KITAB ZAKHARIA
(Pendeta Yao Jia Qi)
A. PENULIS
Nabi Zakharia, yang bermaksud “Tuhan memperingati”. Dia dilahirkan di Babel, merupakan cucu Ido, anak Berekhya (Za 1:1). Ido adalah salah seorang imam yang kembali ke Yehuda dari Babel di bawah pimpinan Zerubabel dan imam besar Yosua (537 SM) (Ne 12:4,16). Dapat dilihat bahawa Zakharia, seperti Yeremia dan Yehezkiel, berasal daripada keluarga imam dan kemudiannya dipanggil oleh Tuhan untuk menjadi nabi. Bapanya mungkin telah meninggal dunia muda, jadi Ezra menasabkan dia kepada datuknya, Ido (Ezr 5:1).
Zakharia dipanggi pada masa yang sama dengan Hagai, iaitu pada tahun kedua zaman raja Darius (520 SM). Dua bulan selepas nabi Hagai memulakan pekerjaannya, Zakharia pertama kali menyatakan mesej Tuhan dan menasihati umat bersama dengan Hagai agar mereka bangun untuk menyelesaikan kerja membangun kembali Bait Suci (rujuk: Ezr 5:1, 6:14; Za 4:9, 8:9). Ada orang berpendapat bahawa dia masih muda pada masa itu (mungkin “orang muda” yang disebut dalam 2:4). Jadi dianggarkan bahawa dia pasti hanya seorang kanak-kanak apabila dia kembali. Tidak seperti pelayanan Hagai yang hanya mencatatkan 3 bulan dan 24 hari, pelayanan Zakharia mungkin bertahan selama 40 hingga 50 tahun. Dia, bersama Hagai dan Maleakhi, dihormati oleh orang Yahudi sebagai imam dari rumah ibadat besar, merupakan ahli Sanhedrin Agung Yahudi (warisan Talmud), dan bertanggungjawab untuk pengumpulan dan pemeliharaan gulungan suci dan tradisi Yahudi.
Menurut legenda Yahudi, dia mungkin ialah Zakharia yang dibunuh di Bait Suci seperti yang dinyatakan dalam kitab Matius 23:35 dan kitab Lukas 11:51. Namun kemungkinan ini tidak dapat disahkan. Dalam penjelasan yang lebih munasabah, Yesus merujuk kepada Zakharia, anak imam Yoyada, yang dilontari batu hingga mati semasa pemerintahan raja Yoas dari Yehuda apabila dia mengisytiharkan bahawa Tuhan akan meninggalkan umat-Nya yang berdosa (835 – 796 SM) (2 Taw 24:20-22). Tujuan Yesus adalah untuk menunjukkan bahawa ramai hamba Tuhan dalam Perjanjian Lama, dari yang paling awal hingga yang paling akhir (kitab 2 Tawarikh ialah kitab terakhir bagi Perjanjian Lama dalam Alkitab bahasa Ibrani), telah dibunuh oleh orang Israel yang tidak percaya dan jahat. Oleh itu, orang yang dimaksudkan oleh Yesus bukanlah Zakharia penulis kitab ini.
B.MASA PENULISAN
Masa yang dicatatkan dalam 1:1,7, dan 7:1 masing-masing ialah tahun kedua (520 SM) dan tahun keempat (518 SM) zaman raja Darius. Oleh itu, secara umumnya diandaikan bahawa separuh pertama kitab ini (fasal 1 – 8) dituliskan semasa kerja pembangunan kembali Bait Suci (520 – 516 SM). Maklumat selebihnya (fasal 9 – 14) tidak menyebutkan nama Zakharia, Darius, atau mana-mana raja, jadi masanya tidak dapat dikenalpasti. Rasanya separuh kedua kitab ini ditulis beberapa waktu (atau bahkan lama kemudian) selepas pembangunan kembali Bait Suci selesai.
C. LATAR BELAKANG SEJARAH
Latar belakang sejarah kitab Zakharia adalah sama dengan latar belakang kitab Hagai, dan diringkaskan seperti berikut:
Koresh, raja Persia, memusnahkan Babel pada tahun 538 SM (Dan 5:30 – 6:1). Selepas penubuhan empayar Persia, dasar politik dan agamanya mengaplikasikan dasar perdamaian (policy of conciliation), iaitu dasar yang bertentangan dengan Babel. Maka Tuhan menggerakkan hati raja Koresh untuk memberikan titah kebenaran agar bangsa-bangsa yang ditawan ke Babel dapat kembali ke tanah air dan memulihkan ibadat keagamaan mereka, dan doa pengakuan dosa Daniel benar-benar menunjukkan hasil (Dan fasal 9). Justeru, kumpulan pertama orang Yahudi pun kembali ke Yerusalem pada tahun 537 SM di bawah pimpinan bupati Zerubabel dan imam besar Yosua, bersama-sama dengan perkakas-perkakas Bait Suci yang dikembalikan. Mereka segera mendirikan mezbah, mempersembahkan korban dan merayakan hari-hari raya. Mereka membangun kembali Bait Suci pada tahun berikutnya dan meletakkan dasar bait pada bulan yang kedua (Ezr 3:3-4,8,11). Walau bagaimanapun, selepas permulaan projek itu, mereka dituduh secara palsu memberontak kerana mereka dengan tegas menolak orang Samaria untuk mengambil bahagian dalam pembangunan bait. Tuduhan ini menyebabkan kerja mereka terhalang. Hati orang ramai untuk membangun bait telah menjadi dingin, ditambah pula dengan kemarau dan kegawatan ekonomi, maka kerja-kerja pembangunan bait pun terhenti. Sisa-sisa bait ditinggalkan dan dibiarkan selama hampir 15 tahun. Umat mengabaikan tanggungjawab rohani mereka dan hanya sibuk mengejar keseronokan hidup mereka sendiri. Apabila Hagai dan Zakharia dipanggil untuk menjadi nabi pada tahun 520 SM, mereka bangkit memberitakan firman Tuhan untuk mendorong umat agar mereka terus membangun kembali Bait Suci. Lantas mereka mematuhi firman Tuhan, takut akan Tuhan, dan bekerja dengan berani tanpa rasa takut lagi (Hag 1:12; Ezr 5:1-5). Dalam proses membangun Bait Suci, nabi terus menghibur dan mendorong mereka. Zakharia khususnya memberikan galakan kepada mereka dengan banyak penglihatan dan mesej yang diterima daripada Tuhan.
Masa itu adalah pada zaman raja Darius, raja ketiga Persia (522 – 486 SM). Semasa pemerintahannya, dia berlaku ramah terhadap orang Yahudi dan melaksanakan semula perintah datuknya, Koresh. Dia juga memberikan perintah kepada bupati daerah seberang sungai Efrat agar membekalkan pelbagai sumber dan semua barang yang diperlukan untuk persembahan korban (Ezr 6:1-12) supaya orang Yahudi dapat menyelesaikan projek membangun kembali Bait Suci dengan lancar.
D. KEPENTINGAN DAN CIRI-CIRI
Kitab Zakharia merupakan satu gulungan kitab yang sangat penting dan mempunyai makna yang sangat penting bagi zaman itu. Kitab ini mendorong umat untuk membangun kembali Bait Suci dan membawa pengharapan tentang masa depan. Bait Suci ini tidak lagi hanya dianggap sebagai simbol agama seperti dahulu (rujuk: Yer fasal 7), tetapi akan menjadi lambang pembangunan kembali iman kepercayaan dan penyertaan Tuhan dengan umat. Di samping itu, kitab ini dipetik atau secara tidak langsung disebut berkali-kali dalam Perjanjian Baru. Dalam naratif tentang penderitaan Yesus, kitab Zakharia dipetik kedua terbanyak selepas kitab Yesaya. Kkitab Zakharia memainkan peranan yang paling berpengaruh dalam kitab Wahyu oleh Yohanes. Banyak lambang bagi penglihatan-penglihatan dalam kitab Wahyu adalah serupa dengan kitab ini.
Kitab ini juga mempunyai ciri-ciri berikut:
- Kitab ini merupakan gulungan kitab yang paling panjang dan paling kabur dalam kitab nabi-nabi kecil. Hal ini kerana kitab ini penuh dengan banyak penglihatan dan nubuat. Kitab ini juga membangkitkan banyak teori tentang tarikh, penulis, kesatuan, dan tafsiran.
- Terdapat banyak perbezaan antara kitab ini dengan kitab nabi-nabi yang lain. Sebagai contoh, kitab ini menekankan penglihatan sebagai alat untuk menyampaikan kehendak Tuhan, menggunakan malaikat sebagai perantara komunikasi antara Tuhan dengan manusia, dan menggunakan banyak lambang dalam penglihatan untuk menunjukkan cara Tuhan campur tangan dalam sejarah dan menguasai dunia.
- Mencatatkanbanyak nubuat tentang Mesias dan kerajaan-Nya, dan maklumatnya terperinci dan tepat.
Nubuatan dan kitab suci tentang Kristus | Ayat penggenapan | |
Hamba | 3:8 | Mrk 10:45 |
Sang Tunas | 3:8. 6:12 | Luk 1:78 (Versi King James) |
Raja dan imam | 6:13 | Ibr 6:20 – 7:1 |
Raja yang lemah lembut | 9:9-10 | Mat 21:4-5; Yoh 12:14-16 |
Dikhianati | 11:12-13 | Mat 27:9 |
Kedua-dua belah tangan ditikam | 12:10 | Yoh 19:37 |
Sumber penghapusan dosa | 13:1 | Why 1:5 |
Kedua-dua sifat keilahian dan kemanusiaan | 13:7, 6:12 | Yoh 8:40, 1:1 |
Gembala yang dibunuh / dipukul | 13:7-9 | Mat 26:31; Mrk 14:27 |
Datang kembali dan menjadi raja | 14:5,9 | Yoh 10:16; Why 11:15, 21:27 |
Nota: Jadual di atas dipetik daripada “Jensen’s Survey of the New Testament” oleh Jensen, m/s 490
- Keperluan taubat dan penghapusan dosa telah berulang kali ditekankan (1:4, 3:4,9, 5:1-11, 12:10- 13:1).
- Kitabini merupakan kitab Perjanjian Lama yang mempunyai pengaruh paling mendalam kepada kitab Wahyu selain kitab
E. STRUKTUR DAN RANGKA KITAB
Kitab ini terbahagi kepada dua bahagian, dengan kedua-duanya menunjukkan pengharapan masa depan – penubuhan Kerajaan Mesias. Separuh pertama terdiri daripada fasal 1 hingga 8, dan maklumat yang dicatatkan mempunyai latar belakang yang sama dengan kitab Hagai. Enam fasal pertama mencatatkan lapan penglihatan tentang keadaan orang Yahudi yang kembali; fasal 7 dan 8 berlaku dua tahun kemudian dengan empat mesej utama. Tujuannya adalah untuk mendorong umat agar membangun kembali Bait Suci dan melibatkan masa depan Israel. Separuh kedua terdiri daripada fasal 9 hingga 14 yang terdiri daripada dua wahyu. Masa kejadiannya tidak diketahui, mungkin wahyu yang diterima oleh nabi pada tahun-tahun senjanya. Jarak masa penulisannya agak jauh daripada separuh pertama. Isi kandungannya mengandungi banyak tindakan simbolik di samping menubuatkan kedatangan Mesias dan pemulihan Israel. Topik dan perenggan setiap fasal adalah seperti berikut:
1. Pemerhatian dan pembelaan Tuhan (1:1-21)
- Menyeru umat pilihan agar kembali dan bertaubat (1:1-6)
- Utusan di antara pohon-pohon murad(penglihatan 1) – Pemerhatian Tuhan ke atas Yehuda (1:7-17)
- Empat tanduk dan empat tukangbesi (penglihatan 2) – Pembelaan Tuhan ke atas Yehuda (1:18-21)
2. Visi pembangunan kembali kota kudus (2:1-13)
- Kehendak baik untuk kota kudus(2:1-5) – Penglihatan tentang tali pengukur (penglihatan 3)
- Kembali ke Sion dan terlepas daripada malapetaka (2:6-9)
- Janji Tuhan tentang penyertaan (2:10-13)
3. Memulihkan pelayanan yang kudus(3:1-10)
- Tuhanmentahirkan dosa umat (3:1-5) – Penglihatan tentang imam besar (penglihatan 4)
- Perintah dan janji Tuhan (3:6-7)
- Nubuat tentang Kristus (3:8-10)
4. Bersandar pada pertolongan Roh Kudus (4:1-14)
- Isi kandungan penglihatan kelima (4:1-3)- Penglihatan tentang kandil emas dan pohon zaitun (penglihatan 5)
- Pembangunan Bait Suci pasti dibantu oleh Roh Tuhan (4:4-10)
- Lambang dua pohonzaitun (4:11-14)
5. Menjauhi dosa dan terlepas daripadasumpah serapah (5:1-11)
- Sesiapa yang melanggar hukum Taurat akan disumpah dan dimusnahkan (5:1-4) -Penglihatan tentang gulungan kitab yang terbang (penglihatan 6)
- Dosa mesti menjauhi umat Tuhan (5:5-11)- Penglihatan tentang gantang (penglihatan 7)
6. Menjalankan penghakiman dan berkat (6:1-15)
- Rancangan untuk menghakimi bangsa-bangsa akhirnya direalisasikan (6:1-8) – Penglihatan tentang empat kereta (penglihatan 8)
- Tunas Daud bangkit dan mendirikan bait Tuhan (6:9-15)
7. Ajaran tentang iman kepercayaan sejati (7:1-14)
- Soalan tentang puasa (7:1-3)
- Menegur sikap umat semasa berpuasa (7:4-14)
8. Janji tentang pemulihan rohani (8:1-23)
- Janji dan dorongan tentang pemulihan Sion (8:1-17)
- Bangsa-bangsa berbalik dan janji tentang berkat (8:18-23)
9. Kemenangan Tuhan di dunia (9:1-17)
- Nubuat tentang bangsa-bangsa dihakimi dan umat pilihan diberkati (9:1-8)
- Nubuat tentang Juruselamat akan datang untuk mendirikan Kerajaan Tuhan (9:9-17)
10. Mencari gembalasejati dan mendapat kasih karunia tanpa henti (10:1-12)
- Menyeru umat agar kembalikepada gembala sejati (10:1-5)
- Tuhanpasti akan menyelamatkan agar mereka kembali ke tanah air (10:6-12)
11. Gembala sejatimelihat perjanjian dibatalkan (11:1-17)
- Nubuat tentang penghakiman akan melanda Palestina(11:1-3)
- Menyampaikan punca penghakiman melalui tindakan(11:4-17)
12. Pemulihan Yehuda dan kedatanganRoh Kudus (12:1-14)
- Kota Yerusalem diselamatkan daripada pengepungan (12:1-9)
- Umat memandang kepada dia yang ditikam (12:10-14)
13. Semua dosa dibasuh dan hati dimurnikan(13:1-9)
- Keluarga Daud akan dimurnikan dan dibersihkan daripada dosa (13:1-6)
- Gembala dibunuh dan sisa umat diselamatkan (13:7-9)
14. Kristus menjadi Raja atas seluruh bumi (14:1-21)
- Kedatangan kembali Kristus (14:1-8)
- Kristus pasti menjadi Raja (14:9-21)
RUJUKAN
Homer Heater. (1987). Zechariah: Bible Study Commentary. Zondervan.
Irving L. Jensen. (1978). Jensen’s Survey of the Old Testament. Moody Publishers.