MISTERI PENDERITAAN ORANG BENAR
(Pendeta Lai Ying Fu)
KATA PENGANTAR
Sejak nenek moyang manusia berbuat dosa, seluruh bumi telah dikutuk oleh Tuhan dan dunia penuh dengan penderitaan. Oleh itu, dinyatakan bahawa: “manusia menimbulkan kesusahan bagi dirinya, seperti bunga api berjolak tinggi” (Ayb 5:7). Dunia ialah lautan penderitaan dan ada penderitaan dalam hidup manusia. Realiti ini dipersetujui oleh semua orang. Penderitaan muncul tanpa henti dan dalam berjuta-juta keadaan. Dunia penuh dengan musibah. Namun, ada orang berhak atas dosa mereka kerana kerbau menanduk, kerbau pergi. Mereka umpama lanyau di air, sebarang tertadung menjadikan daki. Ada pula orang yang menderita tanpa bersalah dan tanpa diketahui sebabnya sehingga mereka berasa bingung. Isi kandungan kitab Ayub sebanyak 42 fasal sangat kaya dan mempunyai gaya yang unik. Tujuan utamanya adalah untuk menyelesaikan persoalan penting hidup manusia: “Mengapa orang benar menderita?”
Kitab Ayub merupakan sebuah kitab hikmat tentang penderitaan yang memberikan pencerahan yang besar kepadaumat manusia. Sebagai contoh, ada penderitaan di dunia, hidup manusia pasti menderita, rahsia dunia rohani, model imankepercayaan, prinsip kehidupan, pembangunan penyempurnaan rohani, pengakhiran penderitaan, kehendak baik Tuhan yang benar, kekejaman Iblis, dan lain-lain. Kitab ini juga membincangkan pengetahuan saintifik dan falsafah hidupmanusia. Bagi seorang Kristian yang ingin mengenali Tuhan, kitab ini mempunyai nilai penting untuk kajian dan penyelidikan.
Kitab Ayub merupakan karya sastera tertua dan terhebat di dunia. Penulis-penulis Barat memuji kitab ini: “Kitab Ayub merupakan karya agung terhebat yang dihasilkan dalam pemikiran manusia.” (Hugo), “Kitab Ayub merupakan piramid dalam kesusasteraan dunia” (Philip, Siab). Gaya penulisannya cantik, isi kandungannya luas dan merangkumi semua genre. Kitab ini mempunyai struktur novel, drama, artikel, dan puisi. Terdapat banyak kebenaran berharga yang dapat difahami daripada baris-baris ayatnya sehingga pembaca yang menggemarinya dapat berasa puas semasa menikmatinya dengan teliti.
PENULIS KITAB AYUB
Nama Ayub bermaksud penderitaan dan kesesakan. Gulungan kitab ini diberikan nama sempena nama protagonis iaitu Ayub. Kitab ini menggambarkan pengalaman hidup Ayub yang ajaib dan menakjubkan. Kitab ini mengajar manusia untuk memahami bahawa penderitaan tidak semestinya disebabkan oleh dosa, dan penderitaan mengandungi kehendak Tuhan. Oleh sebab isi kandungan gulungan kitab ini benar dan mendalam seperti pengalaman peribadi, maka adalah sangat sukar untuk membuat penerangan yang teliti dan terperinci seperti itu jika bukan dituliskan oleh protagonisnya sendiri. Tambahan pula, Ayub telah hidup selama 140 tahun lagi selepas penderitaan dan mempunyai masa yang cukup untuk menulis. Dia juga meluahkan sepenuhnya segala perasaan dan tragedi serta rungutan dan kelemahannya. Semua ini membolehkan pembaca merasakan perjalanan emosi dan mental sebenar Ayub.
Selanjutnya, nama Ayub disebutkan dengan jelas dalam kitab Yehezkiel. Namanya digandingkan dengan Nuh dan Daniel (Yeh 14:14,20). Kitab Yakobus membicarakan ketekunan Ayub (Yak 5:11). Nampaknya, Ayub sememangnya wujud, bukan sekadar fiksyen, dan kesaksiannya benar. Walaupun ada orang yang berpendapat bahawa kitab ini ditulis oleh Musa, Elia, atau seseorang pada zaman Salomo, tetapi tidak ada bukti yang cukup bagi pendapat ini. Oleh itu, pendapat bahawa kitab ini merupakan karya Ayub sendiri dianggap paling dipercayai. Jika tidak, kitab ini dirakamkan oleh Elihu yang mendengar bicara orang tua dengan senyap di samping Ayub dan tiga orang sahabatnya (Ayb 32:4-7).
LATAR BELAKANG KITAB AYUB
A. Watak utama kitab
Kitab Ayub dituliskan dengan dipahat di atas batu dengan besi pengukir. Hal ini dapat mencerminkan kekunoan latar belakang zamannya. Dalam catatan Septuaginta, menurut legenda kuno, Ayub merupakan anak Zerah dalam kitab Kejadian, iaitu cucu Esau dan cucu Abraham keturunan yang kelima (Kej 36:10,13,33). Jika demikian, Ayub ialah raja tanah Edom yang kedua, Yobab (Kej 36:33), seperti yang disimpulkan oleh rabi Yahudi. Ada juga orang yang berpendapat bahawa protagonis kitab ini, Ayub merupakan anak lelaki ketiga bagi anak lelaki kesembilan Yakub, Isakhar (Kej 46:13), tetapi maksud asal “Ayub” di sini ialah “pulang, kembali”. Maksud ini tidak sama dengan maksud “Ayub” dalam kitab Ayub. Jadi, pendapat yang pertama adalah lebih masuk akal.
B. Zaman kitab
Jelas sekali, latar belakang kitab ini adalah pada zaman kepala-kepala kaum yang jarak masanya sekitar 3500 – 3700 tahun yang lalu dari masa sekarang. Hal ini kerana usia Ayub hampir sebaya dengan kepala-kepala kaum pada masa itu, duit kesita (Ayb 42:11) dan alat muzik (Ayb 21:12, 30:31) yang digunakan pada masa itu adalah sama dengan yang digunakan pada zaman Kejadian.
Kitab ini tidak menyebutkan sejarah umat Israel, juga tidak mencatatkan ritual keagamaan dan sistem umat pilihan, atau ibadah imam. Ayub hanya memberikan persembahan korban bakaran dengan status sebagai ketua keluarga dan hamba Tuhan. Korbannya dipersembahkan kepada Tuhan dalam unit “tujuh” (Ayb 1:5, 42:8,9). Nampaknya, ritual ini merupakan ritual ibadah kuno. Tambahan pula, bilangan ternak digunakan sebagai piawaian untuk mengira harta benda pada waktu itu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa zaman kitab ini pastinya adalah sebelum zaman hukum Taurat Musa, dan setelah Nuh keluar dari bahtera serta mempersembahkan korban. (Kej 7:1-4, 8:20).
C. Lokasi kejadian
Pada zaman dahulu, banyak nama kepala kaum digunakan sebagai nama tempat. Us merupakan cucu Sem dan anak Aram (Kej 10:23; 1 Taw 1:17). Tanah Us merupakan tempat kediaman Us bin Aram. Tanah Us mungkin berada di perbatasan di antara Palestin dan Arab, membentang dari utara ke timur, dari timur hingga ke sungai Efrat. Ada orang yang menganggap tanah Us sebagai tanah Edom di sebelah tenggara tanah Kanaan. Menurut legenda kuno, kampung halaman Ayub berada di dataran di sebelah timur laut Galilea. Tanah itu subur dan kaya dengan gandum. Tanah itu dahulunya terkenal dengan penduduk yang padat tetapi kini telah terbiar.
Walau bagaimanapun, kitab ini memiliki suasana kehidupan nomad yang kuat pada zaman kuno. Wataknya merupakan keturunan awal Abraham. Lokasinya terletak di sebelah timur tanah Kanaan. Zaman ini merupakan masa ketika orang Israel tinggal di Mesir sebagai orang asing.
PEMBAHAGIAN KITAB
A. Ayub, orang benar dicubai
- Kemakmuran Ayub (1:1-5)
- Tuhan mengizinkan cubaan Iblis (1:6-12)
- Kehilangan kekayaan dan kematian manusia (1:13-22)
- Barah yang busuk pada badan (2:1-10)
- Penghiburan oleh tiga orang sahabat (2:11-13)
- Mengutuk diri sendiri dan mencari maut (fasal 3)
B. Perbahasan antara Ayub dengan tiga orang sahabat
- Perbahasan kali pertama (fasal 4 – 14)
- Perbahasan kali kedua (fasal 15 – 20)
- Perbahasan kali ketiga (fasal 22 – 31)
C. Teguran dan ajaran Elihu (32 – 37)
D. Nasihat daripada Yang Maha Kuasa
- Tuhan mempersoalkan Ayub dengan penciptaan segala sesuatu yang ajaib (fasal 38 – 41)
- Ayub merendahkan diri dan mengakui dosa-dosanya kepada Tuhan (39:34-38, 42:1-6)
- Ayub menerima berkat berlipat ganda (fasal 42)
NOTA KAJIAN
Kitab Ayub disusun di bahagian tengah Alkitab Perjanjian Lama dan merupakan yang pertama daripada lima kitab hikmat. Kitab ini membolehkan manusia memahami sebab, makna dan faedah penderitaan serta memahami perasaan penderitaan, mentaliti penganiayaan, dan emosi kemarahan orang yang menderita. Tujuannya adalah supaya manusia lebih mengenali kebesaran Tuhan yang sebenar, lebih memahami kelemahan manusia dan memperoleh hikmah rohani daripadanya untuk membangun kerohanian. Sebelum mengkaji dan membincangkan kitab ini, konsep-konsep yang tertentu seperti berikut harus difahami:
A. Fahami sifat Satan / Iblis (Why 12:9) – membezakan antara kebaikan dengan kejahatan
“Satan” bermaksud melawan dan menentang. Pemikiran dan tindakannya secara khusus menentang Tuhan. Satan pada mulanya merupakan malaikat yang berbuat dosa dan Iblis yang mencelakakan manusia. “Iblis” bermaksud mengumpat dan memfitnah. Ia bukan hanya mengutuki Tuhan di hadapan manusia, tetapi juga mengumpat dan menuduh manusia di hadapan Tuhan. Ia juga disebut “naga besar” yang bermaksud melahap dan kekejaman. Ia ingin memperlakukan manusia dengan kejam dan menelan anak Tuhan. Naga besar ialah si ular tua. “Ular tua” mempunyai maksud kecekapan / cerdik dan tipu daya / penyesatan. Ia akan menipu manusia dengan licik supaya seluruh bumi disesatkan. Oleh itu, ada sarjana yang membuat tafsiran sedemikian: “Satan / Iblis telah menjadi pemeriksa umat manusia bagi Tuhan di bumi, tetapi ia telah menjadi musuh ketat manusia di syurga.”
B. Penderitaan bukanlah secara kebetulan – jangan bersungut-sungut
“Karena bukan dari debu terbit bencana dan bukan dari tanah tumbuh kesusahan;” (Ayb 5:6). Penderitaan tidak menimpa secara kebetulan. Dalam dunia rohani yang tidak kelihatan di sebalik penderitaan, Satan / Iblis dan Tuhan sudah berdebat. Jika Tuhan tidak bersetuju, penderitaan tidak akan menimpa. Oleh itu, orang Kristian menghadapi penderitaan atas kerelaan dan penentuan Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh Yusuf: “… tetapi Allah telah mereka-rekakannya untuk kebaikan, dengan maksud melakukan seperti yang terjadi sekarang ini, yakni memelihara hidup suatu bangsa yang besar.” (Kej 50:20).
C. Penderitaan ada batasannya – dapat menanggungnya dengan bersandarkan Tuhan
Tuhan berfirman kepada Iblis: “Nah, segala yang dipunyainya ada dalam kuasamu; hanya janganlah engkau mengulurkan tanganmu terhadap dirinya.”, “Nah, ia dalam kuasamu; hanya sayangkan nyawanya.” (Ayb 1:12, 2:6). Nampaknya, ujian yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia ada batasannya. Dia tidak akan pernah membiarkan kita menderita melampaui kekuatan kita (1 Kor 10:13). Jika penderitaan itu melampaui kekuatan kita, Dia akan selalu memberikan jalan keluar kepada kita supaya kita dapat menanggungnya. Oleh itu, orang yang percaya kepada Tuhan ada Tuhan sebagai sandaran. Kita boleh menyerahkan segala kekhuatiran kepada Tuhan, sebab Tuhan yang memelihara kita (1 Ptr 5:7).
D. Harus memahami kerelaan Tuhan – hati penuh pengharapan
Tuhan yang murah hati mengasihi umat-Nya. Dia menghendaki supaya semua orang diselamatkan dan memasuki Kerajaan Syurga. Dia berharap agar semua orang dapat berusaha untuk menjadi sempurna seperti Bapa (Mat 5:48). Untuk tujuan ini, Dia menguji iman manusia dengan menggunakan berbagai-bagai cubaan. Manusia dituntut untuk bertahan sampai pada kesudahannya supaya menjadi sempurna dan utuh seperti emas tua yang diuji kemurniannya dengan api agar dapat menerima Kerajaan Syurga yang tidak dapat binasa untuk selama-lamanya. Di samping itu, bertekun dalam ujian dengan bersandarkan Tuhan dapat menyatakan kemuliaan Tuhan (1 Ptr 1:3-7).
E. Sebab Tuhan bersetuju dengan cubaan Iblis – pasti dipelihara oleh Tuhan
Setelah Tuhan memuji Ayub, manusia yang soleh itu, Tuhan berbangga dengan Ayub. Iblis pula mencemburuinya dan mula mencari alasan untuk mengadukannya. Namun, sebab Tuhan bersetuju dengan cubaan Iblis ke atasAyub adalah untuk membuktikan kesetiaan umat kudus terhadap Tuhan – kesetiaan iman kepercayaan Ayub. Sekiranya Tuhan terus menolak tuduhan Iblis, maka bukankah pujian Tuhan terhadap Ayub menjadi dusta?
Tambahan pula, jika Ayub tidak tahan uji lalu meninggalkan Tuhan, Iblis dapat membuktikan bahawa tuduhan itu benar. Atas sebab ini, Tuhan membenarkan Iblis menyerang Ayub. Walau bagaimanapun, Dia akan memikul kelemahan manusia (Mat 8:17). Dia memelihara Ayub dengan kebenaran yang terbatas.
F. Pandangan manusia yang salah tentang penderitaan – mudah jatuh ke dalam cubaan
Empat orang sahabat Ayub – Elifas, Bildad, Zofar, dan Elihu mewakili makna dan pandangan yang dapat diungkapkan oleh semua manusia mengenai bencana alam dan malapetaka manusia yang merosakkan kestabilan dan kebahagiaan Ayub. Namun, penghakiman yang dibuat oleh tiga orang sahabat sebelum itu sangat dibatasi oleh sikap kejam. Mereka memberikan penjelasan yang pasti dengan mencampuradukkan penderitaan dengan dosa kejahatan sehingga Ayub tidak dapat menanggungnya dari mula sampai akhir. Jadi dia berkeras untuk berbantah dan menafikan penghakiman mereka yang sesat. Nampaknya, pandangan manusia tidak cukup untuk memahami persoalan penderitaan dengan tepat. Maka, kita tidak boleh menghakimi orang yang menderita secara sembarangan. Seperti kata Ayub: “Siapa menahan kasih sayang terhadap sesamanya, melalaikan takut akan Yang Mahakuasa.” (Ayb 6:14). Memperlakukan orang yang menderita dengan kasih merupakan sikap yang paling betul.
G. Keprihatinan yang tidak realistik adalah yang paling sukar untuk ditangani – mudah tidak dapat melawan
Kehilangan kekayaan, kematian anak, dan barah yang busuk di seluruh badan merupakan penderitaan yang sangat besar. Namun Ayub dapat menghadapinya dengan iman yang teguh. Walau bagaimanapun, kata-kata tiga orang sahabatnya yang kelihatan seperti bersimpati dan prihatin telah mengacau pertimbangan waras Ayub yang sebelum itu tidak dirosakkan oleh semua malapetaka. Nampaknya, serangan musuh yang kelihatan dapat ditangani dengan baik, tetapi kebaikan atau keprihatinan saudara-mara dan rakan-rakan yang tidak realistik sering menyebabkan kita tidak dapat melawan dan sukar untuk ditangani. Jelas sekali, pemercaya sejati mungkin masih dapat menangani serangan Iblis yang berbahaya, tetapi taktik-taktik peliknya iaitu serangan bijaksana melalui saudara-mara dan rakan-rakan sering menyebabkan orang berasa tidak terdaya. Demikianlah kelemahan sifat manusia.
H. Perkara yang paling sukar untuk dipelajari dalam hidup ialah mengenali diri sendiri – begitu degil dan keras kepala
Benar-benar mengetahui kenaifan dan keterbatasan sendiri merupakan pelajaran yang paling sukar dalam hidup. Hakikatnya, fokus perbahasan antara Ayub dengan sahabat-sahabatnya adalah bahawa mereka mempunyai pendapat masing-masing, tidak mahu bertoleransi, menganggap diri sendiri betul dan tidak ada kesimpulan. Oleh yang demikian, Tuhan terpaksa campur tangan. Maka Tuhan menjawab Ayub dari dalam badai dan mencari-carinya. Tuhan mahu dia berfikir dan mencari jawapan sendiri sehingga dia memandang Tuhan dengan matanya sendiri serta mengetahui kebodohan diri, pembenaran diri, dan kedegilannya sendiri lalu mencabut perkataannya dan dengan menyesal dia duduk dalam debu dan abu. Tuhan juga menegur tiga orang sahabatnya kerana kata-kata mereka tidak seperti Ayub, dan mereka harus mempersembahkan korban bakaran untuk diri mereka sendiri (Ayb 38:1 – 42:9). Nampaknya, hanya peringatan dan tindakan Tuhan saja yang dapat membuatkan manusia benar-benar mengenali diri sendiri.
I. Mengapa Ayub yang soleh harus diuji? – menampakkan pembenaran dirinya
Kekurangan Ayub ialah “hati orang benar yang membenarkan diri sendiri”. Kekurangannya ini memang tahi minyak yang sangat sukar untuk disingkapkan. Tetapi semasa berada dalam penderitaan, pembenaran dirinya terserlah dalam perbahasannya dengan sahabat-sahabatnya. Dalam fasal 29 – 31, kita boleh mendapati bahawa Ayub mengatakan “aku” sebanyak 174 kali, 47 kali “aku” yang makmur dalam fasal 29, dan 75 kali “aku” yang melakukan perbuatan baik dalam fasal 31. Hal ini menunjukkan betapa hebatnya konsep membenarkan diri sendiri dalam hati orang yang berpusatkan dirinya sendiri! Oleh itu, Tuhan membenarkan Iblis menyerangnya dan merendahkan hatinya. Tujuannya adalah untuk menghapuskan sifat sombong orang soleh yang membenarkan diri sendiri agar dia menjadi pemercaya sejati rohani yang rendah hati, mengosongkan diri, taat, dan sempurna.
J. Kitab Ayub menyelesaikan misteri penderitaan bagi orang benar – supaya hidup rohani lebih maju
Kitab ini membolehkan orang Kristian memahami bahawa:
- Pemercaya yang baik tidak kebal daripada penderitaan. Penderitaan tidak semestinya disebabkan oleh dosa, tetapi Tuhan ingin membangun orang benar supaya mereka menjadi murni dan kudus serta memuliakan Tuhan dan memberikan manfaat kepada manusia.
- Semakin baik pemercaya, semakin kuat imannya, dan semakin dapat bertahan dengan ujian, maka lebih berat cubaannya. Banyak orang tidak tahan uji kerana kelemahan mereka, dan mereka bahkan tidak berpeluang untuk
- Semakin diuji, iman pemercaya semakin teguh sehingga perjalanan rohaninya bertambah maju, sempurna tak bercacat, dan memenuhi syarat untuk menerima kemuliaan Kerajaan Syurga yang jauh lebih baik.
SOROTAN ISI KANDUNGAN
A. Keindahan hari-hari yang indah – sebelum penderitaan
- Kaya dan baik keadaannya (Ayb 1:2-4, 29:6)
- Disegani dan terkemuka (Ayb 29:7-11,19-20,25)
- Ada belas kasihan dan kebenaran (Ayb 29:12-17)
- Hikmat terbaik (Ayb 29:21-25)
B. Perbahasan dunia kerohanian – punca penderitaan
- Perbahasan pertama (Ayb 1:6-12)
- Perbahasan sekali lagi (Ayb 2:1-6)
C. Berbagai-bagai cubaan – dalam penderitaan
- Kehilangan kekayaan dan kematian anak (Ayb 1:13-19)
- Barah yang busuk di seluruh badan (Ayb 2:7-10)
- Difitnah dan ditegur (Ayb 2:9, 4:6-9, 8:4-5, 22:5-11)
- Ditolak oleh saudara-mara dan sahabat-sahabat (Ayb 19:13-19, 30:1-16)
D. Perbahasan sesama manusia – teori penderitaan
- Kitaran pertama: perbicaraan satu lawan tiga (Ayb 3:1 – 14:22)
- Kitaran kedua: perbicaraan satu lawan tiga (Ayb 15:1 – 21:34)
- Kitaran ketiga: perbicaraan satu lawan dua (Ayb 22:1 – 31:40)
- Perkataan Elihu (Ayb 32:1 – 37:24)
E. Jawapan Tuhan – misteri penderitaan
- Mula-mula menyoal Ayub tentang penciptaan segala isi alam semesta yang ajaib untuk memberikan kesaksian tentang kebesaran Tuhan. Kemudian, Tuhan menyoalnya tentang ciri-ciri luar biasa binatang di bumi untuk memberikan kesaksian tentang kemuliaan Tuhan. Tujuannya adalah supaya Ayub mengakui kehinaan dan kejahilan dirinya (Ayb 38:1 – 39:38).
- Tuhan juga menyoal Ayub tentang orang yang congkak serta kegagahan dan kekuatan kuda Nil dan buaya untuk memberikan kesaksian tentang kekuasaan besar Tuhan yang mengaturkan segala sesuatu supaya Ayub benar-benar mengenal Tuhan, membenci kelemahan dan pembenaran dirinya sendiri serta mencabut perkataannya, dan dengan menyesal dia duduk dalam debu dan abu (Ayb 40:1 – 42:6).
- Empat pemahaman Ayub:
- Ketahui kuasa Tuhan (Ayb 42:2a)
- Ketahui kehendak Tuhan (Ayb 42:2b)
- Matanya sendiri memandang Tuhan yang benar (Ayb 42:5)
- Kenali kelemahan sendiri (Ayb 42:6)
F. Berkat Tuhan – selepas penderitaan
- Kasih sayang keluarga yang meluap-luap (Ayb 42:11)
- Harta kekayaan yang berganda (Ayb 42:12)
- Melahirkan anak-anak lagi (Ayb 42:13-15)
- Panjang umur dan diberkati (Ayb 42:16-17)
- Kerohanian bertambah maju (Ayb 23:10, 42:5)
KESIMPULAN
Yakobus menasihati kita: “Saudara-saudara, turutilah teladan penderitaan dan kesabaran para nabi yang telah berbicara demi nama Tuhan. Sesungguhnya kami menyebut mereka berbahagia, yaitu mereka yang telah bertekun; kamu telah mendengar tentang ketekunan Ayub dan kamu telah tahu apa yang pada akhirnya disediakan Tuhan baginya, karena Tuhan maha penyayang dan penuh belas kasihan.” (Yak 5:10-11).
Kisah Ayub menghiburkan orang-orang benar yang menderita tanpa sebab supaya mereka memahami bahawa penderitaan sering kali merupakan serangan cubaan Satan / Iblis terhadap orang benar. Tuhan membenarkan perbuatan dan serangan cubaan Satan / Iblis terhadap orang-orang benar kerana rasa hormat dan kepercayaan-Nya terhadap orang-orang benar. Dia yakin bahawa kualiti mereka tidak akan berubah kerana penderitaan. Tuhan juga akan membawa orang-orang benar ke alam rohani yang lebih tinggi melalui ujian penderitaan.