PANDANGAN KRISTIAN TENTANG PENDERITAAN

PANDANGAN KRISTIAN TENTANG PENDERITAAN

(Pendeta Wu Yong Shun)

 

PENGENALAN

Penderitaan ialah persoalan yang tidak mudah untuk dibincangkan atau digambarkan. Hal ini kerana kita tidak dapat membincangkan persoalan tentang penderitaan tanpa pengalaman. Penderitaan bukan abstrak, juga bukan sejenis falsafah tindakan. Penderitaan itu hidup, ada daging dan darah, dan akan meninggalkan bekas luka pada manusia. Apabila angin penderitaan melanda, hanya sedikit orang yang tidak terpengaruh.

Kita ada pepatah “sudah basah kehujanan” untuk menggambarkan penderitaan yang berterusan. Alkitab pula mencatatkan: “melainkan manusia menimbulkan kesusahan bagi dirinya, seperti bunga api berjolak tinggi.” (Ayb 5:7). Ayat ini sangat sesuai untuk digunakan bagi menggambarkan dunia penderitaan masa kini. Berikut merupakan ayat-ayat terjemahan daripada beberapa versi yang berbeza:

  1. KJV “Yet man is born unto trouble, as the sparks fly upward.”
  2. RSV “but man is born to trouble as the sparks fly upward.”
  3. NIV “Yetmanis born to trouble as surely as sparks fly ”

Kita tahu daripada versi-versi di atas bahawa manusia dilahirkan dengan penderitaan yang tidak dapat dielakkan, sama seperti bunga api yang terus melambung ke atas. Tidak kira golongan bangsawan atau golongan bawahan, tidak ada yang terlepas.

 

ISI KANDUNGAN

A. PENDERITAAN IALAH TAKDIR UMUM UMAT MANUSIA 

“Tiada sakit, makan ubat” tidak akan dilakukan oleh manusia. Penderitaan selalu datang ke depan pintu. Penderitaan merupakan fakta kosmik, dan tidak ada seorang yang dapat melepaskan diri daripada cengkaman penderitaan. Penderitaan menimpa orang benar dan juga orang yang tidak benar. Penderitaan dan keluhan seluruh umat manusia hari ini mungkin telah melampaui mana-mana zaman dalam sejarah. Masalah pelarian, kebuluran besar di merata tempat, “sistem perhambaan” yang dikatakan telah dihapuskan tetapi sebenarnya masih wujud, kes-kes penindasan pekerja asing yang sering kedengaran, pelbagai penyakit mental, pergolakan emosi dan perasaan, pelbagai krisis perkahwinan, masalah pemberontakan belia, dan juga peperangan yang berlaku silih-berganti, insiden pengganas, isu tebusan, dan lain-lain telah mengelilingi seluruh pelosok dunia dalam pelbagai bentuk. Tidak kira sama ada anda seorang peniaga yang kaya atau seorang insan kerdil, tidak ada yang kebal daripada perkara-perkara ini. Seperti kata pelawak, mendiang Peter Sellers: “Di sebalik topeng setiap badut, ada kesedihan yang tidak diketahui dan sekeping hati yang berkecai.” Orang biasa dan umat Buddha selalu berfikir bahawa hidup manusia merupakan lautan yang pahit dan mereka berasa tidak berdaya tentang hidup. Mereka juga mengaitkan segalanya dengan hidup lalu dan hidup kini, iaitu membayar hutang pada hidup lalu dengan hidup kini. Atas sebab ini, mereka bersedia untuk memeras keringat, dan bahkan mempunyai slogan: “suka melakukannya dan bersedia menerima akibatnya”. Namun, orang Kristian tidak berpendapat demikian. Dalam kebanyakan masa, mereka menderita kerana menjadi orang Kristian. Sebilangan pemercaya bahkan menderita lebih banyak daripada orang biasa, tetapi mereka sanggup menderita untuk Kristus. Oleh itu, penderitaan ialah takdir umum umat manusia.

 

B. ASAL-USUL PENDERITAAN

Manusia selalu bertanya: “Mengapa kejahatan wujud di dunia? Bagaimana kejahatan berlaku? Mengapa Tuhan membiarkan kejahatan terus wujud dalam kalangan manusia? Mengapa manusia berdoa untuk kejahatan dimusnahkan dan keadilan ditegakkan, tetapi tidak dijawab? Mengapa pemercaya tidak dapat melepaskan diri daripada penderitaan dan penganiayaan?” Soalan-soalan ini tidak mudah untuk dijawab. Hakikatnya, kita hanya akan memahami sepenuhnya pada hari kita berhadapan muka dengan Tuhan. Walau bagaimanapun, Alkitab memberikan beberapa jawapan kepada kita untuk menjelaskan penderitaan manusia:

Sejak manusia datang ke dunia, dosa merupakan punca penderitaan manusia. Ketika seluruh proses penciptaan selesai, Tuhan melihat segala yang dijadikan-Nya itu “baik”, sangat baik, dan tidak ada penderitaan, kejahatan atau kesedihan di dalamnya. Tetapi hanya selepas beberapa ayat suci, kitab Kejadian fasal 3 telah menjelaskan punca penderitaan manusia: manusia telah menyimpang daripada rancangan Tuhan. Tuhan pada asalnya telah menyediakan satu persekitaran yang indah dan berkelimpahan untuk manusia, dan memberikan suatu keistimewaan kepada manusia iaitu dapat hidup bergaul dengan Tuhan dan mempunyai persekutuan yang hidup dengan Tuhan tanpa mana-mana campur tangan. Tetapi manusia tidak begitu berpuas hati dengan pengaturan Tuhan. Mereka ingin menjadi seperti Tuhan serta mempunyai kuasa dan pengetahuan Tuhan. Lantas, manusia terjatuh ke dalam perangkap godaan syaitan. Mereka memberontak terhadap Tuhan dan memakan buah larangan. Maksud “keruntuhan” manusia ialah manusia secara langsung melanggar perintah Tuhan. Semua orang, tidak kira pemercaya atau bukan pemercaya telah mewarisi kekurangan penderitaan yang berasal daripada nenek moyang bersama, Adam dan Hawa. Kita menyebut kekurangan ini sebagai “dosa”. Hari ini, dosa selalu ada dalam hati dunia yang huru-hara ini, seperti pada masa lalu dan zaman lalu. Hasil pemberontakan secara langsung terhadap Tuhan menimbulkan penghakiman Tuhan ke atas manusia seperti yang tercatat dalam kitab Kejadian fasal 3. Peristiwa-peristiwa ini terjadi dalam kitab Kejadian fasal 1 – 3. “Benih” penderitaan yang telah disemai menubuatkan kedatangan penderitaan dan maut. Kedua-dua perkara ini telah menyeksa dunia sejak itu. Kita dapat mengetahui asal usul dosa dan punca penderitaan manusia dari sini.

 

C. UMAT MANUSIA MENJAUHI TUHAN YANG BENAR

Dunia hari ini berada dalam huru-hara kerana dunia menolak Tuhan dan tatasusila moral yang telah ditetapkan oleh-Nya. Alkitab dengan jelas menunjukkan bahawa prinsip yang memelihara kehidupan dan kesatuan tingkah laku manusia turut diabaikan apabila manusia meninggalkan hukum Tuhan.

Apabila manusia sengaja menjauhkan diri daripada Tuhan, dia tidak hanya kehilangan tujuan dan makna hidup, tetapi juga menyangkal nilai fitrah manusia dan perkara-perkara lain yang menjadikan hidup bermakna. Kebanyakan manusia di dunia mengaku bahawa ada satu penguasa yang melampaui alam semula jadi dalam alam semesta, tetapi pemikiran dan tingkah laku kita tiada bezanya dengan pemikiran golongan ateis! Kita hidup menurut citarasa kita sendiri dan mengatur hidup kita menurut kehendak kita sendiri, seolah-olah Tuhan tidak wujud sama sekali. Kita wujud dalam dunia yang tidak mengakui kewujudan Tuhan. Apabila manusia mengambil jalan sendiri dan bertindak dengan cara mereka sendiri, maka tidak akan ada ketertiban dan kedamaian di dunia. Oleh sebab setiap orang bertindak sesuai dengan sifat jahat mereka, maka dunia akan menjadi lebih huru-hara dan tidak aman.

Manusia dilahirkan sebagai pengkhianat. Oleh sebab dia pengkhianat, maka dia main serobot. Dia akan menimbulkan konflik dengan setiap pengkhianat yang lain. Sifat pengkhianat ialah mementingkan diri sendiri dan hanya mencari kepentingan sendiri tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Kadang-kadang, manusia bahkan dapat menghasilkan sekumpulan teori yang langsung tidak sesuai dengan prinsip Alkitab berdasarkan penaakulan. Teori-teori ini nampaknya berkemungkinan untuk menyatukan umat manusia, dan bahkan membuatkan orang berasa teruja bagai gadis julung menumbuk. Namun, pendapat-pendapat ini hanya sementara bagai embun di hujung rumput serta tidak ada dasar dan makna yang kekal. Oleh itu, pendapat-pendapat ini tidak cukup untuk membawa keamanan yang berkekalan kepada masyarakat.

Alkitab menunjukkan bahawa dunia pasti akan bergerak ke dalam situasi ketegangan, kekeliruan dan kegelisahan apabila manusia menolak Tuhan dan prinsip-prinsip hidup yang ditentukan oleh-Nya. Keadaan ini akhirnya akan menyebabkan kemunculan penguasa jahat, anti-Kristus. Tidak ada keadilan mutlak di dunia pada hari ini. Ketidakadilan ekonomi dan sosial tidak hilang kerana usaha manusia dan pemerintah. Walaupun terdapat banyak rundingan damai di merata tempat, namun laporan berita memberitahu kita setiap hari bahawa tidak ada keamanan yang berkekalan di dunia.

 

D. TIDAK ADA DAMAI SEJAHTERA DI DUNIA

Para nabi zaman kuno pernah memberikan peringatan bahawa ketika zaman akhir hampir tiba, orang harus berkata: Damai sejahtera! Damai sejahtera! tetapi tidak ada damai sejahtera (Yer 6:14). Idealis memberitahu kita dengan menyatakan atau meramalkan bahawa dunia sedang memasuki Zaman Baru yang damai. Selagi sains dan teknologi dapat terus memimpin dunia ini, bangsa ideal utopia akan segera terwujud di dunia. Namun pada awal abad ke-20, apabila manusia mengimpikan keamanan, Perang Dunia Pertama pun tercetus tidak lama kemudian lalu menghancurkan impian mereka. Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama, mereka bermimpi lagi dan merancang keamanan, hanya untuk mengetahui bahawa Perang Dunia Pertama tidak lain dan tidak bukan hanyalah pendahuluan bagi Perang Dunia Kedua. Tetap tidak ada keamanan di dunia. Sejak Perang Dunia Kedua, terdapat banyak rundingan damai telah dijalankan di peringkat antarabangsa, tetapi tajuk utama surat khabar tetap memaparkan peperangan, keganasan, kematian dan pelarian yang tidak berkesudahan. Pegawai-pegawai pemerintah dari seluruh dunia berhadapan dengan ancaman pembunuhan dan pertumpahan darah.

Tidakkah anda lihat bahawa laporan berita selalu melaporkan bencana satu demi satu? Panggung wayang penuh sesak dengan penonton yang menonton pelbagai jenis filem bencana, seperti filem “The Day After Tomorrow”. Apabilaa membelek surat khabar, kita dapat melihat gempa bumi, kelaparan, dan berita-berita lain yang sukar untuk dipercayai di pelbagai tempat. Istilah-istilah seperti “bunuh diri berkumpulan”, “hari kiamat”, dan “penghujung umat manusia” bukan sahaja menjadi topik perbualan selepas makan malam, tetapi juga menjadi tema surat khabar dan filem di seluruh dunia.

Bahkan peramal yang paling optimis juga perlu mengaku bahawa dunia ini akan mengalami lebih banyak bencana. Bukan hanya bencana alam, tetapi juga bencana buatan manusia. Manusia telah membiakkan sejenis bakteria yang mampu untuk memusnahkan seluruh dunia, dan beberapa virus baharu dapat menyebabkan manusia di satu benua meninggal dunia dan kehilangan kesihatan mereka. Perang kimia dan perang biologi telah menjadi hala tuju baharu dalam perkembangan senjata baharu di dunia. Pengganas telah berulang kali menyerang dan gaya mereka menjadi semakin berani. Sebagai contoh, peristiwa 11 September menyebabkan korban dahsyat di Amerika Syarikat, manakala serangan bunuh diri oleh ekstrimis Muslim di Israel merupakan tragedi yang berlaku setiap hari dan menjadi isi kandungan yang dilaporkan oleh akhbar harian. Senjata nuklear, perang biologi, dan hubungan antarabangsa yang tidak menentu bukan sahaja satu-satunya tanda bahawa peradaban Barat berada di atas batu. Para saintis memberikan amaran kepada kita bahawa dunia sedang menghadapi perubahan iklim yang luar biasa. Mereka mengatakan bahawa gunung es di kedua-dua kutub nampaknya sedang bergerak secara beransur-ansur. Pergerakan ini berkemungkinan besar akan mempengaruhi hasil pengeluaran pertanian. Nampaknya, memberi makan kepada penduduk dunia telah menjadi semakin sukar.

Mari kita lihat isu moral. Setiap orang harus mengakui hakikat bahawa dunia kian merosot. Khasnya apabila dilihat dari perspektif agama Yahudi atau Kristian, dunia nampaknya dibanjiri kegilaan perkahwinan yang porak peranda dan trend baharu yang mengabaikan semua batasan moral. Dadah dan alkohol terus merosakkan tubuh badan dan pemikiran berjuta-juta orang. Kebangkitan beberapa ajaran sesat dan ilmu sihir yang semakin popular di Eropah dan Amerika sememangnya amat menakutkan dan mengecewakan. Memanjakan diri dan berpesta telah menjadi satu-satunya tujuan kehidupan umum pada hari ini. “Nikmati hari ini” menjadi falsafah yang popular pada zaman ini. Percambahan pornografi juga tidak lagi dilarang. Orang ramai dari semua arah berteriak tentang “kebebasan” dan “pembebasan”. Namun dalam masyarakat, yang kaya semakin kaya, dan yang miskin semakin miskin, tidak hanya dari segi negara, tetapi juga dari segi individu. Kekuatan ekonomi dunia telah beralih ke beberapa negara pengeluar minyak. Mereka telah mengumpul berbilion kekayaan, tetapi tidak tahu cara menggunakannya. Negara-negara miskin yang tergolong dalam dunia ketiga pula berjuang di ambang kebuluran. Dunia yang kita lihat pada hari ini berada dalam pergolakan yang belum pernah terjadi sebelumnya. Pergolakan ini melibatkan ketidaktenteraman hati manusia, juga termasuk ketidaktenteraman dalam bidang sosial, politik, dan agama.

Terdapat banyak cara penderitaan yang berbeza. Ada penderitaan fizikal, psikologi, emosi, mental, atau rohani, dan sebagainya. Kesukaran kita jarang terhad kepada salah satu daripadanya, dan kebanyakannya selalunya berlaku secara pelbagai. Sebahagian kesakitan psikologi sering menyebabkan kesakitan fizikal. Kadang-kadang, kesakitan yang tidak kelihatan adalah tidak kurang daripada kesakitan yang kelihatan, dan penyakit yang tidak kelihatan ini tidak mudah untuk didiagnosis. Kita semua tahu bahawa bahagian manusia yang tidak kelihatan selalunya merupakan bahagian yang paling menderita. Dalam beberapa keadaan, seseorang dapat menanggung penderitaan fizikal yang besar, tetapi tidak dapat menanggung kata-kata kasar daripada orang lain. Apabila kita mendengar tentang seorang tawanan perang menderita, kita akan terkejut dengan ketahanannya menanggung kesakitan fizikal. Namun, orang ini berkemungkinan akan mengalami maut disebabkan kata-kata orang lain yang kasar dan keji. Manusia mungkin menang dalam sesuatu aspek, tetapi mungkin lemah dalam aspek lain. Manusia itu kuat tetapi rapuh. Seperti kata-kata pemazmur: “Aku bersyukur kepada-Mu oleh karena kejadianku dahsyat dan ajaib…” (Mzm 139:14).

Penderitaan fizikal kita menyatakan satu kebenaran yang besar. Seperti kata C.S. Lewis dengan tidak berkias-kias lagi: “Penderitaan meletakkan panji kebenaran pada kubu jiwa yang memberontak”. Kebenaran ini adalah bahawa tubuh daging manusia akan binasa dan masanya singkat. Manusia harus melampaui dirinya sendiri untuk mencari keabadian.

Penderitaan kadang-kadang juga merupakan cara Tuhan berbicara kepada kita. Melalui penderitaan, Tuhan membangkitkan keperluan kita terhadap Dia dan memanggil kita kembali kepada-Nya. C.S. Lewis berkata: “Ketika kita berada dalam kelancaran, Tuhan berbicara kepada kita dengan suara rendah; ketika kita memerlukan nasihat, Dia berbicara kepada kita dengan hati nurani kita; tetapi ketika kita menderita, Tuhan memanggil kita dengan suara lantang. Penderitaan ialah mikrofon yang digunakan oleh Tuhan untuk menyedarkan dunia.” Sekiranya penderitaan dapat mendorong kita untuk mendekati Tuhan, maka penderitaan boleh menjadi sahabat manusia yang membawa berkat. Walau bagaimanapun, penderitaan masih mengikuti kita dengan dekat. Kita menghidap barah, strok, penyakit jantung, cacat sejak lahir, dan mendapat kecederaan serius akibat kemalangan kereta. Mungkin banyak orang muda terbaring di katil dan menderita selama bertahun-tahun. Sebilangan orang pula mendapati orang yang disayangi menderita penyakit yang tidak dapat disembuhkan sehingga mereka berasa panik, kehilangan akal dan menghadapi maut.

 

E. JENIS-JENIS PENDERITAAN

  1. Penderitaan hati dan daging/ jiwa dan tubuh

Sebilangan orang berasa sakit kerana penolakan orang lain. Kesakitan ini mungkin menyebabkan kemudaratan yang serius kerana kesakitan ini mempengaruhi hati kita. Mungkin perkahwinan hampir porak peranda kerana campur tangan pihak ketiga; mungkin menghadiri temu duga bagi pekerjaan yang cukup baik, tetapi kemudiannya permohonan ditolak. Kita juga dapat melihat banyak kesan penderitaan emosi dan jiwa dalam diri banyak pelajar muda pada hari ini. Yuran pembelajaran kini semakin mahal sehingga memaksa banyak pelajar bekerja secara sambilan. Mereka belajar bertungkus lumus semasa belajar sebagai persediaan untuk masa depan selepas tamat pengajian. Akhirnya, mereka mendapati bahawa masyarakat yang dihadapi setelah tamat pengajian merupakan masyarakat yang lembab dengan kadar pengangguran yang tinggi. Kita mendapati bahawa penyebab utama kematian dalam kalangan pelajar kolej / universiti ialah bunuh diri. Tekanan yang dihadapi oleh generasi ini mungkin lebih banyak daripada generasi-generasi sebelumnya. Secara umumnya, orang muda beralih arah dengan mendapatkan bantuan mental sementara daripada ubat-ubatan psychedelic kerana tidak memiliki bimbingan dan kekuatan Tuhan. Sebagai akibatnya, lebih banyak masalah yang sukar untuk diselesaikan terhasil.

Selain masalah kesunyian, rasa tidak selamat juga merupakan gejala pada zaman ini. Kadang-kadang, kita menjadi sangat penakut, mengundurkan diri, tidak maju ke depan dan tidak berani mencuba sebarang inovasi kerana kekurangan rasa selamat. Kita sering tidak berani melangkah ke hadapan kerana takut gagal. Kita berasa bimbang bahawa kita tidak cukup berkemampuan, tidak memenuhi kelayakan dalam sesuatu perkara yang boleh kita lakukan, atau bahkan mengalah kerana pendahulunya tidak berjaya.

Ada orang yang kekurangan perasaan kerana mereka tidak pernah disayangi, terutama ketika mereka masih muda. Orang yang tidak disayangi sejak usia muda sering berasa sukar untuk mengasihi orang lain setelah mereka dewasa. Tetapi tidak kira betapa banyaknya pengalaman dan perubahan dalam hidup kita, Tuhan dapat memberikan damai sejahtera kepada kita dan membawa harapan baharu bagi hidup kita.

 

  1. Penderitaan dari segi mental

Setiap orang berkemungkinan mengalami kemurungan mental – orang Kristian juga tidak terkecuali. Kita mengambil Elia, nabi dalam Perjanjian Lama yang penuh dengan kuasa dan pemikiran rohani sebagai contoh. Alangkah kuat dan gagahnya dia ketika melawan para nabi yang menyembah Baal, dewa yang palsu. Ketika raja Ahab dan Izebel, isterinya yang kejam mengancam Elia, imannya mencapai kemuncaknya (1 Raj fasal 19). Namun dalam satu jangka waktu selepas itu, dia hampir ingin melepaskan kerjanya, bahkan perkara-perkara remeh dalam kehidupan harian juga menjadi beban yang tidak tertanggung baginya. Jadi dia berkata: “Cukuplah itu! Sekarang, ya TUHAN, ambillah nyawaku,” (1 Raj 19:4). Elia pada masa ini keletihan dari segi fizikal dan mental.

Setiap orang yang tertekan memerlukan dorongan dan pengiktirafan daripada orang lain. Yesus mengetahui kebenaran ini sehingga Dia melakukan demikian. Kita dapat belajar banyak pelajaran daripada dua contoh layanan Tuhan terhadap Elia dan layanan Yesus terhadap Yohanes. Mereka boleh menjadi teladan bagi kita dalam menghiburkan semangat yang patah. Ketika manusia menghadapi gangguan emosi, mereka memerlukan pertolongan dan kata-kata semangat daripada orang lain.

Sebenarnya, umat Kristian mudah tertekan kerana keletihan secara fizikal dan mental. Ada kalanya, seorang pemercaya bekerja dengan tekun untuk kerajaan Tuhan kerana dia bertekad untuk mempersembahkan tubuh dan jiwanya untuk hidup bagi Tuhan. Dia sering melakukan terlalu banyak kerja sehingga mengabaikan amaran keletihan fizikal. Kadang-kadang, dia melihat bahawa banyak kerja perlu diselesaikan tetapi tidak ada seorang pun yang dapat menolongnya, maka dia akan bekerja berhempas pulas, bahkan bekerja secara berlebihan sehingga mengakibatkan mentalnya berasa tertekan.

 

  1. Penderitaan dalam roh

Sebenarnya, tidak semua penderitaan itu mencelakakan. Kadang-kadang, penderitaan juga boleh menjadi isyarat amaran yang mengingatkan kita bahawa kita perlu mendapatkan bantuan perubatan, begitu juga dari aspek rohani. Ada kalanya, kita berasa menderita akibat beberapa dosa yang belum dikenalpasti. Rasa berdosa menyebabkan kita tidak dapat berdamai dengan orang lain, gelisah, dan mengalami insomnia pada waktu malam. Jika kita tidak berpaling kepada doktor yang terbaik untuk meminta pertolongan, hati nurani kita tidak akan mendapat ketenangan. Namun, “Jika kita mengaku dosa kita, maka Ia adalah setia dan adil, sehingga Ia akan mengampuni segala dosa kita dan menyucikan kita dari segala kejahatan.” (1 Yoh 1:9).

Ketika Tuhan Yesus dipakukan di atas kayu salib, Dia mengalami penderitaan dipisahkan sepenuhnya daripada Tuhan sehingga dia berteriak: “Allah-Ku, Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Bagi Yesus, tidak ada perkara lain yang lebih menyakitkan daripada penderitaan ini. Dipisahkan daripada Tuhan Bapa yang mengasihi Dia – Tuhan Bapa berpaling muka daripada-Nya dan menyangkal-Nya – penderitaan ini benar-benar sangat besar, dan hukuman akhir ini dibawa oleh dosa. Hari ini, asalkan anda dan saya menerima Kristus sebagai Juruselamat peribadi, kita tidak akan pernah dipisahkan daripada Tuhan. Hal ini kerana Yesus telah membayar sepenuhnya harga dosa. Maka tidak hairanlah Paulus berkata dengan nada yang tegas: “Sebab aku yakin, bahwa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” (Rm 8:38-39). Tidak ada yang dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan! Hal ini kerana Yesus telah dipisahkan daripada Tuhan demi kita ketika Dia menderita. Kini, kita mempunyai hidup yang kekal asalkan kita mempercayai Dia sebagai Juruselamat kita.

Oleh yang demikian, Anak Tuhan dapat menghiburkan kita ketika kita sangat memerlukan pertolongan. Dia memahami penderitaan kita, dan Dia benar-benar dapat menolong kita.

 

F. PEMBELAJARAN DALAM PENDERITAAN 

Bagaimana kita harus menanggung pelbagai jenis krisis seperti kematian, penganiayaan, atau penyakit fizikal? Bagaimana kita harus menangani perselisihan keluarga, perkahwinan, beban hidup, dan perkara-perkara lain yang memilukan? Bagaimana kita hidup dalam dunia yang penuh dengan tekanan, bencana dan malapetaka?

  1. Jangan takut

Setelah meneroka sumber penderitaan, walaupun kita tidak dapat memahami sepenuhnya sebab Tuhan membenarkan penderitaan menimpa kita, namun kita harus belajar untuk yakin bahawa Tuhan mempunyai kuasa untuk mencari kehendak baik daripada perkara-perkara jahat dan mendatangkan berkat daripada penderitaan tanpa mengira bentuk bencana dan penderitaan itu. Apakah sifat yang harus kita ada, dan apakah jenis persediaan psikologi yang harus kita miliki?

Untuk menghadapi penderitaan hidup manusia pada masa depan, pertama sekali, kita harus selalu melatih diri dalam penderitaan. Seperti yang dikatakan oleh pemazmur: “aku tertindas itu itu baik bagiku.” (Mzm 119:71). Kedua, kita juga harus menimbun sebanyak mungkin firman Tuhan dalam hati kita. Dengan berbuat demikian, kita dapat membuat persediaan dan siap sedia untuk berperang tepat pada waktunya apabila penderitaan menimpa. Sekiranya ada firman Tuhan sebagai peringatan, kita tidak akan takut dengan apa-apa yang dihadapi. “Jangan takut” – ayat ini merupakan “pil ketenangan” yang diberikan oleh Tuhan kepada anak-anak-Nya. Tuhan berfirman kepada kita hari ini sama seperti Dia berfirman kepada Abraham pada masa dahulu: “Janganlah takut, … Akulah perisaimu; upahmu akan sangat besar.” (Kej 15:1). Tuhan juga berfirman kepada Yosua: “Janganlah takut dan janganlah tawar hati;” (Yos 8:1). “Selamatlah engkau! Jangan takut, engkau tidak akan mati.” (Hak 6:23). “Jangan takut, sebab lebih banyak yang menyertai kita dari pada yang menyertai mereka.” (2 Raj 6:16). “… aku tidak takut bahaya, sebab Engkau besertaku …” (Mzm 23:4). “TUHAN adalah terangku dan keselamatanku, kepada siapakah aku harus takut?” (Mzm 27:1). “Mengapa aku takut pada hari-hari celaka …?” (Mzm 49:5). “TUHAN di pihakku. Aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku?” (Mzm 118:6). “janganlah takut, sebab Aku menyertai engkau,” (Yes 41:10). “Janganlah takut, hai kamu kawanan kecil! Karena Bapamu telah berkenan memberikan kamu Kerajaan itu.” (Luk 12:32). “Jangan takut! Aku adalah Yang Awal dan Yang Akhir, dan Yang Hidup. Aku telah mati, namun lihatlah, Aku hidup, sampai selama-lamanya …” (Why 1:17-18). “Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” (Mzm 119:105). Oleh yang demikian, kita tidak akan kehilangan arah dalam kabut penderitaan. Akhirnya, kita patti mempunyai pengharapan yang besar kerana Tuhan Yesus Kristus. Oleh sebab Dia telah menyelesaikan kerja penyelamatan dan penebusan di atas kayu salib dan telah bangkit, maka kita yakin bahawa masa depan adalah penuh pengharapan. Di syurga, semua perkara yang buruk, jahat dan rosak tidak akan wujud, dan semua penderitaan akan berlalu. Seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus: “Sebab aku yakin, bahwa penderitaan zaman sekarang ini tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita. Sebab dengan sangat rindu seluruh makhluk menantikan saat anak-anak Allah dinyatakan. Karena seluruh makhluk telah ditaklukkan kepada kesia-siaan, bukan oleh kehendaknya sendiri, tetapi oleh kehendak Dia, yang telah menaklukkannya, tetapi dalam pengharapan, karena makhluk itu sendiri juga akan dimerdekakan dari perbudakan kebinasaan dan masuk ke dalam kemerdekaan kemuliaan anak-anak Allah.” (Rm 8:18-21).

 

2. Percayalah bahawa Tuhan Yesus akan menolong

Tuhan yang menciptakan kita memahami kita sepenuhnya. Bak kata pemazmur: “TUHAN, Engkau menyelidiki dan mengenal aku; Engkau mengetahui, kalau aku duduk atau berdiri, Engkau mengerti pikiranku dari jauh.” (Mzm 139:1-2). Hanya Tuhan saja yang dapat mendiagnosis penyakit kita dengan tepat dan memberitahukan cara penyelesaiannya kepada kita. Ketika kita bertanya: “Mengapa perkara ini terjadi pada saya?”, hanya Tuhan yang dapat menjawabnya. Apabila pertanyaan tidak terjawab untuk sementara waktu, damai sejahtera dan kasih karunia-Nya dapat menolong kita menghadapi pertanyaan-pertanyaan yang belum terjawab ini.

Ketika kita menderita, Tuhan bersedia menolong kita. Dia dapat menghiburkan kita dengan penyertaan-Nya, menolong kita untuk bertahan dengan kuasa-Nya, dan membolehkan kita memiliki pendapat baharu tentang keadaan kita dengan kehendak-Nya. Dia juga dapat menghasilkan keperibadian-keperibadian yang berharga dalam kita. Keperibadian-keperibadian ini menguatkan kita dan membentuk hidup kita.

Tuhan dapat menolong kita kerana hanya Dia saja yang tahu sebabnya kita menderita dan manfaat penderitaan-penderitaan ini kepada kita. Dia dapat menolong kita kerana Dia tahu erti penderitaan. Setiap kali kita berada dalam kesusahan dan perlu berpaling kepada orang lain untuk mendapatkan penghiburan atau bimbingan, kita selalunya mencari seseorang yang dapat memahami kita – seseorang yang pernah mengalami pengalaman serupa dan seseorang yang dapat memahami perasaan kita. Tuhan dapat memahami perasaan kita. Hal ini kerana Dia pernah menjadi Anak Manusia dalam daging dan merasakan segala macam penderitaan.

Tuhan Yesus tidak hanya melihat penderitaan orang lain – Dia juga telah menderita, Dia juga mengalami segala macam ujian dan cubaan seperti anda. Tuhan Yesus memahami penderitaan tubuh. Ketika Dia berada di dunia, Dia juga sering layuh jantung kerana memberitakan Injil di merata tempat sehingga Dia terpaksa berhenti untuk berehat. Tentang penderitaan fizikal pula, Dia telah mengalami seksaan yang teruk dan mati dalam kesakitan; Dia disesah tanpa perasaan dan akhirnya dipakukan di atas kayu salib. Dia juga mengalami penderitaan mental, emosi, dan psikologi yang paling mendalam. Dia sering ditolak oleh orang lain, dan bahkan saudara-saudara kandungnya juga mengejek-Nya dan kerja-Nya. Ketika dia memberitakan Injil di kampung halaman-Nya, banyak orang bahkan menghalau Dia dari kampung dan berusaha untuk mencelakakan-Nya. Akhir sekali, pemimpin-pemimpin agama pada masa itu juga mahu membunuh-Nya!

Tuhan Yesus juga pernah kesunyian dan kesepian. Ada kalanya, bahkan murid-murid pilihan-Nya salah faham tentang-Nya. Sememangnya, siapa yang dapat sepenuhnya memahami Yesus yang merupakan Tuhan dan juga manusia ini? Setelah selesai bekerja seharian, Dia tidak mempunyai saudara-mara atau rumah sendiri yang dapat memberikan dorongan atau penghiburan kepada-Nya.

Dia meninggalkan syurga yang mulia dan turun dari posisi yang dihormati oleh para malaikat sebagai Anak Tuhan ke dunia yang penuh dosa ini. Dia dinista dan dihina di mana-mana jua. Tuhan Yesus juga dapat memahami penderitaan rohani. Ketika Dia mula memberitakan Injil kepada luar di depan umum, Iblis mencobai dia tanpa perasaan selama empat puluh hari. Dalam perjalanan pemberitaan Injil Yesus, Iblis dari semasa ke semasa ingin kembali menyerang Anak Tuhan dan menghancurkan kerja-Nya, tetapi Tuhan Yesus melawannya dan mengalahkan musuh.

Apabila kita menjadi umat Kristian, kita mendapat seorang sahabat – Tuhan Yesus. Tetapi pada masa yang sama, kita juga mendapat satu lagi musuh – Iblis. Iblis melakukan segala yang mungkin untuk menggoda kita supaya kita tidak dapat bertumbuh dalam rohani dan sering ingin merosakkan pelayanan kita.

Walau bagaimanapun, kita harus ingat: Pertama, Iblis bukan maha mengetahui dan ia tidak setara dengan Tuhan. Dia hanya malaikat yang terjatuh, bukan Tuhan yang terjatuh. Kedua, tidak ada satu perkara pun yang akan menimpa kita tanpa izin Tuhan. Sebenarnya, Iblis masih di bawah kuasa Tuhan, dan ia perlu mendapatkan izin Tuhan untuk menguji Ayub. Ketiga, walaupun Iblis menimpakan pelbagai cubaan dan penderitaan kepada umat Kristian, namun Tuhan dapat menciptakan banyak berkat rohani daripada cubaan dan penderitaan itu.

 

G. SATU-SATUNYA HARAPAN DALAM PENDERITAAN – YESUS 

Tetapi keadilan dan keamanan akan datang kepada semua orang suatu hari nanti. Alkitab telah berjanji: “Sesungguhnya, seorang raja akan memerintah menurut kebenaran, dan pemimpin-pemimpin akan memimpin menurut keadilan.” (Yes 32:1). Alkitab juga memberitahu kita: “Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita; lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebut orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai. Besar kekuasaannya, dan damai sejahtera tidak akan berkesudahan…” (Yes 9:5-6).

Tetapi semua ini pasti akan berubah. Ketika Yesus datang kembali, Dia bukan lagi orang Nazaret yang hina yang duduk di atas seekor anak keldai. Dia akan datang dengan hormat, kuasa, dan kemuliaan Tuhan. Dia akan datang sebagai Raja dengan membawa beribu-ribu malaikat dan bala tentera. Bala tentera yang kuat ini tidak pernah dilihat sebelumnya. Walaupun anti-Kristus mengisytiharkan perang terhadap-Nya, tetapi kemenangan tetap menjadi milik-Nya. Setelah Dia menang dalam peperangan dahsyat yang terakhir, Mesias ini, Tuhan Yesus Kristus, Raja Damai akan datang. Apabila Kristus memerintah dunia, seluruh bumi akan dipenuhi dengan keadilan dan keamanan.

Apabila Yesus datang kembali, kita akan memperoleh keselamatan dan jaminan yang sebenar. Apakah ayat Alkitab kegemaran Presiden Amerika Syarikat, George Washington? Ayatnya ialah Mikha 4:4 yang paling sering dipetik olehnya: “Tetapi mereka masing-masing akan duduk di bawah pohon anggurnya dan di bawah pohon aranya dengan tidak ada yang mengejutkan, sebab mulut TUHAN semesta alam yang mengatakannya.”

Apabila Kristus kembali memerintah bangsa-bangsa, semua kekacauan politik akan menjadi teratur; semua ketidakadilan sosial juga akan berakhir; kemerosotan dan kebobrokan moral juga akan digantikan dengan keadilan dan kejujuran. Untuk julung kalinya dalam sejarah, dunia akan merasai masyarakat yang menuruti hukum-hukum Tuhan, dan gangguan Iblis tidak lagi dapat menghalang dunia daripada bergerak menuju keamanan, kesatuan, kesamarataan dan keadilan. Dunia yang diimpikan oleh manusia akhirnya akan menjadi kenyataan!

 

 

KESIMPULAN

Penderitaan merupakan pengalaman semula jadi dalam hidup manusia. Oleh itu, kita harus belajar untuk menghadapinya. Terutamanya bagi orang Kristian, nampaknya ada penderitaan khas yang disediakan khas untuk mereka. Tuhan mahu kita belajar bersandar pada kuasa-Nya untuk menghadapi ujian dan cubaan. Alkitab dan sejarah gereja telah berulang kali menunjukkan bahawa jalan yang telah disediakan oleh Tuhan untuk umat-Nya yang menderita bukanlah jalan melarikan diri, tetapi jalan yang bertahan sampai akhir dan mengalahkan penderitaan. Seseorang hanya dapat memahami erti sebenar penderitaan setelah dia mengalami penderitaan. Sering kali, kita hanya dapat menyedari tujuan dan nilai penderitaan apabila kita mengimbau kenangan masa lalu.

Penderitaan dalam hidup membolehkan manusia menemukan keperibadian yang tidak diketahui dan potensi hidup. Mereka yang mempunyai jalan yang lancar dan tidak pernah diserang oleh kesedihan dan penderitaan pasti akan mempunyai pandangan hidup yang dangkal dan tidak sopan. Sebaliknya, penderitaan sering membajak permukaan hidup manusia serta membekalkan sasaran dan visi nilai hidup kepada kita.