PANDUAN PEMBACAAN KITAB IMAMAT
Jika kita ingin membaca Alkitab menurut susunannya, kita membaca bermula dari kitab Kejadian. Selepas selesai membaca kitab Kejadian, kita merenungkan ciptaan Tuhan serta peristiwa Tuhan memilih Abraham dan mengikat perjanjian dengannya. Apabila kita teruskan pembacaan ke kitab Keluaran, kita dapat melihat bahawa Tuhan berpegang pada janji-Nya, menyelamatkan umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa dan keperkasaan-Nya, memimipin perjalanan mereka di padang gurun, menampakkan diri kepada mereka di bawah gunung Sinai, membentangkan kesepuluh firman-Nya serta memerintahkan umat untuk membangunkan Khemah Pertemuan. Tuhan menyatakan bahawa Dia berjalan bersama umat dan menyertai mereka dengan penempatan Khemah Pertemuan di tengah-tengah tempat umat berkhemah. Kedua-dua gulungan kitab ini membuatkan pembacaan kita penuh dengan keghairahan. Namun apabila membaca kitab Imamat, naratif ritualnya yang membosankan dan sukar kadang kala akan menghalang tekad kita dalam pembacaan Alkitab lalu kita berhenti membaca. Kadang-kala, kita mungkin melangkaui gulungan kitab ini tanpa membacanya untuk mengekalkan tekad pembacaan Alkitab. Sebenarnya, jika kita mengkaji dan merenungkan ayat-ayat Alkitab yang nampaknya membosankan ini dengan lebih terperinci, kita dapat melihat bahawa ayat-ayat ini dipenuhi dengan banyak permintaan dan berkat Tuhan.
Terdapat dua tema utama bagi kitab Imamat. Satu, orang yang takut akan Tuhan perlu mengejar kekudusan. Oleh itu, Tuhan tidak berhenti-henti menegaskan: “Sebab Akulah TUHAN, Allahmu, maka haruslah kamu menguduskan dirimu dan haruslah kamu kudus, sebab Aku ini kudus.” (Im 11:44, 19:2, 20:7, 21:8). Dua, melayani Tuhan adalah penuh dengan sukacita. Tema-tema ini boleh dibahagikan kepada beberapa perenggan:
KEKUDUSAN PELAYANAN
Dalam fasal 1-10, Tuhan berpesan kepada umat tentang cara untuk memberikan persembahan korban secara terperinci. Dari sini kita dapat memahami bahawa hanya pelayanan yang menurut kehendak Tuhan dan dengan hati yang kudus akan berkenan kepada Tuhan.
1. Jenis-jenis persembahan korban
Berdasarkan bahan-bahannya, persembahan korban terbahagi kepada persembahan berupa korban darah (iaitu persembahan korban yang mengalir darah dengan mengorbankan korban bakaran seperti lembu jantan, domba, kambing, burung tekukur, burung merpati) dan persembahan berupa korban sajian (iaitu dengan hasil-hasil tani seperti bijirin dan buah). Bagi sifat persembahan korban, persembahan korban boleh dibahagikan kepada korban bakaran, korban sajian, korban keselamatan, korban penghapus dosa, korban penebus salah dan korban persembahan pentahbisan. Setiap jenis persembahan korban harus dipersembahkan menurut permintaan dan masa yang ditetapkan oleh Tuhan.
2. Makna persembahan korban
Ketika umat Israel tiba di bawah gunung Sinai selepas keluar dari Mesir, Tuhan berseru kepada mereka melalui Musa: “Kamu akan menjadi bagi-Ku kerajaan imam dan bangsa yang kudus.” (Kel 19:6). Oleh itu, umat dapat mempersembahkan korban kepada Tuhan dengan pelbagai bahan korban merupakan kasih karunia yang diberikan oleh Tuhan. Hari ini, kita merupakan “bangsa yang terpilih, imamat yang rajani” (1 Ptr 2:9). Walaupun Tuhan Yesus telah menggenapi anugerah keselamatan dan kita tidak lagi perlu mempersembahkan korban dalam bentuk binatang atau hasil bijirin kepada Tuhan, namun daripada persembahan korban umat, kita dapat memahami semangat dan maknanya:
A. Menunjukkan pemikiran tentang mendekati Tuhan
Habel dan Kain mempersembahkan korban kepada Tuhan (Kej 4:3-4). Persembahan korban ini merupakan persembahan korban manusia kali yang pertama. Mereka percaya dan berbuat demikian pastinya kerana mereka mendapat tahu tentang kewujudan Tuhan daripada ibu bapa mereka. Mereka juga tahu bahawa mereka harus takut akan Tuhan dan melayani-Nya. Kemudian, Abraham mengikuti Tuhan, mendirikan mezbah dan mempersembahkan korban di merata tempat (Kej 12:8, 13:18) juga menunjukkan pemikiran mereka untuk mendekati Tuhan dan melayani Tuhan. Hari ini, kita juga harus tidak henti-henti berdoa, terima ajaran firman Tuhan dan menjalani kehidupan yang dekat kepada Tuhan. Dengan itu, kita dapat terus bertumbuh besar, menantikan dan menyongsong kedatangan Tuhan lalu tinggal bersama dengan Dia untuk selama-lamanya.
B. Menunjukkan pemikiran tentang bersyukur
Nuh keluar daripada bahtera selepas air bah lantas mendirikan mezbah untuk mempersembahkan korban. Persembahan korban ini boleh dikatakan sebagai persembahan korban bagi bermulanya satu dunia yang baru dan penuh dengan kesyukuran kepada Tuhan (Kej 8:20). Tuhan menampakkan diri kepada Ishak lalu dia tinggal di negeri yang dikatakan oleh Tuhan. Kemudian, dia berhadapan dengan iri hati, serangan dan penganiayaan orang lain. Walau bagaimanapun, dia dipelihara dan dijaga oleh Tuhan. Oleh itu, dia mendirikan mezbah dan mempersembahkan korban serta memanggil nama Tuhan (Kej 26:1-25). Setiap kali umat Israel mendapat hasil tuaian, menyambut perayaan atau merasakan kasih karunia Tuhan, mereka perlu mempersembahkan pelbagai jenis korban untuk menunjukkan kesyukuran kepada Tuhan. Hari ini, kita juga sering mendapat pimpinan, penyelamatan dan pemeliharaan Tuhan sehinggakan kita dapat menerima damai sejahtera yang diberikan oleh Tuhan (Yoh 14:27). Oleh yang demikian, kita haruslah selalu datang ke hadapan Tuhan untuk beribadah kepada-Nya dan bersyukur atas kasih Tuhan yang agung.
C. Menunjukkan pemikiran tentang memohon
Apabila umat Israel berhadapan dengan serangan musuh yang kuat iaitu orang Filistin, mereka meminta nabi Samuel untuk berseru kepada Tuhan. Oleh itu, nabi mempersembahkan korban kepada Tuhan, memohon pertolongan dan penyelamatan Tuhan. Dalam peperangan tersebut, orang Israel dapat menewaskan orang Filistin (1 Sam 7:7-13). Ketika Hizkia menjadi raja, dia memahami bahawa meninggalkan Tuhan yang benar di syurga merupakan dosa yang amat besar dan juga punca kepada malapetaka. Oleh itu, dia memerintahkan orang Lewi untuk menguduskan bait suci dan memimpin seluruh umat di dalam kerajaannya mempersembahkan korban kepada Tuhan serta memohon pengampunan daripada Tuhan (2 Taw 29:1-24). Hari ini, melalui doa, kita juga harus membuat refleksi diri, memohon Tuhan mengampuni dosa dan pelanggaran kita, memohon Tuhan terus memelihara dan memimpin kita supaya kita dapat bertahan dalam iman kepercayaan kita sampai pada kesudahannya.
D. Menunjukkan pemikiran tentang membayar nazar
Jika orang Israel membuat apa-apa nazar, apabila waktunya genap (rujuk Bil 6:13) atau merasakan bahawa Tuhan telah menggenapinya (rujuk Bil 15:8), mereka haruslah mempersembahkan korban untuk membayar nazar. Tindakan ini bertujuan untuk bersyukur kepada Tuhan dan berpegang pada janji. Oleh itu, Alkitab mengingatkan kita: “Kalau engkau bernazar kepada Allah, janganlah menunda-nunda menepatinya.” (Pkh 5:3).
E. Menunjukkan pemikiran tentang memegang jabatan kudus
Persembahan korban ini merupakan persembahan korban khas yang dibuat oleh Harun dan anak cucunya apabila mereka memegang jabatan imam (Im 8). Persembahan korban ini menunjukkan betapa berwaspadanya mereka apabila mereka menerima kerja yang diberikan oleh Tuhan dan betapa mulianya tugas jabatan ini. Pada hari ini, kita yang berada dalam Tuhan Yesus lebih lagi perlu menanggung pelayanan yang mendamaikan manusia dengan Tuhan dan mendamaikan manusia dengan manusia (2 Kor 8:18-19). Maka, “persembahkanlah tubuhmu sebagai persembahan yang hidup, yang kudus dan yang berkenan kepada Allah: itu adalah ibadahmu yang sejati.” (Rm 12:1). Tindakan ini adalah supaya kita dapat melaksanakan kewajipan kita dengan sebaiknya dan melayani Tuhan dengan bersungguh-sungguh dalam seumur hidup kita.
3. Cara mempersembahkan korban
Kain dan Habel sama-sama mempersembahkan korban kepada Tuhan, namun kesudahan mereka adalah tidak sama (Kej 4:3-5). Tuhan dengan sekeras-kerasnya mengumumkan: “Dan apabila kamu menyembelih korban syukur bagi TUHAN, kamu harus menyembelihnya sedemikian, hingga TUHAN berkenan akan kamu.” (Im 22:29). Bagaimana kita harus mempersembahkan korban (melayani Tuhan) supaya berkenan kepada-Nya bahkan mendapat berkat yang diberikan oleh-Nya?
A. Kenali Tuhan sebagai yang tunggal dan esa
Dalam kesepuluh firman, hal yang mula-mula dikatakan oleh Tuhan ialah: “Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku.” (Kel 20:3). Oleh itu, umat harus mempunyai pemikiran yang setia iaitu hanya mempersembahkan korban kepada Tuhan yang di syurga. Janganlah kita mempersembahkan kepada Tuhan dan mempersembahkan kepada banyak berhala pada masa yang sama. Hari ini, kita haruslah mempunyai “kesetiaan yang sejati kepada Kristus” (rujuk 2 Kor 11:3) dan mengikuti-Nya sampai pada kesudahannya.
B. Menurut cara yang dikatakan oleh Tuhan
Jika kita ingin mempersembahkan korban kepada Tuhan dan beribadah kepada-Nya, kita tidak boleh melakukannya berdasarkan kesukaan, minat dan cara masing-masing melainkan sepenuhnya menurut cara yang ditunjukkan oleh Tuhan. Sebagai contoh, Tuhan tunjukkan cara membuat Khemah Suci kepada Musa (Kel 25:9). Hal ini juga sama seperti kitab Imamat tidak henti-henti menyatakan cara setiap jenis persembahan korban dilakukkan secara terperinci kerana ada pengajaran yang indah dan kehendak yang ingin ditunjukkan oleh Tuhan (Ibr 8:1-5). Hari ini, ketika melayani Tuhan, kita juga tidak boleh melakukannya berdasarkan pemahaman, kesukaan dan keperibadian masing-masing. Kita hanya dapat benar-benar bersatu hati membangunkan gereja (jemaat) yang berkenan kepada Tuhan dengan cara memandang berat tentang kebenaran dalam Alkitab serta mengejar untuk memahami dan mentaati kehendak Tuhan.
C. Harus mempunyai hati yang jujur
Mengapa Tuhan tidak berkenan kepada persembahan korban orang Israel? Kadang-kala, puncanya adalah kerana mereka tidak benar-benar mengenali Tuhan dan telah bercampur dengan banyak kebiasaan berhala (rujuk Am 5:21-26). Kadang-kala, mereka beranggapan bahawa persembahan korban boleh menebus dosa, namun perbuatan mereka tidak berpadanan dengan kepercayaan mereka dan mereka tidak bertaubat dengan hati yang jujur (Yes 1:10-15). Kadang-kala pula, mereka tidak memandang berat tentang iman kepercayaan. Mereka hanya melakukannya menurut warisan nenek moyang mereka lalu melakukannya secara ala kadar dan sembarangan (rujuk Mal 1:6-8). Tuhan adalah mahatahu. Oleh itu, kita haruslah menurut perintah Tuhan iaitu beribadah kepada-Nya dalam roh dan kebenaran.
D. Menurut kemampuan peribadi
Bahan persembahan korban yang ditetapkan oleh Tuhan adalah bermula daripada lembu jantan hinggalah kepada burung tekukur atau burung merpati. Tujuan utama-Nya adalah supaya setiap orang dapat mempersembahkan korban menurut kemampuan diri sendiri dan tidak perlu memaksa diri. Asalkan persembahan korban dilakukan secara rela hati sudah cukup memadai. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab jika kamu rela untuk memberi, maka pemberianmu akan diterima, kalau pemberianmu itu berdasarkan apa yang ada padamu, bukan berdasarkan apa yang tidak ada padamu.” (2 Kor 8:12). Tambahan pula, Dia akan memberikan lebih banyak sumber dan memotivasikan kita untuk banyak melakukan kerja Tuhan.
E. Harus melalui tangan imam
Apabila umat Israel mahu mempersembahkan korban kepada Tuhan, mereka perlu melakukannya melalui tangan imam dan tidak boleh mempersembahkan korban menurut kehendak sendiri (Im 1:5). Biar raja sekalipun, mereka tidak boleh berbuat sesuka hati. Sebagai contoh, kegagalan raja Salomo (1 Sam 13:9-14) dan raja Uzia dihukum (2 Taw 26:16-20). Hal ini demikian kerana hal persembahan korban akan digenapkan di atas tubuh Tuhan Yesus (Ibr 10:1-10). Hari ini, manusia hanya dapat datang ke hadapan Tuhan melalui Tuhan Yesus (Yoh 14:6). Manusia juga mempunyai pengharapan hidup yang kekal kerana Tuhan Yesus.
KEKUDUSAN KEHIDUPAN
Pelayanan sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan. Manusia tidak boleh berkata mahu takut akan Tuhan pada satu sisi tetapi menjalani kehidupan yang cabul, menindas orang lain dan tamak pada satu sisi yang lain (rujuk Mat 23:25-26; Luk 20:46-47). Oleh itu, Tuhan berharap agar umat dapat menjalani kehidupan yang kudus melalui pelbagai jenis permintaan terhadap mereka dalam kehidupan.
1. Kekudusan dari segi pemakanan
Imamat fasal 11 mencatatkan binatang yang haram dan yang tidak haram yang ditunjukkan oleh Tuhan. Dari segi pemakanan, pada satu sisi, Tuhan berpesan kepada umat untuk memperhatikan kebersihan dan kesihatannya, manakala pada satu sisi yang lain, Tuhan mahu mereka belajar tentang kehidupan yang dikuduskan (Im 11:43).
2. Kekudusan dari segi tubuh badan
Fasal 12 hingga 17 mencatatkan peraturan ketahiran yang berkenaan dengan tubuh badan. Peraturan ini bertujuan supaya “menghindarkan orang Israel dari kenajisannya, supaya mereka jangan mati di dalam kenajisannya, bila mereka menajiskan Kemah Suci-Ku yang ada di tengah-tengah mereka itu.” (Im 15:31).
3. Kekudusan dari segi hubungan interpersonal
Dalam fasal 18 hingga 20, Tuhan berpesan kepada umat melalui Musa untuk menghormati Tuhan dan manusia, menjalani kehidupan yang harmoni, kudus dan saling menghormati dalam aspek perkahwinan, kekeluargaan dan hubungan interpersonal.
4. Pengajaran penting
Kini, kita tidak lagi dikawal oleh sebahagian daripada peraturan-peraturan dalam kehidupan ini (rujuk Kol 2:16-17). Contohnya: “makanan minuman dan pelbagai macam pembasuhan, hanyalah peraturan-peraturan untuk hidup insani, yang hanya berlaku sampai tibanya waktu pembaharuan.” (Ibr 9:10). Walau bagaimanapun, semangat iman kepercayaan yang ingin dinyatakannya adalah tidak berkesudahan dan tidak boleh diabaikan, bahkan harus diusahakan:
A. Mempunyai hati yang takut akan Tuhan
Dalam peraturan yang banyak ini, kita dapat melihat bahawa Tuhan menjaga umat-Nya. Contohnya dalam peraturan yang berkaitan dengan pemakanan (fasal 11), walaupun ada di antaranya yang tidak dapat kita fahami sepenuhnya, namun berdasarkan persekitaran dan perubatan pada masa tersebut, peraturan itu pastinya mempunyai kaitan dengan kesihatan umat. Oleh itu, umat harus mempunyai hati yang takut akan Tuhan. Seperti yang diumumkan oleh Tuhan: “Sebab Akulah TUHAN yang telah menuntun kamu keluar dari tanah Mesir, supaya menjadi Allahmu.” (Im 11:45). Tidak perlu bertanyakan sebabnya sesuatu makanan itu tidak boleh dimakan atau sesuatu perkara itu tidak boleh dilakukan. Begitu juga dengan kita pada hari ini. Jika kita mempunyai hati yang murni dan taat, akhirnya kita pasti memahami kehendak Tuhan dan menerima berkat.
B. Mempunyai hati yang dikuduskan
Semua peraturan tentang pemakanan, peraturan tentang sakit kusta dan permintaan-permintaan lain adalah supaya umat belajar untuk membezakan diri menjadi yang kudus daripada kehidupan yang paling asas. Dengan itu, umat tidak akan mencontohi bangsa-bangsa lain di sekeliling mereka dalam aspek pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak baik dan terutamanya tidak boleh mencontohi perbuatan mereka yang mempercayai pelbagai kepercayaan takhayul (rujuk Im 19:26-29). Pada hari ini, kita harus berjaga-jaga, jangan berkompromi dengan dunia dan jangan diasimilasikan. Sebaliknya, jadilah terang dan garam dunia untuk menarik perhatian lebih ramai orang supaya mereka datang ke hadapan Tuhan untuk melayani Tuhan.
C. Mempunyai hati yang hormat dan setia
Dalam peraturan-peraturan ini, kita dapat melihat bahawa Tuhan mengkehendaki supaya umat mempunyai hati yang saling menghormati dan mengampuni. Contohnya orang yang sakit kusta harus tinggal terasing di luar perkhemahan dan memberitahu orang lain (Im 13:46). Jika seseorang terlibat dengan orang yang najis, usah bersungut-sungut, tahirkanlah dirinya sendiri (Im 15:6). Oleh itu, Tuhan berpesan: “Janganlah engkau membenci saudaramu di dalam hatimu, janganlah engkau menuntut balas, dan janganlah menaruh dendam terhadap orang-orang sebangsamu.” (Im 19:17-18). Adalah diharapkan supaya setiap orang dapat mempelajari semangat ini.
D. Mempunyai hati yang bersyukur
Daripada peraturan-peraturan ini, Tuhan mahu kita mempunyai hati yang bersyukur kerana manusia hidup bukan dari roti sahaja. Segalanya ialah pemberian Tuhan. Jika seseorang tahu bersyukur, tentunya dia juga akan saling membiayai menurut pesanan Tuhan (Im 19:9-14) supaya lebih ramai orang dapat berkongsi kasih karunia Tuhan. Percayalah bahawa dalam suasana yang saling membantu dan saling mengasihi, manusia pastinya dapat hidup dengan lebih bermaruah dan lebih meluas.
KEKUDUSAN PEKERJA
Melayani Tuhan bukan hanya menurut cara yang ditunjukkan oleh Tuhan. Bagi pekerja yang melayani Tuhan – imam, dia hidup di antara Tuhan dengan manusia, mengajar umat tentang cara mempersembahkan korban bagi menebus dosa, membuat permohonan, memanjatkan kesyukuran dan mempersembahkan pelbagai korban bagi pihak manusia. Mereka haruslah menerima latihan dan memenuhi permintaan yang lebih ketat berbanding orang biasa untuk berkenan kepada Tuhan dan menanggung jabatan yang sebegini penting. Imamat fasal 21 dan 22 mencatatkan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh imam. Kita mengambil beberapa semangat yang penting daripadanya sebagai matlamat usaha bagi mereka yang terpilih sebagai pemercaya setia dalam bangsa imamat (1 Ptr 2:9) pada hari ini:
A.Harus memandang berat tentang jabatan sendiri
Jabatan imam bukanlah diperoleh dengan cara sendiri (Ibr 5:5). Jabatan ini merupakan pemberian Tuhan. Oleh itu, Tuhan berfirman: “Sebagai suami janganlah ia menajiskan diri di antara orang-orang sebangsanya dan dengan demikian melanggar kekudusannya.” (Im 21:4). Dalam hidup, mereka harus sentiasa berjaga-jaga dan menyelidiki diri serta tidak boleh mencontohi manusia duniawi. Begitu juga kita pada masa kini.
B. Harus ada perkahwinan yang sihat dan sempurna
Suami isteri merupakan teman pewaris dari kasih karunia, iaitu kehidupan. Isteri ialah penyokong utama bagi suami melayani Tuhan. Oleh itu, Tuhan mempunyai permintaan yang sangat ketat terhadap imam dalam aspek perkahwinan (Im 21:7,13-14) supaya suami isteri mempunyai iman untuk melayani Tuhan bersama-sama. Dalam zaman yang mementingkan diri sendiri dan cabul ini, kita harus memohon supaya Tuhan memelihara kita.
C. Harus cekap dalam mengajar anak-anak
Orang yang menjadi imam haruslah cekap dalam memupuk anak lelakinya supaya mereka mempunyai iman kepercayaan yang baik dan mewarisi kerja imam. Janganlah menjadi seperti dua orang anak Eli yang akhirnya menyebabkan keluarga mereka mendapat malu. Imam haruslah mengajar anak perempuannya supaya mereka mempunyai akhlak yang baik dan kelak dapat menjadi penolong yang baik bagi suami mereka. Pelayanan seperti ini dapat menjadikan kerajaan Tuhan berkembang dan dibangunkan.
D. Harus cekap dalam mengawal emosi
Dalam perintah Tuhan kepada imam tentang cara berhadapan dengan kematian saudara terdekat (Im 21:1-6, 10-12), Tuhan memperingatkan imam supaya jangan menajiskan diri dan melanggar kekudusan sendiri di samping harus mengawal emosi dan menunjukkan iman terhadap Tuhan. Apabila ada saudara yang meninggal, walaupun kita berasa keberatan dari segi jasmani, namun perasaan itu bukan bermaksud putus harapan. Sebaliknya, percayalah bahawa mereka telah kembali kepada Tuhan. Hari ini, dalam apa jua persekitaran dan cabaran, belajarlah untuk bertenang, berserah kepada Tuhan, kawal emosi dan selesaikanlah masalah dengan berpandukan kebenaran.
E. Pegang cara pembahagian dan taat
Dalam perintah di (Im 21:16-21), bagi imam yang ada penyakit sejak dilahirkan dan tidak berkemampuan dalam pekerjaannya, mereka tidak kehilangan hak mereka ke atas persembahan korban dan hal ini tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, imam haruslah saling berpegang pada cara pembahagian dan mentaati perintah Tuhan. Pada hari ini, karunia yang diterima oleh setiap pemercaya adalah tidak sama. Maka, kita haruslah saling menghormati, berpegang pada kewajipan masing-masing, melaksanakan tugas dengan cekap dan saling menjaga. Dengan itu, pastinya kita akan menerima hasil yang lebih besar.
E. Harus menerimanya dengan kesyukuran
Terima jabatan imam bermaksud terima pemberian Tuhan serta dapat menikmati korban dan hadiah yang dipersembahkan oleh umat. Para imam haruslah bersyukur dan menghormati korban-korban ini serta harus mengajar ahli keluarga (rujuk Im 22:9-10) untuk tidak membazir atau jangan tidak suka kepadanya. Tidak kira banyak ataupun sedikit yang kita peroleh pada hari ini, semuanya ialah kasih karunia Tuhan. Janganlah saling mencemburui. Sebaliknya, kita haruslah bersyukur dan gunakan segalanya dengan cekap. Kumpullah kekayaan yang lebih banyak di syurga.
SUKACITA PELAYANAN
Fasal 23 hingga 27 mencatatkan Tuhan memberikan pelbagai hari perayaan kepada umat dan berjanji bahawa mereka yang berpegang pada perintah Tuhan pasti akan menerima banyak berkat. Hal ini membuatkan kita faham bahawa Tuhan berharap agar orang-orang yang melayani-Nya dapat menjalani kehidupan yang sukacita, tahu rasa cukup, berpengharapan dan dapat beristirahat. Alangkah manisnya dapat melayani Tuhan yang di syurga.
A. Dapat menikmati istirahat
Pada hari perayaan, Tuhan berpesan kepada umat: “Janganlah kamu melakukan sesuatu pekerjaan berat.”. Tuhan memberi peluang kepada tubuh jasmani manusia untuk mendapatkan istirahat dan roh mendapat damai sejahtera melalui pesanan ini. Oleh itu, janganlah gelisah kerana manusia hidup dengan bersandarkan kasih karunia dan jagaan Tuhan.
B. Dapat beribadah kepada Tuhan
Jangan melakukan pekerjaan di dunia bukan bermaksud tidak berbuat apa-apa melainkan “harus ada pertemuan kudus”, berkumpul untuk beribadah kepada Tuhan ataupun mempersembahkan pelbagai korban kepada Tuhan (Im 23:12). Alangkah indahnya seisi keluarga bersama-sama beribadah kepada Tuhan yang benar dan pada masa yang sama dapat memuji Tuhan bersama dengan semua orang. Suasana yang bersukaria ini pastinya membuatkan orang mendapat sukacita yang besar.
D. Dapat memperingati perbuatan Tuhan dan bersyukur
Semasa hari-hari perayaan, tidak kira dalam aspek memperingati perbuatan Tuhan dalam sejarah, menceritakan kasih karunia yang telah diterima ataupun mempersembahkan korban bagi berkat Tuhan dalam sepanjang tahun, semuanya akan membuatkan diri sendiri, ahli keluarga dan semua orang mendapat dorongan supaya mempunyai iman untuk berhadapan dengan segalanya pada masa hadapan di samping memberikan kemuliaan kepada Tuhan yang di syurga.
E. Bertaubat dan berseru
Dalam pelbagai perayaan, adakalanya mereka harus ada perkumpulan raya, adakalanya mereka harus merendahkan diri dengan berpuasa dan adakalanya mereka harus meniup serunai. Semuanya mengandungi sandaran dan seruan kepada Tuhan. Tindakan-tindakan ini bukan sahaja membolehkan mereka menyelidiki diri mereka sendiri untuk menghapuskan segala dosa kejahatan dan keterlibatan dengan dunia, bahkan mereka juga boleh berseru kepada Tuhan untuk memberikan pertolongan supaya umat dapat menjalani kehidupan yang kudus dan mendapat kemenangan. Hari ini, kita berhadapan dengan zaman akhir. Oleh itu, kita harus mempunyai hati yang takut akan Tuhan, selalulah saling mendorong dengan kebenaran, pertahankanlah hati yang ghairah, layanilah Tuhan, percayalah dan bersandar kepada-Nya dan jadilah seorang Kristian yang mendapat kemenangan.