PANDUAN PEMBACAAN KITAB YESAYA

PANDUAN PEMBACAAN KITAB YESAYA

 

PENYELAMATAN TUHAN

Kitab Yesaya adalah salah satu kitab nabi besar (Yesaya, Yeremia, Ratapan, Yehezkiel, Daniel), dan boleh dikatakan sebagai gulungan kitab yang paling penting antara kitab nabi-nabi. Mazmur paling banyak dipetik dalam Perjanjian Baru, diikuti oleh kitab Yesaya kerana kitab Yesaya mengandungi banyak nubuat tentang Mesias dan akhir zaman. Ada orang yang berpendapat bahawa kitab Yesaya ialah kitab Injil dalam Perjanjian Lama. Kitab Yesaya juga disebut Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru versi singkatan. Perkara yang menghairankan adalah bahawa:

A. Kitab Yesaya mengandungi 66 fasal, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru juga mengandungi 66 gulungan kitab.

B. Dalam Alkitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, terdapat 39 gulungan kitab dalam Perjanjian Lama, dan jilid pertama kitab Yesaya juga terdiri daripada 39 fasal. Isi kandungannya membincangkan dosa-dosa manusia, kuasa Tuhan, tipu muslihat si jahat, dan diakhiri dengan penebusan dan penyelamatan sisa-sisa umat yang soleh. Semua ini sepenuhnya memperlihatkan ciri-ciri Perjanjian Lama – penghakiman yang benar daripada Tuhan.

C. Dalam Alkitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, terdapat 27 gulungan kitab dalam Perjanjian Baru, dan jilid kedua kitab Yesaya juga terdiri daripada 27 fasal. Isi kandungannya juga sepenuhnya menunjukkan ciri-ciri Perjanjian Baru – penyempurnaan anugerah keselamatan, yang merupakan karunia terbaik daripada Tuhan untuk menghibur umat pilihan yang menderita. Fasal 40 hingga 66 dalam kitab Yesaya dimulai dengan menubuatkan pelopor Kristus dan menyeru manusia untuk bersiap-sedia menerima anugerah keselamatan Tuhan. Kitab Yesaya juga menubuatkan hamba Tuhan — Kristus. Kematian-Nya untuk menebus umat manusia ialah kunci utama bagi rancangan keselamatan Tuhan. Seterusnya, kitab Yesaya menubuatkan bahawa Kerajaan Tuhan akan terus berkembang dengan bimbingan Roh Kudus, dan akan berakhir dengan terwujudnya langit yang baru dan bumi yang baru.

 Susunan kitab Yesaya yang indah membolehkan kita mengintip proses penyelamatan dan penebusan Tuhan yang hebat, dan lebih memahami bahawa kitab ini menempati kedudukan yang sangat penting dalam nubuat nabi-nabi. Kitab Yesaya membolehkan kita memahami perbuatan-perbuatan Tuhan yang ajaib dalam sejarah dan juga membolehkan kita melihat perkembangan gereja pada masa depan dengan lebih jelas. Oleh itu, kita harus memandang berat tentang nubuat-nubuat dalam kitab ini, dan memperhatikan cara nubuat itu digenapi dalam Perjanjian Baru. Pada hari-hari terakhir, semua ini dapat membantu kita membangun iman yang lebih indah.

 

PENULIS

Penulis kitab ini ialah nabi Yesaya. “Yesaya” bermaksud Tuhan menyelamatkan atau Tuhan ialah anugerah keselamatan. Namanya sepenuhnya menunjukkan tema utama pesanan yang disampaikan olehnya. Salah seorang anaknya dinamai “Syear Yasyub” yang bermaksud sisa-sisa umat akan kembali (Yes 7:3). Seorang anaknya yang lain dinamai “Maher-Syalal Hash-Bas” yang bermaksud penawanan akan segera tiba, dan rampasan akan segera datang (Yes 8:3). Tuhan juga menjadi tanda dan alamat di kalangan Israel melalui kelahiran dan nama mereka (Yes 8:18). Tambahan pula, isteri Yesaya juga disebut nabiah (Yes 8:3). Keluarga Yesaya telah memberikan teladan yang baik kepada kita dalam kerja suci Tuhan.

 Menurut legenda Yahudi, bapa kepada nabi Yesaya, Amos ialah saudara kepada Amazia, bapa Uzia. Oleh itu, Yesaya ialah sepupu Uzia. Maka, Yesaya mungkin merupakan saudara dalam keluarga kerajaan, bahkan disukai oleh Uzia. Yesaya mula menyampaikan khutbah semasa zaman kerajaan Uzia. Kemudian, raja mangkat lalu Yesaya kehilangan sokongannya dan pergi berdoa di Bait Suci. Walau bagaimanapun, dia sebaliknya mendapat berkat daripada malapetaka itu. Dia melihat penglihatan, dipanggil oleh Tuhan lalu menjadi seorang nabi Tuhan yang setia dan beriman.

 

MASA DAN TEMPAT KERJA

Pada tahun raja Uzia meninggal dunia, Yesaya dipanggil untuk menjadi nabi. Dia mungkin baru berusia dua puluhan pada masa itu. Semasa menjadi nabi, dia telah melalui empat kerajaan: Uzia (781-740 SM), Yotam (740-735 SM), Ahas (735-716 SM), Hizkia (716-687 SM). Dia mungkin telah hidup sehingga zaman Manasye, tetapi raja kelima tidak dicatat dalam kitab Yesaya fasal satu ayat satu. Mungkin dia sudah tua dan tidak lagi menyampaikan pesanan. Menurut legenda, Yesaya ditangkap oleh raja Manayse, diikat antara dua papan dan mati digergaji (Ibr 11:37).

 Tempat kerja nabi Yesaya sebahagian besar berada di Yerusalem atau dalam istana. Jadi dia digelar “nabi istana.” Nabi sezamannya di Yehuda ialah Mikha yang memberitakan firman Tuhan di antara rakyat, dan dia digelar “nabi desa.”

 

LATAR BELAKANG SEJARAH

Pada zaman “raja Uzia”, negara berada dalam keadaan yang makmur dan kuat. Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi jangka panjang membawa kepada keangkuhan, kekasaran, ketidakadilan, materialisme, dan ibadah yang sia-sia lalu menimbulkan teguran nabi.

 Setelah raja Uzia meninggal dunia, “Yotam” mengambil alih takhta kerajaan. Negara itu aman kerana dia melakukan hal yang benar di mata Tuhan.

 Semasa anak Yotam, “Ahas” memerintah, dia melakukan hal yang jahat di mata Tuhan. Dia ingin menggunakan Asyur untuk memerangi kerajaan Aram dan Israel. Oleh itu, dia mempersembahkan upeti kepada Asyur dan berjaya melindungi negara itu daripada pencerobohan. Namun Ahas tidak mempercayai Tuhan dalam segala yang dilakukannya. Sebaliknya, dia menyembah berhala asing dan menanamkan penyebab kehancuran Yehuda.

 Ketika anak Ahas, “Hizkia” memerintah, Asyur sangat kuat. Asyur bukan sahaja merebut negara-negara di sekitar Yehuda, tetapi juga kota-kota di Yehuda. Raja Hizkia pernah menghadiahkan emas dan perak kepada Asyur untuk berdamai, tetapi Asyur masih menolak untuk melepaskannya dan ingin menawan Yerusalem. Raja Hizkia akhirnya memohon kepada Tuhan dan ditolong oleh Tuhan. Malaikat Tuhan membunuh tentera raja Asyur pada waktu malam dan kerajaan Yehuda dapat dilindungi.

 Kitab Yesaya yang berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa kata-kata nabi mewakili suara Tuhan, menyatakan pesanan Tuhan, merangsang hati nurani manusia, memperluas keadilan sosial, dan memimpin orang untuk bertaubat dan kembali kepada Tuhan. Pesanan-pesanan nabi juga menyiratkan nubuat-nubuat penting, bukan hanya bernubuat tentang nasib keruntuhan kerajaan Yehuda dan ditawan, tetapi juga bernubuat tentang kepulangan kembali daripada penawanan. Lebih penting lagi, kitab Yesaya bernubuat tentang penyelamatan dan penebusan kedatangan Kristus yang pertama, Dia menderita untuk menebus dosa manusia, dan mendirikan gereja. Kitab Yesaya juga bernubuat tentang penghakiman kedatangan Kristus yang kedua, hingga dunia dihancurkan, dan mereka yang diselamatkan memasuki langit yang baru dan bumi yang baru untuk menikmati berkat abadi. Kita dapat melihat bahawa kitab Yesaya bukan hanya merupakan sebidang cermin sejarah untuk memperingatkan generasi akan datang, tetapi juga sebuah kitab yang meramal masa depan supaya manusia dapat meramalkan masa depan dan menyediakan payung sebelum hujan. Kitab nabi ini mesti dibaca dengan fasih oleh semua orang.

 

PENGENALAN RINGKAS

Tema kitab ini ialah penyelamatan dan penebusan Tuhan. Kitab ini membolehkan kita melihat garis besar keseluruhan penyelamatan dan penebusan. Berdasarkan tema ini, kita dapat melihat dua subtopik iaitu penghakiman Tuhan dan penghiburan Tuhan. Garis besar senarai kitab ini adalah seperti berikut:

Tema: Penyelamatan dan penebusan Tuhan

Jilid 1: Penghakiman Tuhan

A. Dosa dan kejahatan manusia (fasal 1-6)

B. Pemerintahan Tuhan sebagai raja (fasal 7-12)

C. Muslihat Iblis (fasal 13-23)

D. Sisa-sisa umat ditebus (fasal 24-27)

E. Penghakiman bermula dari rumah Tuhan (fasal 28-33)

F. Kesudahan dunia (fasal 34-35)

G. Lampiran sejarah (fasal 36-39)

 

Jilid 2: Penghiburan Tuhan

A. Penyelamatan dan penebusan Tuhan (fasal 40-48)

B. Hamba Tuhan (fasal 49-57)

C. Kemuliaan Tuhan (fasal 58-66)

 

Penghakiman Tuhan

Daripada bahagian ini, kita dapat melihat beberapa watak utama: manusia, Tuhan, roh jahat, sisa-sisa umat. Sejak keruntuhan akhlak umat manusia, Tuhan terus-menerus menyedarkan dunia untuk kembali agar tidak terus mundur. Kuasa Tuhan yang besar merupakan sandaran manusia. Belas kasihan Tuhan memberikan peluang penebusan kepada manusia. Namun, si jahat mempunyai banyak muslihat dan terus-menerus menggoda manusia. Berdasarkan prinsip kekudusan Tuhan, orang yang sudi bertaubat akan ditebus; jika dia memberontak, dia akan dihakimi oleh keadilan Tuhan. Oleh itu, terdapat sebilangan sisa umat yang setia yang diselamatkan dan ditebus dalam setiap zaman. Peristiwa ini menyaksikan bahawa penghakiman Tuhan itu adil dan menyedarkan manusia untuk bertanggungjawab terhadap perbuatan masing-masing. Walaupun sejarah selalu berulang, perkara yang penting ialah manusia harus mengingati pengajarannya supaya boleh memperoleh kasih karunia. Berikut merupakan ringkasan isi kandungan bahagian ini:

A. Kejatuhan manusia (fasal 1-6)

Tuhan berbuat baik kepada kerajaan Uzia lalu negara itu kuat dan rakyatnya makmur. Tetapi, umat pilihan terjatuh dalam kehidupan yang selesa. Nabi melihat kekudusan dan keadilan Tuhan dalam penglihatan lalu terus-menerus menyeru umat pilihan untuk meninggalkan kejahatan dan berbuat baik (2:1-5, 4:1-6). Namun, umat pilihan berkeras hati sehingga Tuhan mengajar mereka dalam keadilan-Nya dan mengutus nabi untuk memberitakan peringatan (6:8-10) serta memimpin mereka ke jalan kebenaran. Hal ini menunjukkan betapa besarnya kasih karunia Tuhan! Sekiranya bukan kerana belas kasihan Tuhan, Sion akan lenyap seperti Sodom dan Gomora.

 Hari ini, Tuhan masih memberikan peluang kepada umat manusia yang terjatuh. Seperti yang dinyatakan dalam Alkitab: “Di hadapan Tuhan satu hari sama seperti seribu tahun (menunjukkan belas kasihan Tuhan) dan seribu tahun sama seperti satu hari (menunjukkan penghakiman yang akan segera tiba).” Tujuannya adalah supaya manusia mempunyai kesempatan untuk bertaubat, dan kembali ke gunung Tuhan – gereja yang benar. Oleh itu, manusia harus melihat kelemahan sendiri dengan jelas dan kembali kepada Tuhan secepat mungkin.

B. Pemerintahan Tuhan sebagai raja (fasal 7-12)

Ketika raja Ahas menghadapi krisis nasional, dia tidak percaya bahawa semua kuasa politik di dunia berada dalam tangan Tuhan lalu menimbulkan kemarahan nabi. Pada masa itu, nabi mengumumkan bahawa Tuhan akan menggunakan tanda anak dara melahirkan anak untuk menyatakan bahawa kemajuan dan kejatuhan kuasa politik negara-negara kontemporari (seperti Aram, Israel, Asyur) dipegang oleh Tuhan. Dengan itu, terbentuklah nubuat agung tentang “Imanuel” (Tuhan menyertai kita) dan Kerajaan-Nya akan datang supaya manusia tahu bahawa pengharapan baharu dan pemulihan hanya akan ada sekiranya Tuhan menyertai kita.

 Kini, nubuat ini telah digenapi dalam Kristus. Barangsiapa yang mempercayainya akan terus-menerus mengalami penyelamatan dan penebusan-Nya yang ajaib, perlindungan-Nya yang luar biasa, dan damai sejahtera-Nya yang abadi.

C. Muslihat Iblis (fasal 13-23)

Nabi ialah seorang yang terpelajar dan sangat fasih dengan situasi antarabangsa kontemporari. Dia melihat bahawa raja-raja dunia menyokong agama munafik, komersialisme kejayaan cepat dan keuntungan cepat, dan taktik politik yang mementingkan diri sendiri. Raja-raja ini dibonekakan oleh Iblis sehingga mereka mengalami malapetaka yang tidak dapat dielakkan (13:6-13). Nabi berasa susah hati kerana mereka lalu bernubuat untuk menyedarkan bangsa-bangsa supaya melihat wajah sebenar Iblis (14:12-15) dan kembali kepada Tuhan yang benar. Mereka perlu berbuat demikian kerana kuasa hukuman dan pengampunan terletak dalam tangan Tuhan yang benar (22:22-23).

 Gereja-gereja pada hari ini juga harus melihat menembusi rencana-rencana si jahat dalam dunia rohani, menjadi nabi kontemporari, menyedarkan para pemimpin dunia supaya berhenti dimanipulasi oleh si jahat lalu bersama-sama kembali kepada Tuhan yang benar untuk melawan kuasa kegelapan dan menyelamatkan jiwa-jiwa yang dihancurkan oleh si jahat.

D. Sisa-sisa umat ditebus (fasal 24-27)

Dunia berada di bawah kuasa si jahat. Tuhan pasti akan melaksanakan penghakiman setelah dosa dan kejahatan penuh. Oleh itu, penderitaan akhir tidak dapat dielakkan, tetapi sisa-sisa umat yang berada dalam kegelapan dan kesengsaraan akan dilindungi. Daripada nubuat dalam perenggan ini, kita dapat melihat anugerah keselamatan kayu salib yang menelan kematian dan memberikan pengharapan kebangkitan kepada manusia (26:19). Walaupun umat Tuhan menghadapi zaman kegelapan, namun hati mereka penuh dengan pengharapan. Maka, kita bersikap lebih optimis mengenai penebusan masa depan.

E. Penghakiman bermula dari rumah Tuhan (fasal 28-33)

Ketika nabi bernubuat tentang kehancuran bangsa-bangsa yang akan segera terjadi, dia juga melihat cemuhan, kemunafikan, dan ketidakpercayaan kerajaan Yehuda pada masa yang sama. Dia tahu bahawa musibah akan menjadi lebih buruk lagi jika kerajaan Yehuda tidak bertaubat. Sebaliknya, jika mereka dapat bertaubat, percaya dan bersandar kepada Tuhan, mereka tidak hanya akan menikmati ketenangan jiwa, tetapi juga akan menghasilkan buah Roh Kudus. Atas sebab ini, nabi dengan perasaan pahit menunjukkan enam sebab utama Yerusalem menghadapi musibah. Tuhan, Raja yang adil mahu menghapuskan dosa-dosa dan membangun semula kerajaan yang ideal. Oleh itu, penghakiman tentunya bermula dari rumah Tuhan, sehingga orang-orang yang tidak percaya berasa lebih malu!

F. Kesudahan dunia (fasal 34-35)

Nabi memberitakan penghakiman Tuhan. Sasarannya yang pertama ialah kerajaan Yehuda, kemudian dilanjutkan ke Israel dan negara-negara sekitarnya, dan akhirnya mengatakan bahawa seluruh dunia akan berada di bawah penghakiman Tuhan. Pada hari itu, kebaikan dan kejahatan akan dibezakan, orang yang jahat akan dihukum untuk selama-lamanya, orang yang baik akan menikmati hidup kekal yang telah disediakan oleh Tuhan, dan mendapat sukacita yang tidak pernah dapat dirampas (35:5-10).

G. Lampiran sejarah (fasal 36-39)

Dua fasal yang pertama adalah mengenai sejarah Yerusalem dikepung dan diselamatkan oleh Tuhan ketika pemerintahan Hizkia. Kuasa politik yang kuat pada waktu itu ialah kerajaan Asyur. Dua fasal yang seterusnya ialah kisah Hizkia disembuhkan oleh Tuhan ketika sakit tenat dan memperlihatkan kebodohan kepada Babel setelah dia sembuh. Kemudian, nabi menegur kejahilan raja dan raja Hizkia mengaku dosanya dengan rendah hati sehingga Tuhan menangguhkan penghakiman yang akan dijalankan ke atas Yerusalem. Walau bagaimanapun, nabi telah bernubuat tentang kerajaan Yehuda akan dimusnahkan oleh Babel. Lampiran sejarah ini sangat tepat untuk disisipkan di sini kerana peristiwa ini memberikan petunjuk bahawa separuh pertama kitab Yesaya didasarkan pada masa ketika Asyur berkuasa, dan separuh kedua catatan didasarkan pada masa ketika Babel berkuasa.

 

Ringkasan

Oleh sebab jilid pertama kitab Yesaya ialah miniatur Perjanjian Lama, maka kita tahu dengan lebih jelas lagi bahawa kelemahan dan ketidaktaatan manusia merupakan penyebab utama kita ditipu dan dipermainkan oleh Iblis. Ketika manusia berada dalam kesusahan yang keterlaluan, Tuhan menunjukkan belas kasihan-Nya sebagai Bapa dan menunjukkan kasih karunia penyelamatan dan penebusan-Nya kepada umat manusia yang sepatutnya dilenyapkan. Proses penyelamatan dan penebusan Tuhan dinyatakan melalui sejarah Israel. Daripada belas kasihan tersirat dalam penghakiman yang dikeluarkan kepada bangsa-bangsa, kita dapat melihat bahawa Tuhan tidak memandang bulu, dan Dialah Juruselamat manusia. Manusia boleh memperoleh anugerah keselamatan dengan iman.

 

Penghiburan Tuhan

Nubuat nabi Yesaya dalam fasal 40-66 merujuk kepada peristiwa setelah kerajaan Yehuda ditawan. Penjelasan dalam teks adalah seolah-olah nabi sendiri telah ditawan. Sebenarnya, peristiwa ini berlaku sangat lama selepas zaman nabi Yesaya.

 Kitab Yesaya telah memasuki latar belakang sejarah yang berbeza selepas fasal keempat puluh. Asyur, musuh kuat Yehuda tidak lagi disebut. Kemudian, Babel yang berkembang kurang daripada seratus tahun (625-539 SM) juga mula goyah dan akan digulingkan. Selain itu, Tuhan menggerakkan hati Koresh, raja Persia yang sedang meningkat naik sehingga dia membebaskan tawanan Yehuda, membenarkan mereka kembali ke negara sendiri dan menghidupkan kembali kerajaan bangsa umat pilihan. Tetapi nubuat nabi menunjukkan dengan lebih jelas bahawa hamba Tuhan, Mesias akan datang dua kali dan membawa keselamatan yang lebih besar kepada dunia. Walaupun zaman nabi masih dalam kegelapan dengan umat tetap keras kepala dan memberontak, pandangan nabi yang tajam telah melihat menembusi seluruh rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan. Dalam nubuat-nubuat ini, nampaknya dia telah melihat bahawa Tuhan telah menyelamatkan dan menebus umat pilihan dari Babel (sebenarnyanya, peristiwa kembali daripada pembuangan berlaku sekitar dua ratus tahun selepas Yesaya) lalu dia bersukacita untuk pemulihan Israel pada masa depan! Hakikatnya, kembalinya umat pilihan dari Babel ke Yerusalem ialah perlambangan bahawa umat pilihan zaman akhir akan kembali ke Yerusalem Baru (gereja Tuhan yang benar). Hari ini, kita berkongsi tentang pemenuhan janji ini. Bukankah kita harus lebih bersorak-sorak dan memuji?

 Kitab Yesaya fasal 40 hingga 66 merupakan bahagian besar yang lain. Secara keseluruhannya, terdapat 27 fasal dalam bahagian ini, dan setiap sembilan fasal membentuk satu perenggan dengan jelas. Hal ini demikian kerana dalam bahagian besar ini, Tuhan dua kali berkata: “Tidak ada damai sejahtera bagi orang-orang fasik!” (48:22, 57:21). Kalimat yang berulang ini membahagikan bahagian besar ini kepada tiga perenggan, dan pada masa yang sama menyatakan tema bahagian besar ini iaitu “penghiburan Tuhan”. Hal ini kerana sebelum Tuhan keadilan menjalankan penghakiman, Dia akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan, sesuai dengan rencana penyelamatan dan penebusan-Nya, membuatkan hamba-Nya menanggung dosa bagi dunia supaya mereka yang mempercayai-Nya memperoleh penghiburan oleh keselamatan, dan mendapat kembali kehidupan di langit yang baru dan bumi yang baru dengan bersandar pada kuasa Roh Kudus. Mereka yang tidak percaya pula akan binasa tanpa damai sejahtera. Berikut merupakan ringkasan isi kandungan bahagian ini:

A. Penyelamatan dan penebusan Tuhan (fasal 40-48)

Tiga fasal pertama menyebut bahawa perintis Tuhan harus menyeru dan menyedarkan umat pilihan untuk menerima Tuhan sebagai satu-satunya Allah yang benar dan satu-satunya Juruselamat. Dia akan menyelamatkan umat pilihan dari Babel melalui raja-raja asing. Perkara ini tidak dapat difahami oleh manusia. Nubuat yang telah digenapi dalam sejarah ini membuatkan kita lebih percaya dengan nubuat-Nya yang selanjutnya. Sesuatu yang baharu akan disempurnakan melalui hamba-Nya, Kristus, iaitu bahawa semua bangsa boleh mewarisi anugerah keselamatan. Janji ini ada umat pilihan dan Roh Kudus bekerjasama sebagai saksi. Nabi berulang kali menekankan bahawa pengurapan dan pemerintahan Koresh melambangkan penyelamatan dan penebusan Kristus. Selain itu, penyelamatan dan penebusan umat pilihan dari Babel melambangkan pemercaya gereja benar zaman akhir akan terlepas dari dunia yang rosak dan mendapat kasih karunia.

B. Hamba Tuhan (fasal 49-57)

Perenggan ini fokus kepada hamba Tuhan. Oleh sebab bangsa umat pilihan gagal memainkan peranan sebagai “hamba Tuhan”, Dia ingin menyedarkan orang Israel untuk mengenali penghormatan dan kemuliaan status sebagai “umat pilihan”. Dia berharap mereka dapat bangkit semula selepas mempunyai kesedaran ini dan menjadi inti kebangkitan Kerajaan Tuhan. Kemudian, fasal 52 hingga 54 menjelaskan bahawa pemulihan Kerajaan Tuhan harus menjadikan Kristus, hamba Tuhan yang soleh sebagai teladan supaya kita dapat meneladani Kristus yang menyangkal diri-Nya dan menjadi tebusan bagi banyak orang, sehingga hubungan antara Tuhan dengan manusia dapat terjalin kembali seperti pasangan yang bersatu semula setelah berpisah. Pada masa ini, Kerajaan Tuhan akan menjadi kerajaan sejagat – gereja Tuhan yang benar, dan tidak lagi eksklusif bagi orang Israel. Fasal 55 hingga 57 memperlihatkan bahawa Kerajaan yang dibangun semula oleh hamba membawa sukacita yang penuh kepada orang-orang yang ditebus dan mereka dapat menikmati istirahat yang sejati dalam roh kerana Tuhan tinggal di dalamnya. Namun, hidup orang yang memperoleh kasih karunia sebagai orang-orang yang telah dipanggil haruslah berpadanan dengan panggilan itu, dan menunjukkan bahawa dia merupakan orang yang diselamatkan dalam segala hal.

C. Kemuliaan Tuhan (fasal 58-66)

Perenggan ini membincangkan bahawa semua bangsa di bumi akan melihat kemuliaan Tuhan melalui keselamatan-Nya. Tiga fasal yang pertama menjelaskan bahawa pernyataan kemuliaan Tuhan adalah melalui kehidupan iman kepercayaan yang soleh dan sikap adil kepada orang lain yang dipamerkan oleh orang yang memperoleh kasih karunia lalu memancarkan cahaya kemuliaan Tuhan sehingga bumi yang diliputi kegelapan mendapat terang yang sejati dan menerimanya. Fasal 61 hingga 63 menunjukkan dua kali kedatangan Kristus Juruselamat dan secara peribadi menunjukkan bahawa Dialah terang yang sejati. Pada kedatangan kali pertama, Dia diurapi oleh Roh Tuhan untuk menyampaikan khabar yang baik kepada orang yang rendah hati dan menghibur semua orang yang bersedih. Dia akan datang lagi, kebenaran-Nya akan bersinar seperti cahaya / terang dan menyelamatkan umat pilihan Tuhan, mengalahkan musuh, dan mendirikan Yerusalem sebagai kota yang terpuji (iaitu gereja rohani yang sejati) supaya semua orang di bumi dapat memasukinya dan menikmati kemuliaan untuk selama-lamanya. Dalam fasal 64 hingga 66, setelah meninjau masa lalu, nabi mengharapkan pemandangan Tuhan menyatakan kemuliaan pada masa depan. Hatinya amat bersyukur dengan kasih Tuhan yang agung. Walau bagaimanapun, ketika dia menghadapi persekitaran nyata yang sebaliknya, dia mempersembahkan doa syafaat dengan tulus dan memohon Tuhan menunjukkan belas kasihan. Jawapan Tuhan kepada nabi adalah melalui kasih karunia kepada bangsa asing yang mendorong orang Israel yang memberontak untuk bertaubat supaya tujuan Tuhan menyelamatkan bangsa-bangsa dapat dicapai. Di samping itu, orang yang memperoleh kasih karunia dapat hidup bersama Tuhan di langit yang baru dan bumi yang baru serta berkongsi kemuliaan Tuhan. Bagi orang-orang berdosa yang memberontak dan tidak taat, Tuhan akan turun dalam api dan melaksanakan penghakiman dengan api dan pedang, dan mereka akan binasa untuk selama-lamanya.

 

Ringkasan

Jilid kedua kitab Yesaya dapat dikatakan sebagai miniatur Perjanjian Baru. Kitab Yesaya menggambarkan cara rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan diselesaikan satu persatu dan kemuliaan Kerajaan Tuhan pada masa depan. Daripada nubuat-nubuat di dalamnya, kita memahami bahawa Mesias dalam rupa raja yang dinantikan oleh orang-orang Yahudi merupakan Mesias yang datang dalam rupa sebagai hamba – Yesus Kristus. Dia Firman yang menjadi manusia, menderita dan mati bagi dunia, dipaku di atas kayu salib, bangkit dan terangkat ke syurga, mendapat kemuliaan lalu menjadi Mesias dalam rupa raja. Melalui Roh Kudus, Dia memerintah gereja (jemaat) yang ditebus dengan darah-Nya yang bernilai. Apabila masanya tiba, gereja (jemaat) akan mengalahkan musuh dalam kemuliaan Tuhan dan dibawa kembali ke syurga untuk menjadi Yerusalem Baru supaya mereka yang ditebus menikmati kemuliaan abadi.

 

CIRI-CIRI TEOLOGI

A. Yang Mahakudus, Allah Israel

Dalam keseluruhan kitab, Yesaya suka menggunakan “Yang Mahakudus, Allah Israel” untuk memanggil Tuhan (1:4, 5:19,24, 10:17,20, 12:6, 17:7, 29:19,23, 30:11-12,15, 31:1, 37:23, 40:25, 41:14,16,20, 43:3,14-15, 45:11, 47:4, 48:17, 49:7, 54:5, 55:5, 60:9; rujuk 2 Raj 19:22). Selain kitab Yesaya, frasa ini hanya muncul sebanyak enam kali dalam Perjanjian Lama.

 Yesaya berada dalam angkatan yang penuh dosa. Pada masa itu, Israel meninggalkan Tuhan dan lebih teruk daripada seekor lembu. Sekurang-kurangnya, lembu akan kembali kepada pemiliknya untuk makan rumput. Tetapi keadaan iman kepercayaan umat adalah lebih buruk daripada keadaan di Sodom dan Gomora. Yesaya dipanggil untuk menjadi nabi oleh sebab ini. Yesaya dipanggil untuk menjadi nabi pada tahun kematian raja Uzia (Yes 6). Dia melihat Tuhan duduk di atas takhta yang tinggi dan menjulang, dikelilingi oleh para Serafim yang berseru: “Kudus, kudus, kuduslah TUHAN semesta alam, seluruh bumi penuh kemuliaan-Nya!” Ketika dia mengalami kemuliaan Tuhan yang kudus ini dan membandingkannya dengan kejahilan manusia, tidak hairanlah bahawa dia berasa gementar dan ketakutan. Tetapi setelah Tuhan berjanji untuk menyucikan dan mengampuni dosa-dosanya, dia rela taat sebagai utusan Tuhan untuk memberitakan penghakiman dan penyelamatan penebusan Tuhan. Pengalaman nabi dipanggil ini menjadi daya penggerak amanat dalam seumur hidupnya.

 Pada awal pemilihan Israel, Tuhan telah memberikan perintah kepada umat-Nya: “Kuduslah kamu, sebab Aku kudus” (Im 11:44-45, 19:2, 20:7; rujuk 1 Ptr 1:16). Sejak saat Yesaya dipanggil, dia tahu bahawa umat di negara ini tidak akan memberikan tindak balas kepada peringatannya, sampai kota-kota ditinggalkan dan umat mengalami nasib kemusnahan kerajaan serta ditawan (6:11). Dia tahu bahawa negara ini tidak akan memperhatikan kesempurnaan moral Tuhan jika tidak dihukum. Namun, dia tetap memiliki harapan yang kecil. Ketika pohon ditebang, tunggulnya tinggal berdiri dan hal ini melambangkan sisa-sisa umat Yehuda setelah kehancuran.

 

B. Sisa-sisa umat Israel

Tema sisa-sisa umat menekankan kekudusan Tuhan: Tuhan hampir memusnahkan umat kerana dosa mereka. Kesinambungan negara ini juga terancam. Mereka akan ditinggalkan kerana dosa-dosa mereka, seperti “pondok di kebun anggur, gubuk di kebun mentimun”. Nabi berkata: “Seandainya TUHAN semesta alam tidak meninggalkan pada kita sedikit orang yang terlepas, kita sudah menjadi seperti Sodom, dan sama seperti Gomora.” (Yes 1:8-9). Mengapa Tuhan meninggalkan sedikit orang yang terlepas bagi umat pilihan? Hal ini kerana Tuhan pernah berjanji kepada Abraham: “Olehmu semua kaum di muka bumi akan mendapat berkat.” (Kej 12:3). Tuhan juga berfirman: “Maka Aku akan memberkati engkau berlimpah-limpah dan membuat keturunanmu sangat banyak seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut, dan keturunanmu itu akan menduduki kota-kota musuhnya. Oleh keturunanmulah semua bangsa di bumi akan mendapat berkat, karena engkau mendengarkan firman-Ku.” (Kej 22:17-18). Demi tidak melanggar janji-Nya kepada umat pilihan, Tuhan selalu menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang bersedia bertaubat ketika Dia menubuatkan pemberontakan umat pilihan. Walau bagaimanapun, Tuhan tidak akan pernah bertolak ansur jika umat pilihan berdosa. Dan jika di situ masih tinggal sepersepuluh dari mereka, mereka harus sekali lagi ditimpa kebinasaan, namun keadaannya akan seperti pohon beringin dan pohon jawi-jawi yang tunggulnya tinggal berdiri pada waktu ditebang. Dan dari tunggul itulah akan keluar tunas yang kudus (Yes 6:13).

 Nabi juga pernah menegur kerajaan Israel di bahagian utara. Mereka hanya bersandarkan dewa Damsyik dan tidak mahu mempercayai Tuhan yang benar di syurga. Oleh itu, nabi bernubuat kepada Israel: “Maka pada waktu itu kemuliaan Yakub akan berkurang, dan kemakmurannya akan susut; keadaannya seperti gandum yang digenggam orang untuk dituai dan tangannya memetik bulir-bulir; atau seperti bulir-bulir yang dipungut orang di lembah orang Refaim. Tertinggal beberapa buah zaitun di sebelah pucuknya.” (Yes 17:4-6). Tujuannya adalah supaya sisa-sisa umat sekali lagi memandang kepada Dia yang menjadikannya, dan matanya akan melihat kepada Yang Mahakudus, Allah Israel; ia tidak akan memandang kepada mezbah-mezbah buatan tangannya sendiri, dan tidak akan melihat kepada yang dikerjakan oleh tangannya, yakni tiang-tiang berhala dan pedupaan-pedupaan.

 Sejarah pemberontakan manusia selalu berulang. Ketika Yehuda di Kerajaan Selatan menghadapi masalah, mereka menjadikan Mesir sebagai sandaran mereka untuk melawan Asyur. Nabi memperingatkan Yehuda: “Seribu orang akan lari melihat ancaman satu orang, terhadap ancaman lima orang kamu akan lari, sampai kamu ditinggalkan seperti tonggak isyarat di atas puncak gunung dan seperti panji-panji di atas bukit.” (30:17). Pada masa yang sama, nabi juga memberikan penghiburan kepada sisa-sisa umat: “Sebab itu TUHAN menanti-nantikan saatnya hendak menunjukkan kasih-Nya kepada kamu; sebab itu Ia bangkit hendak menyayangi kamu. Sebab TUHAN adalah Allah yang adil; berbahagialah semua orang yang menanti-nantikan Dia! Sunggah, hai bangsa di Sion yang diam di Yerusalem, engkau tidak akan terus menangis. Tentulah Tuhan akan mengasihani engkau, apabila engkau berseru-seru; pada saat Ia mendengar teriakmu, Ia akan menjawab. Dan walaupun Tuhan memberi kamu roti dan air serba sedikit, namun Pengajarmu tidak akan menyembunyikan diri lagi, tetapi matamu akan terus melihat Dia, dan telingamu akan mendengar perkataan ini dari belakangmu: “Inilah jalan, berjalanlah mengikutinya,” entah kamu menganan atau mengiri.”. Tuhan memelihara sisa-sisa umat agar mereka menjadi umat yang kudus dalam Kerajaan Tuhan.

 Nama anak-anak Yesaya mencerminkan dua aspek tema sisa-sisa umat: Maher-Syalal Hash-Bas (“penawanan akan segera tiba, dan rampasan akan datang”, Yes 8:1-3) berbicara tentang penghakiman yang akan datang; Syear Yasyub (“sisa-sisa umat akan kembali”, 7:3) berbicara tentang pengharapan untuk masa depan. Anak lelaki Yesaya menjadi tanda bagi kehendak Tuhan (Yes 8:16-18). Daripada sisa-sisa umat Israel, kita dapat melihat kasih karunia, pemilihan, dan belas kasihan Tuhan. Sisa-sisa umat yang telah dimurnikan akan menjadikan Yerusalem sebagai “kota keadilan, kota yang setia” (Yes 1:21-26). Orang-orang ini akan bersandar kepada Tuhan dan tetap setia (Yes 10:20-23); berakar ke bawah, dan menghasilkan buah ke atas (Yes 37:30-32).

 

C. Penyelamatan dan penebusan Tuhan

Sisa-sisa umat dapat terpelihara. Kasih karunia ini berasal daripada penyelamatan dan penebusan Tuhan yang ajaib. Nabi bernubuat: “Tunas baru akan tumbuh daripada akar pohon, cabang yang adil dan benar akan muncul daripada keturunan Daud.” (Yes 4:2-3, 11:1-16). Injil yang sangat ajaib ini digenapi oleh Tuhan Yesus. Paulus berkata: “Injil itu telah dijanjikan-Nya sebelumnya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya dalam kitab-kitab suci, tentang anak-Nya, yang menurut daging diperanakkan dari keturunan Daud, dan menurut Roh kekudusan dinyatakan oleh kebangkitan-Nya dari antara orang mati, bahwa Ia adalah Anak Allah yang berkuasa, Yesus Kristus Tuhan kita. Dengan perantaraan-Nya kami menerima kasih karunia dan jabatan rasul untuk menuntun semua bangsa, supaya mereka percaya dan taat kepada nama-Nya.” (Rm 1:2-5).

 Nama Yesaya (yang bermaksud “Tuhan menyelamatkan” atau “Tuhan ialah anugerah keselamatan”) juga mencerminkan keistimewaan Tuhan dalam aspek ini. Nabi menghibur Yehuda bahawa Tuhan akan menyelamatkan negara ini daripada persekutuan Syria dan Efraim (Yes 8:1-14), Asyur (Yes 17:10, 11:10 – 12:3), dan Babel (Yes 45:17, 48:14,20, 49:25-26). Tuhan akan menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya di hadapan bangsa-bangsa (Yes 52:7-10). Bapa mereka yang sebenar bukan Abraham, Ishak, atau Yakub, tetapi Tuhan sendiri, dan Dia akan mengasihani anak-anak-Nya (Yes 63:16).

 Dalam Alkitab Ibrani, kata go,el (“penebus”) secara semantik berhubungan erat dengan skop keselamatan. Khususnya, hukum Taurat penebus saudara terdekat dibuat untuk melindungi orang Israel daripada kehilangan harta benda atau jatuh ke dalam hutang. Penebus saudara terdekat boleh membantu melunaskan hutang untuk memelihara harta pusaka atau kebebasan pihak yang berkenaan (Im 25:47-49, 13:5, 15:15, 24:18; 2 Sam 7:23; 1 Taw 17:21; Mi 6:4).

 Begitu juga, mengapa Tuhan menyelamatkan dan menebus Israel daripada perbudakan di Babel dan kembali ke warisan yang disediakan oleh Dia untuk mereka di Kanaan (seperti Yes 1:27, 29:22, 35:9, 41:14, 43:1,14, 44:6,22-24, 47:4, 48:17,20, 49:7,26, 51:10)? Mereka pernah “dijual tanpa pembayaran” dan akan “ditebus tanpa pembayaran” kerana memberontak terhadap Tuhan (Yes 52:3). Israel akan diselamatkan dan ditebus oleh saudara terdekatnya, iaitu suaminya, Tuhan yang benar di syurga (Yes 54:5). Mereka tidak akan lagi menjadi negara yang buta dan tuli, tetapi menjadi “saksi Tuhan”; mereka tidak lagi terikat, tetapi menjadi “orang-orang tebusan Tuhan”; mereka tidak lagi ditolak, tetapi menjadi “pengantin Tuhan”; tidak lagi terpencil dan dihalau, sebaliknya menjadi “kota yang dicari oleh Tuhan” (62:12).

 

D. Mesias dalam rupa hamba

Daripada teologi Yesaya, kita dapat melihat bahawa cara penyelesaian Tuhan terhadap dosa dan kejahatan umat manusia adalah melalui penyelamatan dan penebusan Mesias sehingga kemuliaan Tuhan dapat dinyatakan dalam kerajaan tahun Yobel.

 Yesaya menjelaskan cara Tuhan akan memberkati Israel dan bangsa-bangsa. Berkat ini didasarkan pada pengampunan dosa, dan pekerjaan mengampuni dosa diselesaikan oleh Mesias. Namun, Mesias yang diperkenalkan oleh Yesaya bukan hanya Mesias yang rajani, tetapi juga Mesias yang mengambil rupa seorang hamba – kedua-dua identiti ini dimiliki oleh satu orang. Mesias dalam rupa hamba akan dicelakai hingga mati untuk menebus dosa dan kejahatan dunia (Yes 52:13 – 53:12).

 Para sarjana sering membandingkan bahagian pertama kitab Yesaya (Yesaya fasal 1-39) dengan bahagian kedua kitab Yesaya (Yesaya fasal 40-66) dan percaya bahawa tema sisa-sisa umat tidak penting pada bahagian kedua. Sebenarnya, nyanyian yang disebut “Nyanyian Hamba” secara langsung berkaitan dengan tema sisa-sisa umat. Pada asalnya, hamba itu bermaksud orang Israel, kerana hamba ini terutama disebut “hamba-Ku, Israel / Yakub” (Yes 41:8-9, 44:1-2,21, 45:4, 48:20, 49:3-6). Oleh sebab sisa-sisa umat yang setia muncul pada masa penghakiman, sisa-sisa umat yang setia boleh disebut sebagai “hamba yang menderita”. Tuhan telah menemani mereka berjalan melalui api dan sungai-sungai (Yesaya 43:1-2). Kini, Dia mahu menjadikan “Israel yang kerdil itu kembali kuat” (Yes 41:8-14). Hamba-Nya adalah adil, dan ia menyatakan hukum kepada bangsa-bangsa (Yes 42:1-9). Tuhan akan membawa umat-Nya kembali dari hujung bumi untuk menjadi saksi dan hamba-Nya (Yes 43:5-13). Dia akan mencurahkan Roh Kudus-Nya ke atas keturunan hamba Tuhan, dan mereka akan seperti rumput hijau yang subur di padang rumput (Yes 44:1-4). Walaupun negara ini pernah berdosa, namun sisa-sisa umat, hamba-hamba yang telah melalui penderitaan akan setia kepada Tuhan.

 Walau bagaimanapun, hamba yang dibicarakan oleh Yesaya tidak hanya merujuk kepada kerajaan Israel. Yesaya telah membezakan kerajaan Israel daripada sisa-sisa umat Israel yang setia (hamba yang menderita) (Yes 49:5-6), tetapi Israel, hamba-hamba Tuhan ini kemudiannya menjadi buta, pekak, dan memberontak (Yes 42:19), tidak dapat memenuhi amanat Tuhan. Para nabi pada masa kepulangan melihat masalah ini dengan jelas: penghakiman dan api pengasingan belum dapat membentuk orang Israel tulen yang dapat sepenuhnya setia pada perintah-perintah Tuhan. Hakikatnya, jika dilihat daripada sejarah kepulangan, sisa-sisa umat sememangnya tidak dapat memenuhi harapan tinggi Yesaya untuk menjadi bangsa yang murni, meninggalkan semua dosa, sepenuhnya mematuhi perintah-perintah Tuhan, menjadi umat yang kudus, serta sepenuhnya adil dan tidak bercacat cela di hadapan Tuhan. Nampaknya, nubuat Yesaya tentang banyak ketidakadilan mengenai kepulangan kepada masyarakat (Yes 58-59) memang disahkan dalam sejarah.

 Dosa Israel mesti ditebus, jadi Tuhan berjanji akan menghapuskannya (Yes 44:22). Oleh itu, daripada nubuat yang dibuat oleh Tuhan melalui nabi, kita dapat melihat bahawa nabi mempersonalisasi dan mengidealkan Hamba ini: Dia akan dilahirkan oleh seorang perempuan, dan dia berbeza daripada seluruh negeri. Dia akan menghidupkan kembali keluarga Yakub dan membawa mereka pulang ke Israel (Yes 44:24, 46:3, 49:1). Lebih penting lagi, Dia akan menjadi terang bangsa-bangsa lain, dan pada akhirnya semua bangsa akan datang sujud menyembah kepada-Nya (Yes 49:7, 9:2-7).

 Namun, sebelum perkara-perkara ini terjadi, korban penghapus dosa harus dipersembahkan untuk menghapus dosa-dosa dunia. Oleh itu, Hamba ini harus melalui penderitaan dan kematian untuk menebus dosa sebelum Dia ditinggikan (52:13). Dengan cara ini, kita dapat mengetahui bahawa Hamba yang ideal ini harus menderita sebelum Dia dapat dimuliakan.

 Hamba yang menderita ini telah digambarkan dengan sangat dramatik dalam 52:13 – 53:12. Satu fakta yang sangat penting adalah bahawa Hamba ini adil dan tidak berdosa. Israel menerima hukuman dua kali lipat kerana segala dosanya (Yes 40:2). Sebaliknya, Hamba ini menderita sepenuhnya kerana dosa orang lain. Penyelamatan dan penebusan disempurnakan kerana Dia menggantikan dosa dan menderita bagi manusia.

 Hari ini, mudah bagi kita untuk memahami bahawa penulis Perjanjian Baru telah menjelaskan cara Mesias yang dinubuatkan oleh Yesaya digenapi dalam Tuhan Yesus. Di mata para penulis Perjanjian Baru, Yesus menjadi sisa umat tersebut. Dialah perjelmaan daripada sisa umat yang setia, seorang Hamba yang benar-benar menderita demi keadilan. Dia tidak seperti sisa-sisa umat yang pulang daripada perbudakan kerana Dia tidak berbuat dosa (53:9; 1 Ptr 2:22). Memandangkan Dia merupakan penjelmaan daripada sisa-sisa umat yang setia, Dia telah melalui penghakiman Tuhan ke atas dosa (kayu salib), mengalami pengasingan (merasa kematian), dan mengalami kepulangan kembali (kebangkitan), mendapatkan kembali hidup, menjadi tonggak Israel baru, dan mewarisi kembali janji Tuhan.

 Setelah janji penyelamatan dan penebusan dipenuhi, Yesus Kristus telah menjadi fokus pengharapan agar umat Tuhan dapat terus hidup dan membentuk kerajaan baru, Israel baru yang meliputi orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. Setelah mereka menjadi teras kerajaan baru, Kristus memanggil “kelompok kecil” ini untuk menerima Kerajaan Tuhan (Dan 7:22,27; Luk 12:32) dan membentuk hakim di zaman baru untuk menghakimi kedua belas suku Israel (Mat 19:28; Luk 22:30). Gereja dianggap sebagai Israel zaman baru (Gal 6:16), kedua belas suku (Yak 1:1), “bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri” (Kel 19:6; 1 Ptr 2:9). Israel dalam Perjanjian Lama merupakan kerajaan yang berdosa, maka penderitaannya tidak dapat menggantikan dan menebus dosa seluruh dunia. Dosa kerajaan ini menghalangnya daripada memainkan peranan sebagai Hamba ini, sama seperti haiwan yang cacat tidak layak untuk dipersembahkan sebagai korban. Hanya seorang hamba yang benar yang dapat memikul tanggungjawab yang berat ini.

 

E. Mesias dalam rupa raja

Nabi Yesaya juga menubuatkan identiti Mesias sebagai Raja. Melalui dia, Tuhan akan memberikan terang kepada semua bangsa, menyelamatkan dan menebus Israel, mengampuni dosa, dan membawa berkat kepada dunia. Semua ini akan direalisasikan dalam kerajaan tahun Yobel. Nabi memanggil Mesias sebagai “tunas Tuhan” (Yes 4:2). Mesias akan dilahirkan daripada keturunan Daud dan akan membawa berkat kepada dunia.

 Mesias juga disebut “Imanuel”, yang bererti manusia yang mempercayai Dia dan bersandar kepada-Nya akan memahami bahawa “Tuhan menyertai kita” (Yes 7:14) dalam kehidupan dan pelayanan. Nubuat ini digenapi dengan kelahiran Kristus (Mat 1:23). Melalui kata-kata dan pekerjaan-Nya, Kristus mengungkapkan fakta bahawa “Tuhan menyertai kita”.

 Yesaya menggambarkan Mesias sebagai: “Seorang anak telah lahir untuk kita” dan “Seorang putera telah diberikan untuk kita.” Kalimat pertama menunjukkan sifat kemanusiaan-Nya, manakala kalimat berikutnya menunjukkan sifat keilahian-Nya (Yes 9:5). Gelaran yang diberikan oleh Yesaya kepada Mesias secara khusus menekankan sifat keilahian-Nya: “Penasihat Ajaib” (bandingkan dengan Yes 28:29), “Allah yang Perkasa”, “Bapa yang Kekal” (Yes 9:5).

 Yesaya menegaskan bahawa Mesias tidak hanya memberikan berkat kepada orang Israel, tetapi juga bangsa-bangsa. Tanah Galilea yang pernah direndahkan, yang dikenali sebagai “wilayah bangsa-bangsa lain”, suatu hari nanti akan menjadi tempat bagi pernyataan kemuliaan Mesias (Yes 8:23, 9:1; bandingkan dengan 42:6, 49:6). Sebagai keturunan Daud, Mesias pasti akan memerintah; nabi bernubuat bahawa Dia akan memerintah dunia dalam kerajaan masa depan (Yes 9:6). Kerajaan Mesias itu benar dan adil (Yes 11:1-5). Setelah Dia menyelesaikan pemerintahan tahun Yobel-Nya, bangsa-bangsa di dunia akan terlebih dahulu dihakimi (Yes 24:1-23). Pada waktu itu, Mesias akan memberkati orang Israel (Yes 14:1-2) dan bangsa-bangsa (Yes 25:6-12) supaya umat manusia dapat memulihkan semua yang hilang dalam Adam. Ketika Mesias memerintah, kutukan maut akan dihapuskan (Yes 25:8), dan dunia umumnya akan mengenali kebenaran penyelamatan dan penebusan ini. Mesias yang agung ini akan memimpin dunia kepada-Nya (Yes 30:20-21). Mesias juga akan menyembuhkan dunia ini (Yes 35:5-6). Penyembuhan semacam ini merupakan hasil bagi orang-orang dalam kerajaan tahun Yobel (Yes 35:8).

 

F. Pekerjaan Roh Kudus

Mesias akan mewarisi janji Tuhan kepada Daud untuk membangun sebuah kerajaan yang adil dan saksama, tetapi hal ini tidak dapat dilakukan oleh orang biasa. Tidak kira betapa baiknya niat manusia, mereka tidak dapat memerintah negara ini dengan keadilan yang sempurna. Oleh itu, mereka harus ada pertolongan Roh Tuhan. Hikmat, pengertian, nasihat, dan pengenalan yang diberikan oleh Roh Tuhan kepada Mesias adalah tidak terbatas (Yes 11:2; Yoh 3:34). Dia juga bernubuat bahawa Dia akan mendirikan kerajaan tahun Yobel yang rohani di bumi.

 Ketika Roh Allah mengurapi hamba Tuhan, tindak balasnya adalah dengan menyampaikan khabar baik kepada orang-orang di dunia (Yes 61:1). Dalam 40:7-8, nabi menggunakan kata-kata dalam bahasa Ibrani yang berkaitan untuk mengungkapkan maksudnya. Perkataan Ibrani, ruah mempunyai makna “roh” dan “angin”. Apabila angin / nafas Tuhan (ruah) bertiup di atas rumput, rumput akan layu, tetapi firman Tuhan (juga dikeluarkan daripada ruah) tetap untuk selama-lamanya. Roh Tuhan membolehkan manusia menyatakan kehendak Tuhan (Yes 48:16). Roh-Nya yang mengadili dan yang membakar juga dapat membersihkan kekotoran di dalam hati, menghidupkan semangat orang-orang yang rendah hati, dan menghidupkan hati orang-orang yang remuk. Walaupun Tuhan bersemayam di tempat tinggi dan di tempat kudus, Dia juga rela bersama-sama dengan orang yang remuk dan rendah hati.

 Kitab Yesaya juga mencatatkan Roh Tuhan membuatkan tanah pusaka yang sunyi sepi hidup kembali (Yes 34:16 – 35:2, 59:21 – 60:2, 63:10-14), sama seperti Roh Tuhan menimbulkan ketertiban dalam keadaan yang kosong (Kej 1:2). Roh Tuhan pernah melayang-layang secara aktif pada masa penciptaan. Roh Tuhan juga dapat mengubah kekacauan moral serta membawa ketertiban dan keadilan. Oleh itu, nabi bernubuat: “Sampai dicurahkan kepada kita Roh dari atas: Maka padang gurun akan menjadi kebun buah-buahan, dan kebun buah-buahan itu akan dianggap hutan. Di padang gurun selalu akan berlaku keadilan dan di kebun buah-buahan akan tetap ada kebenaran. Di mana ada kebenaran di situ akan tumbuh damai sejahtera, dan akibat kebenaran ialah ketenangan dan ketenteraman untuk selama-lamanya. Bangsaku akan diam di tempat yang damai, di tempat tinggal yang tenteram di tempat peristirahatan yang aman.” (Yes 32:15-18, 28:6, 42:1, 44:3). Nabi juga bernubuat bahawa Tuhan akan mencurahkan Roh Kudus ke atas keturunan umat pilihan dan berkat ke atas anak cucu umat pilihan. Mereka akan tumbuh seperti rumput di tengah-tengah air, seperti pohon-pohon gandarusa di tepi sungai. Yang satu akan berkata: Aku kepunyaan TUHAN, yang lain akan menyebut dirinya dengan nama Yakub, dan yang ketiga akan menuliskan pada tangannya: Kepunyaan TUHAN, dan akan menggelari dirinya dengan nama Israel. Catatan ini menggambarkan perkembangan maju gereja. Injil harus disebarkan ke seluruh dunia dengan bersandarkan pekerjaan Roh Kudus.

 Tetapi jika manusia tidak tahu menghormati Tuhan dan hanya memuliakan Tuhan dengan bibirnya, padahal hatinya menjauh daripada Tuhan, maka Tuhan akan membuatkan mereka tidur nyenyak; matanya – yakni para nabi – telah dipejamkan-Nya dan mukanya – iaitu para pelihat – telah ditudungi-Nya. Maka bagi mereka penglihatan dari semuanya itu seperti isi sebuah kitab yang termeterai, apabila itu diberikan kepada orang yang tahu membaca dengan mengatakan: “Baiklah baca ini,” maka ia akan menjawab: “Aku tidak dapat, sebab kitab itu termeterai”, dan apabila kitab itu diberikan kepada seorang yang tidak dapat membaca dengan mengatakan: “Baiklah baca ini,” maka ia akan menjawab: “Aku tidak dapat membaca.” maka sebab itu, hikmat orang-orangnya yang berhikmat akan hilang, dan kearifan orang-orangnya yang arif akan bersembunyi (Yes 29:10-14). Sekiranya manusia terus memberontak dan mendukakan Roh Kudus Tuhan, maka Tuhan berubah menjadi musuh mereka, dan Ia sendiri berperang melawan mereka supaya mereka dapat berfikir: Di manakah Tuhan yang memperhatikan mereka? Dengan itu, mereka dapat memalingkan langkah dan kembali kepada Tuhan (Yes 63:10).

 

G. Tuhan yang menguasai sejarah

Kriteria utama yang digunakan oleh Perjanjian Lama untuk menilai nabi yang benar dan palsu adalah dengan melihat sama ada kata-kata mereka dipenuhi (Ul 18:21-22). Syarat awal daripada piawaian ini adalah bahawa Tuhan akan menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi (Am 3:7), dan Dia akan menguasai sejarah supaya kehendak-Nya dapat direalisasikan.

 Dalam kitab Yesaya fasal 40-66, penguasaan sejarah Tuhan ialah kemuncak pujian. Setelah fasal 40 dalam kitab ini, terdapat banyak perbincangan mengenai berhala yang dibuat oleh tangan manusia, iaitu bahawa berhala tidak dapat dibandingkan dengan Tuhan. Dewa-dewa palsu adalah seperti tidak ada, dan tidak dapat memberikan berkat atau bencana (Yes 41:21-24). Tuhan tidak akan memberikan kemuliaan-Nya kepada patung (Yes 42:8-9). Orang-orang yang bersandarkan patung pahatan akan mendapat malu. Manusia menggunakan kayu yang sama untuk membakar roti dan membuatnya menjadi allah lalu menyembah kepadanya. Bagaimana berhala itu dapat menyelamatkan manusia (Yes 40 4:15-19)? Oleh itu, nabi telah berulang kali menekankan bahawa Tuhan ialah Juruselamat dan Penebus, Tuhanlah Allah yang benar. Tidak ada tuhan lain selain Dia, dan tidak ada juruselamat selain Dia. Marilah kita kenal dengan lebih jelas bahawa Dialah satu-satunya Tuhan dan satu-satunya Juruselamat, Dialah penguasa sejarah.

 Orang Israel telah melihat bahawa sesuatu akan terjadi seperti yang diseru oleh Tuhan semasa krisis Asyur (Yes 37:33-37). Kini, mereka boleh percaya bahawa Tuhan pernah berseru: “Nubuat-nubuat yang dahulu sekarang sudah menjadi kenyataan, hal-hal yang baru hendak Kuberitahukan. Sebelum hal-hal itu muncul, Aku mengabarkannya kepadamu.” (Yes 42:9). Nubuat ini adalah bahawa ketika anugerah keselamatan Tuhan datang, Roh Kudus kebenaran akan seperti mata air atau sungai yang hidup, mengairi hati orang yang sunyi sepi seperti padang gurun atau padang pasir, mengubahnya menjadi padang buah-buahan dan kolam, sehingga manusia memperoleh hidup dan sukacita. Perkara-perkara baru yang ingin disempurnakan oleh Tuhan untuk kerajaan ini pasti akan menjadi kenyataan pada masa depan (Yes 43:9,19, 48:3,6). Tuhan telah berbicara dengan kuasa dan kebesaran dalam peristiwa masa lalu, maka kata-kata yang diucapkan oleh-Nya tentang masa depan pada hari ini juga boleh dipercayai. Berhala tidak pernah dapat melakukan hal ini, dan ketidakupayaan mereka menunjukkan bahawa mereka sama sekali bukan tuhan (Yes 43:8-11). Hanya Tuhan Israel yang telah menyatakan, menyelamatkan, dan mengumumkan tindakan yang akan dilakukan oleh-Nya.

 Terdapat tiga nubuat dalam kitab Yesaya tentang memilih hamba dari timur untuk membangun gereja benar (Yes 41:2, 46:11, 24:14-25), yang telah digenapi sekarang. Pada masa hadapan, jika kita boleh memperhatikan perbuatan Tuhan dengan teliti, maka kita dapat melihat bahawa nubuat nabi akan digenapi satu demi satu, dan kita dapat memahami bahawa Tuhan sememangnya berkuasa atas sejarah (41:21-24, 43:8-13, 44:6-8, 45:20-21, 46:8-10, 61:1-2, 65:17, 66:1-2,15-17,22-24).

 

KESIMPULAN

Yesaya merupakan seorang nabi besar yang soleh, luhur, agung, cemerlang dan terkenal. Dia mengumpulkan semua sifat para nabi; pemikiran dan ucapannya hebat, maha tinggi dan meluas. Ada yang berkata: “Beethoven berada dalam dunia muzik, Shakespeare berada dalam dunia sastera, sama seperti nabi Yesaya merupakan nabi yang terutama dalam kumpulan nabi.” Kenyataan ini sangat tepat. Hal yang lebih penting ialah, dia diguna oleh Tuhan. Isi kandungan nubuatnya adalah yang paling kaya. Kitab ini merangkumi keseluruhan Alkitab dan merangkumi keseluruhan anugerah keselamatan Kristus. Kitab nubuat ini tidak boleh diabaikan. (Lin Yongji)