PERBINCANGAN TENTANG TUHAN DAN MANUSIA MENJADI SATU
(Pendeta Tian Hui Huang)
PENGENALAN
Semasa mengkaji tentang Kristologi, hujahnya adalah tentang Yesus itu Tuhan atau manusia? Sebenarnya, tidak ada keraguan bahawa Dia memiliki sifat Tuhan dan manusia, hanya tidak berbuat dosa (Ibr 4:15). Hal ini kerana Dia ialah Tuhan yang kudus dan sempurna. Dalam kitab Yohanes 1:14, Dialah Firman yang telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, penuh kasih karunia, kebenaran dan kemuliaan. Oleh itu, kedatangan-Nya menyatakan kasih yang paling kudus dan orang yang percaya kepada-Nya pasti beroleh hidup yang kekal (Yoh 3:16). Kedatangan-Nya juga menyatakan anugerah keselamatan telah datang kepada kita (Luk 2:10-11; Ibr 5:7-9). Kedatangan-Nya turut membinasakan perbuatan-perbuatan Iblis yang berkuasa atas maut (Ibr 2:14; 1 Yoh 3:8). Semua ini membolehkan kita diperdamaikan dengan Dia dan menjadi satu tubuh dengan Dia.
Dalam kitab Filipi 2:6-8, “yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib.” Oleh itu, ternyatalah bahawa Dia mengambil inisiatif untuk mengasihi kita terlebih dahulu dan menyerahkan diri-Nya bagi kita (1 Yoh 4:19) sehingga kita menjadi satu. Jadi, dalam aspek apakah kita sebagai manusia menunjukkan bahawa kita menjadi satu dengan Tuhan?
A. MENJADI SATU DALAM ROH
Dalam kitab Yehezkiel 36:26-27, nabi bernubuat bahawa Tuhan akan memberikan hati yang baharu dan roh yang baharu di dalam batin umat supaya umat hidup menurut segala ketetapan dan peraturan-peraturan Tuhan. Kemudian, Tuhan Yesus berkata: “Tetapi apabila Ia datang, yaitu Roh Kebenaran, Ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran.” Ayat ini menyatakan bahawa seseorang akan mengalami kesaksian tentang menjadi satu dalam roh dalam Roh Kudus Tuhan. Sebagai contoh:
- Kerja Injil akan menerima kuasa (Kis 1:8)
- Mengalami kesaksiantentang hidup dan damai sejanhtera (Rm 8:6)
- Memperoleh kemuliaan, kuasadan status sebagai anak-anak Tuhan (Rm 8:15-16; Gal 3:26-27, 4:4-7)
- Membangun jemaatyang menjadi satu (Ef 2:10,22, 4:16)
- Mengalami semua perbuatan kebenaran
Oleh itu, kita tahu bahawa Tuhan ada di dalam kita kerana Roh Tuhan ada di dalam kita (1 Yoh 3:24) agar kita terpelihara di samping menuruti dan berpegang pada perintah Tuhan. Ketika Tuhan Yesus membincangkan perumpamaan tentang pokok anggur kebenaran, Dia berulang kali menekankan satu pesanan penting, iaitu “tinggallah di dalam Aku dan Aku di dalam kamu”. Kesaksian ini ialah kesaksian menjadi satu dengan Tuhan dalam Roh (Yoh 15:1-8). Bagaimana seharusnya orang-orang rohani menyempurnakan rohani? Caranya adalah dengan “memperbaiki dan membersihkan” diri sendiri. Bagaimana melakukannya dengan baik? Yang pertama adalah dengan menghasilkan buah yang baik iaitu perbuatan baik; yang kedua adalah dengan memeliharanya dengan jalan Tuhan; yang ketiga adalah dengan dipimpin oleh Roh Tuhan. Maka, kesaksian menjadi satu dalam Roh bermaksud berpegang pada Tuhan yang hidup dan menjadi kesaksian yang indah bagi Tuhan.
B. MENJADI SATU DALAM HATI DAN PERWATAKAN
Dalam kitab Kejadian 1:27, “Maka Allah menciptakan manusia itu menurut gambar-Nya, menurut gambar Allah diciptakan-Nya dia; laki-laki dan perempuan diciptakan-Nya mereka.” Setelah itu, Dia memberkati mereka lalu berfirman kepada mereka: “Beranak-cuculah dan bertambah banyak; penuhilah bumi dan taklukkanlah itu, berkuasalah atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas segala binatang yang merayap di bumi.” Kita dapat melihat daripada petikan ini bahawa manusia mempunyai gambar kemuliaan Tuhan, dan mereka juga memiliki berkat dan kuasa yang diberikan oleh Tuhan. Manusia tidak dapat hidup tanpa penjagaan dan kasih karunia Tuhan. Mereka harus berusaha untuk menyembah dan melayani Dia.
Ketika Paulus memberikan kesaksiannya, dia menasihati kita agar jangan hidup lagi sama seperti orang-orang yang tidak mengenal Tuhan dengan fikiran yang sia-sia, dan bahkan jauh daripada hidup persekutuan dengan Tuhan. Sebagai orang Kristian, kita telah belajar menurut kebenaran yang nyata dalam Yesus. Maka kita harus diperbaharui dalam roh dan fikiran kita serta mengenakan manusia baharu. Manusia baharu ini telah diciptakan menurut kehendak Tuhan di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya (Ef 4:17-24). Oleh itu, manusia kepunyaan Tuhan harus dapat menjadi satu dengan hati dan perwatakan Tuhan untuk memperlihatkan gambar-Nya dan kehidupan yang bersaksikan kebenaran. Bagaimana harus mengejar “menjadi satu dengan Tuhan dalam hati dan perwatakan”?
- Menaruh fikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus (Flp 2:5)
Prestasi jemaat di Filipi boleh menjadi teladan bagi jemaat-jemaat dan juga merupakan pertolongan penting bagi Paulus dalam kerja Injil. Walau bagaimanapun, ada juga yang tidak sehati dan sefikir dalam kalangan mereka (Flp 4:2). Jadi, Paulus menasihatkan agar mereka sehati dan sefikir dalam Tuhan. Mereka harus mengambil belas kasihan Kristus untuk memahami dan melayani jemaat Tuhan dalam segala hal serta mengambil bahagian dalam kodrat ilahi (2 Kor 8:3-4). Paulus juga melihat bahawa orang yang memiliki fikiran Kristus akan mengetahui fikiran Tuhan dan akan menasihati orang lain serta dapat memahami hal-hal Tuhan (1 Kor 2:14-16).
- Harus mempunyai kasih Kristus
Tujuan firman Tuhan ialah kasih. Kasih ini timbul daripada hati yang suci, hati nurani yang murni dan iman yang tulus ikhlas (1 Tim 1:5). Oleh sebab kasih-Nya kepada dunia, Tuhan sendiri menjadi manusia untuk menyelamatkan kita agar kita dapat memperoleh hidup kekal kerana percaya kepada-Nya (Yoh 20:31). Kasih sebegini adalah kaya dengan kemuliaan dan hebat. Kerja kematian dan kebangkitan-Nya memperlihatkan kesaksian tentang kasih yang tidak terhingga dalam hidup supaya orang-orang yang percaya kepada-Nya menerima pengharapan hidup kekal setelah mereka menerima panggilan. Kita harus meneladani dan mempelajari kasih Kristus supaya kita juga dapat menjadi saksi hidup bagi Tuhan agar kita dapat memenuhi maksud orang-orang pilihan Tuhan (Kol 3:12).
C. MENJADI SATU DALAM KERJA
Ketika Tuhan Yesus memberikan kesaksian, Dia berkata: “Makanan-Ku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.” (Yoh 4:34). Kitab Injil Yohanes fasal lima ada menyatakan: “Anak tidak dapat mengerjakan sesuatu dari diri-Nya sendiri” (19,30). Tuhan menegaskan dan menunjukkan satu model iaitu memberikan kesaksian untuk Dia yang mengutus-Nya tanpa mencari kehendak-Nya sendiri (30-31; Luk 22:42; Mat 26:39). Semasa mempersiapkan jalan bagi Tuhan, Yohanes Pembaptis memberikan kesaksian dengan berkata: “Ia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil” (Yoh 3:27-30). Petikan ini menjelaskan hubungan antara Tuhan dengan Yohanes. Dalam kerjanya, Yohanes Pembaptis belajar menjadi hamba. Dia memberikan kesaksian tentang Tuhan dan kerja ini ada jangka waktunya. Tetapi dari segi seluruh kerja Injil, dia menunjukkan prestasi menjadi satu dalam kerja. Sebagai contoh, Tuhan memberitakan Injil Kerajaan Syurga dan melatih murid-murid-Nya. Setelah Tuhan mati dan terangkat ke syurga, murid-murid terus memberitakan Injil, memberikan kesaksian dan menubuhkan gereja. Gereja Yesus Benar kini masih mengikuti ajaran Tuhan dan tetap meneruskan amanat kerja yang mulia ini. Kesaksian ini adalah tentang menjadi satu dengan Tuhan dalam kerja Tuhan.
Paulus bersaksi: “… seperti sediakala, demikian pun sekarang, Kristus dengan nyata dimuliakan di dalam tubuhku, baik oleh hidupku, maupun oleh matiku.” (Flp 1:20). Demikianlah semangat dan matlamat kerja kita. Kita hanya boleh berkata bahawa kita ialah hamba-hamba yang tidak berguna, melainkan hanya perabot dan alat Tuhan. Kita harus berusaha untuk menjadi rakan sekerja Tuhan kerana kita ialah ladang Tuhan, bangunan Tuhan (1 Kor 3:9).
KESIMPULAN
Ketika berbincang tentang Tuhan dan manusia menjadi satu, perbincangan ini menegaskan bahawa kita menerima kasih karunia Tuhan yang berkelimpahan. Maka kita harus berusaha untuk mewujudkan kesaksian tentang menjadi satu dengan Tuhan dengan hati yang penuh kesyukuran. Topik iman kepercayaan ini sangat penting bagi individu, keluarga, mahupun gereja agar dapat memuliakan nama kudus Tuhan sampai selama-lamanya.