KITAB OBAJA

KITAB OBAJA

(Pendeta Lin Zhang Wei)

 

“Bangunlah, marilah kita bangkit memeranginya!” (Ob 1:1). Nabi menyebutkan tema kitab ini dengan jelas pada permulaan kitab Obaja setelah mendapat penglihatan – menurut catatan (Kej 36:1,8-9): Esau itulah Edom, bapa orang Edom di pegunungan Seir. Dari perspektif sejarah, Esau dan Yakub pada asalnya merupakan adik-beradik kembar (Kej 25:25-26). Sebelum orang Israel, keturunan Yakub mempunyai pemerintahan beraja, orang Edom telah membentuk zaman pemerintahan beraja. Walaupun Esau dan Yakub ialah adik-beradik, namun keturunan-keturunan mereka, iaitu orang Edom dan orang Israel sering bermusuh dan ada kalanya mereka berperang. Sejak zaman Saul, raja Israel yang pertama, dia sering memimpin pasukannya berperang ke segala penjuru melawan musuhnya pada waktu itu, dan musuhnya termasuklah orang Edom (1 Sam 14:47). Pada zaman raja kedua, Daud, keadaan peperangan tidak berubah (2 Sam 8:14). Ketika zaman Salomo, raja yang ketiga, Tuhan masih menjadikan orang Edom sebagai musuhnya dan Edom mendatangkan malapetaka luar terhadap aspek ketenteraan negara itu (1 Raj 11:14-22,25). Setelah kerajaan itu berpecah, semasa pemerintahan Yoram, raja Yehuda di Kerajaan Selatan (sekitar tahun 850 SM), orang Edom memberontak terhadap kerajaan Yehuda (2 Raj 8:20-22). Ketika negara dicerobohi pada masa pemerintahan raja Uzia (sekitar tahun 765 SM) ), orang Edom “mengejar saudaranya (Israel) dengan pedang dan mengekang belas kasihannya, memendamkan amarahnya untuk selamanya dan menyimpan gemasnya untuk seterusnya” (Am 1:11). Pada tahun 586 SM, kerajaan Babel menawan kota Yerusalem. Pada masa ini, orang Edom bergendang paha dan berkata: “Runtuhkan, runtuhkan sampai ke dasarnya!” (Mzm 137:7).

Tuhan membangkitkan nabi Obaja (yang bermaksud hamba Tuhan) semasa zaman orang Edom memberontak melawan orang Israel pada masa pemerintahan Yoram, raja Yehuda. Kita tidak mempunyai sebarang maklumat tentang hidupnya. Hal ini kerana Tuhan mahu kita memerhatikan pesanan nabi (bukan nabi yang menyampaikan pesanan), memberitakan sebab-sebab kecongkakan orang Edom (2-9), dosa-dosa kejam mereka (10-14) dan kesudahan kemusnahan mereka pada masa kelak (15-21).

 

A. SUDUT-SUDUT KECONGKAKAN ORANG EDOM (2-9) 

  1. Tinggal di liang-liang batu yang tinggi(3)

Ibu kota Edom, Sela (2 Raj 14:7) adalah sebuah kota besar yang dibina di atas gunung dengan sempadan yang semula jadi. Kota ini terletak 600 meter di atas permukaan laut. Banyak pembinaan ketenteraan tersembunyi di liang-liang batu yang memudahkan pertahanan mereka sehingga mereka sukar untuk diserang. Jadi, mereka berkata dengan angkuh: “Siapakah yang sanggup menurunkan aku ke bumi?” (3b). Namun Tuhan berkata: “Sekalipun engkau terbang tinggi seperti burung rajawali, bahkan, sekalipun sarangmu ditempatkan di antara bintang-bintang, dari sana pun Aku akan menurunkan engkau…” (4). Sekiranya seorang Kristian tidak memahami bahawa semuanya diatur dan diberikan oleh Tuhan (1 Kor 4:7), tetapi berasa aman kerana dia mempunyai kelebihan semula jadi dan menjadi seperti Simson (Hak 16:20), perbuatannya ini merupakan satu kesalahan (Yak 4:13-16).

 

  1. Tempat kediaman yang tersembunyi(6)

Terdapat banyak liang batu di tanah Edom dengan kedalaman 100-200 meter. Jadi tempat ini sesuai untuk bersembunyi dan tidak sesuai untuk mencari. Penempatan pelbagai harta benda di sini adalah seperti peti keselamatan dengan kata laluan dan boleh digambarkan sebagai sangat selamat. Dalam kitab Yeremia 17:9, Tuhan berfirman: “Betapa liciknya (bahayanya) hati, lebih licik (bahaya) dari pada segala sesuatu, hatinya sudah membatu (sakit sampai ke tahap yang tidak dapat disembuhkan lagi): siapakah yang dapat mengetahuinya?” Fikiran-fikiran yang licik dan motif-motif yang menyembunyikan kejahatan boleh dibungkus dengan penampilan yang cantik, sama seperti Yudas yang mengkhianati Yesus (Yoh 12:4-7; Luk 22:47-48) atau Ananias dan isterinya (Kis 5:1-11). Maka Tuhan berfirman: “Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, padahal hatinya jauh dari pada-Ku. Percuma mereka beribadah kepada-Ku, …” (Mat 15:8-9).

 

  1. Teman persekutuan yang banyak(7)

Orang Edom mengikat persahabatan demi keuntungan dengan fikiran bahawa mereka tidak akan saling menyerang dan dapat menjaga hubungan yang harmoni. Tidak terjangka oleh mereka bahawa sekutu-sekutu ini mengkhianati mereka, memperdayakan mereka dan memasang jerat ketika kesulitan menimpa. Kitab Roma mencatatkan: “Sebab sekalipun mereka mengenal Allah, mereka tidak memuliakan Dia sebagai Allah atau mengucap syukur kepada-Nya. Sebaliknya pikiran mereka menjadi sia-sia dan hati mereka yang bodoh menjadi gelap. Mereka berbuat seolah-olah mereka penuh hikmat, tetapi mereka telah menjadi bodoh. Mereka menggantikan kemuliaan Allah yang tidak fana dengan gambaran yang mirip dengan manusia yang fana, burung-burung, binatang-binatang yang berkaki empat atau binatang-binatang yang menjalar. Sebab mereka menggantikan kebenaran Allah dengan dusta dan memuja dan menyembah makhluk dengan melupakan Penciptanya yang harus dipuji selama-lamanya, amin.” (Rm 1:21-23, 25). Perbuatan inilah kefasikan. Seperti yang dikatakan oleh Habakuk: “… demikianlah mereka bersalah dengan mendewakan kekuatannya.” (Hab 1:11). Ada banyak orang yang mengkhianati sahabat demi keuntungan. Kita harus menjadikan Tuhan sebagai sandaran.

 

  1. Ramai orang bijaksana(8)

Orang Edom berpendapat bahawa mereka ada banyak orang yang bijaksana. Mereka memiliki kebijaksanaan dan pengetahuan, dan mahir dalam segala macam strategi. Dengan itu, negara ini sangat selamat dan kukuh. Namun Tuhan berfirman: “Bukankah pada waktu itu, … Aku akan melenyapkan orang-orang bijaksana dari Edom, dan pengertian dari pegunungan Esau?” Zaman moden merupakan satu era dengan ledakan pengetahuan. Orang menjadi sombong apabila mereka mempunyai pengetahuan (1 Kor 8:1) sehinnga mereka menolak pemberitaan tentang salib Kristus (1 Kor 1:18-31). Oleh itu, Tuhan menghendaki kita supaya jangan menganggap diri sendiri bijak dan jangan bersandarkan pengertian sendiri, tetapi bersandarkan Tuhan (Ams 3:5-8) dan Roh Tuhan (Za 4:6).

 

  1. Sejumlah besar pahlawan (9)

Orang Edom berasa aman bahawa latihan mereka menghasilkan banyak pahlawan. Mereka berpendapat bahawa para pahlawan yang kuat dan hebat ini sudah cukup untuk perlindungan mereka. Namun Tuhan berkata: “Juga para pahlawanmu, hai Téman, akan tertegun, supaya semua orang di pegunungan Esau lenyap terbunuh.” Sering kali dicatatkan dalam Alkitab bahawa kunci kemenangan dalam peperangan ialah “penyertaan Tuhan” (Hak 16:20; 1 Sam 17:45; 2 Taw 20:17; Yes 37:36). Jika roh Tuhan menolong dan memimpin, persekitaran dan syarat luaran tidak lagi menjadi keutamaan.

 

B. DOSA-DOSA KEJAM ORANG EDOM (10-14) 

  1. Melakukan kekerasan untuk mencelakakansaudara (10)

“Sungguh, alangkah baiknya dan indahnya, apabila saudara-saudara diam bersama dengan rukun!” (Mzm 133:1-3). Abraham berhenti berkelahi dengan Lot dan mengadakan perdamaian kerana mereka itu kerabat dan saudara (Kej 13:8). Hal ini menyebabkan Abraham diberkati oleh Tuhan. Sebaliknya, kejadian Kain membunuh Habel (Kej 4:8-15) dan saudara-saudara Yusuf mengkhianati dan memasang jerat terhadapnya (Kej 37:18-28) telah membangkitkan murka Tuhan. Demikian juga, Yesus Kristus datang ke dunia untuk mengadakan perdamaian melalui kayu salib (Ef 2:14-18). Maka kita harus berusaha untuk hidup dengan rukun dalam gereja. Jangan timbulkan ketidakharmonian kerana perbezaan idea dan pemahaman.

 

  1. Berdakap tangan(11)

Dalam kisah orang Samaria yang murah hati dan penyamun-penyamun (Luk 10:25-37), kita dapat melihat imam dan orang Lewi berdakap tangan, sesuai dengan perumpamaan domba-domba dan kambing-kambing (Mat 25:31-46). Nampaknya, orang yang mempunyai pengetahuan rohani tidak dapat memperoleh hidup yang kekal (Luk 10:25,37), tetapi terletak pada amalannya. Jika seseorang tidak tahu cara mengasihi, memelihara, menyokong, dan menyarai sanak saudaranya, orang itu murtad dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman (1 Tim 5:4,8).

 

  1. Bergendang paha(12)

“Jangan bersukacita kalau musuhmu jatuh, jangan hatimu beria-ria kalau ia terperosok, supaya TUHAN tidak melihatnya dan menganggapnya jahat, lalu memalingkan murkanya dari pada orang itu.” (Ams 24:17-18). “… siapa gembira karena suatu kecelakaan tidak akan luput dari hukuman.” (Ams 17:5). Sebagai contoh, bani Amon menyerukan: “Syukur!” mengenai tempat kudus Tuhan, waktu kekudusannya dilanggar, dan mengenai tanah Israel, waktu itu dijadikan sunyi sepi, dan mengenai kaum yehuda, waktu mereka harus pergi ke dalam pembuangan (Yeh 25:1-7). Begitu juga dengan orang Tirus (Yeh 26:1-6). Mereka pasti akan dihukum oleh Tuhan dan menyebabkan kebinasaan negaranya.

 

  1. Menahan jerat di tempat genting (13)

Setelah orang Israel keluar dari Mesir dan berada di padang gurun, mereka berperang melawan orang Amalek di Rafidim. Tuhan berfirman kepada Musa: “Aku akan menghapuskan sama sekali ingatan kepada Amalek dari kolong langit.” Musa berkata: “… TUHAN berperang melawan Amalek turun-temurun.” (Kel 17:8-16). Sebabnya adalah bahawa orang Amalek menahan jerat di tempat genting (Ul 25:17-18). Oleh itu, Tuhan sekali lagi berpesan: “… maka haruslah engkau menghapuskan ingatan kepada Amalek dari kolong langit. Janganlah lupa!” (Ul 25:19).

 

  1. Menabur garam di atas luka(14)

“Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan menjadi seorang saudara dalam kesukaran.” (Ams 17:17). Ayub dan Yeremia sama-sama menderita sakit seperti ini ketika mereka berada dalam keadaan paling lemah, kesepian dan tidak berdaya (Ayb 19:13-22; Yer 12:5-6, 15:10, 18:18, 20:7-8,10). Seiman harus memiliki konsep anggota-anggota membentuk satu tubuh (1 Kor 12:12-27) dan saling membantu dalam kekurangan (Rm 12:13 ) sesuai dengan ajaran Tuhan.

 

C. KESUDAHAN KEMUSNAHAN EDOM (15-21) 

Apabila telah dekat hari Tuhan menimpa, lenyaplah bumi dan langit (Why 20:11). Tidak ada lagi tempat persembunyian untuk segala perbuatan yang dilakukan oleh manusia, dan “penghakiman yang tak berbelas kasihan akan berlaku atas orang yang tidak berbelas kasihan” (Yak 2:13). Dalam kasih Tuhan, orang Israel akan mendapatkan kembali negeri mereka yang hilang dan kembali ke dalam pelukan Tuhan untuk menikmati hari-hari yang tenteram. Edom dan bahkan bangsa-bangsa yang menganiaya umat pilihan akan binasa sepenuhnya tanpa ada yang tersisa. Kesudahan sejarah orang Edom telah dimuktamadkan dan tidak ada ruang lagi untuk perubahan. Seperti yang dinyatakan dalam Alkitab: “Sebab Allah kita adalah api yang menghanguskan. Ngeri benar, kalau jatuh ke dalam tangan Allah yang hidup.” (Ibr 12:29, 10:31).

Dari perspektif sejarah, kita dapat melihat pelaksanaan penghakiman Tuhan terhadap orang Edom dan nubuat tentang kebinasaan mereka. Namun, selain simbol dalam hukum yang tertulis, catatan sejarah dalam Alkitab juga mempunyai Roh (2 Kor 3:6). Esau ialah wakil orang yang mempunyai nafsu yang rendah (Ibr 12:16-17). Sama seperti Paulus mencatatkan kisah orang Israel di padang gurun sebagai contoh untuk memberikan peringatan kepada orang Kristian dalam zaman Perjanjian Baru (1 Kor 10:5-11). Seorang Kristian harus berusaha menyempurnakan rohani untuk mengusir orang Edom dalam hati kita dan melenyapkan keinginan-keinginan duniawi (orang Edom) daripada kita sampai rupa Kristus menjadi nyata di dalam kita (Gal 4:19).