KEPENTINGAN TEMAN BICARA
PENDAHULUAN
Kerja teman bicara memainkan peranan yang besar dalam kerja pemberitaan Injil. Hal ini demikian kerana kejayaan dan kegagalan kerja ‘teman bicara’ adalah berkaitan dengan kesediaan pencari Injil untuk meneruskan kajian dan kerja susulan pada masa hadapan. Pencari Injil nampaknya sangat asing tentang segalanya yang berkaitan dengan gereja. Oleh itu, gambaran pertamanya tentang persekutuan sering menjadi kunci kepada kajiannya yang berterusan. Tentu sekali, gambaran pertama juga penting kerana berkaitan dengan sama ada dia bersedia menyerahkan maklumatnya kepada persekutuan. (Persekutuan merupakan suatu persekitaran yang asing baginya.) Maka, setiap rakan dalam persekutuan harus mempunyai konsep dan kemahiran sebagai teman bicara.
TUJUAN PERBUALAN: SALING BERKENALAN
- SUPAYA PERSEKUTUAN MENGENALI KAWAN PENCARI INJIL
Apabila kawan pencari Injil memasuki persekutuan, persekutuan ini adalah sangat asing baginya. Jika persekutuan dapat mengenali kawan pencari Injil dari segi motifnya mencari Injil, kehidupannya, pengalaman hidupnya dan lain-lain lagi menerusi perbualan dengan rakan persekutuan, maka tindakan dan kerja susulan terhadap kawan pencari Injil dapat dijalankan. Oleh itu, rakan persekutuan yang menjadi teman bicara harus dapat menguasai butiran utama dalam perbualan.
2. SUPAYA KAWAN PENCARI INJIL MENGENALI PERSEKUTUAN DAN GEREJA BAHKAN IMAN KEPERCAYAAN KITA MENERUSI KERJA TEMAN BICARA
Pada kebiasaannya, kawan pencari Injil tidak terlalu memahami iman kepercayaan, cara kebaktian dan gereja kita. Oleh itu, jika dia datang ke pertemuan persekutuan untuk kali yang pertama, tentunya dia akan berasa kekok. (Persekutuan masih boleh diterima. Jika pergi ke gereja, dia akan berasa lebih kekok.) Maka, adalah sangat penting untuk membuatkan dia berasa dialu-alukan dalam persekutuan melalui perbualan. Pada masa yang sama, ambil kesempatan ini untuk mengenalkan beberapa orang rakan dalam persekutuan kepadanya, biarkan kawan pencari Injil berasa seolah-olah pulang ke rumah apabila mereka datang ke persekutuan.
3. SUPAYA DIA MEMAHAMI ISI KANDUNGAN ANUGERAH KESELAMATAN TUHAN
Perbualan selalunya dijalankan selepas kebaktian, terutamanya selepas kebaktian penginjilan ataupun kebaktian teh Injil. Oleh itu, selain meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak, teman bicara harus memperkenalkan lebih banyak isi kandungan Injil kepada kawan pencari Injil pada kesempatan yang sesuai untuk mempromosikan pemahaman dan minat kawan pencari Injil terhadap Injil.
4. MENGGALAKKAN KAWAN PENCARI INJIL TERUS BERUSAHA UNTUK MENGENALI TUHAN
Tujuan penginjilan kita adalah supaya kawan pencari Injil mempunyai hati yang berusaha untuk mengenali Injil. Oleh itu, perbualan selepas kebaktian tampak lebih penting lagi untuk meningkatkan minat kawan pencari Injil dalam usahanya mencari Injil. Cara perlaksanaan perbualan ini harus fokus pada perkongsian dan bukannya membiarkan kawan pencari Injil berasa terpaksa (1 Yoh 1:1-4).
KELAYAKAN TEMAN BICARA
- TEMAN BICARA HARUS MEMPUNYAI KEGHAIRAHAN DALAM MEMBERITAKAN INJIL
Kerja teman bicara bukanlah seperti promoter di pusat membeli-belah umum yang mempromosi dengan bongkok kail hendak mengena demi jualan dan keuntungan barang. Hal ini tidak berlaku ketika kita memberitakan Injil. Kita memperkenalkan Injil kepada orang lain sebagai “perkongsian hidup”. Kita telah mendapat bahagian dalam Injil dengan cuma-cuma lalu ingin supaya orang lain turut mendapat bahagian dalam Injil (1 Kor 9:23). Oleh itu, kerja teman bicara merupakan sejenis komunikasi hidup. Jika anda tidak mempunyai keghairahan terhadap Injil, bagaimana anda dapat berkongsi pengalaman hidup anda dengan kawan pencari Injil? (Rm 9:1-3; 1 Tes 2:7-8).
2. TEMAN BICARA SEHARUSNYA MEMAHAMI FIRMAN ASAS DAN KAYA DENGAN PENGALAMAN ROHANI
Teman bicara merupakan orang yang memberikan pengenalan ringkas tentang “iman kepercayaan kita” kepada kawan pencari Injil. Jika teman bicara tidak mempunyai pemahaman tentang firman yang asas, bagaimanakah dia dapat memulakan kerjanya? Tambahan pula, kita merupakan gereja rohani dan kita menyampaikan “Firman hidup” kepada orang lain. Sebahagian besar daripada isi kandungannya ialah hal-hal rohani. Memandangkan isi kandungannya ialah hal-hal rohani, maka isi kandungan tersebut tidak dapat dijelaskan dengan kebijaksanaan duniawi (1 Kor 2:12-13). Oleh itu, adalah amat penting bahawa teman bicara perlu mempunyai pengalaman rohani.
PERALATAN KERJA TEMAN BICARA
- SIKAP YANG MESRA DAN BERSEMANGAT
Kerja teman bicara merupakan perkongsian tentang hidup dari hati ke hati, bukannya sekadar luaran sahaja. Sikap yang mesra dan bersemangat akan membuat kawan pencari Injil berasa dialu-alukan dalam persekutuan dan juga akan membuatnya berasa seperti di rumah. Pengalaman memberitahu kita bahawa banyak kawan pencari Injil yang termotivasi untuk meneruskan usaha mereka dalam mencari Injil kerana merasakan kehangatan dalam persekutuan (atau gereja). Lebih-lebih lagi jika seseorang teman bicara itu mempunyai sikap yang mesra dan bersemangat, dia dapat memancarkan hidup Kristus batiniahnya. Demikianlah kerja teman bicara yang paling langsung dan berkesan.
2. ALKITAB
Alkitab merupakan peralatan yang paling asas bagi setiap teman bicara. Dalam proses perbualan, kita sering perlu menggunakan ayat suci daripada Alkitab untuk menjelaskan persoalan atau keraguan. Tambahan pula, firman Tuhan dapat menyentuh hati manusia dan menyelesaikan masalah kehidupan manusia dengan cara yang paling langsung. Teman bicara haruslah fasih dengan ayat-ayat suci yang paling asas, terutamanya jalan penyelesaian untuk penderitaan hidup dan teka-teki kehidupan. Ajaran-ajaran lain seperti doktrin asas juga harus difahami. Banyak pelajar kolej yang menimbulkan persoalan mengenai masalah kehidupan manakala kawan pencari Injil yang biasa sering mempunyai keraguan mengenai doktrin. Jika kita dapat membekalkan jawapan berpandukan ayat suci Alkitab tepat pada waktunya semasa berbual, perbualan itu akan menjadi kerja teman bicara yang terbaik.
3. MAKLUMAT SEMASA PERBUALAN DIJALANKAN
Risalah, brosur Injil, kad pendaftaran untuk kawan pencari Injil dan sebagainya. Teman bicara perlu ada pemahaman tentang isi kandungan risalah dan brosur Injil yang diedarkan agar kesilapan tidak berlaku semasa proses edaran. Jika memahami isi kandungannya, teman bicara dapat memberikan maklumat yang dikehendaki oleh kawan pencari Injil berdasarkan keperluannya.
CARA MENJADI TEMAN BICARA
- TUNJUKKAN KEPADA KAWAN PENCARI INJIL BAHAWA KITA MENGALU-ALUKAN KEHADIRANNYA
Imej pertama adalah sangat penting dalam komunikasi sesama manusia. Oleh itu, apabila bertemu dengan kawan pencari Injil, teman bicara perlu menunjukkan kepada pihak yang lain dengan sikap yang ikhlas bahawa kehadirannya dialu-alukan sehingga membuatkan kawan pencari Injil berasa diterima. Rakan-rakan dalam persekutuan juga perlu mempunyai satu konsep: Kawan pencari Injil merupakan kawan pencari Injil bagi persekutuan dan juga merupakan kawan pencari Injil bagi setiap rakan persekutuan. Oleh itu, setiap orang yang berhubung dengan kawan pencari Injil harus menunjukkan kepadanya bahawa kehadirannya dialu-alukan.
2. SALING MENGENALI
Mulakan perbualan dengan memperkenalkan diri terlebih dahulu di samping mengucapkan selamat datang kepadanya. Kemudian, tanya nama orang berkenaan secara sopan. Sekiranya pihak yang satu lagi tidak bersedia untuk menyatakan maklumatnya, kita tidak perlu memaksa. Semasa bertanya, jangan membuat orang lain berasa seperti kita seorang penyiasat yang sedang menyoal siasat. Ingatlah bahawa kita tidak perlu terburu-buru dalam memahami kawan pencari Injil. Setelah dia berminat dengan Injil, dia akan memberitahu kita tanpa ditanya. Kawan pencari Injil yang datang ke persekutuan kebanyakannya dibawa oleh rakan persekutuan. Maka rakan-rakan persekutuan yang lain harus mengambil inisiatif untuk mengenalinya di samping menyatakan bahawa kita ingin menjadi kawannya supaya tembok pemisah antara kedua-dua pihak dapat dihapuskan lalu memudahkan perbualan susulan yang seterusnya.
3. MEMAHAMI KEPERLUAN PIHAK YANG LAIN MENERUSI TOPIK KEHIDUPAN
Kita dapat berbual dengan kawan pencari Injil setelah kita mempunyai pengenalan awal tentangnya. Semasa berbual, dengarlah dengan teliti, jangan hanya membuat pengenalan sehala dan menjadikan perbualan tersebut sebagai suatu promosi yang memaksa. Teman bicara seharusnya dapat memahami keperluan kawan pencari Injil, motifnya mencari Injil, perasaannya mendengar Injil, bahkan pengalaman hidupnya melalui perbualan untuk memudahkan teman bicara memperkenalkan cara penyelesaiannya menerusi iman kepercayaan. Oleh itu, kemahiran mendengar dengan teliti adalah amat penting untuk dipupuk oleh teman bicara. Ketika Tuhan Yesus memberitakan Injil kepada perempuan Samaria, Dia juga menggunakan perbualan untuk mendapatkan pemahaman tentang keperluannya dan membuatkannya memahami jalan penyelesaiannya.
Selain mendengar, isi kandungan perbualan juga haruslah berkisar tentang topik kehidupan. Hal ini demikian kerana topik kehidupan lebih mudah diterima dan diberi perhatian. Sebagai contoh, kita boleh mula berbual mengenai hal-hal sekolah atau kerja rumah dengannya terlebih dahulu. Kemudian, kita memasuki topik iman kepercayaan daripada topik kehidupan dan mengalihkan tumpuannya kepada masalah iman kepercayaan. Model ini digunakan oleh Tuhan ketika Dia berbual dengan perempuan Samaria (Yoh 4:6-11).
4. MEMBERITAHU DIA CARA YANG DAPAT MEMENUHI KEPERLUANNYA
Selepas memahami keadaannya melalui pendengaran, kita harus berusaha untuk memenuhi keperluannya. Hanya Tuhan kita sahaja yang dapat memuaskan kehidupan manusia. Oleh itu, kita boleh menggunakan pengalaman kita untuk dijadikan sebagai rujukan baginya pada masa yang bersesuaian. Pengalaman peribadi adalah yang paling hebat. Selain itu, kita juga membekalkan ayat suci untuk menambah imannya dengan firman Tuhan. Kita juga boleh berkongsi dengannya tentang kesaksian yang kita ketahui. Contoh:
A. Bagi mereka yang tidak pernah mendengar Injil
i. Ateisme
Kita boleh memberikan kesaksian berdasarkan misteri penciptaan alam semesta, keajaiban hidup dan pengalaman Roh Kudus. Beberapa tahun yang lepas, seorang pelajar kolej datang ke gereja kita untuk mencari Injil. Saya berbual dengannya selepas kebaktian. Dia asyik menegaskan bahawa dia seorang ateis dan tidak percaya dengan mana-mana agama. Tanpa mengira cara kesaksian yang diberikan, dia tetap enggan menerimanya. Maka saya pun bersaksi kepadanya tentang keajaiban Roh Kudus dan menjemput dia untuk merasainya. Kesudahannya, selepas pulang ke asrama, dia berbaring di atas katilnya sambil berkumat-kamit. Beberapa minit kemudian, dia mendapat Roh Kudus. Perkara tersebut mengejutkan semua orang di asrama. Dia akhirnya datang ke gereja untuk mengakui kebebalannya.
ii. Politeisme
Kita harus menunjukkan satu-satunya jalan keselamatan yang tepat kepadanya menurut Alkitab (Ams 14:12).
B. Bagi mereka yang tidak tahu cara mencari kebenaran tetapi menghauskannya
Kita boleh menunjukkan cara mencari dan mengenali Tuhan yang tepat kepada dia berdasarkan pengalaman kita sendiri. Sebagai contoh, perempuan Samaria berhadapan dengan masalah besar dalam hidupnya. Walau bagaimanapun, dia sendiri tidak tahu tentang punca masalahnya. Dia hanya melalikan dirinya dengan melampiaskan hawa nafsu. Namun masalahnya tetap wujud. Tuhan Yesus pun memperkenalkan masalah hidup kepadanya melalui masalah kehidupannya selangkah demi selangkah dan memberitahunya jalan penyelesaian yang betul (Yoh 4:23). Kesudahannya, perempuan tersebut membuka hatinya secara tiba-tiba dan segera masuk ke kota untuk memberi kesaksian.
C. Bagi mereka yang bermasalah dengan kerjaya atau akademik
Kita boleh berkongsi tentang kepentingan manusia mendapat kelegaan dalam dunia dan memberitahu dia cara mendapatkan kelegaan (Mat 11:28). Bagi generasi ini, tekanan persaingan untuk terus hidup adalah sangat besar dan pelajar mempunyai urusan akademik yang sangat banyak lalu menyebabkan banyak masalah mental. Mereka hanya dapat menikmati kelegaan dengan datang ke hadirat Tuhan.
D. Bagi mereka yang bersedih kerana kegagalan
Boleh menunjukkan bahawa Tuhan yang benar dapat menghiburkan hati manusia (2 Kor 1:3) di samping berkongsi tentang sukacita mendapat Roh Kudus dan cara Roh Kudus menghiburkan jiwa yang hancur dan semangat yang patah (Rm 8:28). Gereja kita mempunyai banyak kesaksian dalam aspek ini dan boleh digunakan untuk rujukan.
5. MENUNJUKKAN CARA MENCARI BUKTI IMAN KEPERCAYAAN KEPADANYA
Selepas kita memahami keperluan pihak yang lain serta membekalkan pendapat dan kesaksian untuk memenuhi keperluannya, hal yang paling penting ialah mengajar dia cara mencari Tuhan iaitu mengajarnya cara berdoa. Apabila kawan pencari Injil sudi berlutut di hadapan Tuhan, maka kasih karunia Tuhan dapat datang kepadanya dan dia akan mendapat pengalaman yang nyata. Iman kepercayaan merupakan hal metafizik iaitu kita tidak boleh hanya berbincang tentang teori tanpa mencari pengalaman. Pengalaman jauh lebih berkesan daripada kesaksian untuk sekian lama. Pada masa dahulu terdapat seorang pelajar yang beragama Buddha yang datang ke gereja untuk mendengar firman tetapi masih mempunyai keraguan besar. Kemudian, dia pergi ke gereja seorang diri pada pagi hari Sabat dan berdoa bersendirian. Roh Kudus turun ke atasnya dalam masa tidak sampai lima minit. Dia berseru kepada Tuhan di dalam hatinya: “Ya Tuhan, aku tahu bahawa hanya Engkaulah Tuhan!” Tidak lama kemudian, dia terima baptisan menjadi murid Tuhan dan kini sangat giat memberitakan Injil. Oleh itu, teman bicara harus membimbing kawan pencari Injil cara mencari Tuhan dalam sesi perbualan.
6. MENGGALAKKAN DIA TERUS DATANG MENGHADIRI KEBAKTIAN DAN MEMBUAT KAJIAN
Kita hanya berkongsi dalam perbualan dan jangan memaksa. Jangan biarkan pihak lain mempunyai keraguan bahawa mereka akan dibaptiskan apabila datang ke gereja. Beritahu dia bahawa dia tidak perlu mempertimbangkan persoalan tentang pembaptisan dan dia hanya perlu memahami firman dengan jelas pada tahap ini. Dalam perbualan, kenalkan seorang dua kepadanya iaitu mereka yang mungkin membuat kerja susulan kelak supaya perhubungan mereka tidak bermasalah pada masa hadapan.
7. KEKAL BERHUBUNG
Pada akhir perbualan, minta pihak yang lain memberikan alamat dan nombor telefon yang boleh dihubungi secara sopan. Mereka mungkin akan teragak-agak untuk memberikan maklumat tersebut. Kita harus memberitahu mereka bahawa kita memerlukan maklumat perhubungan mereka supaya kita dapat menyampaikan bahan terbitan ataupun mesej kepada mereka pada masa kelak. Dengan itu, mereka mungkin akan memberikan maklumat tersebut. Selain itu, kita juga boleh membuat temu janji untuk aktiviti yang seterusnya, seperti aktiviti persekutuan ataupun jamuan teh Injil di gereja dan sebagainya.
PETUA KERJA TEMAN BICARA
- MOHON PIMPINAN ROH KUDUS
Berdoa dengan bersungguh-sungguh sebelum melakukan kerja sebagai teman bicara. Biarlah Roh Kudus yang memimpin sesi perbualan dan memberikan kemahiran berkata-kata. Perkataan yang diucapkan oleh Roh Kudus dapat menyentuh hati manusia dengan sedalam-dalamnya. Apabila ada pertempuran rohani dalam sesi perbualan, kita haruslah mengalahkannya dengan berdoa dalam hati.
2. BERSIKAP IKHLAS
Tidak kira pihak yang lain mendengar atau tidak semasa berbual, sikap ucapan kita haruslah sangat ikhlas dan menyatakan kepedulian kita terhadap roh jiwanya (2 Tim 2:24-26).
3. JANGAN BERDEBAT
Kita memberitakan khabar baik kepada orang lain dengan berkongsi tentang kasih karunia yang kita peroleh, bukan untuk berdebat dengan orang lain. Oleh itu, janganlah kita terburu-buru dalam proses perbualan sehingga menimbulkan perdebatan hebat antara dua pihak lalu berpisah secara tidak baik. Perbualan demikian ialah perbualan yang gagal. Oleh itu, jika kita mendapati bahawa situasi menjadi kaku, kita harus menyatakan pendirian kita yang tidak berniat untuk berdebat dengannya. Kita memberitakan Injil kepada mereka untuk berkongsi tentang kepercayaan yang kita percayai dan miliki dengan sikap yang mengasihi kehidupan. Jika dia tidak dapat menerimanya untuk sementara waktu, kita tetap menyatakan sambutan dan harapan kita. Saya pernah memberitakan Injil kepada seorang Kristian daripada gereja denominasi lain. Semasa berbual dengannya, dia menyatakan rasa tidak puas hati dengan pemberitaan kami. Saya berhenti berkongsi dengannya pada masa itu dan hanya menyatakan harapan saya untuk dia teruskan datang mengkaji. Kesannya, dia tidak pernah muncul lagi. Kira-kira enam hingga tujuh tahun kemudian, saya menghadiri Kebaktian Kebangunan Rohani di sebuah gereja di bahagian tengah. Seorang belia datang menyapa saya dan mengatakan bahawa dialah orang yang berdebat dengan saya dalam persekutuan di bahagian utara beberapa tahun yang lalu. Ketika itu, saya teringat ayat-ayat dalam Pengkhotbah 11:1-6. Oleh itu, jika terdapat perselisihan dalam perbualan sebagai teman bicara, saya akan menamatkan perbualan pada waktu yang sesuai dan menyatakan harapan kita kepada pihak yang lain.
4. MEMBERIKAN MAKANAN PADA WAKTUNYA
(Yoh 4:5-42). Semasa kita mengetahui keperluan kawan pencari Injil melalui perbualan, kita harus memberi kepadanya berdasarkan keperluannya. Sekiranya masalahnya melibatkan sesuatu yang tidak kita ketahui, dia harus dirujuk kepada seseorang yang dapat memberikan jawapan yang memuaskan hatinya pada masa yang sesuai.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN
- JANGAN EGO
Tutur kata kita haruslah bersifat rendah hati dalam proses perbualan. Apabila berhadapan dengan pemercaya daripada gereja denominasi lain, kita harus mengelak daripada membincangkan doktrin yang sensitif kecuali dia telah menyatakan minatnya yang mendalam sebelum membincangkannya. Walau bagaimanapun, kita perlu lebih memperhatikan tutur kata kita.
2. JANGAN MEMPERLI
Perhatikan supaya tidak mengkritik kelemahan orang lain secara sembarangan atau menilai sesuka hati semasa proses perbualan.
3. JANGAN BERCAKAP SEORANG DIRI
Dalam proses perbualan, kita ingin mempromosikan persefahaman melalui perbualan. Oleh itu, perhatikan supaya jangan hanya kita sahaja yang bercakap sepanjang masa dan lupa untuk mendengar. Perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan kita tidak dapat memahami pihak lain dan memberi pertolongan tepat pada masanya, tetapi juga membuatkan kawan pencari Injil muak.
4. MENGINGATKAN KAWAN PENCARI INJIL SUPAYA “BERHATI-HATI DENGAN MUSLIHAT SI JAHAT”
Kerja pemberitaan Injil itu sendiri merupakan suatu pertempuran rohani. Iblis selalunya suka menghalang orang daripada percaya kepada Tuhan. Oleh itu, kawan pencari Injil sering berhadapan dengan rintangan selepas berpisah dengan kita. Maka jika kita melihat bahawa kawan pencari Injil mempunyai semangat untuk mengejar kebenaran, kita boleh memberi sedikit sebanyak peringatan kepadanya. Aspek ini juga perlu diberi perhatian dalam kerja susulan kita kelak.
KESIMPULAN
Kerja teman bicara tidak boleh diabaikan walaupun kerja ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada kerja pemberitaan Injil. Jika kita dapat melakukan kerja sebagai teman bicara dengan baik semasa kebaktian penginjilan atau kebaktian teh Injil, kita sering mendapati bahawa akan ada lebih banyak pencari Injil dalam kerja pemberitaan Injil pada masa hadapan. Oleh itu, persekutuan haruslah memberi latihan kepada rakan-rakan dalam persekutuan supaya setiap rakan persekutuan dapat menjadi teman bicara yang terbaik dan membawa kemajuan besar dalam kerja pemberitaan Injil kita.