ORANG YANG BENAR AKAN HIDUP OLEH IMAN

ORANG YANG BENAR AKAN HIDUP OLEH IMAN

“Dan bahwa tidak ada orang yang dibenarkan di hadapan Allah karena melakukan hukum Taurat adalah jelas, karena: “Orang yang benar akan hidup oleh iman.”” (Gal 3:11, Hab 2:4).

 

TIDAK DAPAT DIBENARKAN KERANA MELAKUKAN HUKUM TAURAT

“Hukum Taurat” ialah perintah Tuhan. Hukum taurat juga boleh dikatakan sebagai permintaan hati nurani kerana isi hukum Taurat dan hati nurani adalah sama (Rm 2:14-15). “Dibenarkan” bermaksud diperhitungkan oleh Tuhan sebagai benar, ataupun dilihat oleh Tuhan sebagai benar kerana semua manusia dalam dunia tidak mempunyai kebenaran yang sedia ada (Mzm 51:7). Dengan itu kita dapat mengetahui bahawa “dibenarkan kerana melakukan hukum Taurat” bermaksud diperhitungkan oleh Tuhan sebagai benar dengan berpegang pada perintah Tuhan ataupun melakukan kebajikan dengan mematuhi permintaan hati nurani.

Yesus pernah mengatakan perumpamaan ini kepada beberapa orang yang menganggap dirinya benar dan memandang rendah semua orang lain: ”Ada dua orang pergi ke Bait Allah untuk berdoa; yang seorang adalah Farisi dan yang lain pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya begini: Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu, karena aku tidak sama seperti semua orang lain, bukan perampok, bukan orang lalim, bukan pezinah dan bukan juga seperti pemungut cukai ini; aku berpuasa dua kali seminggu, aku memberikan sepersepuluh dari segala penghasilanku.”” (Luk 18:9-12). Orang Farisi dalam perumpamaan ini beranggapan bahawa dia tidak berbuat apa-apa dosa. Namun dia tidak tahu bahawa menghina orang lain juga merupakan dosa (Ams 14:21). Dia juga beranggapan bahawa dia telah banyak melakukan kebajikan yang sepatutnya. Namun dia tidak tahu bahawa dia wajib melakukan seluruh hukum Taurat (Gal 5:3). Betapa salahnya konsep ini! Mengapa?

Sebagai contoh, terdapat seribu undang-undang dalam sebuah negara. Jika anda hanya melanggar satu undang-undang sahaja tetapi 999 undang-undang yang lain telah dipatuhi dengan baik, anda tetap disabitkan dengan kesalahan undang-undang. Kedua-dua hukum Taurat dan hati nurani menyatakan kehendak Tuhan dan membuatkan orang mengenal dosa. Walaupun hanya sekali sahaja anda mengingkari hukum Taurat atau hati nurani, perbuatan itu tetap memberontak terhadap kehendak Tuhan. Sebab barangsiapa menuruti seluruh hukum itu, tetapi mengabaikan satu bagian dari padanya, ia bersalah terhadap seluruhnya. Sebab Ia yang mengatakan: “Jangan berzinah”, Ia mengatakan juga: “Jangan membunuh”. Jadi jika kamu tidak berzinah tetapi membunuh, maka kamu menjadi pelanggar hukum juga (Yak 2:10-11).

1. Apabila berdiri di hadapan undang-undang negara, kamu mungkin boleh berkata bahawa kamu tidak ada dosa. Namun apabila berdiri di hadapan Tuhan, tentunya kamu sama sekali tidak boleh berkata bahawa kamu tidak ada dosa. Sebabnya adalah seperti berikut:

A. Kamu mempunyai dosa asal yang diwarisi daripada nenek moyang (Mzm 51:7).

B. Kamu mempunyai dosa tidak takut akan Tuhan dan tidak berpegang pada perintah-Nya (Pkh 12:13).

C. Kamu mempunyai dosa tahu harus berbuat baik tetapi tidak melakukannya (Yak 4:17).

Tanyalah pada diri sendiri, bukankah kamu mempunyai banyak dosa? Pada suatu ketika, semasa Tuhan Yesus duduk mengajar orang di dalam Bait Tuhan, ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi membawa seorang perempuan yang berbuat zinah kepada-Nya untuk menyusahkan-Nya. Mereka ingin melihat cara Dia mengendalikan perkara tersebut. Dia berkata kepada mereka: “Barangsiapa di antara kamu tidak berdosa, hendaklah ia yang pertama melemparkan batu kepada perempuan itu.”. Tetapi setelah mereka mendengar perkataan itu, pergilah mereka (Yoh 8:2-9). Ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi tersebut merupakan gambaran universal bagi orang-orang yang berdosa.

Tidak kira dari sudut undang-undang negara mahupun dari sudut penghakiman Tuhan yang adil, kebajikan yang dilakukan oleh seorang yang berdosa pastinya tidak dapat mengimbangi dosanya. Persoalan ini bagai bersuluhkan tengah hari. Berbuat baik merupakan kewajipan setiap orang dan langsung tidak berbaloi untuk dimegahkan. Sementara itu, bagi dosa yang dilakukan pula, dosa tersebut haruslah dijatuhi hukuman yang setimpal selepas melalui proses penghakiman barulah dikira sebagai adil dan munasabah. Sebab inilah yang membuatkan tidak ada seorang pun yang dapat dibenarkan di hadapan Tuhan kerana melakukan hukum Taurat. “Karena semua orang, yang hidup dari pekerjaan hukum Taurat, berada di bawah kutuk. Sebab ada tertulis: “Terkutuklah orang yang tidak setia melakukan segala sesuatu yang tertulis dalam kitab hukum Taurat.”” (Gal 3:10). “Karena hukum Taurat membangkitkan murka, tetapi di mana tidak ada hukum Taurat, di situ tidak ada juga pelanggaran.” (Rm 4:15).

 

ORANG YANG BENAR AKAN HIDUP OLEH IMAN

“Orang benar” yang dikatakan di sini merujuk kepada orang yang melakukan kebenaran. Walaupun orang benar sukar ditemui, namun kebenaran ini hanyalah diakui oleh masyarakat umum sahaja dan kebenaran ini bukanlah yang mutlak. Alkitab awal-awal lagi telah membuktikan bahawa semua orang dalam dunia ada di bawah kuasa dosa, tidak ada yang benar di hadapan Tuhan, seorang pun tidak (Rm 3:9-10, rujuk: Mat 19:17).

1. “Hidup” bermaksud beroleh hidup yang kekal. Isu ini merupakan isu yang paling penting dalam kehidupan manusia. Sebabnya adalah seperti berikut:

A. Semua yang hidup adalah seperti rumput dan segala kemuliaannya seperti bunga rumput, rumput menjadi kering, dan bunga gugur (1 Ptr 1:24).

B. Seorang yang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya dan tidak dapat masuk ke dalam hidup yang kekal tetap tidak ada gunanya (Mat 16:26).

C. Jika dapat diterima dalam kemuliaan yang kekal, ada juga keselesaan dan kebahagiaannya yang tidak terhingga walaupun hidup mengemis di dalam dunia (Luk 16:20-22). Walaupun orang benar mempunyai banyak perbuatan baik, namun mereka tetap tidak dapat hidup hanya dengan perbuatan baik tersebut. Hal ini adalah sama dengan perihal tidak ada orang yang dapat mengimbangi dosanya dengan perbuatan baik supaya dia dibenarkan di hadapan Tuhan.

Dalam zaman Nuh, adapun bumi itu telah rusak di hadapan Allah dan penuh dengan kekerasan. Allah menilik bumi itu dan sungguhlah rusak benar. Berfirmanlah Allah kepada Nuh: “Aku telah memutuskan untuk mengakhiri hidup segala makhluk, sebab bumi telah penuh dengan kekerasan oleh mereka, jadi Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama dengan bumi.”. Tuhan juga mengajarnya untuk membuat sebuah bahtera supaya seisi keluarganya dapat terpelihara hidupnya. Nuh percaya kepada kata-kata Tuhan. Nuh melakukan segala yang diperintahkan Tuhan kepadanya. Selepas Nuh masuk ke dalam bahtera, Tuhan benar-benar telah memusnahkan zaman itu dengan air bah (Kej 6:11-22, 7:6-23).

Walaupun Nuh hidup dalam dunia yang jahat, namun dia dapat memelihara kekudusannya, dan langsung tidak dinodai. Dia seorang yang benar yang amat jarang didapati (Kej 6:9). Namun nyawanya dapat terpelihara dalam air bah bukanlah kerana perbuatan baiknya, melainkan kerana imannya yang teguh dan tidak bergoncang. Maksudnya, jika Nuh tidak mempercayai kata-kata Tuhan dan tidak menyediakan bahtera seperti yang ditunjukkan oleh Tuhan, dia tetap tidak boleh mendapat hidup walaupun dia mempunyai banyak perbuatan yang baik. Sebaliknya, jika manusia yang berdosa dalam zaman itu mempercayai amaran Nuh dan masuk ke dalam bahtera sebelum air bah datang, mereka pasti boleh mendapat hidup walaupun mereka mempunyai banyak perbuatan yang jahat.

“Karena iman, maka Nuh–dengan petunjuk Allah tentang sesuatu yang belum kelihatan –dengan taat mempersiapkan bahtera untuk menyelamatkan keluarganya; dan karena iman itu ia menghukum dunia, dan ia ditentukan untuk menerima kebenaran, sesuai dengan imannya.” (Ibr 11:7). “ dan jikalau Allah tidak menyayangkan dunia purba, tetapi hanya menyelamatkan Nuh, pemberita kebenaran itu, dengan tujuh orang lain, ketika Ia mendatangkan air bah atas dunia orang-orang yang fasik.” (2 Ptr 2:5). Nampaknya, Nuh mendapat hidup dan dibenarkan oleh Tuhan berdasarkan imannya manakala manusia pada zaman itu dihukum dan dimusnahkan kerana tidak percaya.

 

BAGAIMANA HARUS PERCAYA / BERIMAN

Paulus berkata: “Sebab aku mempunyai keyakinan yang kokoh dalam Injil, karena Injil adalah kekuatan Allah yang menyelamatkan setiap orang yang percaya, pertama-tama orang Yahudi, tetapi juga orang Yunani. Sebab di dalamnya nyata kebenaran Allah, yang bertolak dari iman dan memimpin kepada iman, seperti ada tertulis: “Orang benar akan hidup oleh iman”.” (Rm 1:16-17). Oleh itu, “iman” dalam frasa orang yang benar akan hidup oleh iman ini harus “bertolak dari iman” dan “memimpin kepada iman”. Iman ini juga bermaksud percaya pada Injil Kristus dengan “iman”, dan mengikuti jejak Kristus dengan “iman”.

1. Bertolak dari iman

Terjemahan Lv Zhen Zhong menterjemahkan frasa ini sebagai “bermula dengan iman” iaitu iman sebagai permulaan langkah. Percaya dan dibaptis, dosa diampuni lalu dibenarkan (Mrk 16:16, Kis 2:38, 1 Kor 6:11) merupakan permulaan bagi mendapatkan kebenaran Tuhan.

Kornelius seorang yang saleh, ia serta seisi rumahnya takut akan Allah dan ia memberi banyak sedekah kepada umat Yahudi dan senantiasa berdoa kepada Allah (Kis 10:1-2). Malahan, hamba-hambanya juga membuat kesaksian baginya di hadapan rasul dengan berkata: “Kornelius, seorang perwira yang tulus hati dan takut akan Allah, dan yang terkenal baik di antara seluruh bangsa Yahudi.” (Kis 10:22). Jika dia tidak menerima anugerah keselamatan Yesus kerana imannya, dia tetap tidak mendapat hidup hanya berdasarkan kebenaran dirinya sendiri. Oleh itu, Tuhan mengutus malaikat untuk menampakkan diri kepadanya di dalam suatu penglihatan dan mengarahkannya supaya menyuruh beberapa orang untuk menjemput Petrus (Kis 10:5-8).

Petrus terima jemputan tersebut dan pergi ke rumahnya. Semasa memberitakan Injil kepada ahli keluarga Kornelius dan juga orang-orang miliknya, turunlah Roh Kudus ke atas semua orang yang mendengarkan pemberitaan itu lalu mereka tercengang-cengang. Lalu kata Petrus: “Bolehkah orang mencegah untuk membaptis orang-orang ini dengan air, sedangkan mereka telah menerima Roh Kudus sama seperti kita?” Lalu ia menyuruh mereka dibaptis dalam nama Yesus Kristus supaya mereka menjadi milik Tuhan (Kis 10:23-48). Kemudian, Petrus pergi ke Yerusalem dan melaporkan hal ini. Ketika mereka mendengar hal itu, mereka lalu memuliakan Allah, katanya: “Jadi kepada bangsa-bangsa lain juga Allah mengaruniakan pertobatan yang memimpin kepada hidup.” (Kis 11:1-18). Kita dapat mengetahui daripada peristiwa tersebut bahawa Kornelius dan semua orang miliknya mendapat hidup kerana mereka bertaubat dan percaya kepada Yesus dan bukannya bergantung pada perbuatan baik yang telah dilakukan oleh mereka.

Cuba kita renungkan: Kornelius yang terkenal baik di kalangan seluruh bangsa pun perlu percaya dan beriman kepada Yesus Kristus untuk mendapat hidup yang kekal. Maka bagaimanakah kamu boleh mendapat hidup dengan bergantung pada kebenaran diri sendiri? “Sebab karena kasih karunia kamu diselamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah, itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri.” (Ef 2:8-9).

A. Mengapakah Yesus dapat membuatkan orang yang percaya kepada-Nya dibenarkan di hadapan Tuhan?

  • Dia berkuasa mengampuni dosa. Kepada siapa pun yang Dia berkenan untuk diampuni dosanya, maka orang itu tidak mempunyai dosa (Mrk 2:5-12, Luk 7:47-50).
  • Dia tidak mengenal dosa namun dibuat-Nya dosa kerana kamu supaya dalam Dia kamu dibenarkan oleh Tuhan (2 Kor 5:21).
  • Dia menjadi jalan pendamaian yang ditentukan oleh Tuhan, dalam darah-Nya, kerana iman, kamu dibenarkan dengan cuma-cuma (Rm 3:24-25).
  • menurut hukum Taurat yang ditetapkan oleh Tuhan, darah mempunyai kuasa menyucikan noda dosa (Ibr 9:22). Oleh itu, oleh darah-Nya, kamu bukan sahaja dapat dibenarkan di hadapan Tuhan, bahkan dapat diselamatkan daripada murka Tuhan kelak (Rm 5:9, rujuk: Ibr 9:11-15).

B. Mengapakah Yesus dapat membuatkan orang yang percaya kepada-Nya mendapat hidup?

  • Dialah kebangkitan dan hidup. Kepada siapa pun yang Dia berkenan untuk dibangkitkan, orang itu akan bangkit (Yoh 11:25-26,43-44, Luk 7:12-15, 8:52-55).
  • Kematian-Nya adalah atas kehendak-Nya. Dia berkuasa memberikan nyawa dan berkuasa mengambilnya kembali (Yoh 1:18) kerana tidak mungkin Dia tetap berada dalam kuasa maut (Kis 2:23-24).
  • Dia mejadi anak daripada darah dan daging, supaya oleh kematian-Nya dan kebangkitan-Nya, Dia memusnahkan Iblis yang berkuasa atas maut (Ibr 2:14). Dengan itu, Dia dapat membuatkan semua yang percaya kepada-Nya berpindah dari dalam maut ke dalam hidup (Yoh 5:24).
  • Oleh kematian Dia, kamu diperdamaikan dengan Tuhan. Maka oleh kebangkitan-Nya juga, kamu akan diselamatkan (Rm 5:10). Apabila Dia datang kembali pada masa hadapan, kamu akan bangkit dan terangkat ke syurga (1 Kor 15:51-57, 1 Tes 4:13-18).

Oleh itu, bagaimanakah kamu harus percaya / beriman supaya dapat dibenarkan oleh Tuhan dan mendapat hidup? Soalan ini merupakan satu soalan yang paling penting.

Terdapat seorang Farisi yang bernama Nikodemus, seorang pemimpin agama Yahudi. Dia datang pada waktu malam kepada Yesus. Yesus berkata kepadanya: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya jika seorang tidak dilahirkan kembali, ia tidak dapat melihat Kerajaan Allah.” Kata Nikodemus kepada-Nya: “Bagaimanakah mungkin seorang dilahirkan, kalau ia sudah tua? Dapatkah ia masuk kembali ke dalam rahim ibunya dan dilahirkan lagi?” Jawab Yesus: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya jika seorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, ia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah.” (Yoh 3:1-5). “Dilahirkan dari air” bermaksud terima baptisan air. “Dilahirkan dari Roh” bermaksud terima baptisan Roh Kudus.

Pernyataan ini adalah sama dengan ayat yang dikatakan oleh Paulus: “Pada waktu itu Dia telah menyelamatkan kita, bukan karena perbuatan baik yang telah kita lakukan, tetapi karena rahmat-Nya oleh permandian kelahiran kembali dan oleh pembaharuan yang dikerjakan oleh Roh Kudus.” (Tit 3:5).

C. “Baptisan air mempunyai fungsi mengampuni dosa dan membenarkan kerana:

  • Dengan baptisan, dosa-dosamu disucikan (Kis 22:16) dan dosa-dosamu diampuni (Kis 2:38).
  • Orang yang dibaptis dalam Kristus telah mengenakan Kristus (Gal 3:27). Maksudnya, dosa orang yang berdosa menjadi milik Kristus manakala kebenaran Kristus menjadi milik orang yang berdosa (2 Kor 5:21).
  • Orang yang telah dibaptis dalam Kristus bermaksud dibaptis dalam kematian-Nya, dikuburkan bersama-sama dengan Dia, bangkit bersama-sama dengan Dia, telah bebas daripada dosa (Rm 6:3-7).

D. Mengapakah baptisan air mempunyai mempunyai fungsi mengampuni dosa dan membenarkan?

  • Darah yang dialirkan oleh Yesus dapat menyucikan kamu daripada segala dosa supaya kamu beroleh penebusan (1 Yoh 1:7, Ef 1:7).
  • Darah Yesus bukan sahaja memadai untuk menyucikan dosa-dosa kamu, bahkan dapat membuatkan kamu dibenarkan di hadapan Tuhan (Rm 5:9).
  • Yesus mengalirkan darah dan air (Yoh 19:33-35). Kini, dengan kesaksian Roh Kudus, air yang digunakan semasa Sakramen Pembaptisan adalah cukup memadai untuk menyatakan fungsi darah Yesus (1 Yoh 5:6-8).

Oleh itu, Petrus berkata dengan sangat yakin: “Juga kamu sekarang diselamatkan oleh kiasannya, yaitu baptisan — maksudnya bukan untuk membersihkan kenajisan jasmani, melainkan untuk memohonkan hati nurani yang baik kepada Allah — oleh kebangkitan Yesus Kristus.” (1 Ptr 3:21).

E. “Baptisan Roh juga merupakan salah satu syarat untuk memasuki kerajaan Tuhan dan kita sama sekali tidak boleh mengabaikannya kerana:

  • Apa yang dilahirkan dari daging, adalah daging, dan apa yang dilahirkan dari Roh, adalah Roh (Yoh 3:6). Kamu tidak hidup dalam daging, melainkan dalam Roh, jika memang Roh Allah (Roh Kudus) diam di dalam kamu (Rm 8:9).
  • Roh Kudus digelar sebagai “Roh yang memberi hidup” (Rm 8:2) dan juga digelar sebagai “air kehidupan” (Why 22:17, Yoh 4:14). Roh Kudus dapat membuatkan manusia memperoleh hidup yang kekal (Gal 5:25, Yeh 37:14).
  • Setelah terima Roh Kudus, kita telah disahkan dengan meterai sebagai anak-anak Tuhan, bahkan dapat menjadi ahli waris bersama-sama dengan Kristus dengan bersandarkan Tuhan (Rm 8:15-17, Gal 4:5-7).
  • Roh Kudus ialah jaminan bagi kebangkitan, terangkat ke syurga dan bahagian dalam kerajaan syurga (2 Kor 5:1-5, Ef 1:13-14). Jika tidak mempunyai Roh Kudus, bagaimanakah kamu mempunyai pengharapan ini? Oleh itu, Paulus mengatakan dengan jelas bahawa orang-orang yang percaya kepada Tuhan “mulai dengan Roh” (Gal 3:3). Dia berkata lagi: “Tetapi jika orang tidak memiliki Roh Kristus, ia bukan milik Kristus.” (Rm 8:9). Betapa seriusnya persoalan ini! Mungkin kamu merupakan seorang umat Kristian yang soleh, mungkin kamu mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia dengan segenap hatimu, mungkin kamu giat dengan kerja-kerja suci yang dipercayakan / diserahkan oleh Tuhan. Namun jika kamu tidak mempunyai Roh Kudus, kamu masih bukan milik Kristus, bahkan belum lagi bermula.

2. Memimpin kepada iman

Terjemahan Lv Zhen Zhong menterjemahkan frasa ini sebagai “diakhiri dengan iman” iaitu teguh berpegang sampai kepada akhirnya pada keyakinan iman yang semula (Ibr 3:14). Setelah dibaptis, jika kita percaya kepada Tuhan untuk seumur hidup kita, maka di hadapan Tuhan, saya tetap orang benar sehingga saat saya mati. Pernyataan ini juga menyatakan bahawa percaya / iman bukan sahaja merupakan titik permulaan bagi kehidupan umat Kristian, tetapi juga merupakan proses bagi kehidupan umat Kristian. Permulaan bagi dibenarkan ialah percaya / iman. Setelah itu, kita menempuhi jalan kekudusan juga hanya bersandarkan iman sahaja. Sedangkan Habakuk, seorang nabi dalam Perjanjian Lama juga menegaskan bahawa iman sebegini mempunyai kepentingan yang ketara. Ketika negara mereka berhadapan dengan tempoh kritikal iaitu ancaman asing semakin mendekati negara mereka, dia menyeru kepada rakyatnya supaya tetap berpegang pada iman terhadap Tuhan ini dan percaya pada kuasa-Nya (Hab 2:4). Paulus berkata, sikap percaya dan bersandar kepada Tuhan tetap merupakan syarat yang sama seperti yang Tuhan mahu kita miliki. Kepercayaan yang rendah hati ini membuatkan manusia diperhitungkan sebagai jujur pada mata Tuhan. Oleh itu, dengan iman apakah kita datang mengikuti Yesus Kristus?

A. Nilai iman terletak pada kebenaran

Setelah sasaran iman kepercayaan benar-benar dikenalpasti, maka haruslah ada ketaatan dan kepercayaan yang soleh terhadap Tuhan yang dipercayai. Sememangnya, tidak boleh tidak ada ketaatan dan kepercayaan dalam isi kandungan iman. Ketaatan dan kepercayaan ini bukan sekadar konsep keagamaan yang disebabkan oleh alam sekitar melainkan mempunyai gerak hati yang sebenar dan khusus di dalam roh – kewujudan Tuhan. “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.” Orang yang benar-benar beribadah kepada Tuhan bukan hanya melakukan ibadah secara mekanikal melainkan harus dengan iman yang benar, serahkan diri sendiri kepada Tuhan dan mentaati-Nya. Sebagai contoh, selepas Abraham meninggalkan Ur, tempat asalnya, dia berserah dan taat kepada Tuhan sepenuhnya. Dia percaya bahawa janji yang dijanjikan oleh Tuhan pasti akan dipenuhi. Iman ini iman yang benar. Walau bagaimanapun, iman orang Israel terhadap Tuhan bagi keturunan-keturunan yang seterusnya kebanyakannya hanyalah secara formaliti dan hipokrit. Oleh itu, Tuhan Yesus memetik kata-kata nabi Yesaya semasa menegur orang Israel pada ketika itu: “Bangsa ini memuliakan Aku dengan bibirnya, padahal hatinya jauh dari pada-Ku. Percuma mereka beribadah kepada-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah perintah manusia.” (Mat 15:8-9).

“Hatinya jauh dari pada-Ku” bermaksud tidak ada sasaran iman kepercayaan yang sebenar dan khusus di dalam roh – kewujudan Tuhan. Mereka hanya sekadar menunjukkan kemuliaan atas bibir sahaja demi keperluan formaliti. Pada hari ini, berkemungkinan ada juga orang yang percaya kepada Tuhan semata-mata kerana konsep agama yang disebabkan oleh beberapa persekitaran luaran. Mereka masih jauh daripada pengalaman sebenar tentang kewujudan Tuhan. Oleh itu, apabila persekitarannya berubah, maka “hati yang jahat dan yang tidak percaya” pun muncul dengan mengambil kesempatan. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan Yesus: “Hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi.” Dunia, kenikmatan hidup dan keuntungan / penghasilan sangat mudah merosakkan iman orang terhadap Tuhan (1 Yoh 2:15). Jika tidak mempunyai hati yang benar-benar mengasihi Tuhan, maka iman terhadap Tuhan itu hanyalah tempurung kosong.

Alkitab juga mencatatkan: “Banyak orang percaya dalam nama Tuhan, karena mereka telah melihat tanda-tanda yang diadakan-Nya. Tetapi Yesus sendiri tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, karena Ia mengenal mereka semua.” (Yoh 2:23). Mengapakah Tuhan tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka? Sebabnya adalah kerana motif mereka percaya kepada Tuhan adalah tidak murni. Tuhan tahu segala isi hati manusia. Mereka berkemungkinan datang mengikuti Tuhan kerana melihat angin, atau menjadi oportunis, ataupun untuk makan roti dan kenyang. Oleh itu, iman yang pasti dan benar langsung tidak mengandungi ramuan yang mempergunakan Tuhan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, iman yang pasti dan benar ini sepenuhnya berserah kepada Tuhan, mentaati Tuhan, percaya bahawa janji yang dijanjikan oleh Tuhan pasti akan dipenuhi dalam dirinya. Sebagai contoh, Abraham sepenuhnya percaya kepada Allah yang menghidupkan orang mati dan yang menjadikan dengan firman-Nya apa yang tidak ada menjadi ada (Rm 4:17).

B. Kepentingan iman terletak pada amalan / praktikal

Yakobus berkata: “Apakah gunanya, saudara-saudaraku, jika seorang mengatakan, bahwa ia mempunyai iman, padahal ia tidak mempunyai perbuatan? Dapatkah iman itu menyelamatkan dia?” (Yak 2:14). Fungsi utama iman adalah supaya manusia mendapat kasih karunia dan diselamatkan. Namun jika tidak ada amalan / praktikal, iman itu langsung tidak ada fungsinya. “Perbuatan” yang disebut oleh Yakobus bermaksud amalan tingkah laku adalah diperlukan untuk menyempurnakan pekerjaan iman yang belum diselesaikan selepas percaya kepada Tuhan dan setelah berada dalam peringkat menempuhi perjalanan syurgawi. Dalam erti kata yang lain, umat Kristian percaya kepada Tuhan dan dibaptis hanyalah titik permulaan bagi mendapatkan keselamatan, bukannya kesempurnaan terakhir bagi mendapatkan keselamatan. Oleh yang demikian, kerjakanlanlah keselamatan dengan takut dan gentar, dengan berdasarkan iman dan mendapat kuasa daripada perbuatan (Yak 2:22). Maksudnya, iman harus ada kerjasama dengan perbuatan untuk mencapai kejayaan akhir dalam mendapatkan keselamatan. Cuba kita lihat, dalam Ibrani fasal 11 iaitu fasal tentang “iman”, tokoh iman yang manakah yang tidak mempunyai penampilan perbuatan yang istimewa? Paulus juga amat menitikberatkan amalan / praktikal iman. Contohnya, dia berkata: “Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya.” (Ef 2:10). “Karena kasih karunia Allah yang menyelamatkan semua manusia sudah nyata. Ia mendidik kita supaya kita meninggalkan kefasikan dan keinginan-keinginan duniawi dan supaya kita hidup bijaksana, adil dan beribadah di dalam dunia sekarang ini. Dia yang telah menyerahkan diri-Nya bagi kita untuk membebaskan kita dari segala kejahatan dan untuk menguduskan bagi diri-Nya suatu umat, kepunyaan-Nya sendiri, yang rajin berbuat baik.” Ayat ini bermaksud selepas ada iman, harus ada amalan / praktikal perbuatan baik yang ditetapkan oleh Tuhan, hidup beribadah di dalam dunia, memelihara diri sendiri, memuliakan Tuhan dan memberi manfaat kepada manusia.

Bagi orang yang telah terima Roh Kudus, mereka telah terima kuasa yang besar dari atas. Kuasa ini lebih lagi menyatakan bahawa iman bukan tergantung pada hikmat manusia, tetapi pada kuasa Tuhan. Oleh itu, bukankah orang-orang yang telah terima Roh Kudus harus mempunyai prestasi yang lebih positif dan ketara dalam aspek amalan / praktikal iman, pembentukan segala sifat rohani serta usaha ke arah kehidupan yang kudus dan meninggalkan dunia? Tuhan Yesus pernah berfirman: “Maka Aku berkata kepadamu: Jika hidup keagamaanmu tidak lebih benar dari pada hidup keagamaan ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, sesungguhnya kamu tidak akan masuk ke dalam Kerajaan Sorga.” Walau bagaimanapun, bagi kebenaran kita, selain daripada kebenaran yang dianugerahkan oleh Tuhan berdasarkan kepercayaan (Flp 3:9), kebenaran itu juga ditampilkan dalam buah yang baik yang dihasilkan (Ibr 12:11, Yoh 15:16). Buah ini merupakan pertambahan bagi pelbagai kebajikan rohani (2 Ptr 1:5-8) yang beransur-ansur menjadi matang seiring dengan perkembangan kehidupan rohani. Buah ini harus banyak dihasilkan oleh setiap pemercaya untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Bagi orang-orang yang telah terima Roh Kudus, mereka lebih lagi harus berbuat demikian (Rm 7:4).

C. Iman harus melalui pencobaan

“Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan, apabila kamu jatuh ke dalam berbagai-bagai pencobaan, sebab kamu tahu, bahwa ujian terhadap imanmu itu menghasilkan ketekunan.” (Yak 1:2-3). Iman yang benar adalah tahan dicobai. Kualiti iman kita mungkin tidak cukup murni, maka Tuhan melatih dengan “berbagai-bagai pencobaan” untuk mencapai tahap “benar bahkan kudus”. “Benar” bermaksud tidak ada kepura-puraan, tidak ada kepalsuan. Natanael digelar oleh Tuhan sebagai “orang Israel” yang sebenar kerana tidak ada kepalsuan di dalamnya (Yoh 1:47). Betapa liciknya hati, lebih licik dari pada segala sesuatu, hatinya sudah membatu. Namun bagi orang yang percaya kepada Tuhan, hatinya tidak lagi ada kepura-puraan dan kepalsuan. Maka dengan itu mereka telah mempunyai syarat asas untuk menjadi seorang “umat Kristian yang sejati”. Setelah iman dicobai, maka pemercaya akan menjadi lebih benar dan kudus (1 Ptr 1:7).

Tambahan pula, “ujian terhadap imanmu itu menghasilkan ketekunan”. Iman dan ketekunan mempunyai kaitan dengan keselamatan. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Siapa yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan.” Dia juga berkata: “Orang yang bertahan sampai pada kesudahannya akan selamat.”, “Kalau kamu tetap bertahan, kamu akan memperoleh hidupmu.” dan sebagainya. Ayat-ayat ini bukan bermaksud bahawa iman sahaja tidak cukup untuk menjadikan manusia diselamatkan dan perlu ditambah dengan ketekunan. Ayat-ayat ini bermaksud bahawa iman menghasilkan ketekunan, dan ketekunan menyokong iman lalu dipelihara oleh Tuhan supaya “mempunyai bahagian dalam Kristus” serta mencapai penyempurnaan keselamatan yang terakhir.

Iman yang disertai dengan perbuatan ialah iman yang aktif. Iman yang disertai dengan ketekunan ialah iman yang teguh. Ketika iman kita dicobai, pencobaan itu menambahkan keteguhan iman kita iaitu supaya iman kita menjadi fleksibel dan yang tinggi tampak jauh, yang dekat julung bersua. Dengan itu, kita dapat menangani persekitaran yang kompleks dan berbahaya. Iman yang teguh ini dapat memberi kebaikan kepada semua orang apabila maju dan dapat mempertahankan diri apabila mundur. Seperti yang dikatakan dalam Alkitab: “Sebab itu janganlah kamu melepaskan kepercayaanmu, karena besar upah yang menantinya. Sebab kamu memerlukan ketekunan, supaya sesudah kamu melakukan kehendak Allah, kamu memperoleh apa yang dijanjikan itu. “Sebab sedikit, bahkan sangat sedikit waktu lagi, dan Ia yang akan datang, sudah akan ada, tanpa menangguhkan kedatangan-Nya. Tetapi orang-Ku yang benar akan hidup oleh iman, dan apabila ia mengundurkan diri, maka Aku tidak berkenan kepadanya.” Tetapi kita bukanlah orang-orang yang mengundurkan diri dan binasa, tetapi orang-orang yang percaya dan yang beroleh hidup.” (Ibr 10:35-39).

 

KESIMPULAN

Iman kita adalah kekurangan dan tidak menepati piawaian di hadapan Tuhan (Luk 18:8). Oleh itu, mohonlah kepada Tuhan supaya menambah iman, selalu mencurahkan Roh Kudus supaya kita dikuatkan dan diteguhkan di dalam batin (Ef 3:16) dan supaya oleh iman kita yang benar, Kristus diam di dalam hati kita (Ef 3:17). Jika kita tidak mempunyai bahagian dalam Kristus, maka kita tidak dapat diselamatkan. Jika Kristus tidak tinggal di dalam hati kita, maka kita juga tidak dapat diselamatkan. Asalkan kita mempunyai iman yang benar, Tuhan pasti membuatkan kita tinggal di dalam Kristus dan Kristus juga di dalam kita (Yoh 15:5). Oleh itu, Alkitab berfirman: “Ujilah dirimu sendiri, apakah kamu tetap tegak di dalam iman.” Jika tidak ada ataupun tidak menepati piawaian, maka mohonlah kepada Tuhan supaya dikaruniakan ataupun ditambahkan. Jika ada, maka kita perlulah teguh berpegang sampai pada akhirnya dan berlari ke hadapan. Marilah kita melakukannya dengan mata yang tertuju kepada Yesus, yang memimpin kita dalam iman, dan yang membawa iman kita itu kepada kesempurnaan.