KITAB WAHYU

KITAB WAHYU

(Pendeta Xie Xi Hai)

 

Kitab Wahyu ialah kitab terakhir dalam seluruh Alkitab. Kitab ini diwahyukan secara langsung oleh Tuhan Yesus kepada rasul-Nya, Yohanes, dan kitab ini menunjukkan perkara-perkara pada masa kelak. Antaranya, pelbagai penglihatan atau pelbagai perkara digunakan untuk menyatakan wahyu Tuhan. Oleh itu, kitab ini penuh dengan rahsia dan hikmat Tuhan. Apabila kita mengkaji kitab ini, ada bahagian yang boleh dibandingkan dengan gulungan kitab yang lain dan boleh difahami dengan jelas. Namun ada juga bahagian yang masih menunggu masa yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan masih tidak dapat difahami pada masa sekarang. Kita juga tidak boleh menjelaskannya secara terpaksa dengan konsep dan imagiansi manusia. Kita percaya bahawa kita akan dapat melihat sepenuhnya kehendak, wahyu, dan ajaran Tuhan apabila masa-Nya tiba dengan bersandarkan gerakan Roh Kudus yang diam di dalam kita kerana Tuhan telah memberikan wahyu tentangnya.

Kitab Wahyu diwahyukan oleh Tuhan, dan pencatat (bukan penulis) ialah rasul Yohanes. Masanya adalah pada kira-kira tahun 94 – 96 M, iaitu ketika rasul Yohanes dipenjarakan di pulau Patmos. Hal ini membuktikan pengalaman Paulus: “firman Allah tidak terbelenggu” (2 Tim 2:9). Wahyu Tuhan kepada rasul Yohanes adalah tentang perkara-perkara pada masa itu dan perkara-perkara yang akan terjadi sesudah masa itu (Why 1:19). Pelajaran ini akan memperkenalkan kitab Wahyu secara kasar supaya kita dapat memahami kehendak dan ajaran Tuhan dengan jelas dan pasti untuk dijadikan sebagai pembangunan dalam iman kepercayaan.

 

A. TUJUAN WAHYU 

Setelah rasul Yohanes menerima wahyu Tuhan, dia menulis kepada tujuh jemaat di Asia pada masa itu. Salam dan berkat pada permulaan surat membolehkan kita melihat bahawa jemaat harus terus-menerus menegaskan dan merenungkan kebenaran dalam akhir zaman. Aspek ini juga boleh dikatakan sebagai tujuan terpenting bagi keseluruhan wahyu. Kita boleh meringkaskannya kepada beberapa butiran:

  1. Pengetahuan tentang Tuhan Yesus

Yohanes berkata: “… Dia, yang ada dan yang sudah ada dan yang akan datang, dan dari ketujuh roh yang ada di hadapan takhta-Nya, dan dari Yesus Kristus, Saksi yang setia, yang pertama bangkit dari antara orang mati dan yang berkuasa atas raja-raja bumi ini.” (Why 1:4-5). Tanpa mengambil kira perubahan zaman, persekitaran dan trend, dan betapa hati manusia mementingkan diri sendiri, Tuhan kita ialah Tuhan benar yang kekal untuk selama-lamanya dan tidak pernah berubah. Pengetahuan kita tentang Dia adalah berlandaskan Alkitab secara mutlak (berdasarkan wahyu-Nya), dan tidak dipengaruhi oleh sebarang aliran pemikiran atau ajaran sesat.

 

  1. Keyakinan tentang anugerah keselamatan dan pemilihan

“Bagi Dia, yang mengasihi kita dan yang telah melepaskan kita dari dosa kita oleh darah-Nya -” (Why 1:5). Walaupun ada perubahan dalam hubungan sesama manusia, namun hanya Tuhan Yesus saja yang mati untuk kita, dan hanya Dia yang layak menanggungnya (Ibr 7:26), bahkan Dia melakukannya ketika kita masih berdosa (Rm 5:8). Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “… siapakah yang telah mempesona kamu? Bukankah Yesus Kristus yang disalibkan itu telah dilukiskan dengan terang di depanmu?” (Gal 3:1).

 

  1. Keyakinan tentang identiti dan amanat sendiri

“dan yang telah membuat kita menjadi suatu kerajaan, menjadi imam-imam bagi Allah, Bapa-Nya, …” (Why 1:6). Kita bukan lagi milik dunia yang berada di bawah kuasa si Iblis melalui hawa nafsu (Ef 2:2-3). Kita ialah umat Tuhan, dan seperti yang dikatakan oleh Petrus: “… imamat yang rajani, bangsa yang kudus, …” (1 Ptr 2:9). Betapa terhormatnya identiti kita, dan kita tidak peduli sama ada orang lain mengetahuinya (rujuk: 1 Yoh 3:1). Oleh itu, kita juga mewarisi amanat dari langit seperti yang dinyatakan dalam Alkitab: “.. supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib:” (1 Ptr 2:9). Kita ialah saksi Tuhan. Janganlah kita mengecewakan panggilan Tuhan.

 

  1. Pemahaman tentang pertumbuhan jemaat dan masalah yang dihadapi oleh jemaat

Rasul Yohanes menerima wahyu dan perintah daripada Tuhan lalu menulis kepada tujuh jemaat, masing-masing untuk memuji prestasi mereka yang indah dan juga menunjukkan masalah mereka yang tersembunyi atau yang nyata dengan harapan mereka akan bertaubat. Masalah yang ada pada zaman mereka ini membolehkan kita melihat masalah, kesilapan, dan godaan yang pasti akan dihasilkan atau dihadapi oleh jemaat pada hari ini. Oleh itu, wahyu Tuhan membolehkan kita sentiasa membuat refleksi agar kita mampu menghadapinya dengan berani berpandukan Roh Kudus dan ajaran Alkitab supaya kerohanian sendiri dan seluruh jemaat dapat terus diperbaharui dan bertumbuh besar.

 

  1. Keyakinan tentang pengharapan masa depan

“Lihatlah, Ia datang dengan awan-awan dan setiap mata akan melihat Dia, …” (Why 1:7). Rasul Yohanes menyatakan bahawa Tuhan Yesus akan datang kembali dalam penuh kebesaran dan kemuliaan, sama seperti dia melihat Tuhan naik ke syurga dengan matanya sendiri, dan ada pengumuman oleh malaikat (Kis 1:9-11). Kini dengan wahyu Tuhan, dia sekali lagi menyaksikan bahawa Tuhan akan datang kembali. Masa ini ialah masa yang paling dinanti-nantikan oleh setiap orang Kristian. Oleh itu, melalui pelbagai kesaksian, kita dapat mengukuhkan kepercayaan kita tentang pengharapan hidup yang kekal, terus mengharapkan kedatangan kembali Tuhan dan menerima mahkota kemuliaan.

 

B. KEINDAHAN JURUSELAMAT

Wahyu datang daripada Tuhan yang benar di syurga. Siapakah yang layak membuka wahyu Tuhan yang sempurna? Rasul Yohanes melihat “di tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta itu, sebuah gulungan kitab, yang ditulisi sebelah dalam dan sebelah luarnya dan dimeterai dengan tujuh meterai.” Dia juga mendapat tahu bahawa “tidak ada seorang pun yang di sorga atau yang di bumi atau yang di bawah bumi, yang dapat membuka gulungan kitab itu atau yang dapat melihat sebelah dalamnya.” Maka dia menangis dengan amat sedih kerana “tidak ada seorang pun yang dianggap layak untuk membuka gulungan kitab itu ataupun melihat sebelah dalamnya.” Lalu berkatalah seorang dari tua-tua itu kepadanya: hanya seorang yang dianggap layak untuk membuka gulungan kitab itu, iaitu Tuhan Yesus yang mulia (rujuk: Why 5:1-5). Oleh itu, betapa berbahagianya kita yang dapat mengenali dan menyembah Tuhan Yesus. Surat kepada tujuh jemaat membolehkan kita memahami betapa mulianya Tuhan, betapa Dia layak dipuji dan dihormati!

1. Tuhan yang mengetahui segala sesuatu

“Inilah firman dari Dia, yang memegang ketujuh bintang itu di tangan kanan-Nya dan berjalan di antara ketujuh kaki dian emas itu. Aku tahu…” (Why 2:1-2). Tuhan yang tahu segala-galanya memerhatikan segala sesuatu di mana-mana dan mengawal segala sesuatu.

 

2. Tuhan yang menang sepenuhnya

“… Yang Awal dan Yang Akhir, yang telah mati dan hidup kembali” (Why 2:8). Tuhan tetap untuk selama-lamanya, abadi, dan menang untuk selama-lamanya, bahkan mengalahkan maut sepenuhnya. Hanya dengan cara demikian Dia layak dan dapat memberikan berkat hidup yang kekal kepada setiap orang yang percaya dan bersandar kepada-Nya.

 

3. Pembekal firman kebenaran

“… Inilah firman Dia, yang memakai pedang yang tajam dan bermata dua:” (Why 2:12). Pedang ini merujuk kepada kebenaran (Ibr 4:12). Tuhan ialah roti hidup dari syurga yang benar-benar dapat memuaskan hati manusia (rujuk: Am 8:11; Yoh 6:35).

 

4. Tuhan yang kudus

“… Anak Allah, yang mata-Nya bagaikan nyala api dan kaki-Nya bagaikan tembaga.” (Why 2:18), dapat menghilangkan segala kegelapan dan kenajisan, dan sangat kudus. Orang yang datang ke hadirat-Nya juga harus menghapuskan segala dosa dengan bersandarkan darah-Nya.

 

5. Tuhan yang sermpurna

“… Dia, yang memiliki ketujuh Roh Allah dan ketujuh bintang itu: …” (Why 3:1). Dia sempurna, dan tidak ada apa-apa yang melampaui kuasa-Nya. Seperti yang dinyatakan dalam Alkitab: “… Ia menjadikan segala-galanya baik, …” (Mrk 7:37). Semuanya sempurna sepenuhnya, tak bernoda dan tak bercacat, tidak dapat layu, dan tiada kerugian di dalam Dia.

 

6. Tuhan yang Mahakuasa

“… yang memegang kunci Daud; apabila Ia membuka, tidak ada yang dapat menutup; apabila Ia menutup, tidak ada yang dapat membuka.” (Why 3:7). Hal ini kerana segala sesuatu diciptakan dan ditadbir oleh-Nya, dan semua kuasa ada dalam tangan Tuhan.

 

7. Tuhan yang setia

“… Amin, Saksi yang setia dan benar, …” (Why 3:14). Dialah kepala, Ia yang lebih utama dalam segala sesuatu, dan Dia setia. Maka segala yang dijanjikan oleh-Nya pasti digenapi dan dipenuhi sepenuhnya.

Kita mengenali Tuhan yang paling indah dan baik ini. Dia telah mengalahkan segala-galanya. Dia akan membantu kita mengatasi semua penganiayaan, halangan, dan kesukaran supaya kita boleh menjadi orang Kristian yang menang dan memberikan kesaksian yang lebih baik untuk Tuhan dengan bersandarkan Dia.

 

C. JEMAAT YANG MULIA

Perkara yang paling penting dalam wahyu Tuhan tentang masa depan tentu saja ialah penyempurnaan terakhir seluruh anugerah keselamatan serta kemunculan langit yang baharu dan bumi yang baharu (rujuk: Why 21:1), tidak akan ada lagi maut, dan semua orang kudus boleh menerima upah yang mulia. Semua ini juga merupakan kerja-kerja yang harus dicapai oleh jemaat. Dalam proses bertumbuh besar, bagaimanakah jemaat dapat menghadapi pelbagai cabaran sehingga dapat menyatakan kemuliaan Tuhan?

1. Imej jemaat

Oleh sebab jemaat adalah untuk menyatakan kemuliaan Tuhan, maka imej yang ditunjukkan oleh jemaat ialah:

  • Ada takhta Tuhan

Yohanes dikuasai oleh Roh dan melihat “sebuah takhta terdiri di sorga, dan di takhta itu duduk Seorang” (Why 4:2). Takhta yang berada di langit juga harus dinyatakan dalam kalangan jemaat. Hal ini bermaksud bahawa jemaat ialah takhta Tuhan, ada penyertaan Tuhan, dikuasai oleh Tuhan, dan segala-galanya dilakukan mengikut kehendak Tuhan.

 

  • Ada pekerja yang sempurna

Yohanes juga melihat: “sekeliling takhta itu ada dua puluh empat takhta, dan di takhta-takhta itu duduk dua puluh empat tua-tua, … di sekelilingnya ada empat makhluk…” (Why 4:4-8). Mereka mewakili pekerja yang melayani Tuhan, seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Dan Ialah yang memberikan baik rasul-rasul maupun nabi-nabi, baik pemberita-permberita Injil maupun gembala-gembala dan pengajar-pengajar, untuk memperlengkapi orang-orang kudus bagi pekerjaan pelayanan, bagi pembangunan tubuh Kristus.” (Ef 4:11-12). Setiap pekerja Tuhan haruslah seperti empat makhluk yang mempunyai kerohanian yang sempurna dan tekad kesetiaan, bekerja secara aktif, memimpin orang-orang kudus untuk mendirikan jemaat – pengantin perempuan yang kudus (Why 21:2).

 

  • Ada orang kudus yang ramai

“Kemudian dari pada itu aku melihat: sesungguhnya, suatu kumpulan besar orang banyak yang tidak dapat terhitung banyaknya, dari segala bangsa dan suku dan kaum dan bahasa, berdiri di hadapan takhta dan di hadapan Anak Domba, memakai jubah putih dan memegang daun-daun palem di tangan mereka.” (Why 7:9). Hasil ini datang daripada pemilihan Tuhan dan usaha semua orang kudus dalam pemberitaaan Injil sehingga Kerajaan Tuhan dipenuhi dengan orang-orang kudus yang serentak menyembah, melayani, dan memuji Tuhan yang benar di syurga.

 

2. Masalah-masalah yang dihadapi oleh jemaat

Kita dapat melihat daripada kitab Wahyu bahawa jemaat mesti melalui banyak ujian, sama ada dalaman atau luaran untuk menyelesaikan amanat Tuhan. Jemaat hanya ada harapan selepas mengatasi ujian-ujian itu supaya tidak kehilangan hidup di tengah-tengah pelbagai pukulan dan godaan. Apakah masalah-masalah yang dihadapi? Masalah-masalahnya boleh diringkaskan sebagai:

  • Kelemahan manusia

Walaupun darah Tuhan telah mentahirkan dosa kita dan ada Roh Kudus diam di dalam kita untuk memperbaharui kita, tetapi kita masih hidup dalam daging. Maka kita tidak dapat mengelakkan iri hati, ketidakfahaman, perselisihan, atau pengurangan kasih (Mat 24:12; Why 2:4) atau menjadi tidak dingin dan tidak panas (Why 3:15) disebabkan oleh persekitaran yang teruk. Semua kelemahan yang terhasil dalam hati manusia ini merupakan kelemahan-kelemahan yang sering dihadapi dan kita harus berwaspada terhadapnya.

 

  • Penganiayaan terhadap iman kepercayaan

Dalam penglihatan Yohanes, dia melihat “di bawah mezbah jiwa-jiwa mereka yang telah dibunuh oleh karena firman Allah dan oleh karena kesaksian yang mereka miliki.” (Why 6:9). Dia juga melihat dua orang saksi dibunuh dan “mayat mereka akan terletak di atas jalan raya kota besar” (Why 11:8). Sejak zaman dahulu hingga sekarang, dan bahkan pada masa kelak, penganiayaan terhadap iman kepercayaan tidak akan pernah berhenti. Iblis akan menggunakan pelbagai kaedah dan taktik untuk menganiaya orang yang percaya kepada Tuhan yang benar.

 

  • Penderitaan di dunia

Dunia material ini penuh dengan banyak penyakit, kemalangan, malapetaka, serta semua jenis penderitaan dan tekanan. Orang Kristian yang hidup di dalam dunia juga akan terjejas, terutamanya pada hari-hari terakhir. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Sebab bangsa akan bangkit melawan bangsa, dan kerajaan melawan kerajaan. Akan ada kelaparan dan gempa bumi di berbagai tempat.” (Mat 24:7). Seperti yang dilihat oleh rasul Yohanes dalam penglihatannya, banyak bencana terjadi semasa membuka tujuh meterai, meniup tujuh sangkakala atau tujuh cawan. Kita juga pasti menghadapi semua ujian persekitaran ini.

 

  • Godaan kebendaan

Pada hari-hari terakhir, walaupun akan ada banyak penderitaan, namun dunia juga penuh dengan godaan kebendaan. Sebagai contoh, Yohanes melihat penglihatan tentang kejatuhan Babel yang mewakili dunia. Babel pada mulanya boleh membuatkan “semua bangsa telah minum dari anggur hawa nafsu cabulnya dan raja-raja di bumi telah berbuat cabul dengan dia, dan pedagang-pedagang di bumi telah menjadi kaya oleh kelimpahan hawa nafsunya.” (Why 18:3). Keinginan dan kesenangan kebendaan yang berlebihan akan membentuk banyak trend dosa dan kejahatan, percabulan, dan hawa nafsu. Bagi umat Kristian, semua ini merupakan pengaruh dan godaan yang tidak kelihatan, bahkan merupakan sejenis ujian yang mengancam (Why 13:16-17).

 

  • Penyesatan agama sesat dan ajaran sesat

Tuhan memberikan peringatan: “Sebab Mesias-mesias palsu dan nabi-nabi palsu akan muncul dan mereka akan mengadakan tanda-tanda yang dahsyat dan mujizat-mujizat, sehingga sekiranya mungkin, mereka menyesatkan orang-orang pilihan juga.” (Mat 24:24). Yohanes juga melihat “seekor binatang lain keluar dari dalam bumi dan bertanduk dua sama seperti anak domba dan ia berbicara seperti seekor naga. Dan seluruh kuasa binatang yang pertama itu dijalankannya di depan matanya. Ia menyebabkan seluruh bumi dan semua penghuninya menyembah binatang pertama, yang luka parahnya telah sembuh.” (Why 13:11-15). Pelbagai agama sesat dan ajaran sesat akan menjadi sangat popular pada akhir zaman untuk memuaskan hawa nafsu dan rasa ingin tahu orang ramai. Agama sesat dan ajaran sesat merupakan ancaman dan godaan yang besar bagi mereka yang berpegang pada firman kebenaran.

 

3. Kemenangan jemaat

Jemaat akan menghadapi pelbagai cabaran dalam proses tumbesaran. Namun berdasarkan janji dan kehendak Tuhan, selagi kita berusaha, kita akan dapat mengalahkan segala-galanya dan menyatakan kemuliaan Tuhan. Jadi bagaimanakah kita mengalahkannya?

  • Sentiasa merenungkan kasihTuhan yang mati untuk manusia

Dalam penglihatan itu, terdapat banyak orang yang memakai jubah putih yang berdiri di hadapan takhta. “Mereka ini adalah orang-orang yang keluar dari kesusahan yang besar; dan mereka telah mencuci jubah mereka dan membuatnya putih di dalam darah Anak Domba.” (Why 7:14). Kita harus selalu mengingati kasih karunia Tuhan Yesus yang mati di atas kayu salib untuk kita. Jadi mengapa kita takut dengan segala jenis penganiayaan dan godaan? (Gal 3:1).

 

  • Berpegang pada prinsip kebenaran Tuhan

Kitab suci menyatakan: “Dan mereka mengalahkan dia oleh darah Anak Domba, dan oleh perkataan kesaksian mereka. Karena mereka tidak mengasihi nyawa mereka sampai ke dalam maut.” (Why 12:11). Kita berpegang pada ajaran dan peringatan Tuhan Yesus di samping membezakan semua fenomena dengan kebenaran, berdiri teguh, dan jangan berkompromi dengan dunia.

 

  • Mempertahankan tingkah laku yang baik

Bagi umat Tuhan, “di dalam mulut mereka tidak terdapat dusta; mereka tidak bercela.” (Why 14:4-5). Seperti Nuh pada zaman dahulu, ketika berada dalam persekitaran dengan semua orang di dunia meninggalkan hati yang takut akan Tuhan dan segala kecenderungan hati mereka selalu membuahkan kejahatan semata-mata, Nuh mempertahankan tingkah laku yang baik dan hidup tidak bercela di hadapan Tuhan (Kej 6:5,8). Kita tidak seharusnya menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budi, bertumbuh besar, mempertahankan tingkah laku yang sesuai dengan kehendak Tuhan dan menjadi terang dunia.

 

  • Mengenalpasti bahawa kebendaan pasti lenyap

Yohanes mendengar suara lain dari syurga berkata: “Pergilah kamu, hai umat-Ku, pergilah dari padanya supaya kamu jangan mengambil bagian dalam dosa-dosanya, dan supaya kamu jangan turut ditimpa malapetaka-malapetakanya.” (Why 18:4). Hal ini kerana pada masa penghakiman terakhir Tuhan, “unsur-unsur dunia akan hancur karena nyalanya.” (2 Ptr 3:12). Apabila kita mengenalpasti hasil daripada semua ini, kita dapat melepaskan diri daripada kekangan penampilan luaran dan kebendaan. Apabila kita memandang ringan terhadap semua ini, kita dapat menumpukan perhatian pada mencari kasih karunia dan pengharapan dalam Kerajaan Tuhan.

 

  • Berjaga-jaga dan berdoa

Petrus mendorong: “Kesudahan segala sesuatu sudah dekat. Karena itu kuasailah dirimu dan jadilah tenang, supaya kamu dapat berdoa.” (1 Ptr 4:7). Yohanes juga melihat: “Maka naiklah asap kemenyan bersama-sama dengan doa orang-orang kudus itu dari tangan malaikat itu ke hadapan Allah.” (Why 8:4). Dapat dilihat betapa Tuhan menitikberatkan doa kita seperti persembahan yang harum, yang naik kepada Tuhan bersama dengan doa syafaat Tuhan. Di samping itu, kita mesti terus berdoa untuk meminta agar Tuhan memberikan perlindungan dan meningkatkan kekuatan supaya kita dapat mengalahkan pelbagai ujian persekitaran dan mengejar kesempurnaan dalam kerohanian.

 

  • Yakin dengan upah masa kelak

“Dan aku mendengar suara dari sorga berkata: Tuliskan: “Berbahagialah orang-orang mati yang mati dalam Tuhan, sejak sekarang ini.” “Sungguh,” kata Roh, “supaya mereka boleh beristirahat dari jerih lelah mereka, karena segala perbuatan mereka menyertai mereka.”” (Why 14:13). Pengharapan tentang Kerajaan Syurga dan upah yang mulia yang dijanjikan oleh Tuhan semuanya pasti. Kita hendaklah sentiasa merenungkan, mengharapkan, dan merindukan upah yang lebih indah, dan meneguhkan iman kepercayaan kita sendiri.

 

  • Terus memberitakan Injil

Kita bukan sahaja harus membina iman kita sendiri, tetapi juga harus memimpin lebih ramai orang untuk melepaskan diri daripada kuasa kegelapan dan kembali ke dalam kasih karunia Tuhan yang terang. Oleh itu, kita jangan putus asa atau berasa takut. Kita harus percaya dengan kebenaran dan kuasa Tuhan serta menyebarkan Injil-Nya ke seluruh dunia. Seperti yang tertulis dalam kitab suci: “… padanya ada Injil yang kekal untuk diberitakannya kepada mereka yang diam di atas bumi dan kepada semua bangsa dan suku dan bahasa dan kaum,” (Why 14:6). Dengan cara demikianlah kita menantikan kedatangan kembali Tuhan.

 

KESIMPULAN

Rasul Yohanes melihat pelbagai penglihatan tentang wahyu Tuhan. Penglihatan-penglihatan ini bukan sahaja merupakan pengalaman rohaninya, tetapi juga menjadi peringatan, kesaksian, dan pengharapan terbaik bagi pemercaya dalam zaman ini. Selepas kita mengkaji kitab ini, walaupun terdapat banyak penglihatan dan wahyu bersifat nubuat yang masih tidak difahami dengan jelas pada hari ini, tetapi kita benar-benar yakin bahawa semuanya akan menjadi jelas dan digenapi apabila masa Tuhan tiba. Tambahan pula, bermula sekarang, kita boleh mengeluarkan suara yang menang, tetap dan bersungguh-sungguh seperti rasul Yohanes dengan berkata: “datanglah, Tuhan Yesus!” (rujuk: Why 22:20).