SEJARAH GEREJA REFORMED
(Saudari Song Yi Zhen)
Semasa zaman Reformasi, denominasi Protestan mekar seperti bunga. Sebagai contoh, Gereja Lutheran oleh Martin Luther, Gereja Anglikan yang menjadi agama rasmi United Kingdom, Gereja Wesley (Metodis) pada hari kemudian dan sebagainya. Gelaran “Gereja Reformed” (Reformed church) muncul selepas persidangan keagamaan (The Colloquy) yang diadakan di Poissy, Perancis pada tahun 1561. Gelaran ini secara khusus merujuk kepada denominasi yang berpusat di Switzerland serta dipengaruhi oleh Ulrich Zwingli dan John Calvin. Oleh sebab pengaruh Zwingli secara beransur-ansur merosot setelah kematiannya, maka ideologi Gereja Reformed hampir disamakan dengan Calvinisme.
Selain memiliki daya pengaruh yang kuat di Eropah dan Amerika, Gereja Reformed juga memiliki hubungan yang mendalam dengan Taiwan. Sebagai contoh, Mackay yang datang ke Taiwan untuk menyebarkan agama pada tahun 1872, adalah seorang pendeta Gereja Presbyterian, dan Gereja Presbyterian adalah daripada Gereja Reformed. Para mubaligh yang datang ke Taiwan seawal zaman penjajahan Belanda juga adalah daripada Gereja Reformed Belanda. Di samping itu, teologi Calvinisme tidaklah asing bagi kita. Sebagai contoh, “doktrin predestinasi” (Calvinistic doctrine of predestination) yang paling terkenal merupakan sekumpulan teori mengenai pemilihan Tuhan dan keselamatan manusia. Ajarannya mengenai Sakramen Perjamuan Kudus telah menjelaskan cara kehadiran Yesus dalam roti dan cawan. Sekiranya melihat cara doktrin-doktrin ini berhubungan dengan denominasi-denominasi lain, kita akan mendapati bahawa bayang-bayang beberapa idea teologi yang kita biasa boleh ditemukan di sini.
Mengapa idea Calvin boleh tersebar begitu luas? Apakah keistimewaan teologinya? Mari kita terlebih dahulu mengenali Calvin, perintis itu dan kemudian menjejaki perkembangan denominasi ini.
CALVIN DAN HIDUPNYA
Calvin dilahirkan dalam keluarga Katolik di Perancis pada tahun 1509. Dalam proses menerima pendidikan teologi dan undang-undang, dia sangat dipengaruhi oleh idea reformasi agama dan humanisme. Selain itu, ayahnya mempunyai hubungan yang buruk dengan Gereja Katolik (dan akhirnya dipecat daripada Gereja Katolik) lalu kemudian menjadi seorang penganut Protestan yang berjuang untuk reformasi gereja. Namun, hal yang menyebabkan dia memutuskan hubungan dengan Gereja Katolik secara rasmi adalah berpunca daripada kejadian politik agama. Pada tahun 1533, kawan karibnya mengeluarkan ucapan tentang dibenarkan oleh iman dengan memetik kata-kata Luther dan Erasmus semasa upacara pelantikan presiden University of Paris. Ucapan ini mengakibatkan penganiayaan yang besar. Calvin dianggap sebagai ketua yang memulakan teks ucapan ini. Untuk mengelakkan diri daripada ditangkap, dia meninggalkan Perancis dan melarikan diri ke Basel, Switzerland pada tahun berikutnya lalu memutuskan hubungan dengan Gereja Katolik secara rasmi.
Masa di Basel merupakan masa yang penting. Idea teologinya secara beransur-ansur terbentuk melalui hubungan dan perbincangan dengan pereformasi agama di Switzerland. Pada tahun 1536, dia menerbitkan buku terkenal, “Institutes of the Christian Religion” [1]. Buku ini mensistematikkan iman kepercayaan Kristian dan merupakan landasan penting bagi penubuhan Protestan Ortodoks. Sejak itu, dia terus memperluas dan menyemak semula buku ini. Pada tahun 1560, doktrin Kristian telah diperluas menjadi 80 bab daripada 6 bab yang asal.
Pada tahun yang sama, dia merancang untuk berlindung di Strasbourg, Perancis. Namun ketika melewati Geneva, Switzerland, dia membuat keputusan pada saat akhir untuk tinggal di Geneva dan bekerja untuk reformasi agama di sana atas pujukan temannya. Malangnya, reformasi pusingan pertama tidak berjaya. Kaedah Calvin yang menyatukan kepercayaan agama secara paksa ke dalam sistem politik (seperti pengawasan yang ketat terhadap kehidupan warganegara, kehilangan kewarganegaraan bagi warganegara yang enggan mengakui kepercayaan Kristian, dan lain-lain) mencetuskan reaksi kuat daripada orang ramai. Mereka berdua diusir dari Geneva dua tahun kemudian (1538). Calvin pergi ke Strasbourg untuk terus mempraktikkan ideanya.
Pada tahun 1541, Calvin kembali ke Geneva sekali lagi atas permintaan penduduknya. Kali ini, majlis perbandaran menerima “Ecclesiastical Ordinance” yang dirangka olehnya. Jadi dia mula mengembangkan kemampuan organisasinya. Dia bukan hanya berbicara dan menulis, membangun sekolah dan mengadakan latihan katekismus (catechism), tetapi juga menerapkan sistem pengurusan gereja empat jabatan. Dia membahagikan jabatan dalam gereja kepada pastor, guru, penatua, dan diaken. Antaranya, pastor berkhutbah dan memimpin sakramen kudus sepenuh masa, guru mengajar tentang teologi, penatua mengawasi dan mentadbir anggota gereja, manakala diaken berurusan dengan urusan gereja dan menjaga orang miskin. Sistem ini menjadi prototaip sistem Gereja Presbyterian pada masa kelak [2]. Di bawah kawalan ketat Calvin, Geneva telah menjadi teladan sebagai bandar yang kudus. Geneva bukan hanya tempat perlindungan bagi penganut Protestan dari mana-mana tempat, tetapi juga merupakan Yerusalem Baharu pada pandangan mereka. “Ecclesiastical Ordinance” tidak hanya menjadi kerangka utama bagi kerajaan teokrasi Geneva, tetapi juga menjadi sumber ciri Calvinisme pada masa kemudian.
Namun, demi menjaga kekudusan bandar dan kesatuan gereja, Calvin tidak berbelas kasihan semasa menghapuskan pembangkang. Dia secara berturut-turut mengusir, memenggal kepala, dan memenjarakan orang-orang yang tidak bersependapat dengannya tentang pandangan doktrin. Contoh yang paling tragis terjadi pada seorang doktor Hispanik yang tidak bersetuju dengan doktrin Triniti dan menyebarkan tulisan-tulisan yang menentang Trinitarianisme. Dia akhirnya dibakar sampai mati pada tahun 1553 atas keputusan Majlis Perbandaran Geneva dan bandar-bandar yang berdekatan.
Calvin mengabdikan seluruh hidupnya untuk reformasi gereja di Geneva sehingga kematiannya pada tahun 1564. Dia telah melakukan banyak perkara unik. Selain pelaksanaan kerajaan teokrasi yang disebutkan di atas, karyanya yang sistematik, gereja-gereja yang sangat teratur, dan penubuhan institusi pendidikan semuanya telah menyumbang kepada penyebaran Calvinisme di Perancis, Belanda, United Kingdom, Scotland, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain pada hari-hari kemudian.
PENYEBARAN CALVINISME
Sekiranya titik permulaan pembinaan teologi Luther ialah “cara mencari Tuhan yang pengasih”, titik permulaan Calvin pula ialah “cara menjadikan pemerintahan teokratik universal”. Oleh itu, Calvinisme telah menunjukkan sikap positif, berhati waja, penuh dengan semangat berjuang dan taat hingga mati dalam aspek penyebaran agama. Tambahan pula, bakat Calvin dalam pengurusan organisasi dan kerja keras di institusi pendidikan telah membolehkan Gereja Reformed tersebar secara meluas di Eropah. Boleh dikatakan bahawa semua perang agama di Perancis, Belanda, United Kingdom, Scotland dan tempat-tempat lain pada masa itu diilhami oleh Calvinisme.
Penyebaran Gereja Reformed di Eropah secara kasarnya boleh dibahagikan kepada dua jalan. Jalan yang pertama ialah Switzerland, Perancis, Belanda, dan Jerman yang menjadikan “Heidelberg Catechism” [3] sebagai doktrin standard. Jalan yang kedua ialah Scotland dan United Kingdom yang menjadikan “Westminster Confession of Faith” [4] sebagai akidah asas.
Pada tahun 1549, setelah pengikut Zwingli bersetuju dengan cadangan Calvin mengenai Sakramen Perjamuan Kudus, mereka membuka jalan untuk perkembangan Calvinisme di Switzerland. Kira-kira separuh daripada populasi di Switzerland pada hari ini masih tergolong dalam Gereja Reformed, dan University of Geneva ditubuhkan oleh Calvin.
Di Jerman, Calvinisme juga memiliki pengaruh besar di Palatinate di bahagian barat daya pada waktu itu, dan Heidelberg University dijadikan sebagai markas selama beberapa dekad tersebut. Heidelberg Katechismus (Heidelberg Catechism) yang diterbitkan pada tahun 1562 merupakan karya tangan profesor universiti ini dan menjadi akidah Gereja Reformed di Jerman, malah sangat mempengaruhi Gereja Reformed di Poland, Hungary, Moravia dan tempat-tempat lain. Namun, setelah beberapa liku-liku, majoriti penganut Protestan di Jerman kini masih daripada denominasi Lutheran.
Calvinis pergi ke Perancis dan dipanggil Huguenot. Mereka dianiaya pada mulanya. Antara tahun 1562 – 1598, mereka bertempur dalam lapan perang agama dengan keluarga diraja Perancis yang beragama Katolik. Bilangan Huguenot yang terbunuh tidak terhitung. Walaupun “Edict of Nantes” pada tahun 1598 mengizinkan kebebasan beragama, namun perintah tersebut dihapuskan pada tahun 1685 dan penganiayaan disambung semula. Akibatnya, ratusan ribu Huguenot melarikan diri ke Belanda, Switzerland, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Prusia. Huguenot dilindungi secara sah pada tahun 1787. Walau bagaimanapun, kuasa terbesar di Perancis pada masa sekarang masih milik Gereja Katolik.
Sejak raja Belanda William van Orenge menjadi penganut Calvinisme pada tahun 1573, Gereja Reformed semakin berkembang di Belanda sehingga mendirikan Gereja Reformed Belanda (Dutch Reformed Church). Pada masa ini, sekitar 40% penduduk Belanda masih menjadi penganut Gereja Reformed. Leiden University yang ditubuhkan pada tahun 1575 juga dibina berdasarkan semangat Calvinisme.
Semasa perluasan Belanda pada abad ke-17, Gereja Reformed Belanda juga tersebar ke Amerika Utara dan Asia seiring dengan gelombang penjajahan. Dengan perluasan kolonial Syarikat Hindia Barat Belanda (Dutch West India Company), penganut Gereja Reformed Belanda terutamanya menetap di New York, Amerika Syarikat. Ketika Amerika Syarikat merdeka pada tahun 1776, mereka berpisah dengan gereja induk di Belanda dan secara rasmi menukar nama mereka ke Gereja Reformed Amerika pada akhir abad ke-19.
Pada masa ini, sekumpulan mubaligh lain pergi ke Taiwan dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (Dutch East India Company). Pada tahun 1627, pendeta Gereja Reformed Belanda yang pertama menjejakkan kaki ke Taiwan lalu memulakan penyebaran agama dan pendidikan kepada orang asli Pingpu (Taiwanese Plains Indigenous Peoples) di Xingang, Tainan (sekarang Sinshih Township, Tainan County). Sumbangan terbesar mereka ialah penciptaan bahasa Sinckan dalam pinyin Rom, penubuhan sekolah, pembinaan gereja, serta pengajaran doktrin Kristian, terjemahan Alkitab, Heidelberg Katechismus (Heidelberg Catechism), dan Sepuluh Perintah dalam bahasa Sinckan. Mereka bahkan merancang untuk membuka sebuah seminari di Madou. Malangnya, setelah Zheng Chenggong (Koxinga) pergi ke Taiwan dan orang Belanda diusir, kerja para mubaligh kumpulan pertama hilang lenyap. Selepas lebih daripada 200 tahun kemudian, pastor Gereja Presbyterian dari Scotland pergi ke Taiwan untuk menyebarkan agama, dan Gereja Reformed sekali lagi mempengaruhi Taiwan.
Selain penyebaran di benua Eropah, idea Gereja Reformed juga melintasi Selat Inggeris (English Channel) ke Kepulauan British (The British Isles). Pada pertengahan abad ke-16, setelah John Knox membawa Calvinisme ke Scotland, Gereja Reformed terus berkembang pesat dengan sifat berjuang yang kuat sehingga membawa kepada perang saudara dan penganiayaan ke atas Scotland yang bergolak selama 100 tahun ke depan. Pada tahun 1560, mereka menandatangani “Scottish Confession” dengan kompromi Ratu Scotland yang menyatakan Gereja Reformed sebagai agama negara. Mereka juga mendirikan Gereja Presbyterian sesuai dengan semangat Calvinisme. Walau bagaimanapun, pendirian United Kingdom tentang agama dilihat tidak tetap dan berdolak-dalik antara Katolik dengan Protestantisme. Akhirnya, pada tahun 1647, mereka merumuskan “The Westminster Confession”, “Westminster Larger Catechism” dan “Westminster Shorter Catechism” yang menjadi akidah Calvinisme Ortodoks. Pada masa itu, Gereja Presbyterian ialah agama rasmi di United Kingdom.
Menjelang tahun 1842, Gereja Presbyterian Scotland mempunyai hampir 500 orang pastor dan banyak penatua. Mereka memprotes bahawa sistem gereja tidak bersesuaian dengan semangat Calvinisme. Mereka meninggalkan gereja asal dan membentuk “Gereja Bebas Scotland” (Free Church of Scotland) yang merupakan gereja induk bagi Gereja Presbyterian di bahagian selatan Taiwan. Gereja ini disebarkan ke Tainan dan Kaohsiung oleh penatua James Laidlaw Maxwell pada tahun 1865. Gereja yang disebarkan oleh Mackay ke Tamsui pada tahun 1872 ialah “Gereja Presbyterian Kanada” yang didirikan setelah Gereja Presbyterian Scotland tersebar ke Amerika Utara. Gereja ini ialah gereja induk bagi Gereja Presbyterian di Taiwan Utara. Kuasa keagamaan terbesar di United Kingdom kini ialah Gereja Anglikan.
TEOLOGI CALVINISISME
Seperti Luther, Calvin membentuk ciri-ciri Protestan dengan menekankan kepentingan Alkitab. Selama tiga tahun di Strasbourg, dia menulis banyak ulasan mengenai Alkitab, kerana baginya, Alkitab adalah satu-satunya cara bagi manusia untuk mengenal Tuhan, dan Alkitab juga merupakan dasar utama pembinaan teologinya. Roh Kudus pula dapat menyatakan kebenaran yang tersembunyi dalam ayat-ayat suci. Seperti disebutkan di atas, “cara menjadikan pemerintahan teokratik universal” ialah fokus perhatian Calvin. Oleh itu, “predestinasi” (predestination) telah terbentuk di bawah prinsip panduan tertinggi “kedaulatan Tuhan”.
“Predestinasi” bermaksud “penentuan pra” (pre-determine) iaitu mengetahui destinasi (destination) terlebih dahulu. Ciri “predestinasi” Calvin terletak pada “predestinasi berganda”: Kesudahan akhir seseorang sama ada hidup kekal atau kebinasaan adalah berasal daripada penentuan dan kehendak Tuhan. Dengan kata yang lain, dalam rancangan abadi Tuhan, Dia telah menentukan kesudahan akhir setiap orang dengan kehendak-Nya sendiri. Ada yang ditentukan untuk memperoleh hidup yang kekal dan ada yang ditentukan untuk mati. Idea ini berbeza dengan idea yang dipegang oleh Luther dan Zwingli: hidup kekal manusia didasarkan pada penentuan anugerah Tuhan. Kebinasaan pula adalah berdasarkan hasil yang pasti daripada prinsip keadilan, bukan atas penentuan Tuhan atau kehendak Tuhan.
Pendapat yang berbeza bagi penjelasan predestinasi muncul dalam Gereja Reformed pada abad ke-16 dan 17. Inti kontroversi itu datang daripada ahli teologi, Jacob Arminius dari Leiden University di Belanda. Calvinis menjadikan kedaulatan Tuhan sebagai prinsip tertinggi untuk menentukan kesudahan akhir manusia [5], sementara Arminius memberi orang lebih banyak ruang untuk kehendak bebas dan berpendapat bahawa kehendak bebas individu harus menjadi sebahagian daripada takdir akhirnya. Untuk menyelesaikan perselisihan, persidangan agama diadakan di Dordrecht, Belanda dari tahun 1618 hingga 1619 [6]. Selain menilai Arminianisme sebagai suatu kesalahan, lima butiran utama Calvinisme juga muncul bersama: kebejatan total (total depravity), pemilihan tanpa syarat (unconditional election), penebusan terhad (limited atonement), rahmat yang tidak tertahankan (irresistibility of grace), ketabahan para orang kudus (perseverance of the Saints). Lima butiran ini mudah diingat, dan awalan bahasa Inggerisnya ialah TULIP.
Kumpulan predestinasi percaya bahawa kerosakan dosa menyebabkan manusia sama sekali tidak berdaya dalam aspek anugerah keselamatan, dan tidak mungkin terpilih kerana perbuatan baik atau iman yang proaktif terhadap Tuhan. Oleh itu, anugerah keselamatan merupakan pemilihan Tuhan tanpa syarat. Dalam keadaan ini, Dia hanya memilih sebahagian orang, dan orang-orang terpilih tidak dapat menolak anugerah ini. Hal ini bermaksud bahawa pemilihan Tuhan dapat menjadikan orang-orang kudus keras hati, dilindungi selamanya, dan ada jaminan keselamatan.
Sebaliknya, kumpulan Arminianisme pula berpendapat bahawa manusia tidak sepenuhnya rosak. Manusia dapat bertindak balas dan memiliki kemampuan untuk menolak rahmat Tuhan. Tuhan menghendaki semua orang diselamatkan, jadi Dia memanggil semua orang. Orang-orang yang memberikan tindak balas dengan iman dan mempertahankan iman akan diselamatkan pada akhirnya. Orang-orang yang menolak rahmat atau yang tidak bertahan akan binasa pada akhirnya. Dengan kata lain, Calvinis menganjurkan “diselamatkan sekali, diselamatkan selamanya”. Jaminan keselamatan didasarkan pada pemilihan dan perlindungan Tuhan, dan umat pilihan mempunyai jaminan keselamatan. Arminius pula berpendapat bahawa pemercaya mungkin hilang daripada anugerah keselamatan jika tidak bertahan dalam kepercayaan, dan pemercaya tidak dapat meramalkan sama ada mereka diselamatkan dalam hidup ini. Arminius juga tidak berpendapat bahawa ada jaminan keselamatan.
Walaupun Calvinisme menang dalam persidangan ini, namun kita tahu bahawa semua pihak mempunyai Alkitab sebagai dasar [7]. Selepas persidangan di Dordrecht, Arminius diusir dari Gereja Reformed, tetapi dia mempengaruhi Gereja Metodis yang diasaskan oleh John Wesley 100 tahun kemudian. Oleh itu, masih banyak orang di kedua-dua pihak bagi pandangan masyarakat Kristian mengenai predestinasi dan keselamatan.
Perbahasan lain yang terkenal adalah berkaitan dengan ajaran Sakramen Perjamuan Kudus. Apakah perbezaan antara roti dan cawan selepas diucapkan syukur dengan roti dan cawan yang belum diucapkan syukur? Adakah seperti yang dikatakan oleh Gereja Katolik, iaitu bahawa sifat roti dan cawan telah berubah menjadi daging dan darah Kristus walaupun bentuknya tidak berubah (transubstantiation)? Atau seperti pendapat Luther iaitu bahawa tubuh dan darah Yesus sudah ada melalui ucapan syukur walaupun roti dan cawan itu tidak mengalami perubahan material (consubstantiation)? Atau seperti yang dikatakan oleh Zwingli, iaitu bahawa roti dan cawan hanyalah simbol penyertaan Kristus yang digunakan untuk memperingati penderitaan-Nya, dan tidak memiliki hubungan material dan rohani (commemoration)?
Pandangan keempat Calvin, “receptionism”, terletak antara pendapat Luther dengan pendapat Zwingli. Pandangan ini menyatakan bahawa pemercaya dan Kristus dapat dihubungkan secara rohani melalui Perjamuan Kudus, tetapi tubuh fizikal Yesus tidak ada di dalam roti dan cawan. Hal ini kerana daging Yesus tidak berbeza daripada daging kita dari segi sifat manusia. Dia dibatasi oleh masa dan ruang. Oleh itu, mustahil untuk Dia berada di dalam roti dan cawan yang diucapkan syukur, sebaliknya Dia harus berada di syurga. Oleh itu, “jarak tubuh daging-Nya daripada kita dari segi ruang adalah sejauh jarak bumi dari angkasa”. Tetapi sebaliknya, jika roti dan cawan ialah simbol, maka simbol itu sendiri harus berkaitan dengan objek yang dimaksudkan oleh simbol tersebut. Oleh sebab keilahian Yesus tidak dibatasi oleh masa dan ruang, maka ketika pemercaya bertindak balas terhadap janji-janji Tuhan dengan iman, mereka dapat menerima kehadiran fizikal-Nya dalam roh, menyuburkan jiwa mereka, dan kemudian memeluk ke dalam Tuhan untuk berkongsi persekutuan rohani dengan gereja yang nyata dan yang tidak nyata [8].
Sebagai tambahan kepada doktrin predestinasi dan Perjamuan Kudus, Calvin memiliki hujah uniknya sendiri mengenai eklesiologi, pengudusan dan pembenaran. Hujah-hujah itu tidak dapat diperkenalkan satu per satu kerana kekangan ruang.
PENUTUP
Calvin secara sistematik menyusun doktrin-doktrin Kristian dan banyak menyumbang kepada pembentukan Protestan Ortodoks. Di samping itu, bakatnya dalam organisasi dan penekanannya pada pendidikan membolehkan Calvinisme dapat bertahan lama. Calvinisme di Belanda telah menjadi Gereja Reformed Belanda manakala Calvinisme yang berakar umbi di Scotland telah menjadi Gereja Presbyterian. Keperibadiannya yang membenci kejahatan dan mengejar kekudusan menunjukkan cara dia berurusan dengan penentang ketika itu. Dia juga mewarnai kerja penyebaran agama pada masa kemudian dengan teologinya dan menunjukkan semangat juang yang positif. Dalam masa yang menitikberatkan kepelbagaian budaya dan menggalakkan dialog agama pada hari ini, kita mungkin terkejut dengan kedegilannya (dan pengikutnya) yang membezakan antara musuh dengan dirinya dan putih dengan hitam. Namun, ketika Protestantisme baru saja melepaskan diri daripada Gereja Katolik dan sangat penting untuk menetapkan kedudukannya pada abad ke-16, mungkin sikap tanpa kompromi inilah yang membolehkan idea-idea Gereja Reformed dilestarikan.
Walau bagaimanapun, ketika meninjau jejak perkembangan agama Kristian, kita mungkin juga boleh memikirkan tahap perkembangan yang sesuai bagi semangat yang membezakan antara musuh dengan diri sendiri dan semangat yang berjuang untuk kebenaran. Bolehkah kita mempertahankan kebenaran sampai ke tahap melayari Internet tanpa batasan, pertumpahan darah dan pembunuhan? Dalam masyarakat sekarang, bagaimana kita harus mempertahankan kebenaran? Mungkin persoalan ini yang dilontarkan oleh Calvin kepada kita!
RUJUKAN
The Catholic University of America. (2003). New Catholic Encyclopedia Second Edition. MI: Gale
Farmington Hills.
Eliade Mircea and Adams Charles J. (1987). The Encyclopedia of Religion. New York: Macmillan
Publishing Company.
Hillerbrand Hans J.(1996). The Oxford Encyclopedia of the Reformation: 1st Edition. Oxford:
Oxford University Press.
Hillerbrand Hans J. (2004). Encyclopedia of Protestantism. London: Routledge.
Iserloh Erwin, Glazik Joseph, Jedin Hubert, Biggs Anselm and Bec Peter W. (1980). Reformation
and Counter Reformation. History of the Church, Volume V. London: Burns and Oates.
Boettner Loraine. (1991). The Reformed Doctrine of Predestination. Presbyterian and Reformed
Publishing Company.
- Sebenarnya, buku ini pada awalnya merupakan sebuahkarya apologetik (apologetics) yang didedikasikan kepada Raja Perancis, François I yang tidak mesra Protestan untuk mempertahankan beberapa tindakan anti-Katolik yang ganas oleh penganut Protestan pada masa itu.
- Dalamempat klasifikasi jabatan ini, pastor dan penatua secara semula jadi menjadi jabatan gereja yang paling penting. Hal ini kerana pastor menyampaikan khutbah di atas pentas, manakala penatua mengawasi kehidupan moral pemercaya dalam kehidupan mereka. Kedua-dua pastor dan penatua tergolong dalam jabatan “presbyter”. Kemudian, Gereja Presbyterian menganjurkan agar semua pemercaya mengambil bahagian dalam pentadbiran gereja iaitu seluruh pemercaya memilih “presbyter” menurut republik demokratik dan memerintah gereja dengan sistem perwakilan.
- Teks penuh: https://www.crcna.org/welcome/beliefs/confessions/heidelberg-catechism
- Teks penuh: https://www.ligonier.org/learn/articles/westminster-confession-faith
- Terdapat juga pendapat yang berbeza dalam kalangangolongan Salah satunya ialah “supralapsarianism” yang berpendapat bahawa Tuhan telah menentukan nasib akhir setiap orang sebelum kejatuhan umat manusia. Golongan yang lain ialah “Infralapsarianism” yang berpendapat bahawa Tuhan membiarkan manusia jatuh terlebih dahulu, dan kemudian memilih sebilangan orang yang diselamatkan daripada kumpulan yang ditakdirkan untuk binasa.
- Persidangan ini merumuskan “Canons of the Synod of Dort”, yangmembentuk dasar kepercayaan asas Gereja Reformed Belanda bersama-sama dengan “Belgic Confession” yang dirumuskan pada tahun 1561 dan Heidelberg Catechism yang dirumuskan pada tahun 1563.
- Ayat-ayat Alkitab yang mendukung predestinasitermasuk kitab Roma 8:29-30: “Sebab semua orang yang dipilih-Nya dari semula, mereka juga ditentukan-Nya dari semula untuk menjadi serupa dengan gambaran Anak-Nya, supaya Ia, Anak-Nya itu, menjadi yang sulung di antara banyak saudara. Dan mereka yang ditentukan-Nya dari semula, mereka itu juga dipanggil-Nya. Dan mereka yang dipanggil-Nya, mereka itu juga dibenarkan-Nya. Dan mereka yang dibenarkan-Nya, mereka itu juga dimuliakan-Nya.” dan kitab Efesus 1:5,11: “Dalam kasih Ia telah menentukan kita dari semula oleh Yesus Kristus untuk menjadi anak-anak-Nya, sesuai dengan kerelaan kehendak-Nya, … kami yang dari semula ditentukan untuk menerima bagian itu sesuai dengan maksud Allah, yang di dalam segala sesuatu bekerja menurut keputusan kehendak-Nya.” Ayat yang menyokong Arminianisme pula ialah kitab 1 Timotius 2:4: “yang menghendaki supaya semua orang diselamatkan …”.
- Calvin berpendapatbahawa Alkitab menggambarkan gereja dengan dua cara: “nyata” dan “tidak nyata”. Gereja yang tidak nyata ialah gereja yang benar pada mata Tuhan. Gereja ini merujuk kepada semua pemercaya yang telah dipilih dan dikuduskan oleh Roh Kudus dari zaman kuno hingga sekarang, dari sekarang hingga masa depan. Gereja yang nyata pula merujuk kepada sekumpulan orang yang tersebar ke merata tempat. Kumpulan orang ini percaya kepada Yesus Kristus lalu menjadi satu dengan Dia melalui Sakramen Pembaptisan dan Perjamuan Kudus.