PERBANDINGAN KONSEP PENYELAMATAN DAN PENEBUSAN ANTARA AGAMA
SATU, PENDAHULUAN
Istilah “penyelamatan dan penebusan” dalam agama Kristian berasal daripada perkataan sōtēria (menyelamatkan), sōtēr (penyelamat) dalam bahasa Yunani, atau re-demere (dibeli kembali, kata nama redemptio) dalam bahasa Latin. Istilah “penyelamatan dan penebusan” pastinya mempunyai maksud tradisional yang khas kerana agama Kristian berkesinambungan daripada gerakan eskatologi apokaliptik (apocalypticism) agama Yahudi. Gerakan eskatologi apokaliptik (apocalypticism) agama Yahudi adalah dengan pengharapan “penyelamatan dan penebusan” Mesias yang kuat dan tahap pembentukannya dipengaruhi oleh budaya Hellenistik. Jika dilihat dari segi perbandingan agama, hampir semua agama mempunyai kepercayaan dan amalan “penyelamatan dan penebusan”, tetapi dengan kata nama khas yang berbeza. Contohnya “pembebasan” (liberation) dalam agama Buddha, “keselamatan” dalam Taoisme, dan “pemulihan” dalam kepercayaan rakyat China juga menyatakan maksud yang sangat serupa. Oleh itu, “penyelamatan dan penebusan” boleh dianggap sebagai satu tema keagamaan yang bermakna dan boleh dibuat perbandingan.
Satu prasyarat bagi “penyelamatan dan penebusan” adalah bahawa kewujudan manusia ada kekurangannya yang perlu dipenuhi atau diperbaiki. Kekurangan ini mungkin disebabkan oleh penuaan, penyakit, dan kematian tubuh, atau mungkin juga disebabkan oleh keserakahan, kemarahan, dan nafsu manusia, atau terperangkap dalam rasa bersalah seseorang, atau bahkan mempunyai keinginan untuk melampaui dunia kebendaan dalam kehidupan ini untuk mencapai dunia yang ideal. Oleh itu, “penyelamatan dan penebusan” menyatakan proses atau hasrat daripada ketidaksempurnaan kepada kesempurnaan, dan ada maksud mencari “keseluruhan” (wholeness), tidak kira hasrat itu adalah untuk kelegaan sementara ataupun sebagai nasib muktamad sekali dan untuk semua.
“Penyelamatan dan penebusan” bukan hanya merupakan satu kosa kata proprietari atau konsep bebas. “Penyelamatan dan penebusan” sebenarnya menyiratkan sistem pemikiran dan sistem praktikal (soteriologi) yang kompleks, dan sangat berkait rapat dengan tahap kepercayaan lain dalam pelbagai agama. Contohnya dari segi ontologi, konsep manusia, konsep ketuhanan, kosmologi, tanatologi, dan lain-lain. Oleh itu, ketika membincangkan perihal “penyelamatan dan penebusan”, kita sering kali perlu mempertimbangkan aspek-aspek ini bersama untuk menemui maksudnya yang mendalam dengan lebih menyeluruh. Namun, disebabkan ruang yang terhad, artikel pendek ini tidak dapat menjelaskan kepercayaan “penyelamatan dan penebusan” pelbagai agama secara terperinci. Kerangka perbandingan disediakan seperti berikut supaya pembaca dapat mengenali “penyelamatan dan penebusan” dan memahami kedudukan pentingnya dalam pelbagai tradisi keagamaan.
DUA, CIRI-CIRI “PENYELAMATAN DAN PENEBUSAN”
Sekiranya kita ingin memahami penyelamatan dan penebusan, kita mesti memperhatikan beberapa ciri keagamaan yang merangkumi konsep ini. Pertama, sarjana agama biasa membezakan agama dunia kepada dua jenis, satu ialah agama “kuasa luar”, manakala yang satu lagi ialah agama “kuasa sendiri”. Agama “kuasa luar” kebanyakannya mengandungi satu atau lebih tuhan yang dipersonifikasikan. Sekiranya pemercaya ingin diselamatkan, mereka biasanya memerlukan pertolongan “tuhan” untuk mendapatkan tujuan utama mereka. Agama Yahudi, Kristian, dan Islam merupakan contoh yang terbaik. Agama “kuasa sendiri” tidak menyembah tuhan yang tertentu, dan tujuan utama kepercayaannya sering tidak diletakkan pada “pihak yang lain”, tetapi pada transformasi dalaman diri sendiri. Oleh itu, penyelesaian penyelamatan dan penebusan terletak pada pemercaya itu sendiri. Pemercayanya mencapai matlamat melalui latihan, kawalan, pemahaman kebijaksanaan dan usaha-usaha lain. Agama jenis ini khasnya diwakili oleh Buddhisme Timur. Oleh sebab memusatkan fokus pada “manusia”, banyak pemikiran humanistik atau aliran falsafah seperti Konfusianisme, Maxisme, eksistensialisme, dan bahkan “pengembangan potensi” (potensial development) yang sangat popular pada masa kini dan sebagainya juga boleh digolongkan ke dalam kategori ini.
Satu lagi ciri lain bagi penyelamatan dan penebusan adalah bahawa kita juga perlu membezakan sama ada kita berbicara mengenai penyelamatan dan penebusan individu ataupun kolektif. Bagi orang Yahudi kuno, kepercayaan mereka menekankan konsep umat pilihan. Mereka beranggapan bahawa keselamatan mereka tidak menjadi masalah selagi mereka merupakan “anak-anak Abraham”, dan tujuan kedatangan Mesias adalah untuk menyelamatkan seluruh “Israel.” “Bangsa asing” tidak ada bahagian dalam penyelamatan dan penebusan kerana mereka tidak mempunyai status sebagai umat pilihan. Pengakuan atau identiti berkumpulan yang kuat ini, iaitu menjadikan “penyelamatan dan penebusan” kolektif sebagai ciri pertimbangan utama ditunjukkan dalam masyarakat Islam. Agama Kristisn mendefinisikan dirinya sebagai sekumpulan “orang yang terpilih” dan merupakan orang Yahudi rohani. Tetapi, agama ini juga mengusulkan bahawa setiap orang harus bertanggungjawab secara individu atas keselamatan akhirnya kerana roh dan jiwa setiap individu diberikan oleh Tuhan. Kebanyakan agama yang menekankan “kuasa sendiri” memusatkan perhatian pada penyelamatan dan penebusan individu. Hal ini kerana agama jenis ini tidak menonjolkan kepentingan identiti kumpulan dan “kuasa sendiri” bermaksud individu perlu bekerja keras untuk penyelamatan dan penebusannya sendiri.
“Penyelamatan dan penebusan” ada dimensi waktunya, yang juga merupakan salah satu ciri khasnya. Buddhisme menekankan “kesedaran” dan “pemahaman”. Kedua-dua aspek ini dianggap sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada enam alam samsara dan memasuki Nirvana. Mazhab Dhyana (Zen) bahkan mempromosikan pencerahan segera dan terus mencapai Buddhahood. Pemahaman ini membawa titik masa penyelamatan dan penebusan ke masa dan saat ini iaitu dengan kadar yang segera. Pernyataan ini mirip dengan eksistensialisme yang menyebut bahawa “kewujudan mendahului intipati” (existence precedes essence) yang bermaksud orang moden hanya dapat menunjukkan makna kewujudan pada masa sekarang. Namun, pengharapan terakhir kepercayaan secara implisitnya terletak pada masa depan kerana banyak agama “kuasa luar” mengandungi konsep “pembalasan” atau “penghakiman”. Oleh itu, penyelamatan dan penebusan adalah seperti sebuah penantian yang hanya dapat diselesaikan pada masa hadapan. Penyelamatan dan penebusan dalam agama Kristian harus mencakupi masa lalu, masa kini, dan masa depan. Hal ini kerana kerja penyelamatan dan penebusan Yesus Kristus terjadi pada masa lalu dan telah selesai. Selepas itu, kesan penyelamatan dan penebusan akan berterusan. Sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya pada bila-bila masa boleh diselamatkan dan ditebus. Janji kerajaan syurga setelah meninggal dunia merupakan pengharapan utama penyelamatan dan penebusan bagi orang Kristian.
Seiring dengan pandangan pelbagai agama yang berbeza mengenai sifat manusia, “penyelamatan dan penebusan” memberikan hasil yang berbeza. Umumnya, jika sesuatu agama menegaskan bahawa sifat manusia adalah baik, hasil penyelamatan dan penebusan biasanya adalah untuk mengembalikan keadaan asal seseorang. Sebahagian besar agama “kuasa sendiri” termasuk dalam kategori ini. Contohnya, mazhab Dhyana (Zen), Taoisme, dan Neo-Konfusianisme dalam Dinasti Song dan Ming semuanya menyokong kepentingan “pemulihan” dan menekankan kebolehlenturan semula yang diperlukan. Sebaliknya, jika doktrin sesebuah agama percaya bahawa sifat manusia sememangnya jahat, maka tujuan penyelamatan dan penebusan adalah untuk menghapuskan kekurangan pada masa ini dan mencari realiti akhir yang sempurna dan alternatif. Agama “kuasa luar” mempunyai ahli teologi pertentangan binari (binary opposition) yang melibatkan baik dan jahat atau hitam dan putih. Contohnya Zoroastrianisme, agama Kristian, Islam, dan lain-lain, kebanyakannya termasuk dalam kategori ini.
TIGA, CARA-CARA PENYELAMATAN DAN PENEBUSAN
Setiap agama telah mengemukakan pelbagai pandangan tentang cara mencapai atau menyelesaikan penyelamatan dan penebusan lalu membentuk fenomena agama dunia yang berwarna-warni dan pelbagai. Kita boleh mengaturnya seperti berikut:
1. Renungan doktrin
Setiap agama mempunyai konsep kepercayaan asasnya, walaupun dengan intipati, arah, dan darjat yang berbeza. Ada agama yang memberi penekanan khusus pada kognisi atau pemikiran itu sendiri, dan menganggapnya sebagai kunci keselamatan seseorang, sementara aspek yang lain pula kurang penting. Agama jenis ini lebih berbentuk “pengetahuan”, memfokuskan penguasaan metafizik dan mental, dan mempunyai warna “elitisme” yang jelas. Gnostik, yang dianggap sebagai ajaran sesat oleh agama Kristian awal menegaskan bahawa manusia berasal daripada sumber cahaya murni di luar alam semesta, dan kemudian jatuh ke dunia untuk menjalani kehidupan yang jahil. Sekiranya ingin diselamatkan dan ditebus, seseorang mesti memahami asal usul dan komposisi manusia serta sifat gelap dunia. Seseorang dapat kembali kepada sumber cahaya dengan menyedarkan cahaya yang kudus dalam dirinya, iaitu seolah-olah terbangun daripada mimpi dan berubah daripada kebodohan kepada kebijaksanaan. Oleh itu, penyelamatan dan penebusan adalah sejenis aktiviti mental yang cuma dapat menjamin bahawa hanya segelintir golongan elit sahaja yang dapat mencapainya. Cara penyelamatan dan penebusan yang serupa dengan “kebijaksanaan” ini banyak terdapat dalam agama lain. Contohnya Zoroastrianisme, Hindu, dan Buddha mempunyai bayang-bayangnya. Sebaliknya, mereka yang memerhatikan falsafah esoterik atau sistem kepercayaan dalam pelbagai agama sedikit sebanyak meminta pemercaya untuk memahami atau mengenali “kebenaran” tertentu. Membezakan sesuatu agama daripada yang lain dengan perbezaan ini juga merupakan cara penting untuk mendapatkan penyelamatan dan penebusan. Agama Yahudi, Kristian, Islam, dan lain-lain agama monoteistik semuanya mempunyai aspek ini. Agama Kristian terutamanya pandai menghuraikan doktrin teologi sejak awal lagi. Setelah reformasi agama pada abad ke-16, doktrin-doktrin ini telah berubah menurut Alkitab lalu membentuk beratus mazhab dan doktrin. Semua ini ialah contoh yang jelas dalam sejarah agama.
2. Ritual
Ada agama bermaksud ada ritual. Ritual boleh dianggap sebagai cara penyelamatan dan penebusan yang paling popular dan berpengaruh dalam fenomena keagamaan. Ritual bermaksud tindakan keagamaan yang khusus dengan masa, ruang, kakitangan, syarat persiapan, dan lain-lain lagi. Selain itu, tidak kira isi kandungan ritual itu ringkas atau rumit, tidak kira waktu pelaksanaannya panjang atau pendek, aksi ritual adalah suatu simbol yang menunjuk pada makna metafizik yang melampaui segalanya.
Terdapat banyak jenis ritual yang dapat dibezakan berdasarkan tujuan dan fungsinya. Sebagai contoh, banyak kumpulan agama mengadakan ritual menganuti agama. Tidak kira pembaptisan agama Kristian atau upacara namo agama Buddha, semuanya menekankan bahawa ritual ini ialah sakramen menganuti agama untuk mendapatkan penyelamatan dan penebusan. Sekiranya sakit dan ingin disembuhkan, seseorang perlu mengikuti ketetapan agamanya dan menjalani proses tertentu untuk menghadapinya, serta berubah daripada kekurangan kepada kesempurnaan “secara ajaib”. Bencana alam dan malapetaka buatan manusia sering terjadi di Taiwan sejak akhir-akhir ini. Banyak organisasi Buddha telah mempromosikan bahawa mereka akan mengadakan upacara “penghapusan bencana dan permohonan berkat” serta mengundang orang untuk turut serta. Tujuannya sangat jelas. Dalam kepercayaan orang China, pada setiap hari ke-15 bulan ketujuh dalam kalendar lunar, adanya ritual Zhongyuan Purdue (ghost festival). Ritual ini nampaknya adalah untuk “menghiburkan” jiwa yang sunyi dan hantu liar, tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk “menenangkan” jiwa yang sunyi dan hantu liar dengan harapan jiwa yang sunyi dan hantu liar tidak mengganggu rakyat pada hari-hari biasa. Di samping itu, “etika hidup dan adat istiadat” umum dalam setiap masyarakat dilaksanakan pada titik-titik penting dalam kehidupan, terutamanya pengebumian terakhir. Melalui ritual ini, adalah diharapkan agar orang yang meninggal dunia dapat sampai ke destinasi tujuan mereka dan membawa berkat kepada orang yang masih hidup.
3. Amalan harian
Pemercaya sering menganggap pelaksanaan ritual mempunyai kesan ajaib dan mengharapkan agar kesannya dapat dilihat dengan kadar yang segera. Sebaliknya, beberapa agama tidak mengharapkan penyelamatan dan penebusan pada masa sekarang dan dengan kadar yang segera, atau perubahan dramatik. Mereka lebih menekankan praktikal pada hari-hari biasa. Sebagai contoh, orang Kristian yang soleh menganggap doa dan bacaan Alkitab sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka dan beranggapan bahawa tindakan tersebut dapat menyuburkan kehidupan rohani, meningkatkan iman, dan memperkuat pengharapan keselamatan pada masa depan. Agama Yahudi menekankan doa tiga kali sehari, manakala kepercayaan Islam menetapkan doa lima kali sehari. Tindakan ini adalah untuk menggabungkan penyelamatan dan penebusan terakhir ke dalam kehidupan harian. Tindakan ini juga merupakan satu sisi lain bagi penyelamatan dan penebusan “kuasa luar” yang menyebut bahawa pemercaya juga perlu melaksanakan tugas atau kewajiban masing-masing.
Agama yang tergolong dalam jenis “kuasa sendiri” biasanya lebih memerhatikan penyelamatan dan penebusan melalui praktikal harian. Hal ini kerana mereka tidak ada “kuasa luar” yang boleh diharapkan, sementara penyelamatan dan penebusan pula tidak dapat dicapai dengan kadar yang segera. Seseorang perlu bersandarkan amalan yang dikumpul untuk berubah daripada kekurangan kepada kesempurnaan. Pernyataan yang lebih ekstrem adalah bahawa beberapa agama terlebih dahulu menghapuskan perbezaan antara “kudus” dengan “sekular”, dan kemudian menekankan penyelamatan dan penebusan manusia dapat tercermin dalam kehidupan duniawi. Falsafah Zhuangzi percaya bahawa “firman” itu maha ada, dan jejaknya dapat dikesan daripada tumbuh-tumbuhan dan reruntuhan. Oleh itu, manusia boleh berjalan bersama dengan alam semesta, dan jika mereka mahu, langkah itu ialah penyelamatan dan penebusan. Walaupun Konfusianisme tidak begitu bebas dan senang, namun kenyataan dan praktikalnya menyebabkan mereka yang hidup di bawah tradisi ini menjadikan kebajikan, amalan, dan kebaikan di dunia sebagai aspirasi profesional mereka. Mereka fokus pada memenuhi cita-cita utama dalam kehidupan seharian. Teori “pencerahan secara beransur-ansur” mazhab Dhyana (Zen) di China mempromosikan bahawa para pengamal harus mengumpulkan usaha dalam kerja rumah seperti memotong kayu dan menimba air. Apabila “amalan” cukup dalam dan tebal, tentunya mereka dapat menyingkirkan ego peribadi dengan senang sekali dan melihat sifat Buddha.
4. Organisasi
Umumnya, para sarjana percaya bahawa agama “institusi” (institutional religion) seperti agama Yahudi dan Kristian lebih mementingkan organisasi, sementara agama “tersebar” (diffused religion) seperti kepercayaan rakyat China tidak mempunyai peraturan dan undang-undang yang jelas. Walau bagaimanapun, agama pastinya bersifat kumpulan. Ada kumpulan bermaksud ada organisasi, tetapi kelonggaran, ketegasan, besar, kecil, dan bentuk organisasi itu berbeza. Dari sudut sosiologi, agama dengan sistem yang makin tegas makin menekankan kewibawaan organisasi itu sendiri, dan bahkan memberi hujah bahawa penyelamatan dan penebusan tidak dapat dipisahkan daripada organisasi agama yang tertentu. Contoh yang paling terkenal ialah, gereja Katolik pada masa lalu menganggap mereka memegang kunci kerajaan syurga. Paus zaman-berzaman mengaku mewarisi kewibawaan Petrus yang diberikan oleh Yesus. Oleh itu, mereka ada doktrin “tidak ada penyelamatan dan penebusan selain gereja” (ekstra ecclesiam nulla sulus). Contoh ini menunjukkan organisasi gereja dijadikan sebagai kunci utama penyelamatan dan penebusan. Penganut Buddha ada “Tiga Permata” (Three Jewels, Triratna) iaitu Buddha, Dharma, dan Sangha. “Sangha” merujuk kepada organisasi Sangha (Supreme Assembly). Nampaknya, organisasi mempunyai status istimewa dalam agama ini, walaupun tidaklah mutlak seperti agama Kristian.
Sebaliknya, walaupun beberapa agama tidak menekankan kepentingan organisasi, namun bagi mereka yang mencari penyelamatan dan penebusan, terutamanya orang yang baru mengenal agama, mereka perlu bergantung pada kumpulan agama yang sedia ada untuk memasuki jalan kepercayaan. Contohnya untuk memperkenalkan cara-cara ajaran, ritual, amalan harian dan sebagainya supaya mereka dapat mencapai tujuan yang diinginkan. Oleh itu, organisasi merupakan elemen penting yang sangat diperlukan dalam penyelamatan dan penebusan.
5. Pengantara
Cara penyelamatan dan penebusan yang berkait rapat dengan organisasi ialah peranan pengantara. Pada satu sisi, sesuatu organisasi agama itu ialah pengantara, iaitu alat penyelamatan dan penebusan yang mesti digunakan oleh pemercaya. Dalam skop yang lebih kecil, pengantara yang membimbing atau membantu pemercaya dalam pencarian penyelamatan dan penebusan mestilah orang yang tertentu, dan pengantara ini dapat merangkumi pelbagai jenis tokoh agama.
Bodhisattva Buddha pada awalnya merupakan orang yang telah mencapai jalan pembebasan. Namun dia secara sukarela hidup dengan urusan-urusan dunia dan menempuh perjalanan melintasi lautan penderitaan kerana bersimpati dengan penderitaan dunia. Oleh itu, dia boleh dianggap sebagai pengantara. Terdapat banyak orang kudus dalam agama Kristian pada abad pertengahan. Mereka terkenal dengan amalan mereka, atau mengharukan dunia dengan menolong dunia, atau dikenali dengan pengetahuan mereka. Akhirnya, mereka menjadi sasaran yang diteladani dan diharapkan dalam iman kepercayaan. Sebilangan orang kudus juga telah diagung-agungkan sebagai tuhan, dan sering dinaikkan ke status yang serupa dengan “abdi Allah”. Pemercaya akan dapat memenuhi keinginan mereka selagi mereka berdoa kepadanya. Tokoh agama dengan kemampuan luar biasa ini adalah merangkumi para nabi, pelaku tanda mukjizat, penyihir, dukun, dan lain-lain lagi. Namun, jika panduan ini adalah berdasarkan pengetahuan agama atau bimbingan kemahiran, guru agama Hindu, dharma-bhanaka agama Buddha, rabi agama Yahudi, paderi agama Kristian, ustaz agama Islam, dan sebagainya, semuanya membimbing pemercaya menuju penyelamatan dan penebusan berdasarkan tradisi agama masing-masing.
EMPAT, REFLEKSI PERBANDINGAN
Kita telah memperkenalkan ciri-ciri penyelamatan dan penebusan agama yang berlainan serta cara-caranya secara ringkas. Bagi orang Kristian, pertanyaan yang paling perlu diberi perhatian ialah, bagaimana kita melihat penyelamatan dan penebusan agama lain di tengah-tengah fenomena penyelamatan dan penebusan yang banyak dan kompleks di samping mengenalpasti iman kepercayaan sendiri? Perkara-perkara berikut adalah sebagai rujukan kita.
“Sifat keagamaan” (religiosity) ialah naluri yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia secara umumnya ketika Dia menciptakan manusia. Perkara ini perlu kita akui dan iktiraf. Dengan naluri ini, manusia akan berharap untuk mencari pembebasan atau cara penebusan melalui pelbagai cara apabila mereka berada dalam kesulitan, kekurangan, atau kecacatan. Tindakan ini menghasilkan fenomena “penyelamatan dan penebusan” dalam agama. Namun, seseorang terus termasuk dalam masa dan ruang yang tertentu sebaik sahaja dilahirkan. Pertumbuhan dan kehidupannya tidak dapat dipisahkan daripada konteks budaya yang tertentu. Bahasa, simbol dan cara berfikir yang digunakan pastinya merupakan hasil daripada “pemberian” dunia luar (givens), bukannya berdasarkan pilihan atau keputusan peribadi. Kenyataan ini menjelaskan keterbatasan manusia. Di samping itu, kenyataan ini juga menjelaskan punca terdapat begitu banyak agama dalam dunia dan cara “penyelamatan dan penebusan” yang dicadangkan oleh mereka.
Sekiranya kita dapat mengenalpasti “sifat keagamaan” yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia, kita perlu menghormati dan memahami fenomena kepelbagaian agama yang berkembang disebabkan oleh faktor budaya, serta berusaha untuk mencari saluran komunikasi. Memulaukan diri sendiri, tidak mengambil tahu, dan bahkan dengan tegas menyangkal kepercayaan orang lain tidak dapat membantu komunikasi antara agama yang berbeza. Tindakan-tindakan tersebut juga tidak membantu dalam pengenalan diri atau pengenalpastian kedudukan diri sendiri. Dalam perkembangan “globalisasi” yang pesat sekarang ini, iman kepercayaan kita harus ditentukan dengan jelas dalam konteks yang hebat ini. Pada masa kita menggalakkan penyebaran Injil, pengetahuan ini adalah sangat diperlukan sebagai prasyarat penting.
Dengan renungan yang lebih mendalam, “penyelamatan dan penebusan” sebenarnya mengandungi pelbagai arah kepercayaan yang kompleks dan tidak dapat diselesaikan dengan hanya membandingkan “doktrin”. Tidak kira tergolong dalam jenis “kuasa sendiri” atau “kuasa luar”, dan sama ada merupakan agama “institusi” atau “tersebar”, setiap agama ada doktrin, ritual, organisasi, pemimpin, dan amalan harian yang berbeza-beza tahap dan sifatnya. Semua aspek ini membentuk suatu sistem “penyelamatan dan penebusan” yang difikirkan wajar oleh mereka. Agama mewakili konsep dunia pemercayanya dan disertakan dengan amalan nyata yang ditunjukkan di bawah konsep dunia ini. Oleh itu, ketika kita membincangkan perbandingan “konsep penyelamatan dan penebusan” bagi pelbagai agama, kita perlu mempunyai pemahaman yang komprehensif tentang agama tertentu. Pemahaman agama ini meliputi aspek asal-usul sejarah, konteks budaya, klasik dan bahasa, sistem doktrin, simbol dan ritual, struktur organisasi, kehidupan pemercaya, perkembangan dan kesusahan, dan lain-lain. Kita perlu memahaminya dengan teliti, dan kemudian mengkaji dengan memberi fokus pada tema “penyelamatan dan penebusan” yang tertentu. Kerjasama”makro” dan “mikro” begini merupakan kerja perbandingan agama yang selamat. Pemahaman agama yang samar-samar atau sederhana, atau kesimpulan yang dibuat sembarangan tanpa berfikir semasak-masaknya selalunya hanya akan meneruskan pertentangan antara agama.
Sebaliknya, pemahaman yang mendalam tentang agama sendiri harus menjadi syarat yang diperlukan untuk kerja perbandingan. Sebagai contoh, tema “penyelamatan dan penebusan” kita. Kita menyebut bahawa penyelamatan dan penebusan agama Kristian meliputi masa lalu, masa kini, dan masa depan. Hal ini kerana peristiwa bersejarah tentang Kristus mati bagi kita terjadi pada masa lalu. Namun setelah peristiwa itu terjadi, kesan penyelamatan dan penebusan ini ada dalam diri pemercaya dengan kadar yang segera. Pengalaman penyelamatan dan penebusan dalam dunia dan masa kini menolong orang-orang Kristian mempercayai penyelamatan dan penebusan kekal pada masa depan. Kepercayaan ini merupakan pengharapan dan sasaran utama agama ini. Selain itu, walaupun agama Kristian menjadikan Yesus Kristus sebagai Penyelamat, dan nampaknya agama Kristian digolongkan sebagai agama “kuasa luar”, tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa orang Kristian dapat diselamatkan dengan “kasih karunia” saja. “Alkitab” juga mengajar orang Kristian dengan sedaya upaya bahawa banyak usaha peribadi diperlukan jika mereka ingin diselamatkan dan ditebus. Usaha-usaha seperti penyempurnaan rohani, kebajikan, penglibatan kerja suci peribadi dan sebagainya merupakan kunci penentu utama. Dalam pengertian ini, agama Kristian juga boleh digolongkan sebagai agama “kuasa sendiri”.
Daripada perspektif ini, setelah pemahaman diri yang mendalam, seseorang boleh menggunakan agama sendiri sebagai titik permulaan dan rujukan untuk membuat perbandingan. Kemudian, seseorang boleh memperluas liputannya sehingga dia dapat mengenali diri sendiri dan yang lain sehingga dapat membentuk perbandingan agama yang sebenar.