SAKRAMEN PEMBASUHAN KAKI

SAKRAMEN PEMBASUHAN KAKI

(Pendeta Xie Xi Hai)

 

Setelah seseorang memahami Injil Tuhan Yesus serta bertekad untuk meninggalkan iman kepercayaan yang salah dan tingkah laku yang tidak sempurna, dia perlu menerima Sakramen Pembaptisan darah Tuhan Yesus untuk membersihkan segala dosa dan menjadi kudus (1 Kor 6:11). Kemudian, dia perlu menerima Sakramen Pembasuhan Kaki Tuhan supaya mendapat bahagian dalam Tuhan (Yoh 13:8). Sakramen Pembasuhan Kaki merupakan salah satu ciri keistimewaan Gereja Yesus Benar. Kita dengan tegas mempertahankan bahawa kita harus melakukan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan dan menganggap Sakramen Pembasuhan Kaki sebagai salah satu sakramen kudus, bukannya amalan perlambangan, dan sakramen ini wajib diterima oleh setiap orang yang baru dibaptis. Tuhan Yesus memberikan anugerah keselamatan yang sepenuhnya kepada kita. Melalui Sakramen Pembaptisan, segala dosa manusia dihapuskan; melalui Sakramen Pembasuhan Kaki, kita menyatakan bahawa kita mendapat bahagian dalam Tuhan; melalui Sakramen Perjamuan Kudus, kita menerima daging dan darah Tuhan; penerimaan Roh Kudus menunjukkan bahawa kita adalah menjadi milik Kristus, dan ada bukti yang jelas dalam tubuh kita; melalui pemeliharaan hari Sabat, kita mempraktikkan kebenaran dan ajaran Tuhan. Semua ini adalah sangat diperlukan untuk membolehkan orang yang percaya mencapai kekudusan yang sepenuhnya dan menjadi saksi yang baik bagi Tuhan Yesus. Mari kita menjelaskan kebenaran Sakramen Pembasuhan Kaki berdasarkan catatan yang jelas dalam Alkitab.

 

ASAL USUL SAKRAMEN PEMBASUHAN KAKI

Dalam masyarakat pertanian Cina, setiap kali tetamu bertandang ke rumah, tuan rumah akan menyediakan sebesen air dan tuala untuk tetamu mencuci tangan dan muka. Tindakan ini adalah sebagai penghargaan yang menghormati para tetamu. Hari ini, menurut tabiat dan masalah kebersihan, tisu kadang-kadang digunakan sebagai gantinya. Pada masa awal, semasa orang Yahudi menerima tetamu, tuan rumah sendiri atau menghantar seorang pelayan untuk mencuci kaki para tetamu yang lebih terkenal, bahkan meminyaki kaki dan menciumnya (rujuk Luk 7:44-46). Sudah tentu, ada juga hanya menyediakan air di pintu untuk kegunaan para tetamu membasuh tangan dan kakinya sendiri. Salah satu tujuannya adalah untuk menunjukkan rasa hormat. Selain itu, jalan pada zaman dahulu ialah jalan tanah, dan tidak ada kasut seperti hari ini. Semasa berjalan ke rumah seseorang, kakinya secara semula jadi ternoda dengan debu. Jika mencuci kaki, rasanya lebih selesa. Adat ini diamalkan oleh orang Yahudi. Walau bagaimanapun, Sakramen Pembasuhan Kaki yang dilaksanakan oleh gereja sama sekali bukan suatu adat kebiasaan. Sakramen ini merupakan upacara yang sangat berhemah. Asal usulnya:

A. Tuhan Yesus sendiri menunjukkan contoh: Ketika Tuhan Yesus hampir menyelesaikan rancangan anugerah keselamatan Tuhan, Dia tiba di Yerusalem dan makan perayaan Paskah yang terakhir dengan murid-murid-Nya. Demi menunjukkan “Sama seperti Ia senantiasa mengasihi murid-murid-Nya demikianlah sekarang Ia mengasihi mereka sampai kepada kesudahannya.”, Dia menuang air untuk membasuh kaki murid-murid-Nya. Proses ini jelas dicatatkan dalam Alkitab:

1. Bangun, menanggalkan jubah-Nya: Tempat duduk dan jubah dapat mewakili identiti seseorang. Betapa mulia dan terhormatnya Tuhan Yesus dalam rupa Allah (Flp 2:6). Dia berkuasa atas segala yang ada di syurga, tetapi menjadi daging dan datang ke dunia untuk menyelamatkan kita, dan menjadi rendah hati serta dilahirkan dalam persekitaran yang miskin. Pada masa ini, Dia merupakan guru dan tuan bagi murid-murid, tetapi Dia bangun meninggalkan tempat duduk dan menanggalkan jubah-Nya untuk membasuh kaki murid-murid. Tindakan ini menegaskan semangat yang diberitakan oleh-Nya: “Anak Manusia datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.” (Mrk 10:45) Dia memberikan teladan terbaik tentang kerendahan hati dalam pelayanan.

2. Mengambil sehelai kain lenan dan mengikatkannya pada pinggang-Nya: Iaitu berpakaian seperti hamba di tempat kerja. Kerendahan hati Tuhan dilakukan secara praktikal, bukan secara lisan atau formaliti.

3. Menuangkan air dan membasuh kaki murid-murid: (Yoh 13:5) Untuk mengingatkan murid-murid bahawa iman kepercayaan adalah seperti berjalan di sepanjang jalan, dan harus selalu membersihkan lumpur yang ternoda. Hari ini, kita perlu “menguduskannya, sesudah Ia menyucikannya dengan memandikannya dengan air dan firman” (Ef 5:26).

4. Menyekanya dengan kain: Tidak meninggalkan sedikit pun sisa, tidak membanggakan diri dalam mana-mana pekerjaan; tidak ada kebencian dalam mana-mana perkara, dan benar-benar menjadi satu keluarga dalam Tuhan.

 

B. Mendapat bahagian dalam Tuhan: Tuhan sendiri membasuh kaki murid-murid-Nya. Ketika tiba giliran Petrus, dia terkejut. Dia pada awalnya menegaskan: “Engkau tidak akan membasuh kakiku sampai selama-lamanya.” Tindak balasnya ini adalah kerana dia faham bahawa hal itu tidak logik dan tidak sesuai (Yoh 13:13-14) Tetapi Tuhan berfirman kepadanya: “Jikalau Aku tidak membasuh engkau, engkau tidak mendapat bagian dalam Aku.” (Yoh 13:8). Pada masa ini, Petrus semakin cemas dan segera menerimanya. Nampaknya, Sakramen Pembasuhan Kaki ialah upacara yang berkaitan dengan keselamatan, bukan hanya sekadar ritual atau adat. Hari ini, sesiapa sahaja yang ingin mendapat bahagian dalam anugerah keselamatan dan pengharapan Tuhan mesti mempraktikkannya.

 

C. Tuhan memerintahkan murid-murid untuk melakukannya: Sesudah Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid, Dia mengenakan pakaian-Nya dan kembali ke tempat-Nya. Lalu Ia berkata kepada murid-murid: “Mengertikah kamu apa yang telah Kuperbuat kepadamu?” (Yoh 13:12). Pada waktu ini, mereka benar-benar tidak terlalu mengerti. Oleh itu, Tuhan Yesus berkata lagi: “Kamu menyebut Aku Guru dan Tuhan, dan katamu itu tepat, sebab memang Akulah Guru dan Tuhan. Jadi jikalau Aku membasuh kakimu, Aku yang adalah Tuhan dan Gurumu, maka kamu pun wajib saling membasuh kakimu; sebab Aku telah memberikan suatu teladan kepada kamu, supaya kamu juga berbuat sama seperti yang telah Kuperbuat kepadamu.”(Yoh 13:13-15). Sementara memberikan penjelasan, Tuhan Yesus juga memerintahkan murid-murid untuk melakukannya. Manusia mesti melaksanakan perintah Tuhan, dan perintah pada masa ini adalah lebih mutlak, kerana perintah ini adalah:

1. Pada saat yang paling penting: “Yesus telah tahu, bahwa saat-Nya sudah tiba untuk beralih dari dunia ini kepada Bapa.” (Yoh 13:1). Kita tidak boleh mengabaikan teladan dan perintah yang diberikan oleh Tuhan ketika Dia menghadapi saat genting antara hidup dengan mati dan pada saat yang paling penting ini.

2. Menurut kuasa tertinggi: “Yesus tahu, bahwa Bapa-Nya telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Nya.” (Yoh 13:3). Tuhan mengetahui dengan jelas bahawa kuasa yang diterima-Nya ialah kuasa tertinggi dan berkuasa atas segala sesuatu. Oleh itu, manusia tidak seharusnya menafsirkan perintah-perintah-Nya menurut kehendak sendiri.

3. Penuh dengan pengharapan yang nyata: “dan bahwa Ia datang dari Allah dan kembali kepada Allah” (Yoh 13:3). Tuhan tahu bahawa Dia akan mati di atas kayu salib untuk dosa-dosa dunia. Dia bukan mati begitu sahaja tetapi akan bangkit, dan kembali ke takhta di syurga, serta akan datang kembali. Pengharapan ini nyata dan disempurnakan oleh Tuhan (rujuk 1 Kor 15:20). Kita harus melaksanakan segala perintah dan pengajaran yang diberikan oleh Tuhan dengan hati yang berpengharapan.

4. Tuhan berjanji bahawa berbahagialah jika melakukannya: Kita menuruti perintah Tuhan dan menjalankan Sakramen Pembasuhan Kaki untuk mendapat bahagian dalam Tuhan, dan sebagai tanda bahawa kita mengasihi Tuhan Yesus. Tuhan berfirman: “Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” (Yoh 14:15). Orang-orang yang mengasihi Tuhan juga akan dapat menerima berkat yang dijanjikan oleh Tuhan. Jadi Tuhan berfirman: “Jikalau kamu tahu semua ini, maka berbahagialah kamu, jika kamu melakukannya.” (Yoh 13:17). Kita seharusnya mempunyai iman untuk menerima berkat janji ini.

 

CARA PELAKSANAAN SAKRAMEN PEMBASUHAN KAKI

A. Orang yang dibaptis: Seseorang hanya menerima Sakramen Pembasuhan Kaki setelah menerima Sakramen Pembaptisan yang bertepatan dengan Alkitab. Semasa menerima Sakramen Pembasuhan Kaki, seseorang harus bersikap rendah hati dan bersyukur di dalam hati serta bertekad untuk berjalan di atas kebenaran Tuhan dan mematuhi semua ajaran Alkitab untuk sepanjang hidupnya.

B. Orang yang membaptis: Dilaksanakan oleh petugas gereja yang mewakili Tuhan Yesus. Oleh itu, orang yang membaptis harus belajar daripada teladan Tuhan Yesus, melayani manusia dengan kerendahan hati, dan membasuh kaki orang yang baru dibaptis dalam nama kudus Tuhan Yesus.
Daripada Sakramen Pembasuhan Kaki yang ditunjukkan oleh Tuhan Yesus, kita dapat memahami bahawa ritual pembasuhan kaki hanya perlu diterima satu kali sahaja seumur hidup, dan diterima pada saat pembaptisan baru. Sakramen Pembasuhan Kaki memberikan banyak pengajaran indah yang perlu kita pelajari dan ikuti sepanjang hidup kita.

 

PENGAJARAN SAKRAMEN PEMBASUHAN KAKI

Sakramen Pembasuhan Kaki merupakan sakramen yang berkaitan dengan keselamatan. Banyak pengajaran berharga yang dapat dipelajari daripada demonstrasi dan penjelasan yang diberikan oleh Tuhan Yesus. Pengajaran-pengajaran ini perlu menjadi amalan dan usaha seumur hidup kita:

A. Harus saling mengasihi secara menyeluruh: Kaki ialah anggota badan yang paling mudah kotor. Namun, ibu bapa sanggup membasuh kaki anak sendiri kerana kasih sama sekali tidak berkira dan adalah menyeluruh. “Sama seperti Ia senantiasa mengasihi murid-murid-Nya demikianlah sekarang Ia mengasihi mereka sampai kepada kesudahannya.“ (Yoh 13:1), maka Dia menuangkan air untuk membasuh kaki murid-murid-Nya. Kemudian, Dia berpesan kepada murid-murid dengan tegas: “Aku memberikan perintah baru kepada kamu, yaitu supaya kamu saling mengasihi; sama seperti Aku telah mengasihi kamu demikian pula kamu harus saling mengasihi.” (Yoh 13:34). Oleh itu, kita harus bertekad untuk melaksanakan perintah Tuhan yang baharu di samping memohon Tuhan menambahkan kekuatan kita supaya kita dapat mengatasi semua rintangan tanpa mengira status peribadi, kedudukan, bangsa, keuntungan dan kerugian. Terutamanya pada hari-hari terakhir, Tuhan pernah mengingatkan: “Dan karena makin bertambahnya kedurhakaan, maka kasih kebanyakan orang akan menjadi dingin.” (Mat 24:12). Baiklah kita saling mengambil berat, menyokong, dan membangun dengan kasih. Selain itu, kita memohon Tuhan untuk menambahkan hikmat kita (rujuk Flp 1:9) supaya kasih dapat memberikan hasil yang lebih besar; menarik antara satu sama lain dengan kasih, bersama-sama mengasihi Tuhan, membangun gereja, dan mengubah masyarakat yang realistik dengan kasih serta menyatakan kesaksian sebagai murid (Yoh 13:35).

B. Harus memelihara kekudusan: Setelah menerima Sakramen Pembaptisan, semua dosa sebelumnya akan dibersihkan oleh darah Tuhan yang bernilai. Sudah tentu, khasiat pengampunan dosa daripada Sakramen Pembaptisan sentiasa menyertai orang yang percaya. Sakramen Pembasuhan Kaki membuatkan seseorang mendapat bahagian dalam Tuhan. Sakramen ini mengingatkan mereka yang telah dibaptis bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan jalan yang ditempuhi memandangkan mereka masih hidup di dunia ini dan masyarakat luar adalah penuh dengan segala macam ajaran sesat, kepercayaan tahyul, keinginan / nafsu, dosa, dan godaan material. Di samping itu, mereka harus memelihara kekudusan dalam iman kepercayaan dan mempertahankan iman yang murni (rujuk 2 Kor 11:3) serta tidak lagi melayani tuhan-tuhan yang lain. Selain itu, mereka harus bertumbuh dalam tingkah laku dan menjauhi segala kejahatan (Ams 4:27). Tuhan Yesus berkata: “Aku tidak meminta, supaya Engkau mengambil mereka dari dunia, tetapi supaya Engkau melindungi mereka dari pada yang jahat. Mereka bukan dari dunia, sama seperti Aku bukan dari dunia. Kuduskanlah mereka dalam kebenaran; firman-Mu adalah kebenaran.”(Yoh 17:15-17). Oleh itu, kita harus selalu mengkaji Alkitab, menghadiri kebaktian di gereja, dan membuat refleksi berdasarkan kebenaran. Sekiranya ada pelanggaran, kita harus sentiasa menerima pembasuhan kaki firman dan menjalani kehidupan iman kepercayaan yang selalu mengejar kekudusan.

C. Harus mengampuni orang sepenuhnya: Walaupun Yudas telah mengikuti Tuhan Yesus selama bertahun-tahun, namun dia tidak memahami tujuan Tuhan datang ke dunia. Dia memasang niat yang lain dan kemudian mengkhianati Tuhan. Ketika Tuhan makan perayaan Paskah bersama murid-murid-Nya, Dia telah melihat niat buruk Yudas. Walau bagaimanapun, ketika Dia membasuh kaki murid-murid-Nya, Dia tidak melewati Yudas, Dia tetap membasuh kaki Yudas. Harapan-Nya adalah supaya Yudas dapat bertaubat (malang sekali, Yudas tetap tegar). Setelah Tuhan membasuh kaki murid-murid, Dia menyekanya dengan tuala, tanpa meninggalkan sisa sama sekali. Daripada dua perkara ini, kita memahami bahawa Tuhan bersedia mengampuni orang sepenuhnya tanpa sedikit pun prasangka atau pengasingan. Dalam kehidupan kita, perbezaan dan perselisihan pendapat, dan bahkan bersalah terhadap satu sama lain tidak dapat dielakkan. Pada masa ini, kita perlu meneladani Tuhan iaitu dapat saling mengampuni dan saling menerima tanpa jurang. Pastinya, kita tidak berani berkira bukan kerana kita menganggap kita lemah jadi kita tidak mempedulikannya; juga bukan kerana kita menganggap diri kita mulia atau bersikap tidak berkira dengan kesalahan kecil jadi tidak mahu mencari kesalahan. Kita seikhlasnya tidak berani berkira kerana kita mengalami kasih Tuhan yang luar biasa sehingga kita benar-benar menerima, mengejar keharmonian, dan kemudian saling mempercayai, dan saling membangun dalam iman kepercayaan.

D. Harus melayani dengan rendah hati: Kelas dan hubungan berkepentingan merupakan perkara biasa dalam masyarakat. Orang yang mempunyai status dan kuasa mahu mengambil kesempatan atau menerima layanan orang lain. Tetapi Tuhan telah menunjukkan bahawa Dia mengambil rupa seorang hamba dan membasuh kaki murid-murid-Nya. Tuhan Yesus sering mengajar tentang ini: “Mereka yang disebut pemerintah bangsa-bangsa memerintah rakyatnya dengan tangan besi, dan pembesar-pembesarnya menjalankan kuasanya dengan keras atas mereka. Tidaklah demikian di antara kamu. Barangsiapa ingin menjadi besar di antara kamu, hendaklah ia menjadi pelayanmu, dan barangsiapa ingin menjadi yang terkemuka di antara kamu, hendaklah ia menjadi hamba untuk semuanya. Karena Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.” (Mrk 10:42-45). Tuhan memimpin melalui tauladan. Oleh itu, kita juga harus mempunyai hati yang bersyukur atas kasih karunia Tuhan dan semangat yang selamanya tidak berubah. Dengan sikap rendah hati, baiklah yang besar dan yang terkemuka menjadi hamba bagi semua orang dan melayani yang kecil. Janganlah ada perbezaan antara yang besar dengan yang kecil, saling bertimbang rasa, saling melayani, mengembangkan karunia daripada Tuhan, bersama-sama membangun iman antara satu sama lain dan mempunyai kepercayaan yang mendalam terhadap Injil Kerajaan Tuhan supaya kemuliaan diberikan kepada nama Tuhan.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas, kita yakin bahawa Sakramen Pembasuhan Kaki ialah sakramen kudus yang membuatkan manusia mempunyai bahagian dalam Tuhan. Tambahan pula, Sakramen Pembasuhan Kaki membawa amalan hidup yang berkelimpahan. Oleh itu, kita harus mentaati perintah Tuhan dan mengikuti teladan-Nya. Dengan berbuat demikian, kita pasti dapat menerima janji-Nya: “Maka berbahagialah kamu, jika kamu melakukannya.” (Yoh 13:17).