PANDUAN PEMBACAAN KITAB BILANGAN
Kitab Bilangan ialah sambungan bagi kitab Keluaran. Kitab Bilangan dituliskan oleh Musa untuk menceritakan perjalanan umat Israel di padang gurun. Dalam perjalanan hampir empat puluh tahun tersebut, kita dapat melihat bahawa Tuhan memimpin umat dengan kemurahan hati dan kasih sayang / rahmat, menyediakan keperluan mereka dan menjaga hidup mereka (rujuk Ul 8:4). Kita juga dapat melihat Tuhan menghakimi kesalahan umat dengan sikap yang keras. Dengan mengkaji kitab Bilangan, kita dapat memahami perbuatan dan ajaran Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Sebab itu perhatikanlah kemurahan Allah dan juga kekerasan-Nya, yaitu kekerasan atas orang-orang yang telah jatuh, tetapi atas kamu kemurahan-Nya, yaitu jika kamu tetap dalam kemurahan-Nya; jika tidak, kamu pun akan dipotong juga.” (Rm 11:22). Dalam aspek yang lain, perjalanan umat di padang gurun boleh melambangkan perjalanan umat Kristian menuju ke kerajaan syurga. Kita boleh mendapat pengajaran, dorongan dan penghiburan daripada pengalaman mereka (rujuk 1 Kor 10:1-13). Dengan itu, kita dapat mengelakkan banyak kegagalan dan ketidakpercayaan, sebaliknya dapat bersandar kepada Tuhan untuk menyempurnakan perjalanan ke kerajaan syurga dan mendapatkan istirahat yang rohani. Berikut dibincangkan ringkasan kitab Bilangan sebagai peringatan dan dorongan bersama.
PERSEDIAAN SEBELUM MEMULAKAN SEMULA PERJALANAN
Selepas keluar dari Mesir, umat Israel telah berjalan selama tiga bulan lalu tiba di bawah gunung Sinai (Kel 19:1) dan tinggal di sana untuk lebih kurang satu tahun lamanya (Bil 10:11). Dalam tempoh tersebut, mereka menerima Kesepuluh firman dan pelbagai hukum Taurat daripada Tuhan di samping mendirikan dan menyempurnakan Khemah Pertemuan untuk sembilan bulan lamanya (Kel 40:2). Pada masa tersebut, selain menuruti permintaan Tuhan dan merayakan paskah (Bil 9), Musa juga menyempurnakan beberapa perkara seperti yang diperintahkan oleh Tuhan sebelum mereka sekali lagi memulakan perjalanan. Perkara-perkara ini juga membekalkan banyak pengalaman dan pengajaran yang indah.
A. Persembahan kepala suku
Selepas Musa mendirikan dan menyempurnakan Khemah Pertemuan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan, maka diurapinya dan dikuduskannyalah itu dengan segala perabotannya, juga mezbah dengan segala perkakasnya. Kemudian, para kepala suku tampil mempersembahkan persembahan kepada Tuhan bagi pihak seluruh umat. Kitab Bilangan fasal tujuh tidak jemu-jemu menceritakan mengenai persembahan mereka. Satu hari, satu kepala suku. Persembahan untuk semua kepala suku adalah sama. Persembahan mereka dicatatkan dengan terperinci dan tidak ada yang diabaikan. Dari hal ini kita dapat belajar dan memahami bahawa: setiap kepala suku mewakili sukunya. Tidak kira bilangannya ramai ataupun sedikit, kepala suku harus melayani di hadapan Tuhan dan berkenan kepada-Nya. Persembahan yang sama bagi setiap hari juga menunjukkan pemikiran untuk melayani Tuhan. Tidak kira betapa panjang pun masanya, keghairahan itu janganlah berkurang, sebaliknya haruslah sama dari awal hingga akhir.
B. Mentahirkan orang Lewi
Ketika Khemah Pertemuan hampir disiapkan, Musa menguduskan keluarga imam dan mempersembahkan pentahbisan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan (Im 8-9). Kemudian, dia mengumpulkan orang Lewi dan menjadikan mereka tahir (Bil 8:5-14). Demikianlah dia memulakan keseluruhan kerja persembahan korban dan kerja pelayanan Tuhan. Tidak kira semasa umat berada di padang gurun ataupun setelah mereka tiba di tanah Kanaan kelak, mereka perlu mempersembahkan korban yang diperintahkan oleh Tuhan dan beribadah kepada Tuhan dengan hati yang ikhlas dengan tidak putus-putus. Kini, kita telah ditahirkan oleh darah Tuhan yang bernilai. Maka, tidak kira dalam apa-apa keadaan pun, kita haruslah melayani Tuhan dengan tulus hati seumur hidup kita supaya kerajaan Tuhan dapat dikembangkan ke merata tempat.
C. Mencatatkan umat
Tuhan berpesan lagi kepada Musa: “Hitunglah jumlah segenap umat Israel menurut kaum-kaum yang ada dalam setiap suku mereka, dan catatlah nama semua laki-laki di Israel.” (Bil 1:2). Oleh itu, Musa pun mencatatkan nama semua laki-laki yang berumur dua puluh tahun ke atas dan yang sanggup berperang bagi setiap suku. Musa juga mencatatkan semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas bagi suku Lewi (Bil 3:15). Tujuan tindakan ini adalah seperti berikut:
- Organisasi
Jumlah laki-laki yang dihitung dalam setiap suku adalah melebihi enam ratus ribu orang. Sudah tentu terdapat banyak masalah yang memerlukan penjagaan dan penyelesaian yang betul apabila bilangan orang yang sebegini ramai berjalan, tinggal dan hidup di padang gurun. Perkara ini tidak dapat dilakukan tanpa organisasi. Oleh itu, dengan perintah mencatatkan umat, Tuhan membentuk organisasi bagi umat dan menetukan tempat perkhemahan bagi setiap suku. Tidak kira semasa berkhemah ataupun bergerak, semuanya haruslah berpusatkan Khemah Pertemuan. Dalam gereja pada hari ini, organisasi juga harus dibentuk bagi pemercaya supaya setiap orang dapat dijaga dan dapat bertumbuh besar dalam kestabilan tidak kira dari segi tubuh jasmani mahupun dari segi kerohanian.
2. Masing-masing dalam bidang pekerjaannya / menunaikan tugasnya
Setelah dicatatkan dan organisasi pun dibentuk, umat bukan sahaja dapat mara ke hadapan secara teratur, mereka juga dapat memahami skop bidang atau tugas masing-masing, melindungi diri sendiri, berwaspada terhadap serangan daripada mana-mana pihak ataupun menggalas tugas perjuangan seperti yang dipesankan oleh Musa. Setiap bani dalam suku Lewi juga ada bidang tugasnya masing-masing supaya kerja pelayanan Tuhan dapat saling berpadanan (Bil 4). Hari ini, bagi kita yang berada di dalam Kristus, “Dari pada-Nyalah seluruh tubuh, — yang rapih tersusun dan diikat menjadi satu oleh pelayanan semua bagiannya, sesuai dengan kadar pekerjaan tiap-tiap anggota — menerima pertumbuhannya dan membangun dirinya dalam kasih.” (Ef 4:16).
D. Permintaan kekudusan
Apabila bilangan orang yang sebegini ramai berkhemah dan berjalan di padang gurun, mereka pastinya akan berhadapan dengan isu kebiasaan, kebersihan persekitaran, masalah antara manusia dan masalah antara keluarga ataupun suami isteri. Jika mereka tidak dapat saling menghormati, pastinya banyak kegelisahan akan ditimbulkan. Oleh itu, dalam fasal lima, Tuhan berpesan kepada Musa tentang beberapa prinsip pengurusan. Tujuannya adalah untuk menjaga umat supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang normal dan harmoni. Hari ini, kita harus berusaha untuk mempunyai pemikiran yang mengejar kekudusan dan menjalani kehidupan yang saling percaya dan saling mengasihi.
PERJALANAN DI PADANG GURUN
Setelah semuanya bersiap sedia, pada tahun yang kedua, pada bulan yang kedua, pada tanggal dua puluh bulan itu selepas keluar dari Mesir, naiklah awan itu dari atas Kemah Suci, tempat hukum Allah lalu umat Israel pun memulakan perjalanan secara teratur (Bil 10:11). Perjalanan di padang gurun ini telah mengambil masa selama empat puluh tahun. Umat mempunyai banyak prestasi yang baik dan juga banyak prestasi yang gagal. Padang gurun ini boleh dikatakan sebagai satu ujian yang besar. Berikut dibincangkan beberapa peristiwa di antaranya sebagai refleksi bagi iman kepercayaan.
A. Ujian hidup
Padang gurun sememangnya kekurangan bekalan, panas pada waktu siang dan dingin pada waktu malam. Namun alangkah indahnya penjagaan Tuhan dengan memberikan tiang awan, tiang api dan juga manna yang diturunkan dari langit. Jika umat dapat senantiasa mempunyai hati yang bersyukur, maka tidak akan ada kekurangan dalam hidup mereka. Namun hati manusia mudah mempunyai rasa tidak puas hati. Tambahan pula, terdapat orang-orang bajingan di antara umat yang kemasukan nafsu rakus atau memandang hina pemberian Tuhan yang indah dan jemu dengan makanan yang ringkas (Bil 11:6) lalu bangkit menyerang Musa dan bersungut-sungut tentang pimpinan Tuhan. Hal ini menyebabkan tidak sedikit di kalangan mereka yang mati dalam hukuman kerana nafsu rakus mulut mereka (Bil 11:33-34). Umat juga tidak dapat lagi menahan hati di tengah perjalanan lalu mereka berkata-kata melawan Allah dan Musa. Mereka lupa tentang kasih karunia Tuhan yang menyelamatkan mereka sehingga mereka dapat meninggalkan perbudakan di Mesir (Bil 21:4-5) lalu menerima hukuman daripada Tuhan. Iman kepercayaan adalah untuk seumur hidup. Iman kepercayaan bukannya keghairahan yang sementara sahaja. Oleh itu, kita harus sentiasa berjaga-jaga kerana masa, persekitaran dan pelbagai kemalangan merupakan ujian yang besar. Kita harus belajar untuk terus berserah kepada Tuhan, selalu renungkan kasih karunia yang dialamai pada masa dahulu dan mempercayai firman Tuhan: “Tetapi carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu.” (Mat 6:33). Ibadah itu kalau disertai rasa cukup barulah dapat mengalahkan kesusahan dan ujian kebendaan.
B. Ujian ketaatan
Apabila bilangan orang menjadi ramai, pastinya ada kepelbagaian ragam, berlagak pandai dan cita-cita tinggi. Banyak sungut-sungut dan khabar bohong akan terhasil. Oleh itu, ketika berada di padang gurun, cara menjadi taat merupakan satu pelajaran yang penting. Pada masa kini, ada kalanya kita dapat melihat bahawa ketika gereja baru mula ditubuhkan dengan bilangan orang lebih sedikit, komunikasi adalah senang, dapat saling menghormati dan taat dalam semua perkara. Namun setelah berkembang menjadi gereja dengan bilangan orang yang lebih ramai, sesetengah perkara yang melibatkan pemercaya tidak dapat saling mentaati adalah tidak dapat dielakkan. Daripada peristiwa-peristiwa umat di padang gurun, marilah kita lihat caranya kita dapat belajar tentang pelajaran ketaatan.
- Harus faham tentang semboyan nafiri
Tuhan berfirman kepada Musa supaya membuat dua nafiri daripada perak (Bil 10:1-5) dan nafiri-nafiri itu harus ditiup oleh imam. Semboyan nafiri ini digunakan untuk mengawal umat. Umat perlu memahami semboyan nafiri dan memerhatikan setiap arahan supaya mereka dapat maju ke hadapan di padang gurun secara teratur. Hari ini, kita juga perlu sebulat suara dan bersama-sama menghormati kebenaran, bukannya berbuat menurut keinginan masing-masing dan berbicara menurut bahasa sendiri. Dengan itu, kita dapat seia sekata dalam membina gereja Tuhan.
2. Menghapuskan keangkuhan dan iri hati
Miryam serta Harun mengatai dan menyerang Musa berkenaan dengan perempuan Kush yang diperisterikannya (Bil 12:1-2). Namun Tuhan mengiktiraf Musa dengan berkata: “Musa seorang yang setia dalam segenap rumah-Ku.” . Bagi contoh yang lain, orang-orang Korah bergabung untuk menyerang kaum imam Harun dan jabatan yang mereka terima (Bil 16:1-3). Mereka akhirnya terima hukuman daripada Tuhan. Semua ini berasal daripada perasaan berlagak pandai, sombong dan keinginan untuk berebut dalam hati manusia. Mereka mempergunakan hal-hal kecil untuk menyerang pekerja Tuhan dan tidak rela untuk mentaati pengaturan Tuhan. Orang-orang ini juga merupakan pemimpin dalam kalangan umat. Serangan sebegini pastinya akan menimbulkan kesan yang lebih besar. Oleh itu, kita haruslah ingat pesanan yang dikatakan oleh Yakobus; “Jika kamu menaruh perasaan iri hati dan kamu mementingkan diri sendiri, janganlah kamu memegahkan diri dan janganlah berdusta melawan kebenaran!’ (Yak 3:14). Selalulah menyelidiki diri sendiri, hapuskan hati yang sombong. Dengan itu, kita dapat mengelak daripada diombang-ambingkan oleh tipu muslihat Iblis, sebaliknya dapat benar-benar bersepakat dan sama-sama berusaha untuk kerja suci.
3. Harus tahu membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik
Manusia sering salah membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik atau tidak mempertahankan kebenaran disebabkan oleh hubungan sesama manusia dan kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, selepas orang-orang Korah dihukum oleh Tuhan, umat Israel tidak dapat melihat dengan jelas, mereka sebaliknya bangkit menyerang Musa dengan berkata: “Kamu telah membunuh umat TUHAN.” (Bil 16:41). Hal ini menunjukkan bahawa mereka bersimpati dengan musuh sehingga menyebabkan mereka tidak tahu membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik. Mereka tidak mentaati perbuatan Tuhan lalu menimbulkan penghakiman Tuhan sekali lagi. Tuhan Yesus mengajar kita; “Kasihilah musuh.” (Mat 5:44). Ajaran ini bukan bermaksud Tuhan mahu kita tidak tahu membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik. Sebaliknya Tuhan berharap agar kita membenci dan meninggalkan dosa kejahatan, namun tidak boleh menaruh dendam dan berputus asa terhadap seseorang yang berdosa. Berdoalah untuknya, selamatkanlah dan lepaskanlah dia daripada jerat dosa. Oleh itu, kita selalu menjadikan kebenaran sebagai piawaian, mempunyai hati yang benar dan membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik. Dengan itu, kita dapat menjauhkan diri daripada belenggu dosa.
4. Jangan gelisah
Sebagai contoh, semasa berada di padang gurun Zin, umat sekali lagi bertengkar dengan Musa kerana ketiadaan air. Musa sujud di hadapan Tuhan dengan rendah hati pada kali ini, namun dia tidak melakukannya menurut petunjuk Tuhan sepenuhnya kerana tidak dapat menahan hatinya dan tidak menghapuskan kemarahan dalam hatinya. Walaupun dia mengeluarkan air daripada bukit batu, namun dia ditegur oleh Tuhan kerana tindakan ini (Bil 20:1-13). Apabila hati manusia dipenuhi dengan ketidaktenteraman, kekhuatiran, terutamanya kegelisahan dan kemarahan, mereka sukar untuk terima pendapat orang lain daan susah untuk taat sepenuhnya. Alkitab mencatatkan: “Amarah manusia tidak mengerjakan kebenaran di hadapan Allah.” (Yak 1:20). Mohonlah supaya Roh Tuhan mengawal emosi kita supaya kita mempunyai hati yang tenang untuk berhadapan dengan setiap cabaran dan dapat terus maju ke hadapan dengan pimpinan Tuhan.
KEHORMATAN UMAT
Ketika umat berjalan di padang gurun dan melewati dataran Moab, raja Moab berasa gentar. Maka raja pun mengirim utusan kepada nabi Bileam dengan harapan nabi Bileam dapat mengutuk orang Israel. Namun kesudahannya, nabi Bileam sebaliknya memberkati umat di bawah kawalan Tuhan. Dalam proses ini, kita dapat memahami betapa terhormat dan mulianya umat pilihan Tuhan.
A. Bangsa yang diam tersendiri
“Sebab dari puncak gunung-gunung batu aku melihat mereka, dari bukit-bukit aku memandang mereka. Lihat, suatu bangsa yang diam tersendiri dan tidak mau dihitung di antara bangsa-bangsa kafir.” (Bil 23:9-10). Bilangan ini adalah ramai. Orang Israel telah dipilih khas oleh Tuhan, dibezakan daripada segala bangsa. Mereka boleh menerima kasih karunia Tuhan yang istimewa. Hal yang paling penting ialah, mereka harus menjadi saksi yang indah bagi Tuhan dan menyempurnakan anugerah keselamatan Tuhan. Orang-orang yang berada di dalam Tuhan Yesus juga bukan dari dunia melainkan dari Tuhan (Yoh 17:16). Walaupun masih hidup di dalam dunia ini dan hal-hal yang dihadapi juga seolah-olah sama dengan orang-orang dalam dunia, namun erti yang perlu dirasai di dalamnya lebih lagi dapat menyatakan kasih dan kehendak Tuhan. Oleh itu, kita lebih lagi perlu memandang berat tentang identiti yang kita perolehi, beritakan anugerah keselamatan Tuhan dengan berani, perluaskan sempadan kerajaan Tuhan dan tarik perhatian lebih ramai orang untuk datang memuliakan nama-Nya.
B. Teladan bagi dunia
“Sekiranya aku mati seperti matinya ornag-orang jujur dan sekiranya ajalku seperti ajal mereka!” (Bil 23:10). Orang-orang jujur ini merujuk kepada orang Israel. Mereka menjadi sasaran yang dicemburui oleh orang ramai dan harus menjadi teladan bagi dunia. Namun, orang Israel juga sering berbuat dosa, bagaimanakah mereka digelar sebagai orang-orang jujur? Sebabnya adalah kerana pengampunan kasih Tuhan. Seperti yang dicatatkan dalam Alkitab: “Tidak ada ditengok kepincangan di antara keturunan Yakub, dan tidak ada dilihat kesukaran di antara orang Israel. (Bil 23:21). Tambahan pula, dalam pandangan Tuhan: “Alangkah indahnya kemah-kemahmu, hai Yakub, dan tempat-tempat kediamanmu, hai Israel!” (Bil 24:5). Tuhan suka memberikan berkat supaya kehidupan mereka kaya dan dipenuhi dengan sukacita. Dengan itu, mereka dapat menyaksikan kasih karunia Tuhan yang mulia. Tentu sekali, Tuhan lebih berharap agar umat dapat terus bertumbuh besar, bertahan dalam iman kepercayaan, tidak terpengaruh dengan bangsa asing, dapat takut akan Tuhan dan mengasihi Tuhan dalam hidup, menyatakan semangat yang baik di merata tempat dan menjadi teladan bagi dunia. Hari ini, Tuhan Yesus juga mengharapkan kita untuk menjadi terang dan garam dunia serta memimpin dunia berbalik kepada Tuhan yang benar.
C. Bangsa yang kudus
“Tidak ada ditengok kepincangan di antara keturunan Yakub, dan tidak ada dilihat kesukaran di antara orang Israel. (Bil 23:21). Sebenarnya, umat sering melakukan kejahatan dan berdosa kepada Tuhan. Namun mengapakah dikatakan bahawa mereka tidak ada dosa dan kejahatan? Hal ini demikian kerana Tuhan mengampuni mereka dengan kasih dan tidak berkira dengan segala pelanggaran mereka. Dalam pandangan Tuhan, Tuhan melihat mereka sebagai bangsa yang kudus. Tuhan selamanya tidak menyesali pilihan-Nya (Rm 11:29). Asalkan manusia tidak mengabaikan Tuhan, sudi bertaubat daripada kelemahan dan kegagalan, darah Tuhan yang bernilai akan menyucikan kita daripada segala pelanggaran (1 Yoh 1:7). Dia akan membantu kita melalui Roh Kudus untuk mengabaikan godaan segala keinginan lalu semakin mencapai tahap yang sempurna dan kudus. Seperti yang dikatakan oleh Paulus: “Siapakah yang akan menggugat orang-orang pilihan Allah? Allah, yang membenarkan mereka? Siapakah yang akan menghukum mereka?” (Rm 8:33).
D. Umat yang dilindungi Tuhan
“Sebab tidak ada mantera yang mempan terhadap Yakub, ataupun tenungan yang mempan terhadap Israel.” (Bil 23:23). Walaupun raja Moab ingin mencelakakan umat dengan mantera dan kutukan, namun di bawah kawalan Tuhan, Bileam sebaliknya mengumumkan bahawa Tuhan melindungi umat dan tidak ada orang yang dapat mencelakakan mereka. Tuhan juga berjanji bahawa umat pasti akan mengalahkan banyak musuh: “Adalah bagi mereka seperti tanduk kekuatan lembu hutan. Bangsa-bangsa yang menjadi lawannya akan ditelannya habis, dan tulang-tulang mereka akan dihancurkannya.” (Bil 24:8). Nampaknya kita juga begitu. Kita bagaikan biji mata Tuhan (Ul 32:10). Janganlah takut dengan ajaran sesat, budaya buruk dan kebiasaan jahat yang ditakuti oleh dunia dan janganlah berasa takut dengan persekitaran yang buruk atau sukar. Percayalah dan bersandarlah kepada Tuhan. Dengan adanya perlindungan Tuhan, berdirilah teguh dan pertahankanlah iman kepercayaan sehingga hari Tuhan datang.
GENERASI BARU
Ketika berada di bawah gunung Sinai, Musa mencatatkan umat untuk kali yang pertama. Selepas perjalanan lebih daripada satu tahun di padang gurun, umat pun tiba di sempadan tanah Kanaan. Pada asalnya, mereka boleh segera masuk menyerang dan merampas milik pusaka di sana. Namun mereka dihukum oleh Tuhan kerana ketidakpercayaan mereka lalu mereka perlu terus mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun. Kemudian, generasi terdahulu kebanyakannya mati di padang gurun (Bil 14:28-33). Setelah generasi baru meningkat dewasa, Musa sekali lagi mencatat para prajurit dan bersedia untuk menyelesaikan misi. Iman kepercayaan seharusnya diturunkan dari generasi ke generasi. Usaha dan jerih payah generasi terdahulu membuatkan generasi baru mempunyai asas yang lebih baik untuk menyerlah. Oleh itu, dari generasi baru umat dan jangkaan Tuhan terhadap mereka, berikut merupakan dorongan untuk pemercaya zaman-berzaman:
A. Harus warisi milik pusaka dengan iman
Salah satu tujuan catatan kali ini adalah untuk membahagikan milik pusaka berdasarkan jumlah yang banyak dan sedikit bagi setiap suku (bil 26:52-56). Tuhan berpesan kepada Musa untuk mencatat umat dan cara Musa membahagikan milik pusaka menunjukkan bahawa janji Tuhan tidak ada yang tidak dipenuhi dan generasi baru harus mewarisinya dengan iman. Janganlah menjadi seperti orang dalam generasi yang terdahulu. Mereka telah dicatat namun tidak dapat mewarisi milik pusaka. Sungguh malang sekali. Sebenarnya, tidak kira generasi yang manapun, apa-apa yang dijanjikan oleh Tuhan pastinya tidak akan mengecewakan manusia. Hal yang perlu dilakukan ialah teguhkan iman, menanti dengan sabar, terus memohon, terima milik pusaka bukan sahaja untuk hidup kini tetapi yang paling penting ialah milik pusaka hidup yang kekal.
B. Harus berperang untuk Tuhan
Tujuan mencatat para prajurit adalah untuk berperang. Malangnya, orang yang dicatat pada kali pertama bukannya terkorban kerana berperang untuk Tuhan, tetapi mati kerana kepentingan sendiri, nama, keinginan daging dan kelemahan (rujuk Bil 16:3, 25:1). Prajurit generasi baru yang dapat masuk ke tanah Kanaan haruslah berperang demi Tuhan, hapuskan musuh dan terima milik pusaka. Kini, Tuhan juga mahu pemercaya dalam setiap generasi dapat berperang untuk-Nya, kalahkan lebih banyak tanah supaya manusia berbalik kepada Tuhan dan supaya wilayah kerajaan Tuhan dapat diperluaskan. Janganlah merosakkan iman kepercayaan sendiri dan kesatuan hati keseluruhan organisasi demi kehendak sendiri, nama yang sia-sia dan kebendaan. Dengan itu, barulah kita dapat menjadi pahlawan yang berkenan kepada Tuhan dan mendapat kemenangan.
C. Harus menjadi saksi bagi Tuhan
Tuhan memberikan milik pusaka kepada generasi baru supaya mereka dapat membangunkan sebuah kerajaan yang milik Tuhan sepenuhnya, berpegang pada hukum Taurat dan peraturan-peraturan yang diberikan oleh Tuhan serta menjadi model peranan kepada segala bangsa di atas tanah yang mereka perolehi. Janganlah menjadi seperti orang yang dicatat terdahulu yang kehilangan kesaksian Tuhan kerana tidak melakukan perintah Tuhan. Memandangkan kita mempunyai pengharapan untuk menerima milik pusaka kerajaan syurga, maka kita harus berusaha dengan lebih positif untuk menjadi saksi yang indah bagi Tuhan.
KESIMPULAN
Kita dapat melihat daripada kitab Bilangan bahawa umat ada kegagalan dan pengampunan, ada sukacita dan kesyukuran, ada peperangan dan kemenangan semasa mereka berada di padang gurun. Semua pengalaman ini adalah umpama proses iman kepercayaan. Adalah dipercayai bahawa setiap pemercaya dapat mengiktiraf kasih dan pimpinan Tuhan. Tidak kira apa-apa pun yang terjadi, pemercaya dapat berdiri teguh dan terus maju ke hadapan sehingga masa untuk menerima milik pusaka dan upah.