PANDUAN PEMBACAAN KITAB NEHEMIA
Orang Israel pada mulanya dipilih dan dikasihi oleh Tuhan. Mereka merupakan umat yang dijaga, diberkati, dan dipimpin khas oleh Tuhan untuk memegang perjanjian-Nya dengan Abraham (Ul 7:7-8). Namun, mereka telah menjadi tegar hingga akhir, memberontak dan meninggalkan Tuhan yang esa yang menyelamatkan mereka. Sebaliknya, mereka mencontohi bangsa-bangsa di sekitar mereka dengan melayani berhala-berhala palsu, tidak menumpukan perhatian dalam mematuhi hukum Taurat Musa dan mengikuti perbuatan jahat bangsa-bangsa lain. Akhirnya, mereka dihakimi dan dihukum oleh Tuhan. Kerajaan Israel di utara dan kerajaan Yehuda di selatan musnah satu-persatu. Umat ditawan dan tersebar ke merata tempat yang jauh dari kampung halaman mereka. Tuhan itu setia dan pengasih. Dia memberikan hukuman tetapi juga belas kasihan. Walaupun Dia menyembunyikan wajah-Nya daripada melihat, namun Dia tidak pernah melupakan perjanjian dan umat pilihan-Nya. Oleh itu, kebanyakan orang Yahudi seolah-olah telah melupakan tahun-tahun yang telah dinubuatkan oleh Tuhan melalui para nabi: “Maka seluruh negeri ini akan menjadi reruntuhan dan ketandusan, dan bangsa-bangsa ini akan menjadi hamba kepada raja Babel tujuh puluh tahun lamanya.” (Yer 25:11). Tanpa mengambil kira perubahan dunia atau kerajaan, apabila waktu Tuhan telah genap, Tuhan menggerakkan hati raja pada tahun pertama zaman Koresh, raja negeri Persia (antara tahun 538-536 SM) sehingga dia membuat pengumuman yang mengizinkan orang Yahudi kembali ke Yerusalem, dan membangun kembali Bait Suci. Tuhan juga menggerakkan banyak orang Yahudi yang bersedia membiayai, atau bahkan rela meninggalkan tempat tinggal mereka yang biasa dan stabil untuk kembali ke Yerusalem yang terbengkalai. Setelah bertahun-tahun bekerja keras, mereka akhirnya menyelesaikan kerja pembangunan kembali Bait Suci itu. Tetapi pada masa ini, tembok Yerusalem masih runtuh, dan umat yang tinggal di sana langsung tidak mempunyai benteng pertahanan yang kuat. Oleh itu, Tuhan berkenan kepada seorang pekerja, iaitu Nehemia lalu menggerakkan hatinya sehingga dia bersedia meninggalkan kehidupan yang stabil dan berkecukupan untuk pergi ke Yerusalem dan memimpin rakyat untuk membangun kembali tembok kota. Pekerjaan-pekerjaan Tuhan dalam kitab Nehemia ini membolehkan kita belajar dan melihat teladan banyak pekerja dan perbuatan Tuhan yang ajaib.
PENULIS
Penulisnya ialah Nehemia. Atau mungkin juga dituliskan oleh Ezra berdasarkan diari (atau memoir) Nehemia untuk menghubungkan dan bertindak balas dengan kitab Ezra. Oleh itu, terdapat banyak persamaan dalam cara penulisan kedua-dua kitab ini dan ditulis dengan kata ganti nama diri pertama (Nehemia). Cara penceritaan ini memudahkan pemahaman generasi akan datang. Kitab ini disiapkan pada sekitar tahun 440- 430 SM.
TEMA UTAMA
Membangunkan kembali tembok kota. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Hai Yerusalem, yang telah didirikan sebagai kota yang bersambung rapat.” (Mzm 122:3).
ZAMAN-ZAMAN YANG BERKAITAN
Zaman-zaman penting yang berkaitan dengan umat disusun seperti berikut:
- Kerajaan Israel Utara dimusnahkan oleh empayar Asyur pada sekitar tahun 722 SM.
- Dalam kerajaan Yehuda Selatan, ketika Yoyakim memerintah pada tahun 606 SM, sebahagian umat ditawan ke Babel (penawanan pertama) dan nabi Daniel juga ditawan.
- Dalam kerajaan Yehuda Selatan, ketika Yoyakhin memerintah pada tahun 597 SM, sebahagian umat ditawan ke Babel untuk kali yang kedua, dan nabi Yehezkiel juga ada di kalangan mereka.
- Kerajaan Yehuda musnah oleh empayar Babel ketika Zedekia memerintah pada tahun 586 SM. Bait Suci dan kota suci dimusnah
- Pada sekitar tahun 538 SM, Koresh, raja negeri Persia mengeluarkan pengumumandan membenarkan orang Yahudi kembali ke Yerusalem untuk membangunkan kembali Bait Suci.
- Orang-orang Yahudi membangun kembali Bait Sucidari sekitar tahun 536 SM, dan pekerjaan itu dihentikan (tahun 536-520 SM) sehingga diselesaikan pada tahun 516 SM.
- Pada sekitar tahun 445 SM, Nehemia kembali ke negaranyadan bertugas sebagai bupati tanah Yehuda selama kira-kira dua belas tahun (tahun 445-433 SM) untuk membangun kembali tembok kota Yerusalem.
- Pada sekitar tahun 433 SM, Nehemia pernah kembali ke negeri Persia untuk menghadap raja dan kemudian kembali ke Yerusalem untuk kali yang kedua (Neh 13:6-7).
PENGAJARAN PENTING
A. Nehemia, hamba yang setia
Nehemia ialah anak Hakhalya (Neh 1:1). Alkitab tidak mencatatkan proses pertumbuhannya. Pada permulaannya, ada disebutkan bahawa dia seorang pegawai dalam kerajaan Persia dan merupakan juru minuman raja (Neh 1:11). Peluang baik ini diberikan oleh Tuhan kepadanya. Dia dapat memanfaatkan peluang ini pada waktu yang tepat untuk menunjukkan kerohaniannya yang baik dalam pelayanan yang telah ditentukan oleh Tuhan bagi umat. Dia menjadi hamba Tuhan yang setia dan memberikan teladan yang baik kepada kita. Beberapa perkara diusulkan seperti berikut sebagai dorongan bersama:
- Seorang yang benar-benar mengambil berat tentang masa depan bangsa: Walaupun Nehemia merupakan seorang pegawai di puri Susan, mempunyai gaji yang lumayan, persekitaran yang stabil, pekerjaan yang dipercayai oleh raja dan kehidupan yang kaya. Namun dia tidak pernah lupa bahawa dia seorang Yahudi dan merupakan umat pilihan Tuhan. Statusnya tidak membuatkan dia mengabaikan kepedulian dan kepercayaannya terhadap bangsanya sendiri. Dia tahu bahawa situasi yang dihadapi oleh orang Israel diatur oleh Tuhan dengan kehendak dan rancangan Tuhan yang ajaib. Bangsanya tidak boleh mengaku tidak berpengharapan sehingga kehilangan iman kepada Tuhan kerana dipengaruhi oleh kegagalan dan kejatuhan semasa, dan berfikir bahawa mereka hanya memerlukan kehidupan yang stabil sahaja. Nehemia benar-benar mengambil berat tentang kehidupan dan pengalaman orang-orang bangsanya (Neh 1:2-4). Dia juga peduli tentang masa depan bangsanya dan rancangan pemilihan Tuhan. Bilakah kemuliaan Tuhan dapat benar-benar dinyatakan? Hari ini, kita juga harus “janganlah tiap-tiap orang hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga.” (Flp 2:4). Matlamat kita bukan lagi hanya nikmat material dan pencapaian dalam dunia, tetapi yang lebih penting ialah pengharapan iman kepercayaan yang sebenar. Kita bersedia saling menjaga dan bertolong-tolongan menanggung beban (Gal 6:2), saling membangun dan memberi kebaikan kepada orang lain (Rm 15:2). Kita harus bersama-sama mengambil berat tentang masa depan gereja, dan memohon supaya Tuhan terus memimpin agar gereja dapat mengeluarkan kesaksian yang lebih indah.
- Seorang yang berdoa dengan iman: Ketika Nehemia mendapat tahu tentang rakan-rakannya dicela di Yerusalem, hatinya sangat terkesan (Neh 1:4). Dia berpuasa dan berdoa ke hadirat Tuhan, memohon supaya Tuhan membimbingnya dalam perkara-perkara yang harus dilakukan olehnya. Dia sering memikirkan hal ini dalam hatinya. Oleh itu, ketika dia mengangkat anggur dan menyampaikannya kepada raja pada suatu hari, dia dilihat oleh raja bahawa dia kelihatan sedih. Dia segera berdoa kepada Tuhan dalam hatinya untuk memohon perlindungan dan petunjuk-Nya. Akhirnya, hati raja digerakkan dan raja bersetuju dengan permintaannya iaitu membenarkan Nehemia kembali ke Yerusalem untuk menjadi bupati Yerusalem supaya dapat membangun kembali tembok Yerusalem (Neh 2:5-6). Kemudian, semasa proses pembangunan kembali, musuh di sekitarnya menggunakan pelbagai kaedah untuk mengancam, menjejaskan dan menghalang pekerjaan rakyat. Walau bagaimanapun, Nehemia terus berdoa kepada Tuhan (Neh 6:9) untuk mengatasi semua jenis kecelakaan dan memimpin rakyat untuk menyelesaikan projek pembaikpulihan tembok kota. Daripada proses ini, kita dapat melihat bahawa Nehemia merupakan seorang yang berdoa dengan iman. Alkitab mencatatkan: “Janganlah hendaknya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Kristus Yesus.” (Flp 4:6-7). Dalam kehidupan ini, Tuhan tidak menjanjikan bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar, tetapi Dia berjanji akan menjadi sandaran kita yang kuat. Oleh itu, selagi kita terus serahkan kepada Tuhan dengan iman dan berdoa untuk memohon pimpinan, perlindungan, sokongan dan pertolongan Tuhan, kita secara peribadi akan dapat merasakan lebih banyak kasih karunia yang ajaib, dan semua yang dilakukan akan dapat memuliakan Tuhan dan memberi manfaat kepada orang lain.
- Seorang yang bekerja dengan hikmat: Ketika Nehemia mendapat izin daripada raja, dia tahu bahawa dia akan menghadapi banyak kesulitan, rintangan, dan bahaya dalam perjalanannya kembali ke Yerusalem. Walaupun beriman, tetapi dia juga tahu memanfaatkan sumber yang ada dengan baik. Oleh itu, dia meminta raja untuk mengeluarkan surat-surat sehingga dia mendapat banyak bantuan bekalan dan kemudahan dalam jadual perjalanannya. Ketika kembali ke Yerusalem, dia terlebih dahulu mengamati dan merancang dalam diam secara terperinci. Kemudian, dia memberitahu rakyat sebab pembangunan kembali tembok kota dan kasih karunia yang dialaminya untuk menggalakkan rakyat melakukan pekerjaan yang baik ini dengan sekuat tenaga mereka (Neh 2:17-18). Tindakan ini menampakkan hikmatnya. Selain itu, musuh menggunakan pelbagai muslihat berulang kali untuk mengancam, menjejaskan dan menghalang projek pembangunan kembali tersebut semasa prosesnya. Musuh bahkan menggunakan khabar angin dan nabi palsu untuk menyebarkan desas-desus tentang Namun dia dapat mengatasinya satu persatu dan mempertahankan prinsip iman kepercayaannya. Dia tidak berkompromi atau berunding dengan musuh, dan tidak takut dengan ancaman musuh (Neh 6:5-14). Dia memohon supaya Tuhan menguatkan tangannya dan hati rakyat. Dalam perjalanan iman kepercayaan dan kehidupan, kita pasti akan menghadapi banyak godaan dan rintangan, terutamanya pada hari-hari terakhir. Tuhan Yesus mengingatkan kita: “Sebab Mesias-mesias palsu dan nabi-nabi palsu akan muncul dan mereka akan mengadakan tanda-tanda yang dahsyat dan mujizat-mujizat, sehingga sekiranya mungkin, mereka menyesatkan orang-orang pilihan juga.” (Mat 24:24). Rasul juga mengajar: “Hiduplah dengan penuh hikmat terhadap orang-orang luar, pergunakanlah waktu yang ada.” (Kol 4:5). Oleh itu, kita harus memohon supaya Tuhan memberikan lebih banyak hikmat rohani agar kita dapat membezakan semua yang benar daripada yang salah, mempertahankan kebenaran yang murni, dan berdiri teguh dalam iman kepercayaan.
- Seorang yang menghadapi kesulitan dengan keberanian: Nehemia tidak hanya terus berdoa kepada Tuhan dengan iman, tetapi juga melihat dan merasai banyak pertolongan daripada tangan Tuhan yang mudah. Sejak awal lagi, dia telah jelas bahawa dia pasti berhadapan dengan banyak halangan dalam perkara-perkara yang harus dilakukan olehnya. Hal ini kerana, ketika orang-orang di sekitar “mendengar hal itu, mereka sangat kesal karena ada orang yang datang mengusahakan kesejahteraan orang Israel” (Neh. 2:10). Oleh itu, dia memohon agar Tuhan menguatkan hatinya sehingga dia dapat menghadapi pelbagai kesulitan dengan keberanian. Ketika diolok-olok oleh musuh bahawa: “Sekalipun mereka membangun kembali, kalau seekor anjing hutan meloncat dan menyentuhnya, robohlah tembok batu mereka.” (Neh 4:3), Nehemia mendorong rakyat untuk tidak peduli dengan kata-kata musuh, sebaliknya harus berani dan tidak putus asa sehingga projek itu dapat berjalan dengan lancar. Dalam proses projek itu, dia mendengar keluhan rakyat lalu segera mendapatkan puncanya. Dia tidak takut dengan kuasa jahat. Dia menegur mereka yang kaya dan berkuasa tetapi tidak tahu memahami dan melayan baik rakan-rakan senegara mereka. Dia berkata: “Tidaklah patut apa yang kamu lakukan itu! Bukankah kamu harus berlaku dengan takut akan Allah kita untuk menghindarkan diri dari cercaan bangsa-bangsa lain, mush-mush kita?” (Neh 5:9). Dia memimpin semua saudara untuk menunjukkan teladan yang baik supaya rakyat lebih bersatu. Dia juga menghadapi fitnah, serangan jahat dan khabar angin daripada musuh. Namun, dengan perlindungan Tuhan, dia tetap dapat menyelesaikan projek pembangunan tembok kota dan mempertahankan amanat yang dipercayakan oleh Tuhan dengan hati yang teguh, berani dan tidak takut.
- Seorang yang amanah: Nehemia merupakan seorang pegawai di istana. Dia telah mengumpulkan banyak kekayaa Dia juga diangkat sebagai bupati di tanah Yehuda. Tentunya dia menerima gaji yang lumayan. Namun dia tahu bahawa semua gaji ini dibayar daripada pajak rakyat. Demi menunjukkan teladan baik kepada semua orang, dia dengan jelas berkata: “Pula sejak aku diangkat sebagai bupati di tanah Yehuda, yakni dari tahun kedua puluh sampai tahun ketiga puluh dua pemerintahan Artahsasta jadi dua belas tahun lamanya, aku dan saudara-saudaraku tidak pernah mengambil pembagian yang menjadi hak bupati. Tetapi para bupati yang sebelumnya, yang mendahului aku, sangat memberatkan beban rakyat. Bupati-bupati itu mengambil dari mereka empat puluh syikal perak sehari untuk bahan makanan dan anggur. Bahkan anak buah mereka merajalela atas rakyat. Tetapi aku tidak berbuat demikian karena takut akan Allah. Aku pun memulai pekerjaan tembok itu, walaupun aku tidak memperoleh ladang. Dan semua anak buahku dikumpulkan di sana khusus untuk pekerjaan itu. Duduk pada mejaku orang-orang Yahudi dan para penguasa, seratus lima puluh orang, selain mereka yang datang kepada kami dari bangsa-bangsa sekeliling kami. Yang disediakan sehari atas tanggunganku ialah: seekor lembu, enam ekor kambing domba yang terpilih dan beberapa ekor unggas, dan bermacam-macam anggur dengan berlimpah-limpah setiap sepuluh hari. Namun, dengan semuanya itu, aku tidak menuntut pembagian yang menjadi hak bupati, karena pekerjaan itu sangat menekan rakyat.” (Neh 5:14-18). Nehemia bukan bermaksud untuk membanggakan kekayaan dan kemurahan hatinya, tetapi dia takut akan Tuhan dengan menunjukkan semangat dan etikanya yang amanah di hadapan Tuhan. Dia menjadi teladan yang baik kepada semua orang dan mendorong rakyat untuk menumpukan perhatian pada pekerjaan. Hari ini, kita harus meneladani fikiran ini dalam segala hal. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Karena kami memikirkan yang baik, bukan hanya di hadapan Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia.” (2 Kor 8:21). Kita harus mempunyai hati yang suci untuk menunjukkan bahawa kita merupakan hamba Kristus yang baik. Kita juga harus menjadi terang yang bercahaya di hadapan orang lain dan memuliakan nama kudus Tuhan.
- Seorang yang dapat bekerja dengan orang lain: Seperti yang tercatat dalam kitab Nehemia fasal tiga, rakyat membangun kembali tembok kota dalam beberapa bahagian. Pembahagian kerja dibuat berdasarkan kumpulan dan semua orang bergotong-royong. Walaupun Nehemia sangat beriman dan berbakat, namun dia menggalakkan dan memimpin banyak orang untuk turut serta dalam pekerjaan tersebut. Dia dapat mencari rakan sekerja dan dapat bekerja dengan orang lain. Ketika pembangunan tembok itu selesai, dia tahu bahawa tembok luar itu memang penting, tetapi tembok iman kepercayaan adalah lebih penting. Jadi dia merancang secara aktif dan sempena dengan perayaan, dia “meminta kepada Ezra, ahli kitab itu, supaya ia membawa kitab Taurat Musa, yakni kitab hukum yang diberikan TUHAN kepada Israel.” (Neh 8:2). Dia mahu Ezra menjelaskannya supaya rakyat dapat memahaminya. Nampaknya, pekerjaan Nehemia bukanlah untuk menonjolkan jasanya sendiri, tetapi untuk benar-benar membangun umat dan menyelesaikan pesanan Tuhan dengan memanfaatkan pelbagai sumber dan kasih karunia. Dia seorang yang dapat bekerja dengan orang lain. Alkitab mencatatkan: “Dan Ialah yang memberikan baik rasul-rasul maupun nabi-nabi, baik pemberita-pemberita Injil maupun gembala-gembala dan pengajar-pengajar, untuk memperlengkapi orang-orang kudus bagi pekerjaan pelayanan, bagi pembangunan tubuh Kristus.” (Ef 4:11-12). Oleh itu, kita harus memahami kehendak Tuhan, menggunakan pelbagai karunia dengan baik, saling menghormati dan mengiktiraf, dapat bekerjasama antara satu sama lain, melaksanakan fungsi yang lebih besar dan mendirikan jemaat
B. Membangun Kembali Tembok Kota
Tugas utama Nehemia ialah membangun kembali tembok kota untuk melindungi penduduk Yerusalem. Kini, tembok luaran ini adalah seperti tembok iman kepercayaan batiniah kita yang tidak dapat dilihat. Oleh itu, kita merenungkan proses pembangunan kembali tembok mereka untuk membangun iman kepercayaan kita.
- Keperluan untuk pembangunan kembali: Ketika kerajaan Yehuda musnah dan Yerusalem ditawan, tembok itu telah terbongkar. Setelah Nehemia kembali dan mengumpulkan rakyat, dia berkata: “Kamu lihat kemalangan yang kita alami, yakni Yerusalem telah menjadi reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya telah terbakar. Mari, kita bangun kembali tembok Yerusalem, supaya kita tidak lagi dicela.” (Neh 2:17). Kita dapat melihat betapa penting dan mendesaknya pembangunan kembali tembok itu. Tanpa mengambil kira jumlah penduduk dan kekayaan yang dapat dikumpulkan di dalam kota, selagi tidak ada tembok kota, selagi itu mereka tidak ada jaminan. Semuanya mungkin akan lenyap dalam sekelip mata apabila musuh datang. Sebagaimana tubuh fizikal, begitu juga kerohanian. Tembok iman kepercayaan peribadi tidak dapat dibangun dengan sempurna, seperti yang dikatakan oleh nabi: “Kamu menabur banyak, tetapi membawa pulang hasil sedikit; kamu makan, tetapi tidak sampai kenyang; kamu minum, tetapi tidak sampai puas; kamu berpakaian, tetapi badanmu tidak sampai panas; dan orang yang bekerja untuk upah, ia bekerja untuk upah yang ditaruh dalam pundi-pundi yang berlobang!” (Hag 1:6). Jika hanya ada kejayaan dari segi tubuh jasmani dan kebendaan tetapi miskin dari segi iman kepercayaan, semuanya akan menjadi sia-sia. Sekiranya terdapat retakan pada tembok iman kepercayaan keseluruhan gereja, keberkesanannya adalah terhad walaupun dengan usaha yang keras. Oleh itu, kita mesti sentiasa memerhati, berjaga-jaga terhadap keretakan, dan mendirikan sebagai kota yang bersambung rapat (Mzm 122:3).
- Kesukaran dalam pembangunan kembali: Berkat dorongan Nehemia, rakyat melihat keperluan mereka dengan jelas dan bekerjasama dengan berani. Walau bagaimanapun, bukan semuanya berjalan dengan lancar. Pembangunan kembali tidak dapat diselesaikan mengikut jadual kerana menghadapi banyak kesukaran dan kesukaran-kesukaran tersebut perlu diatasi satu persatu. Sama seperti seseorang yang membuat keputusan untuk kembali ke dalam nama Tuhan atau bertekad untuk mengejar pertumbuhan iman kepercayaan, bukan semuanya akan berjalan dengan lancar. Tuhan Yesus tidak berjanji bahawa kita akan selalu sihat dan lancar dalam Dia, tetapi Dia akan menjadi pertolongan, sandaran dan penghiburan kita pada waktunya. Oleh itu, kesukaran yang dihadapi oleh rakyat pada masa itu boleh dijadikan sebagai rujukan dan pembangunan untuk iman kepercayaan kita:
- Musuh menyebarkan khabar angin dengan niat jahat: Atau memutarbelitkan motif kerja rakyat. Kata mereka: “Apa yang kamu lakukan itu? Apa kamu mau berontak terhadap raja?” (Neh 2:19). Mereka juga menyebarkan khabar angin untuk menyerang motif Yeremia sebagai pemimpin dengan berkata: “Bahkan engkau telah menunjuk nabi-nabi yang harus memberitakan tentang dirimu di Yerusalem, demikian: Ada seorang raja di Yehuda! Sekarang, berita seperti itu akan didengar raja. Oleh sebab itu, mari, kita sama-sama berunding!” (Neh 6:7). Nehemia dapat melihat menembusi muslihat musuh dan memimpin rakyat untuk mempertahankan kerja yang harus dilakukan dan nampaknya langsung tidak terganggu. Dalam iman kepercayaan dan proses bekerja untuk Tuhan pada hari ini, ada kalanya Iblis akan menggunakan gosip dan desas-desus beberapa orang yang tidak berakal untuk mengganggu fikiran kita. Kita harus bersikap rendah hati, berwaspada dan membuat refleksi seperti Paulus (1 Kor 4:3-4) di samping memohon perlindungan Tuhan dan bertahan dalam kebenaran hingga akhir.
- Olok-olokan musuh: Musuhdi sekeliling melihat bahawa rakyat bekerja dengan segenap hati dan menunjukkan Mereka berkumpul lagi dan mengolok-olok di sisi: “Apa gerangan yang dilakukan orang-orang Yahudi yang lemah ini? Apakah mereka akan selesai dalam sehari? Sekalipun mereka membangun kembali, kalau seekor anjing hutan meloncat dan menyentuhnya, robohlah tembok batu mereka.” (Neh 4:1-3). Penghinaan seperti itu pastinya menjadi tamparan besar bagi rakyat yang berada dalam kemiskinan. Maka Nehemia segera berseru kepada Tuhan dengan tegas: “Jangan Kaututupi kesalahan mereka, dan dosa mereka jangan Kauhapus dari hadapan-Mu, karena mereka menyakiti hati-Mu dengan sikap mereka terhadap orang-orang yang sedang membangun.” (Neh 4:5). Kata-kata ini mendorong rakyat untuk bekerja dengan segenap hati dan terus membangun tembok sampai setengah tinggi dan sampai ujung-ujungnya bertemu. Mungkin kita berpendapat bahawa diri sendiri tidak mempunyai banyak karunia atau pekerjaan yang dilakukan tidak penting yang umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja, tetapi kita tidak boleh memandang ringan terhadap diri sendiri atau berasa putus asa. Selagi kita percaya dan bersandar kepada Tuhan dengan segenap hati, saling mendorong, menyokong, dan mengiktiraf, kita pasti akan dapat memberikan sumbangan dalam nama Tuhan.
- Ancaman kekuatan musuh: Musuh-musuh melihat bahawa serangan sebelumnya tidak dapat menjejaskan tekad rakyat untuk bekerja, maka mereka mengadakan persepakatan yang lebih jahat iaitu mengancam dengan kekuatan untuk memerangi Yerusalem dan mengadakan kekacauan di sana (Neh 4:8). Mereka juga mengugut: “Mereka tidak akan tahu dan tidak akan melihat apa-apa, sampai kita ada di antara mereka, membunuh mereka dan menghentikan pekerjaan itu.” (Neh 4:11). Strategi serangan ini benar-benar membuatkan orang Israel penuh ketakutan dan mereka meminta pertolongan daripada Nehemia juga mengambil tindakan dengan segera. Dia memperlengkapi rakyat, membahagikan pekerjaan dan bekerjasama, saling memperingatkan dan menyokong. Selain itu, dia mendorong rakyat dengan berkata: “Jangan kamu takut terhadap mereka! Ingatlah kepada Tuhan yang maha besar dan dahsyat dan berperanglah untuk saudara-saudaramu, untuk anak-anak lelaki dan anak-anak perempuanmu, untuk isterimu dan rumahmu.” (Neh 4:14). Dengan adanya perlindungan Tuhan, musuh tidak berani datang lagi. Kini, kita juga harus bersandar pada Tuhan untuk menguatkan dan meneguhkan hati kita, bertolong-tolongan menanggung beban, dan mengalahkan pelbagai halangan persekitaran.
- Pemecahan musuh: Musuh mungkin menggunakan cara penganiayaan dan gangguan. Tambahan pula, sebahagian rakyat, dan bahkan termasuk imam telah berkahwin dengan bangsa asing (Neh 13:4). Musuh juga ingin memecah-belahkan rakyat atau menimbulkan kegusaran kepada Nehemia dan juga kerisauan kepadanya semasa melakukan sesuatu. Kadang-kadang, mereka juga menggunakan orang yang mempunyai konsep yang berbeza dengan Nehemia dan mengaku sebagai nabi untuk menyebarkan khabar angin supaya rakyat berasa takut (Neh 6:10). Walau bagaimanapun, Nehemia mempunyai etika yang amanah. Dia bergaul dan berkomunikasi dengan rakyat dengan sikap yang ikhlas sehingga menggagalkan muslihat musuh satu persatu. Kini, kita juga harus senantiasa mempunyai hati dan pemikiran yang jujur, bertimbang rasa, dan berkomunikasi antara satu sama lain, “dan janganlah kita gila hormat, janganlah kita saling menantang dan saling mendengki.” (Gal 5:26). Kita kalahkan muslihat pemecahan musuh dan memastikan kesatuan dalam gereja.
- Halangan dalaman: Dalam proses pembangunan kembali, mereka bukan hanya menghadapi serangan dan gangguan daripada orang luar, tetapi juga banyak kekacauan dalam kalangan rakyat. Contohnya, ketika pekerjaan itu berjalan dengan lancar, rakyat tiba-tiba berasa bahawa mereka tidak dapat meneruskan kerja. Mereka pun berkata: “Kekuatan para pengangkat sudah merosot dan puing masih sangat banyak. Tak sanggup kami membangun kembali tembok ini.” (Neh 4:10). Rakyat miskin juga mengeluh tentang ketidakadilan kerana menghadapi kesukaran dalam kehidupan yang nyata (Neh 5:1-5). Semua ini ditangani dengan baik oleh Nehemia tanpa menjejaskan atau mengganggu perjalanan projek keseluruhan. Daripada pengalaman rakyat ini, kita tahu bahawa kita harus selalu berwaspada, mencegah daripada konflik, rasa tidak puas hati, perselisihan dan iri hati dalaman. Kita seharusnya saling merindui kebenaran dan saling percaya.
C. Pembangunan semula iman kepercayaan
Nehemia tahu bahawa pembangunan kembali tembok luar telah selesai. Untuk melangkah lebih jauh, iman kepercayaan umat harus dibangun kembali dan diperkuat. Tujuannya adalah supaya mereka tidak mengulangi kesalahan nenek moyang mereka dahulu yang mengikuti iman kepercayaan orang bukan Yahudi dan menjauhkan diri daripada Tuhan yang benar di syurga. Demi mempertahankan bangsa dan kelangsungan iman kepercayaan mereka ketika dikelilingi oleh musuh yang kuat, dia telah mengambil beberapa tindakan. Berdasarkan tindakannya, kita juga dapat memperoleh banyak pembangunan:
- Menitikberatkan hukum Taurat Tuhan: Nehemia mengumpulkan umat Israel semasa perayaandan meminta Ezra “membawa kitab Taurat Musa, yakni kitab hukum yang diberikan TUHAN kepada Israel” (Neh 8:2) supaya dapat membuat penjelasan yang jelas. Tujuannya adalah supaya rakyat dapat melihat dosa-dosa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu dan merenungkan pengalaman mereka sendiri pada hari ini secara mendalam: “Negara dimusnahkan, rakyat terpisah dan tersebar, dan mereka menjadi bangsa tawanan”. Mengapa terdapat perbezaan yang begitu besar dengan berkat yang dijanjikan oleh Tuhan kepada nenek moyang? Mereka perlu mengaku dosa dan bertaubat, dan tahu bahawa menitikberatkan hukum Taurat Tuhan, mematuhi ajaran Tuhan dengan sepenuh hati dan mempertahankan iman kepercayaan yang murni ialah cara untuk mendapatkan berkat supaya bangsa mempunyai masa depan yang nyata. Hari ini, Alkitab juga mendorong kita: “Karena itu harus lebih teliti kita memperhatikan apa yang telah kita dengar, supaya kita jangan hanyut dibawa arus. Sebab kalau firman yang dikatakan dengan perantaraan malaikat-malaikat tetap berlaku, dan setiap pelanggaran dan ketidaktaatan mendapat balasan yang setimpal, bagaimanakah kita akan luput, jikalau kita menyia-yiakan keselamatan yang sebesar itu?” (Ibr 2:1-3).
- Pelayanan yang tulus: Pada saat ini, Bait Suci dan tembok kota telahpun selesai dibangunkan, dan hukum Taurat Tuhan juga telah dimaklumkan. Mereka seharusnya menjalani kehidupan pelayanan yang tulus. Oleh itu, Nehemia mendorong rakyat: “Pula kami mewajibkan diri untuk memberi tiap tahun sepertiga syikal untuk ibadah di rumah Allah kami.” (Neh 10:32). Sesuai dengan ketetapan hukum Taurat Musa, mereka juga mempersembahkan pelbagai hadiah untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan dan supaya pekerjaan persembahan korban di Bait Suci terus berlanjutan sehingga kehidupan para imam dan orang Lewi terjaga. Dengan itu, para imam dan orang Lewi dapat menumpukan perhatian pada pekerjaan mereka dan bekerja keras untuk iman kepercayaan rakyat (Neh 10:36-39). Kini, kita juga harus mempunyai prestasi pelayanan yang praktikal. Kita harus bersedia untuk mempersembahkan masa, kebendaan, dan karunia yang telah diberikan oleh Tuhan untuk berkerja dengan setia berdasarkan semua yang dimiliki. Tuhan pasti akan berkenan.
- Dikuduskan: Setelah memahami hukum Taurat, rakyat sekali lagi membuat refleksi tentang keluarga dan kehidupan mereka. Mereka mengaku konsep dan perbuatan mereka yang bodoh pada masa lalu. Mereka saling mendorong, dan bertekad “untuk hidup menurut hukum Allah yang diberikan dengan perantaraan Musa, hamba Allah itu, dan untuk tetap mengikuti dan melakukan segala perintah TUHAN, yakni Tuhan kami, serta segala peraturan dan ketetapan-Nya. Pula kami tidak akan memberi anak-anak perempuan kami kepada penduduk negeri, ataupun mengambil anak-anak perempuan mereka bagi anak-anak lelaki kami.” (Neh 10:29-30). Kemudian, Nehemia pergi menghadap raja di istana untuk satu tempoh masa. Setelah itu, dia kembali lagi ke Yerusalem. Namun dia melihat bahawa rakyat tidak dapat mematuhi peraturan Sabat, bahkan beberapa orang imam secara peribadi menggunakan rumah yang dimaksudkan untuk melayani Tuhan kerana anak-anak mereka berkahwin dengan bangsa asing. Nehemia sekali lagi menegur mereka dengan tegas dan mengajar bahawa mereka harus mempertahankan semangat kekudusan (rujuk fasal 13). Kita ditebus daripada dunia oleh Tuhan Yesus dengan darah yang bernilai dan tidak lagi menjadi milik dunia. Kita harus memelihara diri dalam kasih karunia Tuhan dan dikuduskan daripada dunia supaya kita dapat menerima mahkota kemuliaan ketika Tuhan datang kembali.
KESIMPULAN
Dalam kitab Nehemia, kita melihat seorang hamba yang setia memimpin dan mendorong rakyat yang lemah untuk menyelesaikan pembangunan kembali tembok kota dan pertumbuhan iman kepercayaan dengan berani dalam persekitaran yang terbengkalai dan sukar. Kita juga harus merenung secara mendalam. Dalam pelbagai persekitaran, kita harus mengingati pengajaran sejarah dan ajaran firman, saling menjaga dan saling menolong untuk membangunkan sebuah tembok iman kepercayaan yang kuat, melindungi semua orang kudus, dan hidup dalam kasih karunia Tuhan untuk selama-lamanya.