BERKAWAN SEBELUM BERKAHWIN
KEPERLUAN BERKAWAN
1. Manusia hidup secara berkumpulan. Kehendak asal Tuhan juga sedemikian (Kej 2:18).
Semua orang yang tinggal di bawah matahari memerlukan kawan. Seseorang tidak mungkin menjadi seperti Robinson yang hidup keseorangan jauh daripada orang lain dalam seumur hidupnya. Tuhan juga mempunyai kehendak ini ketika Dia mencipta manusia. Selepas mencipta Adam, Tuhan melihat bahawa tidak baik kalau manusia itu seorang diri saja. Oleh itu, Tuhan menjadikan teman dan penolong baginya, yang sepadan dengan dia.
2. Setiap orang memerlukan kawan dalam proses pertumbuhannya.
Oleh itu, kita dapat melihat bahawa setiap orang memerlukan kawan dan berusaha untuk mencari kawan dalam proses pertumbuhannya bermula dari zaman tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, hingga ke zaman belia dalam masyarakat. Jika seseorang tidak ingin berkawan pada tahap mana pun, semua orang akan berasa bahawa dia sangat kesepian dan ibu bapanya pasti akan berasa sangat cemas!
3. Kawan ialah penolong dan sahabat karib dalam perjalanan hidup manusia.
Pengkhotbah 4:9-12: “Berdua lebih baik dari pada seorang diri, karena mereka menerima upah yang baik dalam jerih payah mereka. Karena kalau mereka jatuh, yang seorang mengangkat temannya, tetapi wai orang yang jatuh, yang tidak mempunyai orang lain untuk mengangkatnya! Juga kalau orang tidur berdua, mereka menjadi panas, tetapi bagaimana seorang saja dapat menjadi panas? Dan bilamana seorang dapat dialahkan, dua orang akan dapat bertahan. Tali tiga lembar tak mudah diputuskan.” Semua ini menyatakan tentang kebaikan mempunyai kawan ataupun teman.
Kawan bukan sahaja merupakan penolong bagi kehidupan kita tetapi bahkan merupakan seorang penghibur dalam kehidupan kita. Orang-orang dahulu menyenaraikan kenalan ke dalam tiga kategori: mereka yang dapat saling membantu disebut sebagai [kawan], mereka yang mempunyai hubungan hati-ke-hati disebut sebagai [sahabat karib] dan mereka yang bagai keroncor dengan belangkas disebut sebagai [rakan rapat]. Oleh itu, dapat dilihat bahawa jika kita dapat mempunyai kawan dalam ketiga-tiga kategori tersebut dalam hidup, kita pasti akan berasa lebih berpuas hati!
- Contoh: Yu Boya dan Zhong Ziqi merupakan rakan rapat.
- Contoh: Guan Yiwu dan Bao Shuya saling menjadi sahabat karib. Mereka merupakan gambaran terbaik untuk berkawan dalam hidup.
JENIS-JENIS KAWAN
A. Kawan jahat
Bersahabat dengan juara, selilit benang bulang tahu juga. Pepatah zaman dahulu menceritakan kesan persekitaran kepada manusia dan mengingatkan kita untuk lebih berhati-hati ketika berkawan.
- Ada teman yang mendatangkan kecelakaan (Ams 18:24)
- Raja Rehabeam (1 Raj 12:8-12): Dia mendekati kawan-kawannya yang muda dan menolak nasihat yang berhikmat daripada orang tua. Akibatnya, dia mengeluarkan kata-kata yang sombong lalu menyebabkan perpecahan yang tidak dapat dihalang dalam kerajaannya.
- Kawan-kawan jahat yang perlu kita jauhi:
- Orang yang mempunyai tingkah laku sesat dan tidak mengejar kemajuan.
- Orang yang mempunyai tabiat hidup yang buruk. Contohnya suka menagih dadah, mabuk oleh minuman keras, menuruti keinginan daging dan lain-lain lagi.
- Orang yang selalu meminta kita melakukan perkara-perkara yang melanggar Firman.
- Orang dalam kalangan pemercaya yang tidak mengamalkan Firman dan tidak mendengar nasihat.
Di atas hanya sebilangan kecil daripadanya. Kita harus bergantung kepada Roh Kudus yang tinggal di dalam hati kita untuk membezakannya.
B. Kawan baik
- Kawan yang jujur, kawan yang bertimbang rasa, kawan yang berpengetahuan luas. Nasihat ini diberikan oleh orang-orang dahulu. Nasihat ini mengajar kita untuk berkawan dengan orang yang jujur, berpengetahuan dan berlapang dada serta dapat bertolak ansur dengan apa yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain.
- Bagi kita yang berada di dalam Kristus, boleh dikatakan bahawa setiap seiman boleh menjadi sasaran kawan kita. Mereka juga sepatutnya merupakan sasaran kawan kita dan sasaran keprihatinan kita. Tetapi jika kita dapat menemukan kawan-kawan berikut dalam Kristus, kehidupan kita pastinya bergirang.
- Orang yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni (2 Tim 2:22): Kita seharusnya berkawan dengan orang yang mengejar kehidupan rohani dalam Kristus. Dengan berbuat demikian, kerohanian kita dapat ditingkatkan bahkan dapat lebih mengenali Tuhan supaya iman kepercayaan kita dapat berakar ke bawah dan menghasilkan buah ke atas.
- Penolong dalam kesesakan (Ams 17:17; 1 Sam 18:1-3; 19): Kawan adalah amat bernilai kerana kawan dapat saling menolong dalam waktu kesesakan. Bak kata pepatah: nasi habis, budi bersama. Dalam sejarah, persahabatan antara Daud dengan Yonatan dapat dilihat apabila mereka dapat saling bergantung dalam masa kesusahan. Alkitab menjelaskan bahawa Yonatan mengasihi Daud melebihi dirinya sendiri. Oleh itu, apabila Daud berhadapan dengan masalah, dia menghulurkan tangan tepat pada waktunya dan menjadi sandaran yang kuat bagi Daud.
- Dapat berkawan secara tulus dan setia (Ams 27:5-6, 9-10): Kawan seharusnya dapat saling bergaul tanpa bersembunyi atau halangan. Bagi kita yang berasa dalam Kristus, kita lebih lagi harus saling berpadu jiwa di bawah Roh yang bekerja. Oleh itu, dalam kehidupan sehari-hari, kawan boleh dengan teguh berpegang pada kebenaran di dalam kasih (Ams 27:17). Demikianlah persekutuan sejati dalam Kristus.
C. Kawan berlainan jantina
- Jarang ada persahabatan murni antara lelaki dengan perempuan: Persahabatan yang murni antara lelaki dengan perempuan sukar dikekalkan untuk jangka masa yang panjang kerana akan melibatkan masalah keluarga bagi kedua-dua pihak pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, persekutuan semua orang dalam Kristus tidak menjadi masalah.
- Oleh itu, sekiranya ingin berkawan sebagai persediaan untuk perkahwinan pada masa akan datang, maka harus berpegang pada prinsip mencari di dalam Tuhan (Ul 7).
- Kawan yang terbaik (Ams 18:24)
Semua kawan dalam hidup akan menjauhi dan meninggalkan kita pada suatu hari nanti. Tetapi Hanya Tuhan Yesus yang tidak akan meninggalkan kita untuk selama-lamanya di samping selalu menyertai kita dan menjadi kawan baik kita. Ada kalanya kawan tidak dapat memahami kelemahan kita namun Tuhan Yesus dapat memahami dan menerimanya. Pertolongan yang diberikan oleh kawan selalunya terhad, namun pertolongan yang diberikan oleh Tuhan Yesus adalah tidak terbatas. Oleh itu, kita seharusnya memperuntukkan lebih banyak masa dalam setiap hari untuk bergaul dengan Tuhan Yesus, kawan yang terbaik ini.
BERKAWAN SEBELUM BERKAHWIN
A. Perihal perkahwinan: Apabila lelaki dan wanita bertumbuh besar sehingga ke satu tahap yang tertentu, perasaan kasih terhadap lawan jenis akan berlaku secara semula jadi. Perasaan ini merupakan sifat manusia dan juga merupakan kehendak asal Tuhan semasa mewujudkan sistem perkahwinan pada awal penciptaan.
- Terdapat beberapa cara untuk menyelesaikan hal perkahwinan di dalam Tuhan:
1. Pencari jodoh: Gereja mempunyai sistem telangkai perkahwinan untuk menasihati belia di dalam Tuhan yang belum berkahwin. Situasi telangkai boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
- Berserah sepenuhnya: Contohnya sikap Ishak terhadap perkahwinannya. Dia taat sepenuhnya pada aturan ibu bapanya serta menyerahkan hal tersebut sepenuhnya ke dalam tangan Tuhan. Akhirnya, Tuhan mengaturkan seorang pasangan yang paling sesuai dengannya iaitu Ribka. Walau bagaimanapun, dalam cara ini, kedua-dua lelaki dan perempuan harus mempunyai iman yang sangat kukuh di samping percaya bahawa “Tuhan menyediakan segala sesuatu”. Terdapat banyak perkahwinan pemercaya yang dilangsungkan dengan cara ini pada masa dahulu. Contohnya saudara Lin Dayu dan saudari Yao Duo dari gereja Taipei. Mereka menghadiri ‘blind date’ dan bertunang pada hari yang sama. Pada keesokan harinya, saudara Lin pergi ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Thailand. Namun, iman seperti itu nampaknya jarang didapati pada masa sekarang.
- Mendapatkan maklumat dengan teliti: Satu cara lain bagi pencari jodoh, tetapi ibu bapa kedua-dua belah pihak saling mendapatkan segala maklumat dengan teliti sebelum membuat keputusan.
- Ada satu tempoh masa untuk berhubungan selepas berkenalan: Cara yang sangat biasa digunakan pada masa ini.
- Tidak kira mana-mana cara yang digunakan, cara yang terbaik ialah berdoa dengan bersungguh-sungguh, mencari kehendak Tuhan dan biarlah Tuhan sendiri yang menjadikannya.
2. Sendiri mencari pasangan di dalam Tuhan
- Rendah bilang-bilang diseluduki, tinggi kayu ara dilangkahi – hilang tentu rimbanya, mati tentu kuburnya (cara Yakub): Apabila bertemu Rahel setelah tiba di Padan-Aram, Yakub jatuh cinta pada pandangan pertama. Alkitab mencatatkan bahawa mereka bergaul dalam terang dan tidak melampaui batas bahkan telah bersabar selama tujuh tahun sebelum berkahwin. Belia-belia di dalam Tuhan pada hari ini tidak kekurangan peluang untuk saling berkenalan. Daripada Kebaktian Kebangunan Rohani Murid-murid pada masa kecil hinggalah kepada Kebaktian Kebangunan Rohani Pelajar-Pelajar IPT dan ditambahkan lagi dengan pelbagai aktiviti dalam persekutuan kampus, semua ini sepatutnya telah membekalkan peluang kepada kebanyakan belia di dalam Tuhan untuk saling berkenalan. Pergaulan antara belia sebelum berkahwin haruslah seperti Yakub. Rendah bilang-bilang diseluduki, tinggi kayu ara dilangkahi. Hilang tentu rimbanya, mati tentu kuburnya. Jangan mencontohi dunia ini yang tidak kudus dalam hubungan antara lelaki dengan perempuan.
- Cara bergaul seperti orang kafir: Maksudnya, lelaki dan perempuan seiman menjadi sangat mesra setelah mula bercinta dan sering meletakkan diri sendiri di luar persekutuan bahkan mencontohi dunia dengan mengadakan hubungan lelaki perempuan, bersekedudukan dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, mereka bukan sahaja tidak boleh berkahwin di dalam aula gereja dan mendapat berkat Tuhan bahkan perbuatan-perbuatan itu berdosa kepada Tuhan. Bolehkah kita tidak berhati-hati?
3. Mencari pasangan yang belum percaya
A. Sebab
- Orang yang belum percaya lebih pandai memandang bulu dan berkemahiran (Bil 25:1-6).
- Orang yang belum percaya kurang terikat.
- Syarat bagi orang yang belum percaya sangat baik: Menjadikan kehidupan sosial dan fizikal sebagai kriteria pemilihan, sering mengabaikan masalah kerohanian.
- Percaya dalam hati bahawa dia berkeyakinan untuk membawa pihak yang lain datang percaya kepada Tuhan: Jika pihak lelaki, dia yakin bahawa setelah berkahwin, pihak yang lain pasti akan ikut datang percaya dan dia nampaknya sangat berkeyakinan. Walau bagaimanapun, kebejatan iman kepercayaan bermula daripada konsep ini.
- Apabila sukar untuk mendapatkan pasangan di dalam Tuhan, lebih baik mencari di luar: Sebenarnya jika mempunyai iman yang murni di dalam Tuhan, mencari pasangan bukanlah hal yang sangat sukar. Ramai belia yang kehilangan peluang pada masa muda lalu menyebabkan mereka sukar untuk mencari pasangan setelah usia semakin meningkat.
B. Masalah berkahwin dengan orang yang belum percaya
- Kehilangan iman kepercayaan (Ul 7:3-4; Kej 6:1-3): Kejadian fasal 6 mencatatkan anak-anak Allah pada masa itu melihat, bahawa anak-anak perempuan manusia itu cantik-cantik, lalu mereka mengambil isteri dari antara perempuan-perempuan itu, siapa saja yang disukai mereka. Kesannya, manusia kepunyaan Tuhan kian menjauhi dan meninggalkan Tuhan serta menjalani kehidupan yang sekular lalu menimbulkan murka Tuhan. Sebelum orang Israel memasuki tanah Kanaan, Tuhan telah memberi peringatan kepada mereka supaya jangan berkahwin dengan tujuh bangsa di tanah Kanaan. Jika tidak, iman kepercayaan anak-anak mereka pasti akan jatuh. Namun orang Israel tidak mendengar firman Tuhan. Sebagai akibatnya, keturunan mereka benar-benar menjauhi dan meninggalkan Tuhan.
- Kehilangan kebebasan dalam iman kepercayaan: Situasi yang terbaik bagi mereka yang berkahwin dengan orang kafir ialah imannya dapat dipertahankan tetapi kehidupan iman kepercayaannya pada kemudiaan hari pasti akan berhadapan dengan banyak kesulitan. Terdapat juga banyak perbezaan dari segi konsep hidup dan cara asuhan / didikan anak-anak. Semua ini dapat dibayangkan.
- Masalah didikan anak-anak: Nehemia 13:23-24 mencatatkan orang Yahudi yang pulang dari tempat tawanan / pembuangan tidak mengambil iktibar daripada sejarah dan terus berkahwin dengan bangsa asing yang berdekatan dengan mereka. Kesannya, anak-anak mereka tidak tahu berbicara bahasa Yahudi melainkan berbicara bahasa bangsa lain. Setelah melihat keadaan yang serius ini, Nehemia menyesali mereka dan mentahirkan mereka dari segala sesuatu yang asing. Seorang umat pilihan yang tidak tahu berbicara dalam bahasa umat pilihan menandakan kehidupannya sudah sepenuhnya tidak seperti umat pilihan. Bayangkan, pada suatu hari nanti, anak anda tidak tahu menyebut “Haleluya” sebaliknya mengucapkan kata-kata kesat / kasar, apakah perasaan anda?
- Perbezaan konsep hidup: Pasti ada perbezaan besar dari segi konsep hidup antara manusia kepunyaan Tuhan dengan manusia milik dunia. Seperti yang dicatatkan dalam 2 Kor 6:14-18, tidak ada persamaan antara terang dengan gelap, janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tidak percaya.
B. Prinsip berkawan sebelum berkahwin
1. Jangan sekali-kali melakukan hubungan seks sebelum berkahwin
A. Alasan untuk bersetuju dengan hubungan seks sebelum berkahwin
- Boleh mempunyai hubungan fizikal jika saling mengasihi.
- Trend semasa – faktor media massa (1 Ptr 4:1-4).
a. Di Paris, jika anda masih dara pada usia 15 tahun, anda akan ditertawakan.
- Tidak dapat ditolak.
- Boleh melakukannya asalkan tidak hamil.
B. Masalah yang dibawa oleh hubungan seks sebelum berkahwin
- Jika bukan berkahwin dengan dia
a. Semua orang mahukan pasangan yang sempurna.
b. Ada trauma dalaman.
c. Bagaimana berhadapan dengan hubungan yang seterusnya dan perkahwinan?
d. Masalah yang paling penting, bagaimanakah berhadapan dengan Tuhan?
- Jika berkahwin dengan dia
a. Ada kekesalan pada malam pertama perkahwinan.
b. Jika hamil – berkahwin secara terburu-buru, menghadapi tekanan yang sangat besar.
c. Tidak boleh berkahwin di dalam aula gereja dan terima berkat Tuhan akan menjadi kekesalan yang besar dalam hidup!
2. Masa untuk bercinta: Masa untuk lelaki dan perempuan muda bercinta adalah ketika semua aspek sudah matang
A. Fisiologi: Sekurang-kurangnya selepas melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan lebih baik setelah mempunyai pekerjaan yang stabil selepas tamat pengajian. Sebilangan orang mula bercinta di sekolah menengah. Bukan sahaja mereka belum matang dari segi fisiologi, tetapi pelajaran pada masa depan mereka juga akan terjejas. Jika tempoh bercinta terlalu lama, masalah akan terjadi dengan mudah sekiranya terdapat perubahan yang besar dalam persekitaran.
B. Psikologi: Maksudnya kedua-dua pihak mempunyai mentaliti untuk bersiap sedia ke arah berkahwin dan mereka mengetahui tentang psikologi matang mengenai tanggungjawab dalam mendirikan rumah tangga.
C. Prinsip bercinta
1. Dari hati ke hati
- Fahami kehendak Tuhan melalui doa dan bacaan Alkitab: Lelaki dan perempuan saling menarik perhatian, tetapi yang penting adalah bersesuaian dengan kehendak Tuhan supaya hubungan itu “berpanjangan dan bahagia”. Oleh itu, ketika lelaki dan perempuan saling mencapai persetujuan, mereka harus saling mendoakan untuk memahami kehendak Tuhan.
- Tidak sewenang-wenangnya memutuskan hubungan: Jika telah berhubungan dari hati ke hati, kedua-dua pihak pastinya telah berfikir semasak-masaknya. Oleh itu, jangan memutuskan hubungan dengan sewenang-wenangnya hanya kerana perbezaan kecil dalam kehidupan. Sikap sebegini adalah mencontohi dunia. Harus mencari jalan penyelesaian bagi masalah perbezaan tersebut melalui doa.
2. Hormati ibu bapa
- Perkenalkan kepada ibu bapa: Semasa bercinta, harus perkenalkan pihak yang lain kepada ibu bapa. Langkah ini juga menyatakan bahawa kita bercinta secara terang-terangan dan mempunyai perlindungan tambahan.
- Rujuk pengalaman dan pendapat ibu bapa: Minta ibu bapa berikan pendapat. Lagipun, ibu bapa mempunyai lebih banyak pengalaman dalam hidup berbanding kita.
3. Ayam putih terbang siang
- Bercinta secara terang-terangan: Semasa bercinta, perkara yang paling menakutkan ialah berbual di tempat yang tidak ada orang lain. Hal ini demikian kerana mereka akan mudah terjatuh dalam kelemahan. Oleh itu, semasa bercinta, jangan mengasingkan diri daripada persekutuan, sebaliknya haruslah berinteraksi dengan orang ramai seperti biasa.
- Tidak pergi ke tempat yang gelap secara berseorangan: Bak kata pepatah: tedeng aling-aling. Dalam persekitaran yang gelap dan tanpa kenalan, tingkah laku yang melampaui batas mudah terjadi.
4. Berpegang pada Firman – Rendah bilang-bilang diseluduki, tinggi kayu ara dilangkahi: Kita ialah anak-anak Kebenaran. Oleh itu, tidak kira dalam keadaan apa-apa pun, kita harus ada norma Kebenaran. Jangan melampaui Kebenaran dan melampiaskan hawa nafsu.
- Jangan mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.
5. Sabar – Hilang tentu rimbanya, mati tentu kuburnya: Seperti usaha Yakub dalam mengahwini Rahel. Walaupun kedua-duanya saling menarik perhatian dan saling berharap, namun mereka tetap berpegang pada Firman dalam kehidupan dan tidak melebihi batasan. Walaupun tujuh tahun telah berlalu, namun apabila masa Tuhan itu genap, perkara itu pun terjadi. Oleh itu, haruslah saling mendorong sepanjang menjalinkan hubungan untuk sama-sama mengejar kehidupan yang rohani, berjanji untuk sama-sama mencapai kemajuan dalam membaca Alkitab, ada masa untuk berdoa bersama-sama serta bersama-sama mengejar keadilan, kesetiaan, kasih dan damai.
6. Harus berjaga-jaga dan berdoa: Dalam proses kedua-dua pihak menjalinkan hubungan, hal yang paling penting ialah jangan abaikan perihal berjaga-jaga dan berdoa supaya jangan jatuh ke dalam pencobaan. Dengan langkah ini, kita dapat menyelesaikan sebuah perkahwinan yang sesuai dengan kehendak Tuhan.
D. Konsep yang salah
1. Mentaliti bagi orang yang belum percaya kepada Tuhan
- Untuk main-main / seronok sahaja: Hal yang paling ditakuti dalam pergaulan sebelum berkahwin ialah mempunyai mentaliti orang-orang kafir iaitu hanya sekadar main-main sahaja, teruskan hubungan jika serasi dan putuskan hubungan jika tidak serasi.
- Bercinta dengan beberapa orang untuk membuat perbandingan: Ataupun mempunyai mentaliti “calak-calak ganti asah, menanti tukang belum datang” iaitu bercinta dengan beberapa orang untuk membuat perbandingan. Pemikiran sedemikian adalah sangat tidak takut akan Tuhan.
2. Bagai belangkas
- Menjadi terlalu rapat sebaik sahaja mula bercinta: Hal yang paling ditakuti dalam hubungan antara dua jantina ialah menjadi terlalu rapat sebaik sahaja mula bercinta. Kemudian, mereka akan hilang rasional dan banyak hasil yang tidak diingini akan berlaku.
- Bersekedudukan dengan mentaliti untuk cuba berkahwin: Dunia ini sangat huru-hara. Janganlah kita mengikut trend popular seperti orang dalam dunia. Perbuatan bersekedudukan dan percubaan berkahwin adalah berbuat dosa terhadap Tuhan, tidak menghormati perkahwinan dan tidak menghormati Tuhan.
KESIMPULAN
Kewargaan kita adalah di dalam syurga. Sepatutnya, iman kepercayaan harus menjadi prinsip yang paling utama. Kita harus mempunyai sikap yang jelas terhadap segala hal yang menghalangi komunikasi kita dengan Tuhan dan berkenan kepada Tuhan. Begitu juga dalam perihal berkawan iaitu harus dilakukan sesuai dengan norma-norma Kebenaran supaya semua yang kita lakukan dapat berkenan kepada Tuhan.