PANDUAN PEMBACAAN KITAB 1, 2 SAMUEL
(Qiu Yi Xiong)
PENGENALAN
Kitab Samuel adalah salah satu kitab sejarah dalam Perjanjian Lama. Kitab Samuel mencatatkan proses peralihan daripada sistem pemerintahan hakim kepada sistem pemerintahan beraja (monarki) bangsa Israel. Catatan ini dimulakan dengan kelahiran Samuel. Oleh itu, Samuel memainkan peranan yang sangat penting di dalamnya. Dia telah mengurapi dua raja pertama Israel. Walaupun Saul merupakan raja yang pertama, namun dia bukanlah permulaan sistem pemerintahan beraja (monarki) yang sebenarnya. 2 Samuel dimulakan dengan pemerintahan Daud. Daud ialah pengasas “Kerajaan Yehuda”. Dia mendirikan kerajaan dan menetapkan banyak model untuk diikuti oleh pewaris dan keturunannya.
Kitab Samuel menggariskan masa peralihan dari zaman hakim ke zaman kerajaan. Penulis memuji dan mengkritik watak-wataknya, keterangannya teliti dan adil, dan membuatkan mereka yang berniat jahat berasa takut. Keindahan kitab ini benar-benar setanding dengan “musim semi dan musim gugur.”
Kitab Samuel dan kitab Hakim-hakim mempunyai hubungan yang sangat erat kerana kedua-duanya menyebut pemimpin politik awal sebagai “hakim.” Kitab Samuel dan kitab Raja-raja juga sangat berkaitan. Kedua-duanya membuat kesimpulan tentang kehidupan Daud dan menggambarkan penggantinya sebagai Salomo.
NAMA
Kitab Samuel yang kita gunakan sekarang terbahagi kepada dua gulungan. Kedua-dua kitab itu pada awalnya hanya satu sahaja dan tidak dipisahkan. Terjemahan Septuaginta menganggap 1, 2 Samuel dan 1, 2 Raja-raja sebagai kitab-kitab yang mencatatkan sejarah Kerajaan Israel lalu membahagikannya kepada dua bahagian serta menyebutnya sebagai “Kitab-kitab Kerajaan” (Books of the kingdoms). “Kitab-kitab Kerajaan” bukanlah sejarah banyak negara dan bangsa, tetapi sebenarnya ialah sejarah raja-raja Israel di Kerajaan Selatan dan Kerajaan Utara zaman-berzaman. Oleh itu, kitab 1 dan 2 Samuel ialah kitab pertama dan kedua dalam “Kitab-kitab Kerajaan” manakala kitab 1 dan 2 Raja-raja ialah kitab yang ketiga dan keempat dalam “Kitab-kitab Kerajaan”. Sebab ini menjadi asal usul kepada penambahan satu sub topik The first book of kings (kitab Raja Pertama) dalam kitab Samuel terjemahan versi King James.
Kedua-dua kitab ini diberi nama Samuel. Oleh sebab Samuel ialah watak utama, maka kitab ini mencatatkan kehidupannya secara terperinci, termasuk kelahirannya, masa kanak-kanaknya dan pengalamannya sebagai hakim. Selain itu, kitab ini juga mencatatkan sejarah dia menubuhkan dua buah kerajaan iaitu sejarah Saul dan Daud. Mereka diurapi oleh Samuel untuk menjadi raja, dan hal-hal ini sangat berkaitan dengan Samuel. Oleh itu, “Samuel” ialah tajuk buku yang paling tepat. Isi kandungan yang terlalu besar menyebabkan kitab ini dibahagikan kepada dua gulungan. Kitab 1 Samuel mencatatkan kelahiran Samuel hingga kematian Saul. Kitab 2 Samuel pula mencatatkan semua sejarah dan perbuatan Daud sebagai raja.
Mengambil “Samuel” sebagai tajuk kitab ini juga menunjukkan bahawa Samuel dihormati dan dikasihi pada masa itu. Dalam mata orang Israel, dia ialah pemimpin negara, kedua selepas Musa, kerana:
A. Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir, menyebarkan hukum Taurat, dan membawa mereka ke perbatasan Kanaan yang dijanjikan oleh Tuhan. Samuel pula diutus oleh Tuhan ketika negara itu berada dalam krisis. Kerjanya ialah mengubah krisis menjadi damai, dan meletakkan negara itu di atas gunung batu. Pada masa Eli menjadi hakim, negara itu sudah dekat dengan krisis pemusnahan. Kemunculan Samuel membawa pemulihan yang ajaib dan harapan baru kepada Israel.
B. Musa hanya menyebarkan hukum Taurat, tetapi Samuel mendirikan sekolah nabi untuk melatih bakat (rujuk: 1 Sam 10:5, 19:18-20). Dia bukan hanya memberikan pengaruh yang besar dari segi kerohanian, tetapi juga memberikan sumbangan yang signifikan terhadap pendidikan dan budaya.
C. Samuel juga seorang pemimpin yang bijaksana. Dia mengubah sistem politik Israel daripada pemerintahan hakim kepada pemerintahan beraja (monarki). Pemerintahan beraja (monarki) ini harus ditadbir oleh Tuhan, iaitu raja harus mematuhi hukum Taurat Tuhan, dan dia harus mendengar pernyataan yang diberikan oleh Tuhan melalui para nabi. Raja hanyalah hamba yang memerintah umat Tuhan, baik raja mahupun umat harus takut akan Tuhan dan melayani Dia dengan sepenuh hati.
D. Samuel seorang yang diguna oleh Tuhan. Dia mempunyai tiga peranan iaitu sebagai hakim, nabi dan imam.
LATAR BELAKANG SEJARAH
Di bawah pemerintahan hakim, orang Israel hanya menerima sebahagian pemulihan dan bersifat sementara. Aspek politik kerajaan, akhlak moral, kepercayaan agama, dan ketertiban sosial kian merosot dan menjadi semakin teruk dari hari ke hari. Tempoh ini boleh dikatakan sebagai:
A. Zaman ketidakamanan politik. “Pada zaman itu tidak ada raja di antara orang Israel; setiap orang berbuat apa yang benar menurut pandangannya sendiri.” (Hak 17:6, 18:1, 19:1, 21:25).
B. Zaman kemerosotan iman kepercayaan. “Pada masa itu firman TUHAN jarang; penglihatan-penglihatan pun tidak sering.” (1 Sam 3:1).
C. Zaman keruntuhan akhlak moral. Dapat dilihat daripada Hakim-hakim fasal 17-21.
Tuhan membangkitkan Samuel pada zaman ini, dan dia memainkan tiga peranan sebagai hakim, nabi, dan imam. Di bawah kepemimpinannya, kepercayaan agama Israel dipulihkan dan ketertiban sosial dapat dibentuk semula.
Permulaan kitab ini memperkenalkan kelahiran Samuel, masa mudanya, dan sehingga dia diangkat sebagai seorang nabi (fasal 1-3). Kemudian, kitab ini menyatakan penindasan dan penganiayaan daripada orang Filistin yang merupakan kesinambungan sejarah daripada kitab Hakim-hakim.
Orang Filistin berani dan pandai berperang, teratur, dan memiliki kemahiran membuat benda besi, benda dan tombak. Kemahiran ini merupakan rahsia ketenteraan pada masa itu dan tidak mudah diperoleh oleh orang luar (1 Sam 13:19-20). Mereka mendekati Daerah Bukit umat Israel di timur dari tempat tinggal mereka di kawasan pesisir. Tindakan mereka menyebabkan umat Israel tidak ada setapak tanah pun secara beransur-ansur dan tidak dapat bertahan dalam hidup. Umat Israel lemah dan tidak dapat menentang orang Filistin yang kuat. Pada masa itu barulah mereka menyedari kepentingan perpaduan bangsa. Kerajaan berpusat adalah diperlukan untuk mereka bersatu dan mempertahankan diri melawan musuh. Oleh itu, mereka meminta untuk mencontohi bangsa-bangsa lain dengan mengangkat raja untuk memerintah mereka. Maka, Samuel mengangkat Saul sebagai raja pertama bagi mereka. Namun, raja Saul tidak mematuhi perintah Tuhan. Walaupun dia mempunyai prestasi yang baik di medan peperangan, dia tidak dapat mengalahkan dirinya sendiri. Akhirnya, dia ditinggalkan oleh Tuhan dan Daud diangkat sebagai raja.
Tuhan memilih Daud yang muda sebagai pewaris takhta Saul, dan Samuel mengurapi dia sebagai raja secara diam-diam. Mula-mula, dia memasuki istana untuk memainkan kecapi dan mengusir roh jahat untuk Saul. Kemudian, dia membunuh Goliat, musuh yang kuat. Dia kembali dengan penuh kemenangan dan disayangi oleh semua orang. Kebangkitan Daud menyebabkan kecemburuan Saul. Dalam kegilaan Saul mahu membunuhnya, Daud berfikiran terbuka dan membalas kejahatan dengan kebaikan. Dalam pertempuran dengan orang Filistin di lembah Yizreel, Saul dikalahkan dan dia membunuh diri dengan menjatuhkan dirinya ke atas pedang untuk mengakhiri hidupnya.
Protagonis dalam kitab 2 Samuel ialah Daud, dimulai dengan dia berkabung atas kematian Saul, menjadi raja di Yehuda, dan berakhir dengan jangka waktu sebelum kematian Daud. Penulis menitikberatkan keperibadian Daud dan pelbagai perbuatannya sebagai raja. Daud adalah seorang ahli politik dan ketenteraan yang hebat, pandai berorganisasi, dan pandai dalam aspek strategi ketenteraan kerana dia mampu untuk memimpin Israel menuju ke arah negara yang kuat. Dia menawan Yerusalem yang sudah lama tidak tertawan, dan mengusir orang Yebusi. Umat Israel gagal menawan kota Yebusi selama beratus-ratus tahun tetapi Daud telah berjaya melakukannya. Daud menjadikan Yerusalem sebagai pusat politik dan keagamaan umat Israel.
Wilayahnya luas dan situasinya rumit. Di bawah struktur politik lama, setiap suku memerintah dengan cara mereka yang tersendiri. Keadaan ini menyukarkan pemerintahan yang berkesan. Daud membentuk sebuah kerajaan yang berkesan. Antaranya termasuk seorang “panglima” iaitu kepala pasukan, seorang “bendahara negara” sebagai pegawai pentadbiran istana yang bertanggungjawab atas urusan nasional dan mencatat sejarah keluarga kerajaan, seorang “panitera negara” yang mengendalikan dokumen urusan dalaman dan diplomatik, dan dua orang “imam besar” yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal ibadah dan agama. Selain itu, terdapat juga penyelia yang bertanggungjawab atas orang rodi dan kakitangan khas untuk mengurus persediaan raja, ternakan, ladang dan lain-lain milik pusaka (2 Sam 8:15-18, 20:20-26; 1 Taw 27:25-31).
Kitab ini mencatatkan sejarah sekitar seratus tahun dari akhir zaman hakim-hakim hingga kerajaan Daud (sekitar 1107-970 SM) secara terperinci. Tiga tokoh penting dalam sejarah ini membolehkan kita memahami proses umat pilihan membentuk kerajaan. Samuel menanamkan dasar kerajaan, Saul berusaha membentuk kerajaan tetapi gagal (hanya ada prototaip kerajaan dan bersaing dengan kekuatan negara-negara jiran), manakala Daud pula membawa bangsa itu ke tahap membangun kerajaan yang penuh.
PENULIS
Menurut tradisi Yahudi, Samuel dianggap sebagai penulis kitab ini. Dia tidak hanya menulis kitab Samuel, tetapi juga kitab Hakim-hakim dan kitab Rut. Namun, kitab ini menyebut tentang kematiannya dalam fasal 25, dan diulang dalam fasal 28. Fasal 25 hingga 31 dan kitab 2 Samuel berlaku setelah kematiannya. Dia sudah meninggal dunia, masihkah dia boleh menulis? Orang-orang Yahudi menganggap bahawa pekerjaannya yang belum selesai diteruskan oleh nabi Gad dan nabi Natan bagi memenuhi harapan Samuel.
Samuel boleh menulis dan menghasilkan karya. Dia mencatatkan hak-hak kerajaan dan peristiwa sejarah (rujuk: 1 Sam 10:25; 1 Taw 29:29). Namun, kita dapat melihat daripada isi kandungan kitab ini bahawa penulis ternyata memetik sumber daripada bahan sastera yang berbeza, termasuk karya nabi Samuel, nabi Natan, dan nabi Gad (rujuk: 1 Taw 29:29). Oleh itu, kita hanya boleh mengatakan bahawa kitab ini ditulis oleh nabi yang tinggal di Yehuda dengan ilham Roh Tuhan dan berdasarkan bahan-bahan sejarah yang disebutkan di atas setelah kerajaan itu berpecah.
MASA PENULISAN
Kita dapat melihat bahawa masa penyusunan kitab ini adalah sangat awal berdasarkan teks yang digunakan. Teks yang digunakan dalam kitab ini ialah bahasa Ibrani yang murni, tidak ada tatabahasa bahasa Aram, dan tidak ada bahasa Ibrani campuran yang wujud pada kemudian hari.
Kitab ini pastinya ditulis selepas satu jangka masa setelah Saul dan Samuel bertemu untuk pertama kalinya. Nabi pada waktu itu disebut “pelihat”. Penulis takut bahawa orang-orang kemudian tidak mengetahuinya, maka dia membuat penjelasan khusus (1 Sam 9:9).
Kitab ini pastinya disiapkan setelah kematian Daud, kerana kitab ini mencatatkan tempoh masa Daud menjadi raja (2 Sam 5:5). Penulis kitab ini pasti hidup tidak lama setelah kerajaan berpecah. Hal ini kerana kitab ini menyebut bahawa Yehuda dan Kerajaan Utara Israel telah berpisah (27:6). Oleh itu, kita percaya bahawa kitab ini disiapkan setelah kematian raja Salomo (930 SM) dan sebelum kejatuhan Kerajaan Utara (722 SM).
CIRI – CIRI KITAB INI
A. Nilai sastera
Genre buku ini ialah sejarah dalam bentuk cerita. Penulis menggambarkan Samuel, Saul, Yonatan, Daud dan tokoh-tokoh lain dengan gaya yang sederhana dan benar. Tokoh-tokoh digambarkan dengan tulus dan dengan pelbagai emosi. Perubahan dramatiknya benar-benar lebih menarik daripada novel. Perbuatan tangan suci Tuhan ternyata berbeza di sebalik tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa ini: kebangkitan dan kejatuhan watak, kejayaan atau kegagalan sesuatu peristiwa, semuanya ditentukan oleh kepercayaan mereka kepada Tuhan. Prinsip sejarah ini muncul di antara konteks secara semula jadi. Nilai terbesar kitab Samuel adalah bahawa penulis membekalkan banyak pelajaran tentang hikmat rohani dan praktikalnya melalui gambaran tokoh-tokoh dalam bentuk sastera dan membolehkan pembaca belajar daripada pelbagai tokoh dan peristiwa.
Setiap cerita dalam kitab ini mempunyai makna yang luas. Tidak lama setelah Samuel dilahirkan, dia dipersembahkan kepada Tuhan oleh ibu bapanya. Dia mendengar panggilan Tuhan ketika dia masih muda. Setelah dewasa, dia menjadi nabi yang dipandang berat dan diguna oleh Tuhan. Kisah ini memberikan teladan pelayanan kepada banyak orang. Kisah tabut perjanjian dirampas ialah contoh yang baik bagi krisis iman kepercayaan yang ditimbulkan oleh para penganut formalisme. Kisah Daud mengalahkan Goliat telah lama menjadi sebahagian daripada legenda sejarah. Daud mengusir roh jahat daripada Saul dengan bermain kecapi telah menjadi contoh terapi muzik yang terkenal. Kisah mengenai kejahatan Daud dan Batsyeba telah menjadi salah satu kejahatan yang paling terkenal dalam Alkitab. Rambut panjang Absalom dan kegagalan pemberontakannya memberikan amaran terbaik kepada “anak pemberontak” di dunia.
Kitab Samuel juga memuatkan banyak puisi yang menarik. Sebagai contoh: puji-pujian Hana (1 Sam 2:1-10), ratapan Daud untuk Saul dan Yonatan (1 Sam 1:19-27), ratapan Daud untuk Abner (2 Sam 3:33-34), nyanyian syukur Daud (2 Sam 22), dan perkataan Daud yang terakhir (2 Sam 23:1-7).
B. Nilai iman kepercayaan
Alkitab mencatatkan: “Hati raja seperti batang air di dalam tangan TUHAN, dialirkan-Nya ke mana Ia ingini.” (Ams 21:1). Dalam kitab ini, kita melihat bahawa raja-raja dipilih oleh Tuhan, dan mereka memerintah negara dengan nama Tuhan. Oleh itu, mereka mesti mentaati Tuhan dan bertindak di bawah kuasa-Nya. Seandainya tidak, takhtanya akan ditarik kembali. Eli menghormati anak-anaknya lebih daripada Tuhan lalu jabatan imamnya dilucutkan (1 Sam 2:29-36). Raja Saul menolak firman Tuhan, maka Tuhan telah menolaknya sebagai raja (1 Sam 15:23).
Melalui tokoh-tokoh yang digambarkan oleh penulis, seperti persahabatan antara Yonatan dengan Daud, Saul memburu Daud, Yoab, Absalom … dll, kita dapat membaca tentang persahabatan, konspirasi, pemberontakan, pembunuhan … dan penghakiman Tuhan. Tokoh-tokoh ini telah memberikan pelajaran rohani dan praktikal yang tidak terkira banyaknya untuk menolong kita dalam kehidupan penyempurnaan rohani kita.
C. Nilai sejarah
Untuk menilai nilai sejarah sesebuah buku, kita mesti melihat keaslian bahan-bahan yang digunakan, latar belakang sejarah bahan-bahan, dan sama ada orang yang menggunakan bahan-bahan ini benar-benar orang yang boleh dipercayai, dan sama ada keperibadian dan sikap objektifnya boleh dipercayai.
Sikap penulisan kitab ini adalah jujur dan objektif. Penulis menulis mengenai rakyat dan hal-hal raja negaranya. Dia mencatat dengan berani dan terus terang tanpa sebarang penyempunyian, sepenuhnya mengabaikan sentimen, dan menyampaikan semua fakta kepada pembaca secara langsung. Walaupun raja Daud merupakan raja pengasas bangsa, nenek moyang Yesus Kristus, dan tokoh hebat yang menempati kedudukan penting dalam sejarah Israel, namun penulis tetap mengkritik kelemahan dan kejahatannya, dan tanpa pengampunan. Pengarang Alkitab boleh dikatakan sebagai penulis yang paling jujur, terus terang, dan objektif dalam sejarah umat manusia. Tidak seperti ahli sejarah bangsa lain, mereka menyanjungi raja dan tidak berani menyinggung perasaan raja, apatah lagi mendedahkan kesalahan mereka kepada dunia. Perkara-perkara yang memalukan raja tidak diungkit sama sekali, dan bahkan mengubah perkara buruk menjadi perkara baik, menyanyikan pujian, dan sedaya upaya memuji atau menyanjungi kebolehan raja. Catatan seperti ini dalam Alkitab adalah sesuai dengan kehendak Tuhan (Rm 15:4).
Tanpa kitab Samuel sebagai petunjuk untuk menghubungkan sejarah, Perjanjian Lama atau sejarah Israel tidak akan dapat difahami. Kitab Samuel bukan hanya sejarah, tetapi juga teologi. Bahan-bahan di dalamnya bukan hanya pelajaran sejarah, tetapi juga teks khutbah. Penulis melihat bahawa rancangan Tuhan dilaksanakan dalam sejarah umatnya. Dia percaya bahawa sejarah ini dapat membawa kepada pelajaran etika dan moral. Pelajaran ini merangkumi empat aspek:
- Tuhan menguruskan semua urusan manusia, segala yang berlaku diatur dan dipimpin oleh Tuhan.
- Tuhan menyertai umat-Nya dan sering menyatakan diri-Nya kepada mereka, membolehkan mereka berjalan di atas jalan Tuhan melalui pengajaran para nabi supaya mereka diberkati.
- Demi menyelesaikan rancangan-Nya, Tuhan melantik pemimpin yang sesuai untuk umat-Nya. Daud ialah raja yang bijaksana, dan penampilannya membuktikan fakta ini.
- Tuhan mengasihi umat-Nya dan sentiasa bertindak untuk kebaikan mereka. Dia menghukum mereka ketika mereka jatuh (tidak taat kepada kehendak-Nya) dan layak mendapat hukuman.
D. Latar belakang mazmur
Watak utama kitab Samuel ialah Daud, dan kita juga boleh menyebutnya sebagai “biografi Daud.” Mazmur ialah ungkapan kesusasteraan iman kepercayaan Daud, manakala kitab Samuel ialah catatan prestasi kehidupannya. Kita dapat mengetahui keperibadian dan iman kepercayaan Daud apabila kita membaca kedua-duanya bersama. Terdapat 73 puisi karya Daud dalam kitab Mazmur. Antaranya, 13 puisi ada menyatakan latar belakang puisi, dan latar belakang puisi-puisi ini dapat ditemukan dalam kitab Samuel, yang mencatat tentang riwayatnya.
1. Mazmur bilangan 3 (2 Sam 15:13-18)
2. Mazmur bilangan 7 (1 Sam 21-26; 2 Sam 16:5-14)
3. Mazmur bilangan 18 (2 Sam 22)
4. Mazmur bilangan 30 (2 Sam 5:6-12)
5. Mazmur bilangan 34 (1 Sam 21:12-15)
6. Mazmur bilangan 51 ( 2 Sam 11-12)
7. Mazmur bilangan 52 (1 Sam 21:7, 22:9)
8. Mazmur bilangan 54 (1 Sam 23:15-29)
9. Mazmur bilangan 56 (1 Sam 21:10-15)
10. Mazmur bilangan 57 (1 Sam 22:1-2, 24:1-3)
11. Mazmur bilangan 59 (1 Sam 19:11-18)
12. Mazmur bilangan 60 (2 Sam 8:3-14)
13. Mazmur bilangan 63 (2 Sam 15:23-28, 16, 17)
Selain itu, latar belakang beberapa puisi yang tidak dinyatakan juga dapat dilihat dalam kitab Samuel:
1. Mazmur bilangan 11 (rujuk: 1 Sam 18-19)
2. Mazmur bilangan 13 (rujuk: 1 Sam 27:1)
3. Mazmur bilangan 16 (rujuk: 1 Sam 26)
4. Mazmur bilangan 17 (rujuk: 1 Sam 23:26)
5. Mazmur bilangan 23 (rujuk: 1 Sam 16:11, 17:34-37)
6. Mazmur bilangan 24 (rujuk: 2 Sam 6:12-15)
7. Mazmur bilangan 26 (rujuk: 2 Sam 4:5-12)
8. Mazmur bilangan 27 (rujuk: 1 Sam 22:3-5)
9. Mazmur bilangan 31 (rujuk: 1 Sam 23; 2 Sam 15-17)
10. Mazmur bilangan 35 (rujuk: 1 Sam 24:15; 2 Sam 15-17)
11. Mazmur bilangan 41 (rujuk: 2 Sam 11-16)
12. Mazmur bilangan 55 (rujuk: 2 Sam 15)
13. Mazmur bilangan 61 (rujuk: 2 Sam 15-17)
14. Mazmur bilangan 62 (rujuk: 2 Sam 15-17)
15. Mazmur bilangan 89 (rujuk: 2 Sam 7:11-16)
16. Mazmur bilangan 142 (rujuk: 1 Sam 22, 24)
E. Perjanjian Daud
Kitab 2 Samuel fasal 7 ialah satu fasal yang mencatatkan perjanjian Daud. Dalam fasal ini, fakta dan syarat perjanjian Daud ditulis dengan jelas, dan kita tidak boleh menganggapnya remeh. Fasal ini ialah satu fasal yang sangat penting dalam keseluruhan Alkitab dan merupakan sebahagian daripada rancangan Tuhan untuk umat manusia. Perjanjian Daud (2 Sam 7:11-16) bukan hanya berkaitan dengan wahyu kitab ini pada kemudian hari, tetapi juga mempunyai pengaruh yang menentukan arah perkembangan seluruh sejarah manusia.
Perjanjian Daud sebenarnya merupakan kesinambungan daripada janji bahawa “keturunan perempuan akan meremukkan kepala Iblis” (Kej 3:15). Janji Tuhan kepada Sem dan keturunannya (Kej 9:26-27), janji kepada Abraham dan keturunannya (Kej 12:2-3, 15:5, 22:17-18), dan janji kepada Yakub (Kej 49:10) telah direalisasikan di atas takhta Daud. Ketika Kristus, Raja segala raja daripada keturunan Daud datang untuk menyelesaikan kerja penyelamatan dan penebusan, Dia akan menghancurkan Iblis di bawah kaki-Nya (Rm 16:20).
Perjanjian Daud juga didasarkan pada perjanjian Abraham (Kej 17:6) kerana orang Israel telah mendirikan kerajaan dan menantikan kerajaan abadi dengan Kristus sebagai Raja. Sejak pengumuman perjanjian ini, orang Yahudi percaya bahawa Mesias akan bangkit daripada keturunan Daud. Mereka percaya demikian pada masa Yesus Kristus, dan mereka masih mempercayainya hingga hari ini. Kepercayaan ini disokong dengan nubuat banyak nabi (Yes 11:1; Yer 23:5; Yeh 37:25). Ketika bernubuat tentang kelahiran Yesus kepada Maria, Malaikat Gabriel juga berkata sedemikian: “Ia akan menjadi besar dan akan disebut Anak Allah Yang Mahatinggi. Dan Tuhan Allah akan mengaruniakan kepada-Nya takhta Daud, bapa leluhur-Nya, dan Ia akan menjadi raja atas kaum keturunan Yakub sampai selama-lamanya dan Kerajaan-Nya tidak akan berkesudahan.” (Luk 1:32-33).
1. Isi kandungan perjanjian Daud menjanjikan empat perkara:
- Setelah kematian Daud, keturunannya akan tetap sebagai raja, dan Tuhan akan mengukuhkan kerajaannya (12).
- Anaknya akan memenuhi cita-citanya dan membina Bait Suci untuk Tuhan (13).
- Keluarga dan kerajaan Daud akan kukuh untuk selama-lamanya (16).
- Takhta Daud akan kukuh untuk selama-lamanya (16).
Dua janji pertama adalah bersifat duniawi dan nampaknya segera dipenuhi; tetapi dua janji terakhir adalah milik Kerajaan Kristus dan dipenuhi dalam Kristus (Luk 1:32-33). Dia Raja Damai dan Raja yang kekal (Yoh 12:12-16). Pengorbanan Raja yang bermahkota duri ini telah memperdamaikan manusia dengan Tuhan (Ef 2:13-18), dan hubungan manusia dengan Tuhan telah menunjukkan halaman baru. Kerja penyelamatan dan penebusan Tuhan terhadap dunia diselesaikan dalam diri-Nya (Rm 16:20).
F. Perbandingan dengan kitab Tawarikh
Kitab Tawarikh tumpu pada organisasi Bait Suci dan para imam, kurang tumpu pada kisah kehidupan peribadi Daud dan kekacauan dalaman negara. Daud yang digambarkan dalam kitab Tawarikh ialah raja yang ideal tanpa kekurangan, kegagalan dan penderitaan. Sebaliknya, kitab Samuel ditulis dari sudut pandangan sejarah yang mencatatkan kekurangan Daud dan kegagalan kerajaan dengan jujur di samping menyampaikan pesanan iman kepercayaan. Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa kitab Tawarikh adalah bersifat imam manakala kitab Samuel pula bersifat nabi.
Jika membandingkan kitab Samuel dengan kitab Tawarikh, terdapat catatan yang dicatatkan dalam kedua-dua kitab, terdapat catatan yang ada dalam kitab Samuel tetapi tidak ada dalam kitab Tawarikh, dan terdapat juga catatan yang ada dalam kitab Tawarikh tetapi tidak ada dalam kitab Samuel. Huraian ringkasnya adalah seperti berikut:
1. Dicatatkan dalam kedua-dua kitab Samuel dan Tawarikh
• Pertempuran di pegunungan Gilboa (1 Sam 31:1-13; 1 Taw 10:1-12)
• Daud menjadi raja atas Yehuda dan Israel (2 Sam 5:1-3; 1 Taw 11:1-3)
• Daud merebut kubu pertahanan Sion (2 Sam 5:6-10; 1 Taw 11:4-9)
• Raja negeri Tirus membekalkan kayu aras kepada Daud (2 Sam 5:10-11; 1 Taw 14:1-2)
• Daud mengambil gundik dan isteri dan memperanakkan anak-anak lelaki dan perempuan (2 Sam 5:13-16; 1 Taw 14:3-7)
• Daud mengalahkan orang Filistin (2 Sam 5:17-25; 1 Taw 14:8-17)
• Memindahkan tabut perjanjian ke rumah Obed-Edom (2 Sam 6:1-11; 1 Taw 13:1-14)
• Memindahkan tabut perjanjian ke Yerusalem (2 Sam 6:12-19; 1 Taw 15:1 – 16:3)
• Tuhan berjanji bahawa rumah Daud akan kukuh untuk selama-lamanya (2 Sam 7:1-29; 1 Taw 17:1-27)
• Mengalahkan orang Filistin, Moab dan Aram (2 Sam 8:1-14; 1 Taw 18:1-13)
• Raja Daud memerintah dengan keadilan (2 Sam 8:13-18; 1 Taw 18:14-17)
• Daud mengalahkan orang Aram dan bani Amon (2 Sam 10:1-19; 1 Taw 19:1-19)
• Yoab merebut kota Raba (2 Sam 11:1, 12:26-31; 1 Taw 20:1-3)
• Mengalahkan orang Filistin sebanyak tiga kali (2 Sam 21:18-22; 1 Taw 20:4-8)
• Para pahlawan Daud (2 Sam 23:8-39; 1 Taw 11:10-47)
• Daud menghitung orang Israel (2 Sam 24:1-25; 1 Taw 21:1-31)
2. Dicatatkan dalam kitab Samuel tetapi tidak dicatatkan dalam kitab Tawarikh
• Peperangan antara Daud dengan keluarga Saul di Hebron (2 Sam 2-4)
• Catatan terperinci Mikhal menghina Daud (2 Sam 6:20-23)
• Daud menunjukkan kasih kepada Mefiboset (2 Sam 9:1-12)
• Daud berbuat dosa dan teguran nabi Natan (2 Sam 11 – 12)
• Amnon menodai Tamar (2 Sam 13:1-19)
• Absalom membalas dendam untuk adik perempuan (2 Sam 13:20-39)
• Pemberontakan Absalom (2 Sam 14 – 20)
• Kelaparan selama tiga tahun, anak Absalom dihukum mati (2 Sam 21:1-14)
• Nyanyian syukur Daud (2 Sam 22)
• Kata-kata Daud yang terakhir (2 Sam 23:1-7)
3. Dicatatkan dalam kitab Tawarikh tetapi tidak dicatatkan dalam kitab Samuel
• Pahlawan-pahlawan yang membantu Daud di Ziklag dan Hebron (1 Taw 12)
• Catatan terperinci memindahkan tabut perjanjian ke Yerusalem ( 1 Taw 13:1-5, 15-16)
• Catatan terperinci murka Tuhan mendatangkan penyakit sampar (1 Taw 21)
• Organisasi imam, orang Lewi, pasukan askar, sejarah rasmi (1 Taw 23 – 27)
ANALISIS ISI KANDUNGAN
- 1 Samuel
Tiga orang tokoh sejarah penting dalam kitab ini: Samuel, Saul, Daud. Bahagian-bahagian dalam keseluruhan kitab dimulakan dengan jelas.
1. Zaman Samuel (fasal 1-7)
A. Kelahiran dan masa muda (fasal 1-2)
• Keluarga Samuel (1:1-8)
• Doa Hana (1:9-18)
• Doa dan puji-pujian Hana kepada Tuhan (2:1-10)
• Imam yang menyeleweng – dua orang anak Eli (2:12-36)
• Samuel yang muda (2:11-36)
B. Panggilan dan pelayanan (fasal 3)
• Nabi kecil Samuel (3:1-21)
C. Pekerjaan nabi (fasal 4-7)
• Tabut perjanjian dirampas (4:1-18)
• Ikabod – Telah lenyap kemuliaan dari Israel (4:12-22)
• Tuhan yang utama dan besar (5:1-12)
• Tabut perjanjian dikembalikan ke negeri Israel (6:1-18)
• Pemulihan Mizpa (7:1-17)
2. Zaman Saul (fasal 8-15)
A. Diurapi sebagai raja (fasal 8-10)
• Orang Israel menghendaki seorang raja (8:1-22)
• Saul – Pijat menjadi kura-kura (9:1-24)
• Saul diangkat menjadi raja (9:25 – 10:27)
B. Prestasi awal (fasal 11-12)
• Saul memenuhi syarat sebagai raja (11:1-15)
• Samuel yang amanah, jujur dan benar (12:1-5)
• Samuel mengajar seluruh bangsa dengan sungguh-sungguh (12:6-25)
C. Saul yang gagal (fasal 13-15)
• Saul gagal menghadapi ujian (13:1-23)
• Yonatan menang dengan bersandarkan Tuhan (14:1-15)
• Saul – Pemimpin yang membuta tuli dan cuai (14:16-52)
• Dengarlah firman Tuhan (15:1-16)
• Samuel menegur Saul (15:17-35)
3. Zaman Daud (fasal 16-31)
A. Diurapi dan diangkat oleh Samuel (fasal 16)
• Daud diurapi (16:1-13)
• Daud yang berkenan di hati Tuhan (16:13-23)
B. Melayani di hadapan Saul (fasal 17-20)
• Daud dan Goliat (17:1-58)
• Kesukaan dan kemarahan (18:1-30)
• Daud mula melarikan diri (19:1-24)
• Daud dan Yonatan (20:1-42)
C. Tempoh melarikan diri (fasal 21-30)
• Daud melarikan diri (21:1-15)
• Kehidupan melarikan diri (22:1-5)
• Pembunuhan yang paling tidak berperikemanusiaan (22:6-23)
• Berani bertindak demi kebenaran – Daud menyelamatkan Kehila (23:1-14)
• Ditindas dalam segala hal tetapi tidak tersepit (23:15-25)
• Daud yang berhati terbuka (24:1-22)
• Nabal dan Abigail (25:1-44)
• Saul, kerbau pembulang tali (26:1-25)
• Daud kehilangan iman (27:1-12)
• Saul meminta petunjuk daripada perempuan yang sanggup memanggil arwah (28:1-25)
• Tuhan menyelamatkan Daud (29:1-11)
• Daud – Pemimpin rohani (30:1-31)
D. Kematian Saul (fasal 31)
- 2 Samuel
Keseluruhan kitab ini jelas terbahagi kepada dua bahagian. Pembahaginya terletak pada peristiwa Daud berbuat dosa dalam fasal kesebelas. Sebelum berbuat dosa, Daud tidak terkalahkan; tetapi setelah berbuat dosa, semua penghinaan, kemusnahan keluarga, dan melarikan diri menyusul satu persatu. Pada babak pertama, kita menyanyikan lagu kemenangan untuk Daud, tetapi pada babak kedua, kita tidak dapat menahan daripada menyanyikan ratapan untuknya.
E. Kemenangan Daud (fasal 1-10)
F. Menjadi raja Yehuda (Hebron) (fasal 1-5)
• Berita kematian Saul (1:1-16)
• Ratapan Daud (1:17-27)
• Daud diurapi menjadi raja atas Yehuda (2:1-11)
• Konflik awal antara dua raja (2:12-32)
• Keluarga Daud (3:1-5)
• Abner yang berperangai sangat buruk (3:6-21)
• Yoab membunuh Abner (3:22-39)
• Kemerosotan keluarga Saul (4:1-12)
• Daud menjadi raja atas seluruh Israel (5:1-25)
G. Menjadi raja atas seluruh Israel (di Yerusalem) (fasal 6-10)
• Daud memindahkan tabut perjanjian ke Yerusalem (6:1-23)
• Daud berfikir hendak mendirikan Bait Suci untuk Tuhan (7:1-29)
• Pembangunan dasar kerajaan (8:1-18)
• Daud menunjukkan kebaikan kepada Mefiboset (9:1-13)
• Daud menundukkan bani Amon (10:1-19)
H. Daud berbuat dosa (fasal 11)
I. Kegelisahan Daud (fasal 12-24)
1. Kegelisahan dalam keluarga (fasal 12-18)
• Natan menasihati Daud (12:1-25)
• Daud melawan dan merebut kota Raba (12:26-31)
• Skandal istana (13:1-39)
• Yoab menyukakan hati anak-beranak Daud dengan rancangannya (14:1-33)
• Pemberontakan Absalom (15:1-37)
• Kehidupan melarikan diri (16:1-23)
• Nasihat Ahitofel digagalkan oleh nasihat Husai (17:1-14)
• Tuhan melindungi dan mengasihani Daud (17:15-29)
• Kematian Absalom (18:1-33)
2. Kegelisahan dalam negara (fasal 19-24)
• Daud kembali ke Yerusalem (19:1-43)
• Pemberontakan Seba (20:1-26)
• Saul melanggar perjanjian dan dihukum – Kelaparan selama tiga tahun (21:1-14)
• Mengalahkan orang Filistin (21:15-22)
• Nyanyian syukur Daud (22:1-51)
• Perkataan Daud yang terakhir (23:1-7)
• Pahlawan-pahlawan Daud (23:8-39)
• Daud mengadakan pendaftaran di antara rakyat (24:1-25)