HUKUM TAURAT DAN KASIH KARUNIA

HUKUM TAURAT DAN KASIH KARUNIA

PENDAHULUAN

Kedua-dua hukum Taurat dan kasih karunia berasal dari Tuhan (Yoh 1:17). Walaupun kelihatan saling berkonflik, namun sebenarnya ada kaitan antara kedua-duanya. Secara ringkasnya, oleh hukum Taurat orang mengenal dosa, supaya seluruh dunia jatuh ke bawah hukuman Allah; hukum Taurat berkuasa atas seseorang, namun hukum Taurat tidak dapat melepaskan manusia daripada dosa untuk dibenarkan (Rm 3:19-20, 7:1,12-17). Kini, terima kasih kepada karunia Tuhan, kita dapat dibenarkan dan dikuduskan kerana percaya kepada Yesus Kristus lalu dapat dimerdekakan daripada hukum dosa dan hukum maut (Rm 3:21-26, 8:1-2).

 

ISI KANDUNGAN

ASAL USUL HUKUM TAURAT

A. Pada asalnya hukum Taurat ditambahkan oleh karena pelanggaran-pelanggaran, bahkan diberikan oleh Musa (Gal 3:19, Yoh 1:17).

Orang Israel hidup sebagai orang asing di Mesir untuk lebih daripada empat ratus tahun. Oleh itu, mereka dicemari dengan banyak tabiat yang jahat. Pengenalan dan keyakinan mereka terhadap Tuhan dan iman kepercayaan adalah tidak mencukupi (rujuk: Kel 16:2-7,19-20,26-30, 32:1-16). Oleh itu, hukum Taurat dibentangkan dengan tujuan meminta dan mengajar umat untuk menjadi kudus (Kel 15:25-26, 19:5-6) supaya dapat dekat kepada Tuhan dan mendapat kehormatan (Ul 4:4-8).

B. Mengingatkan umat Tuhan supaya bersyukur dan melayani Tuhan, belajar untuk takut akan Tuhan serta mewariskan iman kepercayaan kepada anak cucu (Kel 13:8-9, 14-16).

Musa memberi galakan kepada umat bahawa mereka perlu berwaspada dan berhati-hati supaya jangan melupakan kasih karunia dan kuasa Tuhan serta perlu mewariskannya kepada anak-anak dan cucu-cicit. Di samping itu, mereka harus belajar takut akan Tuhan daripada perkataan-perkataan Tuhan yang didengar dan mengajarkan demikian kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana Tuhan memberi perintah untuk mengajarkan kepada umat ketetapan dan peraturan, supaya mereka melakukannya di negeri yang dijanjikan (Ul 4:9-10,14).

FUNGSI DAN SEMANGAT HUKUM TAURAT

Daud mengarang mazmur untuk memuji hukum Taurat. Dia berkata bahawa hukum Taurat sempurna, murni, benar, menyegarkan jiwa dan membangunkan manusia (Mzm 19:8-12). Paulus juga mengatakan bahawa hukum Taurat adalah kudus, benar dan baik (Rm 7:12). Nampaknya, fungsi dan semangat hukum Taurat adalah berbaloi untuk dikaji.

KEGUNAAN SECARA POSITIF

A. Penuntun bagi pemercaya (Gal 3:24)

Dengan menggunakan perwalian dan pengawasan oleh bapa terhadap mereka yang bawah umur (bawah umur 25 tahun) menurut peruntukan undang-undang Rom, Paulus membuat perumpamaan tentang perikatan hukum Taurat ke atas manusia. Walaupun “anak-anak” tertakluk pada penyeliaan orang dewasa dan harus berpegang pada dogma dan peraturan, namun peraturan itu sebenarnya merupakan sejenis perlindungan dan jagaan baginya sehingga dia akil baligh untuk menjadi ahli waris (Gal 4:1-2). Paulus juga pernah menyebut bahawa Alkitab (ketika itu hanya terdapat Alkitab Perjanjian Lama) adalah untuk mengajar orang memperbaiki kelakuan, mendidik orang dalam kebenaran, dan dengan demikian tiap-tiap manusia kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan baik (2 Tim 3:16-17).

B. Menuntun pemercaya sampai Kristus datang (Gal 3:24)

“Di dalam hukum Taurat hanya terdapat bayangan saja dari keselamatan yang akan datang, dan bukan hakekat dari keselamatan itu sendiri.” (Ibr 10:1). “Sedang wujudnya ialah Kristus.” (Kol 2:17). Tuhan Yesus berfirman: “Kamu menyelidiki Kitab-kitab Suci (merujuk kepada Alkitab Perjanjian Lama), sebab kamu menyangka bahwa oleh-Nya kamu mempunyai hidup yang kekal, tetapi walaupun Kitab-kitab Suci itu memberi kesaksian tentang Aku.” (Yoh 5:39). Hukum Taurat adalah seperti seorang penuntun yang mengajar manusia untuk mengenal dosa kejahatan, belajar tentang kesolehan dan pengetahuan tentang Tuhan. Apabila tiba masa latihan dan pengawasan yang bersesuaian, hukum Taurat akan membawa manusia kepada Kristus untuk terima kasih karunia.

KEGUNAAN SECARA NEGATIF

Paulus berkata: “Oleh hukum Taurat orang mengenal dosa.”, “Apakah hukum Taurat itu dosa? Sekali-kali tidak! Sebaliknya, justru oleh hukum Taurat aku telah mengenal dosa.” (Rm 3:20, 7:7). Dia berkata lagi: “Kitab Suci telah mengurung segala sesuatu di bawah kekuasaan dosa, supaya oleh karena iman dalam Yesus Kristus janji itu diberikan kepada mereka yang percaya.” (Gal 3:22). Hukum Taurat pada asalnya ditambahkan oleh kerana pelanggaran-pelanggaran. Hukum Taurat mendedahkan dosa, kelemahan dan ketidakberdayaan manusia. Namun, hukum Taurat juga merupakan kasih karunia yang digunakan oleh Tuhan untuk menyempurnakan kehendak-Nya dan membuatkan manusia mengharapkan janji.

SEMANGAT HUKUM TAURAT

Musa menasihati umat: “Dan kita akan menjadi benar, apabila kita melakukan segenap perintah itu dengan setia di hadapan TUHAN, Allah kita, seperti yang diperintahkan-Nya kepada kita.” (Ul 6:25). “Benar” bermaksud tingkah laku yang betul, yang baik dan yang benar di mata Tuhan (2 Taw 14:2, Yak 2:21-23). Kitab Pengkhotbah mencatatkan bahawa kewajiban setiap orang ialah: “takutlah akan Allah dan berpeganglah pada perintah-perintah-Nya”, “Karena Allah akan membawa setiap perbuatan ke pengadilan yang berlaku atas segala sesuatu yang tersembunyi, entah itu baik, entah itu jahat.” (Pkh 12:13-14). Semangat hukum Taurat adalah untuk menunjukkan harapan Tuhan terhadap umat pilihan, iaitu umat pilihan yang mendapat kasih karunia harus menjalani kehidupan yang kudus (Ul 7:6). Semangat hukum Taurat juga menyatakan kasih, kesetiaan dan keadilan Tuhan. Umat pilihan harus menjadi kerajaan yang takut akan Tuhan dan mulia (Ul 7:7-11, 4:5-8), di samping mengejar matlamat hidup yang mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia serta hidup bergaul dengan Tuhan (Mat 22:36-40, Mi 6:6-8).

Hukum Taurat pada asalnya adalah rohani (Rm 7:14), baik (Rm 7:16), bahkan sempurna dan memerdekakan orang (Yak 1:25, 2:12). Orang Yahudi pula mempertahankan hukum yang tertulis lalu akhirnya salah faham tentang maksud Alkitab (Mat 15:1-9). Oleh sebab tidak mempunyai kasih akan Allah di dalam hati, mereka kehilangan Roh hukum Taurat (Yoh 5:42, Mat 23:23, Luk 11:42).

KEKURANGAN HUKUM TAURAT

Orang dahulu berkata: “Kebajikan yang baik sahaja tidak cukup untuk menangani hal ehwal negara, undang-undang sahaja juga tidak boleh membuatnya berkesan”. Kata kuncinya terletak pada manusia. Semangat hukum Taurat Perjanjian Lama telah dilupakan oleh sebab promosi dan penjelasan yang mementingkan setiap iota dan setiap titik oleh ahli kitab dan Taurat orang Yahudi. Keadaan ini ditambahkan lagi dengan pelbagai peraturan dan fokus pada pematuhan hukum Taurat secara formaliti (rujuk: Mrk 2:23 – 3:6, Luk 13:10-17). Paulus pernah menegur orang Yahudi bahawa walaupun mereka bersandarkan hukum Taurat, bermegah atas hukum Taurat, namun mereka hanya menegur orang lain dan tidak menegur diri sendiri (Rm 2:17-24). Walaupun mereka sungguh-sungguh giat, tetapi tanpa pengertian yang benar, mereka berusaha untuk mendirikan kebenaran mereka sendiri (sendiri beranggapan bahawa kebenaran itu betul) maka mereka tidak takluk pada kebenaran Allah (Rm 10:2-4).

Paulus pernah menjadi orang Farisi dan giat dalam belajar hukum Taurat. Hal ini membolehkan dia memahami dengan sedalam-dalamnya bahawa walaupun hukum Taurat adalah rohani, namun hukum Taurat tidak dapat membuatkan manusia mengalahkan hukum dosa (Rm 7:14-17). Permintaan hukum Taurat Tuhan ialah “sempurna”. Walau bagaimanapun, tiada seorang pun yang dapat dibenarkan di hadapan Tuhan oleh kerana melakukan hukum Taurat (Yak 2:8-12, 4:17, Rm 3:20). Hal ini kerana:

A. Tidak ada kepalsuan di dalam orang Israel sejati (Yoh 1:47). Bagi mereka yang mempunyai  bibir yang manis dan hati yang bercabang, percuma mereka beribadah kepada Tuhan (Mat 15:8-9).

B. Orang Yahudi sejati juga bersunat di dalam hati (Rm 2:28-29, rujuk: Ul 10:15-16, Yer 9:25-26). Harus menyembah Tuhan, Bapa yang di syurga dalam roh dan kebenaran (Yoh 4:23-24).

C. Umat pilihan sejati haruslah hidup dengan tidak bercela (Kej 17:1). Pemercaya sejati haruslah sempurna sama seperti Bapa yang di syurga; kasih yang sempurna, tingkah laku yang sempurna, perkataan yang sempurna, jiwa yang sempurna (Mat 5:21-48).

Maka tidak hairanlah Paulus mengeluh: “Aku, manusia celaka!” kerana betapa tingginya piawaian permintaan Tuhan. Piawaian ini adalah mustahil untuk dicapai di bawah hukum Taurat. Syukur kepada Tuhan, piawaian ini dapat diselesaikan dengan percaya dan bersandar kepada Tuhan Yesus Kristus (Rm 7:18-25).

 PENCAPAIAN KASIH KARUNIA

“Sebab Kristus adalah kegenapan hukum Taurat, sehingga kebenaran diperoleh tiap-tiap orang yang percaya.” (Rm 10:4). Sebab hukum Taurat sama sekali tidak membawa kesempurnaan,Yesus Kristus merupakan pengharapan yang lebih baik, kasih karunia-Nya mendekatkan kita kepada Tuhan (Ibr 7:19). Kristus telah mati untuk kita orang-orang durhaka dan menunjukkan kasih Tuhan supaya kita beroleh hidup yang kekal oleh kasih karunia Tuhan Yesus Kristus (Rm 5:6-8,15,20-21).

A. Mendirikan saluran bagi dibenarkan kerana iman, kerana iman meneguhkan hukum Taurat (Rm 3:21-31)

Hukum Taurat dalam Perjanjian Lama merujuk kepada pelbagai peraturan dan ketetapan yang berpusatkan Kesepuluh firman. Antaranya termasuklah hukum ibadah (sunat, persembahan korban, perayaan dan sebagainya), hukum kebersihan (pemakanan, kesihatan, keprihatinan sosial dan sebagainya) dan hukum moral (sivil, jenayah, politik tempatan, keprihatinan sosial dan sebagainya). Fungsinya adalah seperti yang dibincangkan di atas iaitu meminta umat pilihan menjalani kehidupan yang kudus di samping mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia sebagaimana seharusnya (Im 19:1-2, 20:7-8, Ul 10:12-13, 18-19, Im 19:18,33-34). Tuhan Yesus membawakan kasih karunia dan kebenaran bukan untuk meniadakan hukum Taurat, melainkan untuk menggenapinya (Mat 5:17-18). Hukum Taurat bukan sahaja tidak dimansuhkan kerana iman, sebaliknya lebih diteguhkan. Kaedah dan prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Percayalah kepada Tuhan Yesus, bertaubatlah, berilah diri dibaptis dalam nama Yesus Kristus untuk pengampunan dosa (Kis 16:30-31, 2:37-38) supaya dikuduskan dan dibenarkan (1 Kor 6:11).
  2. Hidup oleh Roh, hidup juga dipimpin oleh Roh, tidak hidup di bawah hukum Taurat, tidak menuruti keinginan daging (Gal 5:16-26), hidup beribadah (Tit 2:11-12), mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia (1 Yoh 4:19-21, 5:1-3).

Dengan itu, permintaan hukum Taurat dapat dipenuhi dan kedudukan hukum Taurat juga  lebih diteguhkan.

B. Supaya tuntutan hukum Taurat digenapi di dalam mereka yang hidup menurut Roh serta dimerdekakan dari hukum dosa dan hukum maut (Rm 8:1-4)

“Tuntutan hukum Taurat” bermaksud permintaan hukum Taurat iaitu penampilan dalam kehidupan yang dikuduskan, mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia. Walau bagaimanapun, ada yang tidak dapat dilakukan (tidak dapat mencapai piawaian kehendak Tuhan) kerana tak berdaya oleh daging. Hal ini adalah sama seperti yang pernah dialami oleh Paulus sendiri:

“sebaliknya aku mati. Dan perintah yang seharusnya membawa kepada hidup, ternyata bagiku justru membawa kepada kematian. Sebab dalam perintah itu, dosa mendapat kesempatan untuk menipu aku dan oleh perintah itu ia membunuh aku.”

“Jadi jika aku perbuat apa yang tidak aku kehendaki, aku menyetujui, bahwa hukum Taurat itu baik. Kalau demikian bukan aku lagi yang memperbuatnya, tetapi dosa yang ada di dalam aku.”

“Demikianlah aku dapati hukum ini: jika aku menghendaki berbuat apa yang baik, yang jahat itu ada padaku.”

(Rm 7:10-11,16-17,21).

Peperangan antara hati nurani dan keinginan daging sebegini serta perkataan dan perbuatan yang tidak seiring selamanya tidak dapat menggenapi tuntutan yang diminta oleh hukum Taurat. Kini, dengan bersandarkan Tuhan Yesus Kristus, kita telah dimerdekakan daripada hukum dosa dan hukum maut. Di samping itu, dengan bersandarkan bantuan Roh Kudus, mentaati Roh Kudus dalam segala hal, menuruti firman dan perintah Tuhan, hidup sama seperti Kristus telah hidup, maka kita ada di dalam Dia (1 Yoh 2:1-6), dapat dimerdekakan daripada hukum (kawalan) dosa dan maut. Orang yang berada di bawah kasih karunia mendapat kehidupan dan kuasa Roh Kudus, dilepaskan daripada ikatan dosa, lebih-lebih lagi dapat melakukan kebajikan dan tidak berbuat dosa (Tit 2:11-14, 1 Yoh 5:18). Mereka juga dapat mengambil inisiatif untuk menjalani gaya hidup yang mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia (Luk 19:1-10, rujuk Im 6:1-5, Yoh 14:15,21).

KASIH KARUNIA BUKAN BERMAKSUD MEMBIARKAN

Kini, kita tidak lagi berada di bawah hukum Taurat melainkan di bawah kasih karunia. Kita juga tidak didominasi oleh dosa. Walau bagaimanapun, kita juga tidak boleh berbuat dosa. Alkitab berkata: “Sebab kamu tidak akan dikuasai lagi oleh dosa, karena kamu tidak berada di bawah hukum Taurat, tetapi di bawah kasih karunia. Jadi bagaimana? Apakah kita akan berbuat dosa, karena kita tidak berada di bawah hukum Taurat, tetapi di bawah kasih karunia? Sekali-kali tidak!? (Rm 6:14-15). Memandangkan kita telah dibenarkan dengan cuma-cuma oleh kasih karunia Tuhan dan melalui penyelamatan dan penebusan Kristus Yesus, diselamatkan bukan kerana melakukan hukum Taurat, tetapi kerana iman kepercayaan, hidup dipimpin oleh Roh, menggenapi tuntutan hukum Taurat, maka janganlah tetap hidup di dalam dosa. Hal ini demikian kerana:

A. Bagi orang yang telah dibaptis dalam Kristus, tubuh dosanya telah mati. Janganlah hidup di dalam dosa, bahkan jangan berbuat dosa menuruti keinginan sendiri dengan alasan supaya semakin bertambah kasih karunia itu (Rm 6:1-14).

B. Harus dengan segenap hati mentaati pengajaran, menjadi hamba kebenaran, beroleh buah yang membawa kepada pengudusan dan mendapat karunia Allah iaitu hidup yang kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita (Rm 6:15-23).

C. Kita telah dipanggil untuk merdeka (dimerdekakan daripada hukum dosa dan hukum maut, tidak lagi terikat dengan hukum Taurat tertulis), namun jangan menyalahgunakan kasih karunia Tuhan untuk melampiaskan hawa nafsu (Gal 5:13, Yud 1:4).

    1. Setelah dipanggil, namun yang murtad lagi, tidak mungkin dibaharui sekali lagi sedemikian, hingga mereka bertobat (Ibr 6:4-8).
    2. Jika kita sengaja berbuat dosa, maka tidak ada lagi korban untuk menghapus dosa itu (Ibr 10:26-29).

Era kasih karunia Perjanjian Baru tidak lagi menitikberatkan pematuhan setiap hukum Taurat tetapi mementingkan semangat asas hukum Taurat – pelaksanaan kasih (Mat 22:36-40, Rm 13:8-9, Gal 5:14), bahkan melaksanakan kasih dengan lebih sempurna dan ketat berbanding pelaksanaannya dalam Perjanjian Lama (rujuk Mat 5:21-48). Alkitab banyak kali menyebut tentang hukum utama yang berkaitan dengan “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri”. Pelaksanaan sepenuhnya ataupun tidak mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan penghakiman Tuhan kelak (Yak 2:1-17, 1 Yoh 3:13-23, 4:16-18). Firman tentang hari penghakiman yang dibincangkan oleh Tuhan Yesus juga mengajar kita dengan jelas bahawa: betapa pentingnya pelaksanaan kasih dan cara bangsa-bangsa akan dihakimi pada hari kiamat berdasarkan penampilan kasih (Mat 25:31-46).

Memandangkan pemercaya sejati telah dibenarkan dan dikuduskan serta dapat menggenapi tuntutan hukum Taurat, maka hiduplah menurut Roh Kudus yang dijanjikan dan dikaruniakan oleh Tuhan, memikirkan hal-hal yang dari Roh, Roh adalah kehidupan oleh kerana kebenaran. Kita tidak lagi hidup menurut keinginan daging, tidak memikirkan hal-hal yang dari daging sehingga berseteru dengan Tuhan yang bermaksud tidak takluk pada hukum Tuhan. Oleh itu, kita tidak didominasi oleh dosa (1 Yoh 5:17) dan kita juga tidak berbuat dosa. Di samping itu, kita dipimpin oleh Roh Tuhan untuk mematikan perbuatan-perbuatan tubuh. Dengan itu, kita layak menjadi anak-anak Tuhan dan tidak lagi menjadi hamba dosa lalu berasa takut atau gentar. Sebaliknya, kita mengambil inisiatif untuk melakukan kebajikan secara aktif lalu mendapat hidup yang kekal (Rm 8:1-17, Gal 5:16-26, 6:7-10).

KESIMPULAN

Sebab apa yang tidak mungkin dilakukan hukum Taurat karena tak berdaya oleh daging, telah dilakukan oleh Allah dengan jalan mengutus Anak-Nya sendiri untuk menyelesaikannya (Rm 8:3-4). Kita beroleh jalan masuk kepada kasih karunia Tuhan oleh iman (Rm 5:1-2). Oleh itu, kita haruslah menaruh hukum Tuhan di dalam hati (Ibr 10:16), melayani dalam keadaan baru menurut Roh dan bukan dalam keadaan lama menurut huruf hukum Taurat, melayani Tuhan dengan tulus ikhlas (Rm 7:6). Selain itu, sembahlah Tuhan dalam roh dan kebenaran, hati dan bibir yang seiring, dalaman dan luaran yang sama. Dengan itu, segala yang dilakukan pasti dapat membangunkan orang dan memuliakan Tuhan (Yoh 4:23-24, Rm 14:17-19).