KONSEP KERJAYA UMAT KRISTIAN

KONSEP KERJAYA UMAT KRISTIAN

 

“TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya dalam taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu.” (Kej 2:15)
Selepas manusia diciptakan, terdapat sebuah Firdaus Eden yang sangat indah untuk didiami oleh mereka. Namun Bapa kita yang di syurga tidak mahu manusia yang diciptakan oleh-Nya menjalani kehidupan yang “selesa dan seronok semata-mata” dengan berpangku tangan. Jadi kerja “mengusahakan dan memelihara” diserahkan kepada manusia. Jika kita melihat perkataan “mengusahakan dan memelihara” secara literal dan dengan lebih dekat, kita akan mendapati bahawa amanat sedemikian bukanlah mudah.
“Mengusahakan” diterjemahkan sebagai “menabur” dalam banyak versi Alkitab bahasa Cina, manakala Alkitab bahasa Inggeris secara ringkas menggunakan kata-kata kerja seperti dress, till, service, cultivate, work dan lain-lain. Di samping itu, “memelihara” nampaknya lebih mudah dan pasif dari segi semantik bahasa Cina. Dari segi semantik bahasa Inggeris, kita boleh melihat lebih banyak jangkaan, seperti keep, guard, take care of, dan lain-lain lagi. Selepas analisis ini, harapan Tuhan kepada manusia dalam maksud “mengusahakan dan memelihara” adalah lebih daripada sekadar “pekerjaan atau kerja” (job or work) secara umum, tetapi lebih kepada “tugasan” (task) dengan lebih banyak konotasi dan makna. Walau bagaimanapun, artikel ini akan tetap menggunakan perkataan “kerja” untuk secara ringkas membincangkan tugasan yang datang sejurus selepas penciptaan manusia untuk mengadakan perbincangan yang lebih jelas mengenai topik keperluan bekerja secara amnya.
Jikalau sedemikian, pergi bekerja, membuka syarikat, membantu suami dan mengajar anak, menjadi sukarelawan dan memberikan perkhidmatan sukarela, dan lain-lain itu semuanya kerja. Jadi mengapa kita perlu bekerja? Mengapakah Pencipta mempercayakan peranan “kerja” kepada manusia yang diciptakan oleh-Nya? Sebagai orang Kristian, konsep nilai kerjaya yang sepatutnya dimiliki benar-benar harus dipertimbangkan dengan teliti.

 

A. MEMIKUL TANGGUNGJAWAB PENGURUSAN
“Berfirmanlah Allah: “Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambar dan rupa Kita, supaya mereka berkuasa atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas ternak dan atas seluruh bumi dan atas segala binatang melata yang merayap di bumi.”” (Kej 1:26).
Ternyata, Tuhan menciptakan manusia berbeza daripada bintang-bintang, tumbuh-tumbuhan, dan juga binatang-binatang. Perbezaan ini tidak semestinya dari segi tanggungjawab. Hal ini kerana seluruh makhluk mempunyai tanggungjawab atau pembahagian kerja masing-masing. Perbezaan yang terbesar adalah dari segi “pengurusan” / “penguasaan”.
Sebenarnya, jika bukan Tuhan yang menopang bumi cakerawala, segala-galanya sukar untuk diteruskan (Ibr 1:3). Namun Tuhan yang di syurga menyerahkan tanggungjawab pengurusan yang berat ini kepada manusia yang diciptakan daripada debu tanah. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan mempunyai harapan yang besar kepada manusia.
Nampaknya, kita bekerja bersungguh-sungguh saban hari sememangnya untuk melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan kita, seolah-olah kita melakukannya demi orang lain atau demi diri kita sendiri. Sebenarnya, maksud sebenarnya ialah melakukannya kepada Tuhan, iaitu melakukannya demi Tuhan. Maka tidak hairanlah Alkitab mendorong kita seperti berikut: “Hai kamu, hamba-hamba, tunduklah dengan penuh ketakutan kepada tuanmu, bukan saja kepada yang baik dan peramah, tetapi juga kepada yang bengis.” (1 Ptr 2:18).
Butiran yang paling penting ialah jumlah hati “pengurusan” yang telah digunakan semasa kita melaksanakan tanggungjawab dalam kerja kita supaya proses pelaksanaan tanggungjawab lebih cekap dan berkesan. Butiran ini merupakan butiran penting yang sering diabaikan. Tidak kira urusan keluarga, tempat kerja ataupun pelayanan gereja, semuanya memerlukan mekanisme pengurusan. “Pengurusan” sememangnya merupakan pelajaran yang perlu dipelajari dalam pelbagai cara. Musa pernah berkata: “Seorang diri aku tidak dapat memikul tanggung jawab atas kamu.” (Ul 1:9). Dia malah begitu sibuk sehingga dia memohon kepada Tuhan: “… sebaiknya Engkau membunuh aku saja, … supaya aku tidak harus melihat celakaku.” (Bil 11:15). Contoh yang bertentangan ialah raja Salomo. Dia tahu menggunakan banyak mandur kepala ketika mendirikan bait (1 Raj 5:16), malah meminta bantuan daripada negara-negara jiran. Dia juga menitikberatkan keseimbangan keperluan antara kerja dengan keluarga pekerja (1 Raj 5:13-14). Oleh itu, dia dapat menyelesaikan amanat yang sukar dengan sempurna dan lancar. Jadi, dia adalah salah seorang model pengurusan yang jarang didapati.

 

B. KASIH KARUNIA MENIKMATI IMBUHAN 
Jika dibandingkan dengan butiran pertama yang kedengaran hebat, butiran ini sangat menghiburkan dan realistik. Sesetengah orang mungkin berkata bahawa bekerja keras bukan untuk mencari wang. Orang seperti ini sepatutnya lebih gembira kerana mereka tidak perlu risau tentang makanan. Sudah tentu, Bapa kita yang di syurga akan menjaga kita seperti burung-burung di langit, dan Dia akan menyayangi kita seperti bunga bakung di ladang. Namun, kita juga harus faham bahawa walaupun burung-burung “tidak menabur”, “tidak menuai”, dan “tidak mengumpulkan bekal” , tetapi burung-burung juga perlu terbang untuk mencari makanan. Bunga bakung juga “tanpa bekerja” dan “tanpa memintal”, tetapi bunga bakung juga perlu menahan penderitaan siang berpanas malam berembun. Jadi kita harus tetap bekerja keras. Hal ini kerana kita dapat bekerja, mempunyai kemampuan, dan mempunyai peluang untuk bekerja merupakan peluang dan kasih karunia yang diberikan oleh Tuhan. Kita juga dapat menikmati semua imbuhan dan kasih karunia yang dibawakan oleh kerja, seperti wang, persahabatan, pengiktirafan, kepuasan, kegembiraan, persembahan dan lain-lain lagi.
“Penatua-penatua yang baik pimpinannya patut dihormati dua kali lipat, terutama mereka yang dengan jerih payah berkhotbah dan mengajar. Bukankah Kitab Suci berkata: “Janganlah engkau memberangus mulut lembu yang sedang mengirik,” dan lagi “seorang pekerja patut mendapat upahnya.”” (1 Tim 5:17-18).
Tentang imbuhan, kita juga perlu ada satu pengenalan, iaitu persoalan tentang keadilan atau kebenaran. Kita semua mungkin tertanya-tanya tentang sebabnya kita bekerja lebih keras dan menumpukan lebih banyak usaha daripada orang lain, tetapi kadang-kadang tidak mendapat imbuhan atau ganjaran yang lebih baik, malah berasa kecewa kerana hal ini.
Sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh Tuhan Yesus mungkin memberi kita beberapa peringatan. Diceritakan bahawa seorang tuan rumah mencari pekerja untuk kebun anggurnya. Sesetengah orang masuk awal untuk memulakan kerja dengan “sehari suntuk bekerja berat dan menanggung panas terik matahari” manakala sesetengah orang masuk lewat, malah “hanya bekerja satu jam”. Namun, apabila upah dibayar, tuan rumah memberikan “satu dinar” kepada semua, tidak kira yang masuk awal atau yang masuk lewat. Hal ini sudah pasti menimbulkan rungutan besar daripada pekerja yang bekerja untuk masa yang lebih lama. Tetapi tuan rumah menjawab: “Saudara, aku tidak berlaku tidak adil terhadap engkau. Bukankah kita telah sepakat sedinar sehari? … aku mau memberikan kepada orang yang masuk terakhir ini sama seperti kepadamu. Tidakkah aku bebas mempergunakan milikku menurut kehendak hatiku? …” (Mat 20:1-15).
Jangan membandingkan sesama manusia. Kita harus memberikan perhatian bahawa gaji bukan satu-satunya imbuhan untuk kerja. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan memberikan banyak tekanan ketidakadilan kepada diri sendiri serta kehilangan ganjaran daripada penyelia atau persahabatan daripada rakan sekerja.

 

C. MEMPELAJARI PERTUMBUHAN HIDUP
Bagi orang Kristian, sesetengah orang suka membahagikan kehidupan biasa kepada kehidupan rohani dan kehidupan duniawi. Sebenarnya kedua-duanya merupakan dua sisi yang sama dan seperti santan dengan tengguli. Kehidupan ini bagaikan tubuh badan manusia yang tidak dapat dipisahkan menjadi dua bahagian. Jika demikian, maka semua jenis kehidupan yang dihadapi, tidak kira usaha keras dalam pelayanan iman kepercayaan atau kerja keras dalam masyarakat, mempunyai pengaruh yang mendalam kepada pertumbuhan hidup setiap orang.
“Dan Yesus makin bertambah besar dan bertambah hikmat-Nya dan besar-Nya, dan makin dikasihi oleh Allah dan manusia.” (Luk 2:52).
Sama seperti Tuhan Yesus, kita semua berharap kita boleh bertumbuh secara beransur-ansur dalam hikmat peribadi, hubungan interpersonal, iman kepercayaan rohani dan aspek-aspek lain seiiring dengan pertambahan umur kita. Kita boleh memperoleh beberapa hasil melalui pembelajaran dalam bilik darjah semasa tempoh belajar. Namun secara tegasnya, pembelajaran ini hanya boleh dianggap sebagai peringkat persediaan yang menyediakan diri sendiri untuk latihan yang lebih mantap semasa bekerja saban hari dan saban tahun.
Melalui kerja, kita boleh menemukan lebih banyak kekurangan diri sendiri, dapat melihat lebih banyak kesukaran yang tidak dapat diramalkan, boleh berfikir untuk menghadapi kegagalan atau tamparan, boleh merasai rahsia melayani orang lain terlebih dahulu dan kemudian melakukan kerja, boleh menyerlahkan dedikasi tidak mementingkan diri yang mengasihi manusia kerana mengasihi Tuhan, dan boleh belajar untuk tidak mencabar kuasa Tuhan dengan profesionalisme peribadi. Semua ini ialah elemen yang sangat diperlukan dan ajaib dalam mengejar pertumbuhan hidup kita. Bekerja memberi kita peluang yang sangat baik.
Selepas Tuhan menciptakan manusia, Dia mempercayakan kerja “mengusahakan dan memelihara” taman Eden kepada manusia yang diciptakan. Oleh itu, kerja ialah tugasan manusia yang diterima daripada Tuhan. Selepas itu, “semak duri dan rumput duri yang akan dihasilkannya bagimu” dan “dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu”. Hal ini kerana manusia hilang kewaspadaan disebabkan oleh ketamakan mereka yang tidak berkesudahan sehingga membawa kepada kutukan daripada Tuhan. Hal ini juga sangat mengingatkan kita bahawa kerja sebenarnya dapat memenuhi tugasan yang diberikan oleh Tuhan kepada kita, kerja membolehkan kita menyedari rahsia kerja keras “berjalan maju dengan menangis sambil menabur benih, pulang dengan sorak-sorai sambil membawa berkas-berkasnya”, dan kerja juga merupakan cara terbaik untuk melatih pertumbuhan hidup.

 

D. MENYATAKAN KEMULIAAN TUHAN YANG BENAR 
Daniel dan tiga rakannya mempunyai contoh yang paling bertepatan dalam hal ini. Mereka berada di negara asing dan menghadapi banyak cabaran yang sukar dalam kerja mereka. Cabaran-cabaran ini bukan sahaja datang daripada kesusahan skop kerja, tetapi juga segala jenis provokasi dalam iman kepercayaan daripada orang-orang yang busuk hati. Walau bagaimanapun, mereka bersedia untuk kehilangan peluang pekerjaan mereka, “Daniel berketetapan untuk tidak menajiskan dirinya dengan santapan raja dan dengan anggur yang biasa diminum raja”. Mereka juga bersedia untuk kehilangan jawatan tinggi dan gaji yang lumayan demi iman kepercayaan mereka. Mereka bukan sahaja tidak sujud menyembah berhala, tetapi masih “berdoa tiga kali sehari” secara konsisten. Interaksi yang baik antara menyatakan kemuliaan Tuhan dengan memperoleh pertumbuhan kerja sendiri benar-benar merupakan model yang sangat diperlukan oleh kita di tempat kerja.
Kita pasti mengingati beberapa ayat terakhir kata doa, “Karena Engkaulah yang empunya Kerajaan dan kuasa dan kemuliaan sampai selama-lamanya. Amin.” (Mat 6:13). Ayat ini sangat indah, rendah hati, puas hati, dan taat. Kita harus menggunakan sikap dan semangat ini sebagai peringatan terbaik dalam kerja keras kita. Tidak kira perkara besar atau kecil, semuanya boleh menyatakan kemuliaan Tuhan. Tidak kira sukar atau mudah kerja itu, semuanya datang daripada amanat dan harapan Tuhan. Kita ini buatan Tuhan, dan Tuhan melakukannya demi kita, maka kita juga harus melakukannya demi Tuhan dan melakukan pekerjaan baik demi Tuhan (Ef 2:10). Interaksi ini amat indah dan intim.

 

SOALAN DAN PERKONGSIAN 

1.Adakah kerja datang kerana sumpah / kutuk? Jika tidak, mengapa kebanyakan orang merasakan kerja itu memenatkan?
2.Sebagai tambahan kepada isi kandungan pelajaran di atas, sila kongsikan pengalaman anda sendiri tentang makna dan tujuan kerja.
3.Apakah jenis maklum balas yang memuaskan atau hasil yang tidak memuaskan yang dihasilkan oleh kerja dalam keluarga, masyarakat, atau gereja? Apakah sebabnya?
4.Sila kongsikan kesaksian anda tentang menyatakan kemuliaan Tuhan di tempat kerja atau pengalaman yang menyedihkan kerana gagal menyatakan kemuliaan Tuhan.