REFORMASI AGAMA DAN MAZHAB-MAZHAB

Reformasi Agama merupakan peristiwa terpenting dalam sejarah gereja Kristian selama dua ribu tahun. Reformasi Agama bukan hanya menulis semula sejarah gereja tetapi juga menginovasikan budaya Barat dan mengembangkan peradaban dunia. Walaupun Martin Luther merupakan tokoh utama dalam Reformasi Agama, namun Reformasi Agama sebenarnya melibatkan skop yang sangat besar. Terdapat banyak tokoh dalam Reformasi Agama. Tokoh-tokoh penting termasuk John Wycliffe, John Calvin, Huldreich Zwingli, Philipp Melanchthon dan lain-lain lagi. Kita tidak dapat membincangkan semua tokoh secara menyeluruh. Jadi kita hanya fokus pada Martin Luther dan pelopornya John Wycliffe.

Sebenarnya, panggilan dan peristiwa Reformasi Agama sudah ada sebelum Martin Luther. Antaranya, tokoh yang paling penting ialah John Wycliffe, pelopor Reformasi Agama. Walaupun pencapaiannya dalam Reformasi Agama untung ada, tuah tidak, namun dia tetap mempunyai pengaruh dan inspirasi atas Reformasi Agama pada masa depan pada tahap tertentu. Maka, perbincangan kita dimulakan dengan John Wycliffe. Selepas Reformasi Agama, mazhab-mazhab mula terbentuk dan pendirian mereka bahkan menjadi sangat rumit dan semakin salah. Oleh itu, artikel ini hanya akan menerangkan tiga mazhab utama yang muncul pada masa awal reformasi secara ringkas: Lutheran, Reformed, dan Anglikan.

Satu, John Wycliffe (1328-1384)

A. Latar belakang sejarah

Paus sangat berwibawa dalam gereja barat pada abad ke-13. Dia tidak hanya memiliki kuasa rohani, tetapi juga bertindak sebagai wakil Kristus dalam gereja, bahkan memiliki kuasa dunia yang sangat tinggi. Raja-raja dan golongan bangsawan Eropah semuanya tunduk kepada paus. Namun setelah abad ke-14, kesedaran nasional berkembang di Perancis dan England lalu mereka mula bersengketa dengan pejabat paus. Pada zaman John Wycliffe, pejabat paus bahkan dikawal oleh Perancis. Pejabat paus dipindahkan ke Avignon, Perancis. Paus dikawal selama 70 tahun (1309-1377, sejarah mencatatkan masa Paus ditawan ke Babylon). Selepas tahun 1378, pernah wujud dua orang paus, satu di Rom dan satu di Perancis selama 40 tahun sehingga kuasa paus menjunam.

Sejak abad ke-12, Paus memiliki kuasa yang sangat besar. Pejabat paus mula menyalahgunakan kuasa dan terjatuh. Mereka melantik individu persendirian untuk membentuk puak, menjual beli kedudukan gereja, mengumpulkan cukai, dan bahkan menjual indulgensi. Perbuatan-perbuatan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai negara. Selama tempoh itu, jumlah saudara (friar) yang mengemis semakin meningkat. Mereka diperintahkan secara langsung oleh paus, dan tidak dibatasi oleh uskup setempat. Kuasa mereka terus meningkat saban hari. Antaranya termasuk bebas berkhutbah di atas pentas, menghukum gereja atas nama paus, dan mengampuni atas nama paus. Kuasa ini jauh mengatasi kewibawaan yang dimiliki oleh uskup dan paderi di gereja. Fenomena korupsi dalam banyak gereja menyebabkan raja dan rakyat jijik dengan pejabat paus dan para saudara (friar). Dengan itu, lahirlah gerakan Reformasi Agama John Wycliffe.

B. Proses dan hasil Reformasi Agama

John Wycliffe dilahirkan di England pada tahun 1328 dan telah menjadi profesor teologi di Universiti Oxford sejak tahun 1363. Dia merupakan seorang sarjana yang sangat berprestij. Dia menentang pejabat paus atas alasan politik, dan sangat dialu-alukan oleh raja England. Pada tahun 1374, dia dilantik sebagai uskup Luttereorth. Pada tahun 1376, John Wycliffe mengusulkan bahawa pemerintah sekular harus bebas daripada pejabat paus dan usul ini menjadi popular di kalangan bangsawan. Walaupun dia ditentang hebat oleh gereja, tetapi dia dilindungi oleh England dalam perbicaraan dan tidak menjadi mangsa.

Kemudian, reformasi John Wycliffe berubah ke arah keagamaan. Demi membolehkan orang memahami Alkitab, dia dan rakan-rakannya menterjemahkan satu-satunya Alkitab bahasa Latin (Vulgata) dalam gereja ke dalam bahasa Inggeris, dan menghantar mubaligh untuk memberitakan Injil di merata tempat. Mereka yang mempercayai John Wycliffe disebut Lollards, dan pengaruhnya terus berkembang.

Pada tahun 1381, pemberontakan petani berlaku di England. Mereka yang menentangnya menyalahkan dia atas pemberontakan tersebut. Para bangsawan berpaling tadah terhadapnya dan membuatnya kehilangan sokongan mereka. Di samping itu, dalam tempoh ini, dia mengusulkan konsep Perjamuan Kudus yang berbeza. Banyak Rollard meninggalkannya, dan pejabat paus mengambil peluang ini untuk menangkapnya. Pada tahun 1382, banyak teorinya disabitkan sebagai ajaran sesat dalam persidangan di London. Hal ini memaksanya meninggalkan Universiti Oxford. John Wycliffe kemudian hidup dalam pengasingan dan meninggal di parokinya sendiri pada malam tahun baru pada tahun 1384.

Sejak itu, Rollards dianiaya. Pada tahun 1401, England menganggap ajaran sesat itu sebagai hukuman mati, dan banyak Rollards dijatuhi hukuuman mati. Selepas itu, Rollard beralih menjadi kegiatan rahsia bawah tanah dan berlangsung sehingga abad ke-16 dan berakhir setelah berlakunya Reformasi Agama.

C. Pandangan agama John Wycliffe

Pendirian utama Reformasi Agama John Wycliffe ialah kembali kepada Alkitab – hukum Taurat Tuhan. John Wycliffe percaya bahawa Alkitab merupakan sumber dan dasar semua kebenaran, dan semuanya harus berdasarkan Alkitab. Sekiranya ajaran Paus dan keputusan mesyuarat gereja bukan berdasarkan Alkitab, atau bahkan melanggar Alkitab, ajaran / keputusan itu tidak bernilai dan tidak berwibawa. Menurut Alkitab, hanya ada penatua dan diaken dalam gereja, dan sistem pejabat kudus tidak sesuai dengan Alkitab. Selain itu, Kristus ialah kepala jemaat, dan Petrus tidak pernah menerima kuasa duniawi daripada Tuhan untuk mendapatkan keuntungan dunia. Oleh itu, paus ialah anti-Kristus dan gereja itu ialah gereja anti-Kristus. John Wycliffe mengatakan bahawa paus dan para saudara (friar) ialah ajaran sesat. Dia juga menentang pemujaan orang kudus, benda kudus, dan gambar, dan tentu saja dia menentang indulgensi. John Wycliffe melihat menembusi pelbagai tuntutan dan tingkah laku gereja yang menjauhi Alkitab. Dia sangat menegaskan segalanya harus berdasarkan Alkitab.

Walaupun reformasinya berakhir dengan kegagalan, namun pandangan keagamaannya yang betul telah memberikan banyak faedah pada Reformasi Agama Martin Luther dan mempopularkan Reformasi Agama.

Dua, Martin Luther (1483-1546)

1. Latar belakang sejarah

Selain faktor subjektif, pembentukan dan faedah faktor objektif Reformasi Agama Martin Luther tidak boleh diabaikan. Faktor politik, sosial, agama dan lain-lain pada masa itu tidak dapat dipisahkan daripada Reformasi Agama. Bahkan boleh dikatakan bahawa latar belakang sejarah telah membekalkan persekitaran reformasi yang matang, dan menjayakan kehendak subjektif Reformasi Agama Martin Luther.

(1.1) Persekitaran politik

Pada abad ke-16, terdapat tiga kuasa besar terpusat di Eropah Barat, iaitu Sepanyol, Perancis, dan England. Kuasa mereka mengatasi kuasa daratan Eropah dan meluas ke laut yang jauh. Jerman dan Itali pula merupakan organisasi kerajaan persekutuan. Ciri umum negara-negara ini ialah kesedaran nasional yang tinggi. Oleh sebab kebangkitan semangat nasional dan pembentukan kerajaan nasional, kuasa paus telah dilemahkan dan kewibawaan pejabat paus telah diragui.

Maharaja Jerman tempat Martin Luther berada dipilih oleh para bangsawan yang mempunyai hak pilihanraya. Sejak tahun 1496, kerabat Habsburg Jerman telah berkahwin dengan keluarga diraja Sepanyol. Akhirnya orang yang sama menjadi raja Sepanyol dan maharaja Jerman lalu mengancam kuasa pejabat paus dengan teruk. Maharaja Charles V (Karl V) (1519-1556) tetap terpilih sebagai maharaja Jerman dengan status raja Sepanyol di sebalik usaha dan halangan keras pejabat paus. Kuasanya menjadi sangat kuat dan mengancam kuasa Paus dengan teruk.

Walaupun dia tidak menyokong Reformasi Agama Martin Luther, namun pejabat paus telah berusaha menghalangnya daripada terpilih sebagai maharaja Jerman. Di samping itu, dia tidak berniat untuk menghukum Martin Luther kerana berlakunya peperangan dengan Perancis selama 30 tahun dan pencerobohan kerajaan Turki Islam semasa pemerintahannya. Oleh sebab Jerman mengamalkan sistem persekutuan, kuasa golongan bangsawan sangat kuat, dan pemerintah pusat tidak memiliki kuasa nyata yang mutlak, maka Martin Luther dapat menjalankan Reformasi Agama dengan sokongan golongan bangsawan.

(1.2) Perubahan sosial

Dalam masyarakat pertanian pertengahan abad yang stabil, struktur sosial golongan bangsawan kelas atas dan petani kelas bawah dirosakkan akibat perkembangan perdagangan dan penubuhan kota-kota. Satu lagi kelas sosial yang lain telah muncul dalam masyarakat iaitu kelas menengah yang merangkumi pedagang, ahli-ahli bank, tukang, dan lain-lain lagi. Mereka memiliki semangat kemerdekaan yang tidak dikawal dan bahkan membentuk pemerintahan kota mereka sendiri. Mereka khususnya menuntut kebebasan kehakiman, autonomi gereja dan rasionalisasi agama. Mereka merupakan satu kelas sosial yang dapat menerima dan bahkan menuntut reformasi.

Bagi golongan petani yang merupakan sebahagian besar penduduk, rasa tidak puas hati mereka telah mencapai kemuncak kerana mereka telah lama ditindas oleh golongan bangsawan dan mereka memikul beban yang amat berat. Dengan perkembangan perdagangan, penambahbaikan strategi peperangan dan tembok kota yang tidak dapat menahan serangan meriam, peranan kesatria telah sangat berkurang, dan status sosial mereka terus menurun. Oleh itu, ketika Luther menerbitkan “To the Christian Nobility of the German Nation” pada tahun 1520, para bangsawan kelas kesatria segera menyambut baik, bahkan menyokong gerakan reformasi negara dan gereja ini.

(1.3) Gerakan kemanusiaan

Gerakan Renaissance yang bermula di Itali pada abad ke-14 telah merebak ke seluruh Eropah pada abad ke 15. Oleh sebab menekankan benda-benda klasik, gerakan ini telah mendorong kajian sejarah dan bahasa klasik. Orang-orang ketika itu juga mengikuti trend ini dengan melancarkan kajian Alkitab bahasa asal dalam bahasa Ibrani dan Yunani. Ahli Humanisme Jerman bahkan telah mendapati perbezaan antara gereja kuno dengan gereja kontemporari setelah mengkaji teks asalnya lalu membawa kepada idea reformasi.

Di samping itu, penularan kertas dan penemuan kaedah percetakan membolehkan penyebaran idea Reformasi Agama yang cepat. Faktor penting ini tidak boleh diabaikan dalam Reformasi Agama.

(1.4) Gereja dan pemercaya

Pelbagai sebab yang disebutkan di atas adalah di luar gereja, manakala keadaan iman kepercayaan dalam gereja merupakan faktor dalaman untuk Reformasi Agama. Abad Pertengahan merupakan satu zaman dengan iman kepercayaan yang sangat soleh. Zaman itu menitikberatkan aspek mistisisme pengalaman batin yang meningkatkan tingkat iman kepercayaan supaya iman kepercayaan itu tidak terletak pada ritual atau pematuhan luaran. Selain itu, orang-orang secara aktif menderma, termasuk tanah, bangunan gereja, misa, dan lain-lain kerana ajaran gereja. Tujuannya adalah untuk membolehkan saudara-mara yang berada di tempat api penyucian (purgatory) naik ke syurga. Oleh itu, derma kepada misa menjadi sangat popular. Ajaran-ajaran yang lain adalah seperti penyembahan roti kudus, fokus pada penderitaan Yesus, penyembahan Maria dan orang kudus, membuat ziarah dan lain-lain. Semuanya menunjukkan kesolehan agama.

Namun, inti keseluruhan iman kepercayaan telah menyimpang. Orang-orang pada umumnya penuh dengan ketakutan dalam agama, takut dengan hari penghakiman, takut dengan penderitaan api penyucian (purgatory); Kristus bukan gembala yang pengasih, tetapi hakim yang tegas. Maka orang harus mendapatkan pahala daripada gereja dengan cara bertaubat dan mengaku dosa, bersedekah, memberikan derma dan membuat ziarah supaya dosa diampuni dan saudara-mara yang telah meninggal dunia dibebaskan daripada seksaan api penyucian (purgaroty). Kemudian, kaedah yang lebih mudah adalah dengan membayar cukai kepada gereja untuk mendapatkan pahala. Hal ini kerana pahala tak terhingga yang dikumpulkan oleh Kristus dan umat suci akan diuruskan dan digunakan oleh gereja, dan pahala yang berlebihan boleh dibahagikan kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, pahala boleh dibeli dengan wang, dan akhirnya penjualan indulgensi pun terjadi.

Percukaian pejabat paus dan penjualan indulgensi telah menimbulkan rasa tidak puas hati di Jerman. Tambahan pula, keruntuhan akhlak moral paderi, sikap pilih kasih pengadilan agama dan kejatuhan gereja telah membangkitkan tuntutan reformasi.

Masa untuk Reformasi Agama ternyata telah matang. Jadi selain faktor subjektifnya, faktor sejarah juga tidak boleh diabaikan dalam Gerakan Reformasi Agama Martin Luther.

 

2. Kebangkitan agama Martin Luther dan peristiwa-peristiwanya

(2.1) Kebangkitan agama Martin Luther

Reformasi Agama Martin Luther adalah sepenuhnya berunsurkan agama. Reformasinya berkait rapat dengan pengalaman iman kepercayaan peribadinya.

Cogan kata reformasinya yang terkenal – dibenarkan oleh iman – datang daripada kitab Roma. Seperti banyak orang pada zaman itu, ternyata dia berpendapat bahawa “kebenaran Tuhan” dalam kitab Roma merujuk kepada membiarkan Tuhan menjadi benar, iaitu Tuhan menunjukkan imej keadilan, bukannya membenarkan manusia. Oleh itu, manusia harus bertaubat terus-menerus di hadapan Tuhan atas pelanggaran mereka, manakala Tuhan pula terus-menerus menghakimi dan mendisiplinkan manusia dengan keadilan. Dengan sebab ini, walaupun Martin Luther merupakan seorang paderi dan mematuhi perintah, terus-menerus bertaubat, menebus dosa, dan melakukan kebajikan, namun dia masih mempunyai rasa bersalah yang sangat berat. Dia tidak pernah mendapat ketenangan jiwa. Sehinggalah sekitar tahun 1512-1518, dia belajar daripada kitab Roma 1:17 bahawa “kebenaran Allah” bukan bermaksud hukuman tetapi pernyataan kasih Tuhan, dan manusia dapat dibenarkan oleh Tuhan oleh iman mereka. Pengampunan dosa tidak diperoleh melalui pertaubatan, penebusan, dan perbuatan baik. Manusia dibenarkan kerana kasih karunia Tuhan dan diperoleh dengan iman manusia kepada Kristus Yesus. Anjakan paradigma besar dalam ideologi ini membolehkan Martin Luther yang berada di gereja Katolik Roma memulakan pengenalan mengenai reformasi.

Martin Luther menampal “95 Dalil (Ninety-five Theses)” di Universiti Wittenberg pada tahun 1517. Dia berharap agar gereja akan melakukan reformasi, bukannya merdeka daripada pejabat paus. Terdapat banyak perkara yang disebutkan di dalamnya, dan umumnya fokus pada tema indulgensi yang telah dikritik. Pada tahun 1506, Paus Julius II menjual indulgensi secara terbuka kepada orang ramai untuk pembinaan Basilika Santo Petrus di Rom dan disambung oleh Paus Leo X pada tahun 1514. Terdapat banyak paderi yang mengkhususkan diri dalam menjual indulgences di seluruh Eropah. Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk mendorong orang membelinya. Di Jerman, John Tetzel bahkan berkata: “Ketika koin dalam peti persembahan berdering, jiwa dari api penyucian (purgatory) pun keluar”. Jerman sangat tidak berpuas hati dengan penjualan indulgensi. Martin Luther juga menentangnya berkali-kali tetapi gagal. Oleh itu, dia menyiarkan “95 Dalil” di pintu gereja di Wittenberg pada 31 Oktober 1517. Dia juga memberikan “95 Dalil” kepada uskup setempat, uskup agung daerah, dan rakan-rakannya. Tanpa disangka-sangka, rakan-rakannya telah menyebarkannya. “95 Dalil” telah tersebar ke seluruh pelosok Jerman dalam masa beberapa minggu dan mendapat respons positif. Dengan itu, Reformasi Agama pun tercetus.

(2.2) Riwayat hidup Martin Luther dan peristiwa-peristiwa penting Reformasi Agama

TAHUN LOKASI PERISTIWA CATATAN
1483 Eisleben ◎Dilahirkan Ibu bapanya merupakan pemercaya Katolik yang soleh
1505 University of Erfurt ◎Memperoleh Ijazah Sarjana
1507 ◎Diangkat menjadi paderi
1508 Wittenberg ◎Pensyarah universiti

◎Memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Alkitab

1509 Erfurt ◎Sarjana Retorik
1510 Rom ◎Outstation
1511 Wittenberg ◎Mendapat gelaran doktor dalam bidang teologi

◎ Profesor Pengajian Alkitab

◎ Timbalan Dekan St Augustine’s Abbey

Menjadi uskup kesebelas St Augustine’s Abbey pada tahun 1515
1512

1516

Wittenberg ◎Kajian gulungan-gulungan kitab Kejadian (1512), Mazmur (1513), Roma (1515), Galatia (1516), Ibrani (1517)
1517 Wittenberg ◎Menulis 95 Dalil (Ninety-five Theses) 1.      Dokumen yang paling penting tentang bantahan penjualan indulgensi

2.      Mencetuskan Gerakan Reformasi, tersebar ke seluruh Eropah dalam masa sebulan

1518 Ausburg ◎Paus mengeluarkan surat panggilan untuk memanggil Luther ke Rom Berjumpa dengan wakil Paus, Gayatan sebanyak tiga kali untuk berbincang, Luther tidak mahu menarik balik pandangannya
1519 Leipzig ◎Berbahas dengan Urke 1.      Isi perbahasan adalah berkaitan dengan kuasa tertinggi Paus

2.      Luther mengkaji “Sejarah Gereja” dan “Undang-undang Gereja” dan mendapati banyak ajaran palsu

3.      Selepas perbahasan ini, Luther secara rasmi memutuskan hubungan dengan sistem kelas suci Katolik Rom

4.      Urke mengusulkan kepada Paus (Leo) untuk memecat Luther

1520 ◎Menulis buku kecil “Justification by Faith Alone”

◎Paus memecat Luther

◎Menulis tiga risalah

1.      Membincangkan “orang benar diselamatkan oleh iman”

2.      Sebagai tindak balas terhadap pemecatannya, beliau menulis “Against the Execrable Bull of the Antichrist”

3.      Tiga risalah:

a.      Seruan kepada Bangsawan Kristian Jerman (To the Christian Nobility of the German Nation)

b.      Tawanan Babilonia Gereja (On the Babylonian Captivity of the Church)

c.      Tentang Kebebasan Seorang Kristian (On the Freedom of a Christian)

1521 Worms

Wartburg

◎Paus meminta Luther untuk menarik balik penulisannya

◎Dilindungi oleh Philip

◎Menentukan garis besar The Three Principles of the Reformation: Sola Scriptura, Sola Gratia, Sola Fides

1.      Luther enggan menarik balik penulisannya

2.      Paus ingin menangkap dan menghukumnya dengan hukuman mati atas tuduhan ajaran sesat

1521

1522

Wartburg ◎Menterjemahkan Alkitab ke dalam bahasa Jerman

◎Menulis “Small Catechism”

◎Menulis puisi-puisi

1.      Kebaktian gereja menggantikan bahasa Latin dengan bahasa Jerman

2.      “Small Catechism” menjadi ajaran asas kanak-kanak Lutheran

3.      “A Mighty Fortress Is Our God” menjadi karya abadi

1522

1525

Wittenberg ◎Luther mengetuai Reformasi Agama 1.      Terputus hubungan dengan Desiderius Erasmus, ahli humanisme kerana corak reformasi yang konservatif

2.      Menulis “Against the Robbing and Murdering Hordes of Peasants”, menggunakan kekuatan para bangsawan untuk meredakan revolusi petani di Minzier dan kehilangan sokongan awam.

1525 Wartburg ◎Berkahwin dengan Katharina von Bora, seorang biarawati Memecahkan “konsep selibat” gereja dengan tindakannya. Banyak paderi, saudara (friar) dan biarawati yang mengikutinya. Tindakan ini menjadi satu langkah lain dalam gerakan Reformasi untuk melepaskan diri daripada Roman Katolik.
1530 Augsburg ◎ Luther menulis sebuah pengakuan iman kepercayaan “Augsburg Confession” Prinsip pertama sejak prinsip ditetapkan untuk gereja awal (penambahan berdasarkan Apostles’ Creed, Nicene Creed, dan Chalcedonian Definition)
1532 ◎Luther meluluskan ritual ibadah yang dipermudahkan 1.      Mengurangkan sakramen kudus kepada Sakramen Pembaptisan dan Sakramen Perjamuan Kudus

2.      Menentang transubstansiasi gereja Katolik

1542 Wittenberg ◎ Menubuhkan majlis gereja 1.      Walaupun Luther mempromosikan “priesthood of all believers”, dia tidak berpendapat bahawa pemercaya mempunyai hak bersuara dalam urusan gereja

2.      Kuasa para bangsawan melangkaui urusan gereja

1546 Wittenberg ◎Meninggal dunia Dikebumikan dalam dinding gereja

 

Tiga, Tiga Haluan Selepas Reformasi Agama

Tiga haluan mazhab telah terbentuk pada awal Reformasi Agama iaitu Lutheran, Reformed, dan Anglikan. Pembentukan dan pendirian mereka diperkenalkan secara ringkas seperti berikut:

1. Mazhab Lutheran

Selepas kejayaan reformasi Martin Luther, mazhab Lutheran terbentuk di Jerman, terutamanya berdasarkan idea-idea Martin Luther. Idea utama reformasi Martin Luther ialah kembali kepada Alkitab. Oleh itu, dia mengkritik dan membuang banyak pendirian kepercayaan gereja Roman Katolik.

(1.1) Hanya Alkitab sahaja (Sola Scriptura)

Gereja Katolik percaya bahawa walaupun Alkitab merupakan panduan tertinggi bagi iman kepercayaan, namun tradisi gereja juga sama pentingnya. Pembentukan “penggantian kerasulan” (apostolic succession) telah menjadi asas teori ineransi paus. Paus bahkan disebut sebagai Kristus di bumi. Oleh itu, ajaran paus juga telah menjadi prinsip iman kepercayaan. Tanpa ragu-ragu lagi, perintah paus – perkara-perkara sekular – benar-benar dipatuhi. Martin Luther percaya bahawa dasar iman kepercayaan hanyalah Alkitab. Sesiapa yang mengajar melebihi skop Alkitab adalah salah dan tidak harus dipatuhi, bahkan paus juga tidak terkecuali. Maka, tema utama Reformasi Agama ialah kembali kepada Alkitab.

(1.2) Hanya kasih karunia sahaja (Sola Gratia)

Gereja Roman Katolik telah mengumpulkan banyak pahala untuk Kristus dan orang-orang kudus dan menyerahkannya kepada gereja untuk dikendalikan. Orang-orang hanya dapat menerima kasih karunia melalui gereja dan melalui ritual yang dipimpin oleh hierarki suci, berdoa kepada orang-orang kudus dan tindakan-tindakan iman kepercayaan yang lain. Martin Luther percaya bahawa orang-orang dibenarkan dan menerima kasih karunia oleh iman, bukan oleh perbuatan dan ritual. Halangan tempat maha kudus telah dihapuskan, dan orang-orang dapat terus menuju takhta kasih karunia tanpa memerlukan pengantaraan orang-orang kudus atau paderi. Tidak ada kelas sosial dalam gereja yang memisahkan kasih karunia. Martin Luther membantah fungsi ritual serta menghapuskan sebahagian besar ritual dan perbuatan pahala gereja Roman Katolik. Contohnya penyembahan Maria, pemujaan orang kudus, penyembahan peninggalan orang kudus, melakukan ziarah, perarakan keagamaan, dan pantang nafsu.

(1.3) Sakramen kudus

Terdapat tujuh sakramen dalam gereja Roman Katolik: Pembaptisan, Penguatan, Ekaristi (Perjamuan Kudus), Rekonsiliasi (pengakuan dosa), Pengurapan Orang Sakit, Imamat (Pentahbisan), dan pernikahan. Martin Luther pula mengusulkan bahawa sakramen hanya terdiri daripada Pembaptisan dan Perjamuan Kudus sahaja. Terdapat perselisihan sengit antara dia dengan gereja Roman Katolik terutamanya dalam soal Sakramen Perjamuan Kudus. Gereja Roman Katolik mendakwa bahawa Sakramen Perjamuan Kudus merupakan persembahan korban dan harus dipersembahkan oleh imam (paderi). Roti dan anggur sakramen berubah menjadi daging dan darah sebenar (material) Kristus melalui ritual yang disebut teori transubstansiasi. Mereka juga mengusulkan bahawa anggur sakramen hanya boleh diterima oleh para imam, sementara orang lain hanya boleh menerima roti. Martin Luther membantah bahawa Perjamuan Kudus ialah persembahan korban. Hal ini kerana Kristus hanya dipersembahkan sekali sahaja dan untuk selamanya, tidak dipersembahkan berulang-ulang kali dalam Sakramen Perjamuan Kudus. Tambahan pula, semua orang ialah imam dalam Perjanjian Baru, dan tidak ada halangan antara Tuhan dengan manusia sehingga memerlukan orang-orang kudus atau imamat sebagai pengantara. Oleh itu, tidak ada imam dalam Sakramen Perjamuan Kudus, dan semua orang boleh menerima roti dan anggur.

2. Mazhab Reformed

Gereja Reformed dikuasai oleh Calvin, dengan Switzerland sebagai pusatnya, dan bahkan telah menubuhkan negara bersistem kaesaropapisme. Calvin mentadbir negara berdasarkan agama. Dia merupakan pemimpin agama dan pemimpin politik. Martin Luther dan Calvin mempunyai pandangan yang sama mengenai kebanyakan doktrin atau topik teologi, tetapi terdapat perbezaan besar dalam konsep Sakramen Perjamuan Kudus. Gereja Roman Katolik menegaskan bahawa bahan-bahan itu benar-benar berubah menjadi daging dan darah fizikal. Pendapat ini dibantah oleh Martin Luther dan Calvin bersama. Martin Luther mengusulkan bahawa tubuh Tuhan yang bangkit ada dalam Sakramen Perjamuan Kudus tetapi ditentang oleh Calvin. Calvin percaya bahawa daging dan darah dalam Perjamuan Kudus adalah bersifat rohani (tentu saja idea ini juga berbeza dengan idea simbolisme Huldreich Zwingli). Makanan yang dimakan dalam Perjamuan Kudus bukan daging dan darah Tuhan yang sebenar. Darah dan daging dalam Perjamuan Kudus merujuk kepada aspek rohani.

Mazhab Reformed tersebar ke seluruh pelosok Eropah dan kemudian berkembang ke seluruh dunia. Pengaruhnya dalam sejarah melebihi ajaran mazhab Lutheran. Martin Luther hanyalah permulaan bagi doktrin dan teori teologi Protestan. Calvin yang benar-benar telah menubuhkan sistem teori ini. Mazhab-mazhab (gereja-gereja) Reformed dalam seluruh dunia adalah lebih banyak daripada mazhab Lutheran.

 

3. Mazhab Anglikan

Mazhab Anglikan merupakan gereja di England. Punca mazhab ini meninggalkan gereja Roman Katolik nampaknya tidak ada hubungan dengan iman kepercayaan. Raja England, Henry VIII mahu menceraikan Ratu Catherine, tetapi paus tidak bersetuju dan tidak meluluskannya. Pada tahun 1534, Henry VIII mengumumkan dirinya sebagai pemimpin gereja England dan meninggalkan gereja Roman Katolik. Namun, doktrin dan ritualnya masih mengikuti gereja Roman Katolik. Kemudian, mazhab Anglikan didirikan semula setelah perjuangan agama berulang kali oleh Edward VI (mazhab Reformed), Ratu Mary (gereja Roman Katolik) dan Ratu Elizabeth (mazhab Anglikan).

Oleh sebab penubuhan mazhab Anglikan bukanlah atas faktor keagamaan, mazhab ini mempertahankan banyak idea gereja Roman Katolik, tidak seperti mazhab Lutheran atau mazhab Reformed yang mengembangkan doktrin, teologi, etika dan sistem yang sama sekali berbeza daripada gereja Roman Katolik.

Empat, Kesimpulan

Keseluruhan gerakan reformasi berlangsung selama hampir seratus tahun. Wilayah keagamaan di Eropah terus bertambah, dan bahkan kemudiannya meluas ke Amerika, Asia dan Afrika. Pengaruh Reformasi Agama ke atas seluruh dunia juga semakin jelas. Dalam dunia sekarang ini, tidak kira negara Kristian atau tidak, peradaban Protestan menguasai seluruh dunia termasuk dalam aspek agama, sastera, seni, politik, ekonomi, sains, dan lain-lain lagi.

Reformasi Agama pada abad ke-16 mendesak gereja Roman Katolik membuat refleksi dan membuat reformasi. Council of Trent menubuhkan semula gereja Roman Katolik. Second Vatican Council pula membuka gereja Roman Katolik kepada dunia. Gereja Roman Katolik masih mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam dunia.

Tema utama Reformasi Agama ialah kembali kepada Alkitab. Idea ini bukan hanya sekadar pendirian para penggerak reformasi pada abad ke-16, tetapi juga menjadi idea pengasas-pengasas mazhab yang lebih banyak pada hari-hari kemudian. Oleh sebab Reformasi Agama pada abad ke-16 gagal menyelesaikan tugasnya iaitu kembali sepenuhnya kepada Alkitab, maka semakin banyak mazhab telah muncul pada hari-hari kemudian.

Amanat Gereja Yesus Benar pada hari ini adalah untuk benar-benar kembali kepada Alkitab dengan sekali langkah sahaja. Dengan pimpinan Roh Kudus, senior-senior iman kepercayaan telah menyediakan lima doktrin dan sepuluh kepercayaan dengan sempurna. Generasi-generasi seterusnya harus mendalami, mensistemkan dan menyebarkannya ke dunia agar semua dapat kembali kepada Alkitab dengan sepenuhnya.