PENGENALAN HERMENEUTIK ALKITAB
PENGENALAN
Definisi
Hermeneutik Alkitab ialah sains seni yang mengkaji tafsiran Alkitab yang betul. Hermeneutik Alkitab juga merupakan undang-undang dalam mengkaji dan menafsir Alkitab.
Tujuan
Untuk berterus terang memberitakan perkataan kebenaran (2 Tim 2:15).
- Berusaha sedaya upaya untuk mencari niat asal penulisan bagi penulis-penulis yang lama dari segi masa dan jauh dari segi tempat daripada kita.
- Untuk berkomunikasi antara pembaca dengan para penulis Alkitab dalam menyampaikan perbezaan pemikiran yang disebabkan oleh bahasa, budaya, sejarah, latar belakang geografi dan lain-lain.
Kepentingan
- Dapat menghalang daripada terhasilnya prejudis dalam iman kepercayaan kita (Yoh 1:21-25, Luk 7:24-28).
- Mengelakkan kita daripada menjadi ekstremis yang keras kepala dan berat sebelah terhadap aspek kebenaran yang tertentu.
- Menolong pemercaya agar tidak diperdaya oleh ajaran sesat zaman akhir (Ef 4:13-14).
- Menerangkan firman Tuhan, membangun jemaat dan memulihkan iman kepercayaan (Neh 8:9, 1 Kor 14:5,26).
- Menjelaskan rahsia Injil, memimpin orang kembali kepada Tuhan, memajukan Injil (Kis 8:26-40).
- Bebas daripada kesilapan “menghukum orang yang tidak bersalah” (Mat 12:7).
Pembahagian
Kategori Hermeneutik Alkitab boleh dibahagikan kepada dua bahagian:
- Hermeneutik umum atau peraturan umum hermeneutik. Sesuai digunakan untuk mana-mana bahagian dalam Alkitab yang memerlukan penjelasan.
- Hermeneutik khas. Digunakan untuk persoalan khas yang unik untuk beberapa gaya bahasa khas dalam Alkitab. Contohnya perumpamaan, nubuat, penyataan, mazmur dan lain-lain.
Syarat bagi jurutafsir Alkitab
- Syarat dari segi kerohanian (1 Kor 2:13-15)
1. Telah dilahirkan kembali daripada air dan Roh.
2. Mempunyai keghairahan dalam mengejar firman Tuhan.
3. Selalu mempunyai penghormatan yang mendalam terhadap Tuhan.
4. Mempunyai sifat lemah lembut, rendah hati, dan sabar.
5. Tahu bersandarkan pimpinan dan ajaran Roh Kudus. - Syarat dari segi pendidikan
- Harus ada asas pendidikan asas yang moden dan baik.
- Ada pengetahuan asas tentang sejarah, falsafah dan sastera.
- Terlatih dalam bidang teologi.
- Ada pemikiran yang tangkas dan kaya dengan pengetahuan.
Peraturan
Sebelum menafsir Alkitab, terdapat beberapa syarat yang mesti dikenalpasti dan diikuti:
- Semua tulisan diilhamkan oleh Tuhan dan ada kewibawaan mutlak.
- Alkitab mempunyai prinsip tafsiran yang tersendiri. Asalkan kita menerapkan prinsip-prinsip ini dengan hati yang taat, kita pasti dapat menemukan maksud sebenar ayat suci.
- Perbincangan mengenai asal-usul Alkitab telahpun diselesaikan. Contohnya kita menganggap bahawa masa penulisan, penulis, serta latar belakang persekitaran, sosial, ekonomi, politik, dan budaya semasa penulisan dibuat telah dibincangkan sepenuhnya.
- Tujuan utama tafsiran adalah untuk mengetahui maksud asal penulis demi membina iman kepercayaan yang murni dan memperkaya kehidupan rohani.
PRINSIP HERMENEUTIK ALKITAB UMUM
Prinsip asas umum
1. Percaya bahawa Alkitab mempunyai kewibawaan yang tertinggi
Prinsip ini ialah permulaan dan pintu masuk bagi hermeneutik Alkitab. Alkitab selamanya merupakan piawaian yang tertinggi bagi iman kepercayaan dan kehidupan manusia (2 Tim 3:16-17, Yes 8:20).
2. Menafsir Alkitab berpandukan Alkitab merupakan kaedah penafsiran Alkitab yang terbaik
Alkitab merupakan komen yang terbaik bagi Alkitab kerana bagi kitab Tuhan, satu pun dari semua makhluk itu tidak ada yang ketinggalan dan yang satu tidak kehilangan yang lain (Yes 34:16).
3. Bimbingan Roh Kudus amat diperlukan dalam proses menafsir Alkitab
Alkitab dituliskan dengan Roh Tuhan yang memberi ilham kepada manusia. Oleh itu, hanya Roh Kudus sahaja yang dapat menyelidiki intipatinya (1 Kor 2:9-12, Yoh 14:26, 16:13).
4. Harus memahami bahawa Alkitab merangkul kebenaran Tuhan dengan pemikiran manusia
Tuhan mahu menyampaikan kehendak-Nya kepada manusia. Kehendak itu mesti diluahkan dalam bahasa manusia dan dalam bentuk pemikiran manusia. Oleh itu, Dia menyampaikan mesej kepada manusia melalui perantaraan nabi bahkan Firman itu telah menjadi manusia (Ibr 1:1).
5. Harus tahu dengan pasti bahawa Alkitab merupakan penyataan yang berterusan. Semakin dekat dengan penyempurnaan, semakin jelas
Dalam Alkitab, Tuhan membawa manusia kepada bidang yang matang dalam Perjanjian Baru daripada konsep teologi yang kebudak-budakan dalam Perjanjian Lama (Gal 3:23-29, Ibr 6:1).
6. Penceritaan semula harus digunakan sebagai penjelasan, hanya mengulang maksud asal ayat suci dan tidak mencipta maksud yang baru
Misi penafsir Alkitab adalah untuk menyatakan semula tujuan asal penulis dan memahami maksud asal ayat suci dengan tepat sepenuhnya tanpa sebarang kesilapan (2 Ptr 3:15-16). Martin Luther berkata: “Seorang guru yang baik tidak menambah maksud kepada ayat suci tetapi mencari maksud daripada ayat suci.”
7. Harus terlebih dahulu mencari tafsiran yang paling jelas dan pasti untuk ayat suci yang umum
Tafsiran yang paling jelas merupakan tafsiran yang paling tepat. Oleh itu, tafsirkan ayat suci yang jelas dan mudah difahami terlebih dahulu lalu kemudian pergi lebih jauh untuk memahami ayat suci yang lebih sukar difahami. Cara ini merupakan rahsia kejayaan dalam menafsir Alkitab (Mrk 4:10-13).
8. Tidak boleh mengaku bahawa terdapat lebih daripada satu tafsiran bagi sesuatu ayat melainkan ada dasar yang mencukupi
Kebenaran Tuhan hanya ada “ya”. Maksudnya dinyatakan melalui tulisan. Oleh itu, jangan merohanikan, mensimbolikkan atau menyiratkan maksud ayat suci secara keterlaluan dengan sewenang-wenangnya. Maka, kita harus terlebih dahulu mengetahui asal-usul ayat suci secara harfiah (2 Kor 1:18-19).
9. Hanya ada satu tafsiran, tetapi aplikasi adalah dalam pelbagai aspek
Maksud sebenar ayat suci umum adalah untuk menyatakan kebenaran yang tidak pernah berubah. Oleh itu, hanya ada “ya”. Walau bagaimanapun, ketika menggunakan Alkitab, Alkitab dapat diaplikasikan dalam pelbagai aspek kerana firman Tuhan adalah umpama pedang bermata dua, firman itu hidup dan kuat (Ibr 4:12).
10. Tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa dalam Alkitab hanya boleh dijadikan sebagai teladan yang berwibawa dengan adanya perintah arahan
Perintah (pengajaran) dalam Alkitab ada kewibawaan yang tidak terhingga bagi sesiapa jua. Walau bagaimanapun, tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa dalam Alkitab tidak seharusnya memiliki kewibawaan yang wajib diteladani melainkan ada sokongan daripada kebenaran atau perintah dalam Alkitab (1 Kor 4:6).
11. Jangan menafsir Alkitab dengan pengalaman peribadi melainkan membezakan pengalaman peribadi dengan kebenaran Alkitab
Pengalaman sebenar peribadi dapat mengesahkan kebenaran tetapi tidak boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam tafsiran Alkitab. Tambahan pula, semua pengalaman peribadi harus dibawa ke dalam terang Alkitab untuk dibezakan (Kis 13:48-49,15:6-21).
12. Menafsir Alkitab dengan bertumbuh bersama-sama / keharmonian hermeneutik Alkitab (sifat konsisten kebenaran)
Walaupun terdapat 66 gulungan kitab dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dengan 49 orang penulis dalam zaman yang berbeza, namun Alkitab dituliskan oleh gerakan satu Roh Kudus yang sama. Oleh itu, kebenaran yang disampaikan adalah konsisten dan membentuk satu sistem yang saling menafsir (2 Tim 3:15-17).
13. Bukan menafsir Alkitab dengan pengajaran tradisional gereja melainkan menguji doktrin gereja dengan kebenaran Alkitab
Semua “kewibawaan rasional”, “kewibawaan traditional” dan “kewibawaan Alkitab” ada status istimewa yang wajar. Namun “rasional” dan “tradisional” harus taat pada kewibawaan “Alkitab” (Mat 15:1-9).
14. Kita harus mengaku bahawa pengetahuan yang kita ada bagi banyak ayat suci adalah masih terhad
Halangan zaman dan kekaburan banyak dokumen kuno menyebabkan kita kurang memahami beberapa adat istiadat dan slanga kuno lalu menyukarkan kita dalam menafsir ayat suci. Tambahan pula, terdapat banyak ayat suci yang mengandungi rahsia rohani yang tidak tercapai dek akal manusia. Oleh itu, tidak ada orang yang boleh berkata bahawa dia memahami Alkitab sepenuhnya (1 Kor 13:9).
Prinsip analisis tatabahasa
Semua konsep asas dinyatakan dalam perkataan. Tatabahasa merujuk kepada peraturan-peraturan yang menunjukkan cara menggabungkan kata-kata tunggal menjadi ayat yang mewakili pemikiran. Untuk memahami maksud ayat suci yang betul, kita harus jelas dengan ciri-ciri bahagian penting bahasa seperti kata kerja, kata nama, kata sifat, kata keterangan dan kata ganti nama diri. Antaranya, bentuk dan kala kata kerja mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan maksud ayat suci.
1. Semasa menafsir maksud perkataan dalam ayat suci, kita harus berkoordinasi dengan latar belakang masa penulis asal
Maksud perkataan yang disebut di sini merangkumi dua penjelasan: satu ialah maksud secara harfiah manakala yang kedua adalah menyatakan rahsia kebenaran melalui perkara-perkara dalam teks seperti perumpamaan dan perlambangan.
2. Fahami tafsiran sebenar sesuatu perkataan daripada perkaitan dengan seluruh ayat suci dan konteks
Menentukan maksud sebenar sesuatu perkataan daripada kajian kontekstual merupakan asas tafsiran Alkitab yang paling penting. Hal ini kerana gulungan kuno Alkitab dalam bahasa asal tidak mengandungi tanda baca dan tidak ada bahagian atau fasal. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita dapat memperluaskan skop ketika mencari konteks yang berkenaan.
3. Harus berusaha untuk menyelaraskan konteks ketika menafsir ayat suci
Seorang penafsir Alkitab yang baik mesti sangat mementingkan konteks ayat suci. Hal ini kerana setiap penulis dalam Alkitab mempunyai alasannya yang khusus ketika menuliskan gulungan kitabnya. Tentu sekali, mereka bukan menggabungkan ayat-ayat suci yang baik secara tidak kemas melainkan mengembangkan idea sesuai dengan matlamat satu pusat yang tertentu.
4. Kita harus menyesuaikan peraturan hermeneutik Alkitab berdasarkan ciri-ciri gaya penulisan ayat suci
Gaya penulisan yang digunakan dalam ayat suci adalah sangat penting untuk menentukan maksudnya. Sebagai contoh, mazmur tidak boleh ditafsir mengikut cara tafsiran bagi naratif umum. Mazmur harus dirasai dengan konsep artistik dan kiasan mazmur serta dijelaskan mengikut tatabahasa dan ciri-ciri mazmur.
Prinsip pengendalian latar belakang sejarah
Latar belakang sejarah merangkumi: Siapa penulisnya? Dituliskan kepada siapa? Apakah tujuan penulisan? Apakah motif utama penulisan? Apakah adat dan persekitaran masyarakat pada masa itu? dan lain-lain lagi.
1. Harus berdiri di dalam terang sejarah Alkitab ketika menafsir
Semasa menafsir Alkitab, cubalah masuk ke dalam latar belakang sejarah bagi kitab berkenaan untuk berfikir tentang iman kepercayaan dan kehidupan mereka pada masa itu di samping merasakan perasaan sebenar penulis dalam penulisannya.
2. Ilham Tuhan adalah bertahap. Namun dalam ilham bertahap ini, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru adalah sama pentingnya dan membentuk satu unit yang bersatu
Perjanjian Lama menetapkan dasar tafsiran bagi Perjanjian Baru manakala Perjanjian Baru pula menjadi penjelasan bagi Perjanjian Lama. Penyelamatan dan penebusan Tuhan terhadap umat manusia yang ditunjukkan dalam Perjanjian Lama adalah konsisten. Sifat keselamatan juga tentunya adalah konsisten dan tidak dapat dipisahkan (Rm 10:4).
3. Kita hanya boleh menggunakan peristiwa bersejarah dalam Alkitab sebagai simbol kebenaran rohani apabila Alkitab ada menyatakan demikian
“Simbol” merujuk kepada menggunakan benda yang dapat dilihat (nyata) untuk mendapatkan kebenaran atau konsep yang tidak kelihatan (rohani). Walau bagaimanapun, kita tidak boleh memberikan maksud rohani kepada setiap peristiwa bersejarah dan jangan mencampur aduk antara contoh dengan aplikasi. Dengan itu, kita tidak akan kehilangan maksud asal kebenaran yang dinyatakan oleh Tuhan dalam sejarah.
Prinsip tafsiran teologi
Teologi mengejar pengetahuan sebenar tentang Tuhan dan meneladani Tuhan. Alkitab merupakan satu-satunya buku teks untuk teologi. Kajian teologi adalah untuk memahami perkara-perkara penting / inti (doktrin) yang berkaitan dengan iman kepercayaan daripada Alkitab.
1. Sebelum memahami teologi (maksud penting) Alkitab, kita mesti terlebih dahulu memahami struktur tatabahasa bagi ayat suci
Kandungan utama hermeneutik Alkitab doktrin dijelaskan oleh maksud perkataan dalam Alkitab dan kebanyakannya terdapat dalam Perjanjian Baru. Hal ini kerana hermeneutik Alkitab melalui maksud perkataan merupakan maksud utama Alkitab dan juga merupakan penentu bagi hujah hermeneutik Alkitab. Oleh itu, Perjanjian Baru menjadi sumber utama bagi doktrin Alkitab manakala analisis tatabahasa pula mendahului semua sistem teologi.
2. Penafsir Alkitab teologi tidak boleh memperluas doktrin melebihi fakta yang tercatat dalam Alkitab
Segala pembentukan doktrin mesti berdasarkan semua ayat suci yang relevan. Oleh itu, kajian Alkitab yang teliti dan menyeluruh adalah sangat penting. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat menyediakan doktrin teologi yang lengkap dan sistematik daripada seluruh Alkitab.
3. Apabila dua ajaran yang diajar dalam Alkitab kelihatan seolah-olah saling bercanggahan, kita harus terima kedua-duanya dengan iman dan percaya bahawa kedua-duanya akan mencapai kesepakatan / sifat konsisten pada peringkat yang lebih tinggi
Apabila berhadapan dengan masalah dua sisi ini, kita tidak dapat memahami rancangan Tuhan yang tidak terbatas kerana kebijaksanaan manusia adalah terbatas. Oleh itu, jangan ada keraguan dan jangan menafsirnya secara memaksa melainkan harus menerimanya dengan iman di samping mengaplikasikannya dalam kehidupan. Setelah masa Tuhan genap, kita akan memahaminya secara semula jadi (1 Kor 13:12).
4. Perkara-perkara yang bukan berasal daripada penyataan tidak boleh disenaraikan sebagai item iman kepercayaan
Amanat pengkaji teologi adalah untuk menjaga kemurnian kebenaran Alkitab dengan sehabis baik. Mereka tidak boleh membiarkan ajaran manusia mengacau-bilaukan firman Tuhan dan khususnya tidak membenarkan penggunaan ajaran (atau adat istiadat) manusia untuk menggantikan perintah Tuhan dalam mengajar manusia (Mat 15:1-9).
5. Pengkaji teologi harus ingat tentang kepraktisan Alkitab dalam hati dan jelas dengan misi yang dipikul oleh diri sendiri bagi gereja / jemaat
Nilai Alkitab terletak pada kepraktisannya (Yer 15:16, Yoh 17:17, Mzm 119:105). Penafsir Alkitab tidak boleh mengabaikannya lalu menjadikannya falsafah ataupun abstrak serta tidak boleh digodai oleh rasa ingin tahu lalu memalsukan firman Tuhan (1 Tes 1:3-5) atau menyelidiki persoalan-persoalan yang tidak diperincikan dalam Alkitab. Contohnya soalan seperti “Siapakah isteri Kain?” dan sebagainya.
HERMENEUTIK ALKITAB KHAS
Skop hermeneutik Alkitab khas sangat luas. Berikut disenaraikan dan dibincangkan sembilan aspek yang biasa kelihatan dan lebih penting:
Tafsiran perlambangan
Perlambangan bermaksud Tuhan menggambarkan atau membayangkan hal-hal yang akan terjadi dalam Perjanjian Baru dengan menggunakan tokoh-tokoh, peristiwa, benda, dan sistem dalam Perjanjian Lama demi menyatakan anugerah keselamatan-Nya. Oleh itu, ketika menafsir perlambangan, kita harus menggabungkan ayat-ayat suci yang berkaitan dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru serta mematuhi beberapa peraturan tafsiran yang berikut:
1. Mulakan dengan kajian yang menyeluruh bagi Perjanjian Baru dan dapatkan pengajaran yang berkaitan dengan perlambangan
Hal ini merupakan permulaan bagi segala kerja kajian teori perlambangan kerana Perjanjian Lama ialah bayangan manakala Perjanjian Baru ialah entiti dan Perjanjian Baru merupakan tafsiran / penjelasan bagi Perjanjian Lama.
2. Kenal pasti bidang perlambangan dalam Perjanjian Lama daripada kajian Perjanjian Baru
Bukan semua peristiwa atau benda yang terdapat dalam Perjanjian Lama ada perlambangan. Untuk menentukan sama ada sesuatu peristiwa atau benda itu ada perlambangannya, peristiwa atau benda tersebut mesti disahkan oleh terang Perjanjian Baru.
3. Tafsiran perlambangan harus dikekalkan dalam skop rasionaliti yang baik
Manusia mudah menambah tafsiran luar yang baru kerana sukakan sesuatu yang baru. Manusia juga mengada-adakan perlambangan untuk memuaskan perasaan ingin tahu. Hal ini telah melampaui skop perlambangan kebenaran (rasionaliti).
4. Jangan sesekali menggunakan perlambangan untuk membuktikan doktrin kecuali ada dasar yang jelas dalam Perjanjian Baru
Jika tidak ada dasar yang jelas dalam Perjanjian Baru, perlambangan hanyalah sekadar bayangan kebenaran dan tidak boleh dijadikan sebagai dasar doktrin.
5. Harus rendah hati dalam membuat tafsiran
Teori perlambangan tergolong dalam kategori maksud berganda. Semua tafsiran dengan maksud berganda mengandungi dua jenis bahaya iaitu melampaui bukti nyata Alkitab dan menggunakan fantasi sendiri secara tidak terkawal. Oleh itu, kita haruslah ada kerendahan hati. Jika tidak, kita akan mudah terpesong dalam tafsiran lalu menyimpang daripada firman Tuhan.
Tafsiran simbol
Simbol adalah berbeza daripada perlambangan: perkara-perkara yang dinyatakan oleh simbol boleh merangkumi masa lalu, masa sekarang ataupun masa hadapan manakala perlambangan pula hanya menyatakan satu perkara pada masa hadapan. Simbol tidak perlu mematuhi syarat masa manakala perlambangan pula mengandungi faktor nubuat yang kuat. Apabila objek bukan haiwan digunakan untuk menggambarkan makhluk hidup, hal ini harus dilihat sebagai naratif simbolik. Apabila ayat suci menggunakan objek lain untuk menggambarkan ciri objek yang dinyatakan, hal ini juga harus dilihat sebagai simbol (rujuk Mzm 92:13, Flp 3:2-3).
- Simbol-simbol yang telah dijelaskan dalam Alkitab boleh dianggap sebagai dasar untuk kajian simbol yang selanjutnya (rujuk Mat 5:13-16).
- Simbol-simbol yang belum dijelaskan / ditafsir harus dikaji dari segi konteks ataupun dengan menjelaskan / menafsir petikan simbol yang sama.
- Terdapat sesetengah simbol yang boleh ditafsir berdasarkan sifat khasnya sendiri. Contohnya sifat antiseptik garam, keganasan singa, ketulusan merpati, kecerdikan ular dan lain-lain.
- Harus perhatikan metafora berganda bagi simbol semasa menafsir. Sebagai contoh, singa boleh melambangkan Kristus dan Syaitan pada waktu yang sama; angin dan air boleh melambangkan Roh Kudus dan juga boleh melambangkan kesengsaraan, dan lain-lain lagi.
- Angka-angka dalam Alkitab juga mempunyai maksud simbolik yang tertentu. Sebagai contoh, tujuh dan gandaannya mewakili angka sempurna milik Tuhan, “empat” mewakili timur, barat, selatan, dan utara, manakala “empat puluh” mewakili perjalanan iman kepercayaan dan lain-lain lagi.
- Logam-logam dalam Alkitab – emas, perak, tembaga dan besi juga mempunyai maksud simbolik yang
- Warna-warna yang berbeza dalam Alkitab juga mengandungi simbol yang berbeza.
Bagi penjelasan / tafsiran simbol yang berkaitan dengan angka, logam dan warna, maksud asal dan maksud evolusi atau maksud aplikasi perkataan-perkataan itu harus dikaji dengan teliti agar tidak menyimpang daripada maksud asal Alkitab.
Tafsiran nubuat
Tafsiran nubuat nabi merupakan subjek yang paling susah dalam hermeneutik Alkitab. Selain menggunakan prinsip-prinsip umum dalam hermeneutik Alkitab, terdapat peraturan khusus dalam mengkaji kitab nabi-nabi.
1. Harus meneliti latar belakang nabi dan kitab nabi yang ditulisnnya
Untuk mengkaji kitab nabi-nabi, kita mesti bermula dari sini. Dengan cara ini, kita dapat menentukan keseluruhan bidang teori penulisan nabi. Pada masa yang sama, cara ini juga memberikan cermin untuk memahami isi kandungan kitab tersebut.
2. Fahami maksud pelbagai kata nama khas yang penting
Contohnya kata nama seperti peristiwa sejarah, kata nama geografi, adat istiadat, peninggalan budaya serta haiwan dan tumbuhan yang berkaitan.
3. Tentukan sama ada setiap bahagian itu ialah nubuat atau nasihat
Tidak semua kitab nabi-nabi merupakan nubuat. Oleh itu, setelah meneliti latar belakang sejarah asasnya, adalah perlu untuk kita memutuskan sama ada petikan Alkitab yang dibincangkan itu ialah nubuat ataupun nasihat.
4. Jika nubuat, maka harus putuskan sama ada nubuat itu telah digenapi atau memiliki syarat tambahan untuk penggenapan
Jika nubuat telah digenapi dalam Perjanjian Baru, maka kita perlu membandingkan ayat-ayat suci yang berkaitan dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru serta mengkaji cara Perjanjian Baru menggunakan Perjanjian Lama. Jika sesuatu nubuat telah digenapi dalam sejarah, nubuat tersebut harus ditafsir dengan sejarah. Jika nubuat itu bersyarat atau belum dipenuhi, kita harus memberi perhatian khusus kepadanya tetapi tidak boleh menafsirnya dengan keras.
5. Tentukan sama ada konsep atau tema yang sama ada disebut di bahagian yang lain
Terdapat banyak konsep atau tema penting yang diulang dalam kitab nabi-nabi. Contohnya hari Tuhan, sisa umat, pencurahan Roh Kudus dan sebagainya. Dengan membandingkan dan mengkaji nubuat yang sama atau serupa, kita akan dapat memahaminya dengan lebih sempurna.
6. Perhatikan bahawa terdapat beberapa bahagian dalam kitab nabi-nabi yang bersifat lokal dan sementara
Contoh: Nubuat yang berkaitan dengan Kristus dalam (Yes 7:14-16) dan (Mzm 20) harus dibezakan dengan sangat teliti.
7. Tafsiran kitab nabi-nabi harus mengambil kedua-dua tafsiran maksud secara harfiah dan maksud rohani
Harus terlebih dahulu mengenal pasti gaya bahasa sebelum menentukan jenis tafsiran yang harus diambil. Kemudian, tafsir nubuat dengan berhati-hati menurut prinsip umum hermeneutik Alkitab. Jangan memberikan maksud rohani kepadanya dengan sewenang-wenangnya.
Tafsiran perumpamaan
Perkataan “perumpamaan” dalam bahasa asal bermaksud “diletakkan bersebelahan” untuk membuat perbandingan. Cara ini menjelaskan sesuatu dengan contoh dan digelar sebagai hujah analogi.
Perumpamaan adalah berbeza daripada dongeng kerana perumpamaan bukan rekaan. Perumpamaan juga berbeza daripada simile, metafora atau personifikasi. Semua ini merupakan retorik. Perumpamaan mengandungi empat faktor:
- Perumpamaan ialah perkara, peristiwa, kebiasaan yang wajar, ataupun sesuatu yang mungkin boleh berlaku. Contohnya menabur di tanah, berkahwin, menangkap ikan dan lain-lain lagi.
- Terdapat pelajaran dan maklumat rohani di sebalik sesuatu perkara.
- Terdapat hubungan yang mutlak antara sesuatu urusan dengan kerohanian untuk mendapatkan kekuatan hujah.
- Setiap perumpamaan perlu ditafsir dengan lebih teliti kerana perumpamaan ada tahap yang berganda.
A. Harus terlebih dahulu mengkaji ciri-ciri adat, kebiasaan, dan plot yang tepat dalam perumpamaan.
B. Harus tentukan tema utama yang disampaikan dalam perumpamaan. Satu perumpamaan hanya menyatakan satu kebenaran utama.
C. Harus menurut contoh tafsiran perumpamaan Tuhan Yesus. Tafsiran peribadi tidak boleh melampaui / lebih daripada tema utama dan prinsip tafsiran Tuhan Yesus.
D. Perlu sangat berhati-hati semasa menggunakan perumpamaan dalam perbincangan doktrin. Perumpamaan berakar dalam latar belakang sejarah. Kepentingan sejarah perumpamaan harus dikaji secara terperinci sebelum digunakan.
E. Jika mahu menafsir perumpamaan dengan sepenuhnya, adalah perlu bagi kita untuk jelas dengan zaman yang disasarkan oleh banyak perumpamaan. Zaman ini merupakan zaman bagi lalang dan gandum tumbuh bersama sementara menantikan penghakiman (Mat 13:29-30).
APLIKASI HERMENEUTIK ALKITAB
Aplikasi hermeneutik Alkitab dalam penyempurnaan rohani dan kehidupan
Tujuan utama hermeneutik Alkitab adalah untuk memupuk orang-orang milik Tuhan supaya bertumbuh besar dalam doktrin, menjadi matang dalam kehidupan dan menjadi kaya dalam perbuatan baik. Oleh itu, terdapat beberapa peraturan yang perlu diketahui dalam aplikasinya.
1. Semua aplikasi Alkitab mestilah berdasarkan prinsip hermeneutik Alkitab yang sempurna
Kita tidak boleh menyimpang daripada maksud asal ayat suci lalu memberikan banyak pengajaran rohani kepadanya secara terpaksa. Sekiranya kita dapat memperhalus prinsip-prinsip moral, etika, dan kerohanian yang hebat yang disampaikan dalam maksud asal ayat suci, kita dapat menghindari segala halangan.
2. Alkitab merupakan sebuah karya klasik yang berprinsip. Alkitab bukan satu dogma atau sebuah kluster penerangan
Orang Farisi menjadikan firman Alkitab sebagai perintah dan merumitkannya serta mematuhi kata-kata di dalamnya dengan tegas. Hal ini menutupi maksud sebenar ayat suci dan menghasilkan kebajikan yang munafik. Oleh itu, kita harus berpegang pada prinsip rohani Alkitab dan mengurus kehidupan rohani kita sesuai dengan prinsip ini agar tidak menyimpang daripada jalan yang benar.
3. Perjanjian Lama menitikberatkan peraturan fizikal dan ritual ibadah manakala Perjanjian Baru pula menekankan roh batiniah dan pengajaran rohani
Zaman Perjanjian Baru merupakan zaman yang rohaniah dan ajaran Alkitab telah mencapai tahap yang lengkap dan rohaniah. Kita harus mengaplikasikan Alkitab untuk memupuk kehidupan batin kita yang sejati, bukan hanya mengejar ibadah secara lahiriah (Yoh 4:21-24).
4. Pengajaran Tuhan Yesus terletak pada intipati, bukan terletak pada harfiah
Tuhan Yesus selalu menggunakan perumpamaan semasa mengajar manusia. Niat-Nya adalah untuk menunjukkan kebenaran rohani dan untuk menghindari manusia mendogmakan ajaran-Nya. Ketika memetik pengajaran daripada Perjanjian Lama, Dia juga banyak mengambil maksud yang tepat dan kurang mengambil maksud secara harfiah (Mat 5:21-48).
5. Perintah dengan latar belakang pada masa itu harus ditafsir dengan berkontraskan latar belakang budaya kita untuk dipatuhi
Sebagai contoh: perkataan yang dipesankan oleh Paulus kepada perempuan dalam suratnya (1 Tim 2:9, 2 Tim 1:5-6) perlu diberi tafsiran tambahan dalam gereja kita pada masa ini supaya bersesuaian dengan prinsip zaman. (Pada masa itu, perempuan yang mencukur rambutnya adalah berkaitan dengan perempuan jalang manakala menggunakan selubung merupakan cara pemakaian bagi perempuan yang sopan).
6. Kita boleh terus menggunakan peristiwa-peristiwa yang ditegur atau dipuji secara langsung dalam Alkitab
Peristiwa yang ditegur merupakan sempadan bagi kita manakala peristiwa yang dipuji merupakan teladan yang boleh dicontohi bagi kita. Bagi orang-orang yang tidak diberikan komen dalam Alkitab, kesalahan orang baik boleh menjadi kewaspadaan kepada kita manakala dosa orang jahat boleh menjadi peringatan kepada kita. Semua prestasi yang baik boleh dijadikan sebagai rujukan dalam penyempurnaan rohani kita. Tetapi ingatlah, komen mengenai mana-mana tokoh dalam Alkitab tidak boleh melebihi / melampaui komen yang dikatakan oleh Alkitab.
Aplikasi hermeneutik Alkitab dalam penyampaian khutbah
Orang yang menyampaikan khutbah merupakan pelayan firman kebenaran Tuhan. Dia tidak mempunyai hak untuk bercakap menurut cara sendiri di hadapan semua orang. Dia harus menjadikan penyebaran firman Tuhan sebagai tugasnya. Jika seorang penyampai khutbah ingin supaya kerja penyampaian khutbahnya mencapai tahap yang tepat dan memuaskan, dia harus terlebih dahulu memahami prinsip-prinsip asas hermeneutik Alkitab dan peraturan asas penyampaian khutbah.
1. Penyampai khutbah harus mengaplikasikan Alkitab menurut prinsip hermeneutik Alkitab
Hermeneutik Alkitab ialah undang-undang yang membolehkan penyampai khutbah memahami maksud Alkitab yang betul. Oleh itu, setiap kali memetik ayat suci, penyampai khutbah mesti mengaplikasikannya sesuai dengan prinsip-prinsip hermeneutik Alkitab yang sempurna. Hal ini kerana penyampai khutbah harus berbicara sebagai seorang yang menyampaikan firman Allah (1 Ptr 4:11).
2. Semasa menyampaikan khutbah, jangan secara khususnya memilih frasa / ayat yang sedap didengar atau kata-kata yang sesuai dengan citarasa sendiri dalam Alkitab lalu digabungkan
Jika penyampai khutbah tidak memahami kebenaran ayat suci dengan teliti, dia hanya akan menggunakan beberapa kata / ayat secara kebetulan sebagai dasar dalam pengajaran. Jika penyampai khutbah menyampaikan firman Tuhan dengan cara ini, dia hanya mempergunakan kata-kata / ayat-ayat dalam Alkitab sahaja.
3. Pergunakan prinsip-prinsip penaakulan induktif untuk mengungkapkan prinsip-prinsip kerohanian, moral, dan teologi yang tersembunyi antara ayat-ayat suci
Prinsip penaakulan induktif adalah bermula daripada Alkitab, mengambil bahan daripada Alkitab dan menggeneralisasikan maksud asal Alkitab melalui pemerhatian dan analisis. Hal ini membolehkan kita memperoleh kebenaran dalam aspek penyempurnaan rohani dan doktrin daripada Alkitab di samping dapat mengelakkan penyalahgunaan hermeneutik Alkitab menurut niat manusia.
4. Menjelaskan Alkitab ialah kaedah penyampaian khutbah yang paling ideal
Menjelaskan Alkitab bermaksud menjadikan firman dalam Alkitab sebagai pusat khutbah bagi gembala dan menganggap firman dalam Alkitab sebagai satu-satunya sumber bahan khutbah yang boleh dipercayai. Dengan itu, firman Tuhan yang berkuasa dan berwibawa dapat diperlihatkan kepada umat-Nya. Oleh itu, gembala haruslah mahir tentang peraturan hermeneutik Alkitab.
KESIMPULAN
Dasar iman kepercayaan gereja benar ialah Alkitab yang diilhamkan oleh Tuhan. Segala doktrin adalah berdasarkan Alkitab secara langsung. Kehidupan pemercaya juga adalah berdasarkan Alkitab sebagai piawaian yang tertinggi. Oleh itu, tafsiran Alkitab yang tepat merupakan tanggungjawab utama gereja. Untuk menegakkan iman kepercayaan gereja benar yang murni dan memberitakan Injil zaman akhir yang sempurna, kita harus bergantung pada Roh Kudus yang memberikan hikmat dan penyataan, mengkaji Alkitab dengan setia dan mencari prinsip hermeneutik Alkitab yang paling tepat. Semoga teks “Pengenalan Hermeneutik Alkitab” ini dapat membantu semua orang dalam menafsir Alkitab. Kemuliaan bagi Yesus Juruselamat.