PANDUAN PEMBACAAN KITAB HOSEA
Mesej para nabi dalam Perjanjian Lama terus-menerus menyatakan keadilan dan kasih Tuhan. Kitab Hosea juga tidak terkecuali. Namun jika dilihat daripada keseluruhan gulungan, kitab ini lebih menekankan kasih Tuhan. Kitab ini boleh dibandingkan dengan kitab Amos yang lebih menekankan keadilan Tuhan.
Keistimewaan kitab ini adalah bahawa nabi menggunakan perkahwinannya untuk mencerminkan hubungan antara Tuhan dengan umat pilihan sesuai dengan perintah Tuhan. Tuhan yang disampaikan dalam kitab ini benar-benar dapat dikatakan sebagai “suami kekasih yang tidak dapat disembuhkan lagi”. Perlakuan Hosea terhadap isterinya memperlihatkan kasih Tuhan yang tidak mementingkan diri terhadap umat pilihan.
PENULIS
Penulis kitab ini ialah nabi Hosea. Bapanya ialah Beeri. Orang Yahudi percaya bahawa Beeri juga seorang nabi (rujuk klasik Yahudi “Leviticus Raba”). Tahun kelahiran dan kematian Hosea tidak diketahui. Agaknya, dia dipanggil untuk menjadi nabi sebelum dia berkahwin (Hos fasal 1). Masa kerjanya mungkin adalah selama 40 tahun (Hos fasal 1). Tempat kerjanya adalah di Kerajaan Utara dan saling mencerminkan dengan Yesaya yang bekerja di Kerajaan Selatan.
LATAR BELAKANG
Hosea hidup pada zaman Yerobeam II (786-746), zaman kegemilangan Kerajaan Utara. Ketika Yerobeam II menjadi raja, Kerajaan Utara mempunyai politik yang bersih dan ekonomi yang makmur. Walau bagaimanapun, di sebalik fenomena yang gemilang ini, terdapat dunia dengan kemerosotan iman kepercayaan, ketidakadilan sosial dan juga kekacauan moral.
Kemerosotan Yerobeam II muncul secara beransur-ansur pada tahun-tahun terakhirnya. Setelah kematiannya, plot politik terus dipentaskan: Salum membunuh Zakharia, Menahem membunuh Salum. Pembunuhan rahsia dan rampasan kerajaan dipentaskan berulang kali, dan politik jatuh ke dalam masa kegelapan yang tidak stabil (Hos fasal 7). Kekuatan kerajaan itu merosot, dan sebagai akibatnya, kerajaan jatuh ke arah kegagalan dan kehancuran.
Sebaliknya, kuasa utara Asyur telah bangkit dan terus menyerang ke arah selatan. Menahem terpaksa memberi upeti dan bekerja di bawah penindasan Asyur yang kuat. Kemudian, disebabkan kebangkitan Mesir, Kerajaan Utara lalu bersatu dengan Mesir. Sejak saat itu, kecenderungan politik Kerajaan Utara Israel bergolak antara Asyur dengan Mesir, dan akhirnya hancur di tangan Asyur (722).
GARIS BESAR
Kitab Hosea boleh dibagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah dari fasal 1 hingga fasal 3 yang mengisahkan perkahwinan dan keluarga nabi serta nubuatnya. Bahagian kedua adalah dari fasal 4 hingga fasal 12 yang mengisahkan dosa-dosa Israel yang melibatkan pengkhianatan terhadap Tuhan, penyembahan berhala dan percabulan agama serta hukuman dan penyelamatan Tuhan.
Keistimewaan kitab Hosea ialah perkahwinan Hosea dan simbol-simbolnya. Kitab ini bukan sahaja menggunakan perkahwinan dan perbuatan dramatik keluarga nabi untuk menggambarkan hubungan antara Tuhan dengan Israel, tetapi juga menggunakan ciri fonologi bahasa dalam nubuat untuk menggambarkan kehendak dan perbuatan Tuhan.
Kitab Hosea menggunakan lebih daripada dua pertiga ruang untuk mendakwa pengkhianatan agama oleh Israel dan hukuman Tuhan. Kitab ini terutamanya mendakwa bahawa Israel melakukan kecurangan agama, kepercayaan agama telah bercampur aduk dan ritual keagamaan dilakukan ala Kanaan. Mereka beribadah kepada Tuhan yang membawa mereka keluar dari Mesir dan berjalan di padang gurun. Pada masa yang sama, mereka juga mengikuti agama Kanaan yang menyembah berhala Baal. Mereka bahkan membenamkan diri dalam percabulan ritual keagamaan Kanaan dan menggunakannya untuk mempersembahkan korban kepada tuhan mereka. Perbuatan ini mendatangkan hukuman yang berat daripada Tuhan. Walau bagaimanapun, kasih Tuhan kepada mereka tidak pernah berubah. Walaupun mereka curang umpama perempuan jalang / pelacur, Tuhan tetap mengasihi mereka dengan kasih yang tidak berubah. Walaupun hukuman dijatuhkan bagi mereka, namun tujuannya adalah supaya mereka berpatah balik. Akhirnya, penyelamatan kasih Tuhanlah yang menyatukan perpecahan antara satu sama lain.
MESEJ
Kitab Hosea khasnya menunjukkan kecurangan umat pilihan dalam iman kepercayaan di samping menasihati mereka untuk menyahut seruan kasih Tuhan tepat pada waktunya dan berpatah balik untuk menyembah Tuhan yang benar.
Sejak penubuhan Kerajaan Utara, penciptaan anak lembu emas telah menyebabkan mereka mengikuti kepercayaan orang Kanaan dengan menyembah Baal, berhala Kanaan. Kepercayaan mereka menjadi lebih merosot berbanding zaman raja Ahab. Pada zaman Ahab, umat menyembah Tuhan yang di syurga dan juga Baal. Hal ini menyebabkan nabi Elia meminta umat untuk tidak bercabang hati, dan harus membuat pilihan yang jelas antara Tuhan dengan Baal (1 Raj 18:21). Namun pada zaman Hosea, walaupun umat tidak melupakan Tuhan yang menyelamatkan mereka dan mempersembahkan korban kepada Tuhan (Hos 4:7-8), tetapi mereka hampir meninggalkan Tuhan dan perjanjian-Nya. Mereka menerima penyembahan berhala Kanaan yang bersifat politeisme dan menggantikan kedudukan Tuhan yang benar dengan Baal, dewa utama orang Kanaan (Hos 2:7, 4:12, 8:11). Selain itu, mereka mengikuti ritual persembahan korban dan kehidupan agama asing (Hos 2:7, 12:12, 13:1). Mereka membangun mezbah Baal di tiang tinggi dan mengukir berhala di atas kayu penaga. Mereka mempersembahkan korban kepada Baal, sujud kepada tugu berhala, dan memohon damai sejahtera daripada totem orang Kanaan.
Pengkhianatan kepercayaan oleh umat pilihan ini dilambangkan dengan kecurangan isteri terhadap suami dalam kitab Hosea. Hubungan perkahwinan nabi dan pengkhianatan isteri digunakan untuk melambangkan hubungan antara Tuhan dengan umat pilihan. Kitab Hosea merupakan gulungan kitab yang menggambarkan hubungan antara Tuhan dengan umat pilihan melalui hubungan antara suami dengan isteri secara paling langsung dalam Alkitab (Hos 2:1,18,19). (Dalam Perjanjian Baru, Paulus juga menggunakan hubungan ini untuk menggambarkan hubungan antara Kristus dengan jemaat, dan Yohanes secara langsung menggunakan upacara perkahwinan untuk menceritakan Kristus dan pemercaya). Kecurangan umat pilihan dalam iman kepercayaan dan kebobrokan mereka yang berterusan menyebabkan Alkitab berkali-kali menegur dan mengkritik kejahatan mereka. Nama anak-anak Hosea juga digunakan untuk memberi amaran kepada mereka (Hos 1:6,9).
Perkataan terkuat dalam kitab Hosea ialah sundal. Perkataan “sundal” atau sinonimnya terus-menerus muncul dalam ayat suci. Selain merujuk kepada persundalan agama oleh umat pilihan yang menyangkal Tuhan dan menyembah berhala, perkataan ini juga menunjukkan bahawa persundalan sememangnya berlaku. Namun, perbuatan sundal realiti yang dinyatakan dalam kitab Hosea sebenarnya bukan merujuk kepada persundalan moral biasa, melainkan persundalan keagamaan. Apa itu persundalan agama? Ternyata dalam agama Kanaan, mereka harus mematuhi peraturan ritual iaitu berzina dengan perempuan sundal kuil setelah mereka mempersembahkan korban di atas mezbah untuk menyelesaikan seluruh ritual persembahan korban. Umat bukan hanya menyimpang dari segi sasaran ibadah, tetapi juga ketagih dengan persundalan keagamaan ini sehingga mereka melampiaskan hawa nafsu dalam agama asing (Hos 4:12-14). Oleh itu, Hosea menegur mereka dengan tegas kerana mereka ketagihan seks rambang dalam mencurahkan persundalan, dan tidak mahu kembali kepada Tuhan untuk menjalani kehidupan yang kudus.
Walaupun umat pilihan melakukan pengkhianatan dan kebobrokan dengan cara ini, namun Tuhan menggunakan perbuatan nabi Hosea menebus isterinya sebagai simbolik yang menunjukkan betapa tulusnya kasih Tuhan kepada umat pilihan. Tuhan selalu berharap agar mereka dapat berpatah balik, kerana Dia selalu mengasihi mereka (Hos 11:1-11). Harapan Tuhan terhadap umat pilihan adalah supaya mereka bertaubat dan berpatah balik. Selagi mereka rela benar-benar meninggalkan berhala, meninggalkan persundalan, memalingkan langkah dan berlari ke arah Tuhan, kasih Tuhan pasti akan menerima mereka kembali, dan menyelamatkan mereka dengan kasih setia (Hos 2:20-22, 14:5-9).
Kesimpulan kitab Hosea kembali ke tradisi kebijaksanaan / hikmat. “Siapa yang bijaksana, biarlah ia memahami semuanya ini; siapa yang paham, biarlah ia mengetahuinya; sebab jalan-jalan TUHAN adalah lurus, dan orang benar menempuhnya, tetapi pemberontak tergelincir di situ.” (Hos 14:10). Hosea mahu umat pilihan merenungkan tema utama kebijaksanaan / hikmat: “Permulaan hikmat adalah takut akan TUHAN, dan mengenal Yang Mahakudus adalah pengertian.” (Ams 9:10). Kemudian, mereka perlu membuat pilihan yang tepat dengan menjadi umat kudus yang bertaubat dan kembali kepada Tuhan sehingga mereka menerima terang dan berkat Tuhan.
PERBANDINGAN PERKATAAN-PERKATAAN PENTING
Oleh sebab kiasan teks Hosea yang istimewa, maka seluruh gulungan kitab ini penuh dengan kata-kata simetri. Perkataan-perkataan penting yang dijelaskan dan difahami sangat membantu kita dalam memahami kitab Hosea. Senarainya adalah seperti berikut:
MAKNA POSITIF | MAKNA NEGATIF | |
Allah | Tuhan | Baal |
Masa | Masa muda | Sekarang |
Lokasi | Padang gurun | Kanaan |
Tokoh | Nabi | Imam |
Hubungan | Perkahwinan | Seks, persundalan |
Hubungan | Suami | Perempuan sundal |
Sikap | Bertaubat / Kembali | Mengkhianati / Memberontak |