TUHAN, ALLAH ABRAHAM, ALLAH ISHAK DAN ALLAH YAKUB
Pada zaman dahulu, Tuhan memusnahkan dunia dengan air bah. Secara logiknya, semuanya bermula sekali lagi dan manusia sepatutnya boleh memulakan permulaan yang baru dengan Tuhan. Walau bagaimanapun, kebejatan manusia bagai pisang berbuah dua kali. Pada masa itu, tidak ada suara Tuhan yang dapat didengar untuk selama kira-kira seribu tahun. “Sungai kecil” manusia yang pada asalnya segar ini telah lama tercemar dan kehilangan keindahan semula jadinya ketika berkembang menjadi “sungai besar” seiring dengan pergerakan masa. Oleh itu, Tuhan memecahkan satu anak sungai daripada sungai besar manusia ini. Dia terlebih dahulu mentahirkan anak sungai ini dan kemudian mentahirkan seluruh sungai besar manusia. Demikianlah prinsip bagi seluruh penyelamatan dan penebusan Tuhan. Abraham ialah permulaan bagi projek agung ini dan juga merupakan permulaan bagi perjanjian formal yang kekal antara Tuhan dengan manusia.
PERJALANAN IMAN KEPERCAYAAN ABRAHAM, ISHAK DAN YAKUB
A. Tuhan, Allah Abraham
Abraham, nenek moyang sekitar empat ribu tahun yang lalu sebenarnya hanyalah seorang nomad. Dari sudut pandangan dunia, pencapaian terbaiknya hanyalah mempunyai kekayaan iaitu hamba keluarga, lembu, biri-biri … yang banyak. Namun jika ingin meninggalkan nama dalam sejarah hanya berdasarkan harta-harta ini, keinginan itu sememangnya menjengkal muka. Walau bagaimanapun, Tuhan telah memilihnya dan dia mencapai kejayaan besar dalam perihal mendirikan iman terhadap Tuhan. Oleh yang demikian, Tuhan yang menciptakan segala sesuatu dalam alam semesta dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas ini telah menjadi Tuhan bagi individu dan keluarganya bahkan mengadakan perjanjian dengannya.
Seperti yang dikatakan: “Segalanya bermula dengan sukar”. Bagi seseorang yang hidup dalam masyarakat politeisme, menyembah berhala, dan mempunyai “konsep ketuhanan dengan masa dan ruang yang terhad”, dia perlu melalui beberapa pengalaman iman kepercayaan untuk mencapai perubahan konsep berikut: “Tuhan ialah Allah yang tunggal, Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan Dia memenuhi segala sesuatu, Dia Tuhan yang melampaui batasan masa dan ruang”. Pengalaman yang diberikan oleh Tuhan kepadanya adalah sangat istimewa iaitu dia menjalinkan hubungannya dengan Tuhan secara beransur-ansur melalui “sikap mengalah”. Daripada perspektif manusia terhadap Tuhan, Abraham meninggalkan “kebendaan luaran” yang Tuhan mahukan dia tinggalkan. Tindakan ini membuatkan tekadnya untuk bersandar kepada Tuhan menjadi semakin kuat lalu semakin mengenali Tuhan sehingga dia akhirnya mencapai tahap bersandar sepenuhnya kepada Tuhan. Daripada perspektif Tuhan kepada manusia, Tuhan lebih pasti dengan janji-Nya melalui peningkatan pemahaman Abraham tentang Tuhan sehingga akhirnya Dia mengadakan “perjanjian abadi” dengan Abraham sebagai jaminan bagi masa akan datang.
Sebagai contoh, Tuhan menyuruhnya meninggalkan Ur supaya dia melepaskan diri daripada belenggu konsep ketuhanan yang lama dan membina kehidupan yang ada penyertaan Tuhan. Seterusnya, dia membiarkan Lot memilih Lembah Yordan di sebelah timur. Tindakan ini membolehkan dia mempunyai idea untuk membina tanah air yang lebih baik dan kekal (Ibr 11:9-10). Kemudian, dia mengambil risiko melanggar etika sosial dan adat istiadat pada waktu itu dengan menyingkirkan Hagar. Dia sebaliknya menetapkan bahawa Ishak merupakan satu-satunya keturunan dia yang mempunyai hak warisan ke atas keluarga dan iman kepercayaannya untuk menonjolkan kedaulatan Tuhan dalam memilih waris yang dijanjikan. Akhir sekali, dia mempersembahkan Ishak kepada Tuhan, memegang janji Tuhan kepadanya dan percaya sepenuhnya kepada Tuhan. Oleh itu, dia menjadi bapa banyak bangsa dan menjadi tokoh agung dalam aspek iman. Dia juga menjadi titik perubahan kritikal dalam teori penyelamatan dan penebusan Tuhan.
B. Tuhan, Allah Ishak
Ishak adalah seorang tokoh “fiksyen”. Demi menyatakan kuasa Tuhan yang tidak terhingga dan demi janji bahawa konteks iman kepercayaan datang daripada Abraham, maka Tuhan membuatkan ibu Ishak, Sara melahirkannya setelah putus haid. Nama Ishak bermaksud “ketawa”. Dia tidak hanya membuatkan pasangan tua Abraham “ketawa” tetapi juga membolehkan manusia menikmati rasa tawa ini dalam sejarah.
Pengalaman iman kepercayaan Ishak tidaklah berwarna-warni seperti ayahnya dan tidak pula berliku-liku seperti anaknya, Yakub. Keagungannya terletak pada dia kerana mampu mengatasi sifat manusia yang tidak mahu menjadi orang biasa dan mempertahankan imannya yang murni walaupun dalam kehidupan iman kepercayaan yang sederhana. Gambaran terbaik bagi imannya yang murni ialah berlapang perasaan dan taat sampai pada kesudahannya.
Ketika Ishak tinggal di Gerar, orang Filistin berebut sumur dengannya. Dia mendapat “Rehobot” (yang bermaksud kelonggaran) setelah menggali tiga sumur. Secara lahiriahnya, dia tidak mahu menimbulkan konflik dengan orang Filistin. Namun kekuatan batiniah yang mendukungnya untuk berbuat demikian adalah berasal daripada imannya kepada Tuhan. Betapa pentingnya sumur bagi kehidupan para nomad dan betapa sukarnya untuk menggali sumur. Jika dia tidak mahu bertolak ansur, dengan warisannya iaitu kekuatan pasukan lelaki yang dapat mengalahkan empat raja, dia memiliki kekuatan untuk berperang demi mempertahankan hidupnya. Dalam hal tersebut, Ishak dapat menunjukkan sikap yang sangat bertolak ansur kerana dia telah membina asas iman kepercayaan yang baik pada hari-hari biasa. Oleh itu, selepas kejadian tersebut, Tuhan bersuara kepada Ishak dan mengulangi kata-kata-Nya: Akulah Allah Abraham, juga Allahmu, Ishak. Tuhan berjanji untuk memberkati Abraham, dan juga akan memberkati kamu (Kej 26:23-25). Demikianlah teladan iman kepercayaan generasi kedua.
Di samping itu, dalam saksi-saksi iman dalam “Ibrani” fasal 11, penulis secara khusus menyebut dua perkara: Pertama, Ishak mempunyai iman yang menanti-nantikan kota yang mempunyai dasar sama seperti ayahnya. Oleh itu, walaupun dia tidak mendapat tanah yang dijanjikan itu, namun kerana imannya, dia tetap menjadi orang asing di tanah milik dunia. Dia menjalani kehidupan yang seolah-olah di suatu tanah asing dan di situ ia tinggal di khemah. Dia tidak mempunyai wilayah yang benar-benar milik dirinya sendiri dalam sepanjang hidupnya. Demikianlah keluarbiasaan iman Ishak. Selain itu, penulis juga menyebut bahawa Ishak memberikan berkatnya kepada Yakub dan Esau sambil memandang jauh ke depan kerana iman. Perbuatan tersebut ialah kekuatan daripada ibadahnya kepada Tuhan dalam kesederhanaan. Demi imannya kepada Tuhan, Tuhan rela menunaikannya seperti yang dikatakan oleh Ishak. Kepercayaan orang yang sebegini kepada Tuhan membentuk tahap iman kepercayaan bahawa perkataan manusia sama dengan Firman Tuhan. Ishak menyatakan keluarbiasaan kuasa Tuhan yang menjadikan semua perkara dalam kehidupannya yang hambar.
C. Tuhan, Allah Yakub
Yakub ialah generasi yang ketiga dalam keluarga Abraham. Hidupnya adalah seperti namanya – pegang. Ada orang berkata: “Keperibadian seseorang menentukan takdirnya.” Yakub secara semula jadinya licik, baik dalam konspirasi, tidak sesekali melepaskan sesuatu yang dia mahukan lalu menjadikan hidupnya penuh dengan “pegang”. Dia memegang hati ibunya, memegang hak kesulungan, memegang orang-orang yang dikasihinya, memegang harta saudara ibunya, memegang belas kasihan Esau… bahkan memegang Tuhan. Tuhan memilih Yakub lalu melepaskan Esau, saudaranya yang naif dari segi jiwa dan pemikiran tetapi kebudak-budakan dari segi rohani. Pada satu sisi, pilihan tersebut memperlihatkan kedaulatan pemilihan Tuhan. Pada satu sisi yang lain, Tuhan sememangnya telah menghabiskan banyak usaha untuk mendidiknya, mengubah keperibadiannya sepenuhnya dan membangun imannya terhadap Tuhan. Akhirnya, Yakub juga menjadikan Tuhan, datuk dan ayahnya sebagai Allahnya. Oleh itu, penulis membahagikan perjalanan iman kepercayaan Yakub kepada empat tahap. Tuhan memimpinnya dalam setiap tahap untuk memasuki alam iman kepercayaan yang berbeza.
Pertama, mimpi di Betel (Kej 28:10-22). Dalam mimpi tersebut, Tuhan secara peribadi mengumumkan janji-Nya dengan Abraham dan Ishak kepada Yakub (isi kandungan janji akan dibincangkan kemudian). Ketika Yakub bangun daripada tidurnya, kalimat pertama yang diucapkannya: “Sesungguhnya TUHAN ada di tempat ini, dan aku tidak mengetahuinya.” (Kej 28:16). Dia telah mendengar tentang Tuhan daripada ibu bapanya sejak dari kecil lagi. Walau bagaimanapun, Tuhan hanya membangunkan hidup Yakub ketika dia hidup menggembara. Pada waktu itu, dia benar-benar mulai mengenali Tuhan yang disembah oleh datuk dan ayahnya. Pada waktu itu juga dia mulai menyedari bahawa Tuhan yang disembah di kampung halamannya adalah di luar batasan ruang dan dia tidak akan kehilangan jagaan Tuhan apabila dia meninggalkan kampung halamannya. Oleh itu, pada waktu itu, dia percaya bahawa Tuhan itu akan menjadi Allahnya, pasti akan menyertainya, melindunginya sehingga dia selamat kembali ke rumah ibu bapanya (Kej 28:20-22).
Kemudian, dia balik ke kampung halamannya setelah 20 tahun. Pada masa itu, masalah pertama yang dihadapinya ialah: Bagaimana berhadapan dengan Esau yang pernah berkata mahu membunuhnya? Selepas seisi keluarganya menyeberang di tempat penyeberangan sungai Yabok, Yakub bergulat dengan Tuhan sepanjang malam. Tuhan memukul sendi pangkal paha Yakub lalu dia menjadi pincang kerana pangkal pahanya. Pada masa yang sama, Yakub mendapati bahawa orang yang bergulat dengannya bukan seorang yang biasa. Oleh itu, dia telah memegang Tuhan. Selepas kejadian tersebut, hidupnya mula berubah kerana dia telah melihat wajah Tuhan dan berhubung lebih rapat dengan Tuhan. Hal yang paling penting ialah, Tuhan telah mengubah namanya dan menggelar dia sebagai “Israel”. Tuhan memberitahu dia dengan jelas: “Kamu putera Allah Yang Mahatinggi”. Alangkah mulianya identiti ini!
Selepas itu, Yakub tinggal dengan aman di tanah Kanaan dan lupa tentang nazarnya di Betel. Tuhan pun memukulnya dengan anak perempuannya, Dina dicemari lalu Simeon dan Lewi membunuh keluarga Hemor dan Sikhem. Ketika itu, Tuhan menyuruhnya pergi ke Betel untuk membayar nazarnya. Pada masa tersebut, iman kepercayaan Yakub memasuki tahap yang lebih tinggi. Dia menghapuskan dewa-dewa asing yang ditinggalkan oleh Haran daripada rumahnya dan membuat mezbah bagi Tuhan. Tuhan segera menampakkan diri kepadanya. Tuhan bukan sahaja menukar namanya kepada Israel secara rasmi, Tuhan juga mengadakan perjanjian dengannya secara rasmi dan sekali lagi mengumumkan perjanjian yang diadakan dengan Abraham kepadanya. Tetapi perkara berikutnya yang dihadapi oleh Yakub ialah kehilangan orang yang disayanginya: isterinya Rahel, ayahnya Ishak, dan juga anak kesayangannya, Yusuf. Daripada pukulan-pukulan tersebut, kita dapat mengatakan bahawa melalui peristiwa orang yang paling disayangi dirampas, seseorang harus belajar memikul perjanjian dengan Tuhan dengan penuh iman untuk menjadi anak Tuhan.
Ketika usia senjanya, Yakub dan anak-anaknya menetap di Mesir. Pada waktu tersbeut, dia sujud di sebelah kepala tempat tidurnya. Hidupnya seolah-olah memasuki padang yang tenang dan seperti riak air tasik yang akan segera hilang. Ketika jatuh sakit, dia berkata semasa memberkati kedua-dua anak Yusuf: “Nenekku dan ayahku, Abraham dan Ishak, telah hidup di hadapan Allah; Allah itu, sebagai Allah yang telah menjadi gembalaku selama hidupku sampai sekarang, dan sebagai Malaikat yang telah melepaskan aku dari segala bahaya, Dialah kiranya yang memberkati orang-orang muda ini.” (Kej 48:15-16). Waktu itu merupakan kemuncak bagi imannya kerana Allah datuk dan ayahnya telah menjadi Allahnya. Dia telah hidup sebagai gembala dalam sepanjang hidupnya. Dia menggunakan pengalaman menggembala untuk merasakan bahawa Tuhan seperti seorang gembala yang membimbingnya melalui kehidupan ini. Dia bahkan berpesan kepada anak-anaknya untuk menguburkannya di dalam gua di Makhpela supaya dia dapat bersama-sama dengan datuk dan ayahnya dalam mengharapkan negeri yang baik yang dijanjikan oleh Tuhan kepada mereka iaitu tanah air yang lebih baik (Ibr 11:16).
Iman adalah dasar dari segala sesuatu yang kita harapkan dan bukti dari segala sesuatu yang tidak kita lihat. Sebab oleh imanlah telah diberikan kesaksian kepada nenek moyang kita (Ibr 11:1-2).
PERJANJIAN YANG DIJANJIKAN OLEH TUHAN KEPADA NENEK MOYANG
A. Perjanjian
“Perjanjian” ialah janji berhemah yang dibuat dengan tindakan secara lisan atau simbolik (Mendenhall, 1962). “Perjanjian” berasal daripada janji Tuhan kepada manusia. Dalam istilah hari ini, perjanjian bermaksud Tuhan menandatangani kontrak dengan manusia dan kedua-dua pihak bersama-sama memenuhi syarat yang dipersetujui. Perjanjian Lama yang tercatat dalam Alkitab pada dasarnya merujuk kepada perjanjian yang dibuat oleh Tuhan di Gunung Sinai. Tetapi asal-usul perjanjian tersebut harus dijejak kembali ke perjanjian antara Tuhan dengan Abraham.
Dalam masyarakat Timur awal, “perjanjian” merupakan suatu alat penting untuk mengatur hubungan interpersonal – terutamanya hubungan antarabangsa. Apabila dua buah negara mempunyai hubungan antara satu sama lain, negara yang berdaulat harus melindungi negara-begara yang bernaung di bawahnya sebagai pertukaran atas sokongan dan penghormatan mereka. Bagi bangsa-bangsa yang lemah dan kecil, mereka tidak mempunyai pilihan lain. Mereka hanya dapat memperoleh perlindungan yang diberikan oleh negara yang berdaulat melalui perjanjian seperti itu. Perjanjian antara Tuhan dengan manusia sedikit sebanyak juga mempunyai hubungan yang sedemikian – Tuhan adalah yang berdaulat manakala kita pula bernaung di bawah-Nya, Dia memberikan perlindungan yang dijanjikan kepada kita manakala kita “menyokong” dan “memberi penghormatan” kepada-Nya (percaya dan memberi persembahan).
Dalam perjanjian yang diadakan oleh Tuhan dengan Abraham, hubungan perjanjian asas tersebut didasarkan pada iman. Begitu juga dengan Ishak dan Yakub. Tetapi Tuhan secara khusus telah menggunakan satu tanda iaitu sunat untuk meneruskan perjanjian tersebut. Sunat bukan sahaja menunjukkan makna dikuduskan tetapi nampaknya juga merupakan kontrak antara manusia dengan Tuhan, dan kedua-dua pihak mempunyai satu salinan. Sekiranya seseorang berpegang pada perintah Tuhan, janji Tuhan akan menyertainya sepanjang hidupnya kerana tanda tersebut. Selanjutnya, jika perintah Tuhan dapat dipegang dari generasi ke generasi, janji Tuhan akan menyertai turutan warisan ini kerana tanda tersebut.
B. Perjanjian Abraham
Tuhan berfirman kepadanya: “Akulah Allah Yang Mahakuasa, hiduplah di hadapan-Ku dengan tidak bercela. Aku akan mengadakan perjanjian antara Aku dan engkau, dan Aku akan membuat engkau sangat banyak… Dari pihak-Ku, inilah perjanjian-Ku dengan engkau… Engkau telah Kutetapkan menjadi bapa sejumlah besar bangsa. Aku akan membuat engkau beranak cucu sangat banyak; engkau akan Kubuat menjadi bangsa-bangsa, dan dari padamu akan berasal raja-raja. Aku akan mengadakan perjanjian antara Aku dan engkau serta keturunanmu turun-temurun menjadi perjanjian yang kekal, supaya Aku menjadi Allahmu dan Allah keturunanmu. Kepadamu dan kepada keturunanmu akan Kuberikan negeri ini yang kaudiami sebagai orang asing, yakni seluruh tanah Kanaan akan Kuberikan menjadi milikmu untuk selama-lamanya; dan Aku akan menjadi Allah mereka.” (Kej 17:1-8).
Ketika Abraham berusia 99 tahun, Tuhan sekali lagi menampakkan diri kepada dia. Setelah Ismael dilahirkan, Tuhan tidak menampakkan diri-Nya kepada Abraham untuk tempoh 13 tahun. Tetapi ketika Tuhan menampakkan diri kepada dia pada kali tersebut, Tuhan bukan sahaja memintanya untuk menukar namanya secara formal tetapi juga meminta isterinya untuk menukar namanya dan meminta mereka hidup dengan tidak bercela. Perjanjian dengan Abraham tersebut boleh dianggap sebagai perjanjian formal dan sunat digunakan sebagai tanda perjanjian Tuhan dengannya. Isi kandungan perjanjian dapat dibahagikan kepada tiga janji utama: Pertama, janji tentang keturunan. Kedua, janji tentang bangsa-bangsa. Ketiga, janji tentang warisan.
1. Perjanjian pertama: Janji tentang keturunan
Keturunan: Ishak → Yakub → (Musa) Bangsa Israel → (Yesus) Semua bangsa
Masalah pertama yang dihadapi oleh Abraham pada masa itu ialah – dia dan Sara belum ada keturunan. Oleh itu, janji tersebut sangat mengejutkan Abraham. Sebelum “Kejadian” fasal 15 iaitu sebelum Tuhan berjanji kepadanya untuk memiliki keturunan, dia sudah lama ingin menjadikan anak Eliezer, hambanya sebagai ahli warisnya. Setelah itu, imannya hilang dan dia mengahwini Hagar menurut kehendak isterinya Sara lalu melahirkan Ismael. Oleh itu, apabila Tuhan secara formal mengadakan perjanjian dengan dia dan berjanji bahawa dia akan menjadi bapa sejumlah besar bangsa, dia menyangka bahawa janji tersebut ditujukan kepada Ismael. Tuhan sendiri mengatakan kepadanya dengan jelas bahawa Ishak akan dilahirkan sebagai ahli warisnya ketika dia berusia seratus tahun. Pada satu sisi, Tuhan mahu memberitahu Abraham bahawa ketika Sara tidak dapat melahirkan anak, Tuhan dengan jelasnya memberikan seorang anak lelaki kepadanya untuk membuktikan bahawa janji-janji Tuhan tidak ada yang tidak dipenuhi. Pada satu sisi yang lain, Tuhan juga memberitahu Abraham bahawa janji Tuhan adalah daripada yang diberikan oleh Tuhan, bukan daripada yang dilahirkan dengan kehendak manusia.
Hakikatnya, Tuhan mengatur Abraham untuk menjadi permulaan bagi pemilihan sistematik. Tujuannya adalah supaya Tuhan dapat menjadi manusia serta menyelesaikan rancangan penyelamatan dan penebusan-Nya melalui keturunan Abraham. Dengan kata yang lain, tujuan janji tersebut akan digenapi dalam Yesus. Ishak dilahirkan berdasarkan janji Tuhan, dan begitu juga Yesus iaitu dilahirkan melalui nubuat Tuhan dan para nabi. Yesus bahkan dilahirkan oleh perawan dua ribu tahun selepas Abraham berdasarkan janji. Janji ini jauh lebih besar daripada Sara melahirkan Ishak.
Ishak kemudiannya melahirkan Esau dan Yakub. Tuhan mengasihi Yakub dan sebaliknya membenci Esau. Peristiwa keluar daripada logik tentang anak sulung mewarisi harta pusaka ayahnya sekali lagi menunjukkan kedaulatan yang dijanjikan. Tuhan memilih Yakub untuk menjadi permulaan bagi perubahan daripada iman kepercayaan keluarga kepada iman kepercayaan bangsa. Melalui Musa, Tuhan memimpin orang Israel keluar dari Mesir, dan kemudian membentangkan hukum Taurat di Gunung Sinai, menggabungkan ibadah keagamaan, norma sosial dan kekuatan politik. Dalam puluhan tahun yang singkat tersebut, Tuhan menjadikan keturunan kumpulan nenek moyang ini sebagai bangsa yang berpegang pada perjanjian.
Kedatangan Yesus menjadikan perjanjian keturunan tersebut lebih lengkap kerana Abraham dapat benar-benar menjadi bapa sejumlah besar bangsa melalui Yesus. Perjanjian tersebut pada asalnya adalah tentang menjadi keturunannya melalui pertalian darah dan dengan bersunat. Walau bagaimanapun, pada masa ini, semua bangsa dapat menjadi orang Israel secara rohani dan menikmati perlindungan Tuhan hingga hari kedatangan Tuhan kerana iman dan melalui Sakramen Pembaptisan. “Tuhan menghendaki supaya semua orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan akan kebenaran.” Demikianlah tujuan utama perjanjian keturunan.
2. Perjanjian kedua: Janji tentang bangsa-bangsa dan raja-raja
Bangsa-bangsa: Daud → Salomo → Rehabeam → Perpecahan kerajaan beraja → Berakhirnya kerajaan beraja → Yesus (Raja di atas segala raja), Pembentukan kerajaan Israel yang rohani
Ketika Daud mengangkat tabut ke Yerusalem, dia mengarang mazmur untuk memuji Tuhan terutama memuji dan bersyukur kepada Tuhan kerana menepati perjanjian. “… Ia ingat untuk selama-lamanya akan perjanjian-Nya, firman yang diperintahkan-Nya kepada seribu angkatan, yang diikat-Nya dengan Abraham…” (Mzm 105:8-9). Dalam hal janji tentang bangsa-bangsa dan raja-raja, Tuhan memenuhi perjanjian kedua-Nya dengan Abraham dengan cara “Janji-janji Tuhan kepada para nenek moyang direalisasikan dan diperbaharui dalam Daud” (Mendenall, 1962, p.t718). Selain itu, Tuhan memberikan berkat tambahan kepada Daud iaitu menjadikan kelangsungan takhta kerajaannya sebagai kontrak perjanjian lalu memperkayakan janji-Nya kepada Daud. Oleh itu, Tuhan berfirman: “Keluarga dan kerajaanmu akan kokoh untuk selama-lamanya di hadapan-Ku, takhtamu akan kokoh untuk selama-lamanya.” (2 Sam 7:16).
Walau bagaimanapun, penulis pernah bingung bahawa kemunculan sistem kerajaan tidak memperbaiki hubungan antara Tuhan dengan manusia. Sebaliknya, demi memperuntukkan lebih banyak sumber, pemerintah yang memegang sistem kerajaan sering menggunakan sistem tersebut untuk menghapuskan penghalang yang menghalang mereka daripada “mendapatkan lebih banyak”. Perkara yang lebih mengecewakan ialah raja-raja ini sering meletakkan modal kerajaan Israel iaitu Tuhan di luar sistem. Ada raja yang memimpin umat untuk mempercayai tuhan-tuhan asing, ada raja yang mengusir bahkan membunuh para nabi dan imam, ada raja yang memasukkan imam ke dalam sistem dan menjadikannya sebagai totem iman kepercayaan di bawah kawalan pentadbiran. Walaupun ada beberapa orang raja seperti Yosafat, Hizkia, Yosia … yang berusaha menggunakan undang-undang sistem kerajaan untuk mengembalikan iman kepercayaan rakyat, namun kesannya sangat terbatas. Mengapa pula Tuhan ingin membangkitkan bangsa-bangsa dan raja-raja untuk menunaikan janji-Nya?
Sebenarnya, titik akhir perjanjian bagi janji tentang kerajaan dan raja tersebut tidak digenapi dalam Daud tetapi dalam Yesus. Dengan pembentukan sistem kerajaan, kesatuan pemilihan Tuhan yang sistematik terhadap umat Israel duniawi dapat dipertahankan melalui politik pemusatan raja-raja walaupun berhadapan dengan banyak orang asing di Palestin. Selain itu, Tuhan menetapkan para imam untuk memelihara ibadah agama Yahudi dan memilih para nabi untuk melakukan yang terbaik untuk menentang kuasa dosa serta menjaga standard moral umat. Tindakan tersebut adalah supaya janji tentang Yesus datang daripada keturunan Daud tidak akan terputus.
Dari segi tubuh jasmani, Yesus merupakan keturunan Daud. Namun tujuan-Nya bukan untuk memulihkan kerajaan Israel duniawi yang didirikan melalui tekanan sosial oleh kuasa awam dan kuasa politik. Sebaliknya, Dia menghubungkan orang-orang yang dibenarkan oleh iman untuk menjadi negara Israel rohaniah iaitu gereja / jemaat kepunyaan Tuhan. Demi menyelesaikan rancangan penyelamatan dan penebusan-Nya, maka terdapat perbezaan pelayanan dalam organisasi gereja. Tetapi pada dasarnya, setiap orang menjadikan Yesus sebagai raja dan setiap orang ialah umat kepunyaan-Nya secara langsung. Pelayanan ini boleh dikatakan sebagai “organisasi” dengan tahap pengurusan yang sedikit tetapi jajaran pengurusan yang besar (flat management) di seluruh dunia dan juga merupakan hubungan atas bawah yang paling langsung di seluruh dunia.
3. Perjanjian ketiga: Janji tentang warisan
Warisan: Tanah Kanaan → (Yosua) → Kemusnahan negara → Kerajaan syurga
“Ulangan” merupakan karya Musa ketika dia hampir meninggal dunia dan dituliskan untuk mengulangi perintah-perintah Tuhan kepada generasi kedua umat Israel yang keluar dari Mesir. Ketika mereka bakal memasuki Kanaan, negeri yang baik yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka, Musa khususnya menekankan dua konsep: Pertama, negeri tersebut ialah “negeri yang dimiliki”. Kedua, negeri tersebut ialah “tempat perhentian”.
Tanah Kanaan ialah tanah milik Tuhan (1 Sam 26:19, Yos 22:19). Oleh itu, terdapat 69 kali catatan dalam kitab “Ulangan” mengenai “Israel akan ‘mendapat’ dan ‘memiliki’ negeri yang telah dijanjikan” iaitu hadiah yang dijanjikan oleh Tuhan kepada Abraham, Ishak dan Yakub. Terdapat juga 25 catatan dalam “Ulangan” yang mencatatkan negeri itu merupakan hadiah daripada Tuhan – “negeri yang diberikan kepada kami oleh TUHAN” dan hadiah yang dijanjikan itu hanya digenapi semasa Yosua memimpin umat Israel memasuki tanah Kanaan. Oleh itu, mereka memiliki negeri yang dijanjikan itu daripada Tuhan lalu mereka berkembang biak dan membina kediaman di situ. Kemudian, mereka berkembang daripada satu bangsa yang berterabur / berpecah-pecah kepada sebuah negara yang lengkap.
Selain itu, Musa menyebut negeri yang dijanjikan itu sebagai “tempat perhentian” dalam “Ulangan” (Ul 12:9). Janji ini ialah klausa tambahan. Sebelum itu, Tuhan tidak menyebutkan kepada nenek moyang bahawa mereka akan mendapat perhentian / istirahat apabila mendapat negeri tersebut. Janji ini ditambahkan kepada mereka pada masa tersebut. Sebenarnya, generasi kita dapat memahami bahawa orang Israel telah mengembara di padang gurun dan tiada tempat tinggal yang tetap untuk selama 40 tahun pada masa itu. Dalam kalangan umat yang tinggal, selain daripada beberapa orang tua, mereka tidak pernah menikmati kehidupan bahagia yang damai dan tenang dengan mempunyai negeri / tanah sendiri. Mereka seperti pengembara yang telah meninggalkan kampung halamannya dan mengembara ke merata tempat yang tidak sabar untuk balik ke kampung halamannya dan menikmati perhentian / istirahat bagai sirih pulang ke gagang.
Dan Tuhan mengaruniakan kepada mereka keamanan ke segala penjuru, tepat seperti yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka. Tidak ada seorangpun dari semua musuhnya yang tahan berdiri menghadapi mereka; semua musuhnya diserahkan TUHAN kepada mereka. Dari segala yang baik yang dijanjikan TUHAN kepada kaum Israel, tidak ada yang tidak dipenuhi; semuanya terpenuhi. (Yos 21:44-45)
Walau bagaimanapun, ketika orang Israel memberontak terhadap ajaran Tuhan, Tuhan menggunakan kaedah yang sangat istimewa untuk memulihkan iman kepercayaan mereka iaitu kemusnahan negara dan keluarga. Negeri yang diberikan oleh Tuhan dihancurkan dan dirosakkan oleh bangsa asing, janji tentang negeri yang dimiliki dan tempat perhentian juga hancur. Bahkan pada akhirnya, umat Israel tersebar di luar dan tinggal di tempat lain selama hampir dua ribu tahun. Bukankah peristiwa tersebut merupakan gambaran manusia? Tahun-tahun pengembaraan manusia sebagai orang asing hanyalah selama beberapa dekad “dan kebanggaannya adalah kesukaran dan penderitaan; sebab berlalunya buru-buru, dan kami melayang lenyap.” Oleh itu, Tuhan akhirnya menggenapkan janji warisan tersebut di tanah air yang lebih baik – kerajaan syurga iaitu tempat yang hanya dilihat dari jauh oleh nenek moyang yang telah mati dalam iman (Ibr 11:13-16) untuk melaksanakan kontrak-Nya dengan nenek moyang.
Maka tidak hairanlah penulis kitab “Ibrani” berkata: “Jadi masih tersedia suatu hari perhentian, hari ketujuh, bagi umat Allah. Sebab barangsiapa telah masuk ke tempat perhentian-Nya, ia sendiri telah berhenti dari segala pekerjaannya, sama seperti Allah berhenti dari pekerjaan-Nya.” (Ibr 4:9-10). Yesus kini sedang menyediakan tanah air yang lebih baik ini bagi kita. Saksi-saksi iman yang telah mati dalam iman sedang menunggu ketibaan hari itu di Firdaus, menunggu kita untuk “masuk” bersama dan memasuki perhentian / istirahat yang kekal. Demikianlah titik noktah yang paling sempurna dan indah bagi perjanjian yang dijanjikan oleh Tuhan kepada nenek moyang.