MENGENALI GERAKAN KARISMATIK SEJAGAT

MENGENALI GERAKAN KARISMATIK SEJAGAT

(Che Fu Ming)

 

PENDAHULUAN

Pengaruh Gerakan Karismatik pada abad kedua puluh telah tersebar ke seluruh dunia. Aliran ini masih berterusan sehingga kini. Berapa banyak kesannya terhadap gereja? Bagaimana seharusnya pemercaya mengenali Gerakan Karismatik dengan berhati-hati?

 

ASAL GERAKAN KARISMATIK

A. Gerakan Kesucian

John Wesley (1703-1791) merupakan pengasas gereja Methodist dan dikenali sebagai bapa rohani Gerakan Kesucian dan Gerakan Pentakosta moden. Dia dan rakan-rakannya yang awal mengalami kedatangan kuasa Tuhan dalam pertemuan pada pukul tiga pagi. Mereka berseru dalam doa, dan banyak orang jatuh ke atas lantai kerana arus “kegembiraan” yang tidak berkesudahan.

Pada tahun 1800, dalam kem retreat Kenny’s Mountain di Kentucky yang dihoskan oleh Barton Stone, para pesertanya sangat bersemangat. Kebanyakan mereka mengalami histeria yang soleh. Mereka jatuh, kekejangan, berteriak, ketawa, menari, dan menyatakan bahawa mereka ditebus atau dikuduskan setelah mereka sedar.

Pada tahun 1867, sebuah retret nasional yang dipimpin oleh John Inakip mempromosikan Roh Kudus dan pengudusan, dan mewujudkan Gerakan Kesucian moden di Amerika Syarikat. Namun, setelah pertemuan ini, lebih daripada 100 denominasi telah terhasil.

Pada tahun 1880, “Gerakan Pengasingan” muncul di gereja Methodist dan Daniel Wanner membentuk “Church of God”. Akibatnya, lebih daripada 20 denominasi telah terhasil. Antara yang terkenal ialah Church of God, Church of the Nazarene, Pilgrim Holiness Church dan The Fire Baptized Holiness Church.

The Fire Baptized Holiness Church merupakan bahagian penting bagi Gerakan Pentakosta. Gereja ini diasaskan oleh Benjamin Irwin. Semasa kebaktian doa dalam baptisan api pertaubatan, ada pemercayanya yang berteriak, menjerit, berbicara semacam bahasa roh, berkhayal dan mengalami kekejangan.

Satu lagi pemula Gerakan Pentakosta ialah Church of God. Ketika Gerakan Pengasingan berlaku dari tahun 1880 hingga tahun 1920, terdapat sekurang-kurangnya 200 gereja atau denominasi bebas yang menggunakan nama Church of God. Antanya, gereja yang paling terkenal ialah “Church of God The Christ” yang dipimpin oleh Ma Sen dan “Church of God” yang dikendalikan oleh Tang Lin Sheng. Pemercaya menangis, bertepuk tangan, kejang, melambaikan tangan, jatuh ke lantai, memukul, roh diliputi oleh kuasa Ilahi, dan melihat penglihatan semasa berkebaktian. Pada tahun 1906, kebanyakan mereka bersetuju dan mengambil bahagian dalam Gerakan Pentakosta.

B. Gelombang Pertama Gerakan Karismatik – Gerakan Pentakosta

Pada tahun 1906, Gerakan Pentakosta yang dicetuskan oleh Gerakan Kesucian tercetus secara rasmi di Amerika Syarikat. Pada tahun 1904, semasa The Welsh Revival, Gerakan Bahasa Roh menjadi popular di Britain. Pada masa yang sama, Charles Parham di Amerika Syarikat juga mengusulkan bahawa berbahasa roh (glossolalia) merupakan satu-satunya bukti menerima Roh Kudus.

Rekod terawal “berbahasa roh” pada abad ini berlaku di Topeka, Kansas, Amerika Syarikat pada tahun 1901. Pada waktu itu, “baptisan Roh Kudus” datang kepada seorang pelajar perempuan yang bernama Agnes N. Ozman di Bethel Bible College. Sebuah buku berjudul “The Wind of God” merupakan catatan Gerakan Pentakosta awal. Penulisnnya, Ethel E. Goss, menerangkan cara Roh Kudus datang. Kemudian, pengasas Bethel Bible College, Charles Penharm dan pelajarnya berturut-turut menerima Roh Kudus lalu menjadi mukadimah Gerakan Pentakosta pada masa itu.

Berita mengenai baptisan roh tersebar daripada sini, dan secara beransur-ansur semakin banyak orang memperhatikan baptisan Roh Kudus. Denominasi seperti Pentecostal Holiness Church, Apostolic Faith Mission, The Assemblies of God, International Church of the Foursquare Gospel dan lain-lain pada umumnya mengakui bahawa “berbahasa roh” merupakan bukti menerima baptisan Roh Kudus.

Gerakan Pentakosta secara beransur-ansur tersebar ke seluruh pelosok dunia dan berkembang dengan pesat serta menubuhkan organisasi pemberitaan Injil dan menunjukkan pencapaian yang luar biasa.

C. Gelombang Kedua Gerakan Karismatik – Gerakan Pentakosta Baru

Bermula tahun 1960, orang-orang Kristian di luar denominasi Pentakosta sekali lagi mengalami fenomena berbahasa roh yang lain, yang disebut sebagai “Pentakostalism Baru” (New-Pentecostalism) oleh ahli sejarah. Salah satu contoh umum berlaku pada 3 April 1960. Dennis Bennett, paderi gereja Saint Mark Anglican di Van Nuys yang berhampiran dengan Hollywood, California tiba-tiba dipenuhi dengan Roh Kudus dan mengucapkan sejenis “bahasa pujian dan doa yang kuat yang baru dan berkuasa, bahkan Bennett sendiri tidak dapat mengertinya”. Pada tahun 1963, dianggarkan kira-kira 200 pemercaya Anglikan di daerah Los Angeles boleh berbahasa roh. Banyak pemercaya sangat bersemangat tentang Gerakan Karismatik ini dan mempromosikannya secara aktif.

Gerakan Karismatik pada tahun 60-an menekankan perihal berbicara roh, menyanyi lagu rohani, kepenuhan Roh Kudus, dan doktor rohani. Namun, pada akhir tahun 60-an dan 70-an, oleh sebab menghadapi ejekan dan pengekangan, gerakan ini sama sekali tidak menekankan perihal bahasa roh dan doktor rohani, sebaliknya menekankan perihal kasih fizikal, menghafal Alkitab, memberikan kesaksian, menyanyikan balada Injil pendek dan memberitakan Injil.

D. Gelombang Ketiga Gerakan Karismatik – Gerakan Viveyard

Gerakan karismatik muncul di gereja-gereja konservatif di Amerika Syarikat pada tahun 80-an. Terdapat tiga orang jurucakap utama dalam gerakan ini. Mereka semua mengajar di World Mission School of the Fuller Theological Seminary di California. Mereka ialah John Wimber, John White dan C. Peter Wagner. Mereka menubuhkan “Miracle and Church Growth”, mempromosikan “sentuhan kuasa” (Power Encounter), menekankan kuasa Roh Kudus, penyembuhan kuasa (Power Healing), dan penginjilan kuasa (Power Evangelism) yang disebut “Signs and Wonders Movement”. Gerakan ini bersandar pada kuasa Roh Kudus untuk menyembuhkan penyakit dan memberikan kesaksian. Gerakan Viveyard merujuk kepada kumpulan yang menggerakkan gerakan ini iaitu Vineyard Christian Fellowship di California.

E. Gerakan Karismatik di Taiwan

Gerakan Pentakosta diperkenalkan ke China pada tahun 1910-an lalu mendirikan gereja, dan kemudian juga disebarkan ke Taiwan. Contohnya The Assemblies of God, Holiness Church, dan lain-lain. Pada sisi yang lain, denominasi Pentakosta yang didirikan oleh orang China ada “True Jesus Church” dan “Jesus Family Church”. Gereja Yesus Benar disebarkan ke Taiwan pada tahun 1927 dan disebut sebagai gereja Pentakosta pertama di Taiwan. Pada tahun 1955, denominasi Pentakosta lain, “Zion Church” disebarkan ke Taiwan. Mereka tidak menekankan perihal karunia rohani, sebaliknya menekankan perihal “penyertaan Yesus” dan ada fenomena bahasa roh, tetapi tidak melanda setiap pemercaya. Pada tahun 1966, Jiang Duan Yi mula menubuhkan “New Testament Church” di Taiwan dan memimpin “Grace of Jesus Christ Crusade”. Markas besar mereka kini terletak di “Mount Zion” di Jiaxian, Kaohsiung. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, “Elim Christian Center” merupakan gereja bebas baru yang mengejar karunia roh. Di samping itu, gereja Katolik menubuhkan “Pembaharuan Karismatik Katolik” di Hsinchu untuk membantu menyelesaikan masalah kerohanian melalui karunia roh. Dalam retret yang dianjurkan oleh Christian Cultivation Society, perhimpunan untuk mengejar Roh Kudus sering diadakan.

Dalam Gerakan Karismatik di Taiwan, rumah doa Cina (Chinese Christian Prayer Mountain) yang paling spesifik dan representatif di Zaoqiao, Miaoli, ialah “Gunung Doa” yang telah muncul dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Gunung ini mempunyai kecenderungan untuk dikuduskan dan menyebabkan konsep yang salah iaitu mempunyai fikiran bahawa hanya doa di atas gunung ini sahaja berkesan, tetapi tidak berkesan di tempat lain (rujuk: Yoh 4:20-24).

Kebelakangan ini, di gunung Jianshi, Hsinchu, Taiwan, terdapat “Christian Kuang-Ye Association“, yang disebut “Power Healing.” Namun, mereka berperilaku aneh, dengan fenomena seperti nafsu dan keserakahan untuk mencari wang. Banyak orang yang disesatkan olehnya. Selain itu, “Truth Church” dari Hong Kong juga menekankan perihal penerimaan Roh Kudus dan lain-lain.

 

REFLEKSI GERAKAN KARISMATIK

A. Menanggapi hal yang dikatakan, berwaspada terhadap tipu muslihat Iblis

Para mubaligh Gerakan Karismatik memiliki semangat untuk memberitakan kebenaran Roh Kudus dan berkorban. Namun malang sekali, Injil itu tidak lengkap, pemahaman tentang Roh Kudus juga tidak mencukupi, dan kekurangan karunia untuk membezakan bermacam-macam roh lalu menyebabkan kekacauan dan perpecahan (1 Yoh 4:1-6; 2 Kor 11:4; 1 Kor 12:10).

Bagi pandangan gereja umum tentang “menerima Roh Kudus dan berbahasa roh”, kita harus menunjukkan penyimpangan mereka dari aspek pemahaman dan praktikal berdasarkan kasih Kristus di samping berterus terang memberitakan perkataan kebenaran itu, sama seperti pengalaman penerimaan Roh Kudus yang tercatat dalam kitab Kisah Para Rasul (Kis 2:1-13,33,38-39, 8:14-17, 10:44-48, 19:1-7).

Pada masa ini, terdapat beberapa gereja umum yang menafikan Roh Kudus, dan ada yang menunjukkan kebingungan, fenomena yang menakutkan, jatuh ke tanah, koma, tergoncang-goncang, dan juga mulut berbuih (Luk 9:39,42). Jika ditolak atau ditekan dengan tangan, mereka akan rebah dan pengsan ke atas lantai / tanah. Fenomena ini disebut sebagai “The Spirit Slaying” iaitu percaya bahawa seseorang itu rebah disebabkan kuasa Tuhan dan dinyatakan ketika Roh Kudus dicurahkan kepada manusia. Contoh yang digunakan adalah seperti Daniel bertemu dengan malaikat lalu tertelungkup (Dan 10:8,9) dan rasul Yohanes tersungkur ketika melihat keagungan Tuhan Yesus (Why 1:17). Mereka juga memetik daripada kisah Saul kepenuhan dan rebah (1 Sam 19:18-24) atau Saulus rebah ke tanah kerana dikelilingi cahaya Roh Kudus (Kis 9:3.4). Semua ini tidak sesuai dengan ajaran Alkitab, sebaliknya merupakan penyesatan Iblis terhadap manusia (2 Tes 2:9-11). Janganlah kita tidak berhati-hati!

Orang Kristian harus bersikap berhati-hati dan berwaspada terhadap tipu daya nabi palsu (Mat 24:23-24). Janganlah percaya akan setiap roh, tetapi ujilah roh-roh itu, apakah mereka berasal dari Allah (1 Yoh 4:1-6; 2 Tes 2:9; Why 13:3; Ul 13:1-13). Kebenaran dapat membezakan segalanya dan Roh menyelidiki segala sesuatu.

B. Mencari domba yang sesat, bersatu dalam Tuhan

Peranan yang dimainkan oleh denominasi Pentakosta adalah seperti kerja Yohanes Pembaptis pada akhir zaman Perjanjian Lama. Dia menyedarkan agama Yahudi yang mati, memimpin orang untuk bertaubat, dan menyambut Juruselamat Yesus yang datang kemudian (Mat 3:1-12). Pada masa kelak, seperti yang dikatakan oleh Yohanes: “Ia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil.” (Yoh 3:30).

Tuhan Yesus berfirman: “Jangan kamu cegah, sebab barangsiapa tidak melawan kamu, ia ada di pihak kamu.” (Luk 9:50; Mrk 9:40), “Siapa tidak bersama Aku, ia melawan Aku dan siapa tidak mengumpulkan bersama Aku, ia mencerai-beraikan.” (Luk 11:23). Syarat untuk berdamai dengan Tuhan adalah melalui cara kesatuan dengan Roh Kudus dalam kebenaran dan iman kepercyaan (Ef 4:3-7,13). Sekiranya kita tergolong dalam Roh Kudus yang sama, kita akan mentaati kebenaran dan tidak akan melawan tubuh Tuhan Yesus – Gereja Yesus Benar. Sebelum mendapat pemahaman yang mendalam, janganlah kita terlalu berharap, tetapi juga tidak perlu menentang atau menolaknya. Bezakanlah antara roh kebenaran dengan roh yang menyesatkan. Percayalah bahawa domba Tuhan pasti akan mendengar suara Tuhan dan mereka akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala (Yoh 10:16; 1 Yoh 4:1-16).

C. Memulihkan gereja benar zaman rasul

Dua ribu tahun yang lalu, Roh Kudus dicurahkan untuk pertama kalinya pada hari Pentakosta. 3000 orang dibaptis dan gereja primitif pun didirikan. Masa ini merupakan masa menabur Roh Kudus hujan awal. Pada awal abad ke-20, Roh Kudus sekali lagi dicurahkan untuk mendirikan gereja benar akhir zaman, iaitu masa menuai Roh Kudus hujan akhir. Sejarah Roh Kudus berhenti dicurahkan tidak mudah untuk dikaji, tetapi nubuat dan perlambangannya sudah ada dalam Alkitab (Im 26:19; Ul 11:16-17; Mzm 107:33-34; Luk 4:25). Kemunculan gereja benar pada akhir zaman lebih lagi menyatakan janji Tuhan (Yl 2:28-31; Za 10:1). Gereja benar memiliki Injil yang lengkap, kuasa Roh Kudus, dan kesaksian tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat (Rm 15:18; Ibr 2:4). Gereja benar memikul amanat zaman-berzaman yang dipercayakan oleh Tuhan, mendirikan kembali pondok yang telah roboh (Am 9:11; Kis 15:16,17; Yes 58:12), memulihkan gereja zaman rasul dan memuliakan nama kudus Tuhan (Yes 2:2,3).

 

KESIMPULAN

Pada zaman akhir inilah waktu perkenanan itu dan hari Tuhan menyelamatkan. Tuhan menghendaki supaya semua orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan akan kebenaran, Dia menghendaki supaya jangan ada yang binasa. Kita harus menjadi rakan sekerja Allah dan memohon Tuhan untuk menghidupkan pekerjaan-Nya (Hab 3:2). Kita harus bertekun dalam doa dan dalam pada itu berjaga-jaga sambil mengucap syukur. Kita juga harus memohon supaya Tuhan membuka pintu untuk pemberitaan dengan bersandarkan Roh Kudus (Kol 4:2-3; Za 4:6), bersekutu dalam Berita Injil dan menyambut kedatangan semula Tuhan.