PANDUAN PEMBACAAN INJIL LUKAS

PANDUAN PEMBACAAN INJIL LUKAS

(Pendeta Wang Ming Chang)

 

Injil Lukas adalah sebuah kitab Injil, bukan biografi. Oleh itu, semasa membaca Injil Lukas, kita tidak boleh menganggapnya sebagai “kehidupan Yesus”, sebaliknya, ia ialah mesej tentang perkara-perkara yang disempurnakan oleh Tuhan melalui Yesus untuk manusia. Dengan erti kata yang lain, jikalau kita mahu memahami kitab Injil ini secara mendalam, kita harus membalasnya dengan “iman”. Kesaksian iman adalah untuk mencetuskan kepercayaan, dan hanya melalui kepercayaan, kita dapat memahami kesaksiannya. Dalam hal ini, Injil Lukas memberi kenyataan kepada pembaca melalui peristiwa bersejarah, tetapi nilainya terletak pada kepercayaan yang terkandung dalam peristiwa bersejarah. Injil pada dasarnya bukan satu set teori atau konsep agama, tetapi satu rekod tentang apa yang dilakukan oleh Tuhan untuk manusia. Namun jika meninggalkan kepercayaan, peristiwa tersebut  tidak dapat menyatakan maknanya dengan sepenuhnya.

Injil Lukas mencatatkan banyak perkara dan beranggapan semua itu ialah “Injil” Tuhan. Semasa mengkaji dan membacanya, kita harus percaya bahawa ianya ialah Injil. Sikap ini memerlukan usaha penerokaan dan kejujuran kita dalam kerohanian. Namun selain dua aspek tersebut, aspek kepercayaan, menyangkal diri, taat sepenuhnya, pelayanan dan ibadah juga diperlukan. Dalam kitab Injil ini, Tuhan kehidupan berbicara kepada manusia dan manusia seharusnya membalasNya dengan kehidupan.

 

PERTAMA, PENULIS

Menurut pandangan tradisional gereja, Injil Lukas dan Kisah Para Rasul dianggap sebagai kitab-kitab daripada sumber yang sama. Penulisnya ialah Lukas. Dari kata pengantar dalam (Luk 1:1-4) dan (Kis 1:1), dapat dilihat bahawa penerima surat ialah Teofilus yang mulia. Dari (Luk 24:49,52,53), dapat dilihat bahawa penutup kitab ini mencatatkan Tuhan Yesus mahu murid-murid menantikan Roh Kudus di Yerusalem. Kisah Para Rasul fasal 2 pula adalah tentang murid-murid benar-benar menerima Roh Kudus yang dijanjikan selepas mereka menantikan Roh Kudus. Dari sudut pandangan ini, Injil Lukas dan Kisah Para Rasul adalah seperti jilid satu dan dua bagi kitab yang sama.

Kitab ini banyak menggunakan perkataan spesifik bidang perubatan dan hanya digunakan oleh doktor. Dalam (Kis 16:10; 20:6; 27:1), kata ganti nama “kami” sering muncul. Ini jelas bahawa penulis, Lukas merupakan salah seorang yang terlibat dengan peristiwa tersebut. Dia digelar sebagai “tabib Lukas yang kekasih” oleh Paulus (Kol 4:14). Dia juga merupakan teman sekerja Paulus. Sebelum Paulus mati syahid, dia tetap melayani di sisi Paulus (2 Tim 4:11).

Lukas ialah orang bangsa asing (Kol 4:10,11,14).  Menurut legenda, dia orang Siria dan tinggal di Antiokhia. Selepas percaya kepada Tuhan di Antiokhia, dia pernah mengikuti Paulus dalam pengembaraan Injil dan menemani Paulus ke Rom untuk menerima penghakiman. Dia merupakan teman rapat Paulus.

 

KEDUA, PENERIMA SURAT

Teofilus (1:1). Dia mungkin seorang yang berkedudukan. Dia mungkin sedang mencari Injil, atau merupakan pemercaya baru. Lukas ingin memberikan lebih banyak latihan kepadanya / memupuknya. Oleh itu, Lukas bekerja keras menuliskan dua gulungan surat kepadanya dan memperkenalkan hal tentang Tuhan Yesus.

Nama Teofilus ini sangat bermakna. “Teo” bermaksud “Tuhan”, “filus” bermaksud “kasih” dan makna keseluruhannya ialah “orang yang mengasihi Tuhan” atau “orang yang dikasihi Tuhan”. Maka, jika Lukas menulis kepada sekumpulan “orang yang mengasihi Tuhan”, itu memang sangat bersesuaian.

 

KETIGA, MASA DAN TEMPAT

Lukas ditulis lebih lewat daripada Injil Markus dan lebih awal daripada Injil Yohanes. Ia dibukukan pada sekitar tahun 62-68M.

Tempat penulisan pula tidak dapat dipastikan sepenuhnya. Ada yang beranggapan ianya di Korintus, Akhaya, atau di Rom, Itali, atau sesuatu tempat di dunia Yunani.

 

KEEMPAT, MOTIF PENULISAN

Oleh sebab Injil Kristus disebarkan di kalangan bangsa asing, dalam keseluruhan dunia yang menggunakan bahasa Yunani, bilangan orang Yunani yang berbalik kepada Tuhan bertambah. Kehidupan Yesus Kristus adalah amat penting untuk orang-orang bangsa asing yang telah percaya kepada Tuhan. Oleh sebab ideal orang Yunani yang paling tinggi adalah untuk menjadi orang yang sempurna, maka Lukas menggambarkan Yesus sebagai manusia sempurna yang sebenar. Contohnya, dia menggambarkan Tuhan Yesus mempunyai peringkat pertumbuhan yang berbeza dalam kitab Injil ini: bayi Yesus (2:12,16), Yesus yang disunat (2:23), remaja Yesus semasa berusia 12 tahun (2:42), sehinggalah pada usia tiga puluh tahun, Tuhan Yesus telah menjadi Yesus yang memberitakan Injil (3:23). Lukas juga menggambarkan sifat kemanusiaan Tuhann Yesus yang sebenar. Contohnya Tuhan Yesus dua kali menangis (13:34, 19:41), berlutut dan berdoa (22:41-42), malaikat datang membantu (22:43), peluh bertitisan ke tanah seperti titik-titik darah (22:44), menyerahkan nyawa ke dalam tangan Tuhan (23:46). Semasa kepala pasukan yang berada di sisi Tuhan melihat kematian Tuhan, dia memberi kesaksian dengan ikhlas: “Sungguh, orang ini adalah orang benar!” (23:47). Firman Tuhan melahirkan kehidupan yang sempurna dan representatif. Dia sememangnya penyelamat dan penebus umat manusia.

 

KELIMA, MOTIF PENULISAN

Dalam permulaan kitab ini, penulis, tabib Lukas telah menyatakan bahawa tujuan kitab ini adalah untuk memberi kesaksian tentang semua fakta sejarah yang telah berlaku di sekitar Tuhan Yesus. Dengan pendekatan seperti ahli sejarah, Lukas meggunakan gaya penulisan yang menarik untuk menulis kisah hidup Tuhan secara terperinci menurut susunan perkembangannya. Bukan sahaja kepada Teofilus, orang yang berkedudukan ini, malahan untuk menyatakan kepada seluruh dunia bahawa Yesus ialah manusia yang sempurna, Dia juga Tuhan.

“Teofilus” ialah nama orang Yunani. Oleh itu, berkemungkinan besar dia orang bangsa asing. Menghadiahkan kitab kepada seseorang, jika dengan tujuan supaya kitab tersebut diterima ke dalam persatuan atau kelas penerimanya, maka “Teofilus” semestinya merupakan seorang wakil organisasi atau persatuan bangsa asing yang berpendidikan dan bertamadun. Ini juga dapat dipastikan dalam (Luk 1:1-4). Ia dituliskan dalam gaya sastera sejarahwan Yunani. Perkataan-perkataan yang digunakan juga menunjukkan bahawa penulis merupakan seorang yang berpendidikan tinggi. Dari sini kita dapat mengetahui bahawa Lukas adalah berpemikiran dan berperancangan. Dia menjelaskan mesej agama Kristian dengan corak yang dapat menarik perhatian “roh” orang-orang bijak bangsa asing pada abad pertama.

Terdapat satu persoalan dalam hati orang bangsa asing: agama Kristian jelas berasal daripada agama Yahudi / Judaisme. Jika agama Yahudi / Judaisme tidak boleh dipercayai, adakah agama Kristian juga sama sepertinya? Tujuan Injil Lukas adalah untuk menjawab persoalan ini dengan penafian tegas. Ini melibatkan persoalan teologi yang dirasakan susah oleh gereja zaman awal, samada bagi orang bangsa asing ataupun orang Yahudi. Jika Yesus ialah Mesias yang sebenar (Tuhan penyelamat dunia), mengapa orang yang paling berkelayakan untuk memberikan kepastian tentangnya, iaitu pemimpin orang Yahudi menolakNya? Lukas pernah menyebut tentang persoalan ini dalam kitab Injil ini dan Kisah Para Rasul (Luk 24:20; Kis 2:23; 7:52-53; 13:44-47; 28:24-28). Lukas dengan tegasnya berkata: penolakan mereka tidak menggagalkan kehendak Tuhan, ataupun melemahkan kepercayaan umat Kristian. Hakikatnya, agama Yahudi / Judaisme yang berpecah-pecah pada abad pertama merupakan bukti sahih bahawa kepercayaan Kristian boleh dipercayai. Ia merupakan penghakiman Tuhan ke atas orang-orang Yahudi yang gagal memahami sifat amanat mereka sendiri. Dalam erti kata yang lain, agama Kristianlah pewaris kepercayaan Perjanjian Lama yang sebenar.

 

KEENAM, KEISTIMEWAAN KITAB INI

Kitab Injil Lukas dipenuhi dengan sukacita kerajaan Tuhan, kuasa Roh Kudus dan pujian kepada Tuhan.

A. Injil yang dipenuhi dengan sukacita kerajaan Tuhan dan pujian

    1. Dimulakan dengan pujian (1:14,19,42,44,47,58,64; 2:10,14), juga diakhiri dengan pujian (24:41,52-53).
    2. Sukacita di syurga (15:7,10,24,32).
    3. Kegembiraan Yesus (10:21-24).
    4. Kesukaan besar (2:10,20,28,38,25,26; 6:21,23; 7:16; 8:13; 10:17; 13:13,17; 17:15; 18:43; 19:37)
    5. Lima puisi yang indah: memuji Maria (1:28,42-45), Maria memuji Tuhan (1:46-55), Zakharia memuji anugerah keselamatan (1:68-79), malaikat memuji kelahiran Tuhan (2:13-14), Simeon memuji Tuhan (2:24-32).
    6. Lain-lain. Contoh: membawa khabar baik (1:19. 2:10; 3:18; 4:18,43; 7:22; 8:1; 9:6; 16:16; 20:1), memuliakan Tuhan (2:20; 5:25; 7:16; 13:13; 17:15; 18:43), memuji Tuhan (2:13,20; 19:37); bersyukur kepada Tuhan (1:64; 2:28; 24:53). Ini jelas menunjukkan bahawa Lukas merupakan seorang yang kaya dengan perasaan dan penuh dengan sukacita. Dia membuatkan pembaca mempunyai imej yang mendalam iaitu Tuhan ialah Anak Manusia yang sempurna, Dialah juruselamat umat manusia.

 

B. Injil yang menitikberatkan tentang doa

Terdapat banyak catatan tentang doa dalam Injil Lukas, diperjelaskan seperti berikut:

  1. Doa Tuhan Yesus: doa selepas dibaptis (3:21); doa di tempat-tempat sunyi (5:16), doa semalam-malaman di bukit (6:12), doa bersendirian (9:18), doa di atas gunung berubah wajah (9:28-29), doa yang gembira (10:21), doa tauladan (11:1), doa bagi murid-murid (22:32), doa di taman Getsemani (22:40-46), doa pengampunan dosa (23:34), doa menyerahkan nyawa (23:46).
  2. Tuhan mengajar murid-murid berdoa: doa bagi musuh (6:28), doa bagi kerja penyebaran agama (10:2), doa untuk mencari kerajaan dan Kebenaran Tuhan (11:1-13), doa meminta bersungguh-sungguh, doa yang tekun dan doa pertaubatan (18:1-14), berjaga-jaga dan berdoa di zaman akhir (21:36), doa semasa berada dalam kesengsaraan (22:46).
  3. Catatan-catatan lain berkenaan doa: doa persembahan korban (1:10-13), berpuasa dan berdoa (2:37; 5:33), doa yang berpura-pura (20:47).

 

C. Injil yang menyerlahkan kepentingan Roh Kudus

Bagi catatan berkenaan “Roh Kudus”, Injil Matius mencatatkan sebanyak 5 kali, Injil Markus mencatatkan sebanyak 4 kali, tetapi Injil Lukas dan Kisah Para Rasul mencatatkan sebanyak 53 kali. Makna utama dinyatakan pada Fasal 1 dan 2 Injil Lukas iaitu Kisah Roh Kudus. Contohnya Zakharia diberi petunjuk oleh malaikat bahawa anaknya Yohanes akan penuh dengan Roh Kudus (1:15), Gabriel mengatakan bahawa Roh Kudus menyertai Maria (1:35), Elisabet penuh dengan Roh Kudus ketika bertemu Maria (1:41), Zakharia penuh dengan Roh Kudus lalu memuji Tuhan (1:67), Roh Kudus menyatakan kepada Simeon bahawa dia akan bertemu dengan Yesus di bait suci (2:25-27).

Contoh-contoh lain: Selepas Tuhan Yesus dibaptis, Dia dipenuhi dan dipimpin oleh Roh Kudus. Roh Kudus membawaNya ke padang gurun untuk dicobai dan mendapat kemenangan (4:1). Dalam kuasa Roh masuklah Tuhan ke Galilea (4:14), Tuhan bersukacita di dalam Roh Kudus (10:21), Tuhan akan memberikan Roh Kudus kepada orang-orang yang menyeru kepada namaNya (11:13), memberi kuasa Roh Kudus kepada hamba yang membuat kesaksian untuk Tuhan, menyembuhkan penyakit dan mengusir syaitan / roh jahat.

 

D. Memberitakan sifat sosial dan universal anugerah keselamatan Tuhan Yesus

Lukas menerangkan secara terperinci keperibadian Yesus yang elegan dan keprihatinanNya terhadap semua manusia dan kelas sosial. Pada masa yang sama, ia menegaskan sifat universal amanat Yesus. Matius mencatatkan silsilah Yesus sehingga peringkat Abraham, Lukas pula melangkaui Abraham dan menjelaskan sehingga ke peringkat Adam (3:23-28). Sama seperti penulis Injil Sinoptik yang lain, Lukas juga memetik kata-kata Yesaya untuk menggambarkan kerja Yohanes Pembaptis: “Ada suara yang berseru-seru di padang gurun: Persiapkanlah jalan untuk Tuhan” (Luk 3:4; Yes 40:3). Namun, Lukas juga berbeza dengan Matius dan Markus kerana dia memanjangkan petikan kata-kata Yesaya sehingga melibatkan nubuat itu: “semua orang akan melihat keselamatan yang dari Tuhan.” Terdapat beberapa ayat dalam Lukas yang memberi petunjuk bahawa bangsa-bangsa asing juga bakal mempunyai peluang menerima khabar baik daripada Injil (2:32; 24:47).

Hanya Lukas sahaja yang mencatatkan tentang Yesus memuji orang Samaria yang dipandang ringan (10:30-37; 17:11-19). Ketika dia menulis tentang Yesus mengutus kedua belas orang murid, dia tidak menyebut tentang Yesus mempunyai apa-apa sekatan terhadap tindakan murid-murid (9:2-5). Catatan Matius pula ialah: “Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain, … melainkan pergilah kepada domba-domba yang hilang dari umat Israel.” (Mat 10:5-6). Dibandingkan dengan Injil Sinoptik yang lain, Injil Lukas juga merekodkan tentang wanita dengan lebih terperinci dan kedudukan penting mereka di antara orang-orang yang mengikuti Yesus (7:36-50; 8:3; 10:38-42).

Lukas khususnya menggambarkan keprihatinan Yesus terhadap manusia. Dia amat bersimpati dengan masalah orang miskin, orang yang tertindas dan orang yang ditinggalkan. Matius memetik pengajaran Yesus di atas gunung: “haruslah kamu sempurna, sama seperti Bapamu yang di sorga adalah sempurna.” (Mat 5:48), tetapi Lukas pula menjadikan “Hendaklah kamu murah hati, sama seperti Bapamu adalah murah hati.” (6:36) sebagai kesimpulan. Kebahagiaan pertama dalam ucapan lapan bahagia Matius ialah “Berbahagialah orang yang miskin di hadapan Allah, karena merekalah yang empunya Kerajaan Sorga.” (Mat 5:3). Dalam Injil Lukas pula, ia ialah “Berbahagialah, hai kamu yang miskin, karena kamulah yang empunya Kerajaan Allah.” (6:20). Hanya Lukas sahaja yang menambah satu ciri kecelakaan kepada mereka yang kaya dan yang kenyang (6:24-26) selepas lapan kebahagiaan. Hanya Lukas sahaja yang mencatatkan terdapat satu kali di mana Yesus berkata kepada orang yang mengundang Dia: “Apabila engkau mengadakan perjamuan siang atau perjamuan malam, janganlah engkau mengundang sahabat-sahabatmu atau saudara-saudaramu atau kaum keluargamu atau tetangga-tetanggamu yang kaya, karena mereka akan membalasnya dengan mengundang engkau pula dan dengan demikian engkau mendapat balasnya. Tetapi apabila engkau mengadakan perjamuan, undanglah orang-orang miskin, orang-orang cacat, orang-orang lumpuh dan orang-orang buta. Dan engkau akan berbahagia, karena mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalasnya kepadamu. Sebab engkau akan mendapat balasnya pada hari kebangkitan orang-orang benar.” (14:12-14).

Injil Lukas sering mendorong untuk berikan sedekah dan rela menghadapi kemiskinan dan kekurangan (6:20; 12:33; 14:33; 16:25). Hanya Injil ini saja yang mencatatkan tentang Zakheus secara terbuka meninggalkan kehidupannya yang tidak jujur semasa menjadi pemungut cukai (19:8). Hanya Lukas saja yang menggelar orang Farisi sebagai hamba-hamba wang (16:14).

 

E. Kitab ini juga memberitahu penerima kasih karunia supaya membalas kasih Tuhan dengan tindakan yang sebenar

Balasan yang terbaik ialah mempersembahkan segalanya. Contoh: Petrus dan Lewi meninggalkan segala sesuatu lalu mengikut Tuhan (5:11,28; 9:23,62), jual segala milik dan beri sedekah (12:33), mengasihi Tuhan melebihi sanak-saudara (14:26,33; 18:29). Lukas khususnya menambah frasa meninggalkan “isteri” dalam beberapa ayat kitab ini untuk menunjukkan bahawa orang yang mengikuti Tuhan harus mempunyai tekad yang kukuh. Demi menyempurnakan anugerah keselamatan, Yesus, Anak Manusia sendiri memberikan teladan iaitu harus menanggung banyak penderitaan sebelum dimuliakan (9:22-24; 13:33; 17:25; 18:32-33; 22:37; 24:7,26,44,46).

 

KETUJUH, STRUKTUR GARIS KASAR KITAB INI

Tema: Yesus, Anak Manusia yang sempurna

A. Kelahiran yang sempurna (fasal 1-4)

    1. Firman menjadi manusia (1)
    2. Juruselamat seluruh bangsa (2)
    3. Menjadi korban (3)
    4. Mengalahkan pencobaan (4)

 

B. Kerja yang sempurna (fasal 5-8)

    1. Doktor yang baik bagi orang yang berdosa (5)
    2. Guru yang baik bagi murid-murid (6)
    3. Sahabat yang baik bagi orang yang lemah (7)
    4. Perdana Menteri yang baik bagi kerajaan syurga (8)

 

C. Latihan yang sempurna (fasal 9-16)

    1. Mengenali kerajaan Tuhan (9)
    2. Mengenali kebahagiaan (10)
    3. Mengajar berdoa (11)
    4. Mengajar pelayanan (12)
    5. Mengajar kesedaran diri (13)
    6. Mengajar persekutuan (14)
    7. Memandang berat akan anugerah keselamatan (15-16)

 

D. Kuasa yang sempurna (fasal 17-20)

    1. Kerajaan Tuhan di hati (17)
    2. Penyempurnaan rohani dan pertumbuhan (18)
    3. Rela memberi persembahan (19)
    4. Pasti mengalahkan musuh (20)

 

E. Nubuat yang sempurna (fasal 21-24)

    1. Nubuat tentang hari kiamat (21)
    2. Nubuat tentang penderitaan (22)
    3. Nubuat digenapi (23)
    4. Perjanjian Lama digenapi (24)