MELIHAT KONSEP NILAI YESUS DARIPADA UCAPAN LAPAN BAHAGIA
(Pendeta Xie Hong Jun)
Keinginan setiap orang untuk mengejar kebahagiaan adalah sama. Namun, perjalanan setiap orang adalah berbeza. Kita harus berfikir samada kaedah yang digunakan adalah tepat. Jika tidak, kita umpama menjaring angin, tertanam di biji hampa dan selama-lamanya tidak akan mendapat kebahagiaan.
Yesus menunjukkan kepada kita lapan cara untuk mendapat kebahagiaan. Itulah nilai bagi kehidupan kita.
NILAI MISKIN DI HADAPAN ALLAH
Miskin di hadapan Tuhan bermaksud kemiskinan dan kekurangan di dalam roh (the poor in spirit).
Pembelajaran bermula dengan mengakui kebodohan sendiri. Kata-kata bijak Socrates: “Satu-satunya perkara yang saya tahu ialah saya tidak tahu apa-apa”. Zhongyong juga berkata: “anda hanya tahu kekurangan pengetahuan anda selepas belajar”. Ucapan lapan bahagia dimulakan dengan orang yang miskin di hadapan Tuhan. Ini sama seperti memasuki pintu istana. Tanpa memasuki pintu ini, adalah mustahil untuk menikmati kecantikan di dalam istana. Setelah memasuki pintu ini, maka anda telah bersiap-sedia sepenuhnya. Dengan itu, barulah anda mendapat peluang untuk menerima berkat yang seterusnya.
Yesus pernah berkata, orang sakitlah yang memerlukan tabib (Mat 9:10-13). Jika penyakit anda sudah sampai ke tahap yang sangat kritikal, namun anda sendiri beranggapan bahawa anda tidak berpenyakit, anda tidak akan pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Dengan adanya kesedaran penyakit, anda akan mencari cara untuk mengubati penyakit anda dan menyelesaikan penyakit tersebut.
Yang kedua, belajar menerima kekurangan dan kelemahan sendiri. Ternyata setiap orang adalah unik dan tunggal dalam dunia, masing-masing mempunyai keistimewaan dan nilai kewujudannya yang tersendiri. Namun, oleh sebab ada tubuh jasmani, ada pengaruh dosa, maka setiap orang juga ada kekurangan. Sekalipun sengaja menutup mata dan tidak memandang kepadanya, ia tetap berada di sana dan tidak akan hilang. Hanya dengan menghadapinya, mengawalnya dan mengubahnya, kita akan bertumbuhbesar.
Oleh itu, memahami diri sendiri merupakan langkah pertama untuk pertumbuhan. Fahami kekuatan dan juga kelemahan sendiri.
Selepas refleksi, harus akui kesalahan dan kegagalan sendiri. Perkara yang dilakukan dalam gelap tidak dapat disembunyikan, pasti akan nyata bagi semua orang (1 Tim 5:24). “Siapa menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung, tetapi siapa mengakuinya dan meninggalkannya akan disayangi” (Ams 28:13). Oleh itu, jangan merasionalkan kelakuan sendiri dan mencari alasan untuk diri sendiri (Ams 16:2).
Diri sendiri ada kelemahan. Meminta bantuan tidak akan mengurangkan nilai anda atau menjatuhkan air muka anda. Sebaliknya, anda akan mendapat penghormatan daripada orang lain. Tahu memang tahu, tidak tahu memang tidak tahu. Itulah pengetahuan.
Terdapat satu cerita dalam Perang Dunia ke-2. Sebuah kapal perang menemui cahaya di hadapannya semasa belayar di dalam kabus tebal. Kapten berfikir bahawa pihak yang satu lagi mungkin ialah kapal musuh lalu berkomunikasi dengannya melalui isyarat cahaya. Apabila mengetahui bahawa pihak yang satu lagi ialah sekutunya, dia memberikan perintah agar pihak tersebut mengelak ke tempat lain. Namun pihak tersebut menjawab bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian. Kapten jeneral utama bertanyakan apakah pangkat pihak yang satu lagi. Pihak tersebut menjawab bahawa dia ialah tentera kelas pertama. Kapten berasa lebih marah lalu mengeluarkan ancaman melanggari perintah. Akhirnya pihak tersebut memberikan isyarat yang bermaksud situ adalah sebuah menara.
NILAI DUKACITA
Situasi yang paling ekstrem bagi istilah “dukacita” ialah kesedihan dan kesakitan yang melampau semasa saudara-mara meninggal dunia. Contohnya dukacita Yakob apabila dia beranggapan bahawa Yusuf telah mati (Kej 37:33-35).
Kita berdukacita apabila kehilangan orang yang dikasihi kerana adanya kasih yang mendalam. Contohnya Abraham meratapi dan menangisi kematian Sara (Kej 23:2). Dukacita kerana penindasan dan kekecewaan juga adalah yang berbahagia. Walaupun ianya kelihatan bercanggahan, sebenarnya ini adalah sejenis paradoks, iaitu kebenaran yang seolah-olah bukan kebenaran tetapi ia sememangnya kebenaran.
Terdapat makna dan nilai yang positif di sebalik dukacita. Setelah kehilangan, kita akan lebih menghargai apa yang dimiliki sekarang, tahu berpuas hati dan bersyukur dengan keadaan semasa, menghargai nilai kehidupan, memegang masa yang ada dan hidup pada masa sekarang.
Setelah melalui dukacita, kita akan dapat memahami dukacita orang lain. Mendapat penghiburan Kristus dalam segala penderitaan kami, sehingga kami sanggup menghibur mereka, yang berada dalam bermacam-macam penderitaan dengan penghiburan yang kami terima sendiri dari Allah (2 Kor 1:3-7).
Dalam dukacita, terhasilnya keberanian dan harapan. Inilah optimisme yang paling benar, iaitu optimisme dalam pengalaman tragis, bukan optimisme yang naif dan jahil. Contohnya seperti pengalaman pakar psikologi, Viktor Frankl dalam kem konsentrasi (pusat tahanan). Dia membina aliran psikologi logoterapi. Makna hidup adalah sangat bernilai. Hanya orang yang pernah berjalan di sempadan maut sahaja yang dapat memahaminya.
Kehidupan kita adalah sama seperti permata yang diamanahkan Tuhan kepada kita untuk disimpan sementara dan untuk dinikmati bagi satu tempoh masa. Apabila masanya tiba, Tuhan akan mengambilnya semula untuk diletakkan di dalam perbendaharaanNya. Oleh itu, apabila orang yang sangat kita kasihi meninggal dunia, hidupnnya telah beristirahat, berbahagialah orang-orang mati yang mati dalam Tuhan (Why 14:13).
NILAI LEMAH LEMBUT
Lemah lembut bermaksud perlu terlebih dahulu mengatasi sikap terburu-buru, kemarahan dan keganasan diri sendiri. Orang yang sabar melebihi seorang pahlawan, melebihi orang yang merebut kota (Ams 16:32). Pemupukan sifat lemah lembut ialah buah yang kuat, matang dan terdidik.
Lemah-lembut bukan bermaksud penakut melainkan memerlukan kekuatan yang lebih besar daripada keganasan untuk menundukkan keganasan. Siapapun yang menampar pipi kananmu, berilah juga kepadanya pipi kirimu (Mat 5:38-42). Kebiasaannya, seseorang menggunakan tangan kanan untuk menampar pipi kiri orang yang lain, melainkan jika dengan sikap yang sangat menghina, maka seseorang akan menampar pipi kanan orang lain dengan belakang telapak tangan kanan. Fokus utamanya bukan persoalan tentang kesakitan, melainkan sejenis penghinaan yang memalukan. Namun Tuhan berkata, berikanlah juga kepadanya pipi kirimu. Ini bukan bermaksud menyuruhnya untuk menampar sekali lagi, tetapi bermaksud rela bersabar sehinnga akhir, bersikap lemah lembut dan menghadapinya secara positif.
Ishak ditindas oleh orang Filistin. Mereka merebut sumurnya sebanyak dua kali. Ishak bersabar dan mengaku kalah. Untuk sumur yang ketiga, orang Filistin tidak bertengkar lagi. Maka Ishak menamainya “Rehobot” (Kej 26:17-22) yang bermaksud kelonggaran. Orang yang lemah lembut tidak akan dipandang rendah oleh orang lain. Ishak bukannya tidak mempunyai kekuatan untuk melawan. Bapanya, Abraham pernah mengalahkan empat raja dengan memimpin 318 orang dan menyelamat Lot sekeluarga. Namun Ishak menghadapinya dengan kelemah-lembutan dan akhirnya mempengaruhi pihak lawannya.
“Orang yang sabar besar pengertiannya, tetapi siapa cepat marah membesarkan kebodohan.” (Ams 14:29). Sememangnya hati kita akan berasa marah apabila melihat sesuatu yang tidak adil. Namun apa yang dilakukan semasa berada dalam kemarahan mungkin akan ada silapnya. Bukankah itu hanya membawa kepada kejahatan dan menyatakan kebodohan sendiri (Mzm 37:7-8). Hendaklah lambat untuk marah, sebab amarah manusia tidak mengerjakan kebenaran di hadapan Allah (Yak 1:19).
“Dengan kesabaran seorang penguasa dapat diyakinkan dan lidah lembut mematahkan tulang.” (Ams 25:15). “kalaupun seorang kedapatan melakukan suatu pelanggaran, maka kamu yang rohani, harus memimpin orang itu ke jalan yang benar dalam roh lemah lembut.” (Gal 6:1). “Dan siap sedialah pada segala waktu untuk memberi pertanggungan jawab kepada tiap-tiap orang yang meminta pertanggungan jawab dari kamu tentang pengharapan yang ada padamu, tetapi haruslah dengan lemah lembut dan hormat.” (1 Ptr 3:15-16).
Kelemah-lembutan ialah rahsia komunikasi yang dapat memperolehi hasil hubungan sosial yang baik dengan kata-kata yang benar, yang munasabah, masuk akal dan memaafkan. Jika dapat memenangi hati orang lain seperti ini, maka ianya umpama mendapat tanah yang luas. Intipati falsafah Lao Tzu: “merendahkan diri”, “bertahan dalam kelemahan”, lautan berada di kedudukan yang rendah lalu dapat menerima air daripada beratus sungai. “Dapat melihat dengan teliti – bijak, dapat bertahan dalam kelemahan – kuat” (Lao Tzu bab 52).
NILAI LAPAR DAN HAUS AKAN KEBENARAN
“Kebenaran” ialah perkara-perkara yang adil, betul dan harus dilakukan. Dapatkan realisasi “kebenaran” dengan keperluan yang kuat umpama lapar dan haus.
Minuman dan makanan ialah syarat hidup bagi tubuh jasmani. Realisasi kebenaran ialah nilai kewujudan jiwa rohani. “Siapa berpegang pada kebenaran yang sejati, menuju hidup, tetapi siapa mengejar kejahatan, menuju kematian.” (Ams 11:19).
Mula-mula sekali, harus mengenali konotasi “kebenaran”. Baca Alkitab dengan fasih, fahami Alkitab dan praktikkan Alkitab (2 Tim 3:16); bukannya mengenalpasti konotasi “kebenaran” dengan idea subjektif sendiri. Orang yang menganggap dirinya benar adalah seperti orang Farisi. Hakikatnya, konsepnya telah menyimpang, namun masih merasakan dirinya memegang peraturan dalam hukum Taurat dengan ketat. Hari Sabat dijadikan sebagai tali yang mengikat manusia, firman Allah dinyatakan tidak berlaku demi adat istiadat nenek moyang (Mat 15:1-6).
“Berbahagialah yang kesukaannya ialah Taurat TUHAN, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam. Ia seperti pohon, yang ditanam di tepi aliran air, yang menghasilkan buahnya pada musimnya, dan yang tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil.” (Mzm 1:2-3).
Tetapkan koordinasi hidup, tuliskan manifesto bagi amanat hidup manusia, jadikan “prinsip” sebagai fokus dalam kehidupan. Kekayaan, nama, kuasa, pencapaian, kenikmatan dan lain-lain lagi bukanlah matlamat utama dalam kehidupan manusia, tidak dapat memberikan kepuasan yang sebenar kepada manusia.
Seekor musang yang lapar berasa sangat gembira ketika ia melihat sebuah ladang anggur. Ia menemui satu lubang kecil lalu menyelinap masuk ke dalam dan makan sepuas-puasnya selama tiga hari berturut-turut. Apabila ia mendengar bunyi tapak kaki peladang, ia ingin keluar melalui lubang tetapi menghadapi kesulitan kerana kegemukannya melebihi saiz lubang tersebut. Ia terpaksa bersembunyi dan menahan kelaparan selama tiga hari dan menjadi kurus seperti sebelumnya untuk keluar daripada ladang anggur.
Perjalanan hidup Paulus merupakan realisasi kebenaran. Akhirnya dia percaya bahawa dia dapat memperoleh mahkota kebenaran (2 Tim 4:6-8).
NILAI MURAH HATI
Bersimpati dengan tragedi kesedihan orang lain seolah-olah sendiri mengalaminya.
Mencius atau Mengzi berkata dalam buku Gong Sun Chou: “semua orang mempunyai hati yang berhati-hati dan bersimpati dengan nasib orang lain”. “Berhati-hati” bermaksud ekspresi yang terkejut. Kita takut dan risau perkara yang sama akan terjadi ke atas diri kita sendiri lalu melahirkan perasaan tergerak dengan belas kasihan dalam hati kita.
Belajar mengalami kelemahan dan kesulitan orang lain. Setiap orang sebenarnya memiliki hati yang berbelas kasihan. Tetapi, hati sesetengah orang telah tercemar dan menjadi lali. Ini kerana perkara-perkara yang salah semakin banyak dan kasih manusia telah beransur-ansur menjadi dingin dan tawar. Walau bagaimanapun, hati yang berbelas kasihan janganlah hilang.
Anak tunggal kepada janda telah mati. Dia tidak ada suami sebagai tempat sandaran dan kini anak tunggalnya juga telah pergi. Apa lagi yang boleh dilakukan dalam hidupnya? Apakah hidupnya masih mempunyai nilai? Ketika dia dalam kekecewaannya, ketika Tuhan melihat janda itu, tergeraklah hati-Nya oleh belas kasihan, lalu Ia berkata kepadanya, jangan menangis, lalu membangkitkan orang mati (Luk 7:11-17).
Yesus melihat orang banyak yang lelah dan terlantar lalu tergeraklah hatiNya oleh belas kasihan kepada mereka (Mat 9:36).
Oleh itu, dengan hati yang berbelas kasihan, kita memberitakan Injil Kristus dan mengkhabarkan berita baik kasih karunia.
Di dalam gereja, kita merupakan banyak anggota bagi tubuh Kristus. Kita sepatutnya saling menjaga. “Jika satu anggota menderita, semua anggota turut menderita.” (1 Kor 12:26). Sama seperti Paulus yang mempunyai hati yang berbelas kasihan: “Jika ada orang merasa lemah, tidakkah aku turut merasa lemah? Jika ada orang tersandung, tidakkah hatiku hancur oleh dukacita?” (2 Kor 11:29).
Gunakan belas kasihan untuk meningkatkan deposit perasaan dan nilai dalam hubungan, fahami keadaan, perasaan dan idea orang lain. Jadikan keperluan pihak yang lain sebagai pertimbangan prioriti dan bekerjasama dengannya. Semakin banyak belas kasihan yang diberikan, semakin banyak juga belas kasihan yang diterima.
Belas kasihan akan menang ke atas penghakiman. Ini kerana orang yang berbelas kasihan juga akan menerima belas kasihan semasa penghakiman; Tuhan, Hakim akan memberikan belas kasihan. Ini satu-satunya cara untuk “berjalan melalui pintu belakang” dan “menghadiahkan angpau” di hadapan penghakiman (Yak 2:13). Belas kasihan juga merupakan simbol bagi kuasa, yang berkedudukan besar menunjukkan belas kasihan kepada yang berkedudukan kecil.
NILAI SUCI HATI
Hati yang suci (the pure at heart) bermaksud tumpukan perhatian, tidak ada perkara-perkara sampingan, tidak ada keraguan, tidak ada penipuan, tidak ada ikatan.
“Sucikanlah hatimu, hai kamu yang mendua hati!” (Yak 4:8). “Hendaklah ia memintanya dalam iman, dan sama sekali jangan bimbang, sebab orang yang bimbang sama dengan gelombang laut, yang diombang-ambingkan kian ke mari oleh angin. Orang yang demikian janganlah mengira, bahwa ia akan menerima sesuatu dari Tuhan. Sebab orang yang mendua hati tidak akan tenang dalam hidupnya.” (Yak 1:6-8).
“Siapakah yang boleh naik ke atas gunung TUHAN? Siapakah yang boleh berdiri di tempat-Nya yang kudus? Orang yang bersih tangannya dan murni hatinya, yang tidak menyerahkan dirinya kepada penipuan, dan yang tidak bersumpah palsu.” (Mzm 24:3-4).
Mula-mula sekali, harus suci hati dengan satu niat dalam doa, masuklah ke dalam kamar, tutuplah pintu dan berdoalah kepada Bapa yang ada di tempat tersembunyi. Kemudian, harus mengejar hati yang suci dalam fikiran dan cita-cita. Orang yang memandang perempuan serta menginginkannya sudah berzinah dengan dia. Mengapakah penghakiman Tuhan Yesus begitu ketat sekali? Ini bertujuan menyuruh kita untuk perhatikan pergerakan niat dan cita-cita kita. Pemikiran ialah permulaan bagi tindakan. Jika dapat berhati-hati dan berwaspada dalam pemikiran, maka sesuatu kesilapan tidak akan diteruskan.
Orang yang suci hatinya tidak dibebani oleh dunia kerana benih yang ditaburkan di tengah semak duri tidak dapat berbuah (Mat 13:22). Sebahagian beban yang menghalang jalan ke syurga harus diambil, dan batu-batu sandungan yang mudah menjatuhkan harus dialihkan (Ibr 12:1). Beberapa tabiat buruk dalam kehidupan haruslah diubah. Dosa kecil juga ialah dosa. Jangan beranggapan bahawa ianya tidak apa-apa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit, kelak nanti ia menjadi dosa besar yang tidak terampuni.
“Sebab itu jauhilah nafsu orang muda, kejarlah keadilan, kesetiaan, kasih dan damai bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni.” (2 Tim 2:22).
Secara praktikalnya, orang yang suci hatinya harus belajar tentang intipati pengurusan masa, membezakan antara perkara yang utama dan tidak, utamakan yang prioriti. Hapuskan pertalian perkara-perkara sekunder, perlu ada keberanian untuk mengatakan “tidak”.
Orang yang suci hatinya menjadi kudus, sama seperti sifat keilahian Tuhan yang kudus. Antah berkumpul sama antah, beras bersama beras. Orang yang kudus akan dapat mendekati Tuhan yang kudus, “tanpa kekudusan tidak seorangpun akan melihat Tuhan.” (Ibr 12:14).
NILAI MEMBAWA DAMAI
Orang yang membawa damai ialah pencipta keamanan (peacemakers). Konflik yang sedia dapat diselesaikan dan dileraikan menerusi komunikasi dan penyelarasan lalu menghasilkan keamanan.
“Engkau akan membangun reruntuhan yang sudah berabad-abad, dan akan memperbaiki dasar yang diletakkan oleh banyak keturunan. Engkau akan disebutkan “yang memperbaiki tembok yang tembus”, “yang membetulkan jalan supaya tempat itu dapat dihuni”.” (Yes 58:12).
Jika Musa tidak mengetengahi umat di hadapan-Nya, Tuhan telah memusnahkan mereka (Mzm 106:23). Musa ialah pembela. Dia menjadi jambatan antara Tuhan dan umat Israel yang pengkhianat. “Ah, bangsa ini telah berbuat dosa besar, sebab mereka telah membuat allah emas bagi mereka. Tetapi sekarang, kiranya Engkau mengampuni dosa mereka itu — dan jika tidak, hapuskanlah kiranya namaku dari dalam kitab yang telah Kautulis.” (Kel 32:31).
Jawatan yang paling penting bagi pembawa damai antara manusia dan Tuhan ialah penyelamatan Yesus. Dia datang ke dalam dunia, merobohkan tembok pemisah, iaitu perseteruan (Ef 2:13-16).
Pada masa yang sama, kita harus membawa damai di antara manusia (Rm 14:19), jangan saling jadi pemfitnah, mengasingkan atau menceraikan (Ams 16:28).
“Siapa menutupi pelanggaran, mengejar kasih, tetapi siapa membangkit-bangkit perkara, menceraikan sahabat yang karib.” (Ams 17:9).
Orang yang menasihatkan kesejahteraan mendapat sukacita (Ams 12:20). Jadilah adil dan munasabah. Bagian orang yang tinggal di dekat barang-barang adalah sama seperti bagian orang yang pergi berperang (1 Sam 30:21-25). Oleh itu, Daud memenangkan hati semua orang dan tidak menimbulkan konflik dalaman.
Seorang umat Kristian menghadapi kesesakan lalu lintas semasa memandu. Berhenti sekejap, maju sedikit dan begitulah seterusnya. Di persimpangan, dia mendapati bahawa kesesakan lalu lintas tersebut disebabkan oleh kemalangan kereta. Dua orang pemandu bergaduh tentang siapa yang betul dan siapa yang salah. Kedua-dua buah kenderaan diletakkan di tengah-tengah jalan. Tiada siapa yang mengambil peduli dan pergaduhan tersebut tidak berpenghujung. Umat Kristian tersebut turun dari keretanya dan bertanya. Rupa-rupanya pemilik kereta yang lebih rosak menegaskan pampasan, tetapi pihak yang lain merasakan bahawa dia tidak bersalah dan tidak rela membayar pampasan. Umat Kristian bertanyakan jumlah pampasan yang perlu dibayar, iaitu tiga ribu Yuan sahaja. Umat Kristian membayar jumlah pampasan itu dari poketnya sendiri. Dengan itu, dua buah kereta tersebut dialihkan dan lalu lintas segera menjadi lancar. Setiap orang memuji umat Kristian tersebut dan berkata, rupanya umat Kristian. Dengan itu dia memberi kemuliaan kepada nama Tuhan bahkan digelar sebagai “anak Tuhan”.
NILAI DIANIAYAI OLEH SEBAB KEBENARAN
Berbahagialah orang yang dinista kerana nama Kristus, sebab roh Tuhan ada padanya (1 Ptr 4:14).
Para rasul dianiayai, tetapi mereka telah dianggap layak menderita penghinaan oleh kerana Nama Yesus lalu mereka bergembira (Kis 5:40-41). Jika iman kepercayaan anda tidak berpengaruh, penganiaya tidak akan mensasarkan anda kerana anda tidak memberikan apa-apa ancaman. Jika kebolehan anda dalam memberitakan firman menyebabkan orang lain memberikan perhatian dan berasa risau, tidakkah anda patut berasa gembira atas nilai mewujudan anda?
Stefanus mati teraniayai, dia menatap ke langit, lalu melihat kemuliaan Allah (Kis 7:54-56).
Lebih baik menderita karena berbuat baik, dari pada menderita karena berbuat jahat (1 Ptr 3:17). Contohi teladan Kristus, mengikuti jejak-Nya (1 Ptr 2:20-25). Yesus pun dianiayai, kita sebagai murid-muridNya, adalah normal untuk dianiaya, tetapi ia adalah pelik dan tidak normal untuk tidak dianiaya.
Nabi palsu zaman purba tidak menghadapi penganiayaan kerana mereka pandai berkata-kata yang mengambil hati dan mengampu supaya raja dan umat berasa tenang dan gembira; tetapi tidak ada bahagian mereka dalam kerajaan syurga.