PANDUAN PEMBACAAN KITAB KELUARAN

PANDUAN PEMBACAAN KITAB KELUARAN

 

Ketika Tuhan memanggil Abraham, Tuhan berjanji bahawa Tuhan akan menjadikan anak cucu Abraham banyak seperti bintang-bintang di angkasa dan debu tanah di tepi pantai, membuatkan mereka menjadi bangsa yang besar serta memberikan seluruh tanah Kanaan yang dijalaninya kepadanya sebagai warisan yang kekal (Kej 12:2, 13:16-17). Namun sejak Abraham berpindah ke tanah Kanaan dan tinggal sebagai orang asing di sana sehinggalah Yakub balik ke Hebron (Kej 35:27), tanah Kanaan telah didiami oleh penduduk daripada pelbagai bangsa. Keluarga Abraham, Ishak dan Yakub sering bertolak ansur dengan bidang kuasa orang lain sehinggakan adik-beradik tidak dapat tinggal bersama-sama di dalam sebuah warisan yang tetap (Kej 36:7). Ini pastinya akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan keseluruhan keluarga. Oleh itu, Tuhan mengaturkan keluarga Yakub tinggal sebagai orang asing di Mesir. Melalui sumbangan Yusuf kepada negara Mesir, mereka mendapat pengiktirafan daripada orang Mesir dan dapat diam di tanah Gosyen iaitu tempat yang sesuai untuk menggembalakan ternak (Kej 46:34). Yusuf mempunyai hikmat yang diberikan oleh Tuhan. Dia tahu bahawa bilangan seluruh keluarga Yakub dan juga hamba-hambanya mencapai beberapa ribu orang. Apabila mereka masuk ke Mesir, negara yang besar ini, mereka akan diasimilasikan dalam tempoh yang singkat. Oleh itu, dia mengambil langkah kuarantin dengan menggalakkan orang-orang di dalam keluarganya tetap menjadi gembala ternak dan dipisahkan daripada orang Mesir supaya kesinambungan murni keluarga Israel dapat terpelihara dan diwarisi. Walau bagaimanapun, Yusuf juga mengingatkan bangsanya untuk mempunyai hati yang takut akan Tuhan dan fahami kehendak Tuhan. Apabila masanya tiba, mereka akan maju ke tanah Kanaan untuk menerima warisan yang dijanjikan oleh Tuhan dan mereka tidak boleh jatuh cinta dengan Mesir (Kej 50:24-25). Setelah orang Israel tinggal sebagai orang asing di Mesir selama 430 tahun, setelah kegenapan waktu Tuhan, mereka dipimpin keluar dari Mesir, berjalan melalui padang gurun dan memasuki tanah Kanaan. Kitab Keluaran merupakan sejarah susulan umat pilihan dari kitab Kejadian supaya manusia dapat melihat anugerah penyelamatan dan penebusan Tuhan yang ajaib.

 

PENULIS

Musa, abdi Tuhan (kira-kira tahun 1520 SM – 1400 SM) dipilih untuk memimpin umat Israel keluar dari Mesir. Dia sendiri yang menaratifkan seluruh plot bagi peristiwa ini dan tindakan ini sememangnya amat bersesuaian. Riwayat hidup Musa boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Satu, bertumbuh besar di istana Mesir sehingga berusia empat puluh tahun, dididik dalam segala hikmat orang Mesir, namun dia tidak melupakan keturunan dan iman kepercayaannya (Ibr 11:24-25). Hal ini cukup untuk memperlihatkan pendidikan bangsa dan kepercayaan agama umat Israel yang kuat. Hal ini juga memperlihatkan pertimbangan Yusuf yang sempurna dan juga kejayaannya. Dua, menggembalakan domba di padang gurun selama empat puluh tahun dengan tujuan untuk melatih keperibadian Musa yang asal supaya dia matang dan menjadi seorang yang sangat lembut hatinya (Bil 12:3). Ketiga, ketika berusia lapan puluh tahun, Tuhan menampakkan diri kepadanya, mengutusnya balik ke Mesir untuk menggalas tanggungjawab yang berat lagi besar iaitu memimpin bangsanya keluar dari Mesir dan maju menuju ke tanah Kanaan.

 

LATAR BELAKANG MASA

Yusuf memandu seluruh keluarga Yakub masuk ke Mesir. Ketika itu, Mesir diperintah oleh dinasti yang dibangunkan oleh orang asing iaitu orang Hyksos. Dinasti ini berbuat baik kepada orang Israel dan hal ini menjadikan umat berkembang dengan pesat dalam suasana yang tenang. Selepas itu, orang tempatan Mesir mendapat semula kuasa politik dan mengusir orang Hyksos lalu membangunkan dinasti yang baru (kira-kira tahun 1580 SM). Dengan itu, bermulalah penganiayaan ke atas orang Israel, sama seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Kemudian bangkitlah seorang raja baru memerintah tanah Mesir, yang tidak mengenal Yusuf.” (Kel 1:8). Masa orang Israel keluar dari Mesir di bawah pimpinan Musa boleh didasarkan pada catatan dalam 1 Raja-raja: “Dan terjadilah pada tahun keempat ratus delapan puluh sesudah orang Israel keluar dari tanah Mesir, pada tahun keempat sesudah Salomo menjadi raja atas Israel, dalam bulan Ziw, yakni bulan yang kedua, maka Salomo mulai mendirikan rumah bagi TUHAN.” (1 Raj 6:1). Rumah Tuhan ini didirikan pada kira-kira tahun 966 SM. Oleh itu, adalah dianggarkan bahawa umat keluar dari Mesir pada kira-kira tahun 1446 SM.

 

UMAT DI MESIR

Ketika keluarga Yakub berpindah ke Mesir, mereka pada mulanya dialu-alukan dan dilayan dengan baik. Tuhan menjadikan mereka bangsa yang ramai di dalam persekitaran yang stabil dan makmur. Walau bagaimanapun, selepas pertukaran dinasti, orang Mesir mula menindas mereka. Dari sini kita dapat memahami bahawa:

 A.Status sebagai hamba

Mereka pada mulanya disambut baik, bebas dan merupakan umat pilihan Tuhan. Namun kini, “pengawas-pengawas rodi ditempatkan atas mereka untuk menindas mereka dengan kerja paksa, dan memahitkan hidup mereka dengan pekerjaan yang berat.” (Kel 1:11-14). Sebagai hamba, mereka langsung tidak mempunyai masa depan atau pengharapan. Mesir melambangkan dunia kebendaan. Jika manusia hanya hidup untuk mengejar kenikmatan dari segi kebendaan sahaja, mereka akhirnya pasti akan menjadi hamba kebendaan dan hati mereka akan dikuasai oleh raja dunia iaitu Iblis (rujuk Ef 2:1-2). Jika kita tidak mahu menjadi hamba, caranya hanyalah dengan keluar dari dunia. Dengan itu, kita dapat menikmati status yang bebas dan mengejar matlamat hidup yang kekal.

B. Perbekalan menjadi milik orang lain

“Mereka harus mendirikan bagi Firaun kota-kota perbekalan, yakni Pitom dan Raamses.” (Kel 1:11). Sebagai hamba, orang Israel bekerja keras dan berhempas pulas, namun semua hasilnya menjadi milik Firaun dan dirampas oleh orang Mesir. Segala yang dilakukan oleh manusia di dalam dunia ini juga adalah sedemikian. Apabila meninggal dunia, tiada seorang pun yang dapat membawa pergi sedikit kebendaan. Semuanya akan menjadi milik orang lain. Kesia-siaan inilah yang dikeluhkan oleh Salomo (Pkh 2:18-22).

C. Nyawa bangsa berhadapan dengan krisis

Orang Mesir tidak berpuas hati dengan pekerjaan yang berat yang dilakukan oleh orang Israel. Mereka memikirkan pelbagai cara untuk memusnahkan pemikiran umat: “memahitkan hidup mereka” (Kel 1:14), bahkan mahu menghapuskan bangsa ini (Kel 1:15-16). Jika umat terus tinggal di Mesir, bangsa mereka pasti akan dihapuskan. Jika orang-orang milik Tuhan tidak berjaga-jaga dan mempertahankan iman kepercayaan sebaliknya berkompromi dengan dunia, mereka juga pasti akan kehilangan nyawa.

D. Perlindungan Tuhan

Orang Mesir mahu menggunakan pelbagai kaedah untuk menindas dan menghapuskan orang Israel. Namun Tuhan tidak melupakan janji yang dibuat antara Dia dengan nenek moyang mereka. Dia melindungi orang Israel dengan pelbagai cara secara bersembunyi. Tindakan ini sesuatu yang berada di luar jangkaan orang Mesir. Walaupun diberikan kerja paksa dan ditindas, mereka makin bertambah banyak dan berkembang (Kel 1:12). Hal ini menyebabkan orang Mesir berasa sakit kepala dan hairan. Peristiwa ini juga memberi dorongan kepada orang-orang yang percaya dan bersandar kepada Tuhan. Tidak kira dalam mana-mana persekitaran, percayalah bahawa kuasa dan janji Tuhan tidak ada yang tidak dipenuhi supaya diri sendiri mendapat kekuatan baru.

E. Kehendak Tuhan

Orang Israel tidak disambut baik, bagaimana mereka terjerumus ke dalam situasi sebagai hamba? Jika Tuhan melindungi mereka, mengapa mereka perlu berhadapan dengan ancaman? Sebenarnya, ada kehendak Tuhan yang indah dalam hal ini. Kesukaran yang dihadapi membuatkan orang Israel tidak terbiasa dengan keadaan semasa lalu tamakkan kemewahan di Mesir dan melupakan pesanan nenek moyang (rujuk Kej 50:24) dan juga janji Tuhan. Mereka seharusnya pergi mendapatkan warisan sendiri.

 

PENYELAMATAN DAN PENEBUSAN TUHAN

Orang Israel berseru kepada Tuhan kerana perbudakan (Kel 2:23). Akhirnya, Tuhan meyelamatkan mereka sehingga mereka dapat meninggalkan perbudakan di Mesir dan masuk ke Kanaan, negeri yang baik itu. Dalam proses penyelamatan ini, kita dapat merenungkan perbuatan Tuhan yang ajaib.

 A.Tuhan memilih pekerja

Tuhan mendengar mereka mengerang. Tuhan juga menyediakan pekerja-Nya. Mula-mula sekali, Musa dilahirkan dalam masa yang bahaya (rujuk Kel 1:22). Namun Tuhan memberikan iman kepada ibu bapa Musa lalu mereka menyembunyikannya selama tiga bulan. Tuhan kemudian mengatur dan menggerakkan hati anak perempuan Firaun untuk menjaga Musa supaya dia dapat membesar di dalam istana dan mempunyai kuasa dalam perkataan dan perbuatannya. Namun semua ini masih tidak mencukupi. Tuhan membuatkan Musa melarikan diri ke padang gurun dan menggembalakan domba di sana selama empat puluh tahun untuk mengubah keperibadiannya yang mudah cemas, bengis dan berlagak pandai (Kel 2:12; Kis 7:25) supaya dia menjadi seorang yang sangat lembut hatinya. Tuhan kemudian menampakkan diri kepada dia untuk memberikan kuasa menjalankan tanda-tanda mukjizat dan rakan sekerja kepadanya. Tuhan juga mengutusnya untuk menggalas tanggungjawab yang berat iaitu memimpin umat keluar dari Mesir. Tuhan berbuat demikian kerana Dia tahu tentang kesusahan dan kepentingan kerja memimpin umat. Dia juga berharap agar pekerja-Nya tidak mengecewakan Dia dengan amanat ini. Orang-orang yang diberi peluang untuk menanggung pekerjaan Tuhan pada hari ini harus berasa bangga. Mereka bukan sahaja perlu sentiasa berjaga-jaga dan bekerja dengan sedaya upaya mereka. Mereka juga harus banyak memupuk pekerja-pekerja yang lain, sama seperti yang diperintahkan oleh Tuhan (Luk 10:2) dan yang diajarkan oleh rasul (2 Tim 2:2).

B. Pernyataan kuasa Tuhan

Seperti yang diumumkan oleh Tuhan kepada Musa terlebih dahulu: “Tetapi Aku tahu, bahwa raja Mesir tidak akan membiarkan kamu pergi, kecuali dipaksa oleh tangan yang kuat.” (Kel 3:19). Oleh itu, dengan kuasa-Nya yang besar, Tuhan meneguhkan tangan Musa supaya dia dapat menghadapi Firaun yang keras hati dengan berani, tidak tergoda dengan helahnya ataupun berkompromi (rujuk Kel 8:28, 10:11, 10:24) lalu membuat keputusan untuk memimpin semua orang dan segala milik mereka meninggalkan Mesir. Tuhan juga menyatakan kuasa-Nya apabila menyerang orang Mesir dengan sepuluh tulah dan menjatuhkan hukuman kepada semua allah di Mesir (Kel 12:12). Akhirnya, orang Israel dapat meninggalkan Mesir dengan aman, bahkan binatang pun tidak berani bersuara (Kel 11:7).

C. Penghakiman Tuhan yang adil

Tuhan adalah Yang Mahakuasa. Mengapa Dia tidak membuatkan orang Mesir takut dengan hanya sekali sahaja supaya umat dapat meninggalkan tempat itu dengan lebih awal? Dia telah menjalankan sepuluh tanda mukjizat yang besar. Kita dapat melihat kekerasan hati Firaun daripada peristiwa ini. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Bukankah sudah lama Aku dapat mengacungkan tangan-Ku untuk membunuh engkau dan rakyatmu dengan penyakit sampar, sehingga engkau terhapus dari atas bumi.” (Kel 9:15). Tuhan itu adil dan pengasih. Dia terlebih dahulu menghukum orang Mesir dengan kemusnahan yang berpengaruh kecil. Namun mereka tetap berkeras hati dan tidak bertaubat lalu Tuhan perlahan-lahan mempertingkatkan tahap kemusnahan ini. Melalui tulah-tulah ini, Tuhan memberi pengadilan kepada orang Israel (rujuk Kel 4:23). Malahan, ketika umat keluar dari Mesir, mereka meminta harta daripada orang Mesir dan demikianlah mereka merampasi Mesir (Kel 12:36) sebagai upah ke atas kerja keras mereka, Semua ini membuatkan kita melihat penghakiman Tuhan yang adil.

 

PIMPINAN DAN PENYEDIAAN TUHAN

Akhir sekali, selepas Tuhan membunuh semua anak sulung dalam keluarga Mesir, Firaun akhirnya mengaku salah dan membenarkan semua orang Israel meninggalkan Mesir dengan segala harta mereka. Populasi umat pada masa ini ada kira-kira enam ratus ribu orang laki-laki berjalan kaki, tidak termasuk anak-anak (Kel 12:37). Sebuah pasukan yang begitu besar keluar dari Mesir dan berjalan di padang gurun. Projek ini sememangnya rumit dan berat.

A. Melintasi Laut Teberau

Sebaik sahaja keluar dari Mesir, Tuhan memimpin umat berputar melalui jalan di padang gurun menuju ke Laut Teberau, bukannya melalui jalan ke negeri orang Filistin yang baik dan paling dekat (Kel 13:17-18). Hal ini membuatkan Firaun beranggapan bahawa umat telah sesat di padang gurun lalu berkeras hati semula dan menghantar rakyatnya untuk mengejar orang Israel sehingga ke tebing Laut Teberau. Apabila umat melihat keadaan ini, mereka mula bersungut-sungut kepada Tuhan dan Musa. Namun Tuhan ada kehendak-Nya yang indah. Dengan kuasa-Nya, Tuhan membelah air di Laut Teberau supaya umat dapat berjalan dari tengah-tengah laut di tempat kering. Dengan cara ini juga, Tuhan menghapuskan pasukan tentera Firaun dan menghukum kekerasan hatinya di samping mengukuhkan iman umat. Nampaknya, walaupun berhadapan dengan banyak rintangan dalam perjalanan mengikuti Tuhan, namun asalkan percaya dan bersandar kepada Tuhan, Dia pasti membuka jalan (rujuk 1 Kor 10:13).

B. Mencurahkan manna

Pada malam Tuhan membunuh anak sulung orang Mesir (Paskah), umat telah bersiap sedia. Pada pagi hari kedua, orang Mesir pun mengusir mereka supaya mereka meninggalkan tempat itu dengan kadar yang segera (Kel 12:39). Bekalan makanan yang mereka bawa adalah terhad. Oleh itu, setelah lebih sebulan berjalan di padang gurun, mereka mendapati bahawa mereka tidak lagi mempunyai bekalan makanan (Kel 16:1-3) lalu mereka terus bersungut-sungut. Untuk menyarai jemaat seramai dua juta orang memang bukan mudah. Namun kuasa Tuhan tidak terbatas. Dia mencurahkan manna dari atas dan memberi perintah kepada umat tentang cara mereka harus memungutnya (Kel 16:21-22) dan perintah ini harus dituruti sepenuhnya. Dia juga memberikan burung puyuh kepada umat untuk dimakan. Dengan itu, umat tidak kekurangan apa-apa dalam kehidupan mereka. Walaupun ada kalanya umat lemah, namun tidak ada satu hari pun manna tidak dicurahkan untuk menyarai mereka di padang gurun selama empat puluh tahun. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan: “Manusia hidup bukan dari roti sahaja, tetapi manusia hidup dari segala yang diucapkan TUHAN.” (Luk 4:4; Ul 8:3).

C. Memberikan air untuk diminum

Ketika berada padang gurun, air minuman merupakan salah satu keperluan yang paling penting selain makanan. Namun, air adalah sangat kekurangan dan sumber air juga sukar didapati. Walau bagaimanapun, jagaan Tuhan adalah sempurna. Ketika umat tidak mempunyai air untuk diminum, Tuhan memerintahkan Musa untuk memukul gunung batu dan dari dalamnya keluarlah air yang cukup untuk diminum oleh umat (Kel 17:1-7). Kita dapat melihat kuasa, kasih dan kesabaran Tuhan daripada pimpinan dan penyediaan Tuhan. Jika umat tahu bersyukur, maka iman mereka dapat terus bertumbuh besar dalam latihan di padang gurun supaya mereka dapat masuk ke Kanaan, mengalahkan musuh dan menerima warisan yang dijanjikan.

 

PEMBERIAN TUHAN

Sejak keluar dari Mesir sehingga masuk ke padang gurun dan berjalan ke bawah gunung Sinai, bahkan tinggal di bawah gunung ini selama kira-kira satu tahun (Kel 19:1, 40:17), ada Tuhan yang memberikan bekalan kepada mereka dalam aspek kebendaan. Hal yang lebih penting ialah, umat menerima pemberian Tuhan sebagai pertolongan, konsep dan pelayanan dalam iman kepercayaan mereka.

A. Tiang awan dan tiang api

Padang gurun tidak berpenghujung, panas pada masa siang dan dingin pada masa malam (rujuk Kel 33:40). Bagaimana harus berjalan tanpa tersesat dalam arah tujuan tetapi sebaliknya terjaga? Tuhan memberikan tiang awan pada siang hari dan tiang api pada waktu malam kepada umat-Nya sejak awal lagi (Kel 13;21-22) untuk menunjukkan arah perjalanan mereka. Pada waktu siang, tiang awan dapat menghindari sinaran terus matahari dan pada waktu malam, kehangatan api dapat menjauhkan mereka daripada kedinginan. Asalkan umat berjalan atau berkhemah mengikut tiang awan (Bil 9:22-23), mereka pasti tidak akan tersesat di padang gurun (rujuk Bil 10:33-34). Bagi orang-orang yang percaya dan bersandar kepada Tuhan pada hari ini, walaupun kita tidak dapat melihat tiang awan dan tiang api yang memimpin perjalanan di hadapan kita, namun kasih dan jagaan Tuhan tidak pernah berkurang ataupun berubah. Asalkan kita mempunyai hati yang takut akan Tuhan dan taat, Dia pasti akan memimpin langkah kita secara berterusan menurut kehendak-Nya yang indah (Mzm 37:23).

B. Hukum Taurat dan peraturan

Apabila umat tiba di bawah gunung Sinai, Tuhan berseru kepada mereka dengan berkata: “Kamu akan menjadi bagi-Ku kerajaan imam, bangsa yang kudus dan menjadi kesayangan-Ku sendiri dari antara segala bangsa.” (Kel 19:5-6). Tuhan juga memanggil Musa untuk naik ke puncak gunung. Musa berada di atas gunung Sinai selama empat puluh hari siang dan malam. Tuhan menyerahkan sepuluh hukum, ketetapan dan peraturan-Nya kepada umat melalui Musa. Tujuannya adalah supaya mereka dapat melakukannya untuk membangunkan kerajaan yang mempunyai kebijaksanaan, iman kepercayaan dan keindahan (Ul 4:5-6), menyempurnakan keinginan yang diumumkan oleh Tuhan dan menjadi saksi Tuhan yang indah di antara bangsa-bangsa (Yes 43:10).

C. Membina Khemah Pertemuan

Tuhan menunjukkan kepada Musa supaya memberitahu orang Israel: “Mereka harus membuat tempat kudus bagi-Ku, supaya Aku akan diam di tengah-tengah mereka.” (Kel 25:8). Ketika menampakkan diri kepada umat di gunung Sinai, Tuhan pernah mengumumkan dengan jelas: “Janganlah kamu membuat di samping-Ku allah perak.” (Kel 20:22-23). Walau bagaimanapun, Tuhan memerintahkan umat untuk membina Khemah Pertemuan kerana Khemah Pertemuan melambangkan penyertaan Tuhan supaya umat dapat merasakan penyertaan-Nya dan sentiasa belajar tentang ketaatan dan pelayanan. Khemah Pertemuan bukan allah perak melainkan tempat untuk umat mendekati dan melayani Tuhan. Oleh itu, Tuhan berpesan kepada Musa: “Menurut segala apa yang Kutunjukkan kepadamu sebagai contoh Kemah Suci dan sebagai contoh segala perabotannya, demikianlah harus kamu membuatnya.” (Kel 25:9). Umat menerima perintah Tuhan dan tergerak hati untuk memberi persembahan secara sukarela untuk membina Khemah Pertemuan, bahkan Musa perlu mengumumkan bahawa: “Tidak usah lagi ada orang laki-laki atau perempuan yang membuat sesuatu menjadi persembahan khusus bagi tempat kudus.” (Kel 36:3-7). Mereka juga menuruti arahan Tuhan dengan penuh berwaspada dan menyempurnakan pembinaan Khemah Pertemuan lalu mempersembahkannya kepada Tuhan dengan penuh sukacita. Orang-orang yang telah disucikan dengan darah Tuhan merupakan bait Tuhan. Gereja benar juga merupakan bait Tuhan. Oleh itu, kita harus menuruti arahan Tuhan – kebenaran, tidak berhenti-henti membangunakn diri sendiri supaya kemuliaan Tuhan mendapat pujian dalam diri kita.

D. Ajaran Tuhan

Jangka masa sejak keluar dari Mesir sehingga tinggal sementara di bawah gunung Sinai adalah kira-kira satu tahun. Apabila berhadapan dengan kesusahan, umat sering kehilangan iman dan bersungut-sungut. Hal ini terjadi terutamanya ketika Musa naik ke gunung Sinai untuk kali yang pertama dan tinggal di sana selama empat puluh hari lamanya. Umat yang berada di bawah gunung lantas melupakan kasih karunia Tuhan dan hukum yang diumumkan oleh Tuhan (Kel 20:23, 32:1). Mereka lalu membuat anak lembu tuangan emas dan menyembah kepadanya berdasarkan kehendak mereka sendiri. Tindakan ini membangkitkan murka Tuhan. Namun setelah Musa memohon kepada Tuhan dan menghukum mereka yang masih tidak tahu bertaubat (Kel 32:26-28), Tuhan sekali lagi berjanji untuk menyertai dan berjalan bersama dengan umat. Ketika berada di padang gurun, Tuhan mengajar umat melalui teguran, amaran bahkan penghakiman dan hukuman supaya mereka tidak gagal sepenuhnya. Demikianlah kasih dan kasih karunia Tuhan. Alkitab berfirman: “Tuhan menghajar orang yang dikasihi-Nya.” (Ibr 12:6). Oleh itu, janganlah kita mengabaikan peringatan kebenaran, gerakan dalaman dan amaran daripada Roh Kudus dan ajaran Tuhan. Dalam perjalanan menuju ke kerajaan syurga, kita haruslah senantiasa terima didikan, memperbetulkan jalan sendiri, tidak berhenti-henti mendapat kekuatan baru sehinggalah pada hari kita menerima warisan hidup yang kekal.