MERENUNGKAN HUBUNGAN SESAMA ANGGOTA DARIPADA KITAB BILANGAN

Pendahuluan

Dua belas suku Israel adalah sebuah komuniti kehidupan. Mereka meninggalkan Mesir bersama-sama, menerima latihan di padang gurun bersama-sama, memasuki Kanaan bersama-sama, dan menerima janji Tuhan bersama-sama. Dalam tempoh kehidupan di tanah Mesir selama empat ratus tahun, mereka tidak diasimilasikan, tetapi tetap mempertahankan ciri-ciri uniknya, membentuk satu bangsa yang besar dan bersiap sedia untuk mewarisi warisan yang dijanjikan oleh Tuhan. Setelah melewati Laut Teberau di bawah kepemimpinan Musa, mereka tiba di gunung Sinai selepas tiga bulan dan tinggal di sana selama lebih daripada sepuluh bulan. Ketika berangkat sekali lagi, mereka bukan lagi bangsa yang bagai kiambang dilempar. Mereka sepatutnya merupakan satu pasukan tentera yang berpusatkan Khemah Pertemuan, tersusun dan berorganisasi. Namun, terdapat beberapa kejadian yang tercatat dalam kitab Bilangan yang memberi kesan besar kepada bangsa ini dan sekali lagi mengingatkan kita bahawa hubungan sesama anggota dalam gereja tidak boleh diabaikan.

Satu, Mencatat Umat (Bil fasal 1-4)

Terdapat dua tujuan utama dalam perihal mencatat umat. Antaranya, masing-masing mempunyai pekerjaan yang berbeza:

  1. Berperang di luar

Tentera yang berperang di luar merupakan orang-orang daripada sebelas suku kecuali suku Lewi. Tidak kira semasa berjalan atau menetap di suatu tempat, setiap suku tetap mengikuti arahan Musa. Mereka berpusatkan Khemah Pertemuan, mengelilingi Khemah Pertemuan, dan bersiap siaga pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

  1. Melayani di dalam

Suku Lewi dicatat secara berasingan, dipilih oleh Tuhan, berada dalam bahagian paling dalam di Khemah Pertemuan, dan mengkhususkan diri untuk pelbagai tugas pelayanan, baik besar mahupun kecil, di dalam dan di luar Khemah Pertemuan.

  • Kesimpulan – masing-masing dalam tugas jabatan mereka (Ef 4:11-16).

Tanpa mengambil kira peranan jabatan setiap orang, jika semua dapat bertindak secara lagi teduh lagi berkajang, masing-masing dalam tugas jabatannya serta melaksanakan tugas dalam posisi masing-masing dengan setia dan berpijak di bumi yang nyata, melaksanakan peranan setiap skru kecil dengan baik, maka setiap bahagian dalam mesin besar ini akan saling berkait, boleh dipercayai dan fleksibel, dan kemudiannya mencapai matlamat.

Dua, Orang yang Tidak Kudus Keluar daripada Tempat Perkhemahan (Bil 5:1-4, 12:14-15)

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sedikit ragi sudah mengkhamirkan seluruh adonan. Oleh itu, Musa mematuhi perintah Tuhan pada masa itu iaitu semua orang yang sakit kusta, semua orang yang mengeluarkan lelehan, dan semua orang yang najis oleh mayat disuruh meninggalkan tempat perkhemahan supaya mereka jangan menajiskan tempat perkhemahan yang didiami Tuhan.

Hari ini, jika ada orang-orang yang tidak kudus yang melanggar ajaran Tuhan dan mencemari Bait Suci, mereka juga harus dihalau daripada Bait Suci supaya tidak memudaratkan rumah Tuhan dan seiman.

Tiga, Semboyan Nafiri dan Berangkat (Bil 10:1-10)

Tuhan memerintahkan Musa untuk membuat dua nafiri daripada perak. Nafiri-nafiri ini digunakan untuk memanggil umat Israel dan untuk menyuruh laskar-laskarnya berangkat serta untuk memerangi musuh.

Untuk membuatkan kumpulan bangsa yang besar ini bertindak secara serentak, tahu untuk maju dan mundur, dan tidak terkalahkan, caranya adalah dengan semua orang mematuhi peraturan, mendengar perintah dan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Jika setiap orang yang menjadi sesama anggota dapat dengan tegas mematuhi undang-undang, mentaati perintah, memuliakan Tuhan, tidak memandai-mandai, tidak melanggar peraturan dan undang-undang, maka akhirnya mereka akan dapat mengembangkan sifat-sifat sebenar laskar Kristus dan tidak terkalahkan. Oleh itu, seiman dalam gereja harus berjalan dengan mendengar, mentaati dan mematuhi perintah (kebenaran).

Empat, Bersama-sama Memikul Tanggungjawab Pengurusan (Bil 11:14-17)

Musa seorang diri tidak dapat memikul tanggungjawab atas seluruh bangsa itu sebab tanggungjawab itu terlalu berat baginya. Maka, dia menangis dan berdoa kepada Tuhan. Tuhan yang pemurah dan penyayang memerintahkannya untuk mengumpulkan tujuh puluh orang daripada para tua-tua Israel ke Khemah Pertemuan. Tuhan menaruh Roh yang hinggap pada Musa kepada mereka supaya mereka bersama-sama memikul tanggungjawab atas bangsa itu agar Musa tidak usah lagi memikulnya seorang diri.

Sesungguhnya, pelayanan gereja adalah dalam pelbagai aspek manakala jemaat pula mempunyai keperibadian dan perasaan yang berbeza. Pemercaya merupakan anggota keluarga Tuhan dan juga merupakan saudara-saudari. Mereka sepatutnya bersama-sama menanggung semuanya, memikul kuk Tuhan, saling berhubung dengan kasih, menjadi sesama anggota, membina Bait Suci dalam kasih, menjadi sempurna, dan mencapai tingkat pertumbuhan yang sesuai dengan kepenuhan Kristus. Jangan sesekali mementingkan diri sendiri dan hanya memperhatikan kepentingan sendiri tanpa memperhatikan kepentingan orang lain. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pemercaya yang merupakan anggota satu sama lain tidak akan dapat mendirikan rumah tangga rohani yang manis jika mereka saling menggigit dan saling menelan, dan tidak tahu untuk memikul kuk itu bersama-sama.

Lima, Pengaruh Dua Belas Orang Pengintai (Bil 14:26-35)

Ketika Musa mengirim dua belas orang pengintai untuk mengintai tanah Kanaan, hanya Kaleb dan Yosua sahaja yang menegakkan iman dan kebenaran serta menyampaikan khabar baik. Walaupun bilangan mereka sedikit dan kuasa mereka tidak besar, ketika menghadapi berita buruk daripada sepuluh orang pengintai yang lain, mereka tetap mempertahankan kenyataan yang dilihat dan yang dipercayai oleh mereka, melakukan yang sepatutnya, berusaha menghapuskan perselisihan faham, dan mara dengan berani. Akhirnya, mereka mendapat ganjaran daripada Tuhan iaitu memasuki negeri yang dijanjikan. Sebaliknya, generasi yang hanya tahu bersungut-sungut dan tidak beriman telah mati di padang gurun.

Kejadian ini mengingatkan kita bahawa ketika kita menjadi sesama anggota atau ketika kita berselisih faham, kita harus menyelidiki perkara-perkara yang sesuai dengan kehendak Tuhan dan berkenan kepada Tuhan dengan teliti. Baiklah kita patah sayap bertongkat paruh, tidak memandang bulu dan tidak takut dengan kuasa jahat.

Enam, peristiwa Korah (Bil 16:1-50)

Oleh sebab iri hati, pertengkaran, dan tidak menghormati jabatan yang diberikan oleh Tuhan kepada Musa dan Harun, Korah sebagai orang Lewi beserta dua ratus lima puluh orang Israel, pemimpin-pemimpin umat itu, iaitu orang-orang kenamaan telah memulakan pemberontakan dan berakhir dengan kesudahan yang tragis. Pengajaran ini ada di depan mata kita. Setiap anggota dalam gereja seharusnya menjadikan pengajaran ini sebagai peringatan dan berusaha sebaik mungkin untuk hidup damai dengan semua orang dan memainkan peranan sendiri dengan baik.

Tujuh, Berkongsi Hasil Rampasan (Bil 31:25-31)

Tuhan berfirman kepada Musa bahawa jumlah rampasan daripada kemenangan peperangan harus dibahagi sama rata di antara umat. Pasukan bersenjata yang telah keluar berperang mendapat bahagian yang sama dengan segenap umat yang menjaga perkakas dan melindungi tempat tinggal mereka. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Mereka sepenuhnya menyatakan semangat kekeluargaan.

“Karena itu jika satu anggota menderita, semua anggota turut menderita; jika satu anggota dihormati, semua anggota turut bersukacita.” (1 Kor 12:26).

Lapan, Bersama-sama Mewarisi Milik Pusaka (Bil 32:20-32)

Kedua-dua suku bani Ruben dan suku bani Gad serta setengah suku Manasye pada asalnya merancang untuk tinggal di sebelah timur sungai Yordan sebelum peperangan selesai dan menang. Setelah didorong oleh Musa, mereka mara ke medan peperangan bersama-sama dengan suku-suku yang lain untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai sehinggalah mereka pulang dengan kemenangan. Kemudian, mereka pun menetap di sebelah timur sungai Yordan. Tindakan ini sepenuhnya menunjukkan semangat kekeluargaan sebagai satu tubuh. Mereka bersatu padu megalahkan musuh, berganding bahu dalam perjuangan, bersama-sama menghadapi krisis nasional, dan bersama-sama mewarisi milik pusaka.

Hari ini, para seiman telah bersama-sama meminum daripada sumber air yang hidup dan merupakan teman pewaris dari kasih karunia, iaitu kehidupan, maka mereka juga harus berkongsi penderitaan, menanggung kesedihan dan kegembiraan bersama-sama, menunjukkan semangat kekeluargaan, dan bersama-sama mewarisi milik pusaka yang berkelimpahan.

“Jangan seorang pun yang mencari keuntungannya sendiri, tetapi hendaklah tiap-tiap orang mencari keuntungan orang lain.” (1 Kor 10:24).

“Sama seperti aku juga berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala hal, bukan untuk kepentingan diriku, tetapi untuk kepentingan orang banyak, supaya mereka beroleh selamat.” (1 Kor 10:33).

Kesimpulan

Kitab Bilangan menekankan hubungan antara sesama anggota dan sesama kumpulan. Semangat dasarnya harus seperti yang dicatatkan dalam (Ef 4:16): “Daripada-Nyalah seluruh tubuh, – yang rapi tersusun dan diikat menjadi satu oleh pelayanan semua bagiannya, sesuai dengan kadar pekerjaan tiap-tiap anggota – menerima pertumbuhannya dan membangun dirinya dalam kasih.”