:6-9). Di luar kerajaan ini, “biarpun segala bangsa berjalan masing-masing demi nama allahnya”, tetapi orang-orang milik kerajaan Tuhan akan berjalan demi nama Tuhan untuk selamanya dan seterusnya menjadi milik Tuhan dan melayani Tuhan dengan setia (Yos 24:15).
Pada hari Tuhan menyelamatkan, Tuhan akan membiarkan umat pilihan mendapatkan kembali kemerdekaan mereka, membebaskan mereka daripada semua penderitaan hukuman, dan Tuhan akan menjadi raja atas mereka di Sion. Nubuat di sini juga secara khusus merujuk kepada orang-orang yang berdosa akan dipilih oleh Tuhan untuk memperoleh kemerdekaan sebenar daripada jerat kejahatan (Yoh 8:34) supaya Kristus menjadi raja dalam hidup untuk selama-lamanya. Raja yang diangkat oleh manusia ialah “Menara Kawanan Domba” dan “Bukit puteri Sion”. Walaupun pernah memegang tampuk pemerintahan, dia akhirnya akan berteriak dengan keras kerana penderitaan kemusnahan negara dan pembuangan rakyat. Namun, kuasa kerajaan yang sebenar akan dinyatakan di hadapan mata negeri-negeri musuh. Negeri-negeri musuh ini pada asalnya berkumpul untuk melawan dan mencemarkan kerajaan Tuhan, tetapi mereka tidak tahu bahawa semua itu ialah rancangan Tuhan (Yes 55:8-9). Tuhan akan menghimpunkan mereka seperti berkas gandum ke tempat pengirikan dengan tujuan untuk menyerahkan mereka kepada bani Sion. Umat pilihan akan menumbuk hancur banyak bangsa seperti mengirik gandum (Mi 4:13) dan mengkhususkan kekayaan mereka bagi Tuhan seluruh bumi.
Fasal 5: Nubuat tentang Mesias
Kuasa kerajaan yang sebenar adalah milik Mesias, Kristus Yesus, Juruselamat. Fasal ini adalah salah satu nubuat tentang kelahiran Kristus yang paling penting dalam Alkitab. Ayat pertama dengan jelas menunjukkan bahawa tempat kelahiran-Nya ialah Betlehem (Catatan 1). Nubuat ini merupakan salah satu daripada tujuh nubuat tentang kelahiran Kristus dalam Alkitab (Catatan 2). Kemudian, ketika Yesus dilahirkan, semua imam kepala dan ahli Taurat juga menggunakan petikan ini untuk menjawab raja Herodes (Mat 2:3-6). Kita mendapat tahu daripada petikan ini bahawa kewujudan Kerajaan Damai bukan sekadar kata-kata untuk menghibur umat pilihan, tetapi merupakan nubuat yang akan digenapi secara nyata.
Mesias ini akan menggembalakan dan menjaga kawanan-Nya seperti seorang gembala serta berperang melawan musuh-musuh di sekeliling untuk mereka. Dia akan mengumpulkan banyak nabi dan pemimpin untuk menentang musuh, menawan tempat-tempat utama musuh, dan benar-benar menundukkan segala serangan musuh kuat. Sisa Israel akan sama banyaknya dengan embun (Mzm 110:3) dan kuat seperti singa (Bil 23:24). Mereka akan sepenuhnya bersandar kepada Tuhan setelah ditahirkan oleh Tuhan. Murka dan pembalasan Tuhan juga akan menimpa bangsa-bangsa di dunia untuk menyatakan kuasa kerajaan yang sebenar Tuhan Yang Mahakuasa.
Catatan 1: “Betlehem” adalah sebuah kota kecil lima batu dari selatan Yerusalem yang bermaksud “lumbung makanan”. Betlehem adalah sebuah kota kecil di daerah Efrata dari suku Yehuda. Kota ini sangat kecil sehingga tidak tersenarai dalam kota-kota Yehuda yang menjadi milik pusaka suku-suku seperti yang dicatatkan dalam kitab Yosua (Yos 15:20-63). Namun kota ini terkenal jauh dan dekat sebagai tempat kelahiran Daud (1 Sam 17:12) dan kemudian mendapat nama di persada dunia kerana penggenapan sebagai tempat kelahiran Juruselamat (Luk 2:8-11).
Catatan 2: Tujuh nubuat tentang kelahiran Kristus: (I) keturunan Abraham (Kej 22:18), (II) daripada suku Yehuda (Kej 49:11), (III) daripada keturunan / keluarga Daud (Yer 23:5-6), (IV) dilahirkan oleh seorang perempuan muda (Yes 7:14), (V) menyatakan tempat kelahiran (Mi 5:1), (VI) mengumumkan masa dan hari (Dan 9:25), (VII) keadaan penderitaan (Yes 53:9).
C. PERBAHASAN DAN PENGAMPUNAN (FASAL 6 – 7)
Fasal 6: Perbahasan antara Tuhan dengan manusia
Fasal ini pada mulanya menggunakan perbahasan khas sebagai kaedah ekspresi iaitu menjelaskan kekurangan manusia dan kerasionalan kebenaran Tuhan melalui perbahasan antara Tuhan dengan manusia. Sama seperti dalam isi kandungan pembelaan ke atas kes litigasi di mahkamah, Tuhan ialah pengadu, nabi ialah jurubicara Tuhan, umat pilihan ialah orang kena tuduh, dan gunung-gunung yang kekal ialah saksi. Namun, Tuhan tidak membuat tuduhan yang membawa maut terhadap umat pilihan. Sebaliknya, Dia menyoal anak-Nya dengan peranan sebagai seorang ayah supaya mereka membuat refleksi dan renungan. Soalan pertama: “apakah yang telah Kulakukan kepadamu?” Soalan ini bertujuan supaya mereka merenung kembali perbuatan Tuhan dalam sejarah. Perbuatan-perbuatan Tuhan terhadap umat tidak lain daripada membebaskan, menjaga, melindungi, dan membimbing. Soalan kedua: “Dengan apakah engkau telah Kulelahkan?” Soalan ini meminta mereka untuk memikirkan kerasionalan cara ibadah mereka. Adakah Tuhan meminta daripada mereka ribuan domba jantan, atau puluhan ribu curahan minyak, atau bahkan anak sulung yang dikasihi? Melayani Tuhan dengan cara sendiri akan menjadi beban kelelahan. Soalan ketiga: “Dan apakah yang dituntut TUHAN dari padamu?” Tuntutan Tuhan: “berlaku adil, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu” (Mi 6:8). Petikan ini merupakan ayat yang paling terkenal dalam kitab Mikha dan boleh dikatakan sebagai ringkasan umum bagi iman kepercayaan yang sejati.
Kedua, Tuhan berseru kepada Yerusalem dengan perantaraan nabi: “- adalah bijaksana untuk takut kepada nama-Nya -: “Dengarlah, hai suku bangsa dan orang kota!”” Orang yang bijaksana dapat menghasilkan hati yang takut akan Tuhan setelah membuat refleksi. Hal ini kerana manusia dipukul oleh Tuhan kerana pelanggaranya sendiri merupakan hasil yang wajar dan tidak dapat dielakkan. Kekotoran moral umat termasuk “harta benda kefasikan di rumah orang fasik” dan “takaran efa yang kurang dan terkutuk”, serta “neraca palsu” (Ams 11:1) dan “pundi-pundi berisi batu timbangan tipu” (Ul 25:13-14); kota ini penuh dengan “orang-orang kaya yang melakukan banyak kekerasan” dan “penduduk yang berkata dusta”. Oleh itu, pukulan Tuhan agak berat. Mereka cedera tetapi tidak diselamatkan, lapar dan lemah tetapi tidak dikenyangkan, dan bekerja keras tetapi tidak memperoleh hasil. Pemberontakan dari segi agama umat termasuk “berpaut kepada ketetapan-ketetapan Omri” (1 Raj 16:25-26) dan “berpaut kepada segala perbuatan keluarga Ahab, dan telah bertindak menurut rancangan mereka” (1 Raj 21:1-16). Oleh itu, kota yang pada asalnya makmur dan gemilang akan menjadi tandus dan dicela.
Fasal 7: Pengampunan Tuhan terhadap manusia
Nabi berkata pada permulaannya: “Celaka aku!” Hal ini kerana hanya ada sedikit orang benar di negeri itu. Keadaan mereka seperti pada pengumpulan buah-buahan musim kemarau, tidak ada buah lagi untuk dimakan. “Orang yang terbaik di antara mereka adalah seperti tumbuhan duri, yang paling jujur di antara mereka seperti pagar duri;” (2 Sam 23:6-7). Negeri ini amat menyedihkan! Setiap orang mengadakan persepakatan jahat terhadap orang lain (Mzm 10:8), tangan semua orang sudah cekatan berbuat jahat, orang dalam semua lapisan masyarakat telah bobrok sepenuhnya, dan bahkan ahli keluarga saling menyerang. Ayat 6 pernah dipetik oleh Yesus untuk menunjukkan perpecahan keluarga demi iman kepercayaan (Mat 10:35-36). Dengan peranan pengintai, nabi menunjukkan kekurangan manusia di hadapan Tuhan (Rm 3:23). Nabi selanjutnya mengumumkan bahawa hari penghukuman Tuhan telah datang, dan mulalah kegemparan dalam kalangan orang-orang yang berbuat jahat (Yes 57:20-21).
Perenggan terakhir ialah doa nabi. Isi kandungannya dimulai dengan perubahan iman, kemudian nubuat tentang Tuhan menjanjikan pemulihan, dan diakhiri dengan pujian atas kasih sayang pengampunan dosa Tuhan. Isi kandungannya diringkaskan seperti berikut:
A, Mazmur perubahan iman (ayat 7-10)
Nabi mengaku dan berharap kepada Tuhan bagi pihak umat. Mazmur ini mengandungi tiga titik perubahan yang menunjukkan perubahan iman. Bermula dengan “Tetapi aku ini…”, ayat ini ialah titik perubahan pertama. Walaupun keterangan sebelumnya menampakkan seolah-olah umat langsung tidak berguna, namun nabi masih melihat pengharapan pada Tuhan. Di tengah-tengah petikan ialah “Sekalipun aku jatuh, aku akan bangun pula,” sebagai titik perubahan kedua. Ayat ini bermaksud bahawa kekuatan pemulihan akan terpelihara jika mereka meneguhkan pengharapan dan penantian terhadap Tuhan. Akhir sekali, “sehingga aku mengalami keadilan-Nya” ialah titik perubahan ketiga. Sekiranya mereka rela memikul kemarahan Tuhan dan menunggu Tuhan memberikan keadilan, mereka akan dibawa ke dalam terang Tuhan.
B, Nubuat tentang janji pemulihan (ayat 11-17)
Nabi menyampaikan kepada umat perkara-perkara besar yang akan dilaksanakan oleh Tuhan, iaitu nubuat tentang janji pemulihan. Nubuat ini mencakupi dua perkara besar: Yang pertama ialah perluasan perbatasan kerajaan, tetapi nubuat ini juga merujuk kepada Israel rohani (Rm 9:6-8) – jemaat. Umat yang diselamatkan akan datang dari semua arah, tetapi bumi akan menjadi tandus sebagai akibat dosa. Yang kedua adalah bahawa kuasa Tuhan akan dinyatakan seperti keajaiban pada waktu mereka keluar dari Mesir pada zaman dahulu kala sehingga bangsa-bangsa tunduk di hadapan Tuhan dengan perasaan malu. Bahagian ini juga merupakan respons Tuhan terhadap permohonan nabi untuk menggembalakan umat pilihan.
C, Pujian kasih Tuhan (ayat 18-20)
Tuhan Yang Mahatinggi bukan hanya memiliki kekuatan untuk mengatasi segala sesuatu, tetapi juga memiliki rahmat dan kasih sayang yang tidak terduga (Mzm 103:11-12). Dia “tidak bertahan dalam murka-Nya untuk seterusnya, melainkan berkenan kepada kasih setia”. Jadi asalkan manusia rela mengaku dosa mereka sepenuhnya dan benar-benar bertaubat, Dia akan selalu mengampuni dosa manusia. Nabi memuji kemurahan dan kesetiaan Tuhan yang tak tertandingi. Dia menunjukkan setia kepada Yakub dan kasih kepada Abraham.
KESIMPULAN
Kita dapat memahami sifat semula jadi Tuhan dan gambaran yang seharusnya dimiliki oleh manusia dalam Kristus daripada tema kitab Mikha iaitu “Siapa seperti Tuhan?”. Kita dapat melihat mesej tentang Kristus daripada nubuat nabi Mikha. Kita juga dapat memperoleh terang hidup dan kekuatan iman kepercayaan daripada nubuat itu. Kita hanya dapat mengalami pengharapan hidup yang kekal dan memperoleh kesan “dibenarkan kerana iman” dengan menyedari dosa-dosa hidup ini.
SOALAN PERBINCANGAN
- Cuba bandingkan ratapan dalam fasal1 dengan pujian dalam fasal 7 dan kongsikan perasaan yang dibawakan oleh kedua-dua fasal tersebut kepada anda.
- Bincangkan kognisi yang seharusnya dimiliki oleh para pemimpin jemaat daripada fasal 3.
- Apakah peranan Kristus dalam kitab Mikha? Kongsikanpendapat anda mengenai peranan-peranan
- Petikan rujukan: (5:1-2) (2:12, 5:3, 7:14) (2:13) (7:12-20)
- Renungkan tiga soalan dalam perbahasan antara Tuhan dengan manusia dan kongsikan apakah sikap iman kepercayaan kita terhadap Tuhan?