KONSEP TUHAN YANG ESA
(Pendeta Xie Xi Hai)
Alkitab mencatatkan: “Akulah TUHAN dan tidak ada yang lain; kecuali Aku tidak ada Allah.” (Yes 45:5). Dari zaman Perjanjian Lama hingga zaman Perjanjian Baru, Tuhan semesta langit terus-menerus mengumumkan kepada umat-Nya dengan pelbagai cara bahawa: Hanya Tuhan ini (dengan makna “AKU ADALAH AKU”) (Kel 3:14) adalah satu-satunya Tuhan yang benar. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan semasa Dia menampakkan diri dan berseru di atas gunung Sinai kepada umat Israel yang dipilih dan diselamatkan oleh-Nya, dan yang juga disenaraikan sebagai perintah yang pertama dalam Sepuluh Perintah: “Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku.” (Kel 20:3). Juga seperti amaran yang diberikan oleh para nabi kepada umat yang memberontak: ““Kamu inilah saksi-saksi-Ku,” demikianlah firman TUHAN, “dan hamba-Ku yang telah Kupilih, supaya kamu tahu dan percaya kepada-Ku dan mengerti, bahwa Aku tetap Dia. Sebelum Aku tidak ada Allah dibentuk, dan sesudah Aku tidak akan ada lagi.”” (Yes 43:10). Juga sebagaimana Tuhan Yesus bersaksi: “… mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar,” (Yoh 17:3). Juga seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus: “… tidak ada Allah lain dari pada Allah yang esa.” (1 Kor 8:4). Setelah melalui jangka waktu yang panjang, Alkitab terus mengajar kita bahawa Tuhan adalah satu-satunya. Namun bagaimana kita membolehkan diri kita benar-benar mengenali Tuhan Bapa di syurga yang hidup ini melalui hujah yang relevan dan jelas?
TUHAN YANG BENAR ITU ESA
Alkitab menyatakan bahawa Tuhan semesta langit adalah satu-satunya Tuhan yang benar dan juga menyatakan bahawa Tuhan itu “AKU ADALAH AKU”. Tidak ada Tuhan yang benar selain Dia. Walaupun kenyataan ini kelihatannya agak subjektif, tetapi pelbagai peristiwa yang dicatatkan dalam Alkitab dan pengalaman iman kepercayaan kita pada hari ini cukup membolehkan kita untuk percaya dan mempertahankannya serta memberi kesaksian untuk Tuhan.
A. Bukti Orang Israel Keluar dari Mesir
Ketika Musa menyatakan kepada Firaun bahawa dia ingin membawa orang Israel keluar dari Mesir, Firaun menolak dan menyekat rancangan itu dengan segala cara yang mungkin. Tuhan menghukum orang Mesir dengan sepuluh tulah. Pada masa itu, Tuhan berseru: “… dengan maksud supaya engkau mengetahui, bahwa tidak ada yang seperti Aku di seluruh bumi.” (Kel 9:14). Dia berfirman lagi: “Sebab pada malam ini Aku akan menjalani tanah Mesir, dan semua anak sulung, dari anak manusia sampai anak binatang, akan Kubunuh, dan kepada semua allah di Mesir akan Kujatuhkan hukuman, Akulah, TUHAN.” (Kel 12:12). Kemudian, Tuhan menampakkan diri kepada umat di gunung Sinai dan berseru bahawa Dialah Tuhan benar yang esa. Kenyataan ini adalah sangat pasti dan jelas bagi orang Israel.
B. Kesaksian Peperangan Orang Israel
Ketika Ahab menjadi raja Israel, dia tidak berbakti kepada Tuhan. Namun ketika menghadapi ancaman serangan musuh, demi umat, Tuhan mengutus nabi untuk memberitahu raja Ahab dan mengajarnya cara berperang. Oleh itu, mereka memukul undur musuh pada kali yang pertama. Pada kali kedua, musuh datang lagi dan berkata: “Allah mereka ialah allah gunung; itulah sebabnya mereka lebih kuat dari pada kita. Tetapi apabila kita berperang melawan mereka di tanah rata, pastilah kita lebih kuat dari pada mereka.” (1 Raj 20:23). Oleh itu, Tuhan sekali lagi mengutus nabi untuk memberitahu raja Ahab bahawa Dia akan menolongnya. Tuhan berfirman: “Oleh karena orang Aram itu telah berkata: TUHAN ialah allah gunung dan bukan allah dataran, maka Aku akan menyerahkan seluruh tentara yang besar itu ke dalam tanganmu, supaya kamu tahu, bahwa Akulah TUHAN.” (1 Raj 20:28). Tuhan menolong umat dan sekali lagi menghapuskan musuh. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan berkuasa ke atas seluruh bumi, bukannya Tuhan ke atas satu bangsa atau satu bahagian sahaja.
C. Kesaksian Raja Nebukadnezar
Nebukadnezar, raja Babel, bermimpi pada suatu malam. Dia berasa sangat cemas dan ingin segera memahami makna mimpi itu, tetapi dia telah lupa tentang mimpi tersebut. Walaupun dia memanggil semua orang-orang berilmu di negara itu, namun tidak ada orang yang dapat memberitahukan maknanya. Akhirnya, nabi Daniel menjelaskan kepadanya isi kandungan dan makna mimpi itu. Walaupun raja Nebukadnezar menyembah berhala, namun pengalaman sebegini menyebabkan dia mengaku bahawa Tuhan yang disembah Daniel itu “Allah yang mengatasi segala allah dan Yang berkuasa atas segala raja, dan Yang menyingkapkan rahasia-rahasia,” (Dan 2:47).
D. Kesaksian Tuhan Yesus
Tuhan Yesus dilahirkan di dunia untuk memberitakan Injil Tuhan dan menyatakan segala macam tanda dan mukjizat. Dia telah berkali-kali menjelaskan kepada orang-orang Yahudi: “Bagaimanakah kamu dapat percaya, kamu yang menerima hormat seorang dari yang lain dan yang tidak mencari hormat yang datang dari Allah yang Esa?” (Yoh 5:44). Dia juga berfirman: “Inilah hidup yang kekal itu, yaitu bahwa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang telah Engkau utus.” (Yoh 17:3). Ajaran Tuhan ini adalah sangat penting dan jelas – Tuhan itu adalah satu-satunya.
E. Kesaksian Pengalaman Iman Kepercayaan Kita
Catatan Alkitab seolah-olah membuat orang berfikir bahawa catatan itu subjektif. Namun kita sering mendengar pemercaya di gereja bersaksi bahawa mereka menggunakan kaedah manusia, mencari doktor terkenal di mana-mana, atau mencari berhala di mana-mana tetapi tidak berhasil dan berhadapan dengan jalan buntu, namun penyakit mereka disembuhkan atau kesukaran mereka dapat diselesaikan kerana mendengar Injil Tuhan dan memohon kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh. Semua pengalaman ini membolehkan kita lebih mengenali satu-satunya Tuhan benar yang di syurga secara objektif.
CIRI-CIRI TUHAN YANG ESA
Alkitab menggambarkan banyak perbuatan Tuhan yang nampaknya bersifat subjektif. Namun kita juga belajar untuk menganalisis kebenaran secara objektif daripada perbuatan-perbuatan itu. Seperti firman Tuhan: Kebenaran dapat bertahan dalam ujian (Yoh 7:16-17). Semangat Alkitab membolehkan kita memahami bahawa Tuhan benar yang di syurga pasti mempunyai banyak ciri. Mari kita senaraikan beberapa butiran untuk renungan bersama:
A. Maha Ada
Tuhan yang benar tidak seharusnya hanya menjadi Tuhan bagi satu bahagian atau satu bangsa sahaja, apatah lagi diam di dalam kuil-kuil buatan tangan manusia (Kis 17:24). Dia pasti ada di mana-mana. Jadi manusia boleh mendapatkan pertolongan selagi mereka berdoa dengan ikhlas tanpa mengira tempat keberadaannya. Oleh itu, Alkitab menyatakan: “satu Allah dan Bapa dari semua, Allah yang di atas semua dan oleh semua dan di dalam semua.” (Ef 4:6).
B. Maha Tahu / Tahu Segala Sesuatu
Seseorang tidak akan dapat membuat penilaian yang paling tepat sekiranya dia hanya melihat beberapa fenomena luaran, atau hanya melihat penampilan pada tahap tertentu. Oleh itu, manusia sering tertipu dengan penampilan luaran. Tuhan yang benar pastinya Maha Tahu. Semua masa lalu, masa kini, dan masa depan berada di bawah pandangan mata-Nya. Tidak kira luaran mahupun dalaman tidak dapat disembunyikan daripada-Nya. Hanya dengan cara ini Dia dapat membuat penghakiman yang adil. Seperti kata pemazmur: “Engkau mengetahui, kalau aku duduk atau berdiri, Engkau mengerti pikiranku dari jauh. Engkau memeriksa aku, kalau aku berjalan dan berbaring, segala jalanku Kumaklumi.” (Mzm 139:2-3).
C. Maha Kuasa
Alkitab sering menegaskan bahawa Tuhan benar yang di syurga merupakan Tuhan yang menjadikan bumi dan segala isinya. Dia Maha Kuasa dan berkuasa atas segala makhluk. Hidup manusia juga berada dalam tangan-Nya. Dia berfirman: “Adakah sesuatu apa pun yang mustahil untuk TUHAN?” (Kej 18:14). Alkitab menyatakan: “… di hadapan Allah yang kepada-Nya ia percaya, yaitu Allah yang menghidupkan orang mati dan yang menjadikan dengan firman-Nya apa yang tidak ada menjadi ada.” (Rm 4:17). Harapan kita tidak berkurang atau gugur apabila kita percaya dan bersandarkan Tuhan yang Maha Kuasa ini.
D. Bersifat Rohani Sepenuhnya
Tuhan tidak boleh bersifat material, atau hanya berada dalam dunia material. Dengan itu, Dia tidak dibatasi oleh material, dan tidak memerlukan bekalan material (Kis 17:25). Dia ada secara semula jadi dan ada untuk selama-lamanya (AKU ADALAH AKU). Dia juga melampaui masa dan ruang. Seperti firman Tuhan: “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” (Yoh 4:24).
BAGAIMANA MEMAHAMI KONSEP TUHAN YANG ESA
Iman kepercayaan yang kita terima ialah iman kepercayaan yang jelas dan hidup. Seperti firman Tuhan: “… Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, …” (Yoh 10:10). Iman kepercayaan ini bukan tahyul, juga bukan bermaksud bahawa kita membuat berhala untuk disembah. Catatan Alkitab menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan benar yang di syurga berharap agar semua orang dapat mengenal-Nya dan menerima berkat hidup yang kekal. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “namun Ia bukan tidak menyatakan diri-Nya dengan berbagai-bagai kebajikan, …” (Kis 14:17). Namun, betapa indahnya perbuatan Tuhan. Bagaimana kita dapat mengenal satu-satunya Tuhan yang benar? Bagaimana kita dapat memahami konsep Tuhan yang esa?
A, Mengakui Keterbatasan Manusia
Tuhan itu roh, Maha Kuasa, serta tidak dibatasi masa dan ruang (Ef 4:6). Manusia yang hidup dalam daging dibatasi masa dan ruang. Pengalaman, cara pemikiran dan bahasa ekspresinya adalah terhad. Walaupun manusia juga mempunyai beberapa istilah abstrak seperti “keabadian”, tetapi mereka tidak dapat membayangkannya. Hal ini kerana sempadan segera terbentuk sebaik saja mereka membayangkan tempoh masanya, keluasan ruangnya, dan perbezaan jaraknya. Oleh itu, kita mesti terlebih dahulu mengakui keterbatasan manusia. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab pengetahuan kita tidak lengkap…”, dan kemudian berkata: “Karena sekarang kita melihat dalam cermin suatu gambaran yang samar-samar, …” (1 Kor 13:9,12). Dengan mengakui keterbatasan ini, kita tidak akan berlagak pandai serta mahu menentukan sifat dan kerja Roh Tuhan yang tidak terhingga dengan menggunakan cara manusia.
B. Mengiktiraf Pandangan Alkitab
“Segala tulisan yang diilhamkan Allah…” (2 Tim 3:16). Tuhan berfirman: “… Kitab-kitab Suci itu memberi kesaksian tentang Aku,” (Yoh 5:39). Maka, mengenal Tuhan benar yang di syurga tentunya perlu sepenuhnya berdasarkan pernyataan-Nya sendiri. Tuhan menyatakan diri-Nya kepada hamba-Nya tidak kira dalam Perjanjian Lama atau Perjanjian Baru untuk menyatakan bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang benar. Jadi ajaran yang diterima oleh orang Yahudi ialah konsep Tuhan yang esa, tidak ada tuhan lain selain Tuhan. Oleh itu, ketika kita mengamati proses iman kepercayaan Paulus, kita dapat melihat bahawa dia berusaha sedaya upaya untuk menganiaya orang-orang yang percaya kepada Tuhan sebelum dia mengenal Yesus sepenuhnya. Dia beranggapan bahawa dia ialah orang yang sangat rajin memelihara adat istiadat nenek moyangnya dan menghalang gangguan daripada tuhan asing bagi Tuhan yang disembahnya. Tetapi setelah dia menerima meterai pernyataan Tuhan Yesus, dia benar-benar mengerti dan dia memberikan kesaksian dengan berani: “Tetapi aku mengakui kepadamu, bahwa aku berbakti kepada Allah nenek moyang kami dengan menganut Jalan Tuhan, yaitu Jalan yang mereka sebut sekte. Aku percaya kepada segala sesuatu yang ada tertulis dalam hukum Taurat dan dalam kitab nabi-nabi.” (Kis 24:14). Dalam hal ini, kita harus mengiktiraf dan menerima pandangan Alkitab agar dapat benar-benar memahami konsep ketuhanan serta mempunyai pengenalan yang lengkap dan sempurna tentang Tuhan.
C. Merenungkan Pengalaman Tanda Mukjizat
Terlalu banyak nasihat tentang iman kepercayaan dan moral menyebabkan manusia selalu rambang mata dan tidak tahu membuat pilihan yang tepat. Pada masa ini, pernyataan tanda mukjizat adalah salah satu bukti yang baik. Sebagai contoh, ketika berhadapan dengan umat Israel yang tidak tetap hati dan para nabi Baal, nabi Elia berkata: “Kemudian biarlah kamu memanggil nama allahmu dan aku pun akan memanggil nama TUHAN. Maka allah yang menjawab dengan api, dialah Allah!” (1 Raj 18:24) Setelah itu, dengan permohonan nabi, Tuhan menurunkan api dan menyambar habis korban yang dipersembahkan oleh nabi sehingga umat mengenal Tuhan dan berbalik kepada-Nya. Sebagai contoh yang lain, ketika Paulus menghadapi halangan daripada orang yang melakukan sihir, dia juga menyatakan penghakiman Tuhan melalui tanda mukjizat sehingga gabenor mengenal Tuhan Yesus (Kis 13:6-12). Hari ini, kita juga menjadi berani dan mengatasi segala macam halangan dalam nama Tuhan kerana pengalaman tanda mukjizat. Pengalaman ini hanya diperoleh oleh mereka yang mengenal Tuhan yang benar.
D. Merenungkan Meterai Roh Kudus
Ketika Roh Kudus dicurahkan ke atas para murid pada hari Pentakosta, rasul Petrus menggunakan pengalaman ini untuk menjelaskan kepada orang-orang Yahudi yang hadir: janji-janji Tuhan dalam Perjanjian Lama dan kerja-kerja yang dilakukan oleh Tuhan Yesus menyebabkan orang-orang Yahudi yang mempunyai konsep Tuhan yang esa tidak lagi curiga, sebaliknya hati mereka sangat terharu (Kis 2:1-37). Petrus juga mendorong dengan janji Roh Kudus Tuhan agar mereka dibaptiskan dalam nama Tuhan. Roh Kudus ialah Roh Tuhan dan juga Roh Tuhan Yesus iaitu Roh yang sama. Roh Kudus boleh wujud secara berasingan pada setiap orang yang bersedia untuk percaya dan mengusahakannya. Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa terdapat banyak Roh Kudus. Demikianlah ciri konsisten dan kesatuan dalam Roh. Walaupun kerja-kerja roh melampaui pemikiran manusia yang terbatas, namun kerja-kerja itu merupakan pengalaman dan meterai yang jelas yang kita terima (Ef 1:14) supaya kita mengenal Dia dengan benar (Ef 1:17).
E. Menerima Dengan Iman yang murni
Ayat ini tidak bermaksud mahu manusia percaya secara membuta tuli. Hal ini kerana iman kepercayaan Tuhan yang benar bukan tahyul tetapi keyakinan. Tuhan telah memberikan ilham kebenaran, Roh Kudus, dan tanda mukjizat-Nya, tetapi kita juga harus mengaku bahawa manusia ada keterbatasannya. Jadi, walaupun ada banyak perbuatan Tuhan yang ajaib bukan diumumkan secara langsung oleh Tuhan, namun penerimaan kita dengan iman yang murni akan menjadikan diri kita lebih beriman dan menerima lebih banyak pengalaman indah yang dijanjikan oleh Tuhan. Sebagai contoh, proses penciptaan bumi dan segala isinya oleh Tuhan adalah mustahil untuk diketahui melalui kajian pengetahuan manusia itu sendiri. Hanya “Karena iman kita mengerti, bahwa alam semesta telah dijadikan oleh firman Allah, sehingga apa yang kita lihat telah terjadi dari apa yang tidak dapat kita lihat.” (Ibr 11:3). Konsep ketuhanan yang dapat kita nyatakan pada hari ini mungkin samar-samar, tetapi adalah dipercayai bahawa kita akan melihat Tuhan yang mulia dan satu-satunya ini secara bersemuka ketika Tuhan datang kembali. Keadaan pada masa itu adalah yang paling jelas (1 Kor 13:12).
TUHAN YESUS ADALAH SATU-SATUNYA TUHAN YANG BENAR
Tuhan Yesus datang ke dunia untuk memberitakan Injil Tuhan dan menyelesaikan rancangan keselamatan Tuhan. Oleh itu, Alkitab menyatakan: “Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, …” dan “… Firman itu adalah Allah.” (Yoh 1:14,1). Betapa indahnya kasih karunia ini. Walau bagaimanapun, kasih karunia ini juga menjadi penghalang utama bagi kita dalam pengenalan tentang konsep ketuhanan. Hal ini kerana manusia dibatasi oleh ruang dan masa.“Firman itu telah menjadi manusia” ialah perbuatan yang ajaib dengan rahsia rohani. Adalah sangat sukar bagi manusia untuk membuat analisis dan penceritaan yang sempurna dengan menggunakan perkataan-perkataan manusia. Oleh itu, daripada penjelasan di atas, kita merenungkan cara Tuhan Yesus menyatakan bahawa Dialah satu-satunya Tuhan benar yang di syurga melalui segala perbuatan-Nya agar iman kepercayaan kita mendapat pembangunan yang lebih besar.
- Tuhan menyatakan Tuhan Yang Maha Tahu
Tuhan sering membuat manusia tahu tentang hal ini melalui beberapa perbuatan. Sebagai contoh, rasul Yohanes memberikan komen: “Tetapi Yesus sendiri tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, karena Ia mengenal mereka semua, dan karena tidak perlu seorang pun memberi kesaksian kepada-Nya tentang manusia, sebab Ia tahu apa yang ada di dalam hati manusia.” (Yoh 2:24,25). Tuhan juga segera menunjukkan pemikiran dalam hati manusia (Luk 6:6-8). Semuanya menunjukkan bahawa Tuhan Yesus mempunyai ciri Tuhan Yang Maha Tahu.
- Tuhan menyatakan Tuhan Yang Maha Kuasa
Tuhan pernah berfirman kepada murid-murid: “Percayalah kepada-Ku, bahwa Aku di dalam Bapa dan Bapa di dalam Aku; atau setidak-tidaknya, percayalah karena pekerjaan-pekerjaan itu sendiri.” (Yoh 14:11). Dia berharap dapat menyatakan Tuhan Yang Maha Kuasa melalui tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat. Contoh-contohnya: menyembuhkan orang sakit dan mengusir roh jahat, memerintahkan angin dan danau menjadi teduh (Mat 8:26-27), dan membangkitkan orang mati (Luk 8:54-56). Semuanya mengesahkan bahawa Dia berkuasa atas bumi dan segala isinya, dan juga hidup manusia. Hari ini, kita juga dapat mengalami, menerima, dan melihat kekuasaan-Nya sehingga kita benar-benar kembali kepada Tuhan.
- Tuhan menyatakan status Tuhan
Ketika memberitakan Injil, Tuhan telah mengadakan banyak tanda dan mukjizat sehingga ramai orang beroleh kasih karunia. Dia sepatutnya dialu-alukan dan disokong oleh orang Yahudi, tetapi mengapa pula Dia berkonflik dengan mereka sehingga Dia akhirnya ditolak oleh kebanyakan orang Yahudi dan disalibkan (Luk 23:18,23)? Puncanya adalah dari segi konsep ketuhanan. Hal ini kerana Tuhan tentunya akan dialu-alukan jika Dia hanya menyebut dirinya nabi Tuhan, tetapi Dia sering menyatakan bahawa Dialah Tuhan benar yang di syurga dengan pelbagai cara. Sebagai contoh, Tuhan berfirman: “Tidak ada seorang pun yang telah naik ke sorga, selain dari pada Dia yang telah turun dari sorga, yaitu Anak Manusia.” (Yoh 3:13). Dia juga berfirman: “Bapa-Ku bekerja sampai sekarang, maka Aku pun bekerja juga.” (Yoh 5:17), dan: “Aku dan Bapa adalah satu.” (Yoh 10:30). Reaksi orang Yahudi sangat kuat setelah mendengar pengumuman-pengumuman ini. Iman kepercayaan mereka tentang konsep Tuhan yang esa menyebabkan mereka menilai bahawa Yesus ingin mengaku sebagai Tuhan, dan oleh itu mereka mahu menganiaya Yesus. Walaupun ada beberapa bahagian dalam pengumuman Tuhan yang tidak dapat kita fahami sepenuhnya (kerana kita dibatasi oleh ruang dan masa), namun pengumunan-pengumuman itu dapat membuat kita mempercayai firman Tuhan dan secara murni menerima ajaran bahawa Dialah satu-satunya Tuhan benar yang di syurga serta meletakkan dasar iman kepercayaan yang jelas.
- Semangat rendah hati Tuhan
Tuhan datang ke dunia sebagai manusia dengan membawa daging untuk menyelamatkan dunia. Kenyataan ini pada mulanya merupakan rahsia rohani yang besar. Oleh itu, Tuhan berfirman: “… Dia yang telah turun dari sorga, yaitu Anak Manusia.” (Yoh 3:13). Manusia tidak dapat memahami kerja-kerja Roh yang tidak terbatas dan ada di mana-mana dengan pengertian yang terbatas. Tambahan pula, Tuhan sering menyebut diri-Nya sebagai Anak Manusia ketika Dia bekerja. Dia juga berfirman: “… Bapa lebih besar dari pada Aku.” (Yoh 14:28) serta sering berdoa kepada Bapa yang di syurga (Luk 22:42). Ayat-ayat ini menyebabkan manusia salah faham dan berasa bingung. Semua pernyataan ini menunjukkan bahawa Tuhan Yesus mahu memberikan teladan yang baik kepada semua orang yang menjadi milik Tuhan iaitu mentaati kehendak Tuhan dengan pemikiran yang rendah hati dan kudus. Jika diperhatikan, dua belas orang rasul yang mengikuti Tuhan dan pekerja Tuhan pada masa kemudian, Paulus, tidak pernah salah faham bahawa ada dua Tuhan. Dalam pengalaman peribadi mereka, mereka semua faham dan percaya bahawa Tuhan Yesus adalah satu-satunya Tuhan benar yang di syurga. Kemudian, kita boleh membandingkan kebenaran dengan kesaksian hamba-hamba Tuhan yang yakin dengan anugerah keselamatan Tuhan Yesus untuk mengetahui bahawa Tuhan adalah satu-satunya Tuhan benar yang menjadikan bumi dan segala isinya.
PENUTUP
Konsep ketuhanan mungkin sukar untuk didefinisikan dan dianalisis dengan jelas melalui kata-kata. Walau bagaimanapun, kita tahu bahawa rancangan Tuhan untuk menyelamatkan manusia telah diselesaikan di dalam Tuhan dan kita juga telah menerimanya. Oleh itu, kita memuji dan bersorak: “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya!” (Rm 11:33). Di samping itu, kita menerima lebih banyak kasih karunia Tuhan dengan iman yang murni serta mengharapkan kemuliaan, upah dan hidup yang kekal yang dibawa oleh Tuhan ketika Dia datang kembali.