SEJARAH PENYEBARAN AGAMA GEREJA YESUS BENAR (TAIWAN) (1926 – 2002)

SEJARAH PENYEBARAN AGAMA GEREJA YESUS BENAR (TAIWAN) (1926 – 2002)

(Saudari Wang Hui Ji)

 

KATA PENGANTAR

Orang Barat menemukan jalan laut baharu dan tiba di Timur sejak akhir abad ke-15. Dengan kedudukan Taiwan sebagai pulau di Lautan Pasifik, agama Kristian telah diperkenalkan ke Taiwan pada akhir Dinasti Ming. Pada tahun 1626 (tahun ke-6 pemerintahan Maharaja Tianqi), orang Sepanyol menduduki wilayah Keelung dan Danshui (Tamsui) di bahagian utara, dan paderi Dominican (Katolik) menjalankan pemerintahan. Pada tahun 1624, Belanda menduduki bahagian selatan dan kemudian menguasai seluruh pulau Taiwan selama 38 tahun (1644 – 1662). Agama Protestan (Protestantism) juga diberitakan kepada suku Pingpu pada masa itu. Seiring dengan kegagalan kuasa penjajahan mereka, penyebaran agama Kristian juga tidak dapat dipertahankan. Namun, selama tiga generasi dari pendudukan Belanda hingga masa pemerintahan Zheng Chenggong di Taiwan, suku Han secara beransur-ansur berubah daripada pendatang bermusim kepada pendatang yang menetap, dan bilangan mereka terus meningkat. Maharaja Kangxi dan Maharaja Yongzheng dari Dinasti Qing di China terus “melarang agama” terhadap agama Katolik selama lebih daripada 120 tahun (1721 – 1846) kerana isu-isu seperti “etika”. Kedua-dua maharaja ini melarang rakyat daripada beragama, dan Taiwan juga tidak terkecuali.

Pada tahun 1858 dan 1860 (tahun ke-8 dan ke-10 Maharaja Xianfeng), Kerajaan Qing China bertempur dengan pasukan Britain-Perancis kerana isu candu import dan penyebaran agama terbuka. Kerajaan China gagal dalam pertempuran tersebut sehingga menandatangani kontrak untuk membayar ganti rugi dan menyerahkan tanah. Dari tahun 1862 hingga tahun 1864, Danshui (Tamsui), Keelung, Taiwan (sekarang Anping) dan Dagou (sekarang Kaohsiung) dibuka satu persatu sebagai pelabuhan perdagangan. Pada waktu yang sama, negara-negara Barat terus menyebarkan agama seperti Gereja Katolik dan Gereja Presbyterian ke Taiwan dan Penghu berdasarkan “perlakuan yang sama untuk semua anggota” (most favoured nation, MFN). Penyebaran agama sedikit tersekat ketika Jepun menduduki Taiwan sebagai jajahan (1895 – 1945). Dalam tempoh ini, Gereja Yesus Benar dapat disebarkan dari Tanah Besar China ke Taiwan, dan lebih cemerlang daripada yang lain. Dalam sejarah lebih daripada 75 tahun, terdapat banyak pelajaran yang boleh diambil oleh orang hari ini. Alkitab mencatatkan: “”tak ada sesuatu yang baru di bawah matahari. Pepatah pula berkata: “yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”. Kita dapat mengetahui hal yang bakal berlaku jika kita memerhatikan hal yang telah berlaku. Arkib gereja belum disusun dan dibuka kepada umum. Oleh itu, artikel ini bermaksud menggunakan majalah peringatan yang dikeluarkan oleh Taiwan, seperti majalah peringatan ulang tahun penyebaran agama ke-30, 50, 60, 70 dan lain-lain di Taiwan untuk membuat analisis dan kajian awal tentang perkembangan gereja. Artikel ini membahagikan unit sejarahnnya kepada enam zaman. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pemahaman kasar mengenai kemakmuran dan kejatuhan serta keuntungan dan kerugiannya.

  1. Zaman Cawangan Taiwan (Tahun 1926 – 1940)

Tuhan yang benar menggunakan Alkitab untuk memberitahu dunia bahawa Roh Kudus hujan awal (hujan musim gugur) yang dijanjikan telah menubuhkan gereja Kristian pada zaman rasul. Setelah dianiaya oleh Kerajaan Rom, agama Kristuan akhirnya menjadi agama negara. Namun, gereja beransur-ansur menjadi sekular dan berubah sifatnya sehingga Roh Kudus berhenti dicurahkan dan rebutan kuasa berlaku dalam politik dan agama. Walaupun terdapat beberapa pembaharuan agama, namun ragi lama tetap tidak dapat dihapuskan. Denominasi-denominasi tidak dapat memahami semua kebenaran dan mempertahankan pendapat masing-masing. Roh Kudus hujan akhir (hujan musim semi) dicurahkan di Amerika Syarikat pada hujung abad ke-19 lalu membentuk mazhab Pentakosta yang kemudiannya disebarkan ke China. Maka Gereja Yesus Benar didaftarkan dan ditubuhkan di Beijing pada tahun 1917 (tahun ke-6 Republik China). Walaupun ada pasukan pemisah dalaman serta penjajahan dan eksploitasi oleh kuasa asing dari luaran, namun para pendeta awal gereja, iaitu Isaac Wei, Zhang Lingsheng, Barnabas Zhang, dan lain-lain, terus-menerus memperbetul penyimpangan dan kekeliruan denominasi-denominasi lain dengan dipimpin oleh Roh Kudus serta disertai dengan kebenaran yang sempurna dan tanda mukjizat sehingga gereja berkembang dengan pesat. Gereja disebarkan ke wilayah Fujian di China Selatan pada tahun 1925. Dari semasa ke semasa, ada saudara Huang Chengcong (penatua Elisha) dan Huang Chengchao (penatua Gideon), Zhang Jinzhang (diaken Zeker), Wang Qinglong (diaken Yeremia), dan Huang Xingmin (Diaken Daniel) yang berhijrah ke Taiwan datang memeluk ke dalam gereja benar kerana mereka mengalami keajaiban Roh Kudus di Zhangzhou. Wu Daoyuan, bekas anggota Gereja Presbyterian juga memeluk ke dalam gereja benar di Xiamen. Pada musim luruh tahun yang sama, Huang Xiuliang, bapa Huang bersaudara, kembali ke Taiwan untuk memberikan kesaksian kepada saudara-mara dan rakan-rakan di kampungnya di Changhua. Lebih daripada 40 orang dibaptiskan olehnya dan banyak kanak-kanak mendapat penglihatan. Kebenaran pun diberitakan ke Taiwan.

Pada 2hb Mac 1926, Huang Chengcong, Wu Daoyuan, Wang Qinglong dan Daniel Huang memimpin Barnabas Zhang, Thomas Guo, Luke Gao, Chen Yuanqian, dan lain-lain datang ke Taiwan dari Xiamen untuk menyebarkan agama. Mereka berlapan tiba di Keelung pada 3hb, dan mereka pergi ke Mansion Gabenor di Taipei pada keesokan harinya untuk menjelaskan tujuan mereka tiba di Taiwan. Tujuannya adalah supaya mereka tidak dianggap sebagai mengadakan gerakan politik rahsia. Mereka kemudiannya melakukan perjalanan ke bahagian tengah untuk memulakan pemberitaan Injil. Pada tanggal 5, mereka tiba di 15 Zhangli di Xianxi Township, dan pada tanggal 7, kebaktian penginjilan yang pertama di Taiwan diadakan di Ùn-á-chùn, dengan kehadiran lebih daripada 200 orang. Pada tanggal 8, mereka memberitakan Injil di sekolah umum Xianxi, dengan kehadiran lebih daripada 400 orang. Pada tanggal 9, kebaktian penginjilan diadakan di Hemei (Homei) Township atas undangan Menteri Polis. Pada tanggal 10, 62 orang dibaptiskan di 15 Zhangli dan gereja Xianxi (sekarang dikenal sebagai Shengang) didirikan. Huang Xiuliang (Joshua), Huang Qiang (Caleb) diurap sebagai penatua, manakala Chen Axian (Ai Zhu) dan Xie E (Xin Zhu) diurap sebagai diakenis.

Mereka tiba di Tainan pada 13hb Mac, dan sekumpulan orang pergi ke Niutiaowan untuk mengadakan mesyuarat selama 3 hari. Pada tanggal 18, 27 orang dibaptiskan lalu mendirikan gereja Niutiaowan (di Meihua Village, Yizhu Township, Chiayi County, yang kemudiannya dikenali sebagai gereja Meihua, kini digabungkan dengan gereja Puzi). Oleh sebab semua orang yang dibaptiskan merupakan anggota Gereja Presbyterian, gereja itu menghantar beberapa orang paderi dan pendeta untuk mengawal pemercaya mereka dan menghalang pemberitaan Injil gereja benar. Ketika berada di Tainan, seorang pendeta Britain, Liu Chung-Chien membawa lebih daripada 10 orang pendeta dan pemercaya ke hotel untuk mendengar kebenaran gereja benar. Pada tanggal 22 dan 23, kebaktian penginjilan diadakan di pusat kebudayaan Tainan, dan kebanyakan orang yang hadir merupakan anggota Gereja Presbyterian. Ketika memberitakan Injil di Tainan, mereka menyebarkan risalah “Inti Roh Kudus” yang pertama kali ditulis dan dicetak oleh Thomas Guo dan Elisha Huang pada bulan Februari. Nampaknya, gereja telah menekankan pemberitaan Injil secara lisan dan secara tulisan sejak awal lagi. Mereka pergi ke Niumatou (sekarang Qingshui) pada tanggal 2 April. Pada tanggal 5, 11 orang dibaptiskan di Luliao dan gereja Qingshui pun didirikan. Mereka bergerak ke Taipei pada tanggal 6 dan mengadakan kebaktian penginjilan selama dua hari di pusat kebudayaan, dengan kehadiran lebih daripada 600 orang. Apabila kerja pemberitaan Injil di Taiwan berakhir pada tanggal 12 April, Zhang, Guo, Gao, Chen, Jeremiah Wang dan yang lain kembali ke Tanah Besar dengan menaiki kapal dari Keelung. Kerja Roh Kudus itu sendiri dan pernyataan tanda mukjizat membolehkan 3 buah gereja didirikan, lebih daripada 100 orang dibaptiskan dan benih firman kebenaran ditaburkan di Taiwan hanya dalam masa 40 hari. Hal ini memberikan banyak peringatan kepada masyarakat Kristian di Taiwan.

Pada musim luruh tahun 1926, Gideon Huang yang pernah memberitakan Injil di Zhangzhou, Xiamen dan Yongfu mendengar tentang perkembangan kerja rohani di Taiwan. Dia pun kembali ke Taiwan dari Zhangzhou dan pergi ke Taichung untuk menyaksikan kebenaran kepada ayah mertuanya, Guo Wai (penatua Philemon). Pemberitaannya menyebabkan Guo Wai yang pada asalnya merupakan penatua Gereja Presbyterian menerima baptisan pada bulan Oktober dan menjadi sokoguru gereja Taichung. Pada bulan November, “Cawangan Taiwan” gereja ditubuhkan. Mesyuarat Agung Cawangan yang pertama diadakan di gereja Xianxi dan lebih daripada 100 orang menghadiri mesyuarat itu. Mereka telah memilih dua orang ahli jawatankuasa iaitu Philemon Guo dan Cai Mouhuang (Joel Tsai) serta membentuk 17 peraturan cawangan. Pada musim bunga tahun 1927, para pendeta, Qian Abo, Guo Meitu dan lain-lain diutus dari Fujian ke Taiwan untuk menyebarkan kebenaran secara aktif ke seluruh wilayah Taiwan bersama dengan Gideon Huang. Pemercaya pelbagai denominasi secara beransur-ansur menyedari kesalahan denominasi asal mereka dan jumlah orang yang memeluk ke dalam gereja benar meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, halangan daripada Gereja Presbyterian ada di mana-mana. Pada tahun yang sama, John Wu berpindah kembali ke Tainan dari Pulau Gulangyu di Xiamen, dan mendirikan gereja Tainan pada bulan April setelah memberitakan Injil secara giat di samping mengamalkan perubatan. Ibu pejabat sekali lagi mengutus Luke Gao ke Taiwan untuk membantu penggembalaan dan pemberitaan Injil. Pada masa itu, ada seorang lelaki Jepun, Suda (Peter) yang bekerja sebagai utusan Injil Holiness Church di Tainan. Dia mengkaji bukti Roh Kudus di gereja benar dan dibaptiskan pada bulan November. Kemudian, pemercaya-pemercaya Holiness Church yang lain juga dibaptiskan satu demi satu.

Pada bulan September 1928, ketika Mesyuarat Agung Cawangan diadakan di Tainan dan kebaktian penginjilan diadakan di dewan umum, Cai Haiqing (Shengmin) dari Minxiong secara tidak sengaja terdengar firman gereja benar dan sangat terharu oleh Roh Kudus. Dia mengkaji berhari-hari untuk mengenali firman kebenaran gereja benar. Setelah menerima Sakramen Pembaptisan pada bulan November, dia pergi ke 15 Zhangli, Xianxi Township dan menerima Roh Kudus di sana. Kemudian, dia kembali ke Minxiong untuk menyaksikan kebenaran kepada saudara-mara dan rakan-rakannya, termasuk Xie Wanan (Diaken Apollos), Chen Wanyu (Penatua Fusheng), Guo Zhu (Penatua Zhushi), Lin Zongguang (Penatua Wuzhen), Guo You, dan lain-lain. Mereka juga menerima Roh Kudus satu demi satu. Gereja Minxiong dan Dalin didirikan pada tahun 1928, dan gereja Xiaomei (sekarang disebut Meishan) didirikan pada tahun berikutnya. Pada tahun 1929, Chen Wen (Enmin) menjadi percaya di Dalin dan kembali ke Zhongzhuang (sekarang disebut Xingang) untuk bersaksi dengan giat serta mendirikan gereja Yuliao (1938; sekarang disebut Liuhe), Yiwu (1938; sekarang disebut Qiongpu) dan gereja-gereja lain. Dalin kemudian terbahagi kepada gereja Jiayi (1931), Huwei (1946), Neipu (1960), Dade (1976) dan lain-lain. Di samping itu, sebilangan pemercaya gereja Meihua berpindah ke Madou, Tainan, atau pergi ke sebelah utara, sementara yang lain bergabung dengan gereja Puzi.

Kawasan di bahagian tengah juga ada perkembangan. Gideon Huang pergi ke Erlin Township, Changhua County untuk mengunjungi saudara-mara dan menyaksikan firman kepada diaken Gereja Presbyterian, Zhuang Deng (Diaken Dezhen). Zhuang pergi ke Xianxi untuk mengkaji dengan lebih lanjut. Dia dibaptiskan pada bulan April 1928 dan merupakan benih pertama di Erlin. Gereja Erlin didirikan pada musim bunga tahun 1929. Kemudian, Gideon Huang kembali ke Taiwan dan menetap di Hemei, Changhua. Dia bergabung dengan Wang Wan (diaken Yong Sheng) yang baru saja kembali kepada Tuhan di Qingshui untuk mempersiapkan penubuhan gereja Hemei. Gereja Hemei kemudian terbahagi kepada gereja Caogang (1932), Lunwei (1935), dan Lukang (1940). Pada tahun 1935, terdapat gempa bumi berskala besar (4.21) di bahagian tengah Taiwan yang mengorbankan dan mencederakan lebih daripada seribu orang. Tidak lama kemudian, Wu Shi (diakenis Shun Zhu) dari gereja Hemei berpindah ke Xihu dan mendirikan gereja Xihu (1939). Gereja terbahagi lagi kepada gereja Yuanlin pada tahun 1976.

Di Hsinchu, penatua dan diaken seperti Elisha Huang pergi memberitakan Injil di sana dan mendirikan gereja Hsinchu pada tahun 1930. Pada tahun yang sama, ketika Lin Wuzhen tinggal di Keelung, Cai Shengmin menerima undangan untuk pergi memberitakan Injil di Keelung. Pada waktu itu, utusan Injil Holiness Church Luodong, Zhu Ri (Yangguang) melewati tempat tersebut. Setelah mengkaji, dia menerima pembaptisan dan Roh Kudus. Dia mengubah Holiness Church setelah kembali ke Luodong. Pada tahun 1934, Hong Huolu dari Gereja Presbyterian, Hualien Port datang ke Luodong. Setelah mendengar kesaksian firman gereja benar dan kembali ke Hualien Port, dia mengirim sepucuk surat kepada Cawangan dan meminta Cawangan mengutus pendeta untuk bekerja di sana. Dengan cara ini, kebenaran juga tersebar ke Timur Taiwan, dan gereja Hualien Port didirikan pada tahun berikutnya.

Di bahagian utara, Lin Zongguang (penatua Wuzhen) berpindah ke Keelung sebagai doktor kapal pada tahun 1930. Zhu Ri (Yangguang), utusan Injil Holiness Church Luodong melewati tempat itu dan mengkaji firman kebenaran gereja benar. Kemudian, dia kembali ke Luodong bersama dengan Cai Shengmin untuk memberitakan Injil lalu mendirikan gereja. Gereja ini merupakan gereja paling awal di bahagian utara. Pada tahun 1929, Apollos Xie pergi ke Taipei untuk memberikan kesaksian kepada pemercaya-pemercaya Jepun dan mendirikan sebuah gereja kecil orang Jepun di Taipei. Kemudian, gereja tersebut hilang begitu saja kerana tidak ada penggembalaan. Pada musim sejuk tahun 1935, Taipei mengadakan pameran, mengedarkan risalah dan menyewa sebuah rumah untuk penginjilan. Sekumpulan kecil penganut Gereja Presbyterian menjadi percaya dan gereja Taipei didirikan pada musim bunga tahun berikutnya.

Perkara yang paling berharga dalam tempoh ini ialah penubuhan dan perkembangan gereja di kawasan pegunungan. Pada era pendudukan Jepun, Pejabat Gabenor Taiwan tidak membenarkan rakan-rakan di kawasan pegunungan menikmati kebebasan beragama dalam perlembagaan, tetapi hanya memaksa mereka untuk menerima “Shinto” orang Jepun. Dengan cara ini, Pejabat Gabenor Taiwan memutuskan hubungan antara orang-orang di kawasan pegunungan dengan orang-orang di kawasan tanah rata dan memudahkan pelaksanaan kōminka kyōiku (Japanization). Oleh itu, walaupun gereja-gereja Jepun berulang kali memohon kebenaran untuk memberitakan Injil ke kawasan pegunungan, namun mereka gagal mendapatkan kebenaran. Pada tahun 1929, Gereja Presbyterian memperoleh seorang pemercaya wanita dari daerah pegunungan di Timur Taiwan. Mereka memupuknya dengan teologi agar dia dapat membuat penginjilan peribadi tetapi dia segera ditekan dan disekat. Kerja gereja benar di kawasan pegunungan juga serupa, tetapi firman kebenaran tidak terbelenggu (2 Tim 2:9). Berikut ialah penerangan ringkas mengenai perkembangan awal gereja di kawasan pegunungan:

Gereja Hualien Port didirikan pada tahun 1935. Tidak lama kemudian, sokoguru gereja meninggal dunia satu demi satu sehingga terdapat kekurangan pendeta untuk penggembalaan. Namun Tuhan menjadikan gereja itu sebagai batu loncatan untuk kerja-kerja di kawasan pegunungan. Pada tahun 1937, Shibaru, anak lelaki ketua etnik Atayal di Fushi Village di kawasan pegunungan Hualien, menderita tuberkulosis. Dia dimasukkan ke hospital di Hualien Port namun penyakitnya bertambah parah dan doktor mengatakan bahawa dia tidak dapat diselamatkan lagi. Maka dia pun pulang ke rumah dan menunggu saat kematiannya dengan tenang. Pada tahun berikutnya, Wu Shilian, seorang peniaga ubat dari gereja Hualien Port melihat bahawa Shibaru sudah tinggal nadi saja lalu memperkenalkan Yesus Juruselamat dan tanda-tanda mukjizat gereja benar kepadanya. Shibaru disembuhkan oleh Tuhan yang benar setelah dia percaya. Dalam masa tidak sampai 3 minggu, Shibaru dapat turun bekerja di kebun. Ramai saudara-mara dan penduduk kampung menyaksikan keadaan ini dan datang mencari Injil satu demi satu. Mereka dibaptiskan secara rahsia dan diam-diam menyelinap ke gereja Hualien Port untuk ikut serta dalam ibadah pada hari Sabat. Kemudian, firman kebenaran tersebar lagi ke Chongde, Tongmen, Shanli dan kampung-kampung lain di Xiulin (Sioulin) Township. Bagaimanapun, balai polis mula menyiasat dan memenjarakan pemercaya gereja yang termasuk Wu Shilian, Liu Rongshu, Liu Abian (Donghui) dan Shibaru.

Kerja-kerja pelayanan lain seperti pemberitaan Injil melalui teks dapat menebus kekurangan pemberitaan lisan yang dibatasai oleh masa dan ruang serta memudahkan pendengaran berulang oleh orang-orang yang jauh dan generasi-generasi yang seterusnya. Maka pemberitaan Injil melalui teks sememangnya diperlukan. Semuanya telah bermula sejak gereja mula ditubuhkan. Dari segi terbitan berkala, gereja Taiwan pada masa awal pernah menjadikan Guo Shunming sebagai penyunting dan menerbitkan “Hidup Sejati” bulanan dalam karakter Cina, Jepun dan Rom. Dengan Peter Suda sebagai penyunting, gereja menerbitkan “Haleluya” bulanan. Peter Suda juga menerbitkan 30 terbitan majalah bulanan “Zaman Roh Kudus” dengan namanya sendiri (Oktober 1937 – April 1941). Dari segi buku, Peter Suda menulis “Kemerosotan Gereja Kristian Sekarang dan Kemunculan Gereja Yesus Benar” dalam bahasa Jepun pada tahun 1925, manakala Lin Wuzhen menulis “Kaki Dian Jalan Syurga” pada Mei 1935. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh ibu gereja Shanghai.

Perlu diingat bahawa sejak firman kebenaran disebarkan ke wilayah ini, pelbagai kursus teologi telah diadakan selain penyebaran teologi gereja dalam bentuk forum untuk memupuk bakat para pendeta. Cawangan Taiwan pernah mengundang Thomas Guo dari ibu pejabat Shanghai ke Taiwan untuk mempengerusikan kursus teologi selama sebulan sebanyak dua kali, iaitu di Hemei pada tahun 1930 dan di Tainan pada tahun 1936. Dalam kursus teologi tersebut, pendeta ialah pelajar yang sah, manakala pemercaya pula dibenarkan untuk mengambil bahagian secara bebas. Kemudian, seminar pendeta diadakan di Meishan dan Taichung sebagai platform bagi pendeta membentangkan kajian setiap gulungan Alkitab. Pada tahun 1938, gereja-gereja Taipei, Taichung dan Chiayi pernah mencuba untuk mengadakan kebaktian kanak-kanak bagi membimbing ibadah kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kebaktian kanak-kanak dihentikan tidak lama kemudian kerana kekurangan guru.

 

  1. Ibu Pejabat Gereja Yesus Benar Jepun – Zaman Cawangan Provinsi Taiwan (Tahun 1941 – 1949)

Dalam tempoh ini, gereja menghadapi Perang Pasifik yang kemudiannya berkembang menjadi Perang Dunia Kedua. Injil telah menjadi suara harapan hati rakyat. Cawangan Taiwan diganti nama menjadi “Ibu Pejabat Gereja Yesus Benar Jepun” dalam Mesyuarat Agung Cawangan kali ke-17 pada bulan Februari 1941 untuk memenuhi syarat-syarat dasar pemerintahan Jepun. Dalam mesyuarat ini, 80 peraturan telah dirumuskan, sistem jawatankuasa 3 orang di cawangan dihapuskan dan ditukar kepada 5 orang untuk berkongsi tugas pentadbiran. Penyusunan semula ini hanyalah atas kertas saja. Hakikatya, hubungan dengan ibu gereja Nanjing tidak berubah. Sehingga tahun 1941, terdapat 24 buah gereja di Taiwan dengan lebih daripada 3,000 orang pemercaya. Tentera Jepun dikalahkan dan menyerah kalah pada tahun 1945, dan Taiwan dipulihkan pada 25hb Oktober. Pada bulan Oktober 1946, nama “Cawangan Taiwan” gereja dipulihkan. Dalam Peristiwa 228 pada tahun 1947, pemerintah Kuomintang menindas para perusuh Taiwan dengan tenteranya dan melibatkan pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah secara sembarangan. Darurat jangka panjang bermula sejak kejadian ini. Ketika Mesyuarat Agung Cawangan kali ke-23 diadakan pada tahun ini, 3 orang ahli jawatankuasa dipilih semula berdasarkan peraturan cawangan. Ketika Mesyuarat Agung Cawangan kali ke-24 diadakan pada bulan Mac 1948, “Cawangan Provinsi Taiwan” dibentuk sesuai dengan undang-undang, 28 peraturan gereja dirumuskan, dan pentadbiran dipertanggungjawabkan kepada 3 orang ahli jawatankuasa eksekutif.

Sejak masa perang sehingga awal masa pasca perang, Tuhan melindungi umat pilihan-Nya dan kerja suci dikendalikan dengan teliti semasa menghadapi kesulitan material. Sebagai contoh, kerja kesusasteraan. Pada bulan Jun 1941, ketika Cawangan Taiwan disusun semula menjadi ibu pejabat, Elisha Huang pernah memulakan terbitan majalah gereja – “Majalah Roh Kudus” 32mo dalam bahasa Jepun, dan 20 edisi diterbitkan sehingga tahun 1945. “Inti Gereja Yesus Benar” dalam bahasa Jepun ialah terbitan khas nombor 18 (Disember 1943). Namun, edaran kertas dicatu kerana peperangan. Majalah edisi 21-30 ditukar kepada 16mo dengan 6 muka surat. Taiwan berada di kawasan pengeboman pesawat tentera Amerika Syarikat. Kilang percetakan pun dipindah ke kawasan pedalaman pada bulan Oktober 1944, dan kerja ditangguhkan secara beransur-ansur. Terbitan majalah terpaksa ditukar kepada terbitan dalam bentuk mimeograf dan disunting oleh Lin Rongjie (Xiansheng) bagi edisi 31-34, iaitu 4 edisi secara keseluruhannya. Terbitan ini dihentikan setelah kemenangan pada bulan Ogos tahun berikutnya. Pada bulan Mei 1947, “Berita Cawangan Taiwan” dalam bahasa Cina dan Jepun diterbitkan dalam bentuk mimeograf 18mo dengan 2 muka surat dan sebanyak 17 edisi diterbitkan menjelang tahun 1950. Pada bulan Oktober tahun yang sama, namanya ditukar kepada “Berita Gereja Benar” yang tetap menerbitkan perbincangan firman dan berita dalam bahasa Cina dan Jepun, 4 edisi diterbitkan sehingga bulan Februari tahun berikutnya. Di samping itu, setelah mesyuarat pertama diadakan di ibu gereja pada tahun 1942, mesyuarat kajian dan perbincangan “konsep Tuhan yang esa” diadakan untuk mengesahkan konsep ketuhanan gereja.

Seterusnya, kita ambil perkembangan gereja orang asli sebagai contoh. Selepas Perang Pasifik, pegawai dan tentera Jepun menganiaya rakyat Taiwan lebih kerap dan dengan pelbagai cara. Kebaktian rahsia pada waktu malam di kawasan pegunungan khususnya menjadikan lebih sukar. Selama tempoh penganiayaan ini, para pendeta Chen Shenggong, John Yang, Chen Fusheng dan lain-lain masih menyelinap ke kawasan pegunungan Hualien County untuk bekerja, dan mereka juga berkumpul di dalam hutan pada waktu malam untuk mengadakan kebaktian dan memberikan baptisan. Selepas pemulihan Taiwan, gereja memperoleh kebebasan beragama. Sejak itu, seiman di kawasan pegunungan tidak lagi perlu bergerak secara rahsia tetapi bersikap terang-terangan dan mendirikan gereja secara terbuka. Pada tahun 1946, Ruan Qianshan, pemercaya gereja Xihu, yang direkrut oleh tentera Jepun untuk berkhidmat di Meihe pada masa itu, memberitakan Injil kepada Looh dan pemercaya-pemercaya Gereja “Jehovah” daripada etnik Amis di kawasan tanah rata Meihe Village, Taitung County. Dia juga membaptiskan mereka dan membantu doa untuk mendapatkan Roh Kudus. Setelah itu, mereka memberitakan Injil secara peribadi ke Xingang (Chenggong Township) dan mengutus 6 orang wakil ke gereja Taichung untuk membuat kajian. Cawangan tersebut mengutus Wang Wan (Yongsheng) untuk pergi bersama mereka. Mereka memberitakan Injil dan memberikan baptisan di pelbagai tempat di Taitung County. Walau bagaimanapun, orang-orang kampung dan polis yang belum percaya menganiaya pemercaya-pemercaya di kawasan pegunungan kerana mereka tidak memahami gereja benar. Selepas itu, Wang Yu (Chunyu), Zhu Jinmu (Jianxin), Cai Shengmin, dan yang lain pergi ke sana satu demi satu untuk menggembalakan jemaat dan memberitakan Injil. Penganiayaan yang lebih besar terjadi ke atas mereka kerana mereka mengajar pemercaya gereja benar untuk membezakan diri daripada dunia sekular sebagai yang kudus, melarang pemercaya mengambil bahagian dalam tarian festival menuai di kawasan pegunungan, menghapuskan takhayul dan isu-isu lain. Namun, pemercaya berpegang pada firman, bertahan dalam penganiayaan, bersungguh-sungguh memberitakan Injil dan menunjukkan perbuatan baik. Akhirnya, batu pun empuk, jangankan hati manusia. Mereka dapat mempengaruhi sebilangan besar rakan-rakan di kawasan pegunungan untuk menerima kebenaran, meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.

Pada awal pemulihan, pemercaya wanita, Lappin dari gereja Shanli, Hualien County pergi ke Nan’ao, Yilan County untuk memberikan kesaksian kepada saudara-maranya. Dia kemudian membawa Murata dan John Yang ke sana untuk memberitakan Injil. Namun dia dipukul oleh rakan-rakan di kawasan pegunungan dan diusir. Walau bagaimanapun, para pemercaya dengan tekun bertahan dan terus menyebarkan firman secara rahsia. Kesannya, pemercaya wanita, Ongai Maray dipukul oleh polis sehingga mati syahid. Kemudian, penduduk di kawasan pegunungan meneruskan penganiayaan dengan memaksa lebih daripada 30 orang pemercaya melepaskan semua rumah, ladang dan perabot mereka serta melarikan diri dari kampung itu sehelai sepinggang. Mereka pun berpindah ke Fushi Vllage di Hualien County dan hidup dalam pengasingan. Setelah dipujuk berulang kali oleh pemerintah, para pendeta gereja benar tetap tidak dibenarkan masuk ke sana. Pada tahun 1948, Zeker Zhang dan Guo Dingshun (Shunming) hanya dapat mengunjuni kawasan tersebut dengan cara membuat lawatan.

Pada bulan April 1948, gereja mengadakan kursus persediaan teologi yang pertama selama tiga bulan di Taichung untuk memupuk bakat pendeta di kawasan pegunungan dan menerima 9 orang pembantu pendeta di kawasan pegunungan. Mereka kemudiannya diutus ke Taitung, Hualien, Yilan, dan kawasan-kawasan pegunungan yang lain untuk terlibat dalam kerja-kerja penggembalaan dan meneroka kawasan baharu. Sementara itu, Passan Haron dan Passan Arii yang diutus oleh gereja Shanli bertemu dengan seorang wanita daripada etnik Atayal di Nanshi Village, Heping Township, Taichung County dalam perjalanan mereka pada satu hari. Mereka mendapat tahu bahawa adik perempuannya, Poueh, menderita penyakit aneh. Poueh telah terlantar selama 3 bulan, menderita kemurungan dan kesakitan, dan tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka segera pergi ke hospital untuk memberikan kesaksian firman kepadanya. Poueh dan suaminya, Uke Shuro bersedia untuk mempercayai Tuhan yang benar. Mereka meninggalkan rawatan perubatan, meninggalkan hospital, dan memohon kasih karunia Tuhan. Sebulan kemudian, Poueh sembuh daripada penyakitnya dan kembali ke kampung halamannya di Liangsa, Bo’ai Village untuk menyaksikan anugerah keselamatan Tuhan kepada rakan-rakan dan saudara-maranya. Setelah penduduk kampung kembali kepada Tuhan satu demi satu, Cawangan Provinsi Taiwan mengutus Wang Chunyu dan yang lain ke sana pada tahun 1949 untuk memberitakan Injil di kampung-kampung yang berdekatan dan dengan itu mendirikan gereja Bo’ai.

 

  1. Zaman Gereja Yesus Benar Provinsi Taiwan (Tahun 1950 – Mei 1956)

Pada tahun 1949, kerajaan Kuomintang undur ke Taiwan kerana kekalahan berturut-turut dalam perang saudara dengan Parti Komunis di Tanah Besar. Mengingat kenyataan bahawa Parti Komunis China mempunyai kepercayaan ateis dan bahawa pemimpin Ibu Gereja Tanah Besar iaitu Wei telah bobrok dan menyimpang, sukar untuk memuliakan Tuhan dan memberikan manfaat kepada manusia, dan takut bahawa gereja-gereja di pelbagai tempat akan terputus hubungan seperti domba tanpa gembala dan terpisah, maka penguasa gereja Taiwan berkomitmen untuk mewujudkan sistem warisan di Taiwan. Pada bulan Jun 1950, Perang Korea meletus dan United States Seventh Fleet mula membantu dalam mempertahankan Selat Taiwan. Pada bulan September, Mesyuarat Agung Kali ke-27 mengubah cawangan Taiwan menjadi organisasi tempatan yang disebut “Gereja Yesus Benar Provinsi Taiwan”. Dengan kata lain, Cawangan Provinsi Taiwan berpisah daripada ibu gereja dan menjadi bebas setelah kejatuhan Tanah Besar. Pada tahun 1954, sebagai tambahan kepada tiga kumpulan jabatan penguasa (yang menguruskan hal pentadbiran gereja), jabatan hal ehwal (yang menguruskan hal ehwal umum), dan jabatan kewangan, dua jabatan lain iaitu jabatan akademik (terutamanya menguruskan kelas teologi) dan jabatan majalah (terutamanya menguruskan majalah Roh Kudus) ditambah untuk memperkukuhkan organisasi, iaitu terdapat 5 jabatan secara keseluruhannya.

Dari segi perkembangan gereja di kawasan tanah rata seperti gereja Hualien Port, kemajuan kerja orang-orang Han di kawasan tanah rata adalah lebih lambat. Gereja yang menyatukan pemercaya di kawasan tanah rata dan kawasan pegunungan hanya ada pada tahun 1950. Walau bagaimanapun, halangan lain pula menyusul. Di samping itu, Huang Zai’en, pemercaya gereja Xianxi Township berpindah ke Zhiben Village. Pada tahun 1954, dia menyaksikan firman kebenaran kepada rakan-rakan Gereja Presbyterian, dan dia dapat mendirikan sebuah gereja di kawasan tanah rata di Huayuan Village.

Perkembangan gereja di kawasan pegunungan pula terbahagi kepada 3 wilayah iaitu timur, barat dan utara. Penjelasan ringkasnya adalah seperti berikut:

  • Timur: Pada tahun 1950, pemercaya di FushiVillage, Hualien County berbincang dengan ahli jawatankuasa penduduk desa dan secara kolektif berpindah ke Jiadongjiao. Pada tahun 1951, pendeta daripada etnik Amis di Taitung County, seperti Agai (nama kudus: Zhongpu) dan lain-lain berpindah ke Yongfeng Village, Hualien County untuk memberitakan Injil kepada rakan-rakan satu etnik. Bangunan gereja yang paling besar di seluruh provinsi didirikan di Chenggong Township, Taitung County pada tahun 1953. Bangunan ini menjadi pusat kerja bagi Taitung County dalam kerja memberitakan Injil ke utara- Ringkasnya, sehingga tahun 1956, 10 buah gereja telah didirikan di Hualien County dan 25 buah gereja didirikan di Taitung County. Jumlah pemercaya setiap suku dan etnik adalah melebihi jumlah orang yang tidak percaya. 5 buah gereja juga didirikan di Yilan County, dan kerja rohani secara beransur-ansur berkembang di seluruh daerah.
  • Barat: Injil di Nantou County diberitakan oleh Paidan Watan, seorang pemercayadari gereja Shanli, Hualien County. Dia mula-mula masuk ke dalam gunung dan berdoa selama 10 bulan sehingga dia menerima Roh Kudus. Kemudian, dia menyeberangi Gunung Hehuan dan memberitakan Injil di kampung-kampung di Ren’ai Township pada tahun 1950. Dia mendapati bahawa Shkang, pemercaya dari gereja Tongmen, telah masuk ke Chunyang Village. Dia pun mendorong iman kepercayaan Shkang dan membawanya ke pelbagai tempat sebagai rakan sekerja. Tidak lama kemudian, gereja-gereja Chunyang, Hezuo, Lushan dan lain-lain didirikan. Pada tahun 1953, pendeta dari kawasan pegunungan Nan’ao, Widan (nama kudus: Zhongcheng) dan yang lain menyeberangi Central Mountain Range untuk memberitakan Injil. Pada tahun 1954, dua buah bangunan gereja akhirnya dibina di sini walaupun menghadapi rintangan daripada penduduk kampung. Pada tahun 1954, setelah menghadiri Persidangan Perwakilan Pemercaya, Paidan Watan pergi ke Jiumei Village, Xinyi Township untuk memberitakan Injil. Ada seorang pemuda daripada suku kaum Bunun, Tiyang yang menerima firman Pada tahun 1956, sebuah bangunan gereja telah didirikan di Wangmei Village, Nantou County.

Di Chiayi County, ada orang-orang muda seperti Adai daripada etnik Tsou di Leye Village, Alishan (Wufeng Township) yang menerima Injil kerana diperkenalkan oleh Lin Tianshu, seorang pemercaya dari gereja Tainan. Mereka menerima baptisan di gereja Chiayi pada tahun 1951 dan kemudian menderita penganiayaan daripada etnik mereka sendiri. Pada tahun 1953, para pendeta mula memberitakan Injil di kawasan pegunungan. Kemudian, dua buah bangunan gereja didirikan dan berkembang secara beransur-ansur di pelbagai tempat di Alishan. Di Taichung County pula, pemercaya-pemercaya dari gereja Bo’ai pergi ke Xinsheng Village untuk memberikan kesaksian firman kepada rakan-rakan daripada suku yang sama pada tahun 1950. Hasilnya, lebih daripada 20 orang pemercaya berjaya diperoleh. Namun, pemercaya kemudiannya hilang kerana penganiayaan oleh penduduk kampung dan polis. Pada musim sejuk 1954, sisa pemercaya daripada etnik Atayal di Xinsheng Village, Taichung County yang dipimpin oleh pemercaya gereja Bo’ai, dikasihi oleh Tuhan sehingga mereka kembali giat dan merancang untuk membina bangunan gereja. Pada tahun 1956, 4 buah gereja telah didirikan di Taichung County.

  • Utara: Dua bulan setelah Persidangan Perwakilan Pemercaya pada tahun1955 di Hsinchu County, dua orang, iaitu Widan, pendeta di kawasan pegunungan Nan’ao, dan Passan Arii, pengajar di gereja Shanli, masuk ke Jianshi Township untuk memberitakan Injil tetapi tidak ada yang menerima Jadi, mereka merancang untuk bermalam di tepi sungai. Namun hujan turun dan mereka terpaksa kembali ke Jiale Village untuk bermalam. Setelah mendengar kesaksian, Hoda pergi ke bandar Hsinchu untuk mengkaji kebenaran gereja benar dan menjadi percaya. Dia juga menginjil secara peribadi di Wufeng Township. Tidak lama kemudian, Iban dan yang lain dari Heping District, Zhulin Village menerima firman kebenaran. Dua buah gereja telah didirikan sehingga kini dan kebanyakan pemercaya adalah daripada Gereja Presbyterian.

Bagi Miaoli County pula, ketika Chen Ashun, pendeta dari kawasan pegunungan Bo’ai pergi bekerja di kawasan pegunungan Hsinchu County pada bulan April 1955, dia melewati tempat tinggal rakan-rakan daripada etnik Atayal dan Saisiat lalu menyebarkan Injil kepada mereka. Wattan, seorang pemuda dari Fengmei Village, Nanzhuang Township terlebih dahulu menerima anugerah keselamatan. Dia langsung bekerja bersama dengan pendeta untuk menyaksikan firman kepada rakan-rakan daripada etnik yang sama, dan berkembang secara beransur-ansur. Kini, mereka mempunyai lebih daripada 40 orang pemercaya dan sebuah bangunan gereja telah dibina.

Secara umumnya, pemercaya orang asli adalah baik dan murni. Namun setelah memeluk ke dalam gereja benar, banyak yang berbuat dosa kerana mabuk, dan “minuman keras boleh menyebabkan seks rambang” adalah membawa maut.

Orang-orang muda di dalam Tuhan merupakan tonggak dan askar masa depan gereja. Namun mereka penuh dengan cita-cita dan daya hidup dalam pekerjaan mereka. Mereka juga mudah tergoda sehingga terjatuh dan tidak dapat berpatah balik. Oleh itu, orang muda harus sedar tentang amanat mereka dan sering mengambil bahagian dalam aktiviti gereja untuk menjaga iman kepercayaan mereka. Untuk menebus ketidakseimbangan pelajar muda yang sibuk dengan kerja rumah sehingga mempengaruhi kepercayaan mereka, Mesyuarat Agung Lembaga Penyelia ke-7 Sesi ke-2 memutuskan untuk mengadakan Kebaktian Kebangunan Rohani Belia musim panas yang pertama pada bulan Ogos 1950. Aktiviti ini mengajar orang-orang muda untuk takut akan Tuhan (Pkh 12:1,13), memahami Alkitab (2 Tim 3:15), mencegah daripada meninggalkan firman kebenaran, di samping mengejar kesempurnaan dan menyebarkan Injil untuk mencapai tujuan perkembangan gereja. Sesi pertama diadakan pada 7-17 Ogos 1950. Peserta lelaki dan perempuan dipisahkan dengan peserta lelaki ditempatkan di Chiayi manakala peserta perempuan ditempatkan di Minxiong. Jumlah peserta ialah 65 lelaki dan 45 perempuan. Subjek-subjek yang diajarkan termasuk: Sains dan agama, Kitab Ayub, Belia dan Iman Kepercayaan, Biografi Perempuan yang Benar dalam Alkitab, Mengenali Gereja Benar yang Satu-satunya Diselamatkan, Merindukan Kerja Suci, Pengenalan Alkitab, Mengenali Tuhan yang Benar, Lima Doktrin, Sejarah Gereja, dan sebagainya. Masa petang ialah masa untuk orang muda menyampaikan khutbah supaya mereka dapat masing-masing menyatakan pengalaman pembacaan Alkitab, membincangkan pengalaman iman kepercayaan, atau menyampaikan khutbah berdasarkan Alkitab. Selepas Kebaktian Kebangunan Rohani Belia yang pertama pada tahun 1950, orang muda dari pelbagai tempat memimpin kebaktian kanak-kanak secara proaktif. Pada tahun berikutnya, seminar guru-guru kebaktian kanak-kanak yang pertama diadakan di gereja Chiayi. Seminar kali yang ketiga juga diadakan di Chiayi, sementara seminar yang kedua, keempat, dan kelima diadakan di Taichung. Tidak lama kemudian, bahan-bahan pengajaran seperti buku teks untuk guru-guru kelas pendidikan agama, kidung kanak-kanak, buku nyanyian dan permainan, dan lain-lain telah disusun oleh gereja dan boleh dikatakan bahawa semuanya telah berada di atas landasan. Pada bulan April 1956, seminar guru-guru kebaktian kanak-kanak di kawasan pegunungan diadakan di Taichung dan dilangsungkan selama satu bulan. Sebanyak 55 orang peserta lelaki dan perempuan mengambil bahagian dalam seminar tersebut. Selepas seminar itu, mereka kembali bekerja di pelbagai gereja tempatan. Sejak itu, gereja-gereja di kawasan pegunungan telah mengadakan kebaktian kanak-kanak untuk memperkuat iman kepercayaan generasi yang seterusnya.

Kursus persediaan teologi yang kedua di kawasan pegunungan yang disebut Seminar Alkitab ditunda hingga Mac 1953 dan diadakan di Taichung selama 2 bulan. Kursus kali ketiga diadakan pada bulan Disember 1954; yang keempat diadakan pada bulan Jun 1955; dan yang kelima diadakan pada bulan Februari 1956. Semuanya diadakan di Taichung selama satu bulan. Selain itu, demi memupuk pemimpin di kawasan pegunungan, seminar bantuan kerja-kerja di kawasan pegunungan telah diadakan di Lunwei, Chenggong, Tongmen, Minxiong, Fushi, Meihe, Meishan, Taichung, Sanxian dan tempat-tempat lain; masing-masing diadakan selama 1 bulan dan diadakan sebanyak 12 kali. Gereja di kawasan tanah rata juga ada seminar yang serupa, yang disebut seminar pemimpin gereja. Seminar kali pertama diadakan pada bulan Disember 1951; yang kedua diadakan pada bulan September 1953; dan yang ketiga diadakan pada bulan Disember 1955; semuanya diadakan di Taichung, masing-masing selama 3 minggu. Di samping itu, sejak Januari 1952, mesyuarat pendeta telah diatur secara rasmi dan diadakan setiap tiga bulan untuk berkomunikasi dan meninjau kerja selain untuk meningkatkan hikmat rohani, kekuatan rohani, kebajikan rohani dan kajian kebenaran. Kursus teologi yang pertama telah diadakan sejak September 1954.

Terdapat dua jenis pendeta pada masa itu:

  • Sepenuh Masa: Di kawasan tanah rata ada 22 orang yang termasuk Cai Shengmin, Chen Shenggong, Shen Yimin, Jian Yizhen, Lin Xiansheng, JohnYang, Cai Yonghui, Wang Yongsheng, Lin Fengsheng, Cai Mufu, Huang Weizhen, Li Lingshi, Lin Wuzhen, Liang Jingsong, Xie Dongbi, Zhu Huarong, Wu Qinan, Chen Yiqing, Gao Mugen, Guo Minyong, Chen Zhi, Lin Mingwu. Di kawasan pegunungan ada 5orang yang termasuk Zheng Zhongpu (Agai), Xu Zhongshun, Luo Yaozhen, Sun Shengpu, dan Lin Zhongzhen.
  • Pembantu: Di kawasan tanah rata ada 2 orang iaitu Guo Chongsheng dan MariaYang. Di kawasan pegunungan ada10 orang yang termasuk Hong Zhongzheng (Widan), Fang Musong (Widan), Jiang Xiulang, Wu Zhongzhi, Wang Mingyi, Tang Fuyi, Wang Xiancai, Chen Ashun, Zhang Chuntian, dan yang lain.

Di samping itu, menunjukkan kasih seiman satu tubuh dengan semangat “hanyut dipintasi, lulus diselami, hilang dicari” adalah baik (2 Kor 9:9,11). Pada masa lalu, gereja benar hanya melancarkan bantuan sementara oleh gereja-gereja tempatan. Sebagai contoh, taufan melanda Lanyang sebanyak dua kali pada bulan Julai dan September 1942 sehingga menyebabkan kerosakan besar pada rumah-rumah pemercaya. Gereja di pelbagai tempat masing-masing menyumbangkan bantuan 250 Yuan kepada mereka. Pada bulan Mac 1948, “Cawangan Bantuan Provinsi Taiwan” ditubuhkan untuk mengruskan kerja bantuan gereja secara keseluruhan. Dalam Persidangan Perwakilan Pemercaya ke-29 pada bulan Januari 1952, perlembagaan organisasi gereja telah diubah dan dinamakan semula sebagai “Jawatankuasa Bantuan” Gereja Provinsi Taiwan. 11 orang ahli jawatankuasa telah dipilih dengan Guo Shunming dan Lin Congdao sebagai ketua dan timbalan ketua jawatankuasa. Jumlah perbelanjaan dalam masa 5 tahun hingga tahun 1956 adalah sebanyak 416,025.52 Yuan. Projek-projek utama ialah membantu pembinaan bangunan gereja, bantuan banjir dan kebakaran, bantuan musim sejuk, sumbangan bantuan kepada mangsa bencana di Tanah Besar, bantuan sakit, dan bantuan musim kemarau. Oleh sebab ekonomi seiman di kawasan pegunungan kurang baik, sumbangan bantuan khas diberikan bagi aspek kebersihan dan kesihatan di samping memberikan subsidi untuk pembelian organ, Alkitab dan Kidung Rohani. Dari tahun 1952 hingga 1953, bengkel menjahit diadakan di Taitung County dan Hualien County untuk memperbaiki amalan hidup pemercaya. Pada tahun 1953, dalam kalangan rakan-rakan di kawasan pegunungan di Jiadong Village, Nan’ao Township, Yilan County, seorang gadis kecil cuai ketika memasak lalu menyebabkan kebakaran di seluruh kampung. Hanya bangunan gereja yang terselamat daripada kebakaran itu. Setelah menerima sumbangan daripada seiman seluruh provinsi dan dorongan pemerintah, kampung itu pulih secara beransur-ansur dan menjadi kampung teladan lalu memuliakan nama Tuhan.

Menurut statistik pada akhir tahun 1955, terdapat 30 buah gereja di kawasan tanah rata dan 61 buah gereja di kawasan pegunungan, dengan jumlah keseluruhan 91 buah gereja. Statistik bilangan pemercaya: 6,852 orang di kawasan tanah rata dan 8,216 orang di kawasan pegunungan, semuanya berjumlah 15,062 orang. Jika ditambahkan dengan bilangan orang yang baru dibaptiskan pada tahun 1956, jumlahnya adalah sekitar 16,000 orang. Gereja benar mempunyai 10 orang penatua, 48 orang diaken dan 25 orang diakenis, semuanya berjumlah 83 orang. Mereka mengadakan mesyuarat sebelum Persidangan Perwakilan setiap tahun untuk mengkaji Alkitab, menjelaskan doktrin, dan melaporkan atau meninjau kerja penggembalaan gereja-gereja di pelbagai tempat.

 

  1. Dua puluh tahun pertama penubuhan Ibu Gereja Taiwan di Gongyuan Road (Mei 1956 – Tahun 1976)

Dalam tempoh ini, Taiwan menghadapi Pertempuran Jinmen (1958), dan tentera AS membantu untuk mengalahkan Parti Komunis China. Sejak itu, krisis di Selat Taiwan telah diselesaikan dan mereka menikmati kestabilan politik jangka panjang. Taiwan juga menjadi teladan bagi negara-negara membangun kerana pencapaiannya dalam mempromosikan reformasi tanah. Pada tahun 1960, Taiwan mendorong orang asing melabur di Taiwan. Setelah penangguhan bantuan dari Amerika Syarikat pada tahun 1965, struktur ekonomi secara beransur-ansur berubah daripada pertanian kepada industri kerana tarikan pelaburan asing dari Amerika Syarikat dan Jepun serta kemajuan teknologi industri seperti kapas dan tekstil. Pendidikan kebangsaan selama sembilan tahun yang dilaksanakan pada tahun 1968 meningkatkan lagi tahap pengetahuan masyarakat.

Kemajuan yang besar juga telah dicapai dalam perkembangan gereja. Kemajuan yang pertama ialah kemerdekaan Cawangan Provinsi Taiwan yang berpisah daripada Ibu Gereja Nanjing yang asal dan menggantikannya. Pada bulan Mei 1956, persidangan kali ke-34 diadakan untuk tujuan mencari kesatuan dalam aktiviti penginjilan dan gereja. Hasilnya, “Ibu Gereja Taiwan Gereja Yesus Benar” ditubuhkan dengan organisasi “Gereja Yesus Benar Provinsi Taiwan” untuk menggantikan ibu gereja asal yang didirikan di Nanjing. Ibu Gereja Taiwan menjadi pusat perhubungan bagi gereja pelbagai negara dan tempat. Selain itu, 36 peraturan telah dirumuskan, dan 5 orang ahli jawatankuasa eksekutif bertanggungjawab ke atas jabatan masing-masing. Ibu Gereja Taiwan ditubuhkan dengan kebenaran pemerintah pada tahun 1958.

Dalam tempoh ini, gereja didirikan berturut-turut di pelbagai tempat. Secara keseluruhannya, pada tahun 1976, Taiwan ada 178 buah gereja dengan lebih daripada 34,400 orang pemercaya. Berbanding 20 tahun yang lalu, bilangan gereja telah meningkat sebanyak 87 buah, iaitu peningkatan purata tahunan sekitar 4.5 buah gereja per tahun; manakala bilangan pemercaya pula telah meningkat sebanyak 18,400 orang, iaitu meningkat dua kali ganda, dengan peningkatan purata tahunan sekitar 920 orang. Dari segi gereja di kawasan tanah rata, ada 13 buah gereja di daerah utara (9 buah gereja baharu iaitu di Datong, Keelung, Dongyuan, Beitou, Danshui (Tamsui), Erzhong, Songshan, Banqiao dan Zhengbin); 5 buah gereja di daerah utara tengah (4 buah gereja baharu iaitu di Zhuolan, Zhongli, Taoyuan, dan Miaoli); 14 buah gereja di daerah tengah (gereja baharu di Wenzai, Changhua, Puli, Fengyuan, Yuanlin, dan khemah doa Dongshi); 16 buah gereja di daerah selatan tengah (6 buah gereja baharu iaitu di Tuku, Beigang, Beixing, Sigu, Dade, dan Dounan); 13 buah gereja di daerah selatan (9 gereja baharu iaitu di Wulong, Nanmen, Xinying, Laobei, Qianzhen (Cianjhen), Nanzi (Nanzih), Gangshan, Kaiyuan, dan Dongsheng). Gereja Wenzai dibentuk oleh pemercaya di Wenzai Village dari gereja Shengang pada tahun 1958. Gereja Changhua dipisahkan daripada gereja Taichung pada tahun 1959, terutamanya dibentuk oleh pemercaya yang berpindah dari pelbagai tempat di seluruh Changhua County. Gereja Zhuolan didirikan oleh Diaken Wu Yangdao yang berbangsa Cina Hakka. Setelah menjadi percaya di Yuli, Hualien County, dia kembali ke kampung halamannya untuk memberitakan Injil. Gereja Zhuolan merupakan gereja Hakka yang pertama. Injil kemudiannya diberitakan ke Miaoli dan mendirikan gereja di sana.

Bagi gereja di kawasan pegunungan, ada 37 buah gereja di Taitung County (17 buah gereja baharu); 20 buah gereja di Hualien County (4 buah gereja baharu); 12 buah gereja di Taoyuan County (hampir semua baharu); 6 buah gereja di Hsinchu County (4 buah gereja baharu); 4 buah gereja di Miaoli County (3 buah gereja baharu); 9 buah gereja di Taichung County (5 buah gereja baharu); 12 buah gereja di Nantou County (10 buah gereja baharu); 6 buah gereja di Chiayi County (rata-rata daripada etnik Tsou di Alishan; 3 buah gereja baharu). Selain itu, ada anak muda dari kawasan pegunungan Taoyuan County yang menjalani latihan ketenteraan di Kinmen pada tahun 1959. Dia dipimpin oleh Xu Jinfu dari gereja Cifeng, Nantou County untuk datang percaya kepada Tuhan. Setelah meninggalkan pasukan tentera pada tahun berikutnya, dia membawa pendeta di kawasan pegunungan, Gao Liancai ke kampung-kampung di Fuxing (Fu-Hsing) Township untuk memberitakan Injil. 17 orang pemercaya Gereja Presbyterian Sbunaw datang percaya. Pada tahun 1961, Wei Dafa menyebarkan firman kebenaran kepada pemercaya gereja lain daripada etnik Paiwan di Zhukeng Village, Shizi Township, Pingtung County. Kemudian, Injil tersebar ke Gulou Village (1963) dan kampung-kampung lain. Gereja Fushan, Wulai Township didirikan di Taipei County pada tahun 1969. Gereja Minsheng didirikan di Kaohsiung County pada tahun 1976.

Tuhan Yesus berpesan: “Pergilah ke seluruh dunia, beritakanlah Injil kepada segala makhluk” (Mrk 16:15) dan “Gembalakanlah domba-domba-Ku.” (Yoh 21:16). Untuk mematuhi pesanan-pesanan ini, dari segi pemupukan kerohanian, gereja ada kebaktian kajian Alkitab setiap malam dan ibadah hari Sabat. Dari segi penginjilan, ada banyak kebaktian penginjilan di kampung-kampung dan kota-kota. Di samping itu, ada juga Kebaktian Kebangunan Rohani berkala yang diadakan sekali pada musim bunga dan sekali pada musim gugur setiap tahun, masing-masing selama 3 hari untuk memajukan iman kepercayaan seiman. Pada masa itu, ramai seiman dari jauh dan dekat giat menghadiri kebaktian. Mereka beribadah dan tekun berdoa dari awal pagi hingga waktu malam, dan keadaannya sangat meriah. Puasa diumumkan pada waktu tengah hari untuk berdoa dengan satu hati agar iman kepercayaan individu dan seluruh gereja dibangunkan. Pada waktu malam, kebaktian penginjilan diadakan khas untuk orang-orang yang belum percaya. Undangan lisan dilakukan dengan disertai brosur dan risalah. Jika perlu, mereka memberitakan Injil sebelum Kebaktian Kebangunan Rohani dengan memasuki tempat tinggal pelbagai suku atau kawasan kota dan menyebarkan Injil secara meluas. Kebaktian petang pada hari ketiga adalah untuk Sakramen Perjamuan Kudus. Seluruh jemaat mematuhi perintah Tuhan dan melaksanakan upacara ini dengan khusyuk. Mereka bersyukur atas kasih Tuhan Yesus yang menyelamatkan dan menebus umat manusia.

Pada 2-9 Ogos 1954, Kebaktian Kebangunan Rohani Belia yang ke-2 diadakan di Taichung. Seramai 179 orang (108 lelaki dan 71 perempuan) menyertai acara ini dengan 29 orang menerima Roh Kudus. Dalam kelas pagi, subjek-subjek yang diajar merangkumi Pelajaran Penting Penyempurnaan Rohani, Konsep Tuhan yang Esa, Ringkasan Kebenaran Alkitab, Biografi Paulus dan lain-lain lagi. Ada seminar kajian kebenaran pada sebelah petang dan ada kebaktian khas bagi orang muda menyaksikan firman pada waktu malam. Kebaktian Kebangunan Rohani Belia yang ke-3 diadakan di Taichung pada 1-7 Ogos 1955 dengan 191 orang peserta (113 lelaki dan 78 perempuan) dan 34 orang menerima Roh Kudus dalam acara ini. Subjek-subjek yang diajar merangkumi Kitab 1 Petrus, Inti Penyempurnaan Rohani, Sejarah Kuno Dalam Alkitab, Mazmur-mazmur Dalam Alkitab, Perbandingan Agama, dan lain-lain lagi. Kebaktian Kebangunan Rohani Belia yang ke-4 diadakan di Taichung pada 8-14 Ogos 1956. Nama Kebaktian Kebangunan Rohani Belia diubah kepada “Kebaktian Kebangunan Rohani Murid-murid” untuk memenuhi keperluan praktikal. Hanya pelajar muda sekolah menengah dan ke atas yang diterima sebagai peserta. Bilangan peserta: 77 lelaki dan 71 perempuan. 3 orang menerima baptisan air dan 6 orang menerima baptisan Roh Kudus dalam Kebaktian Kebangunan Rohani ini. Subjek-subjek yang diajar merangkumi Biografi Raja-raja, Kajian Perbandingan Agama, Ajaran Dalam Kitab Amsal, Firman Hidup, Inti Penyempurnaan Rohani, dan lain-lain lagi.

Dari segi kesusasteraan, dalam tempoh ini, sebanyak 44 buku jilid tunggal, puluhan jenis risalah penginjilan dan buku kecil Injil, 26 jenis buku teks pendidikan agama, 17 siri buku, dan lebih daripada 10 kidung pujian diterbitkan. Tiga jenis majalah juga diterbitkan. Selain majalah “Roh Kudus”, ada juga “Buletin Pendidikan Kanak-kanak” yang dimulakan di Chiayi pada tahun 1960. Buletin ini dinamakan semula sebagai “Pendidikan Agama” pada tahun 1962. Semuanya diterbitkan secara bukan berkala. Pada tahun 1967, terbitan berkala dimulakan semasa edisi ke-32 dengan terbitan suku tahunan. Pada tahun 1965, “Buletin Kebaktian Belia Taipei” dilancarkan, dijadikan terbitan twibulanan pada bulan Februari 1969 dan sebanyak 57 edisi dikeluarkan. Pada tahun 1972, buletin ini dinamakan semula sebagai “Perkumpulan Belia” dan dijadikan terbitan dwibulanan. Pada tahun 1960, “Buletin Pendidikan Kanak-kanak” dilancarkan di Chiayi, dengan total 7 edisi. Setelah penyusunan semula pendidikan agama pada tahun 1962, buletin ini dinamakan semula sebagai “Pendidikan Agama”. Edisi pertama dikeluarkan secara tidak berkala sehingga edisi ke-32 yang dijadikan terbitan suku tahunan pada tahun 1967, dan berubah menjadi terbitan dwibulanan pada bulan Februari 1969.

Pemupukan bakat merangkumi promosi pendidikan agama dan penubuhan maktab teologi. Dari segi Kebaktian Kebanguan Rohani Murid-murid, aktiviti ini diadakan setahun sekali, dibahagikan kepada kelas menengah rendah dan menengah atas, dan setiap kelas diadakan di beberapa daerah. Kursus Teologi Institut Pengajian Tinggi yang pertama diadakan pada tahun 1972. Pada tahun 1972, mereka memulakan biasiswa untuk pelajar menengah dan ke atas. Empat pusat pelajar didirikan di Dongshi, Puli, Nanzhuang, dan Daxi supaya pelajar dari kawasan pegunungan dapat bersekolah di kawasan tanah rata. Pada 8 September 1963, gereja benar menubuhkan Maktab Teologi Taiwan di Taichung. 8 orang pelajar mendaftar dalam sesi pertama. Mereka diberikan 3 tahun latihan dan 1 tahun praktikal. Pada tahun 1976, gereja mempunyai 69 orang pendeta sepenuh masa (43 orang di kawasan tanah rata, 26 orang di kawasan pegunungan), dan 53 orang pendeta pembantu (45 orang di kawasan tanah rata, 8 orang di kawasan pegunungan). “Seminar Alkitab untuk Pemimpin Gereja” di kawasan tanah rata dan kawasan pegunungan sering diadakan untuk membantu para pendeta dalam kerja penyebaran firman dan penggembalaan mereka. “Seminar Guru-guru” dan “Mesyuarat Tahunan Guru-guru” sering diadakan bagi petugas pendidikan agama. Pada tahun 1964, Ibu Gereja Taiwan mengadakan Seminar Guru-guru Kebaktian Belia untuk julung kalinya. Pada tahun 1969, Seminar Guru-guru Kebaktian Belia sekali lagi diadakan.

Selain itu, ada juga kerja kebajikan seperti penubuhan “Rumah Orang Tua Ren’ai” di Jiankang Road, Tainan pada tahun 1963. Alamat ini ditukarkan kepada gereja Nanmen pada tahun 1969. Rumah orang tua berpindah ke tempat baharu di Lunwei, Changhua County yang disiapkan pada tahun 1975.

Perlu diperhatikan bahawa: Walaupun Ibu Gereja Gabungan Sedunia (Ibu Gereja Antarabangsa) ditubuhkan pada tahun 1967, Taiwan tetap menjadi pusat perhubungan. Persidangan Perwakilan Antarabangsa pertama hingga ketiga diadakan di Ibu Gereja Taiwan, Taichung. Penatua John Yang dipilih sebagai Ketua Penguasa selama 18 tahun sehingga bersara pada tahun 1995. Selama bertahun-tahun, Taiwan telah mengutus ramai pendeta ke pelbagai negara untuk menyokong gereja, membantu dalam kerja suci, dan menyerlahkan semangat satu keluarga dalam Tuhan. Pada 16-19 Februari 1976, “Seminar Puan Pendeta” diadakan di gereja Dalin dengan kehadiran 33 orang peserta. Seminar ini kemudiannya diadakan lagi untuk beberapa kali.

 

  1. Separuh masa kedua Ibu Gereja Taiwan di Gongyuan Road (Tahun 1977 – 1992)

Dalam tempoh 15 tahun ini, industri elektronik berkembang pesat kerana penyelesaian 10 projek pembinaan mega (Ten Major Construction Projects) dan 12 projek pembinaan mega di Taiwan pada tahun 1980-an. Pada tahun 1984, nilai eksport perdagangan asing melonjak ke tempat ke-15 di dunia, dan ekonomi berkembang pesat sehingga Taiwan mempunyai gelaran “Harimau Asia” (Four Asian Tigers) pada masa itu. Pemerintah Taiwan memansuhkan darurat dan larangan parti, memperbaiki perlembagaan, dan membuka kunjungan keluarga pada tahun 1986. Seiring dengan itu, kehidupan material pemercaya telah bertambah baik. Keadaan pemercaya yang keritingkan rambut dan mempunyai gaya rambut “businessman cut haircut” perlu dipecat sebelum dan sesudah pemulihan tidak lagi kelihatan. Persembahan wang juga meningkat, dan kelengkapan perkakasan gereja telah ditambah. Malangnya, banyak bilik doa telah diganti dan tidak lagi kelihatan.

Dalam tempoh ini, jumlah gereja di pelbagai zon juga meningkat. Mengikut statistik pada tahun 1986, ada 212 buah gereja dan 29 buah khemah doa dengan 39,441 orang pemercaya, iaitu hampir 40,000 orang. Sebagai contoh, zon utara ada 30 buah gereja (gereja baharu di Shipai, Jingmei, Tucheng, Xinpu, Neihu, Shulin, Yingge, Zhonghe, dan lain-lain) dan sebuah khemah doa (Datan); zon tengah ada 22 buah gereja (gereja baharu di Taichung Selatan, Taichung Barat, Shalu, Nantou, Tanzi, Taiping, Nantou, Zhangxing) dan sebuah khemah doa (Huatan); zon selatan tengah ada 19 buah gereja (gereja baharu di Ximen, Wanqiao, Nanxing); zon selatan ada 19 buah gereja (gereja baharu di Dongsheng, Juguang, Xiaogang, Fengshan, Wujia, Chaozhou); zon timur ada 24 buah gereja (gereja baharu di Fengping dan Gaotai) dan 9 buah khemah doa (Jiawan, Fenglin, Shangwu, Fengquan, Tuban, Kajinlin, Shanmei, Wujie, Qingliu); zon barat ada 19 buah gereja (gereja baharu di Da’an dan Jinshui) dan 2 buah khemah doa (Kapu, Zhudong). Dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu, gereja telah bertambah sebanyak 29 buah, secara puratanya penambahan sekitar 3 buah gereja per tahun; jumlah pemercaya pula telah meningkat sebanyak 5,041 orang, secara puratanya penambahan sekitar 504 orang per tahun.

Bagi perkembangan baharu kerja-kerja suci gereja yang lain, ada penubuhan pejabat di setiap daerah bermula 1 Disember 1981. Pada tahun 1982, Ibu Gereja Taiwan mengubah Timbalan Penguasa menjadi Ketua Pelaksana untuk memenuhi keperluan perkembangan gereja. Pada bulan Mei 1984, gereja menyemak dan menggariskan peraturan, prosedur pengurusan, pelbagai panduan dan kaedah pelaksanaan. Persidangan organisasi yang paling penting ialah Persidangan Perwakilan Pemercaya (wakil dipilih oleh zon masing-masing; bersidang sekali setahun), Persidangan Ahli Jawatankuasa Ibu Gereja (21 orang; 7 daripadanya ialah ahli jawatankuasa eksekutif), Persidangan Penjabat Kudus (diadakan sekali setahun mengikut zon sebelum Persidangan Perwakilan Pemercaya), dan juga Persidangan Bersama Ahli Jawatankuasa Ibu Gereja dan Pendeta (diadakan sekali setiap enam bulan). Di samping itu, Persahabatan Belia juga ditubuhkan untuk mengadakan aktiviti-aktiviti seperti lawatan, permainan bola dan lain-lain secara berkala dengan tujuan untuk mempromosikan persahabatan dalam kalangan pelbagai negara.

Dari segi pemberitaan Injil melalui kesusasteraan, jabatan kesusasteraan Ibu Gereja Taiwan telah menubuhkan pejabat majalah, pejabat penerbitan (ditubuhkan pada tahun 1984), pejabat surat khabar, dan kumpulan audio-visual. Majalah bulanan “Roh Kudus” diberikan lesen pada tahun 1979, dan 9,000 naskhah diterbitkan per bulan. Selain itu, gereja juga menerbitkan “Pendidikan Agama” (4,500 naskah per bulan) dan “Perkumpulan Belia” (7,000 naskah per bulan). “Buletin Ibu Gereja Taiwan” juga diterbitkan dan setakat ini mempunyai kira-kira 5,000 naskah. “Koleksi Makanan Rohani” telah diterbitkan hingga edisi ke 20. Gereja juga menerbitkan 5 jenis buku untuk latihan guru-guru dan 2 jenis buku untuk pendidikan ibu bapa sebagai rujukan. Gereja turut menghasilkan pelbagai video mengenai sejarah penyebaran agama di Taiwan, pentahbisan Ibu Gereja, kidung pujian, khutbah, kesaksian, pengajaran, dan lain-lain lagi.

Dari segi pendidikan agama dan Kebaktian Kebangunan Rohani, pada tahun 1977, “Kursus Teologi Institut Pengajian Tinggi” diubah kepada “Kebaktian Kebangunan Rohani Pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi”, dan diadakan setiap tahun secara berkala semasa cuti musim sejuk selepas itu. Sejak tahun 2002, bilangan peserta semakin banyak, dan kemudian diadakan dengan terbahagi kepada dua kelas iaitu kelas pra pengajian di institut pengajian tinggi dan kelas pasca pengajian di institut pengajian tinggi. Pada tahun 1981, Ibu Gereja Taiwan melakukan pembaharuan dan menubuhkan Jabatan Pendidikan yang mempunyai tiga jawatankuasa iaitu kaunseling, bahan pengajaran dan muzik suci untuk merancang kerja-kerja. Ahli jawatankuaa kaunseling membentuk kumpulan kecil untuk kerja kaunseling di kawasan pegunungan. Unit pelaksana terbahagi kepada empat kumpulan iaitu pendidikan kanak-kanak, pendidikan remaja, pengajian tinggi dan muzik suci untuk membentuk dua bidang iaitu disiplin dan buku teks. Pada 1 Disember tahun yang sama, kumpulan pendidikan di pejabat zon masing-masing ditubuhkan untuk tanggungjawab di pelbagai peringkat. Memandangkan terdapat kekangan bagi para pemuda atau rakan-rakan yang sudah berkahwin untuk mengambil bahagian dalam seminar guru-guru yang berlangsung selama 7-8 hari, Jabatan Pendidikan Ibu Gereja Taiwan telah cuba untuk mengadakan seminar guru-guru secara “berperingkat” di zon barat sejak Mei 1981. Mereka menggunakan beberapa hujung minggu dan hari cuti untuk melatih lebih daripada 200 orang guru. Dengan hasil yang baik, kaedah ini telah digunakan untuk memenuhi keperluan pelbagai zon sejak itu. Kursus penyegaran guru-guru kumpulan pendidikan remaja telah diadakan pada tahun 1989 untuk melatih lebih banyak guru pendidikan agama. Pada tahun 1987, “Bo’ai Nursery” didirikan di Chenggong Township, Taitung.

 

  1. Zaman Ibu Gereja Taiwan di Songzhu Road (Tahun 1992 – 2003)

Dalam tempoh ini, pemerintah Taiwan melakukan pemilihan presiden secara langsung, penggiliran parti, dan bahkan mengusulkan perlembagaan baharu. Negara seolah-olah bergerak lebih jauh ke arah demokrasi. Namun, tidak kekal bunga dikarang. Pada abad ke-21, ekonomi Taiwan dipengaruhi oleh kemelesetan global, persaingan pembaharuan dan pembukaan China, gempa bumi 21 September di Taiwan pada tahun 1999, Pusat Perdagangan Dunia New York dibom oleh pengganas Muslim pada 11 September 2002, peperangan Amerika Syarikat melawan Iraq pada tahun 2003, penyebaran wabak SARS di banyak bahagian di dunia dan peristiwa-peristiwa lain. Semua ini menyebabkan ekonomi di Taiwan mula menurun. Tambahan pula, rampasan kuasa yang tidak rasional dalam politik dan kebanjiran keinginan nafsu serta keganasan dalam masyarakat amat mengecewakan. Taiwan dapat terselamat daripada keadaan ini, dan kebanyakan pemercaya dapat hidup dalam kedamaian. Tetapi fenomena kekacauan ini menunjukkan bahawa hari kedatangan Tuhan sudah semakin dekat.

Perkara yang menggembirakan ialah, Ibu Gereja Taiwan dan Maktab Teologi Taiwan yang berpindah dari Gongyuan Road ke Songzhu Road pada tahun 1992 mengadakan upacara pentahbisan bangunan baharu pada 2 Ogos tahun berikutnya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bangunan kedua telah dibina untuk memajukan kerja suci. Seminar guru-guru kumpulan pendidikan remaja diadakan semula pada bulan Februari 1995. Maktab Teologi Ibu Gereja Taiwan telah melatih lebih daripada 170 orang pendeta dalam tempoh 40 tahun ini. Di samping itu, gereja juga mengadakan Kursus Teologi Jangka Pendek yang terbahagi kepada kelas institut pengajian tinggi, kelas masyarakat dan kelas warga emas (bahasa Taiwan dan Jepun), serta Kursus Teologi Lanjutan. Pada tahun 2000, gereja memutuskan untuk membuka pusat kajian teologi. Institut ini merekrut 6 orang pelajar untuk sesi pertama pada musim bunga tahun berikutnya dengan 3 daripadanya ialah pendeta gereja benar. Institut ini berharap dapat mengembangkan lebih banyak bakat pengkaji dan guru yang cemerlang. Dari segi usaha kesejahteraan sosial, rumah orang tua “Ji Du Ren Ai Zhi Jia” di Puli Township disiapkan pada bulan September 1996. Kemudian, rumah ini mendapat bantuan kerajaan dan dibuka kepada orang luar. Namun, sumber pembiayaan rumah ini bergantung sepenuhnya pada sumbangan daripada gereja-gereja tempatan, sumbangan khas peribadi, dan keuntungan daripada dana. Walau bagaimanapun, gereja-gereja tempatan masih menunjukkan keprihatinan sosial yang terbatas terhadap dunia luar kerana kerja dan pembiayaan mereka sendiri.

Secara keseluruhannya, penyebaran Injil merupakan tugas terpenting gereja. Selain bekerja keras untuk melakukan kerja multi-aspek yang ditetapkan pada masa lalu, Ibu Gereja Taiwan dan gereja-gereja tempatan juga menggunakan media baharu seperti stesen radio, televisyen, komputer, dan Internet sebagai alat penyebaran Injil dan komunikasi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gereja secara aktif mempromosikan “penyebaran agama melalui perubatan” domestik dan antarabangsa lalu meneroka Kinmen, Lanyu (Orchid Island), Ludao (Green Island) dan Mailiao.

Menurut statistik pada akhir tahun 1995, Taiwan ada 223 buah gereja, 40 buah khemah doa, dan 46,384 orang pemercaya. Berbanding dengan 10 tahun yang lalu, bilangan gereja telah meningkat sebanyak 14 buah, secara puratanya bertambah hampir 1.5 buah gereja per tahun. Bilangan pemercaya pula meningkat sebanyak 6,943 orang, secara puratanya bertambah sekitar 694 orang per tahun. Menurut statistik keagamaan pada akhir tahun 2002, terdapat 239 buah gereja di Taiwan, dengan 50,861 orang pemercaya (24,393 lelaki dan 26,468 perempuan). Berbanding dengan jumlah gereja pada tahun 1995, jumlah gereja telah meningkat sebanyak 16 buah dan jumlah pemercaya telah meningkat sebanyak 4,477 orang. Secara puratanya, jumlah gereja meningkat sekitar 2.2 buah dan jumlah pemercaya meningkat 640 orang per tahun. Secara umumnya, walaupun terdapat pertumbuhan dalam gereja, namun pertumbuhannya semakin perlahan.

Dari segi latihan rohani dalaman, pada separuh pertama tahun 2003, Kebaktian Kebangunan Rohani dan Penginjilan diadakan di 217 lokasi. 551 orang dibaptiskan, 543 orang menerima Roh Kudus, 28,600 orang menerima cawan, dan kadar kehadiran ialah 56.23%. Walau bagaimanapun, ada 70 lokasi yang tidak ada orang dibaptiskan dan 48 lokasi yang tidak ada yang menerima Roh Kudus. Wilayah ini mempunyai penduduk sebanyak 23 juta, tetapi gereja hanya mempunyai pemercaya sebanyak lebih daripada 50,000 orang. Sekiranya meneliti peta pengagihan pemercaya, jelas bahawa penyebaran agama di wilayah Hakka perlu diperkuat. Dari perspektif kerja penerokaan kawasan baharu dan penggembalaan, masih ada fenomena “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit.” (Mat 9:37). Doa sangat diperlukan agar pemercaya dikuatkan dengan segala kekuatan untuk menjadi penjala manusia.

 

PENUTUP

Mengimbas kembali masa lalu, kasih dan belas kasihan Tuhan, Bapa yang benar di syurga telah melindungi gereja di Taiwan. Dunia sedang dalam kekacauan yang berterusan, manakala bencana alam semula jadi dan malapetaka buatan manusia terjadi satu demi satu. Sebagai contoh, perubahan situasi sosial semasa, perindustrian dan urbanisasi, pengkomersialan nilai-nilai kehidupan, fetishisme (fetishism), trend subkultur (subculture) belia dan kecenderungan-kecenderungan lain. Semua ini telah menyebabkan gereja menghadapi masalah baharu. Gabungan dan konflik antara budaya dengan kebenaran amat membimbangkan (2 Tim 3:2-5). Sebagai contoh, perselisihan politik antara dua sisi Selat Taiwan, percanggahan yang tidak rasional terhadap penyatuan dan kemerdekaan pulau itu, peningkatan pengiktirafan orang asli terhadap budaya semula jadi; orang muda terdedah kepada pelbagai godaan dan tersesat dalam proses pembelajaran, pekerjaan dan perkahwinan; kekacauan hubungan antara dua jantina dalam masyarakat dan sebagainya. Semua ini menyebabkan perpecahan dalam iman kepercayaan dan gereja mengalami krisis.

“Tak ada sesuatu yang baru di bawah matahari.” Meninjau dari perspektif Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, kelemahan dan dosa kejahatan yang muncul dalam sejarah umat pilihan dan jemaat juga mungkin berlaku pada generasi kita. Gereja ada di bumi. Jika dibandingkan dengan pemikiran dan budaya hidup yang popular di dunia, pemercaya kita ialah golongan minoriti. Oleh itu, kita mesti berjaga-jaga dan berdoa, dan mengamalkan firman kebenaran supaya tidak jatuh ke dalam pencobaan (Mat 26:41; Ga 5:22-23). Ketika kiamat sudah semakin hampir, kita lebih lagi perlu memikirkan strategi latihan rohani dan penyebaran firman pelbagai aspek untuk menyelesaikan amanat Tuhan.

 

SOALAN DAN PERBINCANGAN

  1. Siapakah daripada kalanganpendeta kita dalam zaman kedua yang masih hidup? Adakah anda mengenali mereka? Kongsikan kisah
  2. Gereja mana yang baru ditambah di setiap zon bagigereja-gereja pada zaman ketiga? Cuba senaraikan dan nyatakan lokasi mereka.
  3. Bagaimana firman kebenaran “melampaui”budaya? Perbincangan boleh dibuat dengan membuat beberapa pilihan dari aspek makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan dan hiburan.