BAGAIMANAKAH MELAKSANAKAN KERJA SUSULAN DENGAN BAIK?

BAGAIMANAKAH MELAKSANAKAN KERJA SUSULAN DENGAN BAIK?

PENGENALAN

Kerja penyebaran Firman merupakan amanat yang tidak boleh ditolak dan dilengah-lengahkan bagi umat Kristian. Kerja ini asyik dipesankan oleh Tuhan kepada para murid sebelum Dia terangkat ke syurga. Oleh itu, kita yang telah terima amanat agung ini harus bekerja keras untuk menyelesaikannya. Dalam keseluruhan proses penyebaran Firman, benih mula ditabur dengan penginjilan peribadi. Kemudian, persekutuan mengadakan kebaktian penginjilan ataupun teh Injil. Perkembangan ini diikuti dengan kerja kaunseling selepas kebaktian dan menjalankan kerja susulan ke atas kawan pencari Injil sehingga kawan pencari Injil terima baptisan dan menjadi murid Tuhan. Dengan itu, kita benar-benar menyelesaikan amanat agung yang dipercayakan oleh Tuhan. Tuhan berfirman: “Pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Tuhan…”. Dalam beberapa pautan ini, kerja susulan adalah sangat penting. Jika kerja susulan tidak dilakukan, kita sama seperti tidak kisah tentang hidup mati kawan pencari Injil. Jika bertuah, akhirnya kawan pencari Injil akan terima baptisan untuk menjadi murid Tuhan. Jika tidak bertuah, kawan pencari Injil akan menjadi sasaran yang ditangkap oleh Iblis dalam pertengahan jalan (seperti benih yang ditabur di pinggir jalan, lalu datanglah burung dan memakannya). Apabila hal ini berlaku, bukankah usaha sebelumnya menjadi sia-sia umpama panas setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau? Oleh itu, persekutuan harus menitikberatkan kerja susulan dan harus mendidik rakan-rakan persekutuan tentang hal ini supaya setiap rakan dalam persekutuan bukan sahaja dapat melakukan penginjilan peribadi tetapi juga dapat melakukan kerja susulan lalu bersama-sama menyelesaikan amanat agung yang dipercayakan oleh Tuhan.

APA ITU KERJA SUSULAN?

  1. Secara ringkasnya, kerja susulan bermaksud terus-menerusmmembangun kawan pencari Injil sehingga dia nekad untuk dibaptis menjadi murid Tuhan.
  2. Bagi pemercaya yang baru dibaptis, kerja susulan bermaksud memupuk dan melatihnya dengan tujuan memperkukuh imannya dan membangun kerohaniannya supaya dia dapat segera masuk ke dalam kehidupan gereja dan menjadi murid Tuhan serta melayani-Nya (Kol 1:28-29; Mat 28:19).

Dengan itu dapat diketahui bahawa bagi kawan pencari Injil, kerja susulan merupakan sejenis keprihatinan yang terus membangun. Bagi pemercaya yang baru dibaptis pula, kerja susulan merupakan sejenis kerja pemupukan dan latihan supaya mereka menjadi murid Tuhan (Mat 28:20).

SASARAN KERJA SUSULAN

A. Bagi kawan pencari Injil

     1. Membolehkannya mengenali Tuhan, Yesus Juruselamat, gereja Tuhan dan inti keselamatan (Kis 17:24-31, 2:38-39, 1 Tim 2:4-6)

Selepas memperkenalkan Injil kepada kawan pencari Injil, kita seterusnya perlu terus-menerus mengambil berat tentangnya dan membangunnya. Dengan itu, dia dapat mengenali Tuhan dan Yesus Juruselamat yang tunggal beserta peranan gereja dalam anugerah keselamatan Tuhan dan mengakui bahawa gereja benar merupakan satu-satunya gereja yang diselamatkan lalu akhirnya dapat merasakan bahawa pengharapan hidup manusia yang paling baik hanya terletak pada terima baptisan dan masuk ke dalam kasih karunia Kristus

     2. Membimbingnya menjalani kehidupan yang bersandarkan Tuhan

Sebelum mengenali Tuhan, kawan pencari Injil merupakan seseorang yang langsung tidak mempunyai apa-apa konsep tentang iman kepercayaan. Mereka tidak tahu bahawa hanya Tuhan sebagai sandaran bagi hidup manusia. Oleh itu, mereka sering mempunyai ego yang berpusatkan diri sendiri (Yak 4:13-16). Kini, setelah mendengar tentang Injil, maka haruslah kita membimbingnya untuk cuba menjalani hidup yang bersandarkan Tuhan supaya dia dapat mengecap kebaikan Tuhan dan tahu betapa manisnya anugerah ini serta dapat membangun imannya secara langsung.

     3. Akhirnya terima baptisan dan menjadi murid Tuhan

Membimbing pencari Injil datang mengenali Tuhan dan merasai keajaiban tanda mukjizat merupakan satu langkah kecil dalam kasih karunia Tuhan. Langkah ini hanya merupakan satu proses dan bukannya tujuan pekerjaan Injil. Tujuan akhir pekerjaan Injil adalah supaya semua bangsa menjadi murid Tuhan dan membaptis mereka dalam nama Tuhan Yesus (Mat 28:19). Jika pencari Injil mengecap banyak kebaikan Tuhan dan merasa banyak tanda mukjizat bahkan juga telah menerima Roh Kudus dalam proses mencari Injil namun akhirnya tidak terima baptisan, maka dia tetap berada di dalam dosa. Kasih karunia yang diperoleh semasa mencari Injil hanya menjadi salah satu pengalaman dalam hidupnya dan akan menjadi “kesia-siaan” pada satu hari nanti. Oleh itu, dalam proses membimbing kawan pencari Injil, kita perlu memberi perhatian khusus dengan tidak membiarkan kawan pencari Injil hanya mengakui Yesus sebagai “doktor”, iaitu berpendapat bahawa dia boleh datang mencari Yesus apabila sakit dan tidak perlu mencari Yesus setelah sembuh. Saya pernah berhadapan dengan banyak contoh sedemikian dalam kerja penggembalaan dahulu. Sebagai contoh, seorang belia menyertai “Ba Jia Jiang” di kuil pada masa lalu dan sebagai akibatnya, dia dirasuk oleh roh jahat. Roh jahat tersebut sering memberikan “jenama” untuk menjana wang bagi keluarganya. Namun tidak lama kemudian, roh jahat tersebut menguasainya dan sering membantingkannya ke tanah. Dalam keadaannya yang paling susah, ada orang yang memperkenalkan gereja kepadanya supaya dia dapat mencari Injil. Saudara-saudari membantu doa baginya dan tidak lama kemudian, dia menjadi sembuh. Walau bagaimanapun, dia tidak datang ke gereja sejak itu. Ketika mengadakan lawatan ke rumahnya, ibu bapanya berkata bahawa penyakitnya telah sembuh dan dia tidak mahu percaya lagi.

B. Bagi pemercaya yang baru dibaptis

    1. Kerja susulan bermaksud membantunya mengenali gereja, seiman dalam gereja, kehidupan dalam gereja dan mendirikan iman kepercayaannya

Daripada seorang yang tidak mempunyai konsep ketuhanan kepada seorang yang baru memasuki kehidupan yang berpusatkan Tuhan, dia pastinya perlu menyesuaikan diri dengan banyak perkara. Pada masa ini, sekiranya persekutuan dapat membimbing dan mengambil berat tentang dia, pastinya dia akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Antaranya termasuk penyesuaian diri dengan kehidupan gereja, cara bergaul dengan seiman, cara berinteraksi dengan orang yang belum percaya dan sebagainya.

     2. Memberi peringatan kepadanya tentang perkara-perkara yang perlu diberi perhatian – supaya dia tidak tersesat

Walaupun telah dibaptis, namun dari segi kerohanian, dia umpama seorang bayi yang baru dilahirkan. Dia belum ada pengalaman tentang masalah rohani. Iblis memang suka akan orang yang sedemikian. Pada masa ini, persekutuan harus lebih menjaganya supaya kerohaniannya tidak mati pada usia yang muda dan supaya kita tidak menjadi malu terhadap Tuhan Yesus. Maka, tujuan kita dipilih menjadi “bangsa yang terpilih” supaya kita menjadi satu kumpulan adalah supaya menerusi kehidupan persekutuan, anggota-anggota dapat saling menjaga, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh itu, kita seharusnya memberi perhatian yang lebih kepada rakan-rakan baru dalam persekutuan ini.

     3. Membantu dia memasuki kehidupan pelayanan

Selepas percaya kepada Tuhan, perkara yang paling penting bagi kita ialah mempersembahkan tubuh kita sebagai persembahan yang hidup iaitu menjalani kehidupan yang berpusatkan Tuhan dalam seumur hidup kita. Oleh itu, bagi orang yang baru terima baptisan, kita harus membimbingnya supaya dia dapat memasuki kehidupan pelayanan dengan kadar yang segera. Hal ini kerana dia hanya akan mempunyai rasa kekitaan dan mengenalpasti iman kepercayaan ini apabila dia memasuki kehidupan pelayanan. Namun untuk memasuki kehidupan pelayanan, mula-mula sekali dia harus sangat fasih tentang segalanya berkenaan gereja dan perlu mempunyai kemahiran pelayanan. Aspek ini merupakan pendidikan yang perlu diberikan oleh gereja. Jadi, kerja susulan adalah untuk memupuk orang yang baru dibaptis supaya bertumbuh besar daripada pemercaya kepada murid.

     4. Melatih dia menjadi pekerja Injil

Pemercaya yang baru dibaptis dapat menyertai pelayanan dalam gereja belum lagi mencukupi. Kita masih perlu memupuknya supaya dia dapat sedar tentang amanatnya dan menjadi prajurit yang baik dari Kristus untuk menerima amanat yang agung.

 

KAEDAH KERJA SUSULAN

1. Kerja susulan individu

Merujuk kepada seorang murid yang lebih matang bertanggungjawab memimpin seorang pencari Injil atau pemercaya yang baru untuk mencapai matlamat kerja susulan. (Kaedahnya boleh 1-1 ataupun 2-1)

2. Kerja susulan berkumpulan

Memberi pengajaran yang sistematik melalui kekuatan persekutuan atau gereja. (Contohnya mengadakan kebaktian persahabatan pencari Injil ataupun kebaktian pembangunan bagi kelas pemercaya baru)

3. Kerja susulan surat-menyurat

Dengan mengirim bahan terbitan gereja atau kursus surat-menyurat, kad Injil kepada kawan pencari Injil.

 

ISI PENTING KERJA SUSULAN

A. Kerja susulan individu

Kerja susulan individu merupakan rahsia untuk memenangkan orang (1 Kor 9:20-22). Kerja susulan juga merupakan bahagian yang terpenting dalam penginjilan peribadi. Jika hanya ada kerja menabur benih tetapi tidak ada penyiraman susulan, maka kerja menabur benih itu sering menjadi kerja yang tidak berkesan. Oleh itu, seseorang yang tahu membuat penginjilan peribadi juga seharusnya tahu membuat kerja susulan. Walau bagaimanapun, jika setiap murid (rakan persekutuan) mahu melakukan kerja susulan dengan baik, dia harus terlebih dahulu memiliki beberapa syarat rohani dan perlu fasih dengan isi penting kerja susulan. Dengan itu, dia dapat menyelesaikan amanat agung yang dipercayakan oleh Tuhan.

1. Syarat-syarat rohani yang perlu dimiliki oleh pekerja kerja susulan

  • Dia seharusnya merupakan seorang umat Kristian yang mempunyai gaya hidup baru di samping mencapai kedewasaan penuh dalam Firman Kebenaran dan mempunyai pengenalan pada tahap yang tertentu tentang inti keselamatan.
  • Dia juga seharusnya mempunyai semangat yang melayani manusia :

Kerja susulan merupakan satu kerja pelayanan kasih. Kerja susulan lebih sukar daripada kerja menabur benih. Jika orang yang membuat kerja susulan tidak mempunyai kasih, maka seringnya dia akan berhenti di pertengahan jalan seperti genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan dan ada kalanya akan berasa “berkecil hati kerana melakukan kebaikan”. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mempunyai kesedaran amanat yang kuat dan kasih Kristus yang menguasainya, kerja ini tidak akan berjaya (Mrk 10:42-45; 1 Kor 9:19).

  • Dia juga perlu mempunyai prestasi tingkah laku yang baik dan dapat menjadi teladan baik :

Kerja susulan merupakan satu kerja kepemimpinan. Pemimpin wajar untuk mempunyai tingkah laku yang baik dan menjadi teladan bagi orang yang dipimpin. Berdasarkan pengalaman, usaha dalam firman dan pengenalan tentang gereja bagi kawan pencari Injil selalunya dikaitkan dengan pemimpin. Pencari Injil juga sering belajar tentang kehidupan gereja daripada pemimpin. Oleh itu, orang yang membuat kerja susulan sepatutnya bertekad untuk menjadi gembala yang baik dan berjalan di hadapan kawan pencari Injil.

  • Dia perlu mempunyai semangat berusaha tanpa mengenal erti penat :

Tidak kira kawan pencari Injil ataupun orang yang baru dibaptis, sasaran yang dihadapi dalam kerja susulan hanyalah bayi secara rohani. Oleh itu, pemimpin haruslah memimpin mereka dengan perasaan ibu bapa. Contohnya Paulus berkata kepada jemaat di Tesalonika: “Ketika berada di gereja, dia berlaku ramah di antara mereka, sama seperti seorang ibu mengasuh dan merawati anaknya.” (1 Tes 2:7,9,11). Orang yang membuat kerja susulan harus mempunyai hati seperti ini untuk menjadi cekap dalam kerja ini.

2. Peranan yang dimainkan oleh orang yang membuat kerja susulan

  • Malaikat Kristus:

Kita merupakan bangsa yang terpilih dan diberi tanggungjawab untuk memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Kristus. Injil Kristus ialah Injil yang memberi damai sejahtera kepada manusia (Ef 2:13-17). Oleh itu, kita seharusnya menjadi utusan damai sejahtera dan berusaha meminta kepada manusia supaya berikan diri didamaikan dengan Tuhan (2 Kor 5:20-21; Ef 2:17).

  • Menjadi teman sekerja Tuhan:

Pekerjaan Injil ialah kekuatan Tuhan (Rm 1:16). Tuhan sendiri yang bekerja. Oleh itu, sebagai orang yang memberitakan Injil Tuhan, kita seharusnya berusaha mencari kehendak Tuhan, menjadi pelayan Tuhan dan menjadi rakan sekerja Tuhan untuk menyelesaikan kerja-kerja Tuhan (1 Kor 3:5,6,9).

  • Menjadi guru / pengajar:

Orang yang membuat kerja susulan merupakan seseorang yang telah mengecap kebaikan Tuhan di samping mencapai kedewasaan penuh dalam Firman kebenaran dan memahami ajaran tentang kebenaran. Oleh itu, peranan yang dimainkan olehnya adalah menjadi guru/ pengajar yang mengajar orang untuk percaya kepada Kristus (1 Tim 2:7).

  • Menjadi hamba:

Kerja susulan merupakan sejenis pelayanan kasih. Jika orang yang membuat kerja susulan dapat memainkan peranan sebagai hamba, melayani pihak lain demi kasih Kristus, adalah dipercayai bahawa pihak tersebut akan segera merasa kasih di dalam Kristus. Jika sasaran bagi kerja susulan merupakan golongan yang lemah (contoh: sakit, cacat fizikal, bermasalah mental… dan sebagainya), orang yang membuat kerja susulan lebih lagi perlu menjadi hamba dalam melayani mereka. Ketika gereja Datong mengadakan penginjilan di Chang Gung, kebanyakan orang yang dihadapi oleh pekerja-pekerja Injil ialah orang yang sakit tenat dan ada yang mempunyai masalah dari segi pergerakan. Oleh itu, pekerja-pekerja Injil sering memerlukan banyak kesabaran semasa melayani mereka. Namun pelayanan ini kadang-kadang tidak disukai oleh kebanyakan orang.

  • Menjadi kawan:

Orang yang membuat kerja susulan perlu mendalami kehidupan kawan pencari Injil supaya dapat memberi bantuan yang bersesuaian berdasarkan keperluan pihak tersebut. Oleh itu, orang yang membuat kerja susulan perlu menjadi kawan kepadanya supaya dapat berjalan bersama dengannya. Sebagai contoh, demi menasihati dua orang murid yang mahu pulang ke Emaus kerana kecewa, Tuhan Yesus berjalan bersama-sama dengan mereka. Dia bercakap dengan mereka secara bersahaja, memberi panduan tentang iman kepercayaan manusia melalui topik kehidupan, menjelaskan keraguan mereka dan memulihkan iman mereka. Paulus juga meluahkan prinsipnya dalam memberitakan Injil: “Bagi semua orang aku telah menjadi segala-galanya” (masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak). Tujuannya adalah supaya dia boleh memenangkan sebanyak mungkin orang dan mendapat bagian dalam Injil (1 Kor 9:20-22).

3. Isi penting kerja susulan

     A. Terlebih dahulu mengumpul data pencari Injil dan kemudian klasifikasikan perinciannya:

Terdapat banyak jenis pencari Injil. Ada yang datang mencari Injil secara ikhlas, ada yang datang kerana perasaan ingin tahu dan ada juga yang datang untuk bersosial. Oleh itu, selepas memperoleh data pencari Injil, kita boleh membuat klasifikasi berdasarkan keadaan mereka. Contoh:

  • Sangat berminat dalam mengkaji Alkitab bahkan ada pengalaman. Kita boleh memasukkannya ke dalam kategori yang memerlukan kerja susulan dan lawatan secara aktif.
  • Hanya menyatakan minat tetapi tidak sudi terima lawatan. Kita boleh mengirim bahan-bahan terbitan dan pita rakaman kepadanya dari semasa ke semasa. Buat kerja susulan melalui cara surat-menyurat, dan naikkan tarafnya apabila dia mempunyai kehendak yang cukup besar.
  • Hanya sekadar ingin tahu atau memenuhi jemputan rakan. Dalam kes ini, kita sekali-sekala boleh mengirim surat jemputan atau pemberitahuan mengenai kegiatan gereja kepadanya dan mengalu-alukan penyertaannya.

Sekiranya kita dapat membuat klasifikasi yang baik pada tahap awal kerja susulan, kita tidak perlu bersusah payah melakukan kerja susulan pada kemudian hari dan mengelakkan sebarang keciciran.

     B. Mulakan dengan mengambil berat tentang kehidupannya:

  •  Nyatakan keprihatinan persekutuan terhadapnya dengan bertanya khabar melalui kad ucapan. Kad ucapan yang dikirimkan menandakan keprihatinan kita.
  •  Boleh juga menemubual melalui telefon. Komunikasi moden sangat maju dan kita boleh memanfaatkannya dengan baik. Contohnya berhubung melalui emel.
  • Kunjungan praktikal merupakan kaedah kerja susulan yang paling berkesan jika kita dapat meluangkan masa untuk bersemuka dengan kawan pencari Injil. Kaedah ini membolehkan kedua-dua pihak saling mengenali dan berkongsi pengalaman.

     C. Hadiahkan bahan terbitan, pita rakaman kesaksian dan pita rakaman Injil berdasarkan keperluannya:

Selepas berhubung dengan kawan pencari Injil, kita boleh menghadiahi dia dengan beberapa bahan terbitan atau pita rakaman Injil berdasarkan keperluannya. Namun, semasa memberi bahan-bahan ini, kita tidak perlu menghadiahkan semuanya sekaligus. Hanya beberapa bahan pada satu masa sudah mencukupi. Dengan itu, kita mempunyai bahan untuk dihadiahkan kepadanya pada setiap kali kunjungan. Dalam setiap kunjungan, kita boleh mengambil bahan yang baharu untuk menggantikan bahan yang lama. Kemudian, kita boleh berbincang tentang isi kandungan bahan terbitan yang dihadiahkan kepadanya sebelum itu secara mahir untuk mengetahui sama ada pihak yang satu lagi mempunyai niat untuk terus mengkaji. Selain itu, kita boleh membuat perkongsian tentang anugerah Tuhan semasa dalam kunjungan. Pencari Injil sangat suka jika ada orang yang mengambil berat tentangnya dan berkongsi pengalaman dengannya.

     D. Pemimpin harus mendoakan kawan pencari Injil setiap hari:

Kita harus berpegang pada satu prinsip iaitu pekerjaan Injil ialah kekuatan Tuhan dan Tuhan sendiri yang bekerja. Oleh itu, mendoakan kawan pencari Injil setiap hari merupakan kaedah yang paling berkesan. Jika kawan pencari Injil berada dalam peperangan atau mendua hati, kuasa Tuhan akan ternyata dengan khusunya.

     E. Ajar dia berdoa, belajar bersandar kepada Tuhan, merasakan anugerah Tuhan:

Iman kepercayaan berada pada tahap kerohanian. Oleh itu, pengalaman lebih mudah membuat orang percaya kepada Tuhan berbanding pengetahuan yang rasional. Tidak kira betapa berilmunya seseorang itu, asalkan dia melihat Tuhan dengan matanya sendiri ataupun menyentuh Tuhan dengan tangannya sendiri, dia pasti akan bersorak / berseru dari dalam hatinya: “Ya Tuhanku dan Allahku” (Yoh 20:28). Pada masa itu, anda akan mendapati bahawa membuat kerja susulan dan memimpin seorang pencari Injil tidaklah sesukar yang disangkakan. Tuhan bekerja dalam segala sesuatu dan kita hanya menjadi rakan sekerja Tuhan sahaja.

     F. Berkongsi pengalaman di samping menjawab soalan sukarnya:

Dalam proses mencari Injil, pencari Injil pastinya akan mempunyai banyak persoalan yang ragu-ragu. Kita harus berkongsi pengalaman dengannya dan menjelaskan keraguannya setiap kali kita mengunjunginya. Jika kita tidak dapat menjawab atau menjelaskan soalan yang diajukan olehnya, kita tidak boleh membuat penjelasan secara terpaksa. Kita harus merujuknya kepada rakan persekutuan yang lain ataupun penatua, diaken dan pendeta.

     G. Menggalakkan dia menyertai kebaktian yang bersesuaian:

Selepas dia menyertai persekutuan untuk satu tempoh masa, kita boleh menggalakkan dia menyertai aktiviti ataupun kelas lanjutan bahkan kebaktian dalam gereja. Dengan berbuat demikian, dia dapat benar-benar masuk ke dalam gereja. Walau bagaimanapun, sebelum membawanya ke gereja, kita perlu terlebih dahulu memperkenalkan beberapa situasi dalam gereja kepadanya supaya dia dapat bersedia dari segi mental. Khususnya, jika kawan pencari Injil tidak pernah berhubung dengan gereja sebelum itu, kita harus memperkenalkan situasi doa dalam gereja dan kehidupan gereja kepadanya.

     H. Memperkenalkan penatua dan diaken gereja kepadanya:

Selepas membawanya ke gereja, kita harus memperkenalkan seiman terutamanya penatua, diaken dan pendeta kepadanya. Hal ini demikian kerana mereka umpama ibu bapa bagi keluarga besar jemaat ini. Kawan pencari Injil akan mendapat lebih banyak jagaan setelah mengenali mereka. Dengan itu, dia dapat merasai kehangatan dalam gereja.

     I. Jika persekutuan ada menganjurkan kajian Alkitab kumpulan kecil, kita boleh menjemputnya untuk melibatkan diri:

Keprihatinan dalam kumpulan kecil amat mudah memberikan perasaan hangat kepada orang. Oleh itu, jika boleh, persekutuan boleh memulakan langkah ini namun harus dengan bimbingan golongan senior. Jangan kaji teologi yang susah dalam kajian Alkitab kumpulan kecil melainkan berkongsi tentang kehidupan dan kidung. Dalam setiap kerja susulan dan kunjungan, kita boleh memimpin kawan pencari Injil membuat perkongsian kidung ataupun pembacaan Alkitab.

     J. Boleh menggalakkan dia menyertai kelas pencari Injil jika ada

Kelas pencari Injil memberi pembangunan yang amat besar kepada pencari Injil. Dalam kelas, Injil diperkenalkan secara teratur. Kelas pencari Injil juga boleh mengatur untuk membuat perkongsian kesaksian. Pengalaman orang-orang pada masa dahulu boleh menjadi rujukan kepada kawan pencari Injil. Jika kawan pencari Injil ada keraguan tentang Injil, keraguan tersebut boleh dijelaskan pada masa itu juga dengan kadar yang segera.

     K. Selepas memahami Firman, galakkan dia untuk hasilkan iman dan terima baptisan:

Matlamat kerja susulan adalah untuk membuatkan kawan pencari Injil memahami kebenaran lalu bertekad memberi diri dibaptis dan menjadi murid Tuhan. Oleh itu, orang yang membuat kerja susulan haruslah sangat jelas tentang keadaan iman kawan pencari Injil. Selepas kita tahu bahawa dia benar-benar telah mengenali Firman kebenaran, kita harus memberikan banyak galakan kepadanya. Namun jika dia masih dalam keadaan samar-samar, janganlah kita menggesanya supaya dia tidak terjatuh sekali lagi dalam Firman kebenaran selepas dibaptis.

Pokoknya, prinsip bagi kerja susulan ialah banyakkan berdoa dan taati pimpinan Roh Kudus. Di samping itu, kita harus memimpin dengan kesabaran dan berpegang pada prinsip tidak menggesa tetapi tidak berputus asa. Apabila masanya tiba, kita pasti akan menuai dengan penuh sukacita.

4. Kerja susulan ke atas orang yang baru terima baptisan

Apabila kawan pencari Injil dibaptis dan menjadi salah satu ahli dalam Tuhan, orang yang membuat kerja susulan harus lebih memperhatikan keadaannya. Dari segi kerohanian, dia umpama bayi yang baru dilahirkan. Dia tidak tahu apa-apa bahkan mudah terluka. Oleh itu, orang yang membuat kerja susulan perlu lebih memberi perhatian. Sebaiknya, jadilah kawan baiknya yang boleh mengambil berat tentang semua perkara yang berkaitan dengan dirinya. Kemudian, bimbingnya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan gereja secara perlahan-lahan. Pemupukan yang penuh kesabaran oleh pemimpin amat diperlukan dalam tempoh ini. Contohilah rajawali yang mengajar anak-anaknya dengan melepaskannya dan kemudian menyambutnya. Maksudnya, pemimpin tidak boleh menguruskan semua hal bagi pihaknya seperti masa dia datang mencari Injil. Sebaliknya, pemimpin harus berdiri di posisi penasihat, memberi pendapat, membimbingnya untuk mencari kehendak Tuhan melalui doa dan memupuk kebiasaan bersandar kepada Tuhan dalam segala hal. Dengan itu, dia dapat mencapai kedewasaan penuh dalam Firman Kebenaran. Akhir sekali, orang yang membuat kerja susulan juga harus membimbingnya memasuki pelayanan dan mendapat latihan dalam pelayanan gereja. Dengan itu, dia dapat menjadi prajurit yang baik bagi Injil untuk menyelesaikan amanat agung Tuhan, menjadi murid Tuhan secara rasminya dan bukannya menjadi pemercaya yang tidak bertumbuh besar. Kerja susulan benar-benar selesai apabila tahap ini dicapai.

B. Kerja susulan berkumpulan

    1. Kerja susulan ke atas pencari Injil

  • Mengadakan kelas pencari Injil:

Pembahagian kelas boleh dibuat berdasarkan sifat dan usia pencari Injil. Inti Alkitab boleh menjadi topik utama dalam isi kandungan pelajaran, terutamanya memperkenalkan Injil. Contoh: memperkenalkan Alkitab, Tuhan, Kristus, kehidupan manusia, gereja, doktrin dan lain-lain lagi. Sebagai tambahan kepada pelajaran utama, kita boleh mengatur perkongsian kidung dan kesksian (lebih sesuai jika dapat mengatur pencari Injil yang telah mempunyai pengalaman untuk menyampaikan kesaksian). Kita juga boleh mengatur perkongsian pengalaman dalam mencari Injil, mengadakan sesi soal jawab dan memohon karunia Roh.

  • Mengadakan persahabatan pencari Injil:

Sangat sesuai bagi pencari Injil yang telah mencari Injil di gereja untuk suatu tempoh yang tertentu. Dalam kursus yang diatur, kita boleh mengatur topik khas untuk memperkenalkan isi kandungan Injil atau doktrin gereja, kesaksian, sesi soal jawab dan memohon karunia Roh. Sekiranya sesuai, kita boleh membawa pencari Injil ke tempat lain untuk mengadakan persahabatan dan merasakan kasih kekeluargaan Tuhan dalam gereja kita. Berdasarkan pengalaman saya dalam membimbing persekutuan institut pengajian tinggi, persahabatan pencari Injil yang dianjurkan oleh persekutuan memberi bantuan yang amat besar kepada pencari Injil. Setelah mengambil bahagian dalam persahabatan pencari Injil, ramai pencari Injil yang bertekad untuk terima baptisan dan kembali kepada Tuhan.

C. Kerja susulan ke atas pemercaya baru

    1. Persekutuan harus menganjurkan kebaktian pembangunan ataupun kebaktian persahabatan untuk pemercaya baru:

Kebaktian pembangunan untuk pemercaya baru bermaksud gereja mengajar pemercaya baru untuk memasuki kehidupan dan pelayanan dalam gereja secara beransur-ansur dengan topik-topik yang sistematik bagi inti Alkitab dan pengetahuan am kehidupan pemercaya. Kebaktian persahabatan pemercaya baru pula meringkaskan isi kandungan kebaktian pembangunan. Kebaktian ini boleh diadakan dalam tiga sesi menurut temanya: (a) Kenali gereja sendiri – memperkenalkan organisasi gereja, keadaan semasa gereja, kehidupan dalam gereja, peraturan kehidupan dalam gereja dan sebagainya. (b) Kenali karunia sendiri – ajar pemercaya baru cara untuk memahami karunia sendiri dan perkenalkan organisasi pelayanan dalam gereja kepadanya dengan tujuan untuk membolehkan dia mengetahui cara untuk memasuki kehidupan pelayanan dalam gereja. (c) Gunakan kuasa kasih pada kali yang ketiga – melalui lawatan gereja yang dianjurkan, biarkan dia merasai sambutan gereja yang penuh kasih dan belajar melakukan pelayanan kasih.

    2. Pimpin dia menyertai persahabatan:

Galakkan pelayanan dalam persahabatan.

    3. Persahabatan atau persekutuan harus merancang untuk menjalankan latihan murid bagi pemercaya baru:

Selalu mengadakan pelbagai latihan pelayanan. Jika kita ingin menggalakkan pemercaya baru untuk memasuki pelayanan ataupun menjadi pekerja Injil tetapi tidak memberitahu dia cara untuk melakukannya, bagaimanakah dia dapat melayani Tuhan sesuai dengan karunia yang diperolehnya?

 

KESIMPULAN

Menabur benih hanyalah permulaan dalam keseluruhan pekerjaan Injil. Perkara yang dapat membuatkan seorang pencari Injil membuat keputusan muktamad untuk menjadi murid Tuhan adalah berdasarkan kerja susulan dan kerja kepemimpinan selepas itu iaitu jika kerja-kerja tersebut dapat dilakukan dengan baik. Kerja susulan merupakan pekerjaan yang memerlukan kesabaran, kasih dan iman. Jika kerja susulan dapat dilakukan dengan baik, bukan sahaja bilangan pencari Injil akan bertambah, bilangan orang yang baru terima baptisan dalam persahabatan juga akan meningkat. Dengan itu, persekutuan akan menjadi penuh dengan semangat dan kehidupan. Oleh itu, hai rakan-rakan dalam persahabatan kampus, adakah tidak ada sebabnya Tuhan Yesus mengaturkan kamu ke dalam kampus ini? Diharapkan setiap rakan dapat berusaha memberitakan Injil dengan kasih mesra Yesus dan berusaha membuat kerja susulan dengan baik supaya kita dapat menyelesaikan amanat agung yang telah dipercayakan oleh Tuhan kepada kita.