PILIHAN MELANJUTKAN PELAJARAN DAN MENCARI PEKERJAAN
(Saudara Zhang Ting Cheng)
Setelah pulang dari kerja dan selesai makan malam, saya mengambil surat khabar dan membeleknya. Pada halaman tertentu, saya melihat satu gambar besar dengan berpuluh ribu kepala bergerak bagai ikan di dalam belat. Kemudian, saya melihat tajuk utama berita yang menyatakan “Bertemu bahu demi berebut periuk nasi” dengan laporan berita: “Adalah semakin sukar bagi lulusan universiti untuk mencari pekerjaan dalam dua tahun kebelakangan ini. Dianggarkan sekitar 800,000 lulusan universiti pada tahun ini akan menghadapi “pengangguran setelah tamat pengajian”. Program merekrut lulusan-lulusan universiti (pasaran pekerjaan) wilayah Hebei yang diadakan di Hebei memperlihatkan ramai pelajar menunggu di luar bangunan seawal jam 7 atau 8 pagi, dan hampir 50,000 orang telah berkumpul di luar bangunan pada jam 9 pagi. Keadaannya bagai ikan di dalam belat. Betapa susahnya untuk mencari pekerjaan.” [20.02.2005 / United Daily News / Halaman A13].
Saya terfikirkan satu ayat dalam Alkitab: “Keturunan yang satu pergi dan keturunan yang lain datang, tetapi bumi tetap ada.” (Pkh 1:4). Dalam ayat yang lebih ringkas, “Generasi yang satu pergi, generasi yang lain datang, tetapi dunia tetap sama”.
Setiap tahun ketika tibanya musim graduasi, selepas aktiviti-aktiviti graduasi yang singkat, fenomena yang seterusnya ialah “pelbagai kesibukan”. Mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau belajar di luar negara, atau bahkan yang ingin mengambil ujian penjawat awam akan memjadi ulat buku sepanjang hari. Mereka mungkin menunjukkan tahap keseriusan yang tidak pernah ada selama empat tahun di universiti. Sementara itu, mereka yang ingin mendapatkan pekerjaan akan mula membelek surat khabar, membuat pencarian melalui Internet, menggunakan hubungan interpersonal dan menulis pelbagai surat permohonan pekerjaan dengan harapan dapat kena undi dalam waktu yang sangat singkat dan pekerjaan itu tetap milik mereka bak yang sehasta takkan jadi sedepa. Perkara yang paling memerah otak adalah bahawa ada yang berada dalam dilema “memilih untuk melanjutkan pelajaran atau mencari pekerjaan”. Jika mereka gagal membuat pertimbangan seperti ini pada tahun ketiga atau tahun keempat di universiti atau sebelumnya, mereka akan menggeletik-geletik bagai ulat nangka pada hari graduasi.
Sering kali, menjadi serius itu tidak sukar, membuat pilihan itu yang paling sukar. Saya berharap dapat menolong pelajar-pelajar muda membuat pilihan yang bijak melalui beberapa peringatan berikut:
A. PERANCANGAN HIDUP SECARA SPESIFIK
Usaha tanpa arah tujuan dan perancangan akan menghasilkan panik yang mengerikan terhadap manusia. Usaha ini adalah seperti kereta api tanpa tujuan yang bergerak di atas landasan yang kompleks dan silang selimpat. Penulis ingin mengingatkan para pelajar muda bahawa mereka mesti berusaha memikirkan secara mendalam tentang rancangan hidup jangka panjang dan jangka pendek sendiri serta arah tujuannya. Mereka mungkin perlu menganalisisnya secara teliti dengan memahami kecenderungan seksualiti, minat, cita-cita, impian, karunia, amanat sendiri, dan aspek-aspek lain.
“Menjadi orang yang berguna”, “melakukan perkara-perkara yang besar”, “yang pekak pelepas bedil, yang buta pengembus lesung, yang bisu penggera ayam, yang lumpuh penghuni rumah”, dan frasa-frasa lain tidak cukup untuk menggambarkan maksud “perancangan hidup secara spesifik”. Adalah perlu untuk kita mengetahui jenis “bakat”, “perkara-perkara yang besar” yang mahu dilakukan atau “tujuan penggunaan” secara spesifik dan jelas. Hanya dengan cara ini kita dapat naik dari janjang, turun dari tangga dan patah sayap bertongkat paruh. Walaupun ada perubahan atau penyesuaian dalam prosesnya, kita tetap teratur dan tidak teragak-agak. Oleh itu, fikirkanlah, apakah pencapaian spesifik yang anda harap anda dapat capai dalam tiga hingga lima tahun akan datang? Apakah peranan yang boleh anda mainkan selepas sepuluh atau dua puluh tahun? Di samping itu, jangan lupakan amanat anda sebagai seorang Kristian. Biarlah pelayanan gereja mempunyai nisbah tertentu yang sangat diperlukan dalam perancangan hidup kita.
Semasa menghadiri temu duga untuk mencari pekerjaan, pegawai temu duga selalu bertanya, apakah perancangan hidup anda? Saya selalu menjawab dengan sangat spesifik: “Saya berharap dapat memiliki keupayaan untuk menjadi ketua bahagian atau pengarah bahagian selepas tiga tahun, dan menjadi pengurus jabatan selepas lima tahun”. Ketika mengatakan hal ini, saya berfikir dalam hati: “Sekiranya saya tidak memegang jawatan sebagai pengarah bahagian di sini selepas tiga tahun, saya akan mencari jawatan kosong untuk pengarah bahagian dan kemudian beralih ke pekerjaan lain. Perkara yang sama berlaku setelah lima tahun”. Selain itu, saya juga menetapkan matlamat dari segi imbuhan, “kenaikan gaji bulanan sekurang-kurangnya 10,000 yuan setahun”. Syukur kepada Tuhan, hampir semua aspek dicapai “tepat pada waktunya” atau bahkan dapat dicapai lebih awal.
B. MEMILIH UNTUK MEMASUKI PASARAN KERJA
Bagi mereka yang membuat pilihan ini, sebilangan orang mungkin ingin bekerja selama beberapa tahun dan kemudian melanjutkan pelajaran mengikut keperluan. Ada juga yang berpendapat bahawa pengajian mereka telah berakhir, maka mereka berharap dapat menyerlahkan diri di tempat kerja secepat mungkin. Tanpa mengambil kira pertimbangannya, asalkan anda memilih untuk memasuki pasaran kerja, anda mesti mempertimbangkan perkara-perkara berikut secara praktikal:
- Arah industri
Secara ringkasnya, pertimbangkan sama ada bidang yang ingin diceburi memerlukan kelayakan peperiksaan (seperti agensi awam, akauntan, peguam, dan lain-lain). Sekiranya perlu, maka anda harus membuat persiapan awal sebelum tahun akhir pengajian anda. “Terperlus maka hendak menutup lubang” selalunya sudah terlambat. Sekiranya ingin memasuki syarikat yang berskala lebih besar, terutamanya syarikat multinasional, anda sering perlu melalui pelbagai ujian seperti uji bakat, ujian kecerdasan, imlak bahasa Inggeris, ujian subjek profesional dan ujian-ujian lain (atau temu duga). Sebenarnya, semua ini memerlukan pengalaman terkumpul yang serius pada hari-hari biasa. Bagi kebanyakan syarikat, syarikat bukan sekolah. Syarikat tidak akan menunggu kita masuk, kemudian perlahan-lahan mengolah dan melatih kita. Peluang sering menjadi milik mereka yang sudah bersedia. Salah satu daripada sebelas cadangan hidup yang diberikan oleh Bill Gates kepada para lulusan universiti ialah: “Hidup manusia bukan sistem semester. Tidak ada cuti musim sejuk dan musim panas dalam hidup. Tidak ada majikan yang berminat untuk menolong anda mencari diri anda sendiri. Gunakanlah masa lapang sendiri untuk melakukan semua ini.”
- Imbuhan yang diharapkan
Bagi seorang lulusan universiti, imbuhan yang diharapkan adalah dipengaruhi oleh banyak faktor. Sebagai contoh: persekitaran keseluruhan, jenis industri (industri kewangan dan industri sains dan kejuruteraan biasanya lebih baik daripada pekerjaan pentadbiran am), syarikat tempatan atau asing, sifat boleh ditukar ganti pekerjaan, malah universiti awam atau sekolah swasta akan memberikan pengaruh yang berbeza. Cadangan penulis adalah bahawa golongan muda yang baru menamatkan pengajian tidak perlu menjadikan faktor ini sebagai faktor yang paling kritikal. Fokus utama perhatian adalah sama ada anda dapat belajar pengetahuan industri yang berkenaan dan mengumpul kemahiran.
- Kepakaran kedua
Sekiranya satu kepakaran adalah seperti pisau, maka dua kepakaran boleh dianggap sebagai pedang bermata dua. Selain jurusan kita sendiri, kita juga harus memperhatikan sama ada kita telah mengembangkan kepakaran kedua semasa zaman belajar. Sebagai contoh penggunaan komputer, ekspresi dalam bahasa asing, kemahiran pengurusan (organisasi sosial, kelas, persekutuan), kemahiran ekspresi, dan lain-lain. Semua ini akan memainkan peranan yang sangat penting apabila berhadapan dengan sebilangan besar pesaing, dan akan mempunyai kesan ajaib “dikuatkan dengan segala kekuatan”.
Selain itu, bagi mereka yang mempunyai niat untuk meneruskan pengajian semasa bekerja, mereka masih boleh memilih pelbagai kelas latihan dan kelas master pengurusan (MBA atau EMBA) bagi golongan bekerja untuk mencapai tujuan bekerja di samping belajar.
- Resume dan temu duga
Pada era ini, kemampuan dan kecantikan dalaman saja tidak mencukupi tetapi mesti dipersembahkan dan perlu diiktiraf. Mendapatkan “pandangan kasih sayang” pada pandangan pertama adalah sangat penting. Semasa melamar pekerjaan, cara menulis sebuah resume yang sesuai, menarik, ringkas tetapi padat bukanlah permulaan yang mudah.
Temu duga ialah satu pelajaran lain yang memerlukan lebih banyak persiapan. Temu duga mewakili proses interaksi dengan tujuan antara dua pihak. Temu duga merupakan peluang singkat untuk penjelasan dua hala agar saling memahami. Jadi mereka yang bakal menghadiri temu duga harus mempertimbangkan dengan teliti cara mereka dapat menunjukkan lebih banyak ciri dalam perbualan supaya menarik perhatian pihak yang lain. Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan:
- Kumpulkan maklumat asas (skopkerja dan profil syarikat)
- Perhatikan sikap emosi (sopan, senyum, yakin)
- Pakaian dan penampilan yang sesuai
- Menggunakanmasa dengan berkesan (tiba sedikit lebih awal, hargai masa menjawab)
- Fahami sepenuhnya autobiografi dan rancangan kerjaya anda sendiri
- Siapkan soalan yang mungkinditanya
C. MEMILIH UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN
Jika kita meninjau persekitaran pendidikan kini, lulusan universiti adalah sangat banyak seperti batu di pulau, bahkan sarjana dan doktor juga banyak. Ujian kemasukan universiti untuk hampir semua kemasukan telah menjadi fungsi intipati bagi pembahagian fakulti dan jurusan. Bagi pelajar universiti semasa, medan perang akademik semasa telah ditingkatkan ke tahap institusi penyelidikan, atau bahkan tahap dua ijazah. Untuk industri yang lebih fokus pada penyelidikan dan perkembangan seperti farmaseutikal, bioteknologi, elektronik, maklumat dan bidang-bidang lain, pakar dengan kelayakan akademik yang lebih tinggi lebih diperlukan. Bahkan mereka yang sudah mempunyai kepakaran (seperti doktor, perakaunan, undang-undang, dan lain-lain) juga mesti mengambil kursus akademik pengurusan perniagaan yang berkaitan untuk menjadi pengurus yang profesional. Secara amnya, pensyarah-pensyarah universiti dan kolej yang baru direkrut hampir semuanya doktor. Oleh itu, peluang yang lebih banyak untuk melanjutkan pelajaran sememangnya amat dihargai bak segenggam digunungkan, setitik dilautkan.
Sebagai pertimbangan untuk melanjutkan pelajaran, ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan:
- Penganugerahan ijazah
Berkat kemajuan teknologi moden dan perubahan fleksibel dalam kaedah perekrutan, kini terdapat saluran yang sangat pelbagai untuk melanjutkan pelajaran. Bagi pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran, perkara pertama yang perlu diberikan perhatian adalah sama ada kursus yang diambil diberikan ijazah formal (Diploma) atau hanya sekeping sijil tamat pengajian umum (sijil) dan sama ada sijil ijazah yang dikeluarkan oleh universiti luar negara memenuhi peraturan Kementerian Pendidikan tempatan. Sebagai contoh, keperluan untuk tinggal di luar negara untuk jangka masa tertentu dan isu-isu relevan yang lain. Semua ini tidak boleh diabaikan bagi mereka yang merancang untuk mendapatkan pekerjaan di institusi awam ataupun sekolah pada masa depan.
- Pilihan tempat
Perihal sama ada belajar di dalam atau di luar negara juga sangat penting. Kesannya termasuk sama ada kemahiran bahasa asing mencukupi, masa untuk memperoleh ijazah, tahap perbelanjaan tempatan, keadaan masyarakat tempatan, dan lain-lain lagi. Semua aspek ini memberikan kesan yang mendalam terhadap rancangan pengajian anda yang selanjutnya.
- Pilihan jurusan
Pilihan jurusan akan memberikan kesan yang mendalam terhadap perkembangan di tempat kerja pada masa depan. Jadi anda harus memperhatikan sama ada jurusan itu sesuai dengan minat sendiri, sesuai dengan perubahan industri, imbuhan yang munasabah sebagai pulangan dan sebagainya. Ada orang telah menamatkan pengajian doktor perubatan di luar negara dan memperoleh kelayakan sebagai doktor tetapi kemudian memasuki institut pengajian pengurusan untuk mengambil ijazah pengurusan setelah kembali bekerja di dalam negara. Model seperti ini secara beransur-ansur menjadi model nilai tambah profesional yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
KESIMPULAN
“Dan biarlah orang-orang kita juga belajar melakukan pekerjaan yang baik untuk dapat memenuhi keperluan hidup yang pokok, supaya hidup mereka jangan tidak berbuah.” (Tit 3:14). Dalam bahasa mudahnya, “biarlah orang-orang kita berusaha sebaik mungkin dalam pekerjaan yang baik untuk memenuhi keperluan dalam kehidupan, jangan menjadi orang malas dan tidak berguna.” Kita memohon Tuhan memimpin agar kita berjalan di atas jalan Tuhan tanpa mengira arah tujuan kita.