MENDENGAR FIRMAN DAN MELAKUKAN FIRMAN

MENDENGAR FIRMAN DAN MELAKUKAN FIRMAN

Ayat Alkitab: Yak 1:19-27

Penjelasan Konsep

Orang dahulu berkata: “sebesar-besar bumi, ditampar tak kena”. Terdapat banyak prinsip dalam hidup yang telah lama diketahui tetapi tidak dapat dilakukan. Contohnya jangan tamak, mencuri, berzina, marah… Sebab itu, ada orang berkata: “Kanak-kanak berusia 3 tahun mendapat pengertian, tetapi orang tua berusia 70 tahun masih tidak dapat melakukannya”. Maka, orang biasanya mempunyai suatu kebiasaan yang malas dan bertimbang rasa terhadap diri sendiri. Memandangkan sesuatu perkara yang baik itu sangat sukar untuk dilakukan, hendak terbang tiada sayap, maka mereka melakukannya ala kadar sahaja bagai tanah pelempar balam.

Atas sebab ini, encik Wang Yangming mengemukakan teori “kesatuan pengetahuan dan tindakan” (the unity of knowledge and action) untuk mendorong kehidupan yang lebih positif dan bermotivasi. Teori ini bermaksud bahawa bukan sekadar mengetahui, tetapi pengetahuan hanya berguna jika diamalkan dengan lebih jauh, iaitu yang disebut “falsafah praktikal” (practice philosophy). Sun Yat-sen, bapa pengasas negara China pula mengemukakan teori “pengetahuan adalah sukar manakala praktikal adalah mudah” (to understand is difficult, to act is easy) untuk mengatasi halangan psikologi “praktikal adalah sukar” dan supaya orang tahu bahawa hal yang sukar ialah pengetahuan. Setelah pelajaran “pengetahuan” dapat disatukan, maka “praktikal” mejadi mudah. Contohnya perkakas elektrik seseorang telah rosak. Dia cuba untuk membaikinya tetapi hanya seperti tikus membaiki labu. Apabila juruelektrik datang, perkakas itu dapat dibaiki dalam masa yang singkat. Mengapa? Prinsip inilah dikatakan sebagai “pengetahuan adalah sukar manakala praktikal adalah mudah”. Kita kekurangan pengetahuan elektrik, jadi kita tidak dapat membaikinya. Juruelektrik mengetahuinya, jadi dia dapat membaikinya dengan cepat, tetapi pengetahuan itu memerlukan usaha untuk difahami.

Dengan teori yang sama, dari segi iman kepercayaan, banyak orang berpendapat bahawa mendengar firman itu mudah tetapi melakukannya adalah sukar. Jadi mereka memikirkan diri mereka lalu tetap berada pada tahap mendengar firman dan tidak bersedia untuk melakukan firman tersebut.Oleh sebab hanya mendengar firman, dari waktu ke waktu, mereka berfikiran bahawa firman selalunya sama saja, mereka seolah-olah telah memahami segalanya, dan tidak ada firman yang baru untuk didengari, jadi mereka tidak mahu mendengar firman lagi.

Sebenarnya, betapa mudahnya memahami firman? Mengapa firman tidak dapat dilakukan? Salah satu sebabnya adalah bahawa kita sama sekali tidak memahami firman. Sekiranya tidak faham, bagaimana kita dapat melakukannya? Oleh itu, kita juga harus mempunyai konsep “pengetahuan adalah sukar manakala praktikal adalah mudah”. Kita mulakan daripada asasnya terlebih dahulu supaya kita mengetahuinya. Kesukaran kita terletak pada pengertian firman. Oleh itu, kita harus mengusahakan firman itu. Setelah Tuhan Yesus mengatakan tujuh perumpamaan dalam Injil Matius fasal 13, Dia bertanya kepada mereka: “Mengertikah kamu semuanya itu?” (Mat 13:51). Pada suatu ketika, Tuhan Yesus berkata kepada orang banyak: “Dengar dan camkanlah.” (Matius 15:10). Kita berkata bahawa “mendengar firman itu mudah”, tetapi adakah kita memahami firman yang telah didengar? Adakah kita fasih dengan ajaran tentang kebenaran? Atau adakah kita terus berada pada tahap masih memerlukan susu, selamanya hanya mendengar firman, dan masih lagi perlu diajarkan asas-asas pokok daripada pernyataan Tuhan? Kita tidak boleh secara keliru menganggap bahawa “mendengar firman itu mudah”, dan mempunyai mentaliti yang acuh tak acuh iaitu hanya mendengar firman secara santai sahaja. Kita harus secara aktif meneroka cara mendengar firman.

Bagaimana Mendengar Firman?

Penatua Yakobus mendorong kita: “Hai saudara-saudara yang kukasihi, ingatlah hal ini: setiap orang hendaklah cepat untuk mendengar, tetapi lambat untuk berkata-kata, dan juga lambat untuk marah; sebab amarah manusia tidak mengerjakan kebenaran di hadapan Allah. Sebab itu buanglah segala sesuatu yang kotor dan kejahatan yang begitu banyak itu dan terimalah dengan lemah lembut firman yang tertanam di dalam hatimu, yang berkuasa menyelamatkan jiwamu. Tetapi hendaklah kamu menjadi pelaku firman dan bukan hanya pendengar saja; sebab jika tidak demikian kamu menipu diri sendiri. Sebab jika seorang hanya mendengar firman saja dan tidak melakukannya, ia adalah seumpama seorang yang sedang mengamat-amati mukanya yang sebenarnya di depan cermin. Baru saja ia memandang dirinya, ia sudah pergi atau ia segera lupa bagaimana rupanya. Tetapi barangsiapa meneliti hukum yang sempurna, yaitu hukum yang memerdekakan orang, dan ia bertekun di dalamnya, jadi bukan hanya mendengar untuk melupakannya, tetapi sungguh-sungguh melakukannya, ia akan berbahagia oleh perbuatannya.” (Yak 1:19-25).

Daripada dorongan di atas, kita tahu cara mendengar firman ialah “cepat untuk mendengar”. Tetapi, bagaimana cepat untuk mendengar? Mula-mula, seseorang itu hendaklah memiliki hati yang lemah lembut dan baik terlebih dahulu. Maka, cepat untuk mendengar diikuti dengan “lambat untuk berkata-kata, dan juga lambat untuk marah; sebab amarah manusia tidak mengerjakan kebenaran di hadapan Allah. Sebab itu buanglah segala sesuatu yang kotor dan kejahatan yang begitu banyak itu.” Sebaliknya, jika kita tidak membuang segala sesuatu yang kotor dan kejahatan yang begitu banyak itu, dan hati kita penuh dengan keganasan, dapatkah kita memahami firman yang kita dengar? Perumpamaan Tuhan Yesus tentang menabur benih terutama menekankan: “Yang jatuh di tanah yang baik itu ialah orang, yang setelah mendengar firman itu, menyimpannya dalam hati yang baik.” (Luk 8:15).

Setelah kita memiliki hati yang jujur, baik dan lemah lembut, kita harus maju selangkah ke hadapan dengan memiliki kerendahan hati dan juga hati yang dahaga dan berusaha. Hal ini kerana firman yang kita dengar bukanlah firman orang biasa, tetapi firman “yang berkuasa menyelamatkan jiwa”. Ketika ekonomi berkembang dan kehidupan material mencapai kemuncaknya, adalah didapati bahawa penderitaan akal manusia tetap sama, bahkan lebih buruk daripada sebelumnya. Maksudnya, wang material dan pengetahuan hanya dapat menangani masalah tubuh manusia tetapi habis akal dalam menangani masalah jiwa manusia. Bagaimana menangani masalah jiwa manusia? Caranya adalah dengan mencari “firman yang dapat menyelamatkan jiwa kita”. Demi menyelesaikan kehidupan material, banyak usaha yang telah dilakukan oleh dunia dalam bidang pengetahuan material. Demi menyelesaikan kehidupan rohani, kita seharusnya lebih berusaha untuk mengejar firman Tuhan dan “meneliti hukum yang sempurna, yaitu hukum yang memerdekakan orang”. Kebanyakan orang sering berfikir bahawa hukum Taurat adalah untuk mengikat orang. Pemikiran ini adalah kerana mereka kurang memahami hukum Taurat. Setelah memerhati dengan teliti, kita akan mengetahui bahawa hukum Taurat adalah untuk memerdekakan orang. Kasih ialah kegenapan hukum Taurat dan tujuan nasihat itu ialah kasih. Mengapa banyak orang yang mendengar firman mengatakan bahawa firman itu sukar untuk dilakukan? Sebabnya adalah kerana mereka tidak memahami firman. Mereka salah faham bahawa firman itu mengikat orang, tetapi tidak tahu bahawa firman itu mendamaikan dan memerdekakan orang. Oleh itu, kita harus rendah hati dan berusaha untuk mengejar, memeriksa firman Tuhan secara terperinci, dan bertekun di dalamnya. Dengan itu, kita akan dapat melakukan firman.

Bagaimana Melakukan Firman?

“Jikalau ada seorang menganggap dirinya beribadah, tetapi tidak mengekang lidahnya, ia menipu dirinya sendiri, maka sia-sialah ibadahnya. Ibadah yang murni dan yang tak bercacat di hadapan Allah, Bapa kita, ialah mengunjungi yatim piatu dan janda-janda dalam kesusahan mereka, dan menjaga supaya dirinya sendiri tidak dicemarkan oleh dunia.” (Yak 1:26-27).

Setelah kita mengintegrasikan firman iaitu Firman hidup, maka kita memiliki kecenderungan dalam hati yang memaksa kita untuk melakukan firman tersebut. Sebilangan besar orang berpendapat bahawa memberitakan Injil merupakan suatu tugas yang susah lalu mereka mendiamkan diri. Namun apabila Injil kebenaran berakar di dalam hati, kita harus mengatakannya. Seperti yang dikatakan oleh nabi Yeremia: “Tetapi apabila aku berpikir: “Aku tidak mau mengingat Dia dan tidak mau mengucapkan firman lagi demi nama-Nya”, maka dalam hatiku ada sesuatu yang seperti api yang menyala-nyala, terkurung dalam tulang-tulangku; aku berlelah-lelah untuk menahannya, tetapi aku tidak sanggup.” (Yer 20:9). Juga seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Karena jika aku memberitakan Injil, aku tidak mempunyai alasan untuk memegahkan diri. Sebab itu adalah keharusan bagiku. Celakalah aku, jika aku tidak memberitakan Injil. Kalau andaikata aku melakukannya menurut kehendakku sendiri, memang aku berhak menerima upah. Tetapi karena aku melakukannya bukan menurut kehendakku sendiri, pemberitaan itu adalah tugas penyelenggaraan yang ditanggungkan kepadaku.” (1 Kor 9:16-17). Mengapa kita masih dapat berasa tenang tanpa memberitakan Injil dan firman Kerajaan Tuhan? Sebab utamanya adalah bahawa tidak ada integrasi firman dalam hati kita. Setelah kita memahami firman Tuhan, kita akan mencari jalan untuk melakukan firman tersebut. Tentu sekali, proses ini mungkin sukar dan tidak lancar, tetapi kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasinya. Contohnya seorang wanita yang sedang hamil akan menghapuskan semua kesukaran untuk melahirkan bayinya. Walapun Paulus tahu terdapat penjara yang menunggunya di Yerusalem, tetapi dia tetap pergi ke Yerusalem. Dia bahkan tidak menghiraukan nyawanya sedikit pun, asal saja dia dapat mencapai garis akhir dan memberi kesaksian tentang Injil kasih karunia Allah (Kis 20:22-24).

Demikian juga Roh membantu kita dalam kelemahan kita; supaya tuntutan hukum Taurat digenapi di dalam kita, yang tidak hidup menurut daging, tetapi menurut Roh (Rm 8:26,4). Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan bahawa melakukan firman itu sukar lalu hanya memikirkan kelemahan sendiri sehingga kerohanian kita selamanya tidak maju ke hadapan. Sebenarnya, kerohanian adalah seperti malu berkayuh, perahu hanyut. Tuhan Yesus juga berkata: “Orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir”. Kita harus memahami firman dan kemudian bersungguh-sungguh melakukan firman itu dengan bersandar pada Roh Kudus untuk mengatasi semua kesulitan. Dengan itu, kita akan berbahagia oleh perbuatan kita. Di tengah-tengah angkatan yang sesat ini, kita akan bercahaya di antara mereka seperti bintang-bintang di dunia sambil berpegang pada firman kehidupan supaya orang melihat perbuatan kita yang baik dan memuliakan Bapa kita yang di syurga. Dengan cara ini, gereja pasti akan berkembang dan individu akan diberkati.

Prestasi nyata melakukan firman adalah dengan mengekang lidah. Seringkali, manusia tidak mengatakan perkataan yang seharusnya tetapi salah kata. Seletus bedil berbunyi, mencelur ikan dalam laut, berkokok ayam dalam hutan. Perkataan yang diucapkan oleh manusia sering menyakiti orang lain dan diri sendiri. Kata-kata merupakan suara hati. Bagaimana seseorang dapat mengucapkan perkataan yang baik jika tanpa firman dalam hati? Sekiranya ada firman dalam hati, seseorang dapat mengucapkan perkataan yang baik untuk membangun, dan tidak akan mengucapkan perkataan yang kotor dan kosong. Prestasi seterusnya adalah dengan mengunjungi yatim piatu dan janda-janda dalam kesusahan mereka. Tuhan itu kasih dan firman Tuhan adalah penuh kasih.