PANDUAN PEMBACAAN KITAB YUNUS
(Zhao Ming Yang)
PERTAMA, PENULIS:
Penulis kitab ini ialah nabi Yunus bin Amitai. Kampung halamannya berada di bahagian utara kerajaan Israel di kota Gat-Hefer (2 Raj 14:25), dan wilayahnya termasuk dalam suku Zebulon (Yos 19:11,13).
LATAR BELAKANG SEJARAH
Nabi Yunus bekerja pada masa pemerintahan raja Yerobeam II dari Israel di Kerajaan Utara, iaitu antara 800 hingga 760 SM. 2 Raja-raja 14:25 mencatatkan pekerjaan nabi. Dia pernah bernubuat bahawa Israel akan mendapatkan kembali daerah yang hilang daripada musuh, iaitu dari jalan masuk ke Hamat di utara sampai ke Laut Araba di selatan. Hasilnya, semuanya terjadi dan dipenuhi seperti yang dikatakan olehnya. Dia diguna dan disertai oleh Tuhan. Hal ini membuktikan bahawa kerja kenabiannya adalah berjaya.
Selain itu, jejak kerja nabi adalah sejauh wilayah Asyur, sebuah negara musuh yang kuat di utara (3:1-3). Tuhan pernah mengutusnya ke Niniwe, kota kerajaan Asyur untuk memberitakan amaran. Oleh seruannya, seluruh kota Niniwe percaya kepada Tuhan yang benar, mengaku dosa-dosa mereka dan bertaubat, lalu meredakan murka dan hukuman Tuhan yang benar. Dia merupakan pelopor pemberitaan Injil kepada bangsa asing dalam zaman Perjanjian Lama.
ISI KANDUNGAN DAN RINGKASAN
Tuhan mengutus Yunus ke Niniwe untuk memberitakan amaran. Dia tidak mematuhi perintah Tuhan dan melarikan diri ke Tarsis dengan kapal. Dalam perjalanannya, dia menghadapi angin ribut badai besar yang diturunkan oleh Tuhan. Yunus tahu bahawa malapetaka itu disebabkan oleh dirinya sendiri. Oleh itu, dia meminta orang-orang itu mencampakkannya ke dalam laut untuk meredakan laut.
Dia ditelan oleh seekor ikan besar. Pada waktu ini, dia berdoa kepada Tuhan benar yang di syurga untuk mengaku dosanya. Tuhan menolongnya meninggalkan perut ikan dan mendarat dengan selamat. Tuhan sekali lagi mengutusnya ke Niniwe untuk memberitakan amaran. Setelah berjalan seharian, seluruh kota itu bertaubat dan berbalik kepada Tuhan. Tuhan juga berjanji bahawa malapetaka itu tidak akan berlaku dan seluruh kota akan terpelihara. Walau bagaimanapun, belas kasihan Tuhan itu sangat mengesalkan hati Yunus, dan dia mengaku bahawa selayaknya dia marah sampai mati. Tuhan menggunakan sebatang pohon jarak yang layu dalam masa satu hari untuk mengajarnya supaya dia merasai kasih Tuhan. Ia menghendaki supaya jangan ada yang binasa, melainkan supaya semua orang berbalik dan bertobat (2 Ptr 3:9).
Ringkasan kitab adalah seperti berikut:
A. Yunus ingkar perintah dan melarikan diri (fasal 1)
1. Tuhan pertama kalinya mengutusnya (1:1-2)
2. Melarikan diri ke Tarsis (1:3-10)
3. Dicampakkan ke dalam laut untuk meredakan laut (1:11-17)
B. Yunus mengaku dosa (fasal 2)
1. Bertaubat dan berdoa (2:1-9)
2. Diselamatkan (2:10)
C. Yunus memberitakan amaran (fasal 3)
1. Tuhan mengutusnya untuk kali yang kedua (3:1-2)
2. Seruan dan pertaubatan (3:3-9)
3. Kasih karunia dan pengampunan Tuhan (3:10)
D. Yunus terima ajaran (fasal 4)
1. Rasa tidak puas hati dan kemarahan Yunus (4:1-5)
2. Ajaran Tuhan kepada Yunus (4:6-11)
KEASLIAN KITAB INI
Sebilangan sarjana Alkitab berpendapat bahawa kitab Yunus adalah menggunakan gaya kiasan, dan kisahnya bukanlah fakta sejarah. Tambahan pula, banyak kisah yang dicatatkan dalam kitab ini adalah bertentangan dengan rasional semula jadi dan tidak boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, alasan yang dinyatakan di bawah dapat mengajar orang untuk mempercayai bahawa isi kandungan kitab ini memang fakta sejarah.
A. Bentuk naratif kitab Yunus ditulis dalam realisme sejarah yang digunakan dalam Alkitab, dan kita bersetuju dengan sejarahnya dengan idea-idea semula jadi dan sederhana. Pada zaman dahulu, orang Yahudi juga mengakui kitab Yunus sebagai kitab sejarah.
B. Masa dan tempat yang tercatat dalam kitab ini mempunyai latar belakang sejarahnya yang benar. Antaranya termasuk kehidupan dan kampung halaman Yunus dan nubuat yang dikatakan oleh Tuhan dengan perantaraan Yunus juga digenapi (2 Raj 14:25, Yun 1:1). Selain itu, ada disebutkan tentang Niniwe, kota kerajaan Asyur, sebuah kerajaan kuat di utara pada waktu itu, dan seluruh kotanya bertaubat dan mengaku dosa. Semua kisah itu ialah fakta sejarah yang benar pada zaman tersebut.
C. Yesus pernah memetik daripada kisah Yunus. Terdapat tiga bahagian dalam kitab Injil yang menyebut bahawa Tuhan Yesus memetik daripada kisah Yunus (Mat 12:38-41, 16:4; Luk 11:29-32). Petikan ini membuktikan bahawa Dia mengakui tanda mukjizat yang dialami oleh Yunus dan pertaubatan orang-orang di kota Niniwe ialah fakta sejarah.
D. Percayalah pada perbuatan Tuhan Yang Mahakuasa dengan iman. Bagi beberapa perbuatan Tuhan yang luar biasa dalam kitab Yunus, seperti Tuhan menurunkan angin ribut dan badai besar serta meredakannya, Tuhan mengatur seekor ikan besar menelan Yunus sehingga dia terselamat daripada terkubur di dasar laut, dan dia terpelihara bahkan tidak mati di dalam perut ikan, dan akhirnya dia mendarat dengan selamat; sebatang pohon jarak tumbuh dalam masa satu hari dan layu pada keesokan harinya, kita menerima tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat ini dengan iman yang murni, bukannya mencari bukti dan penjelasan yang munasabah secara rasional. Bagi Allah segala sesuatu mungkin, tiada suatu apa pun yang mustahil untuk Tuhan (Mat 19:26).
TEMA TEOLOGI
A. Melihat penyelamatan dan penebusan Tuhan daripada kitab Yunus
Tuhan mengutus Yunus ke negara musuh yang asing untuk menyampaikan amaran. Tindakan itu ialah kasih Tuhan yang besar kepada dunia. Tuhan berjanji kepada Abraham bahawa olehnya semua kaum di muka bumi akan mendapat berkat. Maknanya, penyelamatan dan penebusan Tuhan akan datang kepada semua keturunan rohani Abraham berdasarkan iman melalui kerja Mesias (Kej 12:2-3, Gal 3:8-9). Pendahuluan dan terang keselamatan kini telah dibuka dalam kitab Yunus.
B. Membincangkan kerja Mesias daripada kitab Yunus
Yunus merupakan nabi yang dipilih dan diutus oleh Tuhan. Nabi Yesaya bernubuat bahawa Tuhan Yesus ialah hamba Tuhan, yang dipegang oleh Tuhan, orang pilihan Tuhan, yang kepadanya Tuhan berkenan (Yes 42:1-4).
Tuhan memberikan amaran kepada negeri musuh melalui Yunus menunjukkan kasih Tuhan. Tindakan itu juga menyatakan bahawa dunia perlu berdamai dengan Tuhan dan sesama manusia (terutamanya memperdamaikan orang-orang Yahudi dengan bangsa asing) dalam penyelamatan dan penebusan universal Tuhan. Kerja ini diselesaikan dalam Mesias Kristus (Ef 2:14-18; 2 Kor 5:18).
Sebab seperti Yunus tinggal di dalam perut ikan tiga hari tiga malam, demikian juga Anak Manusia akan tinggal di dalam rahim bumi tiga hari tiga malam. Petikan ini melambangkan Yesus Kristus disalibkan dan dikuburkan (Mat 12:39-40); Yunus berada dalam perut ikan tetapi nyawanya terpelihara dan kemudiannya dimuntahkan ke darat oleh ikan besar. Peristiwa ini melambangkan tanda besar kebangkitan Kristus (Luk 11:30; Yoh 2:8-21).
C. Melihat tanggungjawab umat pilihan terhadap bangsa asing daripada kitab Yunus
Tuhan memilih umat Israel dalam Perjanjian Lama, menjadikan mereka suatu bangsa yang diam tersendiri, menjadi milik Tuhan untuk selama-lamanya, dan dibezakan daripada bangsa-bangsa. Seterusnya, mereka memperlihatkan bangsa Tuhan yang kudus kepada bangsa-bangsa dan memberitakan perbuatan-perbuatan Tuhan yang ajaib. Walaupun kerja penginjilan kepada bangsa asing belum dikembangkan sepenuhnya, tanggungjawab ini harus ditunaikan oleh gereja pada zaman Perjanjian Baru (Mat 28:16-20, Mrk 16:14-16, Kis 1:8). Oleh itu, pemberitaan Injil oleh Yunus di luar negeri sebenarnya memberitahu kita bahawa tanggungjawab pemberitaan Injil di dunia hari ini terletak pada kita.
D. Melihat penghakiman Tuhan pada akhir zaman daripada kitab Yunus
Pemberitaan Yunus mendapat respons segera daripada orang-orang Niniwe. Mereka mengaku dosa dan bertaubat sepenuhnya kepada Tuhan. Tindakan ini dipersetujui oleh Tuhan Yesus. Orang-orang Niniwe telah memperbaiki kesilapan dan berubah ke arah kebaikan. Jika bandingkan tindakan baik mereka dengan kedegilan umat pilihan Tuhan yang tidak mahu percaya, mereka akan dihakimi dengan teruk pada akhir zaman, dan orang-orang Niniwe akan bangkit bersama angkatan ini dan menghukumnya juga (Mat 12:41).
INTI KITAB
A. Harus takut akan Tuhan dan taat kepada Tuhan (1:9,14-16)
1. Tuhan Allah yang cemburu dan benar (1:2). Tuhan tidak membenarkan kewujudan dosa dan kejahatan kerana Dia Tuhan yang kudus dan benar. Tuhan akan membalas setiap orang yang berdosa menurut perbuatannya (Rm 2:6).
2. Tuhan Hakim yang berkuasa, Hakim seluruh umat manusia dan alam semesta. Dia tidak hanya menghakimi umat pilihan, tetapi juga berhak menghakimi semua orang (1:2; Rm 3:29).
3. Dia Penguasa segala sesuatu dalam alam semesta (1:4). Kuasa-Nya ada dalam segala hal, Dia bertanggungjawab atas alam semula jadi, bahkan angin dan laut juga taat kepada-Nya (Mat 8:24-27).
4. Dia Tuhan yang Maha Tahu dan Maha Ada (1:3). Dia memeriksa hati manusia, mata-Nya ada di segala tempat. Ke mana manusia dapat pergi menjauhi roh Tuhan, ke mana manusia dapat lari dari hadapan Tuhan (Mzm 17:3, 44:22, 139:1-12).
Oleh sebab prasangka dan pilih kasih, nabi Yunus mengingkari perintah Tuhan dan ingin melarikan diri ke Tarsis. Dia menyangka dia dapat melarikan diri daripada Tuhan dengan bersembunyi di tanah orang asing yang berjarak ribuan batu. Ketika berhadapan dengan angit ribut dan badai besar dalam perjalanan, barulah dia terbangun daripada mimpi, dan benar-benar menyedari bahawa manusia harus takut akan Tuhan dan taat kepada Tuhan. Daripada bangsa asing yang pada asalnya tidak mengenali Tuhan, kita dapat melihat bahawa manusia takut akan Tuhan dan berdoa kepada-Nya dengan kerendahan hati yang murni dan mulia di samping mempersembahkan korban dan kesyukuran kepada Tuhan.
“Yunus” pada asalnya bermaksud “merpati” dalam bahasa Ibrani. Tuhan mengutusnya ke kota dosa, Niniwe untuk memberitakan amaran dan menaruh harapan tinggi terhadapnya. Tuhan pastinya mengharapkan dia tulus dan taat seperti merpati (Mat 10:16) dan menunaikan vokasi merpati untuk menyampaikan maklumat (Kej 8:8-11) dan menyebarkan khabar baik kepada bangsa asing bahawa Tuhan mengasihi dunia. Dalam panggilan yang pertama, dia ternyata gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang nabi. Hal ini amatlah dikesali dan harus dijadikan sebagai sempadan.
Kepercayaan Tuhan dalam kerja suci ialah kemuliaan kita. Sebab jika kamu rela untuk memberi, maka pemberianmu akan diterima. Kalau andaikata aku melakukannya menurut kehendakku sendiri, memang aku berhak menerima upah. Tetapi karena aku melakukannya bukan menurut kehendakku sendiri, pemberitaan itu adalah tugas penyelenggaraan yang ditanggungkan kepadaku. Jangan sesat! Allah tidak membiarkan diri-Nya dipermainkan (2 Kor 8:11-12; 1 Kor 9:17; Gal 6:7).
B. Pada hari malang, ingatlah dan berbaliklah kepada Tuhan (2:1-9)
Yunus diajar oleh Tuhan dan jatuh ke dalam perut ikan besar. Dia menyedari bahawa dia tidak mempunyai harapan untuk terus hidup, jadi dia dengan tulus mengaku dosanya dan memohon kepada Tuhan. Kesusahan menyebabkan manusia mencari Tuhan dan tahu untuk membuat refleksi, membuat renungan, dan mengkaji semula hubungan antara manusia dengan Tuhan. Yunus bertaubat dan berdoa kepada Tuhan dalam perut ikan yang gelap. Dia bersyukur dan bernubuat untuk menunjukkan pertaubatannya yang sesungguhnya. Pada hari malang, ingatlah. Marilah kita menyelidiki dan memeriksa hidup kita, dan berpaling kepada TUHAN. Marilah kita mengangkat hati dan tangan kita kepada Allah di sorga (Pkh 7:14, Rat 3:40,41). Kemudian, Yunus mendapat belas kasihan Tuhan dan diselamatkan. Setelah mendarat, dia pergi ke Niniwe untuk menyelesaikan pekerjaan yang dipercayakan oleh Tuhan.
C. Bertaubat dengan ikhlas untuk mengelakkan malapetaka (3:5-10)
Ketika orang Niniwe mendengar amaran Yunus, mereka segera percaya kepada Allah, lalu mereka mengumumkan puasa dan mereka, baik orang dewasa maupun anak-anak, mengenakan kain kabung. Raja juga turun dari singgasananya, ditanggalkannya jubahnya, diselubungkannya kain kabung, lalu duduklah ia di abu. Lalu atas perintah raja, para pembesarnya memaklumkan supaya manusia dan ternak semuanya berpuasa, berseru dengan keras kepada Allah serta haruslah masing-masing berbalik dari tingkah lakunya yang jahat dan dari kekerasan yang dilakukannya. Kesungguhan pertaubatan ini jarang berlaku. Ketika Allah melihat perbuatan mereka itu, yakni bagaimana mereka berbalik dari tingkah lakunya yang jahat, maka menyesallah Allah karena malapetaka yang telah dirancangkan-Nya terhadap mereka, dan Ia pun tidak jadi melakukannya (3:10; Yer 10:7-8). Hal ini juga menunjukkan keadilan dan kasih Tuhan.
D. Tuhan ada rancangan damai sejahtera (4:9-10)
Yunus sangat marah ketika melihat bahawa Tuhan menaruh belas kasihan terhadap orang-orang Niniwe. Dia mungkin menjadi marah kerana kegagalan nubuatnya, atau berasa tidak senang kerana Tuhan menyayangkan negara musuh. Dia tidak memahami kehendak Tuhan, malahan berasa kesal dengan kasih dan kesabaran Tuhan. Dia tidak tahu bahawa Tuhan ada rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberikan kepada manusia hari depan yang penuh harapan. Dan apabila manusia berseru dan datang untuk berdoa kepada Tuhan, maka Tuhan akan mendengarkan mereka; manusia akan menemukan Tuhan; apabila mereka menanyakan Tuhan dengan segenap hati (Yer 29:11-13). TUHAN adalah pengasih dan adil, Allah kita penyayang (Mzm 116:5).