PENYESUAIAN UMAT KRISTIAN DALAM ZAMAN PERUBAHAN DRASTIK

PENYESUAIAN UMAT KRISTIAN DALAM ZAMAN PERUBAHAN DRASTIK

Dalam kehidupan manusia selama berpuluh-puluh tahun yang singkat ini, hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup. Air pun ada pasang surutnya, takkan pasang selalu dan surut senantiasa. Zaman edar musim berubah. Perubahan dramatik dalam kehidupan moden sering menyebabkan manusia rambang mata. Terdapat “senantiasa” dan “perubahan” dalam kehidupan ini, jalan raya titian batu. Kedua-duanya tidak dapat dielakkan. Banyak perubahan yang telah melengkapkan, memuaskan, dan mewarnai kehidupan. Namun terdapat juga perubahan yang mendatangkan keluhan dan rintihan. Perubahan yang cepat dan pantas tidak dapat dielakkan, dan hasil daripada perubahan dramatik juga tidak dapat diramalkan. Menjadi pengikut trend bagai pancang digoncang arus dan kehilangan arah pada akhirnya, atau berusaha untuk menjadi pemimpin yang menguasai reformasi, pilihan ini adalah terpulang kepada diri kita sendiri.

TERLEBIH DAHULU JADILAH DIRI SENDIRI YANG TERBAIK

Seawal lebih daripada dua ribu lima ratus tahun yang lalu, ahli falsafah Yunani, Heraclitus telah berkata: Adalah mustahil untuk memijak atau melangkah dua kali ke dalam sungai yang sama (it is impossible to step twice into the same stream” – sungai itu menanggung ragam. Selain persekitaran luaran yang sangat tidak menentu, kita sendiri juga terus menerus menerokai peredaran masa dan berjalan menuju akhir hayat. Banyak perkara di bawah langit adalah seperti sungai yang mengalir di antara kaki kita yang memburu waktu dan pergi tak kembali. Daripada mengeluh tentang perubahan persekitaran dan personel serta perubahan tidak seperti yang diinginkan; lebih baik kita menghargai masa kini serta melakukan perkara yang boleh dilakukan dan perkara yang sepatutnya. Jangan sampai sakit menimpa sesal terlambat (Pkh 9:10).

Dalam zaman yang senantiasa berubah, perkara yang paling ditakuti ialah kekeliruan, keraguan, ketidaktetapan dan bahkan bagai pancang digoncang arus sehingga kehilangan diri sendiri. Oleh itu, terdapat beberapa soalan yang mesti kita tanyakan pada diri kita sendiri:

A. Apakah yang benar-benar anda mahu?

Ada orang mengejar wang, ada yang menuntut kuasa, ada yang mementingkan nikmat, ada yang bekerja untuk ijazah, ada yang suka menjadi sukarelawan … Sebagai orang Kristian, apa yang paling anda mahukan?

B. Apa daya saing paling menguntungkan dan terbaik anda?

Walaupun pemilihan semula jadi iaitu kelangsungan bagi yang terbaik (natural selection, survival of the fittest: it is not the strongest of the species that survive, but the one most responsive to change) bukanlah kebenaran mutlak, namun terdapat fakta yang kejam dalam kehidupan yang nyata. Persaingan dan perubahan pasti akan membezakan kelebihan dan kekurangan, pasti akan diangkat ataupun disingkirkan. Cara terbaik untuk tidak gagal dan tersingkir adalah dengan mengetahui daya saing sendiri dan memperkaya diri untuk meningkatkan daya saing diri sendiri.

C. “Optimis dan positif, penuh dengan cita-cita” adalah sangat baik. Namun dapatkah anda menghadapi kegagalan, rintangan, dan tamparan dengan berani dan tenang serta terus maju ke hadapan dengan langkah yang teguh?

Dalam menghadapi persaingan sengit dan zaman yang berubah-ubah, kebolehan, daya saing dan kemampuan pelaksanaan yang anda miliki tidak menjamin bahawa semuanya akan berjalan lancar untuk anda. Anda juga mesti teguh hati.

D. Segala sesuatu dalam dunia ini akan berlalu. Semua yang ada pada hari ini akan menjadi kenangan pada hari esok. Kita akhirnya akan menjadi tua. Pada masa itu, selain daripada kenangan-kenangan dalam hati, adakah kita mempunyai pengharapan yang nyata untuk menjadi bagai belut pulang ke lumpur? Adakah kita mempunyai keyakinan untuk merindukan tanah air yang lebih baik? Perkara ini sangat penting.

TERIMA PERUBAHAN, PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Walaupun berada dalam zaman pertanian dengan langkah kehidupan yang agak perlahan, manusia tahu bahawa pembelajaran sepanjang hayat diperlukan bukan hanya untuk meningkatkan pengetahuan, tetapi juga untuk menghadapi pelbagai cabaran. Oleh itu, pembelajaran sepanjang hayat adalah bagai air mencari jenisnya dan mencari ilmu adalah seperti berlayar melawan arus, malu berkayuh, perahu hanyut. Apatah lagi zaman yang dihadapi pada hari ini ialah zaman teknologi maklumat yang berubah dengan pantas.

Lima belas tahun yang lalu, jika anda ingin menggunakan telefon bimbit, anda tidak ada pilihan yang banyak, harganya juga tinggi dan agak terbatas. Kini, terdapat banyak syarikat telekomunikasi yang boleh dipilih. Anda juga mempunyai pilihan fungsi, corak dan harga telefon bimbit. Jumlah pengguna Internet jalur lebar kian bertambah saban hari. Teknologi-teknologi yang memudahkan kehidupan manusia ini juga bertambah baik saban hari. Dengan peradaban manusia yang didorong oleh penambahan teknologi baru, manusia sering mempunyai ilusi bahawa semua “kemajuan” dan “perubahan” itu baik. Walau bagaimanapun, kemelut ekonomi, konflik ketenteraan, serangan pengganas, dan bencana alam yang sering berlaku di dalam dan luar negara telah memaksa dunia untuk berfikir dengan tenang dan membuat refleksi dengan bersungguh-sungguh. Manusia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Kita mahu menjalani kehidupan yang lebih baik. Maka, kita mesti terus mencari pembaharuan dan perubahan. Namun, kita tidak boleh mengabaikan perihal belajar bersungguh-sungguh untuk bergaul dengan orang lain, belajar menghormati kumpulan etnik dan budaya yang berbeza, belajar untuk bertoleransi dengan orang yang berbeza atau bahkan bertentangan pendapat dengan kita, dan kita mesti belajar melayan baik aset terbaik yang ditinggalkan oleh Pencipta kepada umat manusia iaitu menghargai dan memelihara persekitaran ekologi. Hanya dengan cara ini, kita dapat mencapai keseimbangan antara kemajuan, perubahan dengan pembangunan lestari. Oleh itu, jika anda ingin hidup lebih baik, anda mesti belajar dan terus belajar.

Bagi pengkaji pengetahuan, keseronokan dan kepuasan yang dibawa oleh perkembangan bidang pengetahuan dan peluasan penglihatan minda sama sekali tidak dapat dibandingkan dengan teknologi baru, produk baru atau kesenangan deria. Mereka yang mementingkan aspek pembelajaran mempunyai kemampuan penyesuaian diri yang lebih tinggi. Mereka yang mempunyai sikap belajar sepanjang hayat tidak risau bahawa kerja dan kerjayanya perlu ada peluang yang kedua. Mereka menganggapnya sebagai perjalanan pembelajaran. Oleh itu, jika anda seorang pengamal pembelajaran sepanjang hayat, anda bukan sahaja tidak perlu bimbang tentang perubahan, tetapi anda boleh menikmati keseronokan zaman beralih, musim bertukar tanpa perlu risau tentang kekurangan dari segi kemampuan, profesionalisme atau aspek lain. Anda akan terus menerus belajar, membuat penemuan baru, dan memperoleh hasil baru. Anda akan menjadi lebih rendah hati dan lebih yakin. Yang paling penting, prosesnya akan penuh dengan keseronokan.

PAYAH-PAYAH DILAMUN OMBAK, TERCAPAI JUGA TANAH TEPI. TAHU PILIHAN YANG PERLU DIBUAT

Pengaruh budaya maritim menyebabkan masyarakat mempunyai tahap penerimaan yang tinggi terhadap perkara baru. Dengan pengaruh kesan media massa, budaya penerimaan ini menjadi semakin popular, dan tingkah laku ajukan berkumpulan (group imitation) dapat dilihat dari semasa ke semasa. Setelah sesuatu trend dihidupkan, ada orang yang mendapat hasil yang diingini oleh mereka (sama ada kemasyhuran atau keuntungan, atau yang lain …), tetapi ada juga orang yang mengalami kerugian yang tidak dapat dijelaskan. Contohnya adalah seperti “judi, Mark Six, pembiakan cacing darah, semua jenis penjualan langsung (direct selling) …”. Aktiviti ekonomi, aktiviti sukan, aktiviti keagamaan baru, hiburan dan aktiviti santai, semuanya ada trend masing-masing. Dalam aktiviti politik, kita dapat melihat dengan jelas bahawa terdapat kata-kata dan perbuatan yang tidak rasional. Mereka seolah-olah telah dihipnotis secara kolektif. Setelah keghairahan itu berakhir, seluruh masyarakat perlu menanggung kosnya. Masyarakat juga mengambil masa untuk menyembuhkan dan menghilangkan rasa sakit. Tingkah laku perbelanjaan adalah lebih keterlaluan. Dengan iklan media dan promosi penjualan oleh pihak penjual, banyak orang secara sukarela berbelanja secara keterlaluan dan mengambil kad kredit sehingga mereka dibebani dengan hutang kad. Mereka bekerja hanya untuk membayar kitaran faedahnya setiap bulan. Ada orang yang salah faham bahawa “kad tunai” itu benar-benar bermaksud “meminjam wang tanpa faedah” sehingga mereka terpaksa membayar hutang kad dengan kad yang lain. Pada usia muda, mereka dibebani hutang sebanyak enam atau tujuh angka. Cuba kita fikirkan, apa cita-cita dan masa depan yang boleh dibincangkan dalam kehidupan seperti itu? Sebenarnya, tidak ada seorang pun yang harus hidup dengan begitu susah dan tidak bermaruah. Selagi seseorang itu mahu, isu ini bukanlah masalah besar.

Pada suatu kali, setelah memimpin kebaktian dan berkhutbah di sebuah gereja, seorang diaken bertanya semasa berbual: “Ada pemercaya gereja ini mengatakan bahawa kita boleh membeli loteri. Asalkan ada memberikan persembahan persepuluhan dan persembahan kesyukuran, perbuatan membeli loteri tidak ada bezanya dengan bekerja dan menjalani perniagaan atau pelaburan. Perbuatan ini adalah untuk menjana wang, dan tidak salah di sisi undang-undang. Tambahan pula, gereja kita kekurangan wang sekarang. Lihat, apa yang harus dilakukan? Bagaimana seharusnya kami menjawabnya?” Saya mengingatkan mereka untuk membaca Alkitab iaitu kitab 1 Timotius 6:6-10 dan perhatikan pengakhiran orang-orang yang “ingin cepat kaya” dalam kitab Amsal. Kemudian, fikirkan mereka yang mendadak kaya, beroleh badar tertimbakan dan pemenang hadiah bertuah dalam dunia nyata, apa kesudahan mereka? Setelah membacanya dan memikirkannya, jika masih ada yang ingin mencubanya, tidak ada orang yang dapat menghalangnya. Namun dia pasti perlu membayar harga yang perlu dibayar, dan dia harus menanggung akibatnya.

Oleh itu, dalam zaman kebanjiran maklumat dan kepelbagaian nilai yang kacau-bilau, anda mesti mempunyai otak yang tenang untuk membantu anda melihat kebenaran dengan jelas dan menilai pilihan anda jika anda ingin menjadi tidak terkalahkan. Maka, ajaran Alkitab tidak pernah ketinggalan zaman dan sama sekali bukan dogma. Bayangkanlah jika seseorang berfikir seperti ini ketika membuat keputusan: “Adakah keputusan ini berguna kepada saya? Adakah keputusan ini berguna kepada orang yang mengambil berat tentang saya? Jika berguna sekarang, adakah berguna pada masa hadapan nanti? Apakah nilai pilihan ini? Mampukah saya menanggungnya? Adakah keputusan ini akan menyusahkan orang lain dan mereka yang mengambil berat tentang saya? Setelah mengambil keputusan ini, adakah orang lain yang melihat akan berkata: “Anda benar-benar orang yang percaya kepada Yesus!” atau adakah mereka menggelengkan kepala dan menghela nafas? (1 Kor 6:12, 10:23,24,31)”; dia tidak akan tersesat atau menjadi mangsa perubahan trend secara tiba-tiba. Sila belajar untuk melindungi diri sendiri ketika menghadapi perubahan dan menikmati pembaharuan.