PENGENALAN TEMPAT YANG KUDUS (I)
(Chen Sheng Quan)
A. ASAL TEMPAT YANG KUDUS
Tanah Kanaan pada zaman kuno; Palestina dan tempat yang disebut “tempat yang kudus” hari ini sebenarnya merujuk kepada tempat yang sama, iaitu “negeri yang dijanjikan” oleh Tuhan yang benar kepada Abraham dan Israel, keturunannya (UL 34:4).
Antara tahun 2091 – 1991 SM, Tuhan memilih Abram untuk pergi dari negerinya dan dari sanak saudaranya dan dari rumah bapanya ke negeri yang dijanjikan-Nya (rujuk: Kej 12:1-3) untuk membangun kembali satu kaum yang baru. Kaum ini merupakan bangsa yang menyembah Tuhan yang esa dan menjalani kehidupan yang beriman. Tindakan bapa iman, Abraham ini bukan hanya memulakan sejarah bangsa Ibrani, tetapi juga membentuk sejarah Alkitab (kerana sejarah Alkitab ialah sejarah bangsa Ibrani). Pada masa yang sama, tanah Kanaan yang dijanjikan dan dikaruniakan oleh Tuhan ini telah menjadi tempat yang kudus yang dipelihara oleh orang-orang kudus. Daripada bangsa Ibrani kepada orang Yahudi masa kini, setelah lebih daripada 4000 tahun, umat pilihan dan negeri ini telah menjalinkan hubungan yang tidak dapat dipisahkan. Kesannya, wujudlah perselisihan Timur Tengah yang melibatkan seluruh dunia dan telah menjadi tumpuan antarabangsa pada hari ini.
Namun, pada awalnya, tempat ini merupakan daerah kecil seluas 24,000 kilometer persegi, dan juga merupakan tempat kegiatan untuk beberapa bangsa nomad di Timur Tengah. Bagaimana tempat ini menjadi “tempat yang kudus” yang diakui oleh dunia, dan apakah sebabnya? Secara keseluruhannya, mungkin terdapat beberapa faktor:
1. Negeri pusat dalam hati Tuhan
Buka Alkitab dan lihatlah. Terdapat terlalu banyak nama orang dan nama tempat yang tertera di dalamnya. Walau bagaimanapun, sebilangan nama orang dan nama tempat hanya muncul sekali-sekala, dan kekerapannya tidak tinggi manakala sebilangan nama orang dan nama tempat disebut berulang kali. Dari segi status, hal ini kelihatan sangat luar biasa, dan kepentingannya juga luar biasa. Dari segi nama tempat; misalnya gunung Ararat muncul kurang daripada 5 kali dalam Alkitab, sungai besar Efrat muncul hanya kira-kira 10 kali dalam Alkitab. Namun, nama tempat dan peristiwa di tanah Kanaan diulang dalam Alkitab sehingga kekerapannya tidak terkira. Nampaknya, jika kita ingin mengkaji Alkitab, kita harus mengkaji tempat yang kudus ini yang merupakan pentas bersejarah bagi orang-orang kudus.
Khususnya, kita harus mempunyai satu konsep dalam skop geografi Alkitab iaitu harus mengkaji sama ada daripada konsep sejarah atau konsep ketuhanan. Tanah Kanaan yang kecil ini merupakan pusat dunia, dan tentunya juga merupakan pusat geografi Alkitab. Kita dapat melihat daripada Alkitab bahawa Tuhan bukan hanya menjadikan tempat ini sebagai pusat bumi dalam Perjanjian Lama, tetapi juga pusat bumi (pusar, The narel of the earth, rujuk Yehezkiel 38:12). Oleh itu, kajian tempat yang kudus tentunya ada kepentingannya dalam bidang kemanusiaan dan agama. Maka, tempat ini amat patut diberikan perhatian berdasarkan sejarah manusia dan perspektif Alkitab.
2. Tempat sandaran bagi kebenaran penyelamatan dan penebusan
Mari kita merenung kembali pemilihan Tuhan. Mengapa Tuhan memilih Abram dan keturunannya dalam sejarah manusia yang lebih daripada 2000 tahun? Apakah kepentingan tindakan Tuhan ini? Tindakan ini bertujuan untuk menyelesaikan rancangan-Nya untuk menyelamatkan dunia. Rancangan ini bukan hanya berjangka masa panjang tetapi juga besar bagi umat manusia. Rancangan ini juga adalah atas inisiatif Tuhan supaya bangsa-bangsa dapat memperoleh semula pengharapan dan terang.
Ketika Paulus menulis surat kepada jemaat di Rom, dia berkata kepada mereka: “Jika demikian, apakah kelebihan orang Yahudi …? Banyak sekali, dan di dalam segala hal. Pertama-tama: sebab kepada merekalah dipercayakan firman Allah.” (Rm 3:1-2). Petikan ini menunjukkan bahawa orang Yahudi (atau lebih tepatnya, orang Israel) merupakan orang yang dipercayakan dengan firman, iaitu bangsa yang dipercayakan dengan rancangan penyelamatan dan penebusan. Rancangan ini adalah mengenai semua orang pada hari ini, dan tentu sekali termasuk kita. Kita harus memahami firman Tuhan – kebenaran Alkitab. Maka adalah perlu dan relevan bagi kita mengkaji sejarah yang berkaitan dengan orang Yahudi.
Sejarah, budaya, dan adat istiadat orang Yahudi semuanya berasal dari tanah Kanaan yang didiami mereka. Alkitab adalah sebuah buku rancangan yang mencatatkan sejarah Israel (Yahudi) dan rancangan Tuhan untuk menyelamat dan menebus dunia. Oleh itu, kita mesti memahami sejarah dan geografi tempat yang kudus, iaitu geografi dan sejarah Palestina di Timur Tengah.
3. Tempat yang dijanjikan oleh Tuhan kepada umat pilihan
“Janji Tuhan” boleh dikatakan sebagai salah satu tema teologi. Tuhan ini juga boleh disebut “Allah Janji”, “Tuhan Janji”. Dalam sejarah, Tuhan Allah telah membuat janji yang berlainan kepada individu atau kumpulan kaum yang tertentu secara tidak putus-putus. Dia telah membuat janji kepada negara dan bangsa. Pekerjaan dan rancangan yang berkaitan dengan penyelamatan dan penebusan merupakan janji teragung yang dibuat untuk seluruh umat manusia. Tanah Kanaan yang indah merupakan negeri dan milik pusaka yang dijanjikan oleh Tuhan kepada Abraham dan keturunannya. Janjinya ada konsistensi dan perlambangan. Oleh sebab konsistensinya, orang Yahudi hari ini dapat memulihkan kerajaan mereka dua ribu tahun setelah negara itu dimusnahkan, masih kembali ke tanah Kanaan yang indah dan membangun kembali bangsa Israel yang baru. Seperti yang dinubuatkan oleh nabi kuno Amos: “… mendirikan kembali pondok Daud yang telah roboh” (rujuk: Am 9:11). Tanda mukjizat ini amat agung dalam sejarah umat manusia. Oleh itu, nubuat ini digenapi kerana nubuat ini ialah janji Tuhan. Dia Tuhan yang tidak dapat menyangkal diri-Nya (rujuk: 2 Tim 2:13).
Dari segi perlambangan, orang Israel ialah “umat pilihan Tuhan”. Mereka merupakan keturunan Abraham, Ishak, dan Israel, dan dipanggil oleh Tuhan dari Mesir. Pemercaya sejati hari ini ialah umat pilihan Tuhan. “Dan jikalau kamu adalah milik Kristus, maka kamu juga adalah keturunan Abraham” (Gal 3:29). Oleh itu, tidak kira tanah Kanaan yang indah di dunia atau tanah Kanaan yang indah dari segi rohani – gereja yang benar, kita harus mengenali dan memahami makna sebenar janji Tuhan. Maka, boleh dikatakan bahawa tidak kira tanah Kanaan di dunia atau gereja rohani, penduduknya ialah orang-orang kudus Tuhan, dan negeri itu disebut “tempat yang kudus”.
4. Tempat bekerja Yesus dan murid-murid
Tanah Israel selalu begitu menarik bagi orang-orang Kristian, dan bahkan dianggap sebagai “tempat yang kudus”. Mereka terus melakukan ziarah atau mengkaji peninggalan budaya di tempat ini. Terdapat alasan mudah untuk penjelasan ini, iaitu kerana tempat ini pernah menjadi tempat Kristus Yesus dilahirkan, dibesarkan, bekerja, memberitakan Injil, menderita hingga Dia dibangkitkan setelah mati. Di sini, Dia menyebarkan kebenaran, mengusir roh jahat, menyembuhkan penyakit, mengadakan tanda mukjizat dan meninggalkan jejak Tuhan Yesus di mana-mana, bahkan menyelesaikan pekerjaan penyelamatan dan penebusan bagi umat manusia. Dia berpeluh, menitiskan air mata, dan akhirnya menumpahkan darah dan mati di tempat ini. Tempat ini merupakan tempat Dia dan murid-murid-Nya bekerja. Sekiranya kita benar-benar mahu memahami riwayat hidup mereka dan mengalami kerja keras mereka, adalah berbaloi jika kita mengunjungi tempat ini secara peribadi, apatah lagi belajar daripada buku.
5. Tempat kelahiran gereja di seluruh dunia
Pada zaman rasul, rasul-rasul dan murid-murid juga dianiaya seperti Tuhan Yesus demi memberitakan Kristus dan menyebarkan anugerah keselamatan Kristus Yesus. Mereka bahkan sanggup mati syahid demi firman. Murid-murid tetap terus maju dan tidak takut untuk memikulnya dengan iman. Tempat ini merupakan tempat mereka percaya, memberitakan Injil dan mati syahid. Kitab Kisah Para Rasul merupakan sejarah darah dan air mata mereka.
Selain itu, tempat yang kudus juga merupakan tempat asal agama Tuhan, tempat bermulanya kebenaran, dan tempat kelahiran gereja sejagat. Bait Tuhan yang pertama dalam sejarah — Bait Salomo (1 Taw fasal 3-7) didirikan di Yerusalem, gereja pertama dalam sejarah (Kisah Para Rasul fasal 1-2) juga didirikan di Yerusalem. Kenyataan ini sangat berkaitan dengan penyelamatan dan penebusan pada akhir zaman. Bagaimana kita boleh tidak mengetahui sejarah dan persekitaran geografi tempat yang kudus?
Berdasarkan lima sebab di atas, tempat kecil ini memang layak dan tidak keterlaluan disebut “tempat yang kudus”.
WILAYAH TEMPAT YANG KUDUS
Orang Israel mempunyai pandangan kasar mengenai warisan mereka daripada janji-janji Tuhan dan kata-kata terakhir Musa (rujuk: Kej 15:18-21; Kel 23:31; Bil 34:1-15), tetapi ukurannya tidak mudah dikenalpasti.
Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah lokasi geografi tempat yang kudus ini. Walaupun terdapat banyak istilah yang digunakan ketika merujuk kepada tanah Kanaan dalam Alkitab, setiap kata nama itu mempunyai asal sejarah dan maknanya. Setiap orang yang mengkaji sejarah dan geografi Alkitab pasti akan melihat tentang ini.
Salah satu frasa yang agak istimewa ialah “dari Dan sampai Bersyeba” (rujuk: 1 Sam 3:20, Hak 20:1). “Dan” merupakan kota yang paling utara bagi Israel, tetapi bukan kawasan yang paling utara kerana wilayah utara juga meliputi gunung Hermon dan bukit-bukau yang berdekatan. Demikian juga, walaupun “Bersyeba” merupakan kota di arah selatan tanah Israel, tetapi seluruh tanah selatan juga meliputi wilayah padang gurun dan padang belantara yang sangat luas. Oleh itu,”dari Dan sampai Berseba” merujuk kepada seluruh wilayah Israel, tetapi sebenarnya lingkungannya adalah lebih luas.
Memandangkan “dari Dan sampai Bersyeba” merujuk kepada seluruh wilayah Israel, maka kita mempunyai satu lingkungan untuk meneroka keluasan tempat ini dan lokasinya. Sekiranya dilihat dengan menggunakan garis bujur dan garis lintang yang biasa digunakan dalam geografi, tempat ini berada di antara 34° – 36° garis bujur timur dan 31° – 33.5° garis lintang utara. Kita dapat melihat bahawa tempat ini membentang 2° dari timur ke barat dan 2.5° dari selatan ke utara. Rupa buminya bermedan sempit dari timur ke barat dan panjang dari selatan ke utara.
Jadi, bagaimana Alkitab menggambarkan lingkungan ini? Berdasarkan huraian yang diberikan oleh Tuhan kepada Musa, terdapat penjelasan kasar tentang empat alam tempat yang kudus ini (rujuk: Bil 34:1-12):
A. Batas timur: Batas di sebelah timur dari Hazar-Enan ke Sefam. Dari Sefam batas itu turun ke Ribla, di sebelah timur Ain; kemudian batas itu turun lagi dan mencapai tebing danau Kineret (danau Galilea) di sebelah timur, Lalu batas itu turun ke sungai Yordan dan berakhir di Laut Asin.
B. Sisi selatan: Dari padang gurun Zin menyusur Edom.
C. Batas selatan: Dari hujung Laut Asin di sebelah timur, membelok di selatan pendakian Akrabim, terus ke Zin dan berakhir di sebelah selatan Kadesh-Barnea. Sesudah itu mencapai Hazar-Adar, dan terus ke Azmon. Kemudian batas itu membelok dari Azmon ke sungai Mesir dan berakhir ke laut (Laut Mediterranean).
D. Batas barat: Laut besar (Laut Mediterranean) dan pantainya.
E. Sempadan utara: Dari laut (Laut Mediterranean) ke gunung Hor, ke jalan yang menuju ke Hamat lalu batas itu mencapai Zedad. Kemudian batas itu mencapai Zifron dan berakhir di Hazar-Enan. .
Jika melihat negara Israel, lokasi geografinya adalah di antara Laut Hitam, Laut Mediterranean, Laut Merah (Laut Teberau), Laut Mati (Laut Asin) dan Laut Kaspia. Negara ini bukan negara dengan tanah yang luas. Seluruh keluasan daratannya adalah sekitar 24,000 kilometer persegi, sekitar dua pertiga negara Taiwan. Oleh sebab tempat ini merupakan pentas penting dalam sejarah umat pilihan di samping merupakan hub pengangkutan darat dari Eropah, Asia, dan Afrika sejak zaman kuno, maka tempat ini pasti menjadi tumpuan dunia.
NAMA-NAMA TEMPAT YANG KUDUS
Apabila disebut tentang nama tempat yang kudus, sangat sedikit negara atau wilayah di seluruh dunia yang mempunyai begitu banyak nama seperti tanah Kanaan dan hal ini sangat jarang berlaku. Hal ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan latar belakang sejarah dan budayanya. Asal-usul setiap nama akan diperkenalkan dan dibincangkan secara ringkas seperti berikut:
A. Tanah Kanaan
Nama “Kanaan” mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan penduduk pertama di negeri ini, dan nama ini merupakan nama yang paling biasa kedengaran. Kita tahu bahawa nama “Kanaan” muncul sangat awal dalam Alkitab. Ternyata dia ialah cucu Nuh dan anak Ham, dan nama ini diberikan oleh Ham kepadanya. Perkataan “Kanaan” bermaksud “tanah paya, rendah”. Dia dikutuk oleh Nuh mungkin kerana perangainya seperti Ham yang mempunyai tingkah laku yang buruk dan kurang berhati-hati dalam hidup (rujuk: Kej 9:18).
Nama “Kanaan” sering digunakan oleh orang Yahudi, dan tanah pesisir di sebelah barat tempat yang kudus benar-benar merupakan tanah paya yang rendah. Oleh sebab berada di tanah rendah, dan Kanaan mula-mula didiami oleh keturunan Kanaan, tentu saja tempat ini disebut “tanah Kanaan”.
B. Negeri yang dijanjikan
Nama “negeri yang dijanjikan” menjadi kegemaran ramai orang Yahudi dan Israel. Nama ini merupakan nama kedua yang sangat dikenali. Ramai yang menggunakan nama “negeri yang dijanjikan” kerana Tuhan pernah berjanji bahawa tempat ini akan diberikan kepada bapa iman, Abraham dan keturunannya sebagai milik pusakan yang diwarisi untuk selamanya supaya menjadi tempat tinggal bagi generasi-generasi akan datang. Nama ini juga digunakan oleh Yusuf dan Musa (Kej 50:24; Ul 34:4).
Ketika Sara meninggal dunia, Abraham perlu menghabiskan 400 syikal perak untuk membeli sebidang tanah dari Efron dari bani Het untuk menguburkan isterinya (rujuk: Kej 23:1-16). Lebih 400 tahun kemudian, Yosua memimpin umat memasuki tanah Kanaan yang indah pada sekitar tahun 1400. Tuhan akhirnya menunaikan janji-Nya kepada Abraham, bapa iman, iaitu membenarkan orang Israel memasuki negeri yang dijanjikan dan mencipta nama negeri yang dijanjikan. Sejarah Kerajaan Tuhan bermula dari sini.
C. Negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya
Musa memberitahu umat Israel: “Jadi kamu harus berpegang pada seluruh perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya kamu kuat untuk memasuki serta menduduki negeri, ke mana kamu pergi mendudukinya, dan supaya lanjut umurmu di tanah yang dijanjikan TUHAN dengan sumpah kepada nenek moyangmu untuk memberikannya kepada mereka dan kepada keturunan mereka, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya.” (Ul 11:8-9).
“Negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya” ialah gambaran yang sangat indah tentang tanah Kanaan. Dalam Kerajaan Kristiani, nama ini diketahui oleh semua orang dan tidak ada orang yang tidak tahu. Nama ini telah dicatat berkali-kali dalam Alkitab (Kel 3:8,17, 13:5; Im 20:24; Bil 13:27, 14:8, 16:13; Ul 6:3), sekurang-kurangnya 18 kali jumlahnya. Tempat ini juga merupakan tempat kesukaan umat Tuhan dan nenek moyang mereka zaman-berzaman.”Berlimpah-limpah susu” bermaksud ada banyak lembu dan domba yang menghasilkan susu. Apabila ada lembu dan domba yang banyak, maka susu juga akan menjadi banyak. Walaupun Musa gagal memasuki tanah Kanaan untuk melihat negeri yang indah ini, dia dapat merasakan betapa baiknya negeri yang terbentang di hadapannya ini. Oleh itu, dia tegas mengingatkan umat generasi baru di hadapannya: “Hati-hatilah, supaya jangan engkau melupakan TUHAN, Allahmu, dengan tidak berpegang pada perintah, peraturan dan ketetapan-Nya, yang kusampaikan kepadamu pada hari ini; dan supaya, apabila engkau sudah makan dan kenyang, mendirikan rumah-rumah yang baik serta mendiaminya, dan apabila lembu sapimu dan kambing dombamu bertambah banyak dan emas serta perakmu bertambah banyak, dan segala yang ada padamu bertambah banyak, jangan engkau tinggi hati, sehingga engkau melupakan TUHAN, Allahmu…” (Ul 8:11-14).
“Berlimpah-limpah madu” merujuk kepada pengeluaran madu yang banyak. Oleh sebab ada banyak lebah dan banyak madu, nampaknya bunga yang menghasilkan nektar juga banyak. Di tanah tandus yang diliputi oleh padang belantara dan padang gurun, nilai pokok bunga adalah dapat dibayangkan. Namun Tuhan berjanji kepada umat-Nya bahawa mereka akan memiliki negeri yang begitu indah. Betapa besarnya kasih karunia ini. Tidak hairanlah bahawa negara-negara dan bangsa-bangsa di sekitarnya menginginkan tempat ini saban hari.
D. Tanah yang kudus
Tanah Kanaan dikenali sebagai tanah yang kudus. Nama ini terkenal dari jauh dan dekat, dikenali secara universal, dan juga nama kegemaran orang Israel dan Kristian moden di seluruh dunia. Nabi Zakharia menubuatkan pembangunan kembali Sion dengan berkata: “Bersorak-sorailah dan bersukarialah, hai puteri Sion, sebab sesungguhnya Aku datang dan diam di tengah-tengahmu, demikianlah firman TUHAN; dan banyak bangsa akan menggabungkan diri kepada TUHAN pada waktu itu dan akan menjadi umat-Ku dan Aku akan diam di tengah-tengahmu.” Maka engkau akan mengetahui, bahwa TUHAN semesta alam yang mengutus aku kepadamu. Dan TUHAN akan mengambil Yehuda sebagai milik-Nya di tanah yang kudus, dan Ia akan memilih Yerusalem pula.” (Za 2:10-12). “Tanah yang kudus” (The holy land) ini merujuk kepada tanah Israel.
E. Tanah Israel / negeri orang Israel
Kata nama “Israel” (Kej 32:24-28) telah digunakan selama sekurang-kurangnya tiga ribu tahun. Nama ini bermaksud “orang yang menang dengan Tuhan” (Who prevails with God) atau “putera Tuhan” (Prince of God). Kiasan ini adalah daripada pergumulan antara Yakub dengan Tuhan.
Demi melarikan diri daripada balas dendam Esau, abangnya, Yakub tinggal di rumah bapa saudaranya selama 20 tahun, mengahwini isteri dan melahirkan anak. Oleh sebab Laban dan anak-anaknya menunjukkan air muka yang tidak baik, dia akhirnya terdesak untuk melarikan diri dari Padan-Aram dan memulakan perjalanan pulang ke kampung halamannya. Setelah berkali-kali dijaga dan dipelihara oleh Tuhan, dia dan abangnya dapat melupakan perselisihan mereka sebelumnya dan berdamai. Dalam keseluruhan proses ini, saat yang paling kritikal adalah pada malam di tempat penyeberangan sungai Yabok. Yakub bergulat dengan malaikat Tuhan sampai fajar menyingsing. Ketika orang itu melihat, bahwa ia tidak dapat mengalahkannya, ia memukul sendi pangkal paha Yakub, sehingga sendi pangkal paha itu terpelecok, ketika ia bergulat dengan orang itu. Lalu kata orang itu: “Biarkanlah aku pergi, karena fajar telah menyingsing.” Sahut Yakub: “Aku tidak akan membiarkan engkau pergi, jika engkau tidak memberkati aku.” Bertanyalah orang itu kepadanya: “Siapakah namamu?” Sahutnya: “Yakub.” Lalu kata orang itu: “Namamu tidak akan disebutkan lagi Yakub, tetapi Israel, sebab engkau telah bergumul melawan Allah dan manusia, dan engkau menang.” (Kej 32:24-28). Sejak itu, nama ini telah digunakan dengan meluas (rujuk: Kej 35:10,21,22; Kel 3:11,16,18; Im 10:6; 1 Raj 8:30).
F. Negeri orang Ibrani
Maksud asal orang Ibrani ialah orang yang menyeberangi sungai (Apassrer over) (rujuk: Kej 14:13) yang merujuk kepada orang-orang yang datang dengan menyeberangi sungai; iaitu orang yang datang dari sungai yang besar sungai Efrat. Mereka termasuk bangsa Ismael, Edom, Moab, Amon dan lain-lain pada masa itu. Memandangkan Abraham datang dari Ur dan Haran di sebelah timur sungai Efrat, keturunannya secara semula jadi disebut orang Ibrani pada masa itu. Tempat tinggal mereka disebut “negeri orang Ibrani” secara logik.
G. Siria
Ada juga satu nama yang lebih istimewa iaitu “Siria” (Syria). Penggunaan nama ini ada jangka waktunya, dan bukannya universal. Nama ini hanya muncul pada zaman Yunani dan Makedonia.
Ketika Alexander memerintah Yunani, dia secara khusus menggabungkan Israel dan Aram di utara sebagai wilayah pentadbiran serta menyebutnya Siria pada waktu yang sama. Kemudian, raja Alexander dari Makedonia meninggal dunia pada usia muda. Yunani berpecah dan runtuh dengan cepat. Kerajaan ini terbahagi kepada empat negara kota, dan kemudian membentuk empat negara kecil (tidak kecil, sebenarnya). Tanah Kanaan masih tergolong dalam negara Siria.
Pada zaman pemerintahan Rom, daerah ini dibahagikan kepada provinsi lain, yang disebut daerah Siria. Oleh itu, terdapat catatan peristiwa berikut dalam sejarah: “Pada waktu itu Kaisar Agustus mengeluarkan suatu perintah, menyuruh mendaftarkan semua orang di seluruh dunia. Inilah pendaftaran yang pertama kali diadakan sewaktu Kirenius menjadi wali negeri di Siria… Demikian juga Yusuf pergi dari kota Nazaret di Galilea ke Yudea, ke kota Daud yang bernama Betlehem, – karena ia berasal dari keluarga dan keturunan Daud – supaya didaftarkan bersama-sama dengan Maria, tunangannya, yang sedang mengandung. Ketika mereka di situ tibalah waktunya bagi Maria untuk bersalin, dan ia melahirkan seorang anak kali-laki, anaknya yang sulung, lalu dibungkusnya dengan lampin dan dibaringkannya di dalam palungan…” (Luk 2:1-7). Latar belakang sejarah peristiwa ini menyebabkan Yesus Kristus datang seperti yang dinubuatkan oleh para nabi zaman-berzaman (Mi 5:1-2). Nubuat ini digenapi dengan tepat dan tanpa kesalahan.
Empat kitab Injil mencatatkan: Yesus pun berkeliling di seluruh Galilea; Ia mengajar dalam rumah-rumah ibadat dan memberitakan Injil Kerajaan Allah serta melenyapkan segala penyakit dan kelemahan di antara bangsa itu. Maka tersiarlah berita tentang Dia di seluruh Siria (Mat 4:23,24). Sebab ini menjadi punca tempat ini disebut “Siria”.
H. Tanah Yudea
Dalam empat kitab Injil, hanya dua kitab Matius dan Lukas sahaja yang mempunyai catatan yang lebih terperinci mengenai kelahiran Kristus. Perlu diperhatikan bahawa nama “Yudea” muncul beberapa kali hanya dalam kitab Injil Matius (Mat 2:1,5, 3:1).
Ketika menggambarkan kelahiran Tuhan Yesus, kitab ini mencatatkan: “Sesudah Yesus dilahirkan di Betlehem di tanah Yudea pada zaman raja Herodes…” (Mat 2:1). Ada orang yang berpendapat bahawa Matius sengaja menggunakan nama “Yudea” mungkin kerana nama ini berkait rapat dengan semangat patriotismenya. Sebaliknya, kitab-kitab Injil yang lain tidak menggunakan nama “Yudea” ketika menggambarkan kelahiran Tuhan Yesus.
I. Palestina
Nama “Palestina” pada asalnya bermaksud “daerah / tanah orang Filistin”. Penggunaan nama ini ke atas tempat ini bukan sahaja tidak menyenangkan tetapi juga digunakan dengan tidak betul. Nama ini tidak sesuai untuk tanah Kanaan. “Daerah / tanah orang Filistin” pada mulanya merupakan dataran panjang dan sempit di sepanjang tebing barat Laut Mediterranean, utaranya dari Yafo (Yope) di selatan Dataran Saron, selatannya ialah padang gurun Syur, timurnya sampai di Bukit Sefela di pegunungan tengah. Panjangnya kira-kira 100 kilometer dari selatan ke utara, dengan luas purata kira-kira 45 kilometer. Dataran di daerah ini merupakan tempat orang Filistin menetap pada masa awal.
Orang Filistin pada asalnya merupakan keturunan Ham (rujuk: Kej 10:14), dan mereka tinggal di Kaftorim / Kaftor, pulau Kreta, Yunani. Jauh sebelum orang Ibrani berpindah ke tanah Kanaan, mereka telah berpindah dari pulau ke dataran ini. Mereka merupakan orang laut, tinggi, serta pandai memancing dan bertani. Mereka merupakan salah satu bangsa asing di tanah Kanaan. Tetapi mengapa tanah Kanaan disebut daerah / tanah orang Filistin?
Pertama sekali, dari perspektif geografi, bahagian dataran ini merupakan tempat laluan jalan pantai antarabangsa. Pengangkutan Aram, Asyur, Babel (Babylon), Tirus dan Sidon di sebelah utara kuno, serta Empayar Hittite di Turki dan Mesir di Afrika, semuanya melalui tempat ini. Tempat ini merupakan tempat yang pasti akan dilalui bagi jalan darat timur, barat dan selatan pada zaman kuno. Koridor ini merupakan daerah / tanah orang Filistin, maka gelaran ini pun digunakan.
Namun, dari perspektif politik dan budaya, dasar kerajaan Rom yang konsisten adalah untuk menghapuskan bangsa asing, terutamanya orang Yahudi yang mempunyai kesedaran nasional yang kuat. Oleh sebab bahasa Yunani dan Latin kuno merupakan bahasa rasmi Rom, maka “Palestina” sering digunakan sebagai wakil negara Yahudi manakala istilah-lstilah seperti “Israel” atau “Yahudi” tidak pernah digunakan untuk merujuk kepada tempat ini. Kerajaan Rom berpendapat bahawa Israel dan Yahudi akan melupakan negara mereka secara beransur-ansur dengan berbuat demikian dan menyebabkan nama ini hilang dari dunia. Hasilnya adalah sebaliknya. Kerajaan Israel masih ada di sana pada hari ini, dan Empayar Rom juga selamat!
Oleh itu, berdasarkan pengenalan sebelumnya, kami tahu bahawa terdapat sekurang-kurangnya sembilan nama yang berbeza bagi tempat kecil ini.
TOPOGRAFI / RUPA BUMI TEMPAT YANG KUDUS
Dalam geografi sejarah Alkitab, pengetahuan mengenai topografi tempat yang kudus merupakan kajian asas.
Pada dasarnya, topografi tempat yang kudus boleh dibahagikan kepada lima kawasan besar: dataran pantai, pegunungan tengah, Bukit Sefela, Lembah Yordan, dan dataran tinggi seberang Yordan. Berikut diterangkan topografi tempat yang kudus dari barat ke timur:
A. Dataran pantai
Ketika membuka peta, Laut Mediterranean (Mediterranean Sea) yang membiru adalah yang paling jelas antara tiga benua Eropah, Asia, dan Afrika. Pantai timurnya ialah tanah Israel yang disebut “negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya”. Di pantai Mediterranean yang panjang ini, terdapat dataran yang sambung-menyambung dan dibahagikan kepada empat daerah secara geografi:
1. Dataran Ako (Accho Plain)
Dataran ini terletak di selatan Sungai Litani di Fenisia dan utara Gunung Karmel di Israel. Sekiranya bukan disebabkan oleh perbatasan nasional, Dataran Ako sebenarnya merupakan lereng selatan dataran Fenesia di utara.
Terdapat pelabuhan Ako di tengah-tengah bahagian pinggir pantai ini sehingga tempat ini disebut Dataran Ako. Selepas kerajaan Yunani, tempat ini menjadi milik Mesir, dan pelabuhan Ako telah diubah namanya menjadi Ptolemais (Ptolema, rujuk: Kis 21:7). Setelah pemulihan kerajaan Israel moden, pelabuhan kedua terbesar – pelabuhan Haifa telah dibina di teluk di hujung selatan Dataran Ako disebabkan keperluan pertahanan dan pengangkutan.
Jika dibandingkan dengan topografi Palestina, Dataran Ako merupakan tanah yang cukup rata. Tempat ini mempunyai iklim Mediterranean iaitu panas terik pada musim panas dan sejuk pada musim sejuk. Musimnya berbeza. Oleh itu, tempat ini sesuai untuk tanaman musim sejuk dan musim panas serta merupakan lumbung makanan kedua di negara ini. Namun, oleh sebab kebanyakannya adalah dalam bentuk kampung, maka tidak pernah ada kota besar dalam sejarah.
2. Dataran Dor
Gunung Karmel ialah kawasan pegunungan kecil yang terbentang dari Laut Mediterranean ke arah tenggara. Kota Dor berada di tengah dataran yang sempit dan panjang ini iaitu di antara pegunungan dan Laut Mediterranean. Dataran ini dibatasi oleh Sungai Dor dan Dataran Saron.
Dataran Dor ialah dataran aluvial dari tanah berpasir di Gunung Karmel. Pada musim sejuk, Gunung Karmel menyekat angin dan salji dari timur dan utara. Di samping itu, taburan air hujan adalah sangat banyak pada musim bunga dan musim luruh. Oleh itu, tanahnya sangat subur dan iklimnya menyenangkan. Pada masa awal ketika orang-orang Filistin berhijrah, mereka bergerak dalam jumlah yang banyak, dan kota Dor dibina di sini. Jadi dataran ini diberi nama Dor.
Yosua memimpin orang Israel ke tanah Kanaan dan mengalahkan penduduk asli satu persatu lalu menduduki seluruh negeri dari selatan ke utara. Ketika Yabin, raja Hazor mendengar tentang pencerobohan Yosua, dia bersekutu dengan raja-raja utara dan berperang dengan tentera Yosua dekat mata air Merom. Pada masa itu, pasukan sekutu utara termasuk Yobab, raja Madon, raja negeri Simron dan raja negeri Akhsaf. Terdapat juga raja-raja di Araba-Yordan dan tanah bukit Dor. Catatan ini merupakan catatan awal tentang Dor dalam Alkitab. Walaupun bangsa-bangsa asing ini dikalahkan oleh orang Israel, namun umat pilihan tidak memanfaatkan kemenangan ini untuk melenyapkan mereka. Tindakan ini menyebabkan Dor masih merupakan kota yang diduduki dan dihuni oleh bangsa asing pada zaman para hakim (Hak 1:27).
3. Dataran Saron (Sharon Plain)
Daerah ketiga di dataran pantai ialah Dataran Saron. Daerah ini terletak di antara selatan Gunung Karmel, utara Dataran Filistea, timur Laut Mediterranean, dan barat Pegunungan Efraim. Dataran Saron ialah dataran yang kedua terbesar di seluruh tanah Israel iaitu yang kedua selepas Dataran Filistea.
Dataran Saron rata dengan bukit pasir di tepi laut dan tanah yang subur. Dalam keadaan yang kekurangan bunga di padang belantara yang panas atau gunung tinggi, bunga liar yang indah dan subur mekar di mana-mana di sini pada musim bunga setelah hujan (Yes 35:2). Seorang pemazmur kuno menulis sebuah puisi yang menggambarkan manisnya dan berkata: “Bunga mawar dari Saron aku, bunga bakung di lembah-lembah. – Seperti bunga bakung di antara duri-duri, demikianlah manisku di antara gadis-gadis.” (Kid 2:1-2). Pada zaman dahulu, ada hutan pohon tarbantin di bahagian utaranya, yang juga merupakan padang rumput kuno (1 Taw 27:29). Oleh itu, industri penternakannya sangat maju.
Selain bahagian di atas sebagai rujukan, masih terdapat banyak sejarah yang berkaitan dengan umat pilihan dalam lingkungannya (rujuk: Yos 19:40-48; 2 Taw 2:16; Yun fasal 1; Mat 16:13; Kis fasal 8, 21:8, fasal 23-24).
Pada zaman moden, kejayaan pemulihan negara Israel menyedarkan orang-orang Yahudi bahawa bidang perkapalan di Laut Mediterranean adalah sangat penting bagi negara itu. Oleh itu, dengan mengikuti teladan kuno, mereka membina semula pelabuhan moden baru – Tela.viv di bukit pasir di utara kota Yafo (Yope). Pelabuhan ini dijadikan sebagai pelabuhan keluar masuk bagi negara Israel di Laut Mediterranean, dan merupakan pelabuhan penting untuk pemantauan ketenteraan di perairan barat. Kota pelabuhannya sangat besar dan dijadikan sebagai ibu kota sementara sebelum pemulihan Yerusalem.
4. Lembah Tukang-tukang
Antara deretan dataran pantai, Lembah Tukang-tukang merupakan kawasan yang paling istimewa. Lokasi geografinya tidak jelas, dan hanya muncul satu kali sahaja dalam catatan Alkitab. Ketika Nehemia membangun kembali kota suci untuk memulihkan iman kepercayaan, bani Benyamin datang tinggal di lembah ini (Neh 11:31-36).
Dari zaman Perjanjian Lama sehingga zaman Rom Perjanjian Baru, terdapat tiga kota terkenal di lembah ini: Yafo (Yope), Lida dan Antipatris. Ketika menjadi raja, Saul sering berperang dengan bangsa asing. “Seorang tukang besi tidak terdapat di seluruh negeri Israel, sebab orang Filistin berkata: “Jangan-jangan orang Ibrani membuat pedang atau tombak.” Jadi semua orang Israel harus pergi kepada orang Filistin untuk mengasah mata bajaknya, beliungnya, kapaknya atau aritnya masing-masing.” (1 Sam 13:19-20).
Oleh sebab kawasan Lembah Tukang-tukang yang kecil, kawasan ini sering dimasukkan ke dalam Dataran Saron secara geografi dan bukannya disorot secara berasingan. Hal ini menyebabkan kawasan ini sering diabaikan.
5. Dataran Filistea (Philistia Plain)
Jika pergi ke arah selatan dari Dataran Saron, kita akan memasuki Dataran Filistea setelah melintasi Yafo (Yope). “Palestina” yang disebut oleh rakyat sana pada awalnya bermaksud daerah / tanah orang Filistin. Penguasa Rom sengaja ingin menghapuskan nama “Israel” dari sejarah lalu menyebut tempat ini sebagai daerah / tanah orang Filistin dan kemudian diberi nama Palestina. Nama ini paling dibenci oleh orang Yahudi, tetapi pernah menjadi nama yang paling terkenal dalam dunia Arab (Islam).
Selain itu, dari dataran ini ke arah selatan yang melalui Mesir merupakan jalan utama ke Afrika. Contohnya ketika sida-sida dari Etiopia pada zaman rasul pergi ke Yerusalem untuk menyembah Tuhan, dia perlu datang dan pergi dari tempat ini. Oleh itu, sejak zaman kuno, kawasan ini juga disebut “Koridor Filistin” atau “Koridor Gaza”.
Daerah / tanah orang Filistin merupakan salah satu tempat yang paling indah di tanah Kanaan. Dataran ini indah. Selain bukit pasir yang agak tinggi di sepanjang pesisir yang tidak sesuai untuk pertanian, kebanyakan tanahnya adalah subur. Hal ini menyebabkan tempat ini menjadi tempat penghijrahan yang paling awal bagi penduduk di pulau Kaftorim / Kaftor, dan menjadi saingan Israel bagi tempoh yang lama. Dataran ini terletak di barat Pegunungan Yehuda dan Bukit Sefela (iaitu tanah selatan Yehuda, bahagian selatan pegunungan tengah), utara sungai Mesir, timur Laut Mediterranean, dan selatan Dataran Saron. Dengan adanya tanah yang subur dan topografi yang lebih rata, kedua-dua industri pertanian dan pengangkutan berkembang dengan pesat. Oleh itu, bukan saja pertanian tetapnya telah ada sejak awal, tetapi terdapat banyak penduduk sejak zaman kuno dan banyak kota telah terbentuk. Antaranya, lima kota utama di daerah / tanah orang Filistin ialah Ekron, Asdod, Askelon, Gat dan Gaza. Semuanya sangat terkenal dalam sejarah.
Dalam sejarah umat pilihan, ada satu tempat lain yang tidak asing lagi iaitu Gerar. Gerar terletak di wilayah daerah / tanah orang Filistin di sebelah selatan kota Gaza. Jika melangkah lebih jauh ke arah selatan dari tempat ini, kita akan memasuki kawasan Mesir yang dianggap sebagai hujung selatan Dataran Filistea. Abraham pernah tinggal di sini (rujuk: Kej 20:1). Ada kelaparan pada zaman Ishak sama seperti zaman Abraham, “… Sebab itu Ishak pergi ke Gerar, kepada Abimelekh, raja orang Filistin. Lalu TUHAN menampakkan diri kepadanya serta berfirman: “Janganlah pergi ke Mesir, diamlah di negeri yang akan Kukatakan kepadamu. Tinggallah di negeri ini sebagai orang asing, maka Aku akan menyertai engkau … ” (rujuk: Kej fasal 26). Dalam tahun itu, Ishak benar-benar mendapat hasil seratus kali lipat. Ishak menjadi kaya, bahkan kian lama kian kaya, sehingga ia menjadi sangat kaya. “Hasil seratus kali lipat” merupakan satu tanda mukjizat yang sangat besar. “Kian lama kian kaya” juga merupakan berkat Tuhan. Oleh itu, diamlah di negeri yang ditentukan oleh Tuhan dan jangan pergi ke” Mesir “- dunia yang penuh dosa (rujuk: 1 Yoh 2:14-17), Tuhan Yesus pasti akan memberkati dalam kehidupan ini dan kehidupan yang seterusnya.
Daerah ini juga dekat dengan suku Yehuda di bahagian selatan Yehuda. Terdapat bukit-bukit yang menurun dari bahagian selatannya. Oleh itu, dataran ini menjadi medan peperangan kuno bagi bangsa Filistin dan Israel (rujuk: Hak 15:14,15,20; 1 Sam 4:1).
Pada akhir zaman para Hakim, orang Israel dan orang Filistin beperang di antara Eben-Haezer dan Afek. Kedua-dua anak lelaki imam Eli, Hofni dan Pinehas keluar berperang dengan mengikuti tabut perjanjian dengan fikiran bahawa umat pilihan pasti akan menang dengan adanya tabut perjanjian. Sebenarnya, fikiran itu ialah kesalahan besar. Bukan sahaja orang Israel dikalahkan, tetapi dari pihak Israel gugur tiga puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Dua orang anak lelaki yang fasik terbunuh, bahkan tabut perjanjian Tuhan telah dirampas. Eli yang telah tua telentang dari kursi di sebelah pintu gerbang, batang lehernya patah dan ia mati. Peperangan ini sangat tragis (rujuk: 1 Sam fasal 4-6). Kemudian, tabut perjanjian pun mengembara ke luar negeri. Mula-mula, tabut perjanjian dibawa dari Eben-Haezer ke Asdod dan menyebabkan Dagon dalam kuil Filistin terjatuh serta menyebabkan orang-orang Asdod menderita borok-borok. Oleh itu, tabut perjanjian dipindahkan ke Gat, tetapi borok-borok juga dibawa ke Gat, sehingga tabut perjanjian dipindahkan ke Ekron. Namun, ada kegemparan maut di kota itu, dan orang-orang yang tidak mati diajar dengan borok-borok. Mereka pun mengadu menderita. Tabut perjanjian mengembara di daerah / tanah orang Filistin selama tujuh bulan (rujuk: 1 Sam fasal 5, 6:1; 1 Sam 7:1-2).
B. Pegunungan tengah
Topografi tanah Kanaan adalah agak tinggi di utara dan semakin rendah di selatan, tinggi di tengah dan rendah di kedua-dua sisi. Dari Galilea di hujung selatan Gunung Lebanon di utara, melalui Pegunungan Efraim di tengah-tengah, ke Pegunungan Yehuda dan Tanah Negeb. Pegunungan ini ialah pegunungan tengah. Oleh sebab Timur Tengah bertanah rata, panas dan penuh dengan padang gurun, maka dataran tinggi yang sejuk sesuai untuk didiami. Oleh itu, pegunungan tengah telah menjadi tempat yang paling baik di tanah Kanaan. Sebabnya adalah seperti berikut:
- Kawasan pegunungan tidak tinggi. Contohnya gunung yang agak tinggi iaitu Gunung Hebron berada pada ketinggian 1,271 meter. Pegunungan ini menaik dan menurun secara beransur-ansur, tidak seperti pegunungan Taiwan serta membentang dari utara ke selatan. Bukit-bukit di kawasan ini menaik dan menurun secara perlahan-lahan, tetapi tidak membawa kesan yang besar pada lalu lintas.
- Tanah di lereng bukit ada air dan rumput. Terletak di antara dataran pantai dan Lembah Sungai Yordan, ketinggiannya tidak tinggi iaitu kira-kira 500-1000 meter di atas permukaan laut. Keadaan ini sangat sesuai untuk menggembalakan kawanan domba dan lembu. Sudah tentu, dengan adanya air dan rumput untuk menggembalakan domba dan lembu, maka milik pusaka juga semakin banyak.
- Terdapat lebih banyak tanah yang sesuai untuk pertanian di atas bukit. Secara semula jadi, populasi penduduk akan tertumpu di sini sehingga banyak kota telah terbentuk.
- Dari segi sejarah, keadaan politik di Asia Barat tidak begitu stabil. Tidak kira melarikan diri semasa peperangan atau untuk mengelak daripada perompak pada masa biasa, gunung merupakan kawasan perlindungan dan penempatan yang baik. Oleh itu, apabila musuh-musuh berdekatan menjadi banyak dan ditambahkan dengan menghadapi peperangan, mereka sering melarikan diri ke atas gunung, dan kota mereka dibina di atas gunung (rujuk: Luk 21:21).
Hidup di pegunungan memberikan banyak manfaat kepada penduduk di sini. Namun oleh sebab ketinggian semua gunung di kawasan pegunungan tengah adalah sekitar 400-1000 meter, maka gunung yang rendah menyebabkan air juga sedikit, dan kebanyakan air hanya diperoleh dari sumur. Maka, mereka perlu menggali sumur dan menggali sehingga dalam sekali. Jika tidak, adalah agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan air. Beberapa peristiwa yang berlaku di sekitar sumur juga tidak dapat dielakkan (rujuk: Kej 37:23-24; Yoh fasal 4).
Seluruh wilayah pegunungan tengah boleh dibahagi menjadi empat daerah menurut topografi: Pegunungan Galilea, Pegunungan Samaria (Efraim), Pegunungan Yehuda (Yudea), dan Tanah Negeb. Keempat-empat daerah ini sering disebut dalam Alkitab. Topografinya adalah seperti berikut:
1. Pegunungan Galilea (Galilee)
Maksud asal “Galilea” ialah “daerah”. Daerah ini adalah sebuah “kawasan gunung” yang lebih tinggi daripada permukaan laut. Kawasan ini dikelilingi oleh gunung-ganang. Oleh itu, ketika memasuki daerah ini dari tempat lain, seseorang mesti melalui gunung dan hutan.
Pegunungan Galilea terletak di kawasan pegunungan di utara tempat yang kudus. Pada mulanya, pegunungan Galilea merupakan kawasan pegunungan Naftali. Namun, sejak orang Israel berpindah ke Kanaan, mereka tidak menghalau semua penduduk Kanaan (rujuk: Hak 1:33). Oleh itu, tempat ini dianggap sebagai tanah bangsa-bangsa asing dalam zaman Perjanjian Lama. Nabi agung Yesaya pernah bernubuat: “… Kalau dahulu TUHAN merendahkan tanah Zebulon dan tanah Naftali, maka di kemudian hari Ia akan memuliakan jalan ke laut, daerah seberang sungai Yordan, wilayah bangsa-bangsa asing” (Yes 8:23).
Walaupun tinggi dan berbukit, daerah ini merupakan jalan pengangkutan utama bagi tiga benua Eropah, Asia dan Afrika pada zaman kuno, di antara bukit-bukau, satu melintasi sebelah selatan Tasik Merom di utara, dan satu lagi melintasi pantai selatan Laut Galilea yang masing-masing membolehkan seseorang pergi dan balik dari Aram (sekarang Siria) di seberang Yordan.
Sebenarnya, Pegunungan Galilea terbahagi kepada dua lingkungan, Galilea Atas dan Galilea Bawah kerana utara yang tinggi dan selatan yang rendah:
- Galilea Atas (Upper Galilee)
Galilea Atas bermula dari hujung selatan Pegunungan Libanon dan dibatasi oleh Sungai Litani. Sebelah baratnya ialah Dataran Fenisia, sebelah timurnya ialah hulu Sungai Yordan dan Tasik Merom. Ketinggiannya kira-kira 1,000 meter di atas permukaan laut. Musim sejuknya agak sejuk, tetapi cuaca amat menyegarkan selepas musim bunga. Bekalan airnya mencukupi dan hutannya cukup subur sehingga tanahnya juga subur. Oleh itu, anggur dan zaitun sesuai untuk ditanam di lereng bukit sehingga tempat ini terkenal dengan hasil anggur dan minyak zaitun. Pemberian ini boleh dikatakan diberikan oleh Tuhan. Minyak zaitun merupakan keperluan dalam kehidupan Israel kuno. Pertama, minyak zaitun boleh digunakan untuk menyalakan cahaya. Kedua, minyak zaitun boleh digunakan sebagai pengganti sabun yang digunakan oleh masyarakat moden, digunakan untuk mengoles bayi yang baru lahir dan untuk tujuan pembersihan serta melembapkan kulit. Ketiga, minyak zaitun boleh digunakan sebagai ubat untuk membalut luka. Keempat, buah zaitun boleh dijeruk untuk dibuat sayur. Maka, zaitun ialah tanaman ekonomi yang penting di Israel.
Oleh sebab populasi penduduk yang bertani banyak di sini, maka terdapat juga banyak kampung. Contohnya, Khorazim dan Betsaida merupakan kota yang terkenal. Selain itu, terdapat juga Hazor dan Rama (berbeza dengan Rama di Pegunungan Efraim). Jadi daerah ini boleh dikatakan sebagai salah satu kawasan yang paling meriah dan padat dengan populasi penduduk yang banyak.
- Galilea Bawah (Lower Galilee)
Bahagian utara Galilea Bawah dihubungkan dengan Galilea Atas. Timurnya sampai ke pantai barat Galilea, baratnya sampai di sisi timur Dataran Ako, dan selatannya ialah Lembah Yizreel. Topografinya adalah sekumpulan gunung setinggi 500-700 meter. Gunung-gunung ini merupakan puncak gunung bebas, bukan gunung yang bersambung. Gunung yang paling terkenal ialah Gunung Tabor yang memiliki ketinggian kira-kira 643 meter di atas permukaan laut.
Kawasan pegunungan ini juga mempunyai iklim yang baik. Sudah tentu, industri pertaniannya sangat maju dan populasi penduduknya juga padat, kecuali di Laut Galilea di sebelah barat. Kawasan ini lebih rendah daripada permukaan laut dan angin laut tersekat lalu menjadikan sepanjang pantai di sekitarnya panas. Kota-kotanya yang terkenal ialah Kapernaum, Kana, Nazaret, Nain, Magadan, Tiberias, dan seluruh wilayah itu milik tiga suku Naftali, Isakhar dan Zebulon.
Cyrus, raja Persia telah memerintah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya ini bermula tahun 536 SM. Umat Yehuda yang telah ditawan ke tanah Babel selama 70 tahun (606-536 SM) telah menerima rahmat dan dapat pulang ke negara itu untuk membangun kembali Bait Suci kota Yerusalem. Sesbazar memimpin kumpulan orang yang pertama pulang dari luar negara. Oleh sebab kaya dengan air dan tanah yang subur, maka pertanian amat sesuai dijalankan di sini dan ada yang tinggal di kawasan ini. Sebilangan besar orang yang pulang ini berasal dari suku Yehuda. Setelah pulang, mereka tinggal di bahagian utara dan timur Galilea, dan kawasan asal suku Yehuda di selatan.
Menurut catatan empat kitab Injil dalam Perjanjian Baru, peristiwa-peristiwa yang terjadi di sini juga sangat banyak. Secara logiknya, kita sepatutya memiliki pemahaman yang lebih baik tentang wilayah Galilea Bawah. Kedua-dua Yusuf dan Maria, yang berasal dari suku Yehuda tinggal di kota Nazaret di Galilea Bawah. Kota ini kemudian menjadi kampung halaman Tuhan Yesus sehingga Tuhan Yesus disebut “orang Nazaret”. Selain itu, tempat ini juga merupakan kampung halaman murid-murid yang menjala ikan di Danau Galilea. Asalkan kita memerhatikan geografi Alkitab dan fasih dengan empat kitab Injil, kita dapat melihat bahawa banyak peristiwa yang berlaku di kawasan ini pada masa itu.
Secara keseluruhan, dari Galilea Bawah hingga Galilea Atas dan kemudian sampai ke Pegunungan Libanon, topografi seluruh wilayah Galilea adalah menaik langkah demi langkah dan meninggi secara bertahap. Maka tidak hairanlah bahawa tempat ini menjadi kawasan terbaik di Kanaan.
2. Lembah Yizreel (Jezreel Plain)
Yizreel bermaksud – Tuhan menyemai (semaian). Lokasinya berada di sebelah timur Gunung Karmel. Lembah Yizreel merupakan sebuah lembangan kecil di sepanjang Sungai Kison dan Sungai Yizrreel (anak sungai Sungai Yordan). Oleh sebab terletak di antara pegunungan tengah yang membentang ke utara dan selatan, topografinya adalah panjang dan sempit. Oleh sebab lembah ini memisahkan kawasan pegunungan tengah, maka rupa buminya rata dan hanya di bawah 10 meter di atas permukaan laut. Oleh itu, titik perpecahan pegunungan secara semula jadi telah menjadi titik utama pengangkutan darat antara Asia dengan Afrika (Mesir) pada zaman kuno dan moden.
Lembah Yizreel juga dikenal sebagai Lembah Megido dan dikenal sebagai Dataran Esdraelon pada hari ini. Dari segi sejarah, dataran ini merupakan kawasan yang sangat meriah. Sebabnya mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan dengan topografi ini (rujuk: Hak 6:33-35; 1 Raj 21:1-6; 1 Raj 18:41-46; Yos 12:21; Why 16:16).
Berdasarkan data sejarah di atas, kita dapat memahami betapa pentingnya Lembah Yizreel dalam urusan pengangkutan, politik, dan ketenteraan Israel.
3. Pegunungan Samaria
Pegunungan Samaria juga dikenal sebagai Pegunungan Efraim (Ephraim). Perjanjian Baru menyebutnya sebagai Gunung Samaria. Maknanya ialah “menghasilkan buah yang berganda” (double fruitful). Lokasi geografinya adalah di sebelah selatan Lembah Yizreel, timurnya sampai di sebelah barat hulu tengah Sungai Yordan, baratnya ialah Dataran Saron, dan bersambung dengan Pegunungan Yehuda (Yudea) di selatan. Sebahagian besar kawasan besar ini berada di bawah 1,000 meter di atas permukaan laut.
Daerah ini sebenarnya terbahagi kepada dua kawasan pegunungan kecil: sisi utara ialah Pegunungan Samaria manakala sisi selatan ialah Pegunungan Efraim. Perjanjian Baru memanggil seluruh daerah ini sebagai “Samaria”, manakala Perjanjian Lama menyebutnya “Pegunungan Efraim” (rujuk: Yoh 4:1; Kis 8:1, 9:31). Selain lokasinya yang baik, pemandangannya juga sangat indah. Oleh itu, raja Omri, ayah Ahab, membeli Gunung Samaria daripada “Semer” dengan dua talenta perak. Dia mendirikan sebuah kota di gunung itu dan menamainya Samaria (1 Raj 16:24) yang bermaksud “menara pengawal keselamatan” (peace of the watch tower). Setelah Ahab menjadi raja, kota ini menjadi ibu kotanya. Hari ini, ada bekas istana gading Ahab di bahagian barat gunung. Kemudian, dia mendirikan ibu kota lain di Yizreel. Kedua-dua kota ini kemudian masing-masing menjadi ibu kota dan pusat pentadbiran Israel Kerajaan Utara.
Keadaan di kawasan ini baik. Dengan kemudahan pengangkutan yang baik, maka adalah sangat senang untuk memasuki kota ini terutamanya dari timur. Namun, kelebihan ini juga menjadi kecederaan yang membawa maut kepada kota ini kerana keadaan ini membolehkan musuh memasuki kota dengan mudah dan terus dari timur. Oleh itu, kota Samaria pernah dikepung beberapa kali dalam sejarah (rujuk: 1 Raj 20:1; 2 Raj 6:24; 2 Raj 17:5). Sebaliknya, orang-orang yang datang menyerang kota Yerusalem ialah kuasa besar. Oleh itu, hanya Asyur, Babel, dan kemudian Turki saja yang pernah menyerang ke dalam kota ini dalam sejarah kuno. Bangsa-bangsa di sekitarnya yang lain hanya mampu melihat kota dan mengeluh! Kota ini tidak terjangkau, dan tidak mudah untuk ditawan (rujuk: 2 Sam 5:6-9). Di antara puncak Pegunungan Efraim, ada Pegunungan Gilboa (mencurah keluar – pouring out) di bahagian paling utara. Tempat ini merupakan tempat yang menyedihkan bagi keluarga Saul. Keempat-empat anak-beranak mereka kehilangan nyawa di sini (rujuk: 1 Sam fasal 31). Kemudian, kira-kira 20 kilometer ke arah selatan, iaitu bahagian tengah Pegunungan Efraim ialah puncak utama kawasan pegunungan ini, Gunung Ebal (Mt. of Ebal) yang bermaksud batu (stone). Gunung Ebal terletak kira-kira 1028 meter di atas permukaan laut. Musa pernah mengucapkan kutuk kepada umat di atas gunung ini. Seterusnya, hanya beberapa kilometer ke selatan, ada Gunung Gerizim – pemotong (Mt. of Gerizim – The cutters off) iaitu tempat mengucapkan berkat yang terletak kira-kira 963 meter di atas permukaan laut. Jadi kawasan ini merupakan kawasan puncak gunung yang padat. Dari segi ekonomi, lereng bukit baratnya menghadap ke Laut Mediterranean, mendapat angin laut dari barat, taburan hujannya mencukupi, dan tanahnya subur, maka tempat ini kaya dengan produk asli dan sesuai untuk perkembangan industri pertanian dan penternakan. Zaitun juga merupakan produk istimewa tempatan.
Bahagian timur kawasan ini merupakan kawasan nomad kerana angin panas bertiup dari padang pasir lalu menyebabkan tanahnya kering dan tandus.
Kawasan ini sangat awal diterokai. Ketika Abraham pertama kali tiba di Kanaan, dia menjadikan kawasan ini sebagai kawasan hidupnya dan tinggal di sini (rujuk: Kej fasal 12). Kerajaan Israel di utara menjadikan kawasan ini sebagai pedalamannya dan Samaria sebagai ibu kota. Oleh itu, terdapat banyak kota kuno sejarah di kawasan ini, bahkan merupakan kota-kota yang terkenal dalam sejarah. Contohnya Sikhem yang tersepit di antara Gunung Ebal dan Gunung Gerizim, dan juga Silo pada zaman Eli dan Samuel. Kota-kota lain ialah Samaria, Sikhar, Betel, Dotan dan Bezek.
4. Pegunungan Yehuda (Yudea) (Judaea)
Sekiranya melihat ke seluruh wilayah Israel, walaupun Pegunungan Yehuda cenderung ke arah selatan, tetapi pegunungan ini merupakan pusat tempat yang kudus dan tumpuan catatan empat kitab Injil. Kita percaya bahawa oleh Alkitab kita mempunyai hidup yang kekal (Yoh 5:39), dan Alkitab diilhamkan Tuhan (2 Tim 3:16). Sebahagian daripada tempat bersejarah yang terkandung di dalamnya berlaku di sini. Pusat keagamaan orang Israel ada di sini dan raja-raja Yehuda dalam sejarah juga memerintah di sini. Daud menjadi raja selama tujuh tahun setengah di Hebron (rujuk: 2 Sam 5:1-5). Kristus yang menjelma menjadi manusia juga dilahirkan di Betlehem di daerah ini. Oleh itu, daerah ini mempunyai sejarah, nubuat dan maksud dari segi penyelamatan dan penebusan.
Pegunungan Yehuda terletak di sebelah selatan Pegunungan Efraim. Timurnya ialah Sungai Yordan dan tebing barat Danau Galilea, baratnya sampai di timur Dataran Filistea, dan di sebelah timur kaki bukit Bukit Sefela manakala yang paling selatan ialah Bersyeba. Seluruh kawasan pegunungan boleh dikatakan sebagai kesinambungan daripada Pegunungan Efraim. Puncak utama Gunung Hebron yang berdekatan Hebron adalah setinggi 1272 meter di atas permukaan laut. Namun, lembah Sungai Yordan di sebelah timurnya sangat dalam dan merupakan lembah terendah di dunia, maka ketika lembah ini sampai di kawasan Laut Mati, ketinggiannya jatuh hingga kira-kira 400 meter di bawah permukaan laut. Dengan perbezaan ketinggian dan kerendahan ini, gunung-gunung di kedua-dua sisi lembah kelihatan tinggi dan megah. Sebenarnya, Pegunungan Yehuda di sebelah kiri berketinggian kurang daripada 1,000 meter, kecuali puncak utama yang berketinggian lebih daripada 1,000 meter. Sebagai contoh, dengan kota suci di utara sebagai pusat, Bukit Zaitun di sebelah timur kotanya hanya setinggi 893 meter. Kota Yerusalem dan Bait Suci di dalamnya dibina di Gunung Moria. Abraham mempersembahkan anak lelakinya yang tunggal di gunung ini pada zaman kuno (rujuk: Kej 22:2; 2 Taw 3:1). Topografi seluruh gunung tidaklah tinggi. Oleh sebab diduduki oleh orang-orang Islam untuk jangka waktu yang lama, maka mereka membangun masjid puncak emas dan perak di atas gunung yang dulunya disebut Temple Mount.
Gunung-gunung di daerah ini adalah berselerak dan berbeza dengan gunung-gunung yang bersambung-sambung di utara. Oleh itu, ketika Yesaya berbicara tentang kemakmuran gereja pada akhir zaman, dia menggambarkan topografi di daerah ini dalam nubuatnya. Dia berkata: “Akan terjadi pada hari-hari yang terakhir: gunung tempat rumah TUHAN akan berdiri tegak di hulu gunung-gunung dan menjulang tinggi di atas bukit-bukit; segala bangsa akan berduyun-duyun ke sana, dan banyak suku bangsa akan pergi serta berkata: “Mari, kita naik ke gunung TUHAN, ke rumah Allah Yakub, supaya Ia mengajar kita tentang jalan-jalan-Nya, dan supaya kita berjalan menempuhnya; sebab dari Sion akan keluar pengajaran dan firman TUHAN dari Yerusalem.”” (rujuk: Yes fasal 2). Nampaknya, Gunung Sion menduduki posisi tinggi di sini, di hulu gunung-gunung. Kita dapat melihat gunung-gunung yang lain dari atas ke bawah di atas puncak ini. Gunung-gunung itu seperti timbunan tanah di bawahnya. Gunung Hebron, puncak tertinggi di seluruh negara Yehuda juga ada di sini.
Industri pertanian dan penternakan di Pegunungan Yehuda berkembang dengan seimbang. Taburan hujan di bahagian barat lautnya lebih banyak dan sesuai untuk pertanian lalu menghasilkan produk pertanian. Bagi tempat-tempat lain pula, kekurangan hujan yang mencukupi menyebabkan beberapa daerah membentuk gunung dan sesuai untuk kehidupan nomad. Oleh itu, industri pertanian dan penternakan berkembang dengan seimbang. Kehadiran lembu dan domba juga merupakan ciri utama di sini. Bagi bahagian timur, kualiti tanahnya jauh lebih buruk. Oleh sebab dekat dengan Laut Mati, kawasan ini gersang dan bersuhu tinggi. Kawasan ini merupakan padang gurun yang langsung tidak sesuai untuk didiami oleh penduduk biasa. Pada masa ini, daerah ini telah menjadi kawasan pelancongan.
Jika kita memberi komen berdasarkan tanah seluruh negera, Pegunungan Yehuda mempunyai beberapa ciri keistimewaan:
- Rumah makanan
Betlehem (Bethlehem) di tanah Yehuda berada di selatan Yerusalem. Maksud asalnya ialah ─ rumah makanan (House of bread) (rujuk: 2 Sam 23:14). Tanah ini baik dan suhunya sejuk. Biasanya, hasil gandumnya banyak. Boleh dikatakan bahawa “hasil di sini matang, bekalan di Yehuda mencukupi”. Ibu kota Kerajaan Selatan dibina di dalam lumbung makanan, tidak ada yang lebih baik daripada keadaan ini. Dalam kitab Rut, bibit cinta yang membara tercetus di antara menantu perempuan, Rut dengan Boas, orang kaya itu di ladang yang besar ini (rujuk: Rut).
- Tempat terbaik untuk pertahanan nasional
Pada zaman kuno, tidak ada pertahanan udara seperti sekarang. Gunung merupakan perlindungan yang terbaik. Oleh itu, dalam kalangan penduduk asal tanah Kanaan, hanya orang Filistin yang tinggal di dataran pantai barat. Selebihnya memilih untuk tinggal di kawasan pegunungan yang selamat dan sejuk. Kota-kota secara semula jadinya tertumpu di atas gunung.
Tanah Yehuda mempunyai pertahanan nasional yang baik. Bahagian timurnya ada titik perpecahan antara Sungai Yordan dengan Laut Mati dan mengasingkannya dari dunia luar, dan bahagian baratnya ada Laut Mati sebagai perlindungan. Oleh itu, tidak ada bangsa asing yang menyerang masuk dari timur dalam sejarah. Halangan semula jadi adalah sangat penting. Contohnya, kitab Ayub dalam Alkitab menyebut bahawa Ayub tinggal di “Us” (Uz). “Us” pada asalnya ialah nama keluarga yang diwariskan oleh anak sulung Aram, cucu Sem. Lokasinya sekarang berada di selatan Syria, tidak jauh dari Yehuda. Walaupun Ayub memiliki banyak kekayaan dan kawanan lembu, kambing domba, dan unta, namun orang-orang Syeba dan orang-orang Kasdim menceroboh tempatnya dengan mudah dan merampas semua hartanya kerana tidak ada halangan di persekitarannya (rujuk: Ayb fasal 1). Bani Gad, bani Ruben dan setengah suku Manasye tidak menyeberangi Sungai Yordan untuk membahagi tanah dengan kebanyakan umat. Mereka menuntut untuk tinggal di sebelah timur Sungai Yordan, yang merupakan wilayah kekuasaan Sihon, raja orang Amori dan Og, raja Basan (Bil 32:33). Tindakan ini tidak bijaksana kerana tidak ada pertahanan nasional yang semula jadi di dataran besar ini. Mereka hanya dapat melindungi diri dengan kuasa tentera yang kuat. Pegunungan Yehuda adalah berbeza. Bahagian utaranya dilindungi oleh Pegunungan Efraim, tenggaranya disekat oleh padang belantara Arab, selatannya ialah padang gurun, dan sebelah baratnya ialah Bukit Sefela yang bersempadan dengan pantai Mediterranean. Pertahanan yang baik dan kubu semula jadi yang dibentuk oleh geografi merupakan sebab utama kawasan ini tidak diserang oleh bangsa asing, dan secara semula jadi telah menjadi kawasan tumpuan penduduk dan hasil-hasil.
Terdapat banyak kota terkenal di kawasan ini. Contohnya Yerusalem (ibu kota dan kota suci yang terkenal di dunia). Kota-kota yang berdekatan ialah Betania, Betlehem, Kiryat-Yearim, Adulam, Yarmut, Rama, Emaus dan lain-lain lagi. Di bahagian barat ada Esytaol dan Zora, manakala di bahagian selatan pula ada Hebron iaitu tempat Daud menjadi raja selama 7 setengah tahun. Walaupun Kerajaan Selatan hanya ada dua suku (Yehuda dan Simeon), wilayahnya tidak sebesar wilayah Israel Kerajaan Utara, namun oleh sebab kelebihan dari segi geografi dan topografi, mereka mampu bersaing dengan Kerajaan Utara dan bangsa asing di sekitarnya, dan bahkan masanya lebih panjang daripada Kerajaan Utara.
- Pusat keagamaan dunia
Secara logiknya, kebarangkalian bahawa kelahiran Kristus dan rancangan penyelamatan dan penebusan mempunyai hubungan geografi dengan tempat ini tidak terlalu tinggi, apatah lagi membincangkan tempat ini menjadi pusat keagamaan dunia. Namun, hal inilah yang sebenarnya telah berlaku.
Nazaret, tempat tinggal Yesus agak jauh dari sini. Pada masa itu, Dia sepatutnya tidak akan datang ke sini. Tetapi pada awal ketika ibu Yohanes Pembaptis, Elisabet hamil dengannya, Maria juga telah mendapat janji bahawa dia akan mengandung dari Roh Kudus. Dia segera mengunjungi Elisabet. Jarak dari kota Nazaret ke Pegunungan Yehuda, iaitu dari Galilea Bawah ke Pegunungan Yehuda adalah kira-kira dua ratus kilometer (rujuk: Luk 1:39). Kemudian, Yesus bukan sahaja dilahirkan di Betlehem, tetapi juga bekerja dan memberitakan Injil di sini. Selain itu, Bait Suci dibina di sini sejak zaman kuno, Roh Kudus juga dicurahkan di sini dan gereja pun terbentuk di sini. Semua peristiwa keagamaan ini terus berlaku lalu menyebabkan kepentingan kawasan ini jauh melebihi negaranya dan telah menjadi tempat keagamaan yang kudus di peringkat antarabangsa.
Maksud asal Yehuda ialah pujian. Dalam berkat yang diberikan oleh Yakub sebelum kematiannya, jelas bahawa suku-suku yang taat mendapat tanah yang baik, manakala suku-suku yang licik tidak dapat memperoleh tanah yang baik. Jika kita melihatnya secara keseluruhan, Pegunungan Yehuda merupakan tanah yang agak baik, tetapi tanah yang diperoleh oleh suku Ruben jauh lebih buruk. Hal ini adalah disebabkan oleh pemberian dan rancangan Tuhan yang ajaib, bukannya disengajakan. Oleh itu, kita harus menerima dan mempercayai berkat para golongan senior dengan tulus ikhlas, dan kita juga harus mengucapkan perkataan yang memberkati (rujuk: 1 Ptr 3:8-10).
- Tanah Negeb (Negev)
“Tanah Negeb” bukan merujuk kepada tempat di bahagian selatan, tetapi nama geografi khas. Lokasinya terletak di selatan Pegunungan Yehuda, iaitu di sebelah selatan Bersyeba hingga ke padang gurun. Sekiranya mahu betul-betul memahaminya dengan lebih tepat, lingkungannya ialah dari barat daya Laut Mati hingga ke selatan Pegunungan Yehuda sampai ke sungai kecil di Mesir. Boleh dikatakan bahawa Tanah Negeb merupakan kesinambungan daripada pegunungan Yehuda. Gunung-gunung di utara ada di sini dan menghilang ke padang gurun yang luas. Maka, topografinya menurun perlahan-lahan dari utara ke selatan, tidak lagi ada gunung tinggi, dan topografinya menjadi rendah dan rata.
Tanah Negeb merupakan sempadan selatan tempat yang kudus dan disebut Perbatasan Selatan dalam ensiklopedia. Hal ini sangat bermakna. Oleh sebab lokasi Tanah Negeb tersepit di antara padang gurun Arab, padang gurun Sinai dan Laut Mediterranean, seluruh kawasan ini sangat gersang dan tanahnya berada dalam keadaan padang gurun atau separa gurun. Keadaan ini menjadi perlindungan semula jadi bagi bahagian selatan tanah Kanaan. Padang gurun yang luas telah menjadi syurga bagi para nomad.
Orang Amalek merupakan bangsa yang paling aktif di daerah ini, dan bangsa mereka garang dan gagah. Mereka menganggap daerah ini sebagai kampung halaman bangsa mereka. Mereka telah lama mendudukinya dan bahkan tidak membenarkan bangsa lain melalui tempat ini. Orang asing dan peniaga sering kali ditindas. Umat pilihan yang keluar dari Mesir pernah berperang melawan mereka di Rafidim dan telah menjadi musuh turun-temurun (rujuk: Kel fasal 17). Ketika umat membahagi tanah, tanah ini diberikan kepada suku Simeon untuk didiami. Namun, di padang gurun dan padang belantara yang luas ini, populasi penduduknya sangat jarang, dan tidak banyak kota yang terkenal. Antara kota-kota yang kita kenal ialah Ziklag, Hezron dan Kadesh.
Nenek moyang orang Israel, Abraham dan Ishak pernah tinggal di Tanah Negeb. Ketika Abraham dipanggil oleh Tuhan, dia segera meninggalkan negerinya, sanak saudaranya dan rumah bapanya lalu berangkat dari Haran. Dia mendirikan mezbah dan mempersembahkan korban sambil berjalan. Dia berjalan keliling aliran Mesopotamia di sebelah hulu dan memasuki tanah Kanaan, melewati Sikhem dan Betel, dan makin jauh berjalan ke Tanah Negeb (Kej 12:9, 13:1,3). Perjalanan yang jauh dan susah ini sukar untuk dibayangkan, terutamanya pada zaman yang hanya bergantung pada kenderaan primitif. Disebabkan perintah Tuhan, dia berjalan begitu jauh dan benar-benar terpisah daripada negerinya, sanak saudaranya dan rumah bapanya. Dia memang layak dibenarkan, dan dipanggil sebagai bapa iman (rujuk: Rm fasal 4). Kemudian, ketika Abraham tinggal di Bersyeba di Tanah Negeb, isterinya, Sara meninggal dunia. Dia membeli tanah daripada orang Het dan menguburkan Sara di Hebron di Pegunungan Yehuda (Kej 23:17-20). Tiga tahun kemudian, dia mahu mengambil isteri untuk Ishak. Ishak sudah berusia empat puluh tahun pada waktu itu (rujuk: Kej 17:17, 23:1, 25:20), dan Bersyeba merupakan tempat Ishak dan Ribka berkahwin (Kej 21:33, 24:62).
Bercakap tentang Bersyeba – “sumur sumpah”, Abraham dan Ishak masing-masing pernah bertengkar dengan orang Filistin. Mengapa raja mereka Abimelekh datang mencari masalah dengan Abraham dan kemudian Ishak? Semuanya disebabkan oleh “air”. Mendapatkan air sumur di sini memang mudah, jadi mengapa bersumpah dengan mereka lagi? Juga disebabkan “air”. Pasti ada air setiap kali menggali sumur di padang gurun yang kering dan panas ini merupakan satu tanda mukjizat. Oleh itu, mereka saling mengadakan perjanjian dan tempat itu diberi nama Bersyeba (Beer-sheba), yang bermaksud “sumur sumpah” (Kej 21:22-34, fasal 26).
Air ialah asas kehidupan. Tanpa air, kita tidak dapat bertahan dalam hidup. Kita boleh minum “air kehidupan” – Roh Kudus yang merupakan tanda mukjizat dan kasih karunia yang besar. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di Bersyeba tidak terkira (rujuk: Yoh fasal 4).
C. Bukit Sefela (Shephelah)
Maksud asal Sefela ialah “tanah rendah” kerana hubungan penjelajahan dari tinggi ke bawah. Sebenarnya, dari segi geografi, Bukit Sefela tergolong sebagai tanah berbukit tinggi. Kawasan ini jauh lebih kecil daripada kawasan Pegunungan Tengah. Jadi mengapa tempat ini dipandang berat, atau bahkan kawasannya dianggap sebagai kawasan yang terpisah? Sebab utamanya: (1) Dari segi geografi, tempat ini ialah kawasan yang terpisah, lebih tinggi daripada Dataran Filistea di sebelah barat, tetapi lebih rendah daripada Pegunungan Yehuda di sebelah timur, (2) Dalam zaman kuno dengan pengangkutan yang kurang menyenangkan, lima lembah di daerah ini merupakan jalan yang pasti dilalui untuk masuk dan keluar dari Yerusalem ke Samaria atau ke Galilea. Dari utara ke selatan, masing-masing ialah Lembah Ayalon, Lembah Sorek, Lembah Tarbantin (Ela), Lembah Zefata, dan lembah sebelah barat sungai (tiada dicatatkan dalam Alkitab). Oleh itu, gunung ini adalah tersendiri dalam bidang topografi dan mempunyai kepentingan geografi sehingga dianggap sebagai kawasan lain daripada Pegunungan Tengah.
Tanah berbukit ini disebut “Pegunungan Sefela”, maksud asalnya – “paya”. Sebenarnya, pegunungan ini hanya kaki bukit di antara Dataran Filistea dengan Pegunungan Yehuda (rujuk: 2 Taw 28:18; Yer 17:26). Titik tertingginya hanya beberapa ratus meter di atas permukaan laut. Topografinya tidak tinggi dan tanahnya tidak rata. Oleh itu, jika berdiri di Pegunungan Yehuda pada ketinggian 500-1,000 meter, tentunya Pegunungan Sefela kelihatan seperti paya yang rendah. Maka tidak hairanlah bahawa tempat ini disebut “Sefela”.
Topografi Sefela ialah kawasan pegunungan dengan bukit-bukit yang berselerak dan tidak bersambung. Sefela tidak sama dengan gunung-gunung di bahagian utara dan timur yang bersambung-sambung. Gunung-gunung ini tinggi tetapi tidak terlalu tinggi dan suhunya sedikit lebih sejuk. Oleh itu, ada padang rumput yang subur di sana, dan pohon-pohon kertau (pohon ara) tumbuh menjadi hutan. Sekiranya terdapat banyak pohon kertau, akan ada banyak ulat kertau dan menghasilkan sutera. Maka, mungkin ada industri kertau dan kain yang maju di sini (rujuk: 1 Raj 10:27; 1 Taw 27:28).
Bani Yehuda dan orang Filistin mempunyai hubungan yang erat dalam sejarah. Mereka berpindah ke tanah Kanaan satu selepas yang lain lalu menyebabkan konflik antara dua bangsa tersebut. Kadang-kadang, orang Filistin memerintah bani Yehuda, dan kadang-kadang orang Yehuda menguasai orang Filistin. Peperangan-peperangan sejarah ini banyak dicatatkan dalam sejarah (rujuk: Hak fasal 14 -15; 2 Sam fasal 5; 1 Sam 6:12; 2 Taw 26:10). Oleh sebab kawasan Pegunungan Sefela juga merupakan sebahagian daripada tempat yang indah di tanah Kanaan, maka terdapat juga beberapa kota kuno yang terkenal. Contohnya “Ayalon”, “Bet-Semes”, “Timna”, “Makeda” …, pernah terkenal pada suatu masa dahulu.
D. Lembah Yordan (Valley of Jordan)
Apabila membuka peta dan melihat keseluruhan persekitaran geografi di Timur Tengah, topografi Sungai Yordan dan lembah-lembah yang dibentuknya adalah sangat jelas dan mudah dikenali. Topografi ini sangat unik di tanah Kanaan.
Panjang Sungai Yordan pada asalnya tidak dapat dibandingkan dengan sungai-sungai besar yang lain di dunia. Fungsi airnya tidak sepenting sungai-sungai besar yang lain di dunia. Walau bagaimanapun, popularitinya mempunyai kecenderungan untuk melampaui sungai-sungai besar lain di dunia. Selain persekitaran geografi, sebab yang paling penting adalah bahawa Sungai Yordan mempunyai hubungan rapat dengan agama. Lembangan Sungai Yordan merupakan tempat permulaan agama Yahudi, Islam, dan Kristian yang terkenal di seluruh dunia. Seiring dengan budaya agama-agama ini yang menjadi terkenal, nama “Sungai Yordan” juga menjadi terkenal di seluruh dunia. Tidak hairanlah bahawa popularitinya juga tinggi.
Dengan kata lain, walaupun Sungai Yordan tidak terlalu panjang (panjangnya sekitar 265 kilometer), namun dapat dilihat dari segi geografi bahawa lembah-lembahnya sangat dalam, iaitu seperti potongan yang mendalam di permukaan bumi. Hal ini menyebabkan Sungai Yordan menjadi satu-satunya lembah sungai yang berada di bawah permukaan laut di dunia, yang sama seperti parit dunia. Pada masa yang sama, Sungai Yordan juga memberikan pengaruh besar terhadap persekitaran geografi dan iklim Asia Barat (Timur Tengah).
“Yordan” pada asalnya mempunyai maksud “yang menurun” (Descender), atau “tempat berair” (The water place). Tempat permulaannya adalah di Tasik Hula (Lake of Huleh) di utara Gunung Hermon yang menghadap Pegunungan Libanon yang tingginya hampir 3,000 meter. Sungai Yordan mengumpulkan salji, hujan, dan mata air ke sungai, dan kemudian turun dari utara ke selatan. Dalam jarak kurang daripada 50 kilometer, permukaan air turun ke paras yang sama dengan permukaan laut lalu mengalir ke Tasik Merom (Lake Merom). Setelah melewati Tasik Merom dan mengalir ke Danau Galilea, sungai ini sudah kira-kira 210 meter di bawah permukaan laut. Setelah mengalir keluar dari Danau Galilea, rejim sungai masih menurun. Setelah tiba di Laut Asin, permukaan danau turun hingga kira-kira 400 meter di bawah permukaan laut, seperti nama sungai ini yang bererti “turun”. Begitulah caranya parit ini bermula dari Gunung Hermon, menyusuri Tasik Merom, Danau Galilea, Laut Asin (Laut Araba), dan terus ke sudut timur laut Afrika.
Jarak sebenar Sungai Yordan adalah kira-kira 156 kilometer. Namun, dari awal hingga akhir, sungai itu turun tiga hingga empat ratus meter. Penurunan berskala besar dan aliran air yang cepat menyebabkan aliran sungai sangat melengkung. Sungai ini bengkang-bengkok seperti ular sehingga panjang sungai mencecah 200 kilometer. Apabila ditambah dengan 65 kilometer dari Kaisarea ke Tasik Merom, jumlah panjangnya menjadi 265 kilometer. Malang sekali, sungai ini bengkang-bengkok, alirannya cepat, dan lebih daripada 215 kilometer berada di bawah permukaan laut (15 kilometer dari Tasik Merom ke Danau Galilea). Oleh itu, tidak ada pengangkutan air atau sistem pengairan di sini, dan sungai ini kekurangan fungsinya. Pantai yang bersuhu tinggi dengan tekanan udara rendah dan berkelembapan rendah ini jarang dihuni lalu menjadi sarang bagi ular berbisa, binatang buas dan serangga. Walau bagaimanapun, keadaan ini juga menjadi kunci semula jadi, penghalang semula jadi dan sempadan bagi seluruh tanah Kanaan. Sebilangan besar air salji dan air mata air yang berasal dari Pegunungan Libanon di utara mengalir melalui Tasik Merom (sekarang telah tersumbat, hanya tinggal kolam yang cetek) dan Danau Galilea, dan menuju ke selatan ke Laut Mati (Laut Asin). Panjangnya kira-kira 100 kilometer dari segi jarak garis lurus. Namun kualiti tanah yang berbeza yang mengalir melalui gunung, padang gurun, padang pasir, dan lain-lain menyebabkan badan sungai berubah menjadi sangat besar, dan sungai sangat bengkok sehingga lembah sungai di sepanjang tebing terbahagi menjadi enam bahagian yang sangat berubah-ubah, iaitu empat lembah dan dua tasik. Menurut urutannya: (1) antara Libanon dengan Hermon, (2) dari kaki bukit Gunung Hermon hingga pantai utara Danau Galilea, (3) Danau Galilea, (4) dari Danau Galilea hingga Laut Mati, (5) Laut Mati.
Lima lembah sungai di atas, dari 2 hingga 5, semuanya berada dalam lingkungan tempat yang kudus. Danau Galilea dan Laut Mati akan dijelaskan dalam unit “Tasik dan Laut Tempat yang Kudus”. Dua bahagian yang lain akan dijelaskan secara ringkas di sini:
1. Dari kaki bukit Gunung Hermon hingga pantai utara Danau Galilea
Sungai Yordan Atas merujuk kepada lembah dari kaki bukit Gunung Hermon hingga bahagian utara Danau Galilea. Dari segi topografi lembah bahagian ini dengan berpusatkan Tasik Merom, utaranya beransur-ansur meninggi dari permukaan laut. Permukaan laut di selatan Tasik Merom pula menurun secara beransur-ansur. Sungai Yordan selepas itu rata-rata berada di bawah permukaan laut dan tenggelam ke Laut Mati yang kira-kira 400 meter di bawah permukaan laut.
- Utara Tasik Merom
Air sungai di sumbernya mengalir ke dalam lembah ini dalam jumlah yang besar dan airnya sangat bergelora. Oleh itu, terdapat banyak lumpur, kolam buluh dan padang rumput yang subur di lembah ini, dan terdapat sebidang hutan besar di tebing sungai. Tempat ini merupakan bahagian yang terbaik di Lembah Sungai Yordan.
Tempat ini disebut Lais pada zaman kuno dan merupakan pintu masuk utara Palestina pada zaman kuno. Tempat ini bukan sahaja merupakan jalan untuk Abraham memasuki Kanaan, tetapi juga merupakan tempat yang harus dilalui oleh semua pasukan tentera dari utara. Ketika suku “Dan” menaklukinya, mereka mula-mula menawan kota Lais yang terletak kira-kira 10 kilometer di selatan Kaisarea Filipi, dan mengubah nama Lais kepada Dan (rujuk: Hak 18:27-31). Nama “Dan” masih ada hingga sekarang. Pada tahun 189 SM, Antiochus memperoleh tempat yang kudus dengan mendapat kemenangan di sini. Kemudian, ketika tentera Salib datang dari barat untuk memerangi Islam, mereka berulang kali tersekat di Panias di sini.
Pada tahun 20 SM, maharaja Rom, Augustus memberikan tanah ini kepada Herodes Agung. Setelah tiba masa anaknya, Filipus, dia membina kota lama Panias di wilayahnya dan menamainya Kaisarea iaitu Kaisarea Filipi pada hari kemudian serta menjadikannya berbeza daripada Kaisarea lain (yang dibina oleh Herodes Agung kira-kira 65 kilometer di selatan Gunung Karmel). Lokasinya terletak di kaki Gunung Hermon, sumber Sungai Yordan, dan dikelilingi oleh gunung di tiga sisi timur, selatan dan utara. Tuhan Yesus pernah tiba di sini dan berbincang tentang diri-Nya dengan murid-murid-Nya (rujuk: Mat 16:13-20).
- Tasik Merom (Lake Merom)
Tasik Merom terletak di hulu Sungai Yordan. Ia merupakan tasik pertama yang jaraknya kurang dari 50 kilometer setelah Sungai Yordan mengalir turun dari sumber di Gunung Hermon. Permukaan tasik ini adalah kira-kira 80 meter di atas permukaan laut, dan panjangnya adalah kira-kira 5.6 km manakala lebarnya 1 km (untuk rujukan sahaja, tidak begitu pasti). Tasik Merom juga dikenali sebagai “Air Merom” kerana air Tasik Merom pada awalnya sangat cetek. Dengan pemendapan pasir dan tanah dalam jangka waktu yang panjang, kedalaman tasik berkurang secara beransur-ansur. Sekarang, selain Sungai Yordan yang masih ada aliran, Tasik Merom telah dipenuhi lumpur dan menjadi tasik yang kering.
Dalam sejarah Israel, hanya ada satu catatan mengenai Tasik Merom iaitu pada zaman Yosua dalam Perjanjian Lama (rujuk: Yos 11:5-7). Pada zaman Perjanjian Baru, tasik ini tidak lagi disebut. Yosua, pengganti Musa sememangnya merupakan seorang ahli strategi ketenteraan. Daripada operasi ketenteraannya untuk menakluki Kanaan, kita dapat melihat bahawa dia memang dipenuhi dengan roh kebijaksanaan. Bukan hanya umat bersedia mematuhinya sehingga dia dapat mengambil alih kerja daripada tangan Musa dengan lancar, tetapi rancangan pertempurannya juga diteliti dengan baik. Setelah dia memimpin para umat dari Sitim ke Yerikho, mereka menghadapi tanah perjanjian yang luas dan kaum-kaum Kanaan yang kuat. Yosua tidak mara ke hadapan secara melulu. Dia terlebih dahulu menawan Yerikho dan Ai, memperoleh Gibeon, memotong tanah Kanaan bermula dari pusatnya dan membahaginya menjadi dua bahagian selatan dan utara. Kemudian, dia menduduki dan menakluk wilayah negara lain dengan pelbagai cara dari selatan ke utara. Perang Selatan berlaku di Gibeon dan dia berjaya mengalahkan bangsa asing di selatan. Setelah kembali ke Gilgal, di utara, “raja-raja ini bersekutu dan datang berkemah bersama-sama dekat mata air Merom untuk memerangi orang Israel. … Lalu Yosua dengan seluruh tentaranya mendatangi mereka dengan tiba-tiba dekat mata air Merom, dan menyerbu mereka.” (Yos 11:5-7). Oleh itu, mereka membunuh semua orang itu. Selepas itu, tidak ada lagi catatan mengenai Tasik Merom.
- Selatan Tasik Merom
Tasik Merom pada zaman dahulu hanya boleh disebut Air Merom pada hari ini kerana pemendapan tanah dan pasir. Seluruh tasik ini kini hanya tinggal sebuah kolam air yang cetek, dan jejak tasik hampir hilang dalam peta moden.
Panjang lembah dari Tasik Merom hingga Danau Galilea adalah kira-kira 12 kilometer. Sungai Yordan di bahagian ini sama seperti sebatang parit dalam yang sempit. Kedalaman parit adalah lebih daripada 20 meter. Dari sini, kita dapat melihat Dataran Basan di sebelah timur sungai dan pergunungan tengah yang menjulang tinggi di sebelah barat. Di sebelah selatan, tebing tembok lembahnya sangat dalam. Setelah tiba musim hujan, sejumlah besar air yang terkumpul di atas gunung akan mengalir turun dengan liar. Jadi, air mengalir dari sepanjang Lembah Yordan dan “dituangkan” ke Danau Galilea.
Lingkungan bahagian ini tidak luas, dan tidak ada kota terkenal dalam sejarah. Namun, kota Hazor di sebelah barat daya Air Merom pernah menjadi ibu kota bangsa Kanaan. Yabin, raja Hazor yang selalu menjadi raja antara segala kerajaan pada zaman Yosua bersatu dengan Yobab, raja Madon, raja negeri Simron, raja negeri Akhsaf, raja-raja di Araba-Yordan di Kinerot dan di tanah bukit Dor, raja-raja orang Kanaan, orang Amori, orang Het, orang Feris, orang Yebus dan orang Hewi. Raja-raja ini bersekutu dan datang berkemah bersama-sama dekat mata air Merom untuk memerangi orang Israel. Dan TUHAN menyerahkan mereka kepada orang Israel. mereka dikalahkan dan dikejar sampai Sidon-Besar (kini kawasan Lebanon) dan sampai Misrefot-Maim, dan sampai lembah Mizpa yang di sebelah timur. Yosua melakukan terhadap mereka seperti yang difirmankan TUHAN kepadanya: kuda mereka dilumpuhkan dan kereta mereka dibakar dengan api. Pada waktu itu Yosua kembali, direbutnya Hazor, dan rajanya dibunuhnya dengan mata pedang. Pada masa itulah dia membakar kota Hazor dengan api (rujuk: Yos fasal 11). Setelah Ehud mati, orang Israel melakukan pula apa yang jahat di mata TUHAN. Lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan Yabin, raja Kanaan, yang memerintah di Hazor. Panglima tentaranya ialah Sisera. Sudah tentu, kita tahu sejarah yang seterusnya. Hakim perempuan, Debora dan Barak mengalahkan mereka di Gunung Tabor. Sisera mati di khemah Yael, isteri Heber, orang Keni. Allah pada hari itu menundukkan Yabin, raja Kanaan, di depan orang Israel dan melenyapkan Yabin (rujuk: Hak fasal 4). Berdasarkan peristiwa-peristiwa di atas, kita dapat melihat bahawa tempat ini merupakan medan peperangan yang penting pada zaman dahulu.
2. Dari Danau Galilea hingga Laut Mati – Sungai Yordan Bawah
Lembah Sungai Yordan dari Danau Galilea hingga Laut Mati ini adalah kira-kira 200 kilometer. Yang menariknya, di lembah yang luas dan lurus ini, alur Sungai Yordan adalah bengkang-bengkok dengan kedalaman yang berbeza-beza, dan lereng di kedua-dua sisi tebing dipenuhi dengan plaster putih. Setiap kali tibanya musim hujan, air yang banyak mengalir turun dari hulu dengan membawa banyak sedimen dan membentuk sebuah dataran lembah sungai dengan lebar kira-kira 5 – 20 kilometer dari timur ke barat. Sebelum dan selepas bulan April, sungai naik ke kedua-dua tebing, dan plaster putih menutupi dataran aluvial ini bersama dengan air sungai dan menjadi baja yang sangat baik. Oleh itu, terdapat ladang dan hutan yang subur yang luas, dan juga kolam lumpur dan buluh yang lain. Air sungai perlahan-lahan mengalir ke Danau Galilea melalui tebing pasir yang berbentuk segitiga.
Sebelah timur Sungai Yordan Bawah ialah tebing Pegunungan Gilead yang tingginya kira-kira 900 meter. Sebelah baratnya pula ialah Pegunungan Tengah dan Gunung Gerizim. Gunung Gerizim dengan ketinggian 963 meter yang berada di sebelah baratnya merupakan gunung tinggi dengan parit yang sangat dalam. Hal ini mennyebabkan Gunung Gerizim kelihatan sangat tinggi. Namun, oleh sebab musim kemarau yang panjang iaitu dari bulan Oktober hingga bulan Februari dan Mac tahun berikutnya, serta panas lebih daripada 30 hingga 40 darjah di lembah sungai pada musim panas, maka dataran ini jarang didiami melainkan digunakan untuk tujuan pertanian. Orang yang bertani tinggal di tempat tinggi yang sejuk. Sebab itulah Benaya bin Yoyada dapat membunuh singa pada hari bersalju (rujuk: 2 Sam 23:20).
Populasi penduduk di bahagian lembah ini adalah kurang disebabkan oleh tiga faktor: panas, banyak binatang liar, dan kekurangan pertahanan nasional di dataran besar. Dengan itu, kota-kota juga pastinya tidak banyak. Di sebelah timur sungai, ada Bet-Haram, Adam, Sukot, Yabesh-Gilead dan lain-lain. Di sebelah barat sungai, ada Bet-Sean dan Yerikho: Bet-Sean (Beth-shan) juga dikenali sebagai Beth-shean. Maksud asalnya ialah “Rumah keselamatan” (House of safety) dan merupakan kota dari suku Manasye. Lokasinya terletak di tebing barat tempat Lembah Yizreel memasuki Sungai Yordan (Yos 17:11).
Yabesh-Gilead (Jabesh-gilead) di sebelah timur sungai berjarak kira-kira 12 kilometer dari kota Bet-Sean di barat laut. Seawal zaman para hakim (1400-1100 SM), oleh sebab orang-orang Yabesh-Gilead tidak ikut serta dalam penaklukan terhadap bani Benyamin, semua lelaki dan perempuannya yang sudah berkahwin ditumpaskan supaya bani Benyamin yang tidak beristeri dapat merebut perempuan-perempuan Yabesh-Gilead sebagai isteri mereka (rujuk: Hak fasal 20-21). Pada zaman Saul, “Maka Nahas, orang Amon itu, bergerak maju dan berkemah mengepung Yabesh-Gilead. Lalu berkatalah semua orang Yabesh itu kepada Nahas: “Adakanlah perjanjian dengan kami, maka kami akan takluk kepadamu.” Tetapi Nahas, orang Amon itu, berkata kepada mereka; “Dengan syarat inilah aku akan mengadakan perjanjian dengan kamu, bahwa tiap mata kananmu akan kucungkil; dengan demikian aku mendatangkan malu kepada segenap orang Israel.”” (1 Sam 11:1-2). Maka berkuasalah Roh Tuhan atas Saul yang diurapi oleh nabi Samuel, dan dia segera memimpin tiga ratus tiga puluh ribu orang Israel dan Yehuda untuk menyingkirkan tentera Amon tanpa meninggalkan seorang pun. Selepas 40 tahun (1053-1013 SM), ketika Saul dan anak-anaknya mati di Gilboa, orang Filistin menaruh senjata-senjata Saul di kuil Asytoret dan mayatnya dipakukan di tembok kota Bet-Sean (rujuk: 1 Sam 31:7-13). Orang Yabesh-Gilead di sebelah timur sungai telah datang ke Bet-Sean untuk mengambil mayat Saul dan anak-anaknya, dan menguburkannya di Yabesh. Orang Yabesh-Gilead dan keturunan mereka yang mempunyai semangat membalas budi ini sangat menyentuh hati. Hal yang lebih tidak dijangka ialah, perbuatan baik Saul semasa dia hidup mendapat balasan setelah kematiannya. Dalam zaman dengan sifat kemanusiaan yang semakin pudar ini, prestasi antara Saul dengan orang-orang Yabesh-Gilead ini layak untuk direnungkan dengan mendalam oleh orang moden!
3. Danau Galilea (Sea Galilee)
“Tasik” kedua yang dimasuki oleh Sungai Yordan ialah Danau Galilea yang terletak di timur laut Palestina, utaranya kurang daripada 15 kilometer dari Tasik Merom. Rupa bumi di kawasan persekitarannya berubah-ubah dan merupakan tasik air tawar terbesar di tanah Kanaan. Pemandangannya sangat indah dan hasil ikannya juga banyak. Tasik ini menghasilkan ikan Petrus yang terkenal. Oleh itu, tasik air tawar ini adalah yang terbesar dan terpenting di kawasan ini.
Danau Galilea juga dikenali sebagai Danau Tiberias (Encyclopædia Britannica m/s 260). Terdapat empat lagi nama lain baginya. Oleh itu, tasik ini ada enam nama secara keseluruhan. Daripada namanya, kita dapat mengetahui maksudnya dan asal usul namanya:
- Galilea
Galilea bermaksud “daerah” / “kawasan” dalam bahasa Ibrani (Mat 4:18).
Nama Galilea pertama kali muncul dalam Alkitab pada zaman Pekah, raja Israel. Tiglat-Pileser, raja Asyur memimpin pasukan tenteranya menyerang Kerajaan Utara dan merampas Galilea dan kawasan yang luas di sekitarnya di utara Israel (2 Raj 15:29-31). Danau Galilea telah mempunyai nama ini pada masa itu.
- Danau Kineret / Kinerot (Chinnereth)
Maksud asal Kineret ialah kecapi (Harp) kerana bentuk tasiknya menyerupai kecapi yang dimainkan oleh Daud. Nama tasik ini muncul sekitar tujuh kali dalam Alkitab, semuanya tercatat dalam Perjanjian Lama (rujuk: Bil 34:11; Ul 3:17; Yos 11:2, 12:3, 13:27, 19:35; 1 Raj 15:20), tetapi nama ini tidak pernah digunakan dalam Perjanjian Baru.
- Danau Genesaret (Gennesaret)
Genesaret bermaksud “taman putera” (Garden of the prince). Sebabnya mungkin kerana adanya Dataran Genesaret yang indah di sebelah baratnya. Kemunculan nama ini adalah bertentangan dengan Kineret / Kinerot. Nama ini tidak pernah muncul dalam Perjanjian Lama, tetapi muncul tiga kali dalam Perjanjian Baru. Namun, ketiga-tiga kali ini melibatkan catatan dua peristiwa yang berkaitan dengan Tuhan Yesus: (1) Tuhan Yesus datang ke sini lalu memilih Petrus, Yakobus dan Yohanes melalui tanda mukjizat menebarkan jala (Luk 5:1-11). (2) Tuhan Yesus tiba di sini, dan setiap orang yang menjamah jumbai jubah-Nya akan menjadi sembuh (Mat 14:34; Mrk 6:53-56).
- Danau Tiberias
Nama ini muncul tiga kali dalam Alkitab, dan semuanya dalam Perjanjian Baru (Yoh 6:1,23, 21:1). Nama ini juga merujuk kepada Danau Galilea dan merupakan nama kegemaran yang digunakan oleh orang Arab. Tiberias bermaksud daripada dewa sungai (From the tiber, as river God). Nama ini pada asalnya merupakan nama sebuah kota di tepi Danau Galilea yang dibangunkan oleh raja wilayah Herodes. Untuk menggembirakan maharaja Rom, Tiberius Caesar yang memerintah pada masa itu, dia menamakan kota ini dengan nama maharaja setelah kota siap dibangunkan. Kemudian, Danau Galilea disebut Danau Tiberias kerana kota ini berada di tepi Danau Galilea.
Sungai Yordan telah mencapai kira-kira 210 meter di bawah permukaan laut di sini. Airnya sangat jernih. Kedalaman ini telah membentuk Danau Galilea. Titik terdalamnya adalah di bahagian utara tasik, iaitu kira-kira 45-50 kilometer. Permukaan tasik ini berbentuk buah pear, utara-selatan kira-kira 20 kilometer manakala timur-barat kira-kira 9-12 kilometer. Kawasan di sekitarnya mempunyai iklim yang baik, topografi yang rata, tanah yang subur, dan air yang sangat mencukupi. Tempat ini telah menjadi rebutan bangsa-bangsa di Kanaan sejak zaman kuno. Pada zaman Perjanjian Baru, Tuhan Yesus sering berkunjung ke sini. Ketika Dia melakukan lawatan sambil memberitakan Injil, Dia sering berjalan di kedua-dua sisi Danau Galilea dan kota-kota atau kampung-kampung di sekitarnya. Hubungan-Nya sangat erat dengan tasik ini. Nazaret, tempat Tuhan Yesus dibesarkan, hanya kira-kira 20 kilometer dari Danau Galilea dan termasuk di daerah Galilea. Pada masa itu, terdapat pelbagai jenis orang yang berkumpul di daerah ini. Antaranya, orang Yahudi terdiri daripada kebanyakan mereka. Murid-murid Tuhan Yesus yang peramah dan orang Zelot yang fanatik kebanyakannya berasal dari kawasan ini. Tidak hairanlah tempat ini telah menjadi tumpuan utama pekerjaan Tuhan Yesus. Dia berkeliling di seluruh Galilea; Ia mengajar dalam rumah-rumah ibadat dan memberitakan Injil Kerajaan Allah serta melenyapkan segala penyakit dan kelemahan di antara bangsa itu (Mat 4:23). Dia juga sering pergi ke Betsaida (Bethsaida), Khorazim (Chorazin), Kapernaum (Capernaum), Magadan, dan Tiberias di sepanjang tepi tasik, dan juga sedikit lebih jauh ke Dekapolis (Decapolis) untuk mengadakan tanda-tanda mukjizat yang besar:
- Betsaida
“Betsaida” yang dicatatkan dalam empat kitab Injil sebenarnya merujuk kepada dua tempat, satu di tebing timur laut Galilea di padang gurun timur Sungai Yordan, satu lagi di Galilea Bawah, dan juga di tanjung Galilea (Yoh 1:44). Tuhan Yesus pernah pergi ke kedua-dua tempat ini: “Kemudian tibalah Yesus dan murid-murid-Nya di Betsaida. Di situ orang membawa kepada Yesus seorang buta dan mereka memohon kepada-Nya, supaya Ia menjamah dia. Yesus memegang tangan orang buta itu dan membawa dia ke luar kampung. Lalu Ia meludahi mata orang itu dan meletakkan tangan-Nya atasnnya … maka orang itu sungguh-sungguh melihat dan telah sembuh, sehingga ia dapat melihat segala sesuatu dengan jelas” (Mrk 8:22-25). Betsaida ini ialah Betsaida yang pertama, iaitu Betsaida di sebelah timur Sungai Yordan. Tuhan Yesus juga memberikan lima roti dan dua ikan kepada lima ribu orang untuk dimakan di tempat ini (Mrk 6:32-44; Luk 9:10-17; Yoh 6:1-21). “Betsaida” bermaksud “rumah nelayan” dalam bahasa Ibrani. Raja wilayah Filipus membina kota di sini dan menamakannya sempena nama anak perempuan Augustus, Julia. Nama penuh kota ini ialah “Bethsaida-Julias”. Tuhan Yesus pernah berkali-kali mengadakan tanda mukjizat di sini, tetapi orang-orang di kota ini tegar hatinya. Mereka enggan mempercayai dan menerima-Nya. Jadi Tuhan Yesus memperingatkan mereka: “… Celakalah engkau Betsaida! karena jika di Tirus dan di Sidon terjadi mujizat-mujizat yang telah terjadi di tengah-tengah kamu, sudah lama mereka bertobat dan berkabung. Akan tetapi pada waktu penghakiman, tanggungan Tirus dan Sidon akan lebih ringan dari pada tanggunganmu.” (Luk 10:13-14).
Betsaida yang lain berada di tebing barat daya Danau Galilea. Betsaida ini merupakan kampung halaman rasul Filipus, Petrus, dan Andreas. Tuhan Yesus datang ke sini untuk memilih “orang Israel sejati” – Natanael (rujuk: Yoh 1:44-48). Tuhan menyembuhkan sakit demam ibu mertua Petrus di kota ini (Mat 1:29-31).
- Khorazim
Terletak kira-kira 2 kilometer dari utara Danau Galilea. Seperti Betsaida, Khorazim ialah kota yang ditegur oleh Tuhan Yesus pada waktu yang sama (Luk 10:13-14). Teguran ini menunjukkan betapa besarnya dosa orang-orang di kota ini dan betapa tegarnya hati mereka. Alkitab tidak menyatakan dengan jelas sama ada Tuhan Yesus pernah datang ke sini,, tetapi sekurang-kurangnya Dia tahu banyak tentang kehidupan berdosa orang-orang di tempat ini.
- Kapernaum
Dosa-dosa dari tiga kota Betsaida, Khorazin dan Kapernaum semuanya disebut oleh Tuhan. Tuhan Yesus berkata: “Dan engkau Kapernaum, apakah engkau akan dinaikkan sampai ke langit? Tidak, engkau akan diturunkan sampai ke dunia orang mati!” (rujuk: Mat 11:23-24; Luk 10:15). Kapernaum berada di barat laut Galilea. Tuhan Yesus pernah mengadakan banyak tanda mukjizat di sini. Contoh: menyembuhkan hamba seorang perwira (Mat 8:5-13), mengampuni dosa dan menyembuhkan orang lumpuh yang digotong oleh empat orang (Mrk 2:1-12), dan mengusir syaitan di rumah ibadat (Luk 4:31-37).
Tetapi malangnya, setelah Tuhan Yesus mengadakan begitu banyak tanda dan mukjizat di Kapernaum, Dia masih tidak dapat membangun iman orang banyak terhadap-Nya. Maka tidak hairanlah bahawa Dia mengeluh dan menegur dosa-dosa dan ketegaran hati mereka.
- Tiberias
Nama ini merupakan kegemaran Yohanes untuk Danau Galilea. Nama ini muncul sebanyak tiga kali dalam Alkitab dan semuanya dalam Injil Yohanes (rujuk: Yoh 6:1,23, 21:1). Sebabnya patut dikaji. Bagi ketiga-tiga catatan ini, catatan pertama adalah sebelum Tuhan Yesus memberi roti kepada lima ribu orang. Dia berangkat ke seberang danau Tiberias dan kemudian naik ke atas gunung (Yoh 6:1). Catatan kedua adalah setelah Tuhan Yesus memberi roti, “… beberapa perahu lain datang dari Tiberias dekat ke tempat mereka makan roti, sesudah Tuhan mengucap syukur atasnya.” (Yoh 6:23). Namun catatan yang memberi kesan yang paling mendalam adalah pada catatan ketiga. Yesus menampakkan diri lagi kepada murid-murid-Nya di pantai danau Tiberias. Dia mahu mereka menebarkan jala di sebelah kanan perahu lalu jala itu penuh ikan-ikan besar, seratus lima puluh tiga ekor banyaknya, dan jala itu tidak koyak. Tuhan bertanya kepada Simon Petrus sebanyak tiga kali: “Apakah engkau mengasihi Aku lebih dari pada mereka ini?” Tuhan mahu dia menggembalakan domba-domba-Nya (rujuk: Yoh fasal 21). Setelah mendapat kasih Tuhan, adakah seseorang masih teringat-ingat dengan “perahu dan jala”, atau sanggup meninggalkan semuanya, dan mengasihi Tuhan dengan lebih mendalam? Tiga soalan di pantai Danau Tiberias ini patut kita renungkan.
Sebagai tambahan kepada peristiwa-peristiwa di atas yang berlaku di kota-kota dan kampung-kampung di sekitar Danau Galilea, ada tiga peristiwa lain yang terjadi di Danau Galilea: (1) Tuhan mengajar orang banyak di pantai danau Genesaret (Danau Galilea) serta memilih Simon Petrus, Yakobus dan Yohanes melalui tanda mukjizat menjala ikan (Luk 5:1-11); (2) Tuhan menghardik Danau Galilea di atas perahu di Danau Galilea, dan danau itu menjadi teduh sekali (Mat 8:23-27). (3) Satu lagi tanda mukjizat yang besar ialah Yesus berjalan di atas air, iaitu di Danau Galilea (rujuk: Mat 14:22-33; Mrk 6:45-52; Yoh 6:16-21).
Gunung-gunung di sebelah utara Danau Galilea tinggi dengan permukaan laut yang rendah. Setiap kali matahari bersinar, suhu di permukaan laut akan berubah. Oleh itu, ada angin dan ombak yang kuat di laut. Maka tidak hairanlah bahawa laut yang tenang akan berhadapan dengan angin ribut secara tiba-tiba. Petrus juga pernah berjalan di atas air. Tetapi ketika dirasanya tiupan angin, takutlah ia dan mulai tenggelam lalu berteriak: “Tuhan, tolonglah aku!” (Mat 14:30). Dunia ini bagaikan lautan dengan kemalangan yang tidak dapat diramalkan. Bak kata pepatah: “malang tidak berbau”. Ketika seseorang berada dalam kesulitan, tidak ada cara penyelesaian yang lain melainkan mencontohi Petrus yang meminta pertolongan daripada Tuhan.
Punca utama air Danau Galilea datang dari Sungai Yordan. Pada masa yang sama, tasik juga berperanan dalam mengatur dan menjernihkan Sungai Yordan. Terdapat banyak jenis ikan air tawar di tasik ini. Pada zaman moden, tasik ini terkenal dengan penghasilan “ikan Petrus”. Sejak pemulihan negara Israel, dataran tasik di utara dan timur telah diairi, teknik pertanian telah ditambahbaik, dan industri pertanian telah dikembangkan. Terdapat turbin wap di tasik yang bergerak di antara kota-kota di tepi tasik (rujuk: Encyclopædia Britannica).
4. Laut Mati (Dead Sea)
Laut Mati ialah “tasik” ketiga yang dimasuki oleh Sungai Yordan dan juga merupakan penghujung Sungai Yordan. Seluruh tasik ini tenggelam 400 meter di bawah tanah dan merupakan laut yang terendah di bumi. Laut ini memang layak disebut laut. Panjangnya 70 kilometer dari utara ke selatan, dan timur-baratnya lebih sempit. Titik terluasnya adalah kira-kira 17 kilometer dan merupakan laut (tasik) pedalaman terbesar di tanah Kanaan.
Dari segi geografi, selain disebut “Laut Mati”, terdapat sekurang-kurangnya empat nama yang berbeza bagi laut ini: Laut Asin (Salt Sea), Laut Timur (East Sea), Laut Araba (Arabia Sea) dan Laut Rodos (Rhodes Sea). Laut). Kelima-lima nama ini mempunyai asal-usul dan maksud masing-masing:
- Laut Mati
Tidak ada nama “Laut Mati” dalam Alkitab. Selepas 100 M, perkataan Yunani digunakan untuk laut ini. Laut ini terbentuk apabila air Sungai Yordan mengalir melalui Danau Galilea, mengalir lebih jauh sekitar 200 kilometer ke selatan, dan kemudian mengalir ke arah bawah. Seperti namanya, laut ini disebut “Laut Mati” kerana air sungai hanya dapat memasukinya tetapi tidak dapat keluar lalu membentuk air bertakung yang luas. Tidak ada ikan atau makhluk lain yang hidup di dalam air, jadi laut ini disebut “Laut Mati”.
- Laut Asin
Laut Asin (rujuk: Kej 14:3; Ul 3:17; Yos 3:16), kandungan garamnya tinggi kerana laut ini jatuh kira-kira 400 meter ke bawah tanah. Tambahan pula, suhunya yang panas menyebabkan sejumlah besar airnya menjadi wap. Laut ini juga tidak berhubung dengan tasik-tasik yang lain. Kepekatan garam di Laut Mati sangat tinggi. Kadar garam dalam airnya adalah setinggi 26% (100kg air laut dapat menghasilkan 6-7kg garam). Jika dibandingkan dengan 3-4% bagi lautan umum, kadar ini adalah terlalu tinggi. Maka, daya apungannya adalah sangat tinggi sehingga pelancong tidak akan tenggelam ketika berbaring di tengah-tengah perairan. Laut Mati telah menjadi laut yang tidak mati dan memang layak disebut “Laut Asin”.
- Laut Timur
Laut ini terletak di pusat politik dan keagamaan negara Israel, dan juga di sebelah timur Yerusalem yang padat dengan populasi penduduk. Oleh itu, laut ini disebut Laut Timur (Yl 2:20) dan jaraknya hanya 20 kilometer dari kota Yerusalem.
- Laut Araba
“Araba” bermaksud “tanah kering, tandus” dalam bahasa Ibrani. Oleh sebab lokasi geografi Laut Mati berada pada 400 meter di bawah permukaan laut, maka tempat ini cukup panas. Dengan persekitaran yang sangat kering, kelembapannya mengewap dengan sangat cepat. Sejak zaman kuno, tempat ini merupakan tanah liar yang jarang dihuni dan sangat sukar untuk sampai ke tempat ini. Di sebelah kanannya ialah Araba (Padang Gurun Araba, lalu tempat ini juga disebut Laut Araba).
- Laut Rodos (Rhodes)
Orang Arab sekarang menyebutnya sebagai Laut Rodos kerana Lot pernah tinggal di kota Sodom, tempat yang dekat dengan Laut Mati (Kej 19:1). Sejak zaman kuno, Laut Mati dianggap sebagai laut yang langsung tidak ada fungsi. Tidak seperti Danau Galilea yang berair tawar, tersedia untuk diminum dan berfungsi untuk pengairan, serta kaya dengan ikan tasik yang bernilai ekonomi. Namun, Laut Mati telah hidup semula sejak kebelakangan ini kerana orang telah mengetahui bahawa laut ini mempunyai sekurang-kurangnya empat ciri:
1. Dalam tetapi tidak ada makhluk hidup. Fenomena ini tidak ada pada tasik dan laut biasa.
2. Kaya dengan minyak dan dikelilingi dengan kawasan perlombongan minyak. Di lembah Sidim itu di mana-mana ada sumur aspal (Kej 14:10). Aspal yang dihasilkan di sini sangat diperlukan oleh Afrika Utara, terutamanya orang Mesir.
3. Terdapat banyak mineral dalam air. Laut yang dulunya tidak berguna rupanya merupakan lombong air yang disediakan oleh Tuhan untuk umat pilihan. Selain pengeluaran garam yang banyak, kandungan mineral dalam air juga sangat kaya lalu menjadi tumpuan perhatian semua negara di dunia. Sememangnya laut ini merupakan lumbung harta Israel.
4. Laut ini sebenarnya juga merupakan perlindungan semula jadi bagi negara Israel (Yehuda). Adalah tidak mudah bagi musuh untuk menyerang dari timur, dan sebab itu menjadi nilai pertahanan nasionalnya. Dari persepktif sejarah, oleh sebab Laut Mati dan kawasan sekitarnya disebut “seperti negeri dialahkan garuda”, maka secara logiknya laut ini sunyi sepi dan mati. Namun sebenarnya tidak. Kita dapat melihat daripada sejarah bahawa tempat ini adalah sangat meriah:
- Dua kota pertama yang dihancurkan oleh api dari syurga, Sodom dan Gomora berada di perairan cetek di hujung selatan Laut Mati. Kitab Kejadian mencatatkan: orang di kedua-dua kota ini sangat jahat dan berdosa. Boleh dikatakan bahawa Tuhan telah mendengar dosa dan kejahatan mereka. Oleh itu, Tuhan dan para malaikat-Nya datang untuk memeriksa secara peribadi. Tuhan sukar mempercayai bahawa manusia yang diciptakan-Nya telah jatuh sampai ke tahap ini. Sepuluh orang yang benar pun tidak dapat ditemui dalam kedua-dua kota itu. Dengan itu kita tahu betapa seriusnya kejahatan mereka.
- Walaupun Laut Mati ialah satu tempat yang kosong dan berpenduduk jarang, namun laut ini pernah menjadi medan peperangan kuno yang terkenal. Empat peperangan besar dalam sejarah semuanya berlaku di jalan sempit di sebelah barat daya laut: Peperangan yang pertama, empat raja lawan lima (rujuk: Kej fasal 14). Amrafel dan tiga pasukan bersekutu, bertolak dari Babel (Sinear), pergi ke selatan melalui jalan besar, lalu maju ke utara, melalui tanah orang Amalek dan orang Amori, kemudian turun ke En-Gedi di titik tengah tebing barat Laut Mati, seterusnya menyerang Sodom dan pasukan gabungan lima raja yang lain. Perjalanan ini sangat sukar dan tidak dijangka oleh lima raja. Taktik peperangan ini boleh dikatakan berjaya. Empat raja menang dan lima raja dikalahkan.
Terdapat juga peperangan pada zaman raja Yesafat Kerajaan Selatan (rujuk: 2 Taw fasal 20). Bani Moab dan bani Amon datang berperang melawan Yosafat bersama-sama sepasukan orang Meunim dan orang – orang dari pegunungan Seir. Mereka juga berjalan keliling hujung selatan Laut Mati, pergi ke utara di En-Gedi lalu menyerang kerajaan Yehuda. “… ia mengangkat orang-orang yang akan menyanyi nyanyian untuk TUHAN dan memuji TUHAN dalam pakaian kudus yang semarak pada waktu mereka keluar di muka orang-orang bersenjata…” (2 Taw 20:21). Tuhan mengucar- kacirkan tentera musuh sehingga mereka saling membunuh dan tidak ada seorang pun yang terlepas. Kali ini, Yehuda diselamatkan oleh Tuhan dan mereka mengalahkan pasukan gabungan bangsa asing.
Ketika anak Ahab, Yoram menjadi raja, orang Moab telah memberontak. Raja Yoram bersatu dengan Yosafat, raja Yehuda dan juga raja Edom lalu mengirim pasukan untuk menakluki mereka (rujuk: 2 Raj fasal 3). Mula-mula, Elisa memerintahkan mereka untuk membuat parit dan menghilangkan dahaga mereka. Kemudian, mereka melalui hujung selatan Laut Mati dan memburu orang Moab. Tetapi kegusaran besar menimpa orang Israel (sebabnya tidak diketahui), mereka undur tanpa kejayaan.
Setelah orang Rom menghancurkan Kota Suci (70 M), orang-orang Yahudi yang setia mempertahankan Masada dan enggan menyerah kalah. Oleh sebab berdiri 200 meter di atas permukaan laut dan lebih daripada 600 meter di atas Laut Mati, tentera musuh mudah untuk membuat pertahanan tetapi sukar untuk membuat serangan. Ketika tentera Rom mengepung habis-habisan buat kali yang terakhir, semua tentera Yahudi terbunuh dan yang lain membunuh diri agar tidak jatuh ke dalam tangan orang Rom. Keadaan itu sangat tragis. Nampaknya, tempat yang dianggap mati dan tidak berguna ini pernah menjadi tempat umat manusia saling berbunuhan.
Berdasarkan keadaan tragis daripada empat peperangan besar di atas, tempat ini merupakan tempat yang mesti dilalui oleh tentera ketika berperang.
- Bagi monumen bersejarah di sini, ada satu perkara lain yang perlu disebutkan, iaitu benteng Machaerus di pantai timur Laut Mati. Tempat ini merupakan tempat Herodes memenjarakan Yohanes Pembaptis. Yohanes merupakan pemberita Inil yang paling awal dalam Perjanjian Baru dan juga perintis Tuhan Yesus. Dia dipenjarakan kerana menegur kejahatan Herodes, dan akhirnya dipenggal di penjara ini (rujuk: Mrk 6:14-29).
- Penemuan “Naskah Laut Mati” (Dead Sea Scrolls) pada zaman moden adalah sangat sensasi dan berharga. Pada tahun 1947, beberapa gulungan kulit ditemui di gua Qumran di sudut barat laut Laut Mati. Antaranya terdapat manuskrip Yesaya. Penemuan ini membawa kepada banyak kajian arkeologi dan gulungan-gulungan manuskrip ini disebut Naskah (Gulungan) Laut Mati.
Daripada penjelasan di atas, dapat dilihat bahawa Tasik Merom, Danau Galilea dan Laut Mati merupakan tiga tasik yang agak besar dan bersejarah di Palestina. Selain dihubungkan dengan Sungai Yordan, ketiga-tiga tasik ini telah menghasilkan banyak peristiwa bersejarah yang penting dalam sejarah.
5. Dataran tinggi seberang Yordan
Kawasan seterusnya yang akan diperkenalkan ialah tanah tinggi bahagian timur di sebelah timur Sungai Yordan. Pada asalnya, sebelah timur Sungai Yordan tidak termasuk dalam wilayah negeri yang dijanjikan oleh Tuhan kepada Abraham. Sebabnya telah diutarakan ketika memperkenalkan Pegunungan Yehuda. Tujuan Tuhan tidak berniat memberikan tanah ini kepada umat pilihan adalah berkaitan dengan faktor kekurangan syarat pertahanan nasional. Bani Gad, bani Ruben dan setengah suku Manasye meminta kepada Musa untuk mendapatkan tanah ini apabila melihat padang rumput yang indah di sebelah timur sungai setelah mengembara selama 40 tahun di padang gurun dan tanpa konsep pertahanan nasional. Setelah Tuhan bersetuju, orang-orang dari dua setengah suku ini pun tinggal di sebelah timur sungai Yordan setelah merebut seluruh wilayah Kanaan (rujuk Bil fasal 32). Hal ini menyebabkan bangsa Israel memperoleh dataran tinggi ini sebagai tambahan dan lingkungan tempat yang kudus juga bertambah besar sehingga dataran tinggi di sebelah timur sungai juga telah menjadi tempat yang kudus.
Topografi di sebelah timur Sungai Yordan ialah gunung tinggi dan bersempadan dengan Lembah Yordan yang dalam. Utara-selatan ialah dari Gunung Hermon ke Laut Mati, dan timur-barat ialah dari Sungai Yordan hingga kawasan padang gurun. Dataran ini membentang di dataran tinggi dengan panjang lebih daripada 200 kilometer dan lebar 40-200 kilometer. Dataran tinggi ini terletak kira-kira 900 meter di atas permukaan laut, dan bercuaca sejuk. Topografi ini sangat berbeza dengan keadaan di sebelah barat dan selatan. Bentuknya adalah seperti tembok dan merupakan salah satu pemandangan yang paling indah di tempat yang kudus.
Selain penduduk tempatan, kebanyakan orang menganggap Timur Tengah sebagai gurun besar yang panas, kering, dan kekurangan air. Tidak ada yang menyangka bahawa di dataran tinggi sebelah timur sungai ini, salji sering kelihatan selama beberapa hari pada musim sejuk, dan ada fenomena pembekuan salji sehingga menutupi tanah. Oleh itu, orang Arab menyebut tempat ini “rumah penghawa dingin”. Musim sejuknya adalah sejuk, dan musim panasnya pula penuh dengan awan dan embun. Suasana ini sangat menyegarkan. Panas hanya di kawasan lembah yang dalam sahaja kerana tidak ada angin.
Topografi dataran tinggi seberang timur sungai lebih tinggi daripada kawasan pinggir sungai di sebelah barat. Dari utara ke selatan, terdapat air dari Sungai Yarmut, Sungai Yabok, dan Sungai Arnon yang mengalir secara mendatar dari timur ke barat lalu memasuki Sungai Yordan. Pada masa yang sama, dataran tinggi seberang timur dipotong menjadi tiga kawasan kecil yang berbeza. Dari utara ke selatan:
- Dataran Tinggi Basan (Bashan)
Daerah ini terletak di antara hulu Sungai Yordan dan padang gurun sebelah timur. Utaranya bermula dari Gunung Hermon di sempadan utara tempat yang kudus sehingga ke Sungai Yarmut. Jarak di antara utara dan selatan adalah kira-kira 100 kilometer.
Di sebelah utara, terdapat Dataran Tinggi “Golan” yang terkenal pada hari ini. Lokasinya terletak di hulu Sungai Yordan, bergunung-ganang dan banyak tasik, serta penuh dengan hutan dan padang rumput. Terdapat sangat banyak pohon tarbantin dan pohon sanobar di Basan (Yes 2:13, 60:13; Za 11:2). Kayu dayung yang digunakan dalam kapal kuno sering diambil daripada pohon tarbantin di sini (rujuk: Yeh 27:6). Keganasan “lembu jantan Basan” ditonjolkan oleh pemazmur dalam gambarannya (Mzm 22:13). Sejak zaman kuno lagi, tempat ini ada industri penternakan seperti domba jantan, kambing jantan dan lain-lain (Yeh 39:18). Sejak kebelakangan ini, populasi penduduknya telah berkurang sehingga tanah ini jarang dihuni kerana kawasan ini telah terkesan dengan peperangan ekoran kawasan ini terletak di daerah sensitif Israel, Lebanon, dan Syria, dan merupakan kawasan sumber air Israel.
Di sebelah selatan, iaitu di sebelah tenggara hulu lembah Sungai Yordan ialah Dataran Tinggi Hauran. Maksud asal Hauran ialah “kosong”. Jika memandang ke arah selatan dari Gunung Hermon, tempat ini memang kelihatan seperti kawasan rendah. Sebenarnya, topografinya adalah agak tinggi. Tempat ini merupakan salah satu lumbung makanan utama di tempat yang kudus. Tanah di sini sangat subur dan terdapat banyak sungai di lembah yang dalam. Bekalan airnya banyak dan sangat mencukupi. Ada salji pada musim sejuk dan ada hujan pada musim panas. Di samping itu, iklim di kawasan ini baik dan tanahnya subur. Tanahnya sesuai untuk pertanian, dan secara semula jadi terdapat ladang gandum yang luas. Oleh itu, tempat ini terkenal dengan penghasilan jelai dan gandum. Tempat ini juga sesuai untuk industri penternakan, dan terkenal dengan pengeluaran lembu (rujuk: Ul 32:14; Mzm 22:13).
Namun, kita dapat melihat bahawa Dataran Tinggi Basan telah menjadi tempat rebutan dari segi ketenteraan antara negara Israel dengan Aram (Siria) dalam sejarah. Damsyik (Damaskus) terletak di sudut timur laut dataran tinggi. Dalam lebih daripada 2,000 tahun ini, Damsyik (Damaskus) ialah ibu kota Aram dan merupakan salah satu ibu kota tertua di dunia. Pada zaman Rom, kawasan ini berada di bawah bidang kuasa raja wilayah Filipus. Sejak kebelakangan ini, populasi penduduknya telah berkurang sehingga tanah ini jarang dihuni kerana kawasan ini telah terkesan dengan peperangan ekoran kawasan ini terletak di daerah sensitif Israel, Lebanon, dan Syria, dan merupakan kawasan sumber air Israel. Industri pertanian dan penternakannya juga telah merosot.
- Dataran Tinggi Gilead
Jika menyeberangi Sungai Yarmut dari selatan Dataran Tinggi Basan, seseorang akan segera memasuki Dataran Tinggi Gilead. Kawasannya merangkumi seluruh lembangan Sungai Yabok dan selatannya sampai di sempadan Moab dan Hesybon. Sungai Yabok terkenal dalam “satu malam” kerana Yakub bergulat dengan malaikat Tuhan di sini (rujuk: Kej fasal 32). Sungai ini memotong Dataran Tinggi Gilead kepada dua bahagian. Bahagian utara adalah diduduki oleh setengah suku Manasye, manakala bahagian selatan dimiliki oleh bani Gad. Terdapat satu catatan dalam sejarah: “Lalu Musa memberikan kepada mereka, kepada bani Gad, kepada bani Ruben dan kepada setengah suku Manasye bin Yusuf: kerajaan Sihon, raja orang Amori, dan kerajaan Og, raja Basan, yakni negeri mereka beserta kota-kotanya di seluruh negeri itu. … Bani Makhir bin Manasye pergi ke Gilead; mereka merebutnya dan menghalaukan orang Amori yang ada di sana. Lalu Musa memberikan Gilead kepada Makhir bin Manasye dan diamlah ia di sana.” (Bil 32:33-40).
Dataran Tinggi Gilead terletak di pegunungan dengan ketinggian lebih kurang seribu meter di atas permukaan laut. Sejak zaman kuno, dataran ini terkenal dengan pokok tarbantin dan industri penternakan sama seperti Dataran Tinggi Basan di utara. Dalam kitab Kidung Agung, pengantin lelaki memuji pengantin perempuan: “Lihatlah, cantik engkau, manisku, sungguh cantik engkau! Bagaikan merpati matamu di balik telekungmu. Rambutmu bagaikan kawanan kambing yang bergelombang turun dari pegunungan Gilead.” (Kid 4:1). Gambaran ini menunjukkan kemajuan industri penternakan di kawasan ini sehingga pemazmur menggunakan kawanan kambing yang dilihatnya setiap hari sebagai pujian bagi kecantikan rambut pengantin perempuan. Diksi ini praktikal, elegan, sentimental dan indah. Di samping itu, ada satu lagi produk khas di sini yang jarang didapati di tempat lain iaitu “kemenyan / balsam”. Orang yang mempelajari Alkitab tahu bahawa kemenyan merupakan ubat yang sangat diperlukan dalam kehidupan dan agama orang Israel. Ketika orang-orang majus dari timur menghadap bayi Yesus, kemenyan adalah salah satu daripada tiga hadiah yang dibawa oleh mereka (Mat 2:11). Walau bagaimanapun, hanya sedikit orang yang memperhatikan lokasi sebenar tempat penghasilan produk ini di tempat yang kudus. Dataran Tinggi Gilead ialah tempat penghasilan penting kemenyan (rujuk: Yer 8:22, 46:11).
Dataran Tinggi Gilead mempunyai tanah yang rata, kualiti air yang baik, dan hasil yang kaya. Secara semula jadinya, dataran ini telah menjadi tempat yang diinginkan oleh bangsa-bangsa di sekitarnya. Hal ini boleh dijangkakan, terutamanya terdapat padang belantara, padang gurun, dan lembah di persekitarannya. Dalam keadaan seperti itu, para nomad semua berebut dengan bersungguh-sungguh. Namun, oleh sebab kekurangan pertahanan semula jadi di tempat ini, orang-orang nomad atau negara-negara besar di sebelah timur dapat menyerang dengan mudah sejak zaman kuno. Bani Amon yang tinggal di sebelah timur sering kali ditahan di sini (rujuk: Hak 10:17) sehingga mereka tidak dapat menetap dengan aman. Mungkin dengan alasan inilah kita telah menyedari bahawa Tuhan yang mengasihi umat pilihan tidak memberikan Dataran Tinggi Gilead di sebelah timur Sungai Yordan kepada orang Israel walaupun tempatnya adalah begitu indah. Malang sekali, umat pilihan sering kali tidak dapat dan tidak mahu memahami kasih mesra Tuhan. Mereka selalu menurut kehendak mereka sendiri dan salah berdoa kepada Tuhan. Kadang-kadang, mereka berdoa tetapi tidak menerima apa-apa. Walaupun mereka telah menerimanya, apakah akibatnya? Tidak lain tidak bukan, imannya jatuh, dan lebih buruk lagi, menjadi musuh Kristus (rujuk: Yak 4:3-4; Mzm 106:15). Apa faedahnya meminta menurut kehendak diri sendiri?
Terdapat perubahan kecil di kawasan ini selepas satu jangka masa yang panjang. Pada zaman Rom, iaitu zaman Tuhan Yesus, Dataran Tinggi Basan dan Gilead secara kolektif disebut “Dekapolis”. Dekapolis merupakan sebuah negara kota Yunani yang terkenal dalam abad pertama. Negara kota ini terdiri daripada 10 kota Yunani sehingga disebut daerah sepuluh kota. Lapan daripada sepuluh kota yang dikenalpasti di “Dekapolis” ialah:
1. Hippos
2. Gadara
3. Raphana
4. Pella
5. Dion
6. Gerasa
7. Filadelfia (Philadelphia)
8. Scythopolis
9. Damaskus (Damascus) (tidak dikenalpasti)
10. Abel (Abila) (tidak dikenalpasti)
Daripada “sepuluh kota” ini, Scythopolis (mungkin ialah kota Bet-Sean pada kemudian hari) merupakan satu-satunya kota di sebelah barat Sungai Yordan. Empat kitab Injil mencatatkan: Tuhan Yesus menyembuhkan orang yang dirasuki roh Legion. Dia menyuruh orang itu pulang ke rumahnya untuk bersaksi tentang segala sesuatu yang telah diperbuat oleh Tuhan atasnya. Orang itu pun pergilah dan mulai memberitakan di daerah Dekapolis segala apa yang telah diperbuat Yesus atas dirinya (Mrk 5:1-20).
- Dataran Tinggi Moab
Dataran tinggi di sebelah timur Laut Mati ialah kubu kuat orang Moab pada zaman kuno. Secara geografi, dataran ini disebut Dataran Tinggi Moab. Lingkungan dataran tinggi ini: utaranya dihubungkan ke Hesybon di selatan Dataran Tinggi Gilead, timurnya sampai ke padang belantara besar di tebing utara hulu Sungai Arnon manakala selatannya berakhir di tebing selatan Sungai Arnon, dan bersebelahan dengan Edom. Keluasan kawasan ini tidak terlalu besar iaitu kira-kira 60 kilometer dari timur ke barat, dan kira-kira 90 kilometer dari selatan ke utara. Bentuk rupa bumi seluruh kawasan ialah pegunungan yang hanya 1,000 meter di atas permukaan laut dan padang gurun. Hutan dan padang rumputnya tidak sebanyak yang terdapat di Dataran Gilead, dan rupa bumi padang gurun atau padang belantara muncul dari semasa ke semasa.
Orang Moab ialah keturunan Lot (rujuk: Kej 19:23-38). Lot masih boleh dianggap sebagai orang yang benar di mata Tuhan. Dia tidak hanya memiliki semangat menerima tetamu keluarga Abraham, tetapi jiwanya yang benar terseksa kerana perbuatan-perbuatan yang jahat di kedua-dua kota Sodom dan Gomora (rujuk: Kej fasal 19; 2 Ptr 2:8). Malangnya, perbuatan jahat antara dia dengan dua orang anak perempuannya menyebabkan orang Moab diusir daripada senarai umat pilihan, bahkan keturunannya yang kesepuluh pun tidak boleh masuk jemaah Tuhan (rujuk: Ul 23:3; Neh 13:1). Mereka selamanya menjadi bangsa yang dikutuk. Keturunan orang yang benar sebaliknya menjadi bangsa yang dikutuk. Pengajaran sejarah ini amat berbaloi untuk direnungkan, dikaji dan dijadikan sempadan oleh seorang pemercaya yang giat.
Tanah Moab sering disebut ambang Kanaan. Seseorang boleh memasuki Kanaan dari sebelah timur melalui tempat ini. Tempat ini lebih tinggi seperti ambang berbanding tanah Kanaan di seberang. Setelah orang Israel mengembara selama 40 tahun di padang gurun, tanah Moab merupakan stesyen mereka yang terakhir. Umat pilihan memasuki negeri yang dijanjikan dari Sungai Yordan di sebelah utara. Tuhan berjanji kepada Abraham seawal tahun 2000 SM. Selepas 600 tahun, Dia akhirnya menunaikan janji-Nya. Janji ini besar dan kesetiaan Tuhan juga boleh dipercayai.
Walau bagaimanapun, Musa yang melambangkan hukum Taurat tidak memasuki tanah Kanaan. Tuhan menyuruh Musa naik ke atas Gunung Nebo dari dataran Moab di atas puncak Pisga. Gunung ini merupakan sempadan utara tanah Moab, bersebelah dengan Sungai Yordan serta bertentangan dengan Yerikho dan kota suci Yerusalem. Lalu TUHAN memperlihatkan kepadanya seluruh negeri itu: daerah Gilead sampai ke kota Dan, seluruh Naftali, tanah Efraim dan Manasye, seluruh tanah Yehuda sampai laut sebelah barat (Laut Mediterranean), Tanah Negeb dan lembah Yordan, lembah Yerikho, kota pohon korma itu, sampai Zoar. Selepas itu, Musa, abdi Tuhan dan pemimpin umat pilihan meninggal dunia di atas gunung. Setelah 40 tahun mengembara di padang gurun, negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya yang diharapkan itu kini berada di depan mata. Tetapi oleh sebab kecuaiannya, dia mengucapkan kata-kata yang salah dalam kemarahannya dan ditolak di hadapan negeri yang baik (rujuk: Bil 20:10-13). Walaupun ada kehendak Tuhan yang baik dan pengajaran Tuhan dalam perkara ini, tetapi kita pasti berasa sedih dengan kenyataan bahawa Musa ditolak setiap kali kita membaca sejarah ini.
Pada zaman para Hakim, Israel dan Moab sering berperang, dan bahkan umat pilihan “ditindas” (rujuk: Hak fasal 3). Namun, satu perkara yang paling diberi perhatian oleh generasi-generasi seterusnya ialah: Walaupun terdapat arahan “keturunan Moab yang kesepuluh pun tidak boleh masuk jemaah Tuhan”, adanya Rut yang memecahkan tradisi ini (rujuk Rut). Tuhan tidak benar-benar menghindari bangsa yang terkutuk ini. Perbuatan Rut yang taat membuatkan bangsanya menjadi bangsa yang mulia. Raja-raja jasmani dan rohani berasal daripadanya.
Oleh itu, jika dilihat daripada sejarah Timur Tengah, bukan hanya orang Moab sahaja yang mempunyai hubungan yang erat dengan orang Israel, tetapi bangsa-bangsa lain juga mempunyai hubungan sejarah dengan orang Israel:
- Orang Moab – Keturunan Lot, anak saudara Abraham dengan anak perempuan sulungnya, lahir daripada sumbang mahram (rujuk: Kej 19:37).
- Orang Amon – Keturunan Lot, anak saudara Abraham dengan anak perempuan keduanya, lahir daripada sumbang mahram (rujuk: Kej 19:38).
- Orang Midian – Keturunan Abraham daripada isterinya Ketura, dilahirkan setelah berkahwin (rujuk: Kej 25:1-6).
- Orang Edom – Keturunan Esau, cucu Abraham (Kej 25:30, 36:9).
Berdasarkan pengenalan di atas, kita seharusnya mempunyai pemahaman umum tentang persekitaran geografi seluruh tempat yang kudus. Kita juga dapat membayangkan bahawa bangsa Ibrani, bangsa yang kecil dan tidak ada syarat istimewa ini telah menerima janji Tuhan dan memperoleh tanah terbaik di Timur Tengah. Mereka seharusnya mematuhi ajaran-ajaran kudus-Nya dan menghargai kasih karunia yang diterima dengan cuma-cuma ini. Walau bagaimanapun, sejarah membuktikan pemberontakan orang Israel sehingga mereka menderita akibatnya. Negara itu dimusnahkan, umat terpaksa meninggalkan tempat sendiri, dan berkeliaran di seluruh dunia. Mereka menjalani kehidupan menumpang yang sengsara untuk lebih daripada dua ribu tahun. Harga yang dibayar bagi ketegaran hati dan pengkhianatan mereka terhadap Tuhan tidaklah murah. Pada hari ini, dengan belas kasihan dan izin Tuhan, sejak tahun 1948, mereka dapat pulang ke negara dan rumah mereka. Sejarah-sejarah dan pengajaran-pengajaran ini seharusnya menjadi amaran kepada iman kepercayaan kita.
KESIMPULAN
Tempat yang kudus telah dibuka selama lebih daripada 6,000 tahun, dan kehidupan orang Israel di sini juga telah melalui lebih daripada 3,400 tahun (1400 SM – 2003 M). Dalam tempoh yang panjang ini, kemanusiaan dan sentimen popular juga telah mengalami banyak titik perubahan. Topografinya juga sedikit sebanyak telah dimusnahkan oleh manusia. Walau bagaimanapun, perubahan dalam keseluruhan persekitaran geografi tidak jauh berbeza dengan situasi ketika umat pilihan memasuki Kanaan pada zaman kuno.
Oleh itu, berdasarkan pengenalan di atas, topografi dan sebahagian sejarahnya diberikan secara ringkas supaya setiap pelajar mempunyai pemahaman kasar tentang tempat yang kudus.
BUKU RUJUKAN:
1. Will Duran. (1935). The Story of Civilization: Our Oriental Heritage. Simon & Schuster.
2. Will Duran. (1939). The Story of Civilization: The Life of Greece. Simon & Schuster.
3. Will Duran. (1950). The Story of Civilization: The Age of Faith. Simon & Schuster.
4. Crane Brinton, John B. Christopher and Robert Lee Wolff. (1955). A History of Civilization. Prentice Hall Press.
5. Victor Duruy. (1912). A General History of the World. Review of Reviews Company.
6. Herbert Lockyer. (1988). All The Parables Of The Bible. Zondervan Academic.
7. Yohanan Aharoni. (1979). The Land of the Bible: A Historical Geography. Westminster John Knox Press.
8. Denis Baly. (1957). The Geography of the Bible: A Study in Historical Geography. Harper.
9. George Adam Smith. (1931). The Historical Geography of the Holy Land. Hodder and Stoughton.
10. Don DeWelt. (1958). Sacred History and Geography. Baker Book House.
11. Bailey, A.E. & Kent, C.F. (1949). History of the Hebrew Commonwealth. Charles Scribner’s Sons.
12. J. Robert Teringo. (1985). The Land & People Jesus Knew: A Visual Tour of First-Century Palestine. Bethany House Pub.
13. Encyclopædia Britannica. 15th Edition. Encyclopædia Britannica, Inc.
14. International Standard Bible Encyclopedia.